Tafsir Surah Zukhruf Ayat 30 – 33 (Kaya dan pengaruh bukan kayu ukur)

Ayat 30: Ayat Syikayah

وَلَمّا جاءَهُمُ الحَقُّ قالوا هٰذا سِحرٌ وَإِنّا بِهِ كافِرونَ

Sahih International

But when the truth came to them, they said, “This is magic, and indeed we are, concerning it, disbelievers.”

Malay

Dan ketika kebenaran (Al-Quran) itu disampaikan kepada mereka, berkatalah mereka: “Sesungguhnya ini adalah sihir, dan sesungguhnya kami tetap mengingkarinya”.

 

وَلَمَّا جَاءَهُمُ الْحَقُّ

Dan ketika kebenaran itu disampaikan kepada mereka,

Kebenaran wahyu yang disampaikan kepada manusia adalah jelas, tapi manusia ramai yang menolaknya. Apakah yang dikatakan oleh manusia yang engkar bila kebenaran telah sampai kepada mereka? Nabi Muhammad bawa kembali wasiat Nabi Ibrahim. Tapi apa mereka buat?

 

قَالُوا هَٰذَا سِحْرٌ

berkatalah mereka: “Sesungguhnya ini adalah sihir,

Maksudnya mereka hendak mengatakan bahawa Quran yang dibaca oleh Nabi itu adalah ajaran sesat. Musyrikin Mekah tidak dapat menjelaskan apakah Quran itu: ianya bukan syair, ianya juga bukan kata-kata biasa. Mereka sendiri terpegun dengan ayat-ayat Quran yang dibacakan oleh Nabi itu. Tapi mereka tak mahu juga hendak menerimanya kerana hati mereka telah tertutup. Maka, mereka mengatakan bahawa apa yang dibaca oleh Nabi itu adalah sihir semata-mata. Mereka kata begitu kerana mereka sudah tidak tahu nak beri label apa kepada Quran itu. Mereka ada juga mengamalkan sihir dan pada mereka, sihir itu adalah sesuatu yang tidak dapat dijelaskan.

Tambahan pula, mereka perasan yang kalau ada yang mendengar Quran itu, ada kemungkinan orang yang mendengar bacaan qurna itu akan masuk Islam. Maka, mereka kata yang mereka yang ikut Nabi Muhammad setelah mendengar bacaan Quran, mereka itu telah terkena sihir, telah terpukau.

Pada mereka, Qur’an itu tidak benar tapi masih juga ada orang yang ikut. Mereka hairan kenapa ada orang ikut Nabi Muhammad. Kerana kalau biasanya, orang akan ikut benda macam ni kalau ada imbuhan seperti harta. Tapi tidaklah Nabi Muhammad itu menawarkan harta kepada orang yang ikut baginda. Oleh kerana itulah mereka kata ini tidak lain dan tidak bukan, tentu sihir.

Zaman sekarang pun ramai yang sebegitu juga. Apabila disampaikan kepada mereka tafsir kepada ayat-ayat Quran, mereka ada yang kata itu adalah tafsir yang sesat, tafsir yang salah. Mereka kata ustaz yang mengajar Tafsir Quran itu pakai jin dalam mengajar. Kalau pakai jin, bermakna mereka hendak mengatakan yang ajaran itu adalah ajaran sihir. Mereka kata kalau belajar dengan ustaz yang ajar tafsir itu, ramai yang akan ikut telunjuk ustaz itu dah. Mereka gunakan hujah yang bodoh ini kerana mereka tidak dapat lagi berhujah melawannya dengan dalil lain. Mereka sendiri tidak belajar Tafsir Quran, jadi mereka tidak dapat nak berikan hujah lagi. Kerana, kalau apa yang kita tafsirkan ini salah, maka berilah tafsir yang benar, kalau ada. Mereka tidak dapat jawap kerana mereka sendiri tidak belajar.

 

وَإِنَّا بِهِ كَافِرُونَ

dan sesungguhnya dengannya kami ingkari”.

Mereka tidak dapat nak lawan hujah yang diberikan dalam Quran, tapi hati mereka tidak dapat menerimanya. Jadi, mereka tolak buta-buta sahaja. Mereka tolak dengan tidak beri hujah. Kerana kalau salah, tunjuklah mana yang salah. Mereka tidak dapat nak tunjuk mana yang salah.


 

Ayat 31: Sesudah mereka mengatatakan yang bacaan Quran itu sihir, mereka beri lagi hujah yang lain. Mereka tolak Qur’an dengan beri hujah yang tidak munasabah. Salah satunya, mereka hina kedudukan Nabi Muhammad.

Ini adalah ayat Syikayah (Rungutan Allah). Sekarang mereka hina Nabi Muhammd pula. Mereka kata Nabi Muhammad tak layak terima wahyu kerana baginda miskin dan tidak ada pengaruh walaupun mereka sudah pun kenal yang baginda itu seorang yang jujur. Mereka berhujah dengan kata sepatutnya wahyu itu kena diturunkan kepada orang yang ada pengaruh, barulah cepat orang terima. Begitulah Syaitan membisikkan kepada mereka untuk hina Nabi. Sebelum ini mereka telah hina Qur’an, sekarang mereka hina penyampainya pula, iaitu Rasulullah. Ini semua adalah syaitan yang ajar.

وَقالوا لَولا نُزِّلَ هٰذَا القُرآنُ عَلىٰ رَجُلٍ مِنَ القَريَتَينِ عَظيمٍ

Sahih International

And they said, “Why was this Qur’an not sent down upon a great man from [one of] the two cities?”

Malay

Dan (kerana mereka mencemuh Nabi Muhammad) mereka berkata: “(Kalaulah Al-Quran ini menjadi bukti kenabian seseorang, maka) sepatutnya Al-Quran ini diturunkan kepada seorang besar (yang kaya dan berpengaruh) dari salah sebuah dua bandar yang (terkenal) itu?”

 

وَقَالُوا لَوْلَا نُزِّلَ هَٰذَا الْقُرْآنُ

Dan mereka berkata: “kenapa Al-Quran ini tidak diturunkan

Sekarang, mereka hendak mempersoalkan pilihan Allah pula. Lihatlah apa kata mereka:

 

عَلَىٰ رَجُلٍ مِّنَ الْقَرْيَتَيْنِ عَظِيمٍ

kepada seorang yang hebat dari salah sebuah dua bandar itu?”

Dua bandar yang dimaksudkan adalah Mekah dan Taif. Mekah adalah bandar yang besar waktu itu kerana ada Kaabah padanya. Dan Taif adalah tempat peranginan orang-orang kaya Arab kerana ia mempunyai cuaca yang molek kalau dibandingkan dengan Mekah. Orang-orang kaya akan ada rumah peranginan mereka di sana. Mungkin ada yang hairan, kenapa bukan ‘Mekah dan Madinah’? Kita kena ingat bahawa Madinah waktu itu bukan bandar yang besar lagi. Namanya pun adalah Yathrib pada waktu itu. Ianya hanya menjadi besar dan terkenal hanya selepas Nabi Muhammad berhijrah ke sana.

Dari Taif, yang dimaksudkan adalah Urwah ibn Mas’ud As-Tsaqafi. Dan dari Kota Mekah pula, yang dimaksudkan adalah Walid al Mughirah ataupun Utbah ibn Rabi’ah. Mereka itu adalah orang-orang yang hebat dan berpengaruh pada pandangan masyarakat Arab pada waktu itu. Pada mereka, sepatutnya wahyu yang diturunkan kepada manusia itu diberikan kepada dua orang ini yang sudah ada pengaruh dalam masayarakat. Kerana cakap mereka pun sudah didengar oleh masyarakat waktu itu. Maka senanglah orang nak ikut suruhan wahyu itu, kata mereka.

Mereka kata begitu adalah kerana mereka hanya melihat kelebihan seseorang itu daripada segi kekayaan dan pengaruh sahaja. Allah menegur mereka yang bersifat begini, bertepatan dengan tema surah ini yang menyentuh tentang salahfaham manusia tentang kebendaan dan kemewahan dunia. Kita memang ramai yang ada masalah begini. Kita mengagung-agungkan mereka yang ada harta dan ada pengaruh dalam masyarakat. Apa-apa sahaja yang mereka kata, kita lebih mudah untuk terima kalau dibandingkan dengan kata-kata mereka yang miskin dan tidak ada pengaruh. Padahal, tanda kebenaran seseorang itu bukanlah dari segi keduniaan, tapi dari segi iman dan taqwa mereka.

Musyrikin Mekah tidak dapat menerima yang Nabi Muhammad yang diberikan dengan wahyu kerana mereka rasa ada lagi orang lain yang lebih layak dari baginda. Mereka lihat Nabi itu adalah seorang yang tidak pandai membaca, tidak boleh bersyair. Baginda pun seorang yang miskin dan anak yatim piatu pula. Padahal, baginda jadi miskin itu pun sebab baginda banyak tolong orang. Ingatlah bahawa baginda telah berkahwin dengan Khadijah yang seorang jutawan. Tapi kenapa pula mereka berdua jadi miskin? Ini adalah kerana baginda telah melihat kesesatan yang diamalkan kaumnya itu dan baginda cuba berdakwah dengan mereka menggunakan harta benda mereka. Apabila ada yang bertawaf telanjang di Kaabah, baginda telah memberi mereka wang untuk membeli kain ihram. Baginda juga seorang yang amat dermawan dan sentiasa memberi pertolongan. Tapi, tidaklah baginda dapat memberi hidayah kepada kaumnya itu dengan kemurahan hatinya, sehinggalah baginda mendapat wahyu dari Allah. Dengan wahyu itulah, baru baginda dapat mengubah keseluruhan Tanah Arab itu menjadi Muslim dan menegakkan kalimah tauhid. Maknanya, berdakwah guna wang itu tidak akan berjaya. Berdakwah sebenarnya adalah dengan menggunakan Quran.

Oleh itu, mereka nak kata Nabi itu hina sebab miskin. Tentulah apabila Nabi dengar kata-kata mereka ini, sedihlah hati baginda.

Sebenarnya kelebihan yang sebenarnya adalah dalam ketulusan dan kesucian hati seseorang itu. Nabi Muhammad itu memang terkenal dengan kebaikan hati baginda dan sifat amanah baginda sampaikan baginda dikenali dengan gelaran al-Amin. Masyarakat Arab Mekah waktu itu pun telah terima baginda sebagai seorang yang amanah.

Bagaimana pula kaitan ayat ini dengan zaman sekarang? Kita boleh lihat bagaimana manusia memandang status orang yang mengajar. Mereka hanya mahu belajar dengan orang yang terkenal dan berpengaruh. Pada mereka, sepatutnya yang mengajar tafsir dan ajar agama itu mestilah orang yang ‘nampak pandai’, sudah terkenal di seluruh negara. Tapi, apabila yang mengajar itu nampak seperti orang biasa sahaja, kelas pun tak penuh orang datang, mereka dah tolak dah (kerana mereka rasa tentu tidak terkenal). Janganlah begitu, yang penting adalah kebenaran yang dibawa. Kalau seseorang itu terkenal pun, sudah masuk tv pun, tapi kalau ajarannya salah, takkan kita nak terima pula?


 

Ayat 32: Allah patahkan hujah mereka itu

أَهُم يَقسِمونَ رَحمَتَ رَبِّكَ ۚ نَحنُ قَسَمنا بَينَهُم مَعيشَتَهُم فِي الحَياةِ الدُّنيا ۚ وَرَفَعنا بَعضَهُم فَوقَ بَعضٍ دَرَجاتٍ لِيَتَّخِذَ بَعضُهُم بَعضًا سُخرِيًّا ۗ وَرَحمَتُ رَبِّكَ خَيرٌ مِمّا يَجمَعونَ

Sahih International

Do they distribute the mercy of your Lord? It is We who have apportioned among them their livelihood in the life of this world and have raised some of them above others in degrees [of rank] that they may make use of one another for service. But the mercy of your Lord is better than whatever they accumulate.

Malay

(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan (perkara-perkara keruhanian dan keugamaan yang menjadi sebesar-besar) rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan): Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.

 

أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَتَ رَبِّكَ

Adakah mereka yang membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu?

Merekakah yang layak nak tentukan siapa dapat apa? Mereka ingat mereka siapa? Sampai mereka sanggup mempersoalkan pemberian wahyu yang Allah tentukan itu? Begitu kurang ajar mereka seperti mereka mengatakan yang Allah telah silap pilih dalam memberi wahyu itu?

Yang dimaksudkan dengan رَحْمَتَ رَبِّ adalah wahyu Allah, iaitu Quran.

Beginilah juga kata-kata Syiah sekarang. Mereka kata Jibrail silap bagi wahyu kepada Nabi Muhammad. Mereka kata sepatutnya diberikan wahyu itu kepada Saidina Ali. Kalau mereka kata Jibrail silap, tentunya Allah pun silap juga dalam pemberian itu. Malangnya, amat ramai yang telah terpesong dengan menganut agama Syiah yang sesat itu. Itu adalah kerana mereka tidak ada pelajaran agama dan kerana itu, mereka senang ditipu oleh penganut Syiah yang memang pandai memutar belitkan fakta dan hujah.

 

نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُم مَّعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

Kami lah yang membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini,

Dalam kehidupan dunia, siapakah yang membahagi-bahagikan keperluan hidup manusia? Siapa yang beri? Tentulah Allah. Ada penekanan dalam ayat ini. Ini adalah ayat jumlah ismiah dan selalunya dari segi balaghah, jumlah ismiah digunakan untuk beri penakanan. Dalam kalau kita terjemah dengan tepat, ada pengulangan ‘Kami dalam ayat ini: نَحْنُ قَسَمْنَا [Kami, kamilah yang membahagikan]

Oleh itu, Allah lah yang menentukan dan membahagikan rezeki kepada manusia. Setengahnya Allah jadikan kaya raya dan setengahnya Allah taqdirkan jadi miskin dan menderita kesusahan. Kenapa Allah yang berikan? Kerana manusia tidak ada hak dan kelayakan untuk melakukannya. Manusia tidak mampu nak beri rezeki kepada manusia lain. Manusia amat lemah. Kalau mereka diberi peluang untuk membahagikan harta kepada manusia pun, mereka tidak akan mampu. Sebagai contoh, banyak persatuan yang cuba untuk membantu manusia lain. Adakah mereka mampu untuk menolong semua orang? Tentu tidak. Usaha manusia adalah terhad.

Kaya dan miskin bukanlah bermakna Allah sayang atau benci kepada seseorang itu. Tidaklah kaya itu bermaksud bagus dan miskin itu bermaksud buruk. Miskin dan kaya kedua-duanya adalah dugaan daripada Allah. Oleh itu, apabila Musyrikin Mekah mempersoalkan keputusan Allah untuk memberikan pangkat kenabian dan wahyu kepada seorang yang miskin, maka itu adalah satu pemahaman yang amat salah. Tidak ada hinanya orang yang miskin. Kita boleh perhatikan bagaimana mereka yang dimuliakan oleh Allah, bukanlah mereka yang kaya-raya. Seperti para Nabi, mereka kebanyakannya hidup dalam kemiskinan. Adakah mereka itu hina? Tentu tidak. Mereka itu amat mulia di mata Allah.

Oleh kerana keperluan kehidupan manusia hanya ditentukan oleh Allah, maka keputusan untuk memberikan pangkat kenabian dan menerima wahyu pun hanya boleh diberikan oleh Allah.

 

وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ

dan Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tinggi dari darjat setengahnya yang lain;

Ada manusia yang tinggi darjatnya dan ada yang rendah. Ada yang kaya dan ada yang miskin. Itu adalah kerana Allah yang menentukan darjat setiap orang. Allah menentukan itu dalam hikmahNya. Jangan kita sekali-kali mempersoalkan keputusan Allah.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa jikalau kita hendak memberikan kesamarataan kepada seluruh rakyat, ianya tidak akan berjaya. Ahli-ahli politik cuba hendak menghapuskan kemiskinan dalam negara ini, tapi ianya tidak akan berjaya. Kerana Allah memang telah menetapkan yang akan ada orang yang kaya dan ada yang miskin. Memang itulah sunnah alam ini yang Allah telah tetapkan.

Allah hendak menempelak Arab Mekah yang memandang kekayaan – seolah-olah Allah berkata: Wahai musyrikin Mekah, bukan beginikah keadaannya sekarang? Ada kuli dan ada tuan. Tapi tuan itu pun jadi kuli kepada orang lain pula. Allah yang jadikan begitu. Kalau sesiapa yang kaya dan berpengaruh pun, ada lagi yang lebih kaya dan lebih berpengaruh dari dia. Yang jadi pemimpin di Mekah pun, mereka tetap duduk di bawah takluk Yaman juga.

Kenapa Allah jadikan ada yang kaya dan ada yang miskin?

 

لِّيَتَّخِذَ بَعْضُهُم بَعْضًا سُخْرِيًّا

supaya sebahagian dari mereka mengambil khidmat dari setengahnya yang lain.

سُخْرِيًّا dari katadasar سخر yang bermaksud ‘menguasai atas sesuatu’. Orang yang kaya dapat mengarahkan orang yang miskin untuk bekerja dengannya dan diarah untuk melakukan kerja. Dalam ertikata lain, menjadi ‘kuli’ mereka.

Kena ada orang yang miskin dalam dunia ini. Kerana yang miskinlah yang akan menjalankan kerja-kerja yang tidak mahu dilakukan oleh orang kaya. Bayangkan kalau semua orang dalam dunia ini kaya, siapakah yang akan sapu sampah di jalanan? Apa akan jadi kepada kekotoran di merata-rata tempat kalau tidak ada orang yang hendak bekerja sapu sampah? Orang yang kaya takkan mahu nak jadi tukang sapu sampah pula.

Dan disebaliknya pula, kena ada orang yang kaya dalam dunia ini untuk bagi kerja kepada orang miskin. Mereka itulah yang jadi majikan kepada orang miskin. Dengan bekerja dengan orang kaya, orang miskin akan dapat pendapatan dari pekerjaan itu untuk menyara kehidupan mereka.

 

وَرَحْمَتُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ

Dan rahmat Tuhanmu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.

Rahmat Allah kepada Nabi Muhammad adalah pangkat kenabian yang diberikan kepada baginda dan wahyu yang diterimanya. Itu adalah jauh lebih tinggi dan lebih bernilai daripada kekayaan dan kemewahan yang boleh dikumpulkan oleh manusia. Lihatlah bagaimana orang-orang yang kaya dan yang berpengaruh pada zaman Jahiliah itu tidak ramai pun yang tahu tentang mereka. Kita dengar beberapa kerat sahaja kerana sejarah mereka ditelan zaman kerana tidak penting pun. Tetapi lihatlah bagaimana nama Nabi Muhammad itu harum dari dulu sampai bila-bila. Begitu juga dengan sahabat-sahabat baginda yang kebanyakannya miskin, tapi terkenal dan disebut-sebut sampai ke hari ini.

Maulana Hadi Zukhruf 26-32


 

Ayat 33: Sebenarnya pangkat dan kedudukan dunia tidak ada nilai pada Allah. Bukan itu cara ukuran Allah dalam memilih RasulNya. Harta tidak ada harga pada Allah. Ianya cuma ada harga pada manusia sahaja.

وَلَولا أَن يَكونَ النّاسُ أُمَّةً واحِدَةً لَجَعَلنا لِمَن يَكفُرُ بِالرَّحمٰنِ لِبُيوتِهِم سُقُفًا مِن فِضَّةٍ وَمَعارِجَ عَلَيها يَظهَرونَ

Sahih International

And if it were not that the people would become one community [of disbelievers], We would have made for those who disbelieve in the Most Merciful – for their houses – ceilings and stairways of silver upon which to mount

Malay

Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu (dalam kekufuran), nescaya Kami jadikan bagi orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, bumbung rumah-rumah mereka dari perak, dan tangga-tangga yang mereka naik turun di atasnya (dari perak juga),

 

وَلَوْلَا أَن يَكُونَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً

Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu

Oleh kerana harta tidak ada harga pada Allah, Allah boleh beri sahaja harta itu kepada manusia, walaupun mereka kafir. Tapi itu adalah bahawa kerana ia akan menyebabkan kekufuran semakin banyak. Allah tidak mahu seluruh umat manusia berada di dalam kekufuran. Allah tidak mahu semua manusia ‘satu’ dalam kekufuran.

 

لَّجَعَلْنَا لِمَن يَكْفُرُ بِالرَّحْمَٰنِ لِبُيُوتِهِمْ سُقُفًا مِّن فِضَّةٍ

nescaya Kami jadikan bagi orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, bumbung rumah-rumah mereka dari perak,

سُقُفًا adalah bumbung yang dilihat dari bahagian dalam. Maknanya kalau kita berada di dalam rumah itu kita memandang ke atas, kita akan nampak bumbung itu dibuat dari perak. Bumbung ini adalah satu bahagian binaan dalam rumah yang tidak dikisahkan sangat. Jadi, kalau bumbung pun dah perak, bagaimana pula dengan hiasan dalaman dan dinding, tentulah lagi hebat, bukan?

Maknanya, kalau Allah dah beri sampai bumbung pun dari perak, maknanya orang itu memang kaya sangat. Tidaklah ada yang jadi macam itu. Kalau kita tengok orang kafir yang banyak harta dalam dunia ini, tidaklah sampai bumbung rumah pun sampai dibuat dari perak, bukan? Orang yang paling kaya sekarang adalah Bill Gates; adakah dia buat bumbung rumahnya dari perak? Tidak.

Allah boleh sahaja memberikan kekayaan yang melimpah-limpah kepada orang kafir. Iaitu kekayaan yang tidak dapat difikirkan oleh akal kita sekalipun. Kerana kekayaan dunia itu tidak bernilai langsung kepada Allah. Macam kita nak beri besi buruk kepada orang lain, kita tak kisah pun sebab besi buruk itu tidak ada nilai.

Tapi, kalau Allah beri kekayaan yang banyak sangat kepada orang kafir, maka orang-orang Islam pun apabila tengok orang kafir teramat kaya, maka mereka pun nak jadi macam orang kafir itu. Dan mereka akan terikut-ikut dengan amalan-amalan orang kafir itu. Maka mereka akan terikut-ikut dengan cara hidup orang kafir itu sampaikan agama mereka pun tergugat juga. Akhirnya semua sekali akan jadi umat yang satu dalam kekufuran. Sekarang Allah beri kekayaan lebih sedikit sahaja pun, ada orang Islam yang sudah tergugat, bukan? Sudah mula ikut cara hidup orang kafir dah, sudah tiru cara hidup mereka yang hidup dalam kekufuran. Bayangkan kalau kekayaan mereka itu tidak ada had? Tentulah semua orang Islam nak jadi orang kafir juga. Allah dah tahu sifat manusia, kerana Dia maha tahu.

 

وَمَعَارِجَ عَلَيْهَا يَظْهَرُونَ

dan tangga-tangga yang mereka naik di atasnya

مَعَارِجَ adalah tangga yang jenis panjang dan tinggi yang boleh membawa orang yang menaikinya ke tempat yang tinggi. Maknanya rumah itu bertingkat-tingkat dan nak naik kena guna tangga yang tinggi. Allah boleh jadikan tangga itupun sebagai perak juga. Tapi adakah Allah jadikan bumbung rumah mereka dan tangga rumah mereka dari perak? Tidak. Tidak ada manusia kafir mana-mana pun yang melakukan begitu.

Allah tak jadikan begitu kerana kalau orang kafir kaya sangat, orang beriman pun jadi kafir juga. Allah tak mahu jadikan itu sebagai ujian kepada orang Islam.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 043: Zukhruf. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s