Tafsir Surah Zukhruf Ayat 1 – 10 (Musyrikin Mekah ada Tauhid Rubibiyyah)

Surah Hamim 7 tauhid dalam berdoa

Surah-surah Ha Mim yang berturut-turut ini membawa tema tauhid dalam berdoa.

Pengenalan:

Seperti yang kita telah belajar sebelum ini, surah-surah Hamim Tujuh ini adalah berkenaan Tauhid dalam doa. Ini telah diberitahu dalam Surah Ghafir. Apabila diberitahu tentang tauhid dalam berdoa, maka ada kesamaran-kesamaran yang timbul dalam fikiran manusia. Untuk menjawap kesamaran-kesamaran itu, Allah turunkan 6 surah yang juga dimulai dengan lafaz haamim sebagai menjawap kesamaran dan kekeliruan itu.

Surah Fussilat menjawap kekeliruan manusia yang pertama. Mereka kata apabila mereka seru selain dari Allah, mereka dapat apa yang mereka kehendaki. Allah beritahu dalam surah Fussilat, segala apa yang mereka dapat itu bukanlah tanda bahawa apa yang mereka lakukan itu benar.

Surah Syura pula menjawap kekeliruan kedua: ada dalil-dalil yang mengatakan bahawa seruan selain kepada Allah itu boleh. Surah Syura memberitahu, dalil yang boleh diterima adalah dalil dari wahyu dan dalil selain dari wahyu yang membenarkan melakukan perkara yang dilarang dalam wahyu adalah tertolak.

Surah Zukhruf ini menjawap kekeliruan yang ketiga: Ada yang berhujah, kata mereka tidak minta kepada selain Allah itu tetapi, mereka cuma seru sahaja untuk mendapatkan sokongan dan syafaat dari wali, Nabi atau malaikat itu supaya doa mereka makbul. Dan juga supaya mereka mendapat syafaat dari mereka di akhirat kelak. Mereka kata mereka tidak minta terus kepada seruan-seruan mereka itu kerana mereka tahu bahawa yang boleh memakbulkan doa hanya Allah sahaja. Allah memberitahu bahawa inilah juga fahaman Musyrikin Mekah. Kalau masyarakat Islam kita pun ada fahaman sebegini, maka mereka pun sama sahaja dengan Musyrikin Mekah. Ini dinamakan Syirik fi Syafa’at. Dan ini adalah Syirik Akbar. Ianya tentu bukan dari ajaran Nabi Ibrahim a.s. Maka Allah perbetulkan fahaman mereka dalam Qur’an.

wahabi-syirik

Allah beri satu surah untuk beritahu manusia dan jin bahawa fahaman sebegitu adalah fahaman syirik. Maknanya, minta sokongan dalam bentuk syafaat pun syirik juga. Tidak kira kepada siapa yang mereka minta itu, walau mereka seru minta kepada Nabi Muhammad pun. Kerana tidak ada sesiapa yang boleh memaksa Allah untuk memberikan belas ihsan kepada kita di akhirat kelak. Malangnya, ramai sekali yang buat syirik seperti itu, mereka pergi jauh ke Madinah tapi buat syirik di kubur Nabi Muhammad SAW dengan meminta syafaat kepada kubur baginda. Mereka minta macam-macam kepada kubur Nabi Muhammad, seolah-olah Nabi Muhammad boleh mendengar apa yang mereka mintakan itu, sedangkan yang sahabat buat hanya beri salam sahaja di kubur baginda. Ini semua adalah kerana kejahilan yang merata dalam masyarakat kita. Mengaku sahaja Islam, tapi tidak belajar tafsir Quran. Mengaku sahaja Muslim, tapi tidak tahu tentang agama.

Maksud/Dakwa ini disebut dalam ayat 86.

وَلا يَملِكُ الَّذينَ يَدعونَ مِن دونِهِ الشَّفاعَةَ إِلّا مَن شَهِدَ بِالحَقِّ وَهُم يَعلَمونَ

Dan segala yang mereka sembah yang selain dari Allah, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan syafaat, kecuali mereka yang bersaksi atas kebenaran tauhid, mereka mengetahuiNya dengan yakin.

Roh-roh yang mereka seru itu tidak mempunyai kuasa untuk beri syafaat kepada mereka. Roh-roh itu boleh ditafsirkan sebagai ‘Nabi, wali dan malaikat’. Kerana mereka inilah yang selalunya diseru oleh manusia yang mengamalkan syirik. Mereka tidak ada kuasa syafaat. Syafaat hanya milik Allah sahaja. Kalau mereka senditi tidak ada kuasa syafaat, macam mana mereka hendak beri kepada orang lain? Jadi tidak ada harapan untuk mendapatkan syafaat dari Nabi, wali dan malaikat itu.

Melainkan orang yang bersaksi atas kebenaran tauhid. الحَقِّ bermaksud ‘tauhid’. Mereka menegakkan tauhid dalam kehidupan mereka. Iaitu mereka yang mengamalkan tauhid, faham tauhid dengan sebenar-benarnya. Mereka yakin dengan akidah tauhid. Mereka tahu bahawa seru Nabi, wali dan malaikat itu adalah syirik dan mereka tidak lakukan. Mereka bukan sahaja tidak lakukan, tapi mereka yakin dengan yakin. Mereka yang sebegitu memang ada harapan untuk dapat syafaat. Mereka mungkin ada dosa dan mungkin dimasukkan ke dalam neraka untuk menjalani hukuman di neraka. Mereka boleh dapat syafaat dari mereka yang boleh beri syafaat. Kerana memang Allah ada berikan orang-orang tertentu untuk beri syafaat nanti di akhirat. Seperti Nabi Muhammad, akan diberikan kebenaran untuk beri syafaat di akhirat kelak. Tapi, itu di ‘akhirat’, bukan kita disuruh minta sekarang, kerana Nabi Muhammad sudah wafat, jadi macam mana baginda nak dengar?

Masalahnya, ramai orang yang tidak faham apakah syafaat itu. Kita kena faham bahawa mereka yang memberi syafaat itu tidak ada kuasa mutlak untuk membantu sesiapa pun. Tapi Allah benarkan mereka memberi syafaat untuk memberi penghormatan kepada mereka yang memberi syafaat itu. Sebenarnya Allah memang hendak menolong pun orang yang akan ditolong itu. Inilah yang dinamakan syafaat dengan izin. Allah cuma hendak memberi penghormatan kepada mereka yang memberi syafaat itu. Oleh kerana itu, kita kena faham yang pemberi syafaat tidaklah memiliki kuasa mutlak dan kita bukannya boleh minta terus syafaat kepada mereka itu. Dan bukan wajib pun untuk Allah memakbulkan syafaat mereka itu tapi ianya adalah kemungkinan sahaja.

Mereka yang layak menerima syafaat itu adalah mereka yang menerima tauhid dengan hati yang yakin. Dan mereka yang mengamalkan tauhid. Kalau diri sendiri tidak mengamalkan tauhid, memang tidak ada harapan langsung untuk menerima syafaat nanti.

Surah ini adalah surah Makkiyah – diturunkan di Mekah. Perkataan ‘Zukhruf’ yang disebut dalam ayat ke 35 bermaksud ‘kecantikan’, ‘perhiasan’. Surah ini menceritakan tentang realiti perhiasan dan harta di dunia ini. Allah hendak beritahu yang perhiasan dunia itu sikit dan ianya sementara sahaja. Kita diingatkan supaya jangan terpedaya dan terpesona dengan dunia sampaikan lupa untuk bersedia untuk akhirat. Kita diingatkan bahawa akhirat itu lebih penting.


 

Ayat 1:

حم

Haa, Miim.

Kita tidak tahu apa makna ayat ini. Ayat-ayat jenis ini dinamakan ayat-ayat Muqattaah. Kita hanya boleh tafsir ayat yang selepas dua ayat muqattaah ini sahaja.

Ini menyedarkan kita bahawa, kalau Allah tidak memberitahu apa-apa kepada kita, kita tidak akan tahu apa-apa. Bukanlah huruf-huruf Muqattaah ini tidak ada makna. Ada maknanya, cuma kita sahaja yang tak tahu. Kerana Allah tidak memberitahu kepada kita. Nabi Muhammad pun tidak pernah menceritakan apakah maknanya. Kita tahu tidak ada maklumat tentangnya, kerana tidak ada hadis yang Nabi memberitahu maknanya. Ada perkara yang Allah tak beritahu kepada kita, termasuklah kepada Nabi Muhammad.

Ini adalah satu ujian kepada orang yang alim – (orang berilmu). Ujian untuk lihat sama ada mereka boleh kata mereka ‘tidak tahu’. Untuk melihat samada mereka boleh mengaku kepada manusia bahawa mereka tidak tahu. Kerana mereka mungkin rasa malu untuk mengaku tidak tahu. Takut orang hairan kenapa mereka tidak tahu. Jadi, ada orang alim yang walaupun mereka tidak tahu dengan pasti, mereka akan jawap juga mengikut agak-agak mereka, walaupun mereka tahu maklumat itu tidak tepat. Ini mengingatkan kita kepada kisah bagaimana pernah satu rombongan dari jauh datang bertemu Imam Malik dengan membawa 18 soalan. Imam Malik hanya menjawap 3 sahaja soalan-soalan itu dan selainnya, Imam Malik jawap: ‘tidak tahu’.

Kepada kita yang tidak berilmu ini, ayat ini mengajar kita untuk mula belajar dengan ‘tidak tahu’. Dengan mempunyai fikiran yang kosong, bersedia untuk menerima ilmu. Kalau kita mulakan belajar sesuatu dengan idea lain yang sudah ada dalam fikiran kita, itu akan jadi satu gangguan kepada pemahaman kita.

Satu lagi, huruf-huruf Muqattaah ini mungkin diletakkan sebegitu rupa untuk menarik perhatian orang yang mendengar. Bangsa Arab adalah satu bangsa yang amat berbangga dengan penguasaan bahasa mereka. Penggunaan huruf Muqattaah ini tidak pernah mereka dengar. Jadi, apabila Quran menggunakan perkataan sebegini, mereka kehairanan dan mereka akan tertanya-tanya apakah yang hendak dibawa oleh ayat-ayat Quran itu. Oleh itu, mereka akan memberi perhatian kepada ayat-ayat yang seterusnya.

Kepada kita, walaupun kita tidak menguasai bahasa Arab, tetapi apabila kita baca huruf-huruf Muqattaah ini, ianya adalah satu penggunaan bahasa yang amat menarik perhatian kita. Kita akan rasa terpanggil untuk terus membaca ayat-ayat seterusnya. Begitulah keindahan Quran yang Allah telah jadikan untuk kita.


 

Ayat 2: Allah menerangkan tentang Quran sebagai galakan untuk kita memahami dan mengamalkan ajaran dalam Quran.

وَالكِتابِ المُبينِ

Sahih International

By the clear Book,

Malay

Demi Kitab Al-Quran yang menyatakan kebenaran.

 

وَالْكِتَابِ الْمُبِينِ

Demi Kitab Al-Quran yang jelas nyata.

Allah bersumpah dengan Kitab al-Quran dalam ayat ini. Allah boleh bersumpah dengan makhlukNya tetapi kita hanya boleh bersumpah dengan nama Allah sahaja. Malangnya, ada manusia yang bersumpah dengan cahaya api, dengan matahari yang sedang naik, dengan bulan, bintang dan sebagainya. Itu tidak boleh. Sepatutnya kita bersumpah dengan nama Allah.

Apa sahaja yang Allah gunakan sebagai sumpahNya, memberi isyarat kepada kedudukan yang tinggi perkara itu. Allah ada bersumpah dengan masa, dengan buah Tin dan Zaitun dan macam-macam lagi. Jadi dalam ayat ini, Allah bersumpah dengan Quran. Maknanya, Allah hendak meninggikan kedudukan Quran itu. Allah memberitahu kepada kita ketinggian kedudukan Quran itu. Maka, kita pun hendaklah melihat Quran itu dengan ketinggiannya.

Perkataan الْمُبِينِ bermaksud ‘jelas nyata’. Lebih tepat lagi, ianya memang telah jelas dengan diri sendiri dan tidak perlu dijelaskan oleh sumber yang lain. Sebagai contoh, telah jelas kepada kita bahawa tujuan utama Quran adalah untuk mengajak kepada menyembah Allah sahaja. Dan pengajaran tauhid dalam Quran adalah amat jelas sampaikan tidak perlu untuk merujuk kepada hadis atau kitab yang lain pun, kita akan dapat faham tauhid. Kerana pengajaran tentang tauhid itu diulang berkali-kali dengan berbagai cara.

الْمُبِينِ juga bermaksud ‘memperjelaskan’. Quran memperjelaskan kepada manusia tentang tauhid, aqidah, iman, membezakan kebenaran dan kebathilan dan macam-macam lagi perkara agama. Tapi yang akan mendapatnya adalah mereka yang belajar tafsir sahaja. Maka, amatlah rugi kepada mereka yang tidak mahu belajar tafsir Quran ini.

Qur’an itu semua ayatnya sahih. Tidak boleh dipertikaikan lagi. Ayat-ayat Qur’an itu sendiri sebagai bukti kesahihannya. Kehebatan Qur’an itu tidak mungkin dibuat oleh manusia, maka tentunya ia dari Tuhan yang Maha Mulia. Dan satu lagi kehebatannya, ia mudah difahami, asalkan mahu datang belajar sahaja.

Kalau ada sumpah, tentu ada sesuatu yang hendak ditekankan. Sebagai contoh, orang bersumpah: “Demi Allah, aku tidak bersalah”. Maknanya, dia hendak mengatakan dia tidak bersalah. Jadi apakah perkara yang Allah hendak tekankan dengan sumpah menggunakan Quran ini? Jawap sumpah adalah Nabi Muhammad itu memang benar sebagai Rasul dari pemilihan Allah.


 

Ayat 3:

إِنّا جَعَلناهُ قُرآنًا عَرَبِيًّا لَعَلَّكُم تَعقِلونَ

Sahih International

Indeed, We have made it an Arabic Qur’an that you might understand.

Malay

Sesungguhnya Kami jadikan Kitab itu sebagai Quran yang diturunkan dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya.

 

إِنَّا جَعَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا

Sesungguhnya Kami jadikannya sebagai Quran dalam bahasa Arab,

Allah menggunakan perkataan جَعَلْنَاهُ yang berasal dari katadasar َجَعَل yang bermaksud ‘menjadikan’. Ianya berbeza dengan katadasar خَلَق yang bermaksud ‘mencipta’. Ini penting kerana kita tidak mahu ada pendapat yang mengatakan Quran itu ‘makhluk’ – dicipta. Akidah kita mestilah faham bahawa Quran ini Kalam Allah. Apabila digunakan perkataan جَعَل, ia boleh membawa banyak maksud dan tidak terhad dalam makna ‘mencipta’. جَعَل boleh merangkumi banyak makna termasuklah: membentuk, menyusun, dan sebagainya. Ia bermaksud membentuk sesuatu yang sudah ada. Seperti Allah menjadikan kita ummat pertengahan. Sebagai contoh, kita sudah ada, tapi Allah bentuk kita jadi satu perkumpulan. Ini penting kerana masih ada juga umat Islam yang tidak faham, mereka mengatakan yang Quran itu ‘makhluk’, sedangkan perbincangan ini telah lama selesai berkurun yang lalu.

Perkataan ‘Quran’ itu bermaksud kitab yang selalu dibaca. Tidak ada kitab lain atau buku lain yang dibaca sebanyak orang membaca Quran. Walaupun kitab agama lain seperti Injil, tidak dibaca macam orang Islam membaca Quran. Sudahlah yang membacanya ramai, yang membacanya pun akan membacanya dengan banyak sekali. Dan ramai umat Islam yang bukan sahaja banyak membaca, tetapi menghafal Quran itu. Ada yang hafal sebahagian dan ada yang menghafal keseluruhan 30 juzuk. Mereka itu di merata-rata dunia. Mereka sentiasa sahaja membaca Quran itu. Inilah salah satu dari mukjizat Quran – ianya banyak dibaca.

Perkataan ‘Qur’an’ itu juga bermaksud ‘yang dibaca’. Kerana memang ada kitab wahyu yang lain sebelum Qur’an, tapi sudah tidak dibaca dan dijadikan amalan lagi. Kerana kitab-kitab itu sudah habis tempohnya. Hanya Qur’an sahaja yang tinggal yang dijadikan sebagai rujukan dan akan dibaca sampai ke Kiamat nanti.

Quran itu mesti dalam bahasa Arab. Bahaya kalau Quran tidak disertakan dengan teks Arab. Sudah ada sekarang Kitab Terjemah Quran tanpa bahasa Arab. Ada pula di pusat dakwah. Tujuannya untuk memudahkan manusia yang tidak tahu bahasa Arab untuk memahami Quran. Tapi ianya masih bahaya kerana ianya akan menyebabkan kekeliruan. Takut jadi macam Kitab Injil yang telah dialih bahasa dari bahasa asalnya dan penganutnya hanya merujuk kepada terjemahan sahaja sedangkan terjemahan itu tidaklah semestinya terjemahan yang benar. Sebab itu penting ada teks asal supaya boleh dirujuk. Teks Arab itu kena ada sentiasa supaya menjadi rujukan utama. Kita takut kalau tidak disertakan dengan teks Arab, akan ada yang sangka bahawa Quran itu ada dalam bahasa lain. Takut nanti jadi macam Kitab Injil pula. Kitab Injil itu asalnya dalam bahasa Hebrew, tapi penganutnya dahulu telah menterjemahkan Quran itu dan tidak menyertakan dalam bahasanya yang asal. Akhirnya, ramai yang telah keliru, dan agama Kristian yang asalnya benar, telah menjadi sesat.

Oleh itu, jikalau kita memberitahu kepada orang lain tentang ayat Quran, tanpa disertakan dengan teks asal Quran itu, maka hilanglah mukjizat yang ada padanya. Maka, kalau kita berikan mesej ayat-ayat Quran kepada kenalan kita, dalam Facebook, Whatsapp, Twitter dan sebagainya, pastikan kita masukkan sekali dengan ayat Quran yang asal. Kerana terjemahan yang ada hanya satu cubaan untuk menterjemah maksud ayat Quran itu sahaja. Tidak semestinya tepat.

Bahasa Arab itu sendiri adalah bahasa yang tepat. Yang belajar Bahasa Arab, akan faham apa yang kita maksudkan ini. Kalau dibandingkan bahasa Melayu dengan bahasa Arab, bahasa Melayu kita adalah miskin. Kerana itulah kita kena tafsir dengan panjang satu kalimah dalam bahasa Arab kerana kalau nak terjemah terus, tidak ada kalimah itu dalam bahasa Melayu kita. Sebagai contoh, kita lihat kalimah ‘yaqin’ yang datang dari bahasa Arab. Kalau kita nak terjemah maksud yaqin dalam bahasa kita, bolehkah? Ia tidak sama dengan ‘percaya’ sahaja kerana yaqin itu datang setelah datang dalil dan diterima dengan hati kerana percaya. Kalau percaya sahaja, belum tentu ada dalil lagi. Oleh itu, kita kenalah belajar bahasa Arab juga untuk faham Qur’an ini dan jangan putus asalah untuk mempelajari bahasa Arab.

Bahasa Quran itu adalah bahasa mukjizat. Ianya bukan bahasa Arab yang biasa. Kalau kita baca pun dah lain dari bacaan tulisan Arab yang lain – siap kena belajar ilmu tajwid pula. Ejaan pun sudah tidak sama (sebagai contoh, lihatlah bagaimana ejaan ‘solah’ dalam Quran – begitulah yang sampai kepada kita). Ini adalah kerana bahasa Quran itu adalah bahasa yang khas. Ia tidak sama pun dengan bahasa Arab yang dituturkan oleh bangsa Arab sekarang. Apabila dibaca, ianya sedap dan dapat membuka hati manusia untuk menerima kalau mereka membuka hati kepada kebenaran.

 

لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya.

Quran diturunkan dalam bahasa Arab supaya manusia dapat memahaminya. Pertamanya, ianya diturunkan dalam bahasa Arab kerana penerima pertama wahyu ini adalah bangsa Arab. Apabila Quran diturunkan dalam bahasa Arab, mudah untuk mereka memahaminya. Bayangkan kalau Quran diturunkan dalam bahasa selain Arab, tentulah mereka tidak faham.

Tapi bagaimana pula dengan kita yang berbahasa selain bahasa Arab? Kenapa tidak diturunkan kitab dalam bahasa Melayu? Kerana ada kelebihan pada bahasa Arab. Bahasa Arab adalah bahasa yang indah dan ia juga adalah bahasa yang tepat. Ianya dapat memperjelaskan sesuatu idea dengan menggunakan bahasa yang ringkas. Kita nampak ringkas sahaja, tapi apabila dibahaskan, disyarah, baru nampak yang ianya membawa banyak maksud yang hendak disampaikan. Kelebihan ini tidak terdapat dalam bahasa-bahasa yang lain. Kalau perkara yang sama hendak disampaikan dalam bahasa lain, memerlukan perkataan yang panjang-panjang.

Sebab itulah kita jangan tinggalkan teks Quran dalam bahasa Arab itu. Dan ini juga sepatutnya menjadi motivasi untuk kita belajar bahasa Arab. Kerana ianya bahasa Quran, maka hendaklah kita belajar bahasa Arab itu supaya kita boleh faham dengan lebih tepat lagi Quran itu. Ianya memang mengambil masa. Sesuatu yang penting memang memerlukan masa untuk mendapatkannya.


 

Ayat 4:

وَإِنَّهُ في أُمِّ الكِتابِ لَدَينا لَعَلِيٌّ حَكيمٌ

Sahih International

And indeed it is, in the Mother of the Book with Us, exalted and full of wisdom.

Malay

Dan sesungguhnya Al-Quran itu dalam Ibu Suratan di sisi Kami – sangat tinggi (kemuliaannya), lagi amat banyak mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh.

 

وَإِنَّهُ فِي أُمِّ الْكِتَابِ

Dan sesungguhnya Al-Quran itu dalam Kitab Induk

Quran yang dimaksudkan adalah Quran yang asal. Iaitu sebelum diturunkan kepada manusia, ianya sudah ada. Bukanlah Quran itu macam mushaf yang ada di tangan kita sekarang. Kitab Induk yang dimaksudkan itu ada di Lauh Mahfuz. Bagaimana rupanya, kita tidak tahu. Ia dinamakan ‘Kitab Induk’ kerana ianya adalah asal kepada semua kitab yang diturunkan kepada manusia. أُمِّ dari segi bahasa bermaksud ‘ibu’ dan dari ibu itu akan melahirkan beberapa orang anak. Maknanya, dari Kitab Induk itu dikeluarkan beberapa Kitab. Allahu a’lam.

 

لَدَيْنَا

di sisi Kami –

Apabila Allah berkata yang ianya di SisiNya, ianya bermaksud ianya dalam jagaan Allah. Tidak ada sesiapa yang boleh mengubahnya.

Apabila di sisi Allah, maka ianya juga berada dalam kedudukan yang tinggi. Kerana Allah itu sendiri sudah berada dalam kedudukan yang tinggi.

Ayat ini memberitahu kepada kita sebelum Quran diturunkan kepada Nabi sedikit demi sedikit dalam masa 23 tahun itu, ianya sudah ada di Lauh Mahfuz.

Apabila Quran diturunkan, turun bersamanya 50,000 malaikat. Jangan kita sangka mereka itu untuk membantu Jibrail menjaga Quran dari dicuri syaitan. Itu adalah anggapan yang salah. Jibrail sendiri ditakuti oleh para malaikat, takkan syaitan berani nak ganggu? Sebenarnya para malaikat yang ramai itu ada bersama sebagai penghormatan kepada Quran. Macam kalau Sultan pergi ke mana-mana melawat kawasan, dia akan ditemani dengan ramai orang lain sebagai penghormatan kepadanya.

Quran itu diturunkan sedikit demi sedikit kepada Nabi Muhammad selama hampir 23 tahun. Apabila berlaku sesuatu keperluan, maka ada ayat-ayat yang diturunkan. Umat lebih faham tentang apa yang hendak disampaikan kerana ianya bersangkutan dengan kejadian waktu itu.

Maknanya, ianya mengambil masa untuk memahami Quran. Kita pun yang sedang belajar tafsir Quran ini juga, perlu belajar sikit demi sedikit dan tidak gelojoh dalam menghabiskannya. Untuk belajar memahami Qur’an memang memerlukan masa yang lama. Bukan lah seperti pemahaman puak Tarekat yang mana mereka mencari-cari untuk mempelajari Ilmu Laduni supaya mereka kononnya boleh terus faham agama dan ilmu hakikat dalam masa sehari. Itu adalah satu pemahaman yang sesat yang hanya diterima oleh mereka yang jahil dan senang ditipu sahaja. Malang sekali, mereka ini amat ramai dalam kalangan kita. Ada dari kalangan kawan-kawan kita, adik beradik kita. Semoga Allah bukakan pintu hati mereka untuk menerima Islam yang sebenar.

 

لَعَلِيٌّ حَكِيمٌ

sangat tinggi (kemuliaannya), banyak mengandungi hikmat bijaksana

Quran itu berada pada kedudukan yang amat tinggi. Ianya lebih tinggi dari mana-mana kitab, mana-mana buku. Ianya lebih tinggi lagi daripada kitab-kitab lain yang diturunkan seperti Injil, Taurat, Zabur dan sebagainya. Kalau lebih tinggi dari kitab-kitab Kalam Allah yang dahulu, apatah lagi kalau nak dibandingkan dengan kitab-kitab karangan manusia.

Quran sepatutnya menjadi rujukan utama. Sebab itulah kita sedih apabila diberikan ayat-ayat Quran kepada manusia sebagai hujah dan dalil, kadang-kadang ada yang berhujah dengan hadis, dengan kitab lain, dengan pendapat manusia dan macam-macam lagi. Maknanya, orang itu tidak menganggap yang Quran itu berada pada kedudukan yang tinggi melebihi sumber-sumber lain. Sedangkan hadis pun tidak dapat menandingi ketinggian Quran. Kerana itulah, kalaulah ada hadis yang nampak bercanggah dengan ayat Quran, pemahaman hadis itu perlu disesuaikan dengan ayat Quran itu. Kerana tidak mungkin Nabi akan mengeluarkan kata-kata yang berlawanan dengan ayat Quran pula, bukan?

Quran itu mengandungi banyak hikmat. Dan satu lagi makna dari perkataan حَكِيمٌ itu adalah: Quran mengandungi banyak hikmah (kebijaksanaan) untuk memandu kehidupan manusia di dunia supaya hidup dengan selamat di akhirat kelak. Orang yang bijak akan menggunakan nasihat-nasihat dalam Quran untuk menjalani kehidupan mereka.

Kita selalu nampak di dada suratkhabar, banner masjid, tepi jalan, di TV dan sebagainya: “Kembalilah kepada Quran dan Sunnah”. Adakah hanya cakap sahaja tapi tidak disertakan dengan pembelajaran Tafsir Quran? Kerana kalau hendak kembali kepada Quran, kenalah belajar untuk faham Quran itu, bukan? Adakah ini hanya sebagai penyedap cakap di mulut sahaja? Atau nak tunjukkan konon-kononnya kita beriman? Sedangkan ayat ini memberitahu kita ketinggian dan kemuliaan Quran itu. Maka kita kenalah menghargainya. Menghargainya itu adalah dengan mengambil terus nasihat yang disampaikan di dalamnya, jangan abaikan. Jangan baca sahaja Quran itu, tapi nasihat yang disampaikan tidak diambil.

Ringkasnya, telah disebut empat sifat Quran dalam ayat ini:

  1. Ada dalam Kitab Induk di Lauh Mahfuz
  2. Di sisi Allah
  3. Maha tinggi
  4. Maha bijaksana

 

Ayat 5: Zajrun

أَفَنَضرِبُ عَنكُمُ الذِّكرَ صَفحًا أَن كُنتُم قَومًا مُسرِفينَ

Sahih International

Then should We turn the message away, disregarding you, because you are a transgressing people?

Malay

Patutkah Kami membiarkan kamu dengan mengenepikan dan menjauhkan peringatan Al-Quran daripada kamu, kerana kamu telah menjadi kaum yang melampau buruk keadaannya? (Tidak! Kami tidak akan biarkan, bahkan Kami tetap mengingatkan kamu, sama ada kamu mahu menerimanya atau sebaliknya).

 

أَفَنَضْرِبُ عَنكُمُ الذِّكْرَ صَفْحًا

Patutkah Kami membiarkan kamu dengan mengenepikan peringatan Al-Quran daripada kamu,

أَفَنَضْرِبُ dari katadasar َضَرَب yang bermaksud ‘memukul’. Tetapi apabila ditambah selepasnya dengan perkataan عن, ia membawa maksud yang lain. Ia membawa maksud ‘berpaling dari sesuatu dan tidak menghiraukannya’. Atau dalam kata lain, menahan, meninggalkan.

الذِّكْرَ merujuk kepada Quran. Oleh itu, ayat ini bermaksudnya, menahan dari menurunkan Quran kepada manusia. Adakah Allah akan buat begitu?

صَفْحًا dari katadasar صَفَح yang bermaksud ‘tepi tangan’ ataupun ‘tepi leher’. Dan ianya juga bermakna ‘helaian-helaian’ – ada persamaan dengan perkataan ‘suhuf’. Bukankah dengan helaian buku, kita akan mengalihkannya? Oleh itu, perkataan صَفْحًا  dalam ayat ini memberi maksud kita mengalihkan pandangan kita dari sesuatu. Menunjukkan isyarat tidak suka, tidak kisah.

Kita disuruh untuk berdakwah dan memberi peringatan kepada manusia. Pertama sekali kepada ahli keluarga kita, kemudian kepada kenalan kita dan kepada orang lain. Kita kena ingatkan mereka dengan peringatan yang ada dalam Quran. Kita kena cari peluang untuk berdakwah kepada manusia.

 

أَن كُنتُمْ قَوْمًا مُّسْرِفِينَ

kerana kamu kaum yang melampau?

Dalam ayat ini bermaksud tidaklah Allah berpaling dan tidak kisah dengan manusia sampaikan tidak memberikan Quran kepada mereka, walaupun mereka orang yang degil.

Musyrikin Mekah memang kaum yang melampau. Melampau dalam banyak perkara. Dalam kesyirikan mereka, dalam dosa, dalam kezaliman mereka dan dalam menolak ajakan Nabi Muhammad. Berkali-kali baginda berdakwah kepada mereka, tapi mereka melampau dalam menolak ajakan Nabi. Mereka ada yang mengejek, ada yang menyakiti baginda, menghina baginda dan macam-macam lagi.

Mereka memang kalau dikirakan, tidak layak terima Quran. Tetapi Allah tetap turunkan Quran kepada mereka walaupun mereka engkar, walaupun kaum Musyrikin tidak mahu dengar. Supaya nanti di akhirat kelak, mereka tidak ada alasan tidak tahu agama kerana kitab Quran telah diturunkan. Allah akan tetap sampaikan kepada mereka, sehinggalah mereka tolak. Dan apabila mereka tolak, barulah keputusan akan dibuat. Allah akan tetap sampaikan kerana akan ada yang juga dari kalangan mereka yang mahu terima.

Bayangkan kalau Allah tidak menurunkan Quran kepada mereka. Maka kita pun tidak mendapat pengetahuan Quran ini juga. Walaupun ada yang tidak mahu, tapi ada juga yang terima.

Macam sekarang, kita tetap sampaikan ajakan tauhid ini walaupun ada yang tidak suka dan tidak mahu dengar. Walaupun mereka menolak, tapi kita tetap menjalankan kewajipan berdakwah kepada mereka. Supaya nanti di hadapan Allah, kita boleh jawap yang kita telah sampaikan. Cuma mereka sahaja yang tak mahu dengar.

Jangan kita tahan dakwah dan ajakan kepada pemahaman Quran dan agama, walaupun kita rasa mereka tak mahu dengar. Manusia memang ramai yang tidak mahu dengar dakwah kerana mereka sangka mereka sudah selamat ataupun mereka memang tidak kisah dengan akhirat. Tapi walaupun mereka tak kisah, telah melampau dalam hal agama dan kehidupan, itu bukanlah sebab untuk kita berhenti berdakwah kepada mereka.

Selalunya kita kena berkali-kali memberitahu dan dakwah kepada manusia. Macam kita dengan anak kita. Kalau bagi nasihat, mereka akan cepat lupa. Dan mereka buat tak tahu sahaja dengan nasihat kita. Tapi takkan kita nak berhenti dari memberi nasihat kepada mereka? Kita kena terus berikan nasihat kepada mereka. Sama juga kita dengan manusia yang engkar dan degil. Bukan sekali sahaja kita beritahu dan dakwah kepada mereka. Kita kena selalu memberitahu kepada mereka. Ada yang lama-lama akhirnya akan mendengar dakwah kita kerana selalu sangat kita beritahu mereka. Macam anak kita tidak mahu makan, adakah kita berhenti dan tidak beri mereka makan? Tentu tidak. Kita akan beri dan paksa mereka makan juga kerana kita tahu yang ianya penting. Begitu juga dengan agama ini.

Ada orang yang kita nampak macam tidak ada harapan untuk beriman. Kita rasa macam mereka tidak akan dengar kita, tidak akan beriman, maka kita tidak dakwah kepada mereka. Itu adalah salah. Kita tidak boleh buat keputusan begitu. Jangan kita awal-awal lagi sudah menghukum orang lain sebelum kita cakap dengan mereka. Kita tidak boleh memilih siapa yang dapat hidayah atau tidak. Kita kena sampaikan juga. Kalau kita tak sampaikan, kita pula yang salah. Nabi tidak berhenti memberi dakwah kepada umatnya, maka kita pun jangan berhenti juga.

Kadang-kadang, ada yang marah kalau kita selalu beritahu mereka. Maka kita kena guna strategi. Berhenti dulu dari tegur mereka dahulu, tapi kemudian datang balik dengan cara yang lain. Kena ubah cara kita. Mungkin kali pertama dulu, dia tidak suka dengan cara kita. Atau waktu itu dia sedang mood tidak baik. Kita tunggu mood dia dah baik, baru kita tegur dia balik.

Anda yang yang sedang membaca tulisan ini tentunya sudah ‘mahu’ kepada agama, hendak belajar tentang Quran, sebab itu anda sedang membaca lagi tulisan ini walaupun ianya panjang berjela. Begitu juga mereka yang telah pergi ke kelas pengajian. Tapi bagaimana dengan mereka yang tak kisah tentang agama? Iaitu ahli keluarga kita sendiri, kawan-kawan rapat kita sendiri, jiran-jiran kita dan orang di sekeliling kita? Ingatlah kepada mereka juga yang kita kena ingatkan dan ajar tentang Quran ini. Mereka yang faham tentang kewajipan inilah yang pergi berjumpa dengan pemuda pemudi yang sedang berjoget di disco, kelab malam dan berdakwah kepada mereka. Merekalah yang pergi ke tempat-tempat yang orang warak tak pergi, orang alim tidak pergi. Merekalah yang berusaha untuk menyampaikan ajaran agama kepada mereka yang nampaknya tidak kisah dengan agama. Merekalah juga yang pergi berjumpa dengan orang-orang kafir dan menyampaikan ajakan tauhid kepada mereka.


 

Ayat 6: Takhwif duniawi

وَكَم أَرسَلنا مِن نَبِيٍّ فِي الأَوَّلينَ

Sahih International

And how many a prophet We sent among the former peoples,

Malay

Dan (ingatlah), berapa banyak nabi-nabi yang kami telah utuskan kepada umat-umat yang terdahulu zamannya.

 

وَكَمْ أَرْسَلْنَا مِن نَّبِيٍّ فِي الْأَوَّلِينَ

Dan berapa banyak nabi-nabi yang kami telah utuskan kepada umat-umat yang terdahulu zamannya.

Allah tetap memberikan peringatan kepada manusia. Selepas diberikan dengan kitab dariNya, diberikan pula para Nabi dan Rasul untuk menyampaikan ajaran agama kepada manusia. Sudah banyak dah para Nabi dan Rasul yang diangkat oleh Allah. Supaya manusia mendapat peringatan dan ancaman. Begitulah sayang-Nya Allah kepada kita. Dia tidak turunkan wahyu sahaja, tapi diberikan juga para Nabi untuk menjelaskan maksud wahyu itu. Begitulah juga dengan Quran ini. Allah tidak turunkan Quran sahaja, tapi Allah angkat Nabi Muhammad sebagai rasul untuk mengajar kita tentang Quran. Kerana kalau Nabi tidak mengajar kita, kita tidak faham pun apa yang hendak disampaikan oleh Quran dan kita tidak tahu bagaimana hendak mengamalkannya.

Zaman sekarang sudah tidak ada Nabi lagi. Tapi kita ada ulama-ulama penyebar tauhid yang menyampaikan ajaran yang sama. Carilah mereka yang dapat menyampaikan ajaran yang benar. Hendaklah mencari guru yang boleh mengajar tafsir Quran dan hadis Nabi. Itulah ilmu yang perlu dipelajari mula-mula sekali. Sebelum belajar kitab-kitab lain, ilmu-ilmu agama yang lain, belajarlah dua perkara penting ini dahulu.


 

Ayat 7: Allah telah turunkan penyebar tauhid kepada manusia. Tapi apa yang manusia lakukan kepada mereka?

وَما يَأتيهِم مِن نَبِيٍّ إِلّا كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ

Sahih International

But there would not come to them a prophet except that they used to ridicule him.

Malay

Dan tidak ada seseorang Nabi pun yang datang kepada mereka, melainkan mereka mempersenda dan mengejek-ejeknya.

 

وَمَا يَأْتِيهِم مِّن نَّبِيٍّ

Dan tidak ada seseorang Nabi yang datang kepada mereka,

Apa yang selalu terjadi apabila seseorang Nabi datang berdakwah kepada kaumnya?

 

إِلَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ

melainkan mereka mempersenda dan mengejek-ejeknya.

Ini adalah kebiasaan yang terjadi kepada para Rasul. Ini adalah kebiasaan orang yang tidak mahu menerima dakwah. Mereka akan mengejek. Mereka akan kata macam-macam. Mereka kata kita yang sesat. Mereka kata kita tipu. Mereka kata Allah tidak pernah kata begitu, tapi kita sahaja yang memandai memperkatakan begitu.

Begitulah yang para Nabi terima. Dan inilah juga dugaan yang akan diterima oleh para pendakwah. Memang tak boleh nak ditolak lagi. Allah memang telah sediakan siap-siap orang-orang sebegini sebagai ujian untuk kita. Mereka yang lemah imannya, akan gagal dalam cubaan ini. Kena kutuk, kena ejek sikit, sudah tidak berani berdakwah. Mereka takut dengan orang lain. Mereka takut dengan orang yang jahil!


 

Ayat 8: Setelah mereka menolak, apakah kesan kepada mereka?

فَأَهلَكنا أَشَدَّ مِنهُم بَطشًا وَمَضىٰ مَثَلُ الأَوَّلينَ

Sahih International

And We destroyed greater than them in [striking] power, and the example of the former peoples has preceded.

Malay

Lalu Kami binasakan orang-orang yang lebih kekuatannya (dan lebih kejam serangannya) daripada mereka; dan telahpun disebutkan (berulang-ulang di dalam Al-Quran) tentang kisah-kisah dan misal perbandingan mengenai umat-umat yang telah lalu.

 

فَأَهْلَكْنَا أَشَدَّ مِنْهُم بَطْشًا

Lalu Kami binasakan orang-orang yang lebih hebat kekuatan serangan dari mereka;

Allah memberi peringatan kepada Musyrikin Mekah. Allah beritahu dalam ayat ini bagaimana sebelum mereka, telah ada kaum lain yang lebih kuat dari mereka. Musyrikin Mekah sangka mereka kuat, tapi yang lagi kuat dari mereka pun sudah dimusnahkan. Musyrikin Mekah itu sangka mereka hebat tapi mereka lupa yang mereka itu mengharap makanan dari tempat lain. Kerana tempat tinggal mereka itu gersang tidak ada apa. Mereka dapat sumber pun kerana mereka ada keluar berniaga sahaja, kalau tidak, makanan pun mereka tidak ada.

Ada banyak jenis kekuatan, ada banyak peringkat. Ada yang kuat menahan serangan. Tetapi بَطْشًا bermaksud ‘serangan’. Iaitu kekuatan yang boleh mencengkam dan memusnahkan. Bermaksud kaum itu amat kuat sampaikan boleh menyerang kaum yang lain. Tapi mereka yang kuat begitu pun telah dimusnahkan juga.

 

وَمَضَىٰ مَثَلُ الْأَوَّلِينَ

dan telahpun disebutkan tentang kisah-kisah dan misal perbandingan mengenai umat-umat yang telah lalu.

Kisah-kisah umat terdahulu telah banyak disebut dalam Quran. Kita sendiri boleh periksa kebenaran kisah-kisah itu. Kerana kisah mereka ada disebut dalam lipatan sejarah manusia. Ramai yang telah mengkaji tamadun-tamadun dahulu. Ramai kaji kehidupan mereka, apa mereka pakai, apa mereka makan, tapi tidak ramai yang kaji apa akidah mereka dan sebab apa mereka dimusnahkan. Sebagai contoh, kita belajar dalam sejarah tamadun Inca, tapi adakah kita tahu kenapakah mereka dimusnahkan?

Kisah-kisah umat dahulu dijadikan sebagai pengajaran kepada kita supaya kita beringat. Supaya kita jadikan mereka sebagai sempadan. Jangan kita buat seperti mereka kerana Allah boleh sahaja kenakan azab yang sama. Jangan kita sangka kita terselamat. Ramai yang sangka apa yang terjadi kepada umat dahulu tidak akan terjadi kepada kita. Macam kita tengok orang kemalangan jalanraya. Kita rasa mereka sahaja yang kena. Kita lupa yang kita pun boleh kena kalau Allah sudah takdirkan.

Ingatlah bahawa sejarah berulang kerana manusia tidak mengambil pengajaran. Mahukah kita kehancuran yang sama diberikan kepada kita?

Ayat ini adalah amaran kepada penduduk Mekah dan sekitarnya. Musyrikin Mekah tahu tentang kisah kaum-kaum terdahulu yang telah musnah seperti kaum Aad dan Tsamud. Termasuk juga kita, kena belajar tentang kesalahan yang dilakukan oleh kaum terdahulu. Memang Allah turunkan Quran kepada mereka walaupun mereka engkar, melampau dalam kehidupan mereka. Kemudian Allah beri para Nabi untuk menyampaikan dakwah kepada mereka. Tetapi kalau lama kelamaan mereka tetap engkar, tidak mahu mendengar nasihat, masih lagi mengamalkan syirik, mereka akan dikenakan dengan azab semasa di dunia lagi.

Kita pun tidak tahu samada Allah akan terus memberikan peringatan kepada kita. Amalan syirik dan khurafat memang banyak diamalkan di negara dan dunia sekarang. Bukan sahaja diamalkan oleh orang kafir, orang Islam pun sekali. Kalau Allah takdirkan azab diturunkan, ke mana lagi kita nak selamatkan diri kita? Kalau kita tidak amalkan pun, kita pun akan terkena azab itu juga. Semoga kita diselamatkan oleh Allah.


 

Ayat 9: Ini adalah dalil aqli i’tirafi. Ada akidah musyrikin Mekah yang benar. Ada beberapa perkara tauhid yang mereka dah terima dah.

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَن خَلَقَ السَّماواتِ وَالأَرضَ لَيَقولُنَّ خَلَقَهُنَّ العَزيزُ العَليمُ

Sahih International

And if you should ask them, “Who has created the heavens and the earth?” they would surely say, “They were created by the Exalted in Might, the Knowing.”

Malay

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:” Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”.

 

وَلَئِن سَأَلْتَهُم

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:

Nabi Muhammad disuruh bertanya kepada Musyrikin Mekah untuk mengeluarkan apakah akidah mereka sebenarnya. Ini adalah salah satu dari cara dakwah – bertanya kepada orang yang kita dakwahkan itu apakah pegangan mereka supaya kita boleh mengetahui apakah akidah mereka.

 

مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ

“Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?”

Alam yang begini indah dan hebat ini, siapakah penciptanya? Takkan ianya terjadi dengan sendiri pula? Kita juga boleh tanyakan soalan yang sama kepada orang ramai. Kepada orang kafir, kepada orang atheis, kepada orang Islam sekalipun.

 

لَيَقُولُنَّ خَلَقَهُنَّ الْعَزِيزُ الْعَلِيمُ

Sudah tentu mereka akan menjawab: “Yang menciptakannya ialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”.

Musyrikin Mekah pun akan mengaku bahawa Allah lah yang mencipta langit dan bumi. Mereka tidak berdolak dalik. Yang bersifat Maha Kuasa dan Maha Mengetahui adalah hanya Allah sahaja. Walaupun tidak disebut dalam ayat ini yang mereka menyebut nama ‘Allah’, tapi kita tahu bahawa yang mereka maksudkan adalah Allah. Kerana dalam ayat-ayat yang lain, jelas mereka menyebut nama Allah.

Mereka percaya bahawa Allah adalah Tuhan. Mereka tahu bahawa Allah adalah pencipta alam ini. Dari ini, kita tahu mereka ada apa yang dinamakan Tauhid Rububiyyah dalam diri mereka. Iaitu mereka terima bahawa Tuhan itu ada. Dan Musyrikin Mekah memang terima bahawa Tuhan itu bernama Allah. Dan mereka tahu dan terima bahawa Allah lah sahaja yang boleh mencipta alam ini.

Ramai yang terkejut dengan kenyataan ini. Mereka kehairanan dengan muka yang keliru, berkata: “Apa, Musyrikin Mekah percaya kepada Allah?!”. Mereka kata kita sesat kerana kata Musyrikin Mekah ada tauhid. Ya, mereka memang ada sebahagian dari ilmu tauhid iaitu mereka percaya kepada Allah. Ini jelas dalam hadis-hadis dan pembelajaran Sirah. Yang tidak tahu adalah hanya kerana mereka tidak belajar sahaja. Dan tidak belajar Quran kerana memang jelas dalam ayat ini memberitahu bahawa Musyrikin Mekah menerima akidah yang Allah lah yang mencipta alam ini. Maka, hendaklah mereka mempelajari Sirah untuk mengetahui bagaimanakah kepercayaan Musyrikin Mekah terhadap Allah.

Allah hendak memberitahu mereka dalam ayat ini: Kalau mereka menerima Allah yang menjadikan alam ini, maka hendaklah mereka sembah Dia sahaja. Jangan sembah yang lain.

Oleh itu, dalam pembelajaran Tauhid Tiga Serangkai (atau digelar juga Tauhid 3T) (Tauhid Rubibiyyah, Tauhid Uluhiyyah, Tauhid Asma’ wa Sifat), kita belajar bagaimana Musyrikin Mekah itu ada pemahaman Tauhid Rububiyyah. Tapi yang mereka tidak ada, adalah apa yang dinamakan: Tauhid Uluhiyyah. Iaitu kepercayaan, hanya Allah sahaja yang wajib disembah, diibadati, dipuja, diharap – tidak ada yang lain lagi. Mereka tidak hanya menyembah Allah. Mereka memang sembah dan berdoa kepada Allah, tapi mereka juga sembah dan berdoa kepada selain dari Allah. Sebab itulah mereka menjadikan berhala-berhala sebagai sembahan mereka. Mereka merasakan yang berhala-berhala itu akan menyampaikan doa mereka kepada Allah. Mereka menjadikan berhala-berhala itu sebagai tawasul.

Kenapa ayat ini penting? Kerana begitu juga orang Islam pun. Orang kita mengaku yang Allah itu Tuhan, Dia yang menjadikan alam ini seluruhnya. Orang kita juga melakukan ibadat kepada Allah. Tapi dalam masa yang sama, orang Islam kita sembah entiti yang lain, taat kepada yang lain, melakukan ibadat kepada yang selain Alllah. Maka, kalau itulah sifat Musyrikin Mekah, apa yang kita hendak panggil orang Islam sebegini? Musyrikin Malaysia? Musyrikin Indonesia?

Ingatlah bahawa mengatakan yang Allah itu Tuhan, tidak cukup lagi. Ianya perlu diikuti dengan amalan yang benar. Iaitu kita mestilah hanya melakukan ibadat kepadaNya sahaja. Hanya sembah Allah sahaja, hanya seru kepada Dia sahaja dalam doa. Inilah ajaran tauhid. Inilah yang tidak dapat diterima oleh Musyrikin Mekah. Mereka marah dan menentang Nabi Muhammad apabila baginda memberitahu mereka bahawa yang layak disembah hanyalah Allah sahaja. Musyrikin Mekah terima bahawa Allah itu Tuhan tapi dalam masa yang sama, mereka sembah juga sembahan-sembahan yang lain sebagai ‘ilah’ mereka – Nabi, wali, malaikat dan jin. Mereka menganggap Allah sebagai Tuhan Utama dan sembahan-sembahan lain sebagai ‘tuhan-tuhan mini’ atau ilah. Apabila Nabi Muhammad datang dengan membawa ajaran la ilaha illallah, mereka tidak dapat terima, itu sebab mereka lawan baginda. Mereka marah kerana mereka dilarang dari mengamalkan apa yang mereka sudah biasa amalkan. Mereka marah kerana Nabi Muhammad menidakkan ilah-ilah yang lain.

Begitulah juga masyarakat kita yang jahil – mereka marah benar kalau kita kata tidak boleh seru Nabi, wali atau malaikat dalam doa. Kerana perbuatan itu menjadikan entiti-entiti itu sebagai ilah.


 

Ayat 10: Siapakah Allah? Ini adalah ayat Tanwirul Dakwa. Iaitu tambahan maklumat yang Musyrikin Mekah tidak tahu.

الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَرضَ مَهدًا وَجَعَلَ لَكُم فيها سُبُلًا لَعَلَّكُم تَهتَدونَ

Sahih International

[The one] who has made for you the earth a bed and made for you upon it roads that you might be guided

Malay

(Dia lah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Ia telah mengadakan bagi kamu di bumi jalan-jalan lalu-lalang, supaya kamu mendapat petunjuk (ke arah yang dituju).

 

الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ مَهْدًا

(Dia lah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai buaian,

مَهْدًا dari segi bahasa bermaksud ‘buaian’. Macam buaian untuk bayi yang bergerak perlahan-lahan, didodoi sampaikan bayi itu sedap sahaja sampai dia tertidur. Buaian itu memang bergerak, tapi bayi itu tidak tahu. Dia lagi suka dengan pergerakan buaian yang sepoi-sepoi itu.

Maknanya, Allah menjadikan bumi ini sebagai tempat yang sedap untuk didiami. Bumi ini memang sentiasa bergerak kalau kita belajar sains. Tapi kita tak rasa pun pergerakan yang laju itu. Kita rasa tenang sahaja. Padahal, ianya bergerak dengan kelajuan yang amat laju.

Kesenangan hidup di bumi ini dijadikan oleh Allah untuk kita dari sifat RahmatNya. Semua keperluan kita untuk hidup, telah diberikan kepada kita. Apa-apa sahaja kebaikan dan kesenangan yang kita dapat, ingatlah yang ianya dari Allah.

 

وَجَعَلَ لَكُمْ فِيهَا سُبُلًا

dan Ia telah mengadakan bagi kamu di bumi, jalan-jalan,

Allah yang buat jalan sebenarnya. Kita ingat kita yang buat, tapi rupanya Allah yang jadikan. Lihatlah bagaimana asal kejadian jalan-jalan itu. Asalnya jalan itu adalah dilalui oleh binatang-binatang sahaja, tapi lama kelamaan diikuti oleh manusia dan dibesarkan. Mulanya sebagai denai sahaja. Kemudian diperbesarkan kerana sudah ramai orang yang lalu. Kemudian dibuatkan jalan tanah merah. Lama kelamaan apabila sudah maju, dijadikan jalan tar. Kemudian naik jadi jalanraya. Akhir sekali, sampai jadi lebuhraya. Yang kita nampak, kita yang jadikan jalan itu, kita yang letak tar, korek tanah itu untuk dijadikan lebuhraya. Tapi ingatlah bahawa Allah yang memulakan jalan itu, dan kita jadikan jalan itu dengan ilham yang Dia berikan.

Juga bermaksud, Allah yang jadikan tanah bumi itu jadi sesuai buat jalan. Dan kemudian Allah lah yang beri manusia itu dengan akal untuk buat jalan. Semakin maju manusia, semakin molek jalan. Kerana Allah juga yang beri akal kepada manusia supaya boleh buat yang lebih baik. Tujuannya supaya kita dapat sampai lagi cepat dan selamat.

 

لَّعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

supaya kamu mendapat petunjuk (ke arah yang dituju).

Supaya kita boleh bergerak dan menuju ke destinasi tujuan kita. Ada banyak jalan-jalan untuk ke sesuatu tempat, maka kita kena pandai memilih jalan yang senang.

Bukan hanya jalan kepada destinasi sahaja, tetapi mencari jalan kepada Allah. Kehidupan dunia ini untuk kita lihat dan fikirkan supaya kita dapat memikirkan tentang siapakah pencipta alam ini? Tentunya ada yang menciptakannya, bukan?

Ada masalah sedikit dengan pemahaman ayat ini. Pihak bidaah dan sesat menggunakan ayat ini sebagai hujah untuk mengatakan terdapat banyak jalan menuju kepada Allah. Mereka kata tujuan kita semua adalah untuk bertemu dengan Allah dan boleh dicapai dengan berbagai cara, dengan jalan zikir, dengan jalan lagu, dengan jalan syair, dengan jalan sains, jalan silat, jalan tarekat, jalan sufi dan macam-macam lagi. Macam kalau nak pergi ke KLCC, ada jalan melalui Bukit Bintang, dari Jalan Istana, dari Petaling Jaya dan sebagainya. Mereka kata, asalkan boleh sampai ke KLCC, apa salahnya?

Mereka kata ilmu Allah ini luas, dan semua jalan-jalan itu benar belaka. Itulah masalahnya. Mereka tidak faham manakah jalan yang benar. Sedangkan Allah dan Nabi telah memberitahu kepada kita banyak kali dalam Quran dan hadis bahawa jalan dalam Islam adalah menerusi jalan wahyu – Quran ataupun Hadis yang sahih. Kerana jalan-jalan lain tidak selamat. Kena ikut jalan yang lurus dan jalan yang lurus itu telah dilalui oleh orang-orang terdahulu. Kalau kita hendak selamat, maka ikutlah jalan mereka – jalan Quran dan Sunnah. Kerana jalan-jalan yang lain tidak selamat.

Seperti sabda Nabi Muhammad:

عَنْ عَبْدِ اللهِ قَالَ خَطَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا بِيَدِهِ ثُمَّ قَالَ هَذَا سَبِيلُ اللهِ مُسْتَقِيمًا قَالَ ثُمَّ خَطَّ عَنْ يَمِينِهِ وَشِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ هَذِهِ السُّبُلُ وَلَيْسَ مِنْهَا سَبِيلٌ إِلاَّ عَلَيْهِ شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ ثُمَّ قَرَأَ ( وَإِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلاَ تَتَّبِعُوا السُّبُلَ )

Dari Ibnu Mas’ud , Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam membuat garis dengan tangannya, seraya bersabda kepada kami, “Ini jalan Allah yang lurus.”
Dan baginda membuat garis-garis banyak sekali di kanan kirinya, seraya bersabda,
“Ini jalan-jalan yang tak satu pun terlepas dari pujukan syaitan untuk menyesatkan.”
Kemudian beliau membaca ayat 153 surat Al An’aam,
“Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus. Maka ikutilah dia. Dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain.” [HR Ahmad no 4205, Nasa’i; SHAHIH]

Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa jalan yang lurus hanya satu sahaja. Jalan-jalan yang lain jangan diikuti kerana ianya boleh menyesatkan kita. Jalan-jalan yang lain itu tidak selamat, walau bagaimana indahnya ia nampak kepada kita.

Allahu a’lam

Lompat ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 043: Zukhruf. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s