Tafsir Surah Zukhruf Ayat 11-16 (Tentang hujan dan Doa naik kenderaan)

Doa ketika hujan dan zikir lepas hujan

Doa dan zikir tentang hujan.

Ayat 11:

وَالَّذي نَزَّلَ مِنَ السَّماءِ ماءً بِقَدَرٍ فَأَنشَرنا بِهِ بَلدَةً مَيتًا ۚ كَذٰلِكَ تُخرَجونَ

Sahih International

And who sends down rain from the sky in measured amounts, and We revive thereby a dead land – thus will you be brought forth –

Malay

Dan (Dia lah) yang menurunkan hujan dari menurut sukatan yang tertentu, lalu Kami hidupkan dengan hujan itu negeri yang kering tandus tanahnya. Sedemikian itulah pula kamu akan dikeluarkan (hidup semula dari kubur).

 

وَالَّذِي نَزَّلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً بِقَدَرٍ

Dan (Dia lah) yang menurunkan hujan menurut sukatan,

Allah yang menentukan berapa banyak air hujan yang patut turun. Ada yang turun banyak, dan kadang-kadang turun sedikit sahaja. Semuanya dalam perintah Allah. Allah turunkan mengikut keperluan. Pernahkah kita terfikir, kalau air hujan itu turun banyak, dari manakah datangnya air hujan yang banyak-banyak itu? Kalau kita lihat awan, tak nampak pun airnya. Tapi kalau turun tak berhenti beberapa hari, sampai boleh banjir sesuatu kawasan itu. Tapi sumber air itu masih ada lagi. Allah sahaja yang Maha Tahu berapa banyak air yang ada di awan.

Apabila kita lihat bagaimana turunnya air itu, maka tahulah kita bahawa semuanya itu mengikut ketetapan Allah. Kita tidak dapat tentukan. Air banyak lagi, tapi Allah tak turunkan semua. Allah turunkan ikut kadar keperluan manusia sahaja. Kerana Allah berikan air itu sebagai rahmat. Kalau ianya sebagai rahmat, ianya tentunya memberikan kebaikan. Jadi kenalah kita bersyukur atas nikmat itu.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa Allah turunkan air hujan sedikit demi sedikit. Supaya ianya dapat dimanfaatkan oleh makhlukNya. Kalaulah Allah turunkan banyak sekaligus, itu sudah tidak bagus. Kalau turun banyak sekali, akan jadi banjir, kita pun susah untuk hidup, tanaman pun boleh mati. Oleh kerana itu, Allah turunkan sedikit demi sedikit sahaja. Macam kalau kita siram air untuk tanaman, kita pun beri sedikit sahaja. Kalau kita beri banyak, tentulah pokok yang kita bela itu akan mati. Sesekali sahaja diberikan banyak air hujan sampaikan banjir. Tapi itu tidak selalu berlaku dan kita pun kena terima bahawa itu pun ada kebaikan untuk tempat itu. Kalau ada tempat lain yang kena banjir, maka bersyukurlah tempat kita tidak kena banjir.

 

فَأَنشَرْنَا بِهِ بَلْدَةً مَّيْتًا

lalu Kami hidupkan dengan air hujan itu negeri yang mati.

Allah beritahu dalam ayat ini yang Allah lah yang menghidupkan kawasan yang tidak subur itu. Adakah ada tuhan lain yang buat? Tentu tidak.

‘Mati’ itu bermaksud bumi itu kering tandus tanahnya sebab telah kemarau lama. Tidak ada tumbuhan yang dapat hidup. Apabila kehidupan tumbuhan tidak hidup, binatang dan manusia pun tidak tinggal di situ. Apabila Allah berikan air hujan kepada tanah itu, tanah itu kembali subur dan tanaman dapat hidup subur. Barulah hidup kembali tanah itu.

 

كَذَٰلِكَ تُخْرَجُونَ

Sedemikian itulah pula kamu akan dikeluarkan

Begitulah juga kamu hidup semula dan dikeluarkan dari kubur. Ayat ini mengingatkan kita bahawa kita akan dihidupkan selepas kita mati. Sebagaimana Allah boleh menghidupkan tanah yang mati, maka Allah juga boleh menghidupkan kita selepas kita mati. Dan kita kena yakin yang mudah sahaja bagi Allah untuk melakukannya. Kerana Qudrat yang sama sahaja yang menghidupkan tanah yang tandus dan untuk menghidupkan manusia yang sudah mati.


 

Ayat 12:

وَالَّذي خَلَقَ الأَزواجَ كُلَّها وَجَعَلَ لَكُم مِنَ الفُلكِ وَالأَنعامِ ما تَركَبونَ

Sahih International

And who created the species, all of them, and has made for you of ships and animals those which you mount.

Malay

Dan (Dia lah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya; dan Ia mengadakan bagi kamu kapal-kapal dan binatang ternak yang kamu dapat mengenderainya,

 

وَالَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا

Dan (Dia lah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya;

الْأَزْوَاجَ bermaksud ‘pasangan’. Allah menciptakan makhluk dengan berpasangan dan berjenis-jenis. Kalau kepada binatang, ada jantan betina. Kepada tanaman, ada pasangannya atau lawannya. Perkara yang berlawanan pun termasuk dalam maksud ‘pasangan’ juga. Macam tangan kita, ada tangan kiri dan kanan. Dalam alam juga sentiasa ada pasangan. Malam dan siang; panas dan sejuk. Dan macam-macam lagi. Ini seperti yang disebut dalam ayat Yassin:36

سُبْحَانَ الَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا مِمَّا تُنبِتُ الْأَرْضُ وَمِنْ أَنفُسِهِمْ وَمِمَّا لَا يَعْلَمُونَ

Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.

Hanya Allah sahaja yang tidak ada pasangan atau lawanNya.

 

وَجَعَلَ لَكُم مِّنَ الْفُلْكِ

dan Ia mengadakan bagi kamu kapal-kapal

Allah lah juga yang menjadikan alat pengangkutan untuk kita. Kapal adalah contoh pengangkutan di lautan untuk kita.

Allah kata dalam ayat ini, Dia lah yang menjadikan kapal-kapal itu. Kenapa pula? Bukankah manusia yang merekacipta kapal itu? Tidak sebenarnya. Allah lah yang bertanggungjawap memberi ilham kepada manusia bagaimana membuat kapal. Lihatlah bagaimana Allah telah memberi ilham kepada Nabi Nuh untuk membuat kapal sebelum terjadinya Banjir Besar itu.

 

وَالْأَنْعَامِ مَا تَرْكَبُونَ

dan binatang ternak yang kamu dapat mengenderainya,

Sebelum ini disebut pengangkutan di lautan dan sekarang Allah menceritakan dari rahmatNya, Dia telah memberikan pengangkutan di daratan juga untuk kita.

Dalam ayat ini tidak disebut pengangkutan di udara, tapi ia juga termasuk di dalam jenis-jenis pengangkutan.


Doa naik kenderaan

Dalil Doa Naik Kenderaan daripada Quran dan Hadis.

Ayat 13: Kenapakah Allah menjadikan alat pengangkutan untuk kita?

لِتَستَووا عَلىٰ ظُهورِهِ ثُمَّ تَذكُروا نِعمَةَ رَبِّكُم إِذَا استَوَيتُم عَلَيهِ وَتَقولوا سُبحانَ الَّذي سَخَّرَ لَنا هٰذا وَما كُنّا لَهُ مُقرِنينَ

Sahih International

That you may settle yourselves upon their backs and then remember the favor of your Lord when you have settled upon them and say. “Exalted is He who has subjected this to us, and we could not have [otherwise] subdued it.

Malay

Supaya kamu duduk tetap di atasnya;  kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan:” Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya –

 

لِتَسْتَوُوا عَلَىٰ ظُهُورِهِ

Supaya kamu duduk tetap di atasnya;

لِتَسْتَوُوا dari katadasar سوي yang bermaksud ‘naik dan duduk dengan tetap’. Iaitu kalau naik kuda, semasa naik itu kena panjat, dan kemudian kita betulkan kedudukan atas kuda itu. Apabila dah selesa, dah tetap, barulah dinamakan سوي. Istiwa’ juga berasal daripada kata dasar yang sama. Dalam ayat ini bermaksud Allah telah memberikan kita dapat duduk di dalam kenderaan kita dengan kukuh dan selesa. Kalau dulu, duduk atas kuda atau unta, tapi zaman sekarang, ianya adalah kereta, motosikal, bas dan macam-macam lagi. Allah lah yang telah menjadikan kita dapat menguasai binatang-binatang sebagai kenderaan itu. Bayangkan, seekor gajah besar tapi seorang budak boleh duduk atas dia dan kawal dia. Allah yang buat begitu untuk memudahkan kita. Tapi malangnya manusia tak patuh pada Tuhan.

 

ثُمَّ تَذْكُرُوا نِعْمَةَ رَبِّكُمْ

kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu

Bila kita duduk di dalam kenderaan yang Allah telah jadikan untuk kita, hendaklah waktu itu kita ingat yang itu adalah nikmat yang Allah telah berikan kepada kita. Tidak kira sama ada ianya basikal, motosikal, keretapi atau kapal terbang atau apa-apa sahaja pengangkutan yang lain. Dengan kenderaan itu dapat memudahkan kita untuk bergerak ke mana-mana. Kalau tidak, kita kena jalan kaki sahaja dan itu amat memenatkan.

Maksudnya, Allah jadikan segala kenderaan itu adalah supaya kita boleh mengingatiNya. Allah hendak kita membacakan doa naik kenderaan yang kita akan sebutkan selepas ini.

 

إِذَا اسْتَوَيْتُمْ عَلَيْهِ

apabila kamu duduk tetap di atasnya,

Jangan kita rasa bangga dengan alat pengangkutan yang kita ada. Memang dari dahulu lagi, kenderaan adalah suatu perkara yang boleh menyebabkan manusia berbangga dengan kedudukan mereka. Kalau dulu, orang yang naik kuda lebih bangga dari yang naik keldai. Zaman sekarang, kalau naik BMW, lebih berbangga dari naik kereta Proton. Kalau naik motor Harley, lebih berbangga dari naik motor kapcai sahaja. Tapi ingatlah Siapa yang beri kepada kita.

 

وَتَقُولُوا سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَٰذَا

serta kamu mengucapkan:” Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami,

Allah lah yang memudahkan kita untuk menjinakkan binatang yang dijadikan sebagai binatang tunggangan. سَخَّرَ bermaksud ‘meletakkan sesuatu di bawah kawalan’ kita. Seperti Allah membenarkan kita mengawal kuda, unta, dan sebagainya. Dan dalam zaman sekarang, kita mengawal kereta, motor dan sebagainya. Maka kita bukan sahaja disuruh untuk mempercayainya, tapi kita juga disuruh untuk menyebutnya dengan lisan seperti yang diajar dalam ayat ini.

 

وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ

sedang kami tidak terdaya menguasainya –

Perkataan مُقْرِنِينَ dari kata dasar قرن yang bermaksud ‘mengikat sesuatu bersama’, seperti mengikat dua unta bersama. Boleh juga bermaksud, ‘berkuasa ke atas sesuatu’, seperti kenderaan. Tapi kita tidak ada kuasa sepenuhnya sebenarnya. Kalau kereta yang kita sedang naik itu breknya rosak, atau tayar pecah, apa yang kita boleh lakukan? Kita tidak ada daya upaya nak menyelamatkan diri kita. Waktu itu, kita hanya bergantung kepada rahmatNya sahaja untuk menyelamatkan diri kita. Nak hidupkan kereta itu sendiri kita tidak ada daya upaya. Tidak pernahkah anda hendak pergi kerja pada pagi hari, pusing-pusing kunci kereta, tapi ianya tidak hidup?

Maksud ayat ini adalah kita tidak akan mampu untuk menguasai kenderaan itu kalau tanpa izin Allah. Bayangkan, kuda dan unta itu sebenarnya lebih besar dan lebih kuat dari kita, bukan? Kalau bukan Allah yang benarkan kita menguasainya, kita tidak akan mampu. Jadi kena ingat dan bersyukur kepada Allah semasa naik kenderaan itu. Ingatlah betapa besarnya nikmat yang Allah telah berikan. Allah telah mudahkan kita untuk berurusan dan bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Jangan kita berbangga sangat dengan kenderaan hebat dan mewah yang kita ada. Allah lah yang memberikannya kepada kita. Ingatlah juga bagaimana kemajuan kenderaan telah memudahkan kita. Kalau dulu, kena jinakkan binatang baru boleh menaikinya. Ianya bukan laju sangat pun. Tapi sekarang, dengan segala kemudahan yang ada, amat mudah untuk kita ke mana-mana. Entah apalah lagi nanti kenderaan di masa hadapan.


 

Ayat 14: Allah bawa peringatan kepada perjalanan ke akhirat. Jangan lupa yang kita menuju akhirat sebenarnya.

وَإِنّا إِلىٰ رَبِّنا لَمُنقَلِبونَ

Sahih International

And indeed we, to our Lord, will [surely] return.”

Malay

“Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!”

 

وَإِنَّا إِلَىٰ رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ

“Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!”

Ayat ini mengingatkan kita bahawa kita akhirnya akan kembali menemui Allah. Padahal, ianya baru bercakap tentang pengangkutan dan perjalanan. Apakah kaitannya? Maksudnya, setiap perjalanan sepatutnya mengingatkan kita kepada perjalanan menemui Allah. Kerana apabila kita dalam perjalanan, akhirnya kita mesti akan berhenti juga akhirnya, bukan? Samada kita sampai ke destinasi kita atau tidak. Samalah juga dengan perjalanan hidup ini, ianya akan berakhir juga. Kerana kehidupan kita ini juga adalah perjalanan yang besar sebenarnya.

Ayat 13 dan ayat 14 ini adalah sebahagian dari doa yang diajar oleh Nabi apabila kita menaiki kenderaan ini. Sebagaimana yang tersebut dalam hadis:

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ حَدَّثَنَا أَبُو الْأَحْوَصِ عَنْ أَبِي إِسْحَقَ عَنْ عَلِيِّ بْنِ رَبِيعَةَ قَالَ شَهِدْتُ عَلِيًّا أُتِيَ بِدَابَّةٍ لِيَرْكَبَهَا فَلَمَّا وَضَعَ رِجْلَهُ فِي الرِّكَابِ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ ثَلَاثًا فَلَمَّا اسْتَوَى عَلَى ظَهْرِهَا قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ ثُمَّ قَالَ { سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ } ثُمَّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ ثَلَاثًا وَاللَّهُ أَكْبَرُ ثَلَاثًا سُبْحَانَكَ إِنِّي قَدْ ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ ثُمَّ ضَحِكَ قُلْتُ مِنْ أَيِّ شَيْءٍ ضَحِكْتَ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ قَالَ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَنَعَ كَمَا صَنَعْتُ ثُمَّ ضَحِكَ فَقُلْتُ مِنْ أَيِّ شَيْءٍ ضَحِكْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِنَّ رَبَّكَ لَيَعْجَبُ مِنْ عَبْدِهِ إِذَا قَالَ رَبِّ اغْفِرْ لِي ذُنُوبِي إِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ غَيْرُكَ وَفِي الْبَاب عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ

Telah menceritakan kepada kami Qutaibah telah menceritakan kepada kami Abu Al Ahwash dari Abu Ishaq dari Ali bin Rabi’ah, ia berkata; aku menyaksikan Ali diberi hairan untuk ia tunggangi, kemudian tatkala ia telah meletakkan kakinya di dalam sanggurdi, ia mengucapkan; BISMILLAAH tiga kali, dan ketika telah berada di atas punggungnya ia mengucapkan; Al HAMDULILLAAH, kemudian ia mengucapkan; SUBHAANALLADZII SAKHKHARA LANAA HAADZAA WA MAA KUNNAA LAHUU MUQRINIIN, WA INNAA ILAA RABBINAA LAMUNQALIBUUN (Maha Suci Dzat yang telah menundukkan untuk kami haiwan ini, dan tidaklah kami dapat memaksakannya, dan kepada Tuhan kami niscaya kami akan kembali). Kemudian ia mengucapkan; Al HAMDULILLAAH tiga kali, WALLAAHU AKBAR tiga kali, SUBHAANAKA INNII QAD ZHALAMTU NAFSII FAGHFIR LII, FAINNAHU LAA YAGHFIRUDZ DZUNUUBA ILLAA ANTA (Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku telah menzhalimi diriku maka ampunilah aku. Karena sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni dosa kecuali engkau). Kemudian ia tertawa. Aku katakan; krana apakah engkau tertawa wahai Amirul mukminin? Ia berkata; aku melihat Rasulullah shallallahu wa’alaihi wa sallam melakukan seperti apa yang aku lakukan kemudian beliau tertawa dan aku katakakan; krana apakah anda tertawa wahai Rasulullah? Beliau bersabda: “Sesungguhnya Tuhanmu sungguh merasa kagum kepada hambaNya apabila mengucapkan; ya Allah, ampunilah dosa-dosaku, kerana  sesungguhnya tidak ada yang mengampuni dosa selainMu. “Dalam bab ini terdapat riwayat dari Ibnu Umar radliallahu ‘anhuma. Abu Isa berkata; hadits ini adalah dari Sunan at-Tirmidzi dan dinilai hadits hasan shahih.

Doa ini adalah doa apabila kita menaiki kenderaan darat. Berdoalah dengan yakin bahawa Allah sahaja yang boleh menyempurnakan hajat kita. Jangan kita ada perasaan yang Allah tak dengar dan tak makbulkan doa kita. Kalau kita berdoa, tapi waktu itu sendiri kita sudah rasa yang Allah tidak akan makbulkan, doa itu tentunya tidak makbul.

Maulana Hadi Zukhruf 1-14


 

Ayat 15: Sebelum ini, apabila ditanya kepada Musyrikin Mekah, siapakah yang menjadikan alam ini, mereka akan menjawab: Allah. Tapi apabila dalam hal ibadat, dalam doa, mereka berkongsi pula: ada yang diberi kepada Allah dan ada yang diberikan kepada entiti yang lain; ada yang mereka hadapkan doa kepada selain dari Allah.

Ayat ini sampai ke 25 adalah teguran kepada akidah Musyrikin Mekah. Nikmat Allah dah beri dan kalau dah pakai segala nikmat itu, maka kena taat lah kepada Allah. Kalau taat, segala nikmat itu dikira sebagai percuma sahaja, tidak akan ditanya lagi. Tapi kalau tak taat, maka mereka akan kena tanya dengan segala nikmat yang mereka pakai itu. Waktu itu, macam mana nak jawap?

وَجَعَلوا لَهُ مِن عِبادِهِ جُزءًا ۚ إِنَّ الإِنسانَ لَكَفورٌ مُبينٌ

Sahih International

But they have attributed to Him from His servants a portion. Indeed, man is clearly ungrateful.

Malay

Dan mereka (yang musyrik mempersekutukan Allah dengan) menjadikan sebahagian dari hamba-hamba Allah sebagai anak bagiNya. Sesungguhnya manusia (yang demikian sesatnya) sangat tidak mengenang budi, lagi nyata kufurnya.

 

وَجَعَلُوا لَهُ مِنْ عِبَادِهِ جُزْءًا

Dan mereka menjadikan untuk Allah, dari hamba-hambaNya, bahagian-bahagian.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘bahagian’? Musyrikin Mekah mengatakan para malaikat itu adalah ‘sebahagian’ dari Allah, iaitu mereka kata para malaikat itu adalah anak perempuan Allah. Kerana anak adalah ‘sebahagian’ dari ibubapanya. Sebagaimana Nabi pernah bersabda yang Fatimah adalah sebahagian dari baginda.

Oleh kerana salah faham mereka, mereka puja malaikat. Mereka tahu tentang malaikat dari maklumat mulut ke mulut dari tok nenek mereka kerana mereka tidak ada maklumat jelas dari kitab. Oleh kerana mereka tidak ada kitab dan ilmu yang benar, mereka ditipu syaitan untuk terima bahawa malaikat itu jantinanya perempuan dan anak Allah. Dan datangnya dari hubungan kelamin Allah dengan jin. Dan berbagai bagai sangkaan yang salah dan buruk.

Atau, ia juga boleh juga bermaksud bahagian-bahagian sembahan korban yang diberikan. Musyrikin Mekah menetapkan ada bahagian untuk Allah dan ada bahagian lain untuk berhala-berhala. Ini sudah banyak disentuh dalam surah al-An’am.

Konteks ayat ini lebih menjurus kepada perbuatan Musyrikin melantik ‘bahagian’ kepada Allah. Iaitu mereka yang syirik itu menjadikan makhluk sebagai ‘wakil’ kepada Allah. Ada yang sampai menjadikan makhluk sebagai ‘Anak Tuhan’. Kalau Musyrikin Mekah, mereka menjadikan para malaikat sebagai anak perempuan Tuhan; Yahudi pula menjadikan Nabi Uzair sebagai Anak Tuhan. Penganut Kristian pula menjadikan Nabi Isa sebagai Anak Tuhan. Kalau tanya kepada penganut Kristian yang pandai sikit, adakah benar-benar Nabi Isa itu ‘Anak Tuhan’, mereka akan jawap, bukanlah baginda anak sebenar tapi ‘Anak Angkat’.

‘Anak Angkat’ bukanlah anak sebenar. Ianya sebagai satu kedudukan yang rapat dengan seseorang sahaja. Kalau dikatakan seseorang itu anak angkat kepada seorang menteri, tentulah dia amat rapat dengan menteri itu dan dapat meminta macam-macam kepada menteri itu. Maka, masyarakat akan pergi kepada anak angkat itu kalau mereka ada hajat dengan menteri itu.

Macam juga masyarakat Islam kita sekarang yang memuja Nabi Muhammad hanya kerana hendakkan Syafaat dari baginda. Atau untuk menyempurnakan hajat mereka. Kerana mereka anggap Nabi itu rapat dengan Allah, maka tentulah Nabi akan membantu mereka dalam hajat mereka. Sebab itu kalau kita pergi ke Masjid Nabawi di Madinah, kita akan lihat ramai yang beratur untuk melihat kubur Nabi Muhammad. Kita akan dapat lihat antaranya orang-orang Melayu akan banyak ada di situ. Mereka akan beri salam kepada baginda dan berkata lebih kurang begini: “Wahai Rasulullah, kita tak pernah berjumpa, tapi kami dah datang ini. Janganlah lupa kami apabila beri Syafaat nanti. Kami datang dari jauh ni…” Mereka cakap dengan kubur Nabi macamlah Nabi hidup lagi. Ini bukanlah cara Allah menyempurnakan hajat manusia. Ini adalah cara yang amat salah sekali yang tidak pernah diajar oleh Allah dan Nabi sendiri.

Dan mereka sampai jahil tentang Syafaat, sampaikan mereka sangka baginda boleh beri syafaat dengan kehendak baginda sendiri. Padahal dalam ayat-ayat lain telah menegaskan bahawa bukan Nabi yang buat keputusan untuk menentukan penerima syafaat, tapi Allah sahaja yang menentukan. Nabi hanya ‘menyampaikan’ Syafaat sahaja. Ini banyak dibincangkan dalam perbahasan ayat-ayat yang lain.

Bila ditegur dengan penjaga Masjid Nabawi itu supaya mereka doa mengadap kiblat, bukan mengadap Nabi, mereka kata penjaga masjid itu pula yang sesat. Sebab guru mereka dah ajar macam tu. Guru kata, jangan hiraukan penjaga-penjaga Masjid itu. Itu belum kira yang jamah grill kubur Nabi dan sapu ke muka. Sungguh jahil sekali mereka itu.

 

إِنَّ الْإِنسَانَ لَكَفُورٌ مُّبِينٌ

Sesungguhnya manusia sangat nyata kufurnya.

Maka apa yang mereka lakukan adalah kufur yang amat jelas. Semuanya yang mereka ada, Allah yang beri, tapi mereka sembah selain Allah juga.

Allah tidak pernah mengajar manusia untuk menggunakan ‘anak angkat’ atau mereka yang rapat dengan Allah untuk menyempurnakan hajat mereka. Tapi mereka sahaja yang memandai-mandai menambah dalam hal agama.


 

Ayat 16:

أَمِ اتَّخَذَ مِمّا يَخلُقُ بَناتٍ وَأَصفاكُم بِالبَنينَ

Sahih International

Or has He taken, out of what He has created, daughters and chosen you for [having] sons?

Malay

Patutkah Tuhan mengambil dari makhluk-makhluk yang diciptakanNya menjadi anak-anak perempuanNya, dan Ia mengutamakan kamu dengan anak-anak lelaki?

 

أَمِ اتَّخَذَ مِمَّا يَخْلُقُ بَنَاتٍ

Patutkah Dia mengambil dari makhluk-makhluk yang diciptakanNya menjadi anak-anak perempuanNya,

Adakah patut Musyrikin Mekah mengatakan yang Allah mengambil malaikat sebagai anak perempuanNya? Tidak pernah Allah berkata begitu. Ini hanyalah kerana kesesatan mereka sahaja. Mereka sahaja yang memandai-mandai setelah dibisikkan oleh syaitan untuk menyesatkan mereka. Mereka kata, anak perempuan Allah itu (para malaikat) lahir kerana Allah kahwin dengan jin. Ma sha Allah! Teruk sekali fahaman mereka.

 

وَأَصْفَاكُم بِالْبَنِينَ

dan Ia mengutamakan kamu dengan anak-anak lelaki?

Takkan Allah ambil anak perempuan dan berikan anak lelaki kepada Musyrikin Mekah? Itu adalah pembahagian yang tidak patut. Allah telah firmankan tentang perkara ini dalam Najm:21-22

 

أَلَكُمُ الذَّكَرُ وَلَهُ الْأُنثَىٰ

Patutkah kamu membahagi untuk diri kamu sendiri anak lelaki (yang kamu sukai), dan untuk Allah anak perempuan (yang kamu benci)?

تِلْكَ إِذًا قِسْمَةٌ ضِيزَىٰ

Pembahagian yang demikian, sudah tentu suatu pembahagian yang tidak adil.

Dan Allah berfirman lagi dalam Nahl:62

وَيَجْعَلُونَ لِلَّهِ مَا يَكْرَهُونَ وَتَصِفُ أَلْسِنَتُهُمُ الْكَذِبَ أَنَّ لَهُمُ الْحُسْنَىٰ لَا جَرَمَ أَنَّ لَهُمُ النَّارَ وَأَنَّهُم مُّفْرَطُونَ

Dan mereka mengadakan bagi Allah apa yang mereka sendiri tidak menyukainya; dalam pada itu, lidah mereka memperkatakan perkara yang dusta, (kononnya) bahawa mereka akan beroleh kesudahan yang baik di sisi Allah. Tidak syak lagi, bahawa bagi merekalah api neraka, dan bahawa merekalah orang-orang yang disegerakan (masuknya ke dalam neraka).

Maksud ayat ini adalah: mereka sendiri tidak suka kepada anak perempuan, tapi mereka berikan pula anak perempuan untuk Allah. Ini amat tidak patut.

Dan Allah berfirman lagi dalam Isra’:40

أَفَأَصفاكُم رَبُّكُم بِالبَنينَ وَاتَّخَذَ مِنَ المَلائِكَةِ إِناثًا ۚ إِنَّكُم لَتَقولونَ قَولًا عَظيمًا

maka patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak, dan anak itu pula dari jenis yang kamu tidak sukai?). Adakah Tuhan kamu telah memilih anak-anak lelaki untuk kamu dan Ia mengambil untuk diriNya anak-anak perempuan dari kalangan malaikat? Sesungguhnya kamu adalah memperkatakan dusta yang amat besar.

Untuk diri mereka, mereka hendakkan anak lelaki. Tetapi untuk Allah, mereka beri anak perempuan pula. Padahal kepada mereka, anak perempuan itu tidak bagus sampaikan ada yang menanam hidup-hidup anak-anak perempuan mereka. Pada mereka, anak lelaki menguntungkan kerana boleh membantu dalam kehidupan mereka, sedangkan anak perempuan akan menghabiskan harta mereka kerana perlu dijaga. Sudahlah dijaga sampai besar, selepas kahwin, terus mengikuti dan berkhidmat dengan suaminya sahaja. Begitulah anggapan mereka.

Lihatlah bagaimana mereka memberikan apa yang mereka tidak suka kepada Allah. Mereka tidak menilai Allah dengan yang sepatutnya. Mereka tidak menghargai Allah. Mereka tidak suka anak perempuan, tapi mereka beri anak perempuan kepada Allah. Tidaklah Allah memerlukan anak, walaupun anak lelaki. Tapi Allah menceritakan bagaimana salahnya pemahaman Musyrikin Mekah itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 043: Zukhruf. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s