Tafsir Surah Zukhruf Ayat 17 – 22 (Orang dahulu dah lama amal)

Ayat 17: Mereka kata Allah ada anak perempuan. Bagaimana pula kalau mereka yang dapat anak perempuan?

وَإِذا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِما ضَرَبَ لِلرَّحمٰنِ مَثَلًا ظَلَّ وَجهُهُ مُسوَدًّا وَهُوَ كَظيمٌ

Sahih International

And when one of them is given good tidings of that which he attributes to the Most Merciful in comparison, his face becomes dark, and he suppresses grief.

Malay

Padahal apabila diberitahu kepada salah seorang dari mereka dengan (berita bahawa ia beroleh anak perempuan seperti) yang dijadikannya sekutu yang sejenis dengan Allah Yang Maha Pemurah, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati.

 

وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِمَا ضَرَبَ لِلرَّحْمَٰنِ مَثَلًا

apabila diberikan dengan berita gembira kepada salah seorang dari mereka dengan yang dijadikan mereka sebagai misal kepada Allah Yang Maha Pemurah,

Iaitu kalau salah seorang dari Musyrikin Mekah, diberikan dengan berita yang mereka mendapat anak perempuan. بُشِّرَ bermaksud ‘diberikan dengan berita gembira’. Ia juga boleh digunakan sebagai kata-kata perli. Macam kalau Allah kata: “berikan mereka dengan berita gembira akan dimasukkan ke neraka”. Tentulah masuk neraka bukanlah berita gembira. Dan Allah tahu yang mereka tidak suka mendapat anak perempuan, maka ‘berita gembira’ yang dimaksudkan adalah sebagai satu perli sahaja. Perli itu begini: Kamu berikan anak perempuan kepada Allah, nah sekarang kamu pun dapat anak perempuan. Tahniah! Kamu dapat sama macam yang Tuhan ada!

Yang mereka telah jadikan ‘misal’ kepada Allah: Iaitu yang mereka kaitkan dengan Allah. Yang dimaksudkan adalah ‘anak perempuan’. Tidak disebut ‘anak perempuan’ dalam ayat ini. Quran menggunakan bahasa isyarat yang merujuk kepada ayat-ayat sebelummya. Kerana sebelum ayat ini adalah ayat tentang mereka memberikan ‘bahagian-bahagian’ kepada Allah. Mereka kata Allah mengambil anak perempuan.

Jadi, ayat ini bermaksud: apabila mereka diberitahu yang mereka mendapat anak perempuan. Apa yang terjadi apabila mereka diberikan dengan berita itu?

 

ظَلَّ وَجْهُهُ مُسْوَدًّا

berterusanlah mukanya gelap

ظَلَّ bermaksud ‘berterusan’. Sampai gelap dan keruh muka mereka apabila mendapat berita yang mereka mendapat anak perempuan. Itu adalah tanda mereka sedih sangat. Bukan sahaja mereka sedih, tapi mereka juga marah dan malu. Dan macam-macam perasaan lagi dalam hati mereka.

 

وَهُوَ كَظِيمٌ

sedang ia menahan perasaan dalam hati.

Mereka menahan kemarahan dan kesedihan mereka supaya orang tidak perasan yang mereka tidak suka dengan anak perempuan itu. Mereka tak mahu orang tahu kerana itu akan menambahkan lagi malu mereka.

Lihatlah bagaimana marah dan tidak sukanya mereka apabila diberi berita yang mereka mendapat anak perempuan. Kerana mereka memang tidak mahu anak perempuan. Sampaikan ada yang, apabila isteri mereka mengandung, mereka akan bawa isterinya itu ke kawasan pendalaman supaya jauh dari manusia lain. Kalau isterinya melahirkan anak perempuan, terus dimasukkan ke dalam lubang yang telah siap digali. Dan kalau anak lelaki, barulah dibawa balik dan ditunjukkan kepada kaumnya yang lain.

Ada yang sampai tidak balik ke rumah jika mereka mendapat berita yang isteri mereka telah melahirkan anak perempuan. Mereka akan menyorok daripada khalayak ramai kerana malu. Ini ada disebut di dalam ayat Nahl:57-59

 

وَيَجْعَلُونَ لِلَّهِ الْبَنَاتِ سُبْحَانَهُ وَلَهُم مَّا يَشْتَهُونَ

Dan mereka mengatakan Allah mempunyai anak-anak perempuan. Maha Suci Ia. Sedang bagi mereka pula mereka sediakan apa yang mereka sukai (anak-anak lelaki).

وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِالْأُنثَىٰ ظَلَّ وَجْهُهُ مُسْوَدًّا وَهُوَ كَظِيمٌ

Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati.

يَتَوَارَىٰ مِنَ الْقَوْمِ مِن سُوءِ مَا بُشِّرَ بِهِ أَيُمْسِكُهُ عَلَىٰ هُونٍ أَمْ يَدُسُّهُ فِي التُّرَابِ أَلَا سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ

Ia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan; sambil ia berfikir): adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.

Dalam hal ini, Syiah telah memfitnah Saidina Umar dengan mengatakan yang Umar telah menanam anak perempuannya hidup-hidup. Cerita ini tersebar dalam masyarakat kita dan semua orang seperti menerima bahawa ianya adalah benar. Itu adalah fitnah kepada Saidina Umar kerana tidak ada dalil yang sahih yang mengatakan beliau ada membunuh anak perempuannya. Ketahuilah yang beliau dari bangsa Quraish dan bangsa Quraish tidak membunuh anak perempuan mereka. Hanya puak tertentu dari bangsa Arab sahaja yang melakukannya, bukan semua. Kalaulah Umar membunuh anak perempuannya, bagaimana pula ada Habsah yang berkahwin dengan Nabi Muhammad? Kenapa tidak dibunuh juga? Jadi, berhentilah kita mengatakan yang Umar membunuh anaknya. Kerana beliau sudah mati dan kalau kita fitnah dia, bagaimana kita hendak meminta maaf? Janganlah tertipu dengan diayah yang dibawa oleh Syiah yang telah lama masuk dalam masyarakat kita. Janganlah berterusan dalam kejahilan. Memang sejarah yang kita ada kena dibersihkan kerana banyak yang salah, dan ini adalah salah satu darinya.

Tidak suka mendapat anak perempuan itu bukan sahaja terjadi kepada Musyrikin Mekah, tapi kepada orang pada zaman sekarang juga. Ada yang tidak suka kalau mereka mendapat anak perempuan. Mereka rasa anak perempuan itu tidak menguntungkan. Dalam hati mereka, mereka mahukan anak lelaki. Tapi sebenarnya anak perempuan lebih mulia dari anak lelaki. Lihatlah dalam ayat Syura:49.

لِّلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ

Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya; Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Allah sebut ‘anak perempuan’ dahulu sebelum sebut ‘anak lelaki’. Dari susunan itu, kita dapat isyarat bahawa Allah mendahulukan dan memuliakan anak perempuan. Kerana kita faham bahawa susunan ayat-ayat Quran bukanlah tidak sengaja tapi membawa isyarat tertentu. Ada hadis dari Nabi yang menyebut kelebihan mereka yang menjaga anak perempuan.

“Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan,lalu dia bersabar dengan kerenah,kesusahan dan kesenangan mereka,nescaya Allah s.w.t akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-NYA untuk mereka.” Seorang lelaki bertanya: “Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?” Sabda baginda: “Juga untuk dua anak perempuan.” Seorang lelaki berkata, “atau untuk seorang wahai Rasulullah?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Juga untuk seorang.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

“Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan,lalu dia berbuat baik kepada mereka,melainkan Allah Taala akan memasukkan mereka ke syurga.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Daripada Aisyah r.a.,dari Rasulullah s.a.w baginda telah bersabda yang maksudnya:

“Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik,nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

Maka, beruntunglah mereka yang diberikan kurnia anak perempuan oleh Allah!


 

Ayat 18: Allah membuka apakah yang dalam hati mereka yang tidak suka dengan anak perempuan.

أَوَمَن يُنَشَّأُ فِي الحِليَةِ وَهُوَ فِي الخِصامِ غَيرُ مُبينٍ

Sahih International

So is one brought up in ornaments while being during conflict unevident [attributed to Allah ]?

Malay

Patutkah (yang dikatakan anak Allah itu jenis perempuan) yang biasanya dididik dan dibesarkan dalam perhiasan, sedang ia semasa berbantah dan bertikam lidah tidak dapat memberikan alasan yang jelas?

 

أَوَمَن يُنَشَّأُ فِي الْحِلْيَةِ

Patutkah yang dibesarkan dalam perhiasan,

Ayat ini menceritakan tentang anak perempuan. Mereka itu biasa diberikan dengan barang perhiasan dari kecil lagi, dari bayi lagi. Bayangkan, selalunya anak perempuan yang belum berjalan pun dah dipakaikan dengan loket dan gelang. Bandingkan dengan anak-anak lelaki zaman itu: mereka bergaul dengan unta, dengan binatang ternak, dengan pedang dan lain-lain lagi yang sesuai dengan anak lelaki. Dan memang masyarakat Arab waktu itu mementingkan kekuatan badan dan kebolehan berperang. Kalau anak-anak lelaki zaman sekarang, mereka main dengan kereta mainan, dengan pistol mainan dan lain-lain lagi yang menunjukkan sifat kelelakian mereka.

Bukanlah kita hendak mengatakan ini salah, cuma hendak memberitahu kebiasaan yang dilakukan oleh ibubapa kepada anak perempuan mereka dan apa yang dilakukan dalam kehidupan mereka. Hendak menceritakan sifat perempuan itu bagaimana – mereka adalah makhluk yang lemah yang perlu dilindungi oleh mereka yang kuat. Allah telah jadikan mereka memang begitu.

Allah bertanya kepada musyrikin Mekah: Inikah yang kamu kaitkan dengan Aku? Kamu kaitkan Aku dengan makhluk yang lemah? Kamu nak kata yang malaikat-malaikat itu lemah macam perempuan?

 

وَهُوَ فِي الْخِصَامِ غَيْرُ مُبِينٍ

dan sedang ia semasa berdebat tidak jelas?

Iaitu dalam berdebat untuk mendapatkan hak mereka dalam masyarakat. الْخِصَامِ adalah jenis perdebatan untuk mempertahankan diri. Memang begitu pun keadaan perempuan. Mereka tidak pandai berdebat dan kalau mereka berkata, tidaklah jelas macam lelaki. Mereka lebih kepada ikut perasaan. Keadaan di waktu itu pun mementingkan kekuatan badan dan kata-kata untuk mempertahankan diri. Begitu juga zaman sekarang.

Orang perempuan selalunya tidak pandai berdebat. Mereka susah untuk menegakkan hak mereka. Mereka banyak bergantung kepada orang lelaki yang menjadi wali mereka. Mereka juga tidak pandai menggunakan kekerasan dan senjata. Dan mereka juga selalunya tidak terlibat dalam peperangan kerana tubuh badan mereka yang lemah. Mereka selalunya hanya akan menggunakan senjata mereka yang paling ampuh: Tangisan

Allah tanya balik kepada musyrikin Mekah, adakah mereka seperti ini yang kamu kaitkan dengan Dia? Lihatlah betapa lemahnya orang-orang perempuan itu. Adakah patut mereka yang lemah di dalam masyarakat itu dikaitkan dengan Allah? Tentulah tidak patut. Mereka sendiri pun tidak suka kalau mendapat anak perempuan.

Jadi ini adalah satu tafsir kepada ini. Allah menyebut sifat-sifat yang ada pada perempuan itu.

Tafsir kedua kepada ayat ini: Ianya adalah kata-kata mereka yang telah diberikan dengan anak perempuan. Mereka menangisi nasib malang yang telah diberikan kepada mereka. Pada mereka, mereka telah diberikan dengan anak yang hanya hidup di dalam perhiasan. Mereka kena menghabiskan harta mereka untuk menjaga anak anak perempuan mereka itu. Dan apabila anak-anak perempuan itu dewasa, mereka begitu lemah sampaikan untuk mempertahankan diri mereka sendiri pun tidak boleh. Maknanya anak-anak perempuan itu langsung tidak dapat membantu ibu bapa mereka, lebih-lebih lagi kalau ada pertelingkahan. Apabila anak itu sudah dewasa dan boleh berkahwin, mereka akan terus mengikut suami mereka. Bukannya berkhidmat untuk ibubapa yang telah membesarkan mereka.

Itulah rungutan mereka yang tidak suka bila mereka diberikan dengan perempuan. Ini adalah tafsiran kedua dan dua-dua boleh dipakai.

kecil-kecil lagi sudah pakai barang kemas


 

Ayat 19: Allah beri dalil menolak kata-kata Musyrikin Mekah itu.

وَجَعَلُوا المَلائِكَةَ الَّذينَ هُم عِبادُ الرَّحمٰنِ إِناثًا ۚ أَشَهِدوا خَلقَهُم ۚ سَتُكتَبُ شَهادَتُهُم وَيُسأَلونَ

Sahih International

And they have made the angels, who are servants of the Most Merciful, females. Did they witness their creation? Their testimony will be recorded, and they will be questioned.

Malay

Dan mereka pula menyifatkan malaikat – yang juga menjadi hamba-hamba Allah Yang Maha Pemurah itu – jenis perempuan. Adakah mereka menyaksikan kejadian malaikat itu? Akan dituliskan kata-kata mereka (yang dusta itu), dan mereka akan ditanya kelak (serta akan menerima balasannya).

وَجَعَلُوا الْمَلَائِكَةَ الَّذِينَ هُمْ عِبَادُ الرَّحْمَٰنِ إِنَاثًا

Dan mereka pula menjadikan malaikat-malaikat itu – yang juga hamba-hamba Yang Maha Pemurah itu – jenis perempuan.

Itulah hakikat para malaikat – hamba Allah. Mereka bukanlah anak-anak perempuan Allah. Allah tidak memerlukan anak. Kalau nak kata mereka itu anak Allah, kenalah bawa dalil. Tentu mereka tidak dapat bawa dalil. Kerana itu adalah tipu sahaja. Allah tidak mempunyai anak perempuan, dan tidak juga mempunyai anak lelaki.

Adakah patut mereka kata para malaikat itu perempuan? Kalau begitu, mereka kata malaikat-malaikat itu lemah lah. Sebab mereka sendiri pun ada berkata yang perempuan itu lemah – main dengan barang perhiasan sahaja dan tidak dapat mempertahankan diri mereka pun. Nampak sangat tidak kena.

 

أَشَهِدُوا خَلْقَهُمْ

Adakah mereka menyaksikan kejadian malaikat itu?

Yang mereka pandai-pandai kata malaikat itu anak perempuan, adakah mereka lihat sendiri yang Allah menjadikan mereka sebagai anak perempuanNya? Adakah mereka sendiri nampak yang malaikat-malaikat itu berjantina perempuan? Atau mereka pandai-pandai sahaja mengatakan perkara yang tidak mereka tahu. Macam orang-orang kita yang mengatakan satu-satu perkara dalam agama, manakah dalil mereka? Jangan pandai-pandai cakap sahaja.

 

سَتُكْتَبُ شَهَادَتُهُمْ

Akan dituliskan penyaksian mereka

Segala kata-kata mereka akan ditulis. Begitu juga dengan kata-kata kita, akan ditulis. Jadi, jangan kita berkata sebarangan. Amat ramai yang mulut mereka hanya pandai berkata-kata tanpa dalil. Mereka macam tidak tahu yang setiap patah perkataan mereka akan ditulis.

Bayangkan pula: siapakah yang akan menulis kata-kata mereka itu? Bukankah yang menulis itu adalah Malaikat Kaatibin yang sentiasa bersama dengan kita? Bolehkan anda bayangkan ironisnya perkara ini? Mereka kata malaikat-malaikat itu perempuan, sedangkan malaikat itulah yang jadi tukang tulis kepada kata-kata mereka.

 

وَيُسْأَلُونَ

dan mereka akan ditanya kelak

Mereka akan dipersoal dengan kata-kata mereka serta akan menerima balasannya kalau apa yang mereka katakan itu adalah penipuan sahaja. Siapakah pula yang akan bertanya kepada mereka? Bukankah yang bertanya itu juga nanti adalah malaikat juga? Kerana dalam ayat yang lain, Allah berfirman yang Allah tidak mahu berkata-kata dengan mereka.

Ayat ini mengingatkan kita supaya berhati-hati dengan apa yang kita katakan. Ingatlah bahawa apa sahaja yang kita katakan akan ditulis. Termasuk juga apa yang kita tulis – dalam Facebook, dalam Twitter dan dalam mana-mana media sekali pun. Oleh itu, jikalau kita memperkatakan dan memberikan maklumat yang tidak benar, maka berhati-hatilah. Ianya akan menyusahkan kita nanti.

Beginilah juga kita kena mengajar dan menegur anak-anak kita yang berkata macam-macam. Kalau kita lihat mereka menipu, kita kena ingatkan kepada mereka: “Husna, ingatlah yang Allah akan menulis apa yang Husna cakapkan ini. Dan nanti Allah akan tanya Husna kenapa cakap begini, begitu? Berani ke Husna nak cakap depan Allah nanti?”


 

Ayat 20: Ini adalah ayat Syikayah (rungutan dari Allah). Marilah kita dengar apakah hujah Musyrikin Mekah itu untuk membenarkan perbuatan syirik mereka itu. Mreka kononnya berdalil, tapi bukan dengan dalil yang sahih. Yang akan disebutkan nanti bukan dalil jenis ilmu. Mereka keliru antara kehendak dan redha Allah. ‘Kehendak’ dan ‘redha’ Allah bukan perkara yang sama, tapi mereka kata sama. Kehendak Allah adalah berbentuk umum – apa-apa sahaja terjadi dalam alam ini adalah atas kehendak Allah. Tapi redha Allah adalah khusus. Jadi hujah yang mereka berikan adalah bathil. Kita kena faham, kalau Allah benarkan, tidak semestinya Allah redha.

وَقالوا لَو شاءَ الرَّحمٰنُ ما عَبَدناهُم ۗ ما لَهُم بِذٰلِكَ مِن عِلمٍ ۖ إِن هُم إِلّا يَخرُصونَ

Sahih International

And they said, “If the Most Merciful had willed, we would not have worshipped them.” They have of that no knowledge. They are not but falsifying.

Malay

Dan mereka berkata: “Kalaulah Allah Yang Maha Pemurah menghendaki, tentulah kami tidak menyembah malaikat itu”. (Sebenarnya) mereka tidak mempunyai sesuatu pengetahuan pun mengenai kata-kata mereka (yang demikian), mereka hanyalah orang-orang yang berdusta!

 

وَقَالُوا لَوْ شَاءَ الرَّحْمَٰنُ مَا عَبَدْنَاهُم

Dan mereka berkata: “Kalaulah Allah Yang Maha Pemurah menghendaki, tentulah kami tidak menyembah mereka itu”.

Musyrikin akan beri hujah mereka: Kalau bukan Allah yang kehendaki, tidaklah kami puja malaikat, Nabi atau wali-wali selain Allah itu.

Ini adalah satu alasan yang selalu digunakan oleh manusia yang engkar. Mereka kata apa yang mereka buat itu semuanya adalah atas kehendak Allah. Kalau Allah tak suka, tentunya perkara itu tidak terjadi. Maknanya, mereka menyalahkan Allah pula. Mereka kata, mereka buat syirik itu kerana Allah hendak mereka buat begitu. Maknanya, mereka kata Allah suka mereka buat syirik! Itulah salah faham manusia dan Allah telah menyebut kata-kata mereka dalam al-An’am:107

وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا أَشْرَكُوا

Dan kalau Allah menghendaki, nescaya mereka tidak mempersekutukanNya;

Ramai yang menggunakan hujah ini dalam menghalalkan perbuatan mereka. Ada yang kata: “Kalau Allah takdirkan, tentu aku akan solat”, “Kalau Allah hendak aku jadi baik, tentu Dia dah jadikan aku orang baik”, “Aku jadi begini sebab Allah takdirkan aku jadi begini lah…”. Dan macam-macam lagi hujah-hujah batil yang mereka berikan.

Mereka tidak faham dengan maksud taqdir Allah. Mereka keliru dengan Qada’ dan Qadar. Mereka tak faham apakah perbezaan antara apa yang Allah suka, dan apa yang Allah benarkan. Kalau Allah benarkan sesuatu perkara yang salah terjadi, bukanlah ianya bermakna Allah suka. Allah boleh sahaja membenarkan sesuatu perkara itu terjadi tapi dalam keadaan Allah murka. Kerana kalau manusia hendak sangat buat perkara mungkar, Allah akan benarkan. Tapi akan dikenakan dengan balasan di akhirat kelak! Hanya perkara yang Allah suruh kita buat sahaja yang boleh dikira Allah suka dengan perbuatan itu.

Kerana perasaan beginilah yang menyebabkan orang kafir terus berada dalam kekafiran. Lihatlah penganut Hindu pada Hari Thaipusam mereka. Mereka akan menanggung Kavadi yang amat berat sambil dicucuk-cucuk tubuh mereka. Selepas dicabut Kavadi dari tubuh mereka, tubuh mereka tak berdarah langsung dan tidak jadi apa-apa. Molek sahaja keadaan mereka – tidak ada luka, tidak ada sakit apa-apa. Perjalanan majlis syirik mereka itu pun berjalan dengan lancar sahaja. Tidaklah ada guruh gempita, taufan pun tidak turun. Tidaklah terjadi macam dalam filem Hindustan, bila Dewa tak suka, ribut sabung menyabung. Pada mereka, kalau Tuhan tidak menahan atau melarang perbuatan mereka yang sebegitu, tentulah pada mereka, itu menunjukkan yang Tuhan suka dengan perbuatan mereka itu.

Sudahlah perbuatan mereka itu tidak dihalang oleh Tuhan, ianya ‘menjadi’ pula. Iaitu tujuan mereka melakukan upacara Thaipusam dan Kavadi itu adalah untuk menambahkan rezeki mereka. Dan tahun itu, memang rezeki mereka semakin banyak pula! Tentulah mereka lebih yakin lagi bahawa Tuhan suka dengan apa yang mereka lakukan. Mereka kata, kalau Tuhan tidak suka, takkan Dia akan berikan apa yang mereka mahu.

Kaum Sufi ala Taipusam

Puak sufi di Rajastan. Pada bulan Rejab mereka melakukan perayaan ala Thaipusam. Kononnya nak beribadat tapi tak ikut syariat.

Jadi, manusia ada menggunakan alasan yang apa yang mereka lakukan itu ‘menjadi’, maka ia tentulah benar. Orang kita pun banyak menggunakan hujah yang sama. Sebagai contoh, ada yang mengamalkan ilmu keramat seperti Ilmu Kebal, Ilmu Menghilangkan Diri, Menunduk Orang dan sebagainya. Mereka mendapat kelebihan itu selepas mereka melakukan sesuatu amalan dan selalunya juga, selepas mereka berpantang dari makan sesuatu jenis makanan. Apabila apa yang mereka kehendaki itu menjadi, maka bertambah yakinlah mereka yang amalan mereka itu benar. Pada mereka, kalau menjadi, bermakna betullah amalan itu.

Ingatlah bahawa sesuatu amalan itu ‘menjadi’, bukanlah dalil bahawa apa yang mereka lakukan itu benar. Ini telah dijelaskan dalam Surah Fussilat.

Yang buat amalan yang salah seperti berQasidah di stadium pula berkata: Kalau salah, takkan ramai yang datang. Stadium tak runtuh pun! Allah suka dengan apa yang kami lakukan, sebenarnya. Itulah kejahilan mereka. Dan kejahilan mereka itu kerana tidak belajar. Begitulah manusia, apabila tidak belajar senang ditipu. Apabila ada yang kata mereka keturunan Nabi, semua pakat percaya dan ikut sahaja.

 

مَّا لَهُم بِذَٰلِكَ مِنْ عِلْمٍ

Mereka tidak mempunyai sesuatu pengetahuan pun tentangnya

Mereka berkata-kata dan berhujah tanpa ilmu pengetahuan. Mereka tidak tahu tentang syirik. Mereka tidak belajar, macam orang-orang kita juga. Mereka pandai berkata-kata sahaja, tapi ianya keluar dari akal yang jahil.

Keduanya, mereka yang berkata tentang anak perempuan Allah itu tidak ada langsung ilmu tentangnya. Mereka hanya mengikut sahaja apa yang dikatakan oleh tok nenek dan guru-guru mereka. Mereka tidak ada ilmu. Mereka sendiri tidak mahu belajar.

 

إِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ

mereka hanyalah orang-orang yang berdusta!

Apabila mereka tidak boleh bawa dalil tentang hal agama, maka mereka dikira sebagai berdusta. Apa yang mereka keluarkan sebagi hujah itu adalah tanggapan dan agakan sahaja. Ianya tidak lebih dari andaian sahaja. Mereka sahaja yang sangka hujah mereka betul.

Oleh itu, bagaimana pula dengan masyarakat kita yang mengatakan banyak perkara dalam hal agama, tapi tidak boleh bawa dalil, melainkan mereka kata: “ada dalam kitab itu dan ini”, “ustaz itu kata itu dan ini”. Dan ramai juga yang menggunakan akal mereka sahaja – mereka agak-agak sahaja yang sesuatu perkara itu benar. Itu semua adalah hujah yang bathil dan tidak ada nilai. Itu semua adalah dusta!


 

Ayat 21: Allah ajar lagi kita bagaimana berhujah dengan mereka. Iaitu minta dalil dari mereka.

أَم آتَيناهُم كِتابًا مِن قَبلِهِ فَهُم بِهِ مُستَمسِكونَ

Sahih International

Or have We given them a book before the Qur’an to which they are adhering?

Malay

Pernahkah Kami memberikan mereka sebelum Al-quran ini sebuah Kitab (yang membenarkan dakwaan mereka), lalu mereka berpegang teguh kepada kitab itu?

 

أَمْ آتَيْنَاهُمْ كِتَابًا مِّن قَبْلِهِ

Atau pernahkah Kami memberikan mereka sebuah Kitab sebelum Al-Quran ini

Apakah dalil mereka yang membenarkan dakwaan mereka, apabila mereka kata Allah suka dengan perbuatan syirik mereka itu? Atau tentang malaikat itu anak perempuan Allah? Adakah mereka merujuk kepada kitab dari Allah yang membenarkannya? Adakah? Tentulah tidak ada. Bangsa Arab tidak pernah mendapat kitab. Kalau mereka ada kitab wahyu lain, bolehlah nak buat kira dan bawa berbincang, tapi tidak ada pun. Mereka itu pakai hujah akal mereka sahaja, tapi malangnya ramai dari kalangan masyarakat kita pun pakai akal sahaj.

 

فَهُم بِهِ مُسْتَمْسِكُونَ

lalu mereka berpegang teguh kepada kitab itu?

Mereka tidak ada Kalam Allah langsung untuk membenarkan kata-kata mereka. Mereka cuma ikut kata guru mereka dan tok nenek mereka sahaja. Tidak ada kitab langsung yang boleh menyokong dakwaan mereka itu. Padahal kalau kitab-kitab dahulu seperti Taurat dan Injil melarang kepada perbuatan syirik.

Ini mengajar kita bahawa dalil yang sah adalah dari wahyu Allah.


 

Ayat 22: Kalau mereka tidak ada dalil kepada perbuatan syirik mereka, maka apakah hujah mereka? Ini adalah dalihan mereka lagi untuk membenarkan apa yang mereka lakukan. Lihatlah bagaimana hujah ini juga dikeluarkan oleh orang kita juga.

Ayat 22: Kalau mereka tidak ada dalil kepada perbuatan syirik mereka, maka apakah hujah mereka? Ini adalah dalihan mereka lagi untuk membenarkan apa yang mereka lakukan. Lihatlah bagaimana hujah ini juga dikeluarkan oleh orang kita juga.

Siram air tabur bunga talqin tahlil-picsay

Nabi pernah pacak pelepah tamar sekali sahaja dan tiada sahabat jadikan itu sebagai amalan sunnah… Sebahagian besar masyarakat telah jadikan siram air mawar, tabur bunga, talqin dan tahlil sebagai amalan untuk dipertahankan sebagai sunnah tok nenek.

بَل قالوا إِنّا وَجَدنا آباءَنا عَلىٰ أُمَّةٍ وَإِنّا عَلىٰ آثارِهِم مُهتَدونَ

Sahih International

Rather, they say, “Indeed, we found our fathers upon a religion, and we are in their footsteps [rightly] guided.”

Malay

(Tidak ada sebarang bukti bagi mereka) bahkan mereka (hanyalah) berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja”.

 

بَلْ قَالُوا إِنَّا وَجَدْنَا آبَاءَنَا عَلَىٰ أُمَّةٍ

Bahkan mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama,

أُمَّةٍ boleh bermaksud banyak perkara dan dalam ayat ini bermaksud ‘agama’. Kalau kita tanya kepada mereka, mereka akan kata kerana mereka ikut apa yang dilakukan oleh tok nenek mereka. Dan kalau ditanya kepada tok nenek mereka, tok nenek itu akan kata mereka pun ikut apa yang dilakukan oleh tok nenek mereka pula. Mereka juga merujuk kepada guru-guru dan ustaz-ustaz mereka yang telah berlalu. Guru-guru itu telah mati tapi ajaran salah mereka  masih ada lagi.

Hujah dari datuk nenek ada dua jenis: ada yang benar dan ada yang salah. Kalau yang benar dan disandarkan kepada dalilm maka kita bolehlah nak ikut. Tap kita kena ingat, bukan semua boleh diikuti. Kena ikut yang benar. Dan macam mana kita nak tahu mana betul atau salah? Kena bandingkan dengan Qur’an lah. Tapi ramai tidak buat bandingan pun, mereka pakai ikut sahaja.

Beginilah yang banyak terjadi kepada masyarakat kita. Mereka hanya mengikut sahaja. Mereka telah dilahirkan dalam suasana agama yang sebegitu, dan mereka tidak pernah mempersoalkan. Mereka tidak menggunakan akal mereka yang waras dan kritis. Mereka ikut buta sahaja. Sebagai contoh, dari kecil lagi mereka telah melalui Majlis-majlis Tahlil, Doa Selamat dan Kenduri Arwah. Jadi, kerana mereka lahir-lahir dan membesar dalam suasana bidaah, mereka rasa bidaah itulah yang benar.

 

وَإِنَّا عَلَىٰ آثَارِهِم مُّهْتَدُونَ

dan sesungguhnya kami merasa mendapat petunjuk menurut jejak mereka sahaja”.

Mereka ikut apa yang diajar dan dibuat oleh orang-orang terdahulu dan mereka rasa apa yang mereka lakukan itu adalah betul. Mereka rasa jalan itu adalah jalan yang mendapat petunjuk. Mereka rasa kalau orang dahulu buat begitu, takkan salah apa yang mereka lakukan. Mereka amat menghormati apa yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu. Kalau kita tegur mereka, mereka akan marah dan mereka berkata: “Takkan kamu nak kata mereka dulu itu masuk neraka semuanya?” Atau mereka kata: “benda ini ulama dulu dah lama bahas dah, kenapa nak ditimbulkan lagi?”.

Ingatlah bahawa dalil kita bukanlah amalan orang terdahulu tetapi dari Quran dan Sunnah. Kalau apa yang dilakukan oleh orang yang terdahulu itu tidak dapat disokong dengan dalil yang sahih, maka tinggalkanlah dahulu.

Allahu a’lam

Lompat ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 043: Zukhruf. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s