Tafsir Surah Zukhruf Ayat 23 – 29 (Ramai yang sangka sudah ikut Nabi)

Pantang larang ikut adat bukan ikut syariat

Pantang larang yang ditentukan generasi terdahulu lebih dipatuhi dan takut untuk dilanggar. Bacaan Quran dan salawat dijadikan selingan seolah-olah adat bersendikan agama.

Ayat 23: Dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana orang-orang Musyrikin Mekah itu hanya ikut amalan tok nenek mereka sahaja. Bukan mereka sahaja yang kata begitu, malah orang-orang kufur sebelum mereka pun berkata begitu juga, sama sahaja. Dan orang sekarang pun termasuk kebanyakan dari masyarakat Melayu kita pun berkata perkara yang sama juga. Kerana akidah mereka sama sahaja, akidah kufur.

وَكَذٰلِكَ ما أَرسَلنا مِن قَبلِكَ في قَريَةٍ مِن نَذيرٍ إِلّا قالَ مُترَفوها إِنّا وَجَدنا آباءَنا عَلىٰ أُمَّةٍ وَإِنّا عَلىٰ آثارِهِم مُقتَدونَ

Sahih International

And similarly, We did not send before you any warner into a city except that its affluent said, “Indeed, we found our fathers upon a religion, and we are, in their footsteps, following.”

Malay

Dan demikianlah halnya (orang-orang yang taqlid buta); Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) kepada (penduduk) sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran, melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja”.

 

وَكَذَٰلِكَ مَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ فِي قَرْيَةٍ مِّن نَّذِيرٍ

Dan demikianlah; Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) kepada (penduduk) sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran,

Allah telah menghantar Rasul kepada setiap negeri dan tempat, untuk menyampaikan ajaran tauhid dan cara menjalankan kehidupan. Kalau zaman sekarang, tidak ada Rasul lagi, maka yang menyampaikan ajaran tauhid kepada umat adalah penyebar-penyebar tauhid. Itulah guru-guru yang mengajar Tafsir Quran dan juga Sunnah Nabi. Mereka meluangkan masa dan tenaga untuk mengeluarkan manusia dari kesesatan syirik.

Tetapi, setelah mereka datang dan menyampaikan apa yang terjadi apabila penyebar tauhid itu sampai? Adakah manusia menerima mereka dengan tangan terbuka?

 

إِلَّا قَالَ مُتْرَفُوهَا إِنَّا وَجَدْنَا آبَاءَنَا عَلَىٰ أُمَّةٍ

melainkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama,

Mereka yang berkata begitu adalah orang yang ada kedudukan dalam masyarakat. Mereka hidup mewah dalam dunia. Mereka hidup kaya kerana cara hidup yang diamalkan dalam masyarakat itu. Kalau agama ditegakkan, maka mereka akan hilang punca pendapatan mereka. Maka mereka tidak suka kalau agama yang benar ditegakkan. Sebagai contoh, kalau semua amalan bidaah tidak dilakukan lagi oleh masyarakat, maka hilanglah pendapatan ustaz-ustaz, guru-guru dan tok imam dalam menjadi kepala Majlis Tahlil, Doa Selamat, Baca Talqin, Solat Hajat dan macam-macam lagi. Itulah sebabnya mereka marah benar kalau dikacau amalan-amalan itu.

Mereka akan kata yang mereka memegang pegangan agama yang telah lama ada dan diamalkan oleh masyarakat mereka. Sebagai contoh, mereka mengamalkan Majlis Tahlil dari dulu lagi dah. Kalau ditanya mereka belajar dengan siapa amalan itu, mereka akan kata dengan guru atau orang dulu-dulu. Apabila ditanya orang dulu belajar dengan siapa, mereka sudah tidak tahu. Maknanya, hujungnya tidak tahu siapa yang mula-mula mengajar. Maknanya, tidak tahu siapa yang mula-mula ‘reka’ amalan itu. Dan amalan Majlis Tahlil ini hanya diamalkan di daerah Nusantara kita ini sahaja – Malaysia, Indonesia dan Pattani. Kajian yang dilakukan setakat ini, hanya sampai kepada ajaran Wali Songo di Indonesia sahaja. Kemungkinan merekalah yang memulakannya.

Banyak amalan agama yang diamalkan oleh masyarakat kita sekarang, tidak tahu asal usulnya. Macam sekarang, semua orang memanggil nama Nabi dengan panggilan Sayyidina. Tapi tidak tahu siapakah yang mula-mula sekali menggunakan gelaran itu untuk Nabi. Yang pastinya, Nabi tidak menggelarkan diri baginda begitu, dan para sahabat pun tidak menggelar baginda begitu, termasuklah isteri-isteri baginda. Padahal, mereka lagi sayang kepada baginda, lagi hormat kepada baginda. Nabi pun tidak pernah suruh dipanggil begitu, sebaliknya, kalau dilihat kepada hadis yang ada, terdapat larangan dari baginda untuk menggelar baginda dengan gelaran ‘Sayyid’.

Begitulah kalau kita tanya kepada mereka kenapa mereka melakukan amalan yang tidak ada dalil itu. Iaitu amalan-amalan bidaah. Mereka akan beri jawapan yang sama sahaja. Iaitu amalan mereka itu bukanlah baru, tapi telah lama diamalkan. Ianya telah lama diamalkan oleh tok nenek mereka.

 

وَإِنَّا عَلَىٰ آثَارِهِم مُّقْتَدُونَ

dan sesungguhnya kami atas jejak mereka kami ikuti”.

Mereka akan ikut tanpa usul periksa lagi. Pada mereka, itulah cara mengamalkan agama yang betul. Walaupun mereka tidak boleh beri dalil untuk amalan mereka itu, mereka nak ikut juga. Mereka rasa kalau telah lama diamalkan oleh tok nenek, oleh guru-guru dahulu, tentulah ia benar.

Tapi lihatlah, dalam hal agama sahaja mereka ikut cara lama. Kalau hal kehidupan, tidak pula. Kalau nak makan, mereka akan cari makanan jenis baru. Nak kenderaan, mereka akan pakai kenderaan yang hebat-hebat. Kerana mereka kata, ada cara yang lebih baik dari orang-orang dahulu. Kerana mereka akan kata, dari kajian sains, ada cara yang lebih baik. Tapi kenapakah dalam amalan agama, mereka nak pakai amalan tok nenek juga?


 

Ayat 24: Apakah reaksi dan hujah Rasul terhadap dakwaan mereka yang hendak ikut apa yang diamalkan oleh orang-orang terdahulu itu? Beginilah yang Allah ajar Nabi bagaimana hendak menjawap kepada mereka dan kita pun kena ikut bagaimana Nabi menjawap dan berhujah dengan mereka.

۞ قالَ أَوَلَو جِئتُكُم بِأَهدىٰ مِمّا وَجَدتُم عَلَيهِ آباءَكُم ۖ قالوا إِنّا بِما أُرسِلتُم بِهِ كافِرونَ

Sahih International

[Each warner] said, “Even if I brought you better guidance than that [religion] upon which you found your fathers?” They said, “Indeed we, in that with which you were sent, are disbelievers.”

Malay

Rasul itu berkata: “Adakah (kamu akan menurut juga mereka) walaupun aku membawa kepada kamu ugama yang lebih jelas hidayah petunjuknya daripada jalan ugama yang kamu dapati datuk nenek kamu menurutnya?” Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya”.

 

قَالَ أَوَلَوْ جِئْتُكُم بِأَهْدَىٰ

Rasul itu berkata: “Walaupun aku membawa kepada kamu yang lebih jelas hidayah petunjuknya

Rasul itu berkata: “Masihkah nak ikut lagi mereka lagi walaupun aku bawa Quran yang lebih baik lagi?” Ataupun bawa dalil yang sah dari hadis yang sahih? Masih kamu nak ikut juga?

Ayat ini bukanlah nak mengatakan ajaran tok nenek itu ada pimpinan, dan ajaran Islam punya lebih terpimpin. Tidaklah begitu. Kalau faham macam itu, bahaya pula kerana seolah-olah mereka pun ada terpimpin, cuma kurang sahaja. Kita kena faham yang ayat ini sebagai cara berlembut nak ajak sahaja. Ini cara dialog muzakarah yang Allah ajar.

 

مِمَّا وَجَدتُّمْ عَلَيْهِ آبَاءَكُمْ

daripada jalan ugama yang kamu dapati datuk nenek kamu menurutnya?”

Ajaran dari Quran dan sunnah itu jauh lebih baik dari apa yang mereka amalkan. Ianya tidak sama dengan apa yang mereka belajar itu. Mereka sahaja yang sangka amalan yang mereka lakukan itu benar, tapi kalau dibandingkan dengan ajaran Quran dan sunnah, ianya amat berlawanan dengan apa yang mereka lakukan.

 

قَالُوا إِنَّا بِمَا أُرْسِلْتُم بِهِ كَافِرُونَ

Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya”.

Setelah diberikan dengan dalil-dalil yang sah, mereka masih engkar tidak mahu ikut. Mereka ada yang berkata: “Apa yang kamu katakan itu dah betul dah, tapi, yang guru aku ajar ini pun betul juga”. Mereka yakin sangat yang guru-guru dan amalan tok nenek itu benar, sampaikan mereka tak mahu juga nak terima dalil yang diberikan. Hati mereka masih juga mahu menolak. Kedegilan mereka lebih kuat lagi. Padahal dah habis hujah dah diberikan kepada mereka. Allah nak beritahu kita yang memang ada manusia yang jenis macam ni, jadi jangan terkejut. Mereka tolak sebab mereka degil sahaja.


 

Ayat 25: Ayat Takhwif Duniawi. Selepas mereka menolak apa yang dibawa oleh penyebar tauhid dan penyebar tauhid tinggalkan mereka, adakah mereka akan dibiarkan begitu sahaja oleh Allah?

فَانتَقَمنا مِنهُم ۖ فَانظُر كَيفَ كانَ عاقِبَةُ المُكَذِّبينَ

Sahih International

So we took retribution from them; then see how was the end of the deniers.

Malay

Lalu Kami balas keingkaran mereka dengan azab yang membinasakan; maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.

 

فَانتَقَمْنَا مِنْهُمْ

Lalu Kami balas keingkaran mereka dengan azab yang membinasakan;

Tidak akan lepaskan mereka begitu sahaja. Allah akan beri azab kepada mereka kelak. Allah putuskan langsung baka baka mereka sampai mereka tidak ada keturunan langsung.

 

فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ

maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan.

Allah telah musnahkan kaum dan umat yang mendustakan kebenaran dahulu. Lihatlah sejarah apa yang terjadi kepada mereka. Ambillah pengajaran dari mereka. Jangan hanya membaca sahaja kisah mereka. Maknanya, Allah boleh balas keengkaran mereka semasa di dunia lagi, tidak payah tunggu di akhirat. Allah jadikan mereka sebagai pengajaran kepada kita supaya jangan jadi seperti mereka. Telah banyak umat-umat yang telah dimusnahkan kerana telah engkar kepada Rasul-rasul mereka, seperti kaum Nabi Nuh, Luth, Aad, Tsamud dan banyak lagi. Lihatlah bagaimana kesudahan buruk yang mereka alami. Kalau Allah tidak musnah mereka dengan azab yang menghancurkan tubuh badan, Allah boleh hina mereka semasa mereka di dunia lagi.

Maulana Hadi Zukhruf 15-25


 

Ayat 26: Ini adalah Dalil Naqli Tafsili (apabila disebut nama Rasul). Sekarang kita masuk kepada Kisah Nabi Ibrahim a.s kerana nak ajar bagaimanakah akidah para Nabi. Tentang bagaimana Nabi Ibrahim menghadapi kaumnya yang hanya ikut sahaja apa yang diamalkan oleh tok nenek mereka. Kisah ini mula diberikan kepada Musyrikin Mekah. Ini adalah kisah sebenar Nabi Ibrahim a.s. Musyrikin Mekah perasan mereka ikut ajaran agama Nabi Ibrahim. Macam orang kita juga yang ramai perasan mereka dah ikut ajaran Nabi Muhammad, tapi tidak sebenarnya. Musyrikin Mekah tidak ikut pun ajaran Nabi Ibrahim padahal mereka sudah keturunan Nabi Ibrahim. Tidak boleh sangka baik dalam perkara ini. Walaupun mereka keturunan Nabi, tapi kalau salah tetap salah. Tidak kira keturunan sesiapa pun.

Kita kena lihat benar-benar Nabi Ibrahim ini dan ambil pengajaran darinya. Kisah ini adalah tentang akidah. Kerana pertembungan antara Nabi Muhammad dan Penduduk Mekah adalah tentang akidah.

وَإِذ قالَ إِبراهيمُ لِأَبيهِ وَقَومِهِ إِنَّني بَراءٌ مِمّا تَعبُدونَ

Sahih International

And [mention, O Muhammad], when Abraham said to his father and his people, “Indeed, I am disassociated from that which you worship

Malay

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sembah –

 

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ لِأَبِيهِ وَقَوْمِهِ

Dan (ingatkanlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya:

Nabi Ibrahim berkata dalam ayat ini kepada bapa dan kaumnya selepas baginda dibakar. Kerana selepas baginda dinaikkan menjadi Nabi, baginda telah berdakwah kepada kaumnya. Begitu juga dengan kita – apabila telah mendapat hidayah, kita kena sebarkan kepada orang lain. Jangan simpan sahaja. Apabila baginda berdakwah kepada kaumnya, baginda telah ditangkap dan telah dimasukkan ke dalam api. Kisah itu ada disebut dalam surah yang lain.

Apakah kata baginda kepada mereka?

 

إِنَّنِي بَرَاءٌ مِّمَّا تَعْبُدُونَ

“Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sembah –

Ini ada persamaan dengan kalimah syahadah la ilaaha illa Allah – iaitu menolak fahaman yang salah. Iman kena dimulakan dengan menolak fahaman yang salah.

بَرَاءٌ bermaksud kita isytihar yang kita tidak ada kena mengena dengan perkara yang kita tidak suka. Kita jauhkan diri kita sebab kita tidak setuju. Inilah yang dinamakan konsep wala’ wal bara’ – Cinta dan Benci. Iaitu kita tunjuk kita cinta kepada sesuatu yang baik dan benci kepada sesuatu yang tidak baik. Tidaklah kita tengok sahaja. Kalau ada orang yang buat amalan bidaah seperti Solat Hajat, jangan kita ikut mereka pula. Kita kena tunjuk kita tidak suka.

Yang Nabi Ibrahim berlepas diri itu adalah kerana mereka menggunakan perantaraan dalam berdoa. Inilah penyebab kesesatan kepada manusia. Mereka mengaku bahawa Allah adalah Tuhan tapi mereka menggunakan perantaraan dalam doa. Itulah yang dinamakan Tawasul. Walaupun dalam masa yang sama, mereka percaya ada Tuhan yang Satu yang menjadikan alam ini. Semua agama yang kufur ada perantaraan dalam doa mereka. Termasuk Syiah yang memuja Ahlul Bayt untuk menyampaikan doa mereka kepada Allah.

Bayangkan bapanya dan kaumnya semua sekali mengamalkan syirik. Tapi baginda tidak ikut mereka walaupun baginda berseorangan sahaja. Bayangkan bagaimana baginda menolak ayah baginda dan kaumnya yang dia hidup dengan mereka dari kecil. Dalam ayat sebelum ini, disebut tentang mereka-mereka yang mengikut sahaja amalan orang lain. Memang jadi satu masalah apabila orangramai dalam kalangan masyarakat kita buat perkara yang salah, tapi kita nak buat perkara yang benar. Kita nak larang sudah jadi satu masalah sebab ramai sangat nak buat. Kita nak lawan pun, kita seorang sahaja. Maka, dalam keadaan begitu, kita disuruh mengikut sunnah Nabi Ibrahim yang menggunakan akalnya untuk menilai manakah yang benar. Memanglah paling senang adalah kita ikut sahaja apa yang diamalkan oleh masyarakat yang ramai; tapi tak boleh begitu. Kita tidak boleh ikut mereka kalau mereka melakukan perkara yang salah. Kalau kita tidak boleh halang dan lawan mereka, sekurangnya kita kena isytihar yang kita tidak ikut cara mereka.

Ayat ini mengajar kita untuk berlepas diri dari mereka yang berbuat syirik. Kita kena beritahu mereka yang kita tidak setuju dengan mereka. Dan kita kena tinggalkan mereka. Jangan kita duduk-duduk dalam majlis mereka. Jangan kita kena mengena dengan majlis mereka. Kerana kalau kita masih lagi bersama dengan mereka, ditakuti kita akan terikut-ikut dengan mereka. Kalau masyarakat buat Majlis Tahlil, jangan ikut serta, walaupun untuk makan sahaja.

Kenapa kita disuruh untuk ikut sunnah Nabi Ibrahim ini dengan isytihar yang kita tidak suka dengan apa yang mereka lakukan? Kerana kalau kita tidak cakap, senyap sahaja, boleh dikira yang kita bersetuju dengan mereka. Macam kita sebahagian dari mereka pula. Oleh itu, kita kena pisahkan diri kita dari mereka. Dan untuk memisahkan diri kita dari mereka, kita kena isytiharkan. Tentunya ini memerlukan kekuatan iman. Kita tahu, bukan senang nak cakap perkara yang benar yang berlawanan dengan apa yang diamalkan oleh masyarakat. Tapi itulah agama – kena ada pengorbanan dan keberanian. Beranilah kerana benar.

Kita kena beritahu mana yang salah. Jangan kita senyap sahaja. Kalau kita senyap, macam kita setuju dengan kesalahan yang dilakukan oleh manusia.

Nabi Muhammad juga telah isytiharkan perkara yang sama. Sebelum baginda berpindah ke Madinah, baginda telah isytihar yang baginda berlepas diri dari Musyrikin Mekah. Tapi, bilakah baginda kata begitu? Selepas baginda berdakwah kepada mereka bertahun-tahun lamanya. Maknanya, kena dakwah dulu. Begitu jugalah yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim. Bukan terus cakap kita tak setuju dengan mereka. Hanya selepas mereka tolak ajakan dakwah kita berkali-kali, barulah kita isytihar sebegitu.


 

Ayat 27: Apakah akidah Nabi Ibrahim?

إِلَّا الَّذي فَطَرَني فَإِنَّهُ سَيَهدينِ

Sahih International

Except for He who created me; and indeed, He guide me.”

Malay

“Yang lain dari Tuhan yang menciptakan daku, kerana sesungguhnya Ia tetap memberi hidayah petunjuk kepadaku”.

 

إِلَّا الَّذِي فَطَرَنِي

“MelainkanTuhan yang menciptakan daku,

Ini sama dengan illa Allah dalam syahadah kita. Selepas tolak akidah yang salah, maka kena ithbat (tetapkan) dengan akidah yang benar.

Maknanya Nabi Ibrahim tidak akan menyembah melainkan Tuhan Allah sahaja. Maknanya kaum Nabi Ibrahim itu ada juga menyembah Allah. Tapi dalam masa yang sama, mereka sembah juga benda lain. Itulah sebabnya dalam ayat ini, ada perkataan إِلَّا – melainkan. Iaitu Nabi Ibrahim tolak semua sembahan mereka, kecuali Allah. Ini sama macam syahadah kita – kita tolak ilah yang lain, kecuali Allah sahaja.

Maknanya, kaum Nabi Ibrahim macam Musyrikin Mekah juga – mereka sembah Allah juga, tapi dalam masa yang sama, mereka sembah entiti yang lain. Macam kaum musyrikin kita juga, kenal Allah, kenal Nabi Muhammad, tapi masih buat syirik juga. Mereka solat dan puasa, mengucap dua kalimah syahadah, tapi masih lagi buat perkara khurafat, syirik dan bidaah. Kerana mereka tidak tahu apakah tauhid, apakah syirik dan apakah bidaah. Kenapa? Kerana tak belajar.

Dalam ayat ini diberikan dalil dan hujah kenapa Nabi Ibrahim hanya sembah Allah sahaja. Kerana Allah lah yang menjadikan baginda dan seluruh alam. Allah sahaja yang menciptakan alam ini; adakah lagi entiti lain yang boleh cipta alam ini?

 

فَإِنَّهُ سَيَهْدِينِ

sesungguhnya Ia memberi petunjuk kepadaku”.

Huruf س dalam lafaz سَيَهْدِينِ bukanlah bermaksud ‘akan’ seperti yang selalu kita faham. Tapi ini adalah س tahkik – penguat.

Nabi Ibrahim yakin yang Allah akan memberi hidayah kepada baginda selepas itu. Hidayah yang dimaksudkan adalah dua jenis: petunjuk dalam bentuk agama dan petunjuk dalam kehidupan. Kerana selepas Nabi Ibrahim mengatakan yang baginda berlepas diri dari bapa dan kaumnya itu, tentulah baginda tidak boleh lagi tinggal di situ. Baginda pun dah kena tangkap dan kena bakar dalam api yang benar dah. Takkan baginda akan selamat lagi kalau duduk dengan mereka maka baginda perlu meninggalkan mereka. Baginda berharap kepada Allah untuk memberi petunjuk kepada baginda kepada tempat yang baginda perlu pergi selepas itu. Kenapa baginda perlu meninggalkan mereka? Kerana kalau baginda tinggal lagi di situ, baginda dan anak-anak baginda akan ada masalah dengan tauhid. Mereka akan susah untuk hidup dalam iman untuk mengamalkan tauhid. Oleh itu, kadang-kadang kita kena tinggalkan tempat tinggal kita kalau ianya akan memberi mudharat kepada iman kita.

Lihatlah keyakinan Nabi Ibrahim kepada Allah. Lihatlah pengharapan baginda kepada Allah. Kita pun kena berharap begitu juga. Kita serahkan diri kita kepada Allah. Itulah yang dinamakan ‘tawakal’.


 

Ayat 28: Allah puji Nabi Ibrahim, supaya kita tahu yang apa yang dilakukannya itu adalah benar dan sepatutnya menjadi ikutan kita.

وَجَعَلَها كَلِمَةً باقِيَةً في عَقِبِهِ لَعَلَّهُم يَرجِعونَ

Sahih International

And he made it a word remaining among his descendants that they might return [to it].

Malay

Dan Nabi Ibrahim menjadikan kalimah tauhid itu tetap kekal pada keturunannya, supaya mereka kembali

 

وَجَعَلَهَا كَلِمَةً بَاقِيَةً فِي عَقِبِهِ

Dan Nabi Ibrahim menjadikan kalimah tauhid itu tetap kekal pada keturunannya,

Baginda pastikan untuk sampai kalimah itu kepada keturunan baginda melalui wasiat.

Kalimah yang mana?: itulah kalimah La ilaaha illallah. Nabi Ibrahim telah menyampaikan ajaran tauhid dan Kalimah Tauhid itu kepada keturunannya. Jadi, walaupun baginda telah tiada, Nabi Ibrahim terkenal sebagai bapa kepada Nabi-Nabi.

Ini telah disebut dalam Baqarah:132

وَوَصَّىٰ بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”.

Nabi Ibrahim telah mengajar tauhid kepada anaknya sebelum baginda mati, dan anaknya juga mengajar anaknya. Sepanjang hidup baginda, baginda mengajar tauhid kepada anak-anaknya, dan semasa nak mati pun baginda ajar perkara yang sama. Baginda juga berdoa supaya mereka tetap dalam tauhid. Seperti yang disebut dalam Ibrahim:40

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Ini mengajar kita supaya mengikut sunnah Nabi Ibrahim ini dengan mengajar tauhid kepada anak-anak kita. Kena sampaikan wasiat kepada mereka tentang agama. Jangan kita beri pengajaran agama kepada orang lain sahaja. Kita sendiri kena ajar anak cucu kita. Ada yang ajar dan beritahu kepada orang lain, tapi keluarga sendiri, mereka tak ajar. Sanggupkah kita tengok anak-anak kita hidup dalam kesesatan? Dan kadang-kadang usaha yang kita lakukan untuk menjaga iman kita adalah kita kena tinggalkan masyarakat kita yang telah teruk dalam tauhid. Supaya iman anak-anak dan keluarga kita terjaga. Kita disuruh ikut sunnah Nabi Ibrahim dalam Mumtahinah:4

قَدْ كَانَتْ لَكُمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ فِي إِبْرَاهِيمَ

Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya – contoh ikutan yang baik.

Oleh itu, kita kena belajar tentang apakah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim supaya kita boleh ikut sunnah baginda. Nabi Ibrahim berusaha untuk menjaga iman dan dalam masa yang sama, baginda banyak berdoa kepada Allah. Maka, selalulah kita berdoa kepada Allah supaya memberi iman kepada kita dan anak-anak kita.

Dan ingatlah bahawa doa sahaja tidak cukup, kita kena juga berusaha mendidik anak-anak kita. Luangkan masa untuk mengajar agama kepada mereka. Kalau kita hendak anak kita menghafal Quran contohnya, kita kena paksa mereka dari kecil lagi untuk sayang kepada Quran. Kita kena jadikan Quran itu menarik kepada mereka. Dari kecil lagi kita ajar mereka baca Quran. Janganlah ajar mereka menyanyi pula – tapi ajarlah mereka Quran.

Secara ringkasnya, Allah telah jadikan perjuangan tauhid berkekalan kepada zuriat baginda. Anak cucu Nabi Ibrahim berada di atas akidah tauhid belaka. Ini janji Allah,  maka kalau kita hendak anak cucu kita pun dalam tauhid, kita kena sebar tauhid.

 

لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

supaya mereka kembali

Iaitu kembali kepada menyembah Allah sahaja. Supaya walaupun mereka dikelilingi oleh kesyirikan yang dilakukan manusia, mereka tetap mengamalkan tauhid. Macam juga kita sekarang, kalau dilihat di luar sana, macam-macam kesesatan dan kesyirikin yang dilakukan oleh mereka yang kafir dan juga orang Islam sendiri. Tapi kita kena kuatkan semangat kita untuk tidak mensyirikkan Allah. Kita jangan terkesan dengan apa yang dilakukan oleh masyarakat.

Yang paling penting sekali adalah iman kita. Kita kena berusaha untuk menjaga iman kita dan anak-anak kita. Kita kena berhati-hati dalam menjaga anak-anak kita. Jangan kita hanya beri ilmu akademik sahaja kepada mereka. Kita kena juga menyuntik ilmu agama kepada mereka. Dan untuk mengajar mereka, kita sendiri kena tahu ilmu agama. Kalau kita sendiri pun tidak tahu, bagaimana?

Kenapakah kisah Nabi Ibrahim disebut dalam Quran? Kerana Musyrikin Mekah mengaku yang mereka adalah keturunan Nabi Ibrahim dan mereka mengaku mengamalkan ajaran tinggalan baginda. Jadi Allah ingatkan kepada mereka apakah akidah Nabi Ibrahim. Lihatlah apakah yang terjadi kepada Musyrikin Mekah. Asalnya Nabi Ibrahim telah meninggalkan ajaran tauhid kepada mereka, tapi semasa Nabi Muhammad dibangkitkan, terdapat sampai 360 berhala di Kaabah itu. Itu bukanlah salah Nabi Ibrahim kerana baginda telah mengajar tauhid kepada keturunan baginda. Tapi yang mereka lakukan itu adalah kerana hawa nafsu mereka sendiri.


 

Ayat 29: Apakah sebab kekufuran manusia berterusan? Persoalan yang timbul adalah kenapa Musyrikin Mekah tidak menerima akidah seperti Nabi Ibrahim? Allah jawap dalam ayat ini. Masalah yang sama juga dihadapi dengan kebanyakan manusia. Iaitu, bila mereka hidup senang, mereka senang lupa agama. Kerana mereka rasa bila hidup mereka senang atas dunia, Allah dah redha kepada mereka dan mereka tidak perlu memperbaiki diri mereka lagi. Orang kafir tidak mahu masuk Islam pun kerana tengok orang Islam susah ramai yang susah hidup mereka dan mereka tidak mahu susah kerana mereka mahu hidup senang sahaja.

Oleh itu, tidak terjadi apa yang Nabi Ibrahim harapkan kepada keturunan baginda kerana Musyrikin Mekah meninggalkan ajaran Nabi Ibrahim itu. Mereka buat juga syirik dan juah dari agama. Tapi adakah Allah jadikan mereka mati sampai tidak ada baka? Allah tidak buat begitu kepada keturunan Nabi Ibrahim a.s. Bahkan Allah beri nikmat kepada mereka.

بَل مَتَّعتُ هٰؤُلاءِ وَآباءَهُم حَتّىٰ جاءَهُمُ الحَقُّ وَرَسولٌ مُبينٌ

Sahih International

However, I gave enjoyment to these [people of Makkah] and their fathers until there came to them the truth and a clear Messenger.

Malay

(Kebanyakan mereka tidak kembali kepada tauhid, dan Aku pula tidak segerakan azab mereka) bahkan Aku memberikan mereka dan datuk nenek mereka menikmati kesenangan hidup, sehingga datanglah kepada mereka kebenaran (Al-Quran), dan seorang Rasul yang menerangkan tauhid.

 

بَلْ مَتَّعْتُ هَٰؤُلَاءِ وَآبَاءَهُمْ

Bahkan Aku telah memberikan kesenangan hidup kepada mereka dan datuk nenek mereka

Inilah sebab mereka tetap kufur dan jadi musyrik. Kerana mereka dapat kesenangan dan apa yang mereka mahu. Mereka diberikan dengan kesenangan hidup dalam dunia. Mereka tidak terus dihukum walaupun mereka melakukan syirik.

Mereka terpedaya sebab kesenangan dunia kerana Allah tetap beri mereka kesenangan sekali pun akidah mereka akidah syirik. Dan kerana itu mereka tidak berfikir nak cari kebenaran kerana hidup mereka dah senang. Begitulah mereka yang selesa dalam hidup tidak terfikir nak belajar agama.

Begitulah juga yang terjadi kepada masyarakat kita yang mengamalkan bidaah dalam agama. Mereka mendapat kesenangan dengan menjual agama. Sebagai contoh, ada yang ambil upah untuk mandikan kereta dengan doa-doa tertentu supaya kereta itu kononnya dapat berkat dan jauh dari sial. Itulah yang diajar oleh guru-guru yang salah termasuklah yang diajar oleh Ustaz Azhar Idrus. Beliau telah menasihatkan mereka yang baru beli kereta untuk beri ustaz atau tok imam pakai dulu kereta itu supaya kereta itu selamat. Itu adalah satu pengambilan berkat yang salah. Tidak ada berkat pada ustaz atau imam, atau siak masjid yang membolehkan kereta itu selamat dari terkena bala dan musibah. Itu bukanlah cara yang pernah diajar Nabi untuk menjaga keselamatan.

Ada juga yang mendapat upah dengan berbomoh. Mereka menggunakan ayat-ayat Quran untuk mengubat orang dan menghalau jin. Mereka mengenakan bayaran yang tinggi. Maka, berleluasalah perniagaan ini sampaikan penuhlah pusat-pusat perubatan mereka. Ini termasuklah Darul Syifa’ yang terkenal itu. Mereka dikatakan boleh ‘scan’ berapa jin dalam tubuh seseorang itu dan mereka boleh halau atau letak dalam botol jin-jin itu. Padahal, kebolehan scan jin tidak ada pada Nabi Muhammad sendiri. Maka, bila mereka kata mereka boleh scan jin, halau jin, masukkan jin dalam botol, mereka nak kata bahawa mereka lebih hebat dari Rasulullah. Memang mereka tidak kata begitu, tapi begitulah hakikatnya. Padahal, mereka mengamalkan amalan yang salah terang terangan. Antaranya, mereka amalkan selawat Syifa’ yang ada unsur kesyirikan di dalamnya. Kalau setiap hari beramal dengan amalan yang syirik, apa lagi jadi dengan mereka?

Dan mereka ramai yang tertipu kerana apa yang dilakukan oleh pengamal-pengamal amalan sesat itu seumpama menjadi – kalau dulu macam kena rasuk, sekarang dah jadi baik dah. Kalau dulu sakit, sekarang dah lega dah. Itu semua bukanlah dalil yang mengatakan amalan mereka benar. Tidak sama sekali. Ini telah disentuh dalam Surah Fussilat.

Ada juga yang mendapat kelebihan dengan mengamalkan lmu keramat. Dengan ilmu keramat itu, mereka boleh dapat macam-macam, boleh jadi kebal, boleh jadi kuat, pandai bersilat dan sebagainya. Maka, mereka dipandang tinggi oleh orangramai. Mereka ada ramai anak murid yang hendak jadi macam mereka juga. Mereka dapat ilmu keramat itu pula dengan mengamalkan ajaran-ajaran yang salah, yang mereka sangka benar. Mereka sangka benar itu adalah kerana ianya telah lama diamalkan oleh orang-orang terdahulu.

Ada yang dapat kekayaan dengan mengajar agama. Mereka mengenakan upah yang tinggi untuk mengajar, padahal kita tidak boleh meminta upah dalam mengajar. Mengajar agama sepatutnya percuma. Tapi, kebanyakan dari guru-guru agama dalam negara ini sekarang telah mengenakan bayaran yang tinggi. Sampaikan ada yang boleh buat profit-sharing dengan masjid tempat diadakan kelas pengajian. Maka, kerana hendak pendatang yang ramai, mereka telah berjenaka dalam kuliah mereka. Sampai keras perut mereka yang datang. Mereka pun terhibur. Daripada tengok ‘Mahajara Lawak’, lebih baik tengok kuliah agama, kata mereka. Padahal, tidak boleh berjenaka di dalam kelas pengajian. Kerana apa yang diajar adalah hal agama dan hal agama adalah perkara serius. Mereka akan jawap yang tujuan mereka berjenaka itu adalah supaya ramai datang ke kelas pengajian dan ia adalah salah satu cara untuk menarik orang muda untuk datang ke kelas agama. Tapi, ketahuilah, apabila jenaka digunakan dan orang datang kerana jenaka, mereka tidak mendapat pengajaran dari kelas itu. Kalau ditanya mereka apakah yang mereka pelajari dari kelas jenaka itu, mereka pun tidak tahu. Yang mereka ingat hanyalah lawak jenaka itu.

Ada juga yang ambil upah dalam amal ibadat – jadi imam Solat Hajat, jadi tekong Majlis Tahlil, Doa Selamat, jadi pembaca talqin, jadi imam dan makmum Solat Jenazah dan macam-macam lagi. Ketahuilah bahawa tidak boleh mengambil upah dalam amal ibadat. Jikalau ambil upah juga, maka amal ibadat itu terbatal.

Jadi, apabila mereka mendapat imbuhan dengan mengamalkan ajaran yang salah, mereka tetap berada dalam kesesatan. Mereka tidak mahu meninggalkan apa yang sedang mereka lakukan, kerana ianya memberi keuntungan kepada mereka.

Secara ringkasnya, mereka sesat kerana:

  1. Mereka dapat apa yang mereka hajatkan di dunia ini walaupun tidak amalkan agama
  2. Keadaan dunia mereka tidak tergugat pun walaupun mereka tidak mengendahkan tentang agama. Kehidupan mereka tetap senang lenang.
  3. Mereka anggap kesenangan yang mereka miliki itu kerana mereka Allah redha kepada mereka. Mereka sangka kalau Allah redha kepada mereka semasa mereka di dunia, maka Allah tentu redha kepada mereka di akhirat nanti.

 

حَتَّىٰ جَاءَهُمُ الْحَقُّ

sehingga datanglah kepada mereka kebenaran

Kesesatan yang diamalkan mereka itu hanya dapat dihapuskan dengan ‘kebenaran’. Yang dimaksudkan dengan kebenaran itu adalah Al-Quran. Apabila Quran diturunkan kepada Musyrikin Mekah, barulah mereka tahu tentang agama dan tentang kebenaran. Ianya mengeluarkan mereka dari kegelapan syirik kepada cahaya keimanan. Ada antara mereka yang menerima kebenaran wahyu itu dan mereka mengamalkan tauhid dan menyebarkan tauhid itu ke seluruh dunia.

Begitu jugalah pada zaman sekarang, kesesatan hanya dapat dihapuskan dengan Quran. Kalau kita belajar apakah maksud Quran, iaitu dengan belajar Tafsir Quran, barulah kita dapat menyelamatkan diri kita. Kalau tidak belajar tafsir Quran, ramailah dari kalangan manusia yang tidak tahu agama dan terus berada dalam kesesatan. Berapa ramai yang telah belajar Tafsir Quran bersama kami yang baru tahu apakah maksud tauhid, apakah maksud syirik dan lain-lain lagi. Mereka mengaku yang selama ini mereka duduk dalam kesesatan. Mereka sangka mereka telah benar, telah selamat, tapi setelah belajar, barulah mereka tahu apakah kebenaran itu.

 

وَرَسُولٌ مُّبِينٌ

dan seorang Rasul yang jelas nyata

Allah telah memakbulkan doa Nabi Ibrahim dalam Baqarah:129 untuk membangkitkan Rasul dari kalangan keturunannya yang akan membacakan ayat-ayat Allah.

رَبَّنَا وَابْعَثْ فِيهِمْ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْ إِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

“Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

Yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad SAW. Bagaimanakah Nabi Muhammad dikatakan sebagai مُّبِينٌ? Iaitu jelas nyata kerasulan baginda, tanpa syak lagi. Dan baginda menjelaskan agama Islam dengan menggunakan Quran yang juga jelas nyata.

Zaman sekarang, selain dari belajar Tafsir Quran, kita kena belajar Sunnah Nabi. Kerana Nabi sudah tidak ada dalam kalangan kita. Apa yang ditinggalkan kepada kita adalah Kitab-kitab hadis yang telah disusun oleh ulama-ulama hadis. Tapi, kita kenalah pastikan yang hadis yang kita gunakan sebagai pegangan kita adalah hadis-hadis yang sahih. Malang sekali apabila ramai dari kalangan masyarakat kita yang belajar agama, tapi mereka tidak belajar hadis yang sahih. Maka, mereka tetap berada dalam kesesatan. Yang selalu beredar dalam kalangan kita adalah hadis-hadis yang palsu ataupun lemah. Maka, mereka menggunakan hadis yang tidak benar. Mereka sangka mereka benar kerana pakai hadis, tapi apabila tidak belajar, hanya baca sendiri sahaja, mereka telah melakukan kesalahan dalam agama. Itulah bahayanya kalau tidak belajar.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 043: Zukhruf. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s