Tafsir Surah ash-Shura Ayat 52 – 53 (Quran adalah Nur)

Ayat 52: Ini adalah Dalil Wahyi – titah khas dari Allah untuk menyampaikan ajaran tauhid dalam Quran ini kepada manusia.

وَكَذٰلِكَ أَوحَينا إِلَيكَ روحًا مِن أَمرِنا ۚ ما كُنتَ تَدري مَا الكِتابُ وَلَا الإيمانُ وَلٰكِن جَعَلناهُ نورًا نَهدي بِهِ مَن نَشاءُ مِن عِبادِنا ۚ وَإِنَّكَ لَتَهدي إِلىٰ صِراطٍ مُستَقيمٍ

Sahih International

And thus We have revealed to you an inspiration of Our command. You did not know what is the Book or [what is] faith, but We have made it a light by which We guide whom We will of Our servants. And indeed, [O Muhammad], you guide to a straight path –

Malay

Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) – Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus,

 

وَكَذَٰلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ رُوحًا مِّنْ أَمْرِنَا

Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu roh dari perintah Kami;

Dalam ayat sebelum ini telah diberitahu kepada kita bagaimanakah cara Allah memberikan wahyuNya kepada manusia. Dan begitulah juga cara yang telah digunakan Allah untuk menyampaikan wahyuNya kepada Nabi Muhammad s.a.w. Ketiga-tiga cara penyampaian wahyu yang disebut dalam ayat sebelum ini telah pernah dialami oleh baginda.

‘Roh’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Quran. Kenapakah pula Quran disebut sebagai ‘roh’? Kita pun faham serba sedikit tentang roh itu, bukan? Jika tiada roh di dalam tubuh kita, maka tentunya kita sudah mati. Tubuh badan itu sudah tidak bermakna lagi dan orang-orang yang masih hidup akan menanam tubuh itu di dalam tanah kerana tidak lama selepas itu, tubuh itu akan menjadi busuk dan manusia pun tidak tahan lagi. Mereka akan cepat-cepat tanam mayat yang tidak ada roh. Maknanya, tubuh kita memerlukan roh untuk jadi bermakna. Begitulah juga dengan Quran itu. Jikalau hidup kita mengikut ajaran Quran, maka hidup kita akan bermakna dan jikalau tiada Quran dalam hidup kita, maka hidup kita tidak bermakna. Itulah sebabnya Quran itu diibaratkan sebagai ‘roh’.

Secara ringkasnya, Quran itu adalah roh kepada roh jasad kita. Sepertimana jasad kita tidak bermakna tanpa ada roh, begitu juga roh kita tidak akan bermakna kalau tidak ada Quran di dalamnya. Roh jasad yang tidak ada Quran tidak bermakna dan layak dimasukkan ke dalam neraka sahaja.

[مِّنْ أَمْرِنَا Dari perintah Kami] Ayat ini memberi isyarat bahawa segala perintah agama mestilah datang daripada wahyu Allah. Samada dalam bentuk Quran ataupun Hadis. Ini adalah dua sumber utama agama Islam. Dua sumber inilah yang perlu diutamakan sebelum sumber-sumber lain. Sebelum kita rujuk kepada apa kata ulama, apa yang ditulis dalam kitab karangan manusia, hendaklah kita merujuk kepada Quran dan Hadis. Kalau ada sumber dalil yang berlawanan dengan apa yang disampaikan dalam dua wahyu ini (Quran dan Hadis), maka ianya tertolak dengan sendiri.

Untuk merujuk kepada keduanya, memerlukan pengetahuan. Itulah sebabnya kena belajar tafsir Quran dan Hadis Nabi. Ramai yang terus rujuk kepada kitab karangan manusia kerana mereka tidak tahu tentang tafsir Quran dan syarah hadis. Ramai yang tidak belajar lagi tafsir Quran dan tidak pernah terfikir pun untuk belajar tafsir ini.

Begitu juga, ramai yang tidak memberikan perhatian kepada pembelajaran hadis. Padahal hadis itu adalah sumber kedua selepas Quran. Dan malangnya, pembelajaran Hadis di negara ini kita amat kurang. Itulah sebabnya banyak percanggahan pendapat di kalangan agamawan negara ini. Kerana apabila diberitahu sesuatu perkara, orang yang tidak belajar Hadis tidak tahu kewujudan hadis yang berkenaan, kerana mereka tidak belajar. Tapi, mereka ingat mereka pandai! Ataupun, mereka tahu hadis itu, tapi kerana mereka tidak belajar, maka mereka tafsir maksud hadis itu ikut pemahaman mereka. Ini adalah amat bahaya.

Aqidah dan ibadat mesti datang dari dalil nas yang sahih. Tidak boleh kita menggunakan dalil atau pendapat dari mana-mana sumber yang lain. Ramai yang kata mereka menggunakan qiyas dan ijmak ulama’. Kebanyakan masanya, mereka yang mengatakan begitu adalah mereka yang tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan qiyas dan ijmak ulama. Kita tidak mahu membincangkan dengan panjang lebar dalam hal ini. Kerana ini adalah perbincangan yang panjang dan perlu diberikan contoh-contoh supaya lebih faham. Perkara ini hendaklah dipelajari dalam pengajian usuluddin.

 

مَا كُنتَ تَدْرِي مَا الْكِتَابُ

engkau tidak pernah mengetahui apakah Kitab (Al-Quran) itu

Sebelum Quran itu diwahyukan kepada Nabi, baginda tidak tahu apakah Quran itu. Tambahan pula, bangsa Arab adalah bangsa yang tidak mempunyai Kitab. Jadi, Nabi Muhammad sendiri pun tidak tahu. Dan Nabi Muhammad pun memang tidak pandai membaca dan menulis sebelum menjadi Nabi.

Begitu jugalah kita dalam mempelajari Tafsir Qur’an ini. Sebelum kita mempelajarinya, kita pun tidak tahu apakah kepentingan mempelajarinya. Kita sangka apabila kita sudah beriman, sudah mengucap dua kalimah Syahadah, kita pun sudah mengaku orang Islam, buat ibadat seperti orang Islam yang lain, kita sangka kita sudah selamat dan sudah tahu tentang agama. Tetapi apabila kita mula belajar tafsir Qur’an, maka barulah kita tahu betapa bernilainya Quran ini sebagai panduan hidup kita. Dan barulah kita sedar yang selama ini kita tidak tahu apa-apa pun tentang agama walaupun sudah lama belajar.

Kita pun hairan bagaimanakah mereka yang tidak belajar Tafsir Qur’an ini boleh memahami agama ini tanpa mempelajari tafsir Quran. Kerana di dalamnya mengandungi pengajaran-pengajaran yang amat penting diketahui. Yang kalau tidak belajar, tentu akan ada kesalahan dalam agama. Mereka yang tidak belajar tafsir Quran memang ada masalah dengan akidah. Oleh itu, kita amat menggalakkan mereka yang prihatin tentang agama, prihatin dengan keadaan mereka di Akhirat kelak, untuk mempelajari Tafsir Quran.

 

وَلَا الْإِيمَانُ

dan tidak juga mengetahui apakah iman itu;

Dan sebelum Nabi Muhammad diberikan wahyu, Nabi sudah beriman tapi tidak tahu iman secara terperinci. Baginda tidak tahu pecahan iman lagi. Atau, baginda tidak tahu dengan sepenuhnya kerana mungkin ada saki baki peninggalan ajaran Nabi Ibrahim yang baginda tahu. Tapi yang pasti, tidaklah sempurna pengetahuan baginda tentang iman itu. Tapi baginda sendiri tidak mengamalkan syirik langsung kerana para Nabi diselamatkan dari mengamalkan amalan syirik.

Ini menunjukkan kepentingan Quran ini. Kerana iman ini hanya dapat dipelajari dari Quran dan setelah memahaminya, barulah iman kita akan mantap. Dan iman itu sendiri adalah perkara yang amat penting kerana ia adalah dasar pada agama ini. Tidak bermakna langsung segala amal ibadat yang kita lakukan jikalau iman kita tidak lengkap lagi. Letih sahaja beramal ibadat, tapi kalau kita ada fahaman syirik, segala amal ibadat kita itu tidak bernilai langsung.

 

وَلَٰكِن جَعَلْنَاهُ نُورًا

akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi,

Sebelum ini disebut Quran sebagai ‘Roh’ dan sekarang disebutkan sebagai ‘cahaya’ pula. Sebagaimana cahaya diperlukan untuk kita melihat dalam alam ini, begitu juga kita perlukan Quran untuk melihat apakah jalan agama yang benar. Sebagaimana apabila adanya cahaya,, baru mata kita boleh nampak manakah jalan yang di hadapan kita. Dan kalau kita berada di dalam kegelapan, jikalau ada jalan di hadapan kita pun, kita tidak akan nampak jalan itu dan kita akan teraba-raba dan kalau kita jalan juga, berkemungkinan kita akan tersasar jauh. Oleh itu, ‘nur’ (cahaya) itu adalah sebagai isyarat kebaikan. Ianya adalah lawan kepada kegelapan yang buruk.

Begitu juga kalau Quran ada di dalam hati kita – baru kita nampak jalan yang benar dan kalau kita tidak belajar Tafsir Quran, kita pun tidak nampak kebenaran walaupun ianya ada di depan kita. Kalau setakat baca sahaja Quran itu setiap hari, tapi tidak memahaminya, tidaklah bermakna kerana kita mungkin langgar apa yang dilarang dalam Quran itu.

Quran juga diibaratkan sebagai ‘cahaya’ kerana ianya menerangkan dan mengeluarkan manusia dari kegelapan syirik dan kekufuran. Kegelapan kufur dan syirik hanya boleh dihapuskan dengan cahaya Quran.

 

نَّهْدِي بِهِ مَن نَّشَاءُ مِنْ عِبَادِنَا

Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki dari hamba-hamba Kami.

‘Dengannya’ bermaksud ‘dengan Quran’. Dalam ayat ini, Allah mengajar Nabi Muhammad untuk menggunakan Quran untuk memberi hidayah dan mengeluarkan manusia daripada kegelapan kejahilan dan kesyirikan. Dari mula baginda diangkat menjadi Nabi sampailah ke Madinah, baginda akan menggunakan Quran sebagai metod dakwah baginda. Maka begitulah juga kita perlu menggunakan Quran untuk mengajar manusia bagaimana untuk menjalani kehidupan ini supaya selamat di dunia dan di akhirat.

Maka pertama sekali, jalan dakwah dan pengajaran agama kepada manusia hendaklah menggunakan Quran. Ajarlah agama dengan mengajar mereka pemahaman Quran. Bukanlah dengan menggunakan kitab-kitab yang lain dan ajaran-ajaran yang lain yang bukan berdasarkan kepada Quran. Sebelum kita belajar ilmu-ilmu agama yang lain, maka hendaklah kita mempelajari Qur’an dan selepas itu mempelajari hadis. Bukan kita menghalang dari membaca kitab-kitab lain, tapi hendaklah dimulai dengan mempelajari Quran dan Hadis. Apabila kita telah kemas pemahaman Quran dan Sunnah, barulah apabila kita membaca kitab-kitab lain, kita akan dapat menilai samada tulisan dalam kitab itu benar atau tidak.

Malangnya, ramai penyebar-penyebar agama tidak menggunakan Quran tapi mereka menggunakan cara-cara yang lain seperti nasyid, syair, tulisan khat, Qasidah, kitab, amalan zikir dan macam-macam lagi. Mereka kata manusia itu ada yang suka lagu dan hiburan, ada yang suka tulisan, ada yang suka syair dan sebagainya. Maka, mereka kononnya menggunakan cara-cara itu untuk memikat manusia kepada Islam. Itu adalah pemahaman yang salah. Bukan begitu cara membawa manusia kepada agama.

Kalaulah cara-cara itu baik, maka tentunya Nabi, para sahabat, tabein dan golongan salaf akan menggunakan cara-cara itu. Tapi tidak. Mereka sebaliknya menggunakan Quran dan Hadis Nabi untuk menyampaikan ajaran agama dan dakwah kepada manusia.

 

وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) memberi petunjuk ke jalan yang lurus,

Nabi memberi petunjuk dengan cara bacakan wahyu dan ajar wahyu itu kepada manusia. Bukanlah Nabi yang beri hidayah terus kepada manusia kerana yang beri hidayah secara mutlaq adalah Allah sahaja.

Nabi Muhammad itu berada di atas jalan yang lurus dan baginda mengajak kepada jalan yang lurus juga. Oleh kerana Nabi Muhammad itu mengajak kita kepada jalan yang lurus, maka kita sebagai umat baginda hendaklah mengikuti apa yang dibawa oleh baginda. Dan yang dibawa oleh Nabi Muhammad adalah Quran dan hadis baginda.

Nabi Muhammad tidak boleh membawa umatnya ke jalan yang lurus. Sebagaimana Nabi Muhammad juga tidak boleh memberi hidayah. Sebab itulah dalam ayat ini digunakan perkataan إِلَىٰ yang bermaksud baginda hanya boleh ‘menunjuk kepada’ jalan yang lurus sahaja. Terpulang kepada mereka yang ditunjuk itu samada hendak ikut atau tidak. Ini adalah kerana kita tidak boleh memaksa keimanan kepada sesiapa pun. Walaupun anak kita sendiri, kita tidak boleh paksa mereka beriman. Mereka kena belajar sendiri dan mereka kena beramal sendiri.

Begitu juga kita yang menjalankan kerja dakwah ini. Kita hanya boleh menunjuk dan mengajak sahaja. Kita tidak boleh memastikan mereka untuk ikut petunjuk itu atau untuk mendapat hidayah itu. Itu adalah kerja Allah. Hanya Allah sahaja yang boleh memberi hidayah kepada mereka. Kalau Nabi boleh memberi hidayah, tentulah baginda akan memberikan hidayah kepada bapa saudaranya, Abu Talib. Kerana baginda amat sayang kepada bapa saudaranya itu dan beliau telah banyak menolong baginda dalam perjuangan baginda, cuma tidak mahu masuk Islam sahaja. Bukannya beliau tidak percaya yang Nabi itu Rasul, tapi tidak mahu terima hanya kerana malu sahaja dengan kaum musyrikin Mekah yang lain.

Jalan yang paling senang diberi penerangan adalah jalan yang lurus. Bayangkan kalau kita kena beri petujuk jalan kepada orang lain: “kau nak pergi ke Madrasah? Senang sahaja. Ikut sahaja jalan ini lurus, jalan belok kanan atau kiri”. Maka, jalan agama yang lurus ini senang sahaja. Tidak perlu belok-belok. Ikut sahaja Quran dan Sunnah. Ianya mudah sahaja dipelajari sebenarnya.


 

Ayat 53: Ayat sebelum ini menyebut ‘Jalan yang Lurus’. Apakah jalan yang lurus itu?

صِراطِ اللَّهِ الَّذي لَهُ ما فِي السَّماواتِ وَما فِي الأَرضِ ۗ أَلا إِلَى اللَّهِ تَصيرُ الأُمورُ

Sahih International

The path of Allah , to whom belongs whatever is in the heavens and whatever is on the earth. Unquestionably, to Allah do [all] matters evolve.

Malay

Iaitu jalan Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ingatlah! Kepada Allah jualah kembali segala urusan.

 

صِرَاطِ اللَّهِ

Iaitu jalan Allah

Ianya bukanlah jalan yang biasa tetapi ianya ialah jalan yang telah ditetapkan oleh Allah. Ianya adalah JALAN ALLAH, bukan jalan manusia dan bukan jalan Syaitan!

Kita kena ikut jalan yang telah diajar oleh Allah dan dibawa oleh Rasulullah. Tidak boleh kita ikut jalan yang direka-reka dari sumber-sumber yang lain. Banyak sekali yang direka-reka dalam masyarakat sekarang. Banyak sekali perkumpulan dalam masyarakat kita. Yang paling kita takut adalah kumpulan tarekat kerana amat banyak keserongan akidah dalam perkumpulan itu. Dan ianya merebak ke serata dunia. Mereka begitu ramai dan ada dalam kalangan keluarga kita pun terjebak dalam kumpulan ini. Mereka telah kena ‘tarik’ dan kena ‘ikat’. Kita sebagai Muslim yang perihatin hendaklah sentiasa berhati-hati dan memastikan bahawa apa yang disampaikan adalah berlandaskan kepada Quran dan Sunnah.

Seorang guru yang benar bukan sahaja menunjukkan jalan Allah tetapi hendaklah juga dia memberitahu kepada anak muridnya dan orang ramai tentang jalan-jalan yang salah. Kerana kalau hanya diberitahu apa yang perlu dilakukan dengan tidak diberitahu apa yang perlu ditinggalkan, maka masyarakat masih lagi akan keliru. Perumpamaan yang boleh kita berikan adalah memandu kereta. Kalau kita ajar orang memandu kereta, kita tidak boleh setakat ajar dia bagaimana memandu. Kita kena juga ajar dia tempat-tempat yang tidak boleh memandu, lorong-lorang yang tidak boleh masuk dan larangan-larangan lain dalam jalanraya. Jikalau kita hanya mengajar mereka memandu, maka mereka akan susah kerana mereka akan langgar apa sahaja dan akhirnya akan memudaratkan diri sendiri sahaja.

Oleh itu, janganlah marah kalau kita ada menyebut tentang jalan-jalan yang salah. Kerana kita menjalankan tugas kita untuk memberi peringatan kepada manusia. Kadang-kadang kita tegur tentang perkumpulan tarekat, perkumpulan Habib dan lain-lain lagi. Ramai yang marah. Mereka kata, kalau tidak mahu ikut pun, janganlah kutuk. Kita jawap: kita hanya menyampaikan perkara yang perlu kita sampaikan. Kerana kalau kita tidak beritahu, mungkin ramai yang tertipu dengan jalan-jalan mereka.

 

الَّذِي لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ

yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit

Allah memiliki langit dan APA sahaja yang ada di langit itu. Kita pun tidak tahu sepenuhnya apa yang ada di langit. Apa yang kita boleh nampak dengan mata dan teleskop pun hanya secebis kecil sahaja dari apa yang ada di langit itu.

 

وَمَا فِي الْأَرْضِ

dan yang ada di bumi.

Kita pun belum habis meneroka alam bumi ini pun lagi. Saintis sentiasa sahaja menemui penemuan baru dalam alam dunia ini. Padahal alam inilah yang dekat dengan kita. Segala yang ada dalam bumi adalah milikNya sahaja.

Apakah maksud ayat ini: Ianya memperkenalkan siapa Allah. Siapakah Allah itu? Dialah yang memiliki alam ini. Jikalau kita terima Dia sebagai Tuan alam ini, maka hendaklah kita ikut arahanNya kerana kita tinggal dalam alam milikNya. Kalau kita tidak mahu ikut, maka silalah cari alam yang lain untuk kita tinggal.

Dan hendaklah kita menyampaikan doa dan seruan kita hanya kepadaNya sahaja. Jangan lupa surah-surah Hamim Tujuh ini adalah tentang tauhid dalam doa.

 

أَلَا إِلَى اللَّهِ تَصِيرُ الْأُمُورُ

Ingatlah! Kepada Allah jualah kembali segala urusan.

Segala perbuatan-perbuatan kita selama kita hidup di dunia akan dibawa kepada Allah dan Allah akan memberitahu kita manakah perbuatan benar yang kita lakukan dan juga perbuatan yang salah yang telah kita lakukan. Allah lah nanti yang akan membuat keputusan dan menghukum kita. Samada kita masuk ke syurga atau neraka.

‘Segala urusan’ juga boleh bermaksud ‘segala keputusan’ yang kita jalankan. Ayat ini boleh juga bermakna, Allah akan tanya balik kenapa kita ambil sesuatu ‘keputusan’ semasa di dunia. Maka, keputusan agama mestilah berdasarkan kepada dalil yang sahih. Kalau tidak, kita akan ada masalah kalau kita tidak boleh bawa dalil dari sebab keputusan dan amalan kita. Bayangkan kalau kita buat satu amalan bidaah, dan Allah tanya kita kenapa kita buat keputusan untuk buat perkara bidaah itu, apakah jawapan yang kita berikan begini: “sebab ramai orang buat”, “sebab ada dalam kitab”, “sebab ulama kata molek”; agaknya, bolehkah jawapan kita sebegitu? Selamatkah kalau kita kata begitu? Maka, berhati-hati dengan keputusan kita melakukan sesuatu, lebih-lebih lagi yang melibatkan agama.

 

Ringkasan:

Surah Ghafir menekankan tentang tauhid dalam berdoa. Enam surah-surah Hawamim seterusnya menerangkan tentang kekeliruan yang mungkin timbul tentang tauhid dalam berdoa.

Surah Fussilat menjawap kekeliruan manusia yang pertama. Mereka kata apabila mereka seru selain dari Allah, mereka dapat apa yang mereka kehendaki. Allah beritahu dalam surah Fussilat, segala apa yang mereka dapat itu bukanlah tanda bahawa apa yang mereka lakukan itu benar.

Surah Syura ini pula menjawap kekeliruan kedua: ada dalil-dalil yang mengatakan bahawa seruan selain kepada Allah itu boleh. Surah Syurga ini memberitahu, dalil yang boleh diterima adalah dalil dari wahyu dan dalil selain dari wahyu yang membenarkan melakukan perkara yang dilarang dalam wahyu adalah tertolak.

Allahu a’lam

Lompat ke surah yang seterusnya, Surah Zukhruf


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 042: Shura. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s