Tafsir Surah ash-Shura Ayat 45 – 47 (Tiada pembantu dan penolong)

Ayat 45: Allah menerangkan keadaan Hari Kiamat sebagai takhwif ukhrawi.

وَتَراهُم يُعرَضونَ عَلَيها خاشِعينَ مِنَ الذُّلِّ يَنظُرونَ مِن طَرفٍ خَفِيٍّ ۗ وَقالَ الَّذينَ آمَنوا إِنَّ الخاسِرينَ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم وَأَهليهِم يَومَ القِيامَةِ ۗ أَلا إِنَّ الظّالِمينَ في عَذابٍ مُقيمٍ

Sahih International

And you will see them being exposed to the Fire, humbled from humiliation, looking from [behind] a covert glance. And those who had believed will say, “Indeed, the [true] losers are the ones who lost themselves and their families on the Day of Resurrection. Unquestionably, the wrongdoers are in an enduring punishment.”

Malay

Dan engkau juga akan melihat mereka didedahkan kepada neraka dalam keadaan tunduk membisu dengan sebab kehinaan (yang mereka rasai) sambil memandang (ke neraka itu) hanya dengan mengerling (kerana gerun takut). Dan orang-orang yang beriman pula berkata: “Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah mereka yang merugikan dirinya sendiri dan pengikut-pengikutnya pada hari kiamat (dengan sebab mereka memilih perbuatan derhaka di dunia). Ingatlah! Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu berada dalam azab seksa yang kekal”.

 

وَتَرَاهُمْ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا

Dan engkau juga akan melihat mereka didedahkan kepada neraka

Maksud didedahkan itu adalah mereka akan dipanggang kepada api neraka. Allah suruh kita bayangkan kalau kita melihat mereka waktu itu. Alangkah menakutkan, alangkah ngerinya! Mereka akan dipanggang kepada api neraka dan dalam ayat yang lain, ada disebut bagaimana mereka tidak ada penahan dari kepanasan api neraka itu dan mereka hanya boleh menahan dengan muka mereka sahaja. Ini adalah kerana tangan dan kaki mereka telah diikat. Ini ada disebut dalam Surah Zumar.

 

خَاشِعِينَ مِنَ الذُّلِّ

dalam keadaan tunduk dengan sebab kehinaan

‘Khusyuk’ adalah apabila tubuh kita tunduk taat. Iaitu apabila tubuh kita kaku ketakutan tidak dapat bergerak. Begitulah keadaannya apabila kita khusyuk dalam solat. Tubuh kita akan kaku dan tidak bergerak melainkan apa yang disyariatkan sahaja dalam ibadat solat. Tidaklah dalam solat itu tangan kita bergerak ke sana sini, main janggut, main baju dan sebagainya. Itulah tanda seorang yang khusyuk. Mata kita pun kena tunduk semasa dalam solat, tidaklah mata kita meliar ke mana-mana.

Begitulah juga, orang yang masuk dalam neraka, akan tunduk takut dan taat.

الذُّلِّ pula adalah perasaan hina yang timbul kerana kita ditekan, apabila kita dibawah kawalan orang lain, tidak ada daya dan kuasa pada diri kita untuk menolong diri kita sendiri. Tentunya perasaan ini akan timbul apabila mereka dimasukkan ke dalam neraka dan mereka pun tahu yang sangat-sangat tahu yang mereka memang tidak boleh melakukan apa-apa lagi. Waktu itu mereka hanya kena terima sahaja apa yang dikenakan kepada mereka. Penyesalan yang tidak ada hujungnya. Mereka tunduk kerana rasa hina sungguh.

 

يَنظُرُونَ مِن طَرْفٍ خَفِيٍّ

sambil memandang (ke neraka itu) hanya dengan mengerling

Mereka hanya mampu mengerling dengan rasa malu sahaja. Ada orang yang apabila malu-malu, hanya dapat melihat dengan mengerling sahaja. Dan juga ada yang mengerling kerana takut melihat dengan tepat. Maksudnya melihat tanpa benar-benar melihat. Takut nak tengok sesuatu, tetapi dalam masa yang sama, hendak tahu. Iaitu tengok dalam keadaan takut. Macam seorang pelajar yang membuka kertas peperiksaan dan dia tahu yang dia tidak akan berjaya. Mereka buka kertas keputusan itu dengan ketakutan, dengan perlahan dan dengan mengerling sahaja.

Dalam ayat yang lain, ada dikatakan mereka itu dibangkit dalam keadaan buta. Dalam ayat ini, mereka dikatakan sebagai boleh menjeling pula. Untuk menjamakkan ayat-ayat ini, kita kena tahu bahawa mereka itu memang dibangkit dalam keadaan buat, mereka cuma diberi lihat benda yang menakutkan sahaja, iaitu ditunjukkan neraka kepada mereka.

 

وَقَالَ الَّذِينَ آمَنُوا

Dan orang-orang yang beriman pula berkata:

Waktu itu orang-orang yang beriman akan berkata. Dulu semasa di dunia, mereka tidak boleh berkata begitu, kerana mungkin mereka orang yang lemah. Nampak macam mereka menunjuk-nunjuk pula. Tapi mereka berkata begitu kerana mereka suka sangat. Apakah kata-kata mereka?

 

إِنَّ الْخَاسِرِينَ الَّذِينَ خَسِرُوا أَنفُسَهُمْ

“Sesungguhnya orang-orang yang rugi ialah mereka yang merugikan dirinya sendiri

Apakah lagi kerugian yang paling besar selain daripada mereka yang dimasukkan ke dalam neraka? Mereka rugi kerana mereka tidak belajar tafsir Qur’an secara talaqqi sampai mereka faham apa yang mereka baca dalam Qur’an. Mereka ada peluang untuk masuk ke syurga, tapi mereka tidak menjalankan apa yang perlu dilakukan untuk membolehkan mereka masuk ke dalam syurga semasa mereka di dunia. Mereka tidak taat kepada Allah semasa di dunia. Ada pendakwah yang telah datang kepada mereka memberitahu kebenaran, tapi mereka tak mahu terima. Mereka tolak, mereka hina. Mereka diajak belajar tafsir Quran, tapi mereka tak mahu.

 

وَأَهْلِيهِمْ

dan keluarga mereka

Kenapa keluarga mereka pun akan rugi juga? Kerana dia ajar anak isteri dia dengan kesesatan yang dia amalkan. Kalau dia ada buat perkara yang syirik atau fahaman yang syirik, dia ada ajar keluarganya tentang perkara itu. Macam ada orang yang ajar anaknya sabung ayam. Dia ajar macam mana nak basuh ayam itu, latih ayam itu. Padahal, menyabung ayam adalah haram kerana ada perjudian. Tapi kerana ayahnya yang ajar, anak itu sangka itu perkara yang boleh dilakukan. Jadi, bukan mereka sahaja yang masuk neraka, tapi anak beranak sekali masuk neraka disebabkan mereka. Sudahlah mereka rugi, mereka rugikan sekali ahli keluarga mereka.

 

يَوْمَ الْقِيَامَةِ

pada hari kiamat

Mereka sangka mereka akan selamat. Kerana mereka tidak pernah memikirkan keadaan mereka di akhirat. Oleh itu, apabila mereka melihat dan merasai sendiri keadaan di Hari Kiamat itu, mereka akan tahu bahawa mereka itu sebenar-benar rugi.

Kalau kita rugi di dunia pun kita dah rasa menyesal, apatah lagi kalau rugi di akhirat kelak. Tidak sama rugi di dunia dan rugi di akhirat. Rugi di dunia sementara sahaja, tapi rugi di akhirat adalah untuk selama-lamanya.

 

أَلَا إِنَّ الظَّالِمِينَ فِي عَذَابٍ مُّقِيمٍ

Ingatlah! Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu berada dalam azab seksa yang kekal”.

Ini adalah tasdiq ilahi – Allah membenarkan apa yang dikatakan oleh mereka itu.

Azab itu bukanlah sekejap sahaja, tapi ianya akan berkekalan. Apabila kita melakukan amalan syirik, kita akan dimasukkan ke dalam neraka. Apabila dimasukkan ke dalam neraka, dosa syirik tidak akan diampun sampai bila-bila. Oleh itu, mereka akan kekal dalam neraka. WALAUPUN mereka orang Islam. Ini disebut dalam Nisa:48

إِنَّ اللَّهَ لا يَغفِرُ أَن يُشرَكَ بِهِ وَيَغفِرُ ما دونَ ذٰلِكَ لِمَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُشرِك بِاللَّهِ فَقَدِ افتَرىٰ إِثمًا عَظيمًا
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.

 

Ayat 46:

وَما كانَ لَهُم مِن أَولِياءَ يَنصُرونَهُم مِن دونِ اللَّهِ ۗ وَمَن يُضلِلِ اللَّهُ فَما لَهُ مِن سَبيلٍ

Sahih International

And there will not be for them any allies to aid them other than Allah . And whoever Allah sends astray – for him there is no way.

Malay

Dan tiadalah bagi mereka sebarang penolong – yang lain dari Allah – yang dapat memberikan pertolongan kepada mereka; dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (disebabkan pilihannya yang salah) maka tidak ada baginya sebarang jalan (untuk mendapat hidayah petunjuk).

 

وَمَا كَانَ لَهُم مِّنْ أَوْلِيَاءَ

Dan tiadalah bagi mereka sebarang penolong

Kalau dalam dunia, kita ada penolong kita – keluarga kita, orang bawahan kita, kawan-kawan kita dan sebagainya. Tapi di akhirat kelak, tidak ada penolong langsung. Ayat ini untuk mematahkan harapan mereka yang merasakan ada pemberi syafaat yang akan membantu mereka. Allah nak tegaskan yang tidak sesiapa pun yang akan membantu mereka.

 

يَنصُرُونَهُم مِّن دُونِ اللَّهِ

yang dapat memberikan pertolongan kepada mereka – yang lain dari Allah –

Kalau orang-orang yang melakukan kezaliman di dunia, mereka ada penolong mereka, juak mereka, yang akan beri pertolongan dan bantuan kepada mereka. Kalau semasa di dunia, ada yang kenal dengan orang itu, orang ini, politik sana politik sini. Tapi di akhirat nanti, mereka tidak ada sesiapa yang akan sokong mereka, tolong mereka. Tinggallah mereka keseorangan. Yang kita boleh harapkan hanyalah Allah sahaja. Tapi kalau kita tidak taat kepada perintah Allah, kita lawan ayat-ayatNya, bagaimana nak mengharap pertolongan dari Allah?

 

وَمَن يُضْلِلِ اللَّهُ

dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah

Iaitu mereka yang ditutup hati mereka untuk menerima kebenaran. Ini adalah kerana mereka menentang dan menolak hidayah apabila hidayah sampai kepada mereka. Apabila mereka menolak berkali-kali, apabila sudah sampai kepada kesesatan peringkat keempat, Allah akan bawa mereka kepada kesesatan. Janganlah kita ingat yang Allah terus taqdirkan sesiapa jadi sesat dari mula lagi, tidak. Allah akan beri peluang kepada manusia. Tapi apabila mereka sentiasa menolak, barulah Allah kunci mati hati mereka dari menerima kebenaran. Kunci mati hati itu dinamakan Khatmul Qalbi – itulah kesesatan peringkat keempat dan terakhir sekali.

 

فَمَا لَهُ مِن سَبِيلٍ

maka tidak ada baginya sebarang jalan

Mereka tidak akan mendapat jalan untuk menyelamatkan mereka di dunia dan juga di akhirat. Kerana perkataan سَبِيلٍ itu boleh merujuk kepada jalan di dunia dan juga jalan di akhirat. Mereka tak akan jumpa jalan kebenaran lagi dah. Walaupun mereka diberikan dengan berbagai dalil dan hujah, mereka tak nampak. Ramai orang yang sebegini. Kita dah beri ayat Quran yang berbagai-bagai, yang jelas dah; kita dah beri mereka hadis-hadis yang sahih. Kemudian kita terangkan lagi dalam bahasa yang mudah difahami, tapi mereka masih lagi tak nampak. Kerana jalan kepada iman telah ditutup kepada mereka. Kerana mereka dulu asyik menolak. Mereka bukan sahaja tolak tapi mereka menentang sekali – melawan mereka yang bawa dakwah tauhid itu. Apabila sudah banyak kali menentang, mereka akan ditutup dari menerima kebenaran.


 

Ayat 47: Untuk menyelamatkan diri dari menghadapi nasib yang amat teruk di akhirat, maka ambillah peluang sementara masih hidup ini.

استَجيبوا لِرَبِّكُم مِن قَبلِ أَن يَأتِيَ يَومٌ لا مَرَدَّ لَهُ مِنَ اللَّهِ ۚ ما لَكُم مِن مَلجَإٍ يَومَئِذٍ وَما لَكُم مِن نَكيرٍ

Sahih International

Respond to your Lord before a Day comes from Allah of which there is no repelling. No refuge will you have that day, nor for you will there be any denial.

Malay

Sahut dan sambutlah seruan Tuhan kamu (yang mengajak kamu beriman), sebelum datangnya dari Allah – hari yang tidak dapat ditolak; pada hari itu tidak ada bagi kamu tempat berlindung (dari azabNya), dan tidak ada pula bagi kamu sebarang alasan untuk menafikan (kesalahan yang kamu telah lakukan).

 

اسْتَجِيبُوا لِرَبِّكُم

sambutlah seruan Tuhan kamu,

Sambutlah dan ikutlah ajakan tauhid yang Allah telah sampaikan dalam ayat-ayatNya. Ajakan dan ajaran tauhid itu banyak terdapat dalam Quran. Dan disebut dengan jelas sekali, sampaikan tidak perlu kepada kitab atau hadis pun untuk menerangkannya kerana ianya amat jelas sekali. Yang tidak jelas hanyalah kepada mereka yang tidak mahu belajar sahaja. Maka, hendaklah belajar tafsir Quran supaya kita boleh faham. Bukannya boleh faham tauhid dengan belajar Sifat 20.

Sambut itu juga bermakna, apabila kita dah belajar dan tahu, maka hendaklah kita taat kepadaNya. Segala arahanNya kita ikut, dan segala laranganNya kita tinggalkan. Jangan setakat faham sahaja, tapi kena terima sekali.

 

مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ يَوْمٌ لَّا مَرَدَّ لَهُ مِنَ اللَّهِ

sebelum datangnya dari Allah – hari yang tidak dapat ditolak;

Apakah hari yang tidak dapat ditolak itu? Itulah hari kita mati. Ini maksud yang pertama.
Keduanya, dimaksudkan Hari Kiamat.

مَرَدَّ bermaksud ‘memulangkan’. Seperti kalau ada orang memberi hadiah kepada kita, kita boleh tolak hadiah itu dengan ‘memulangkan’ hadiah itu. Tetapi apabila Allah telah memulakan kematian seseorang atau memulakan hari kiamat tidak ada sesiapa yang boleh memulangkan atau menolak proses itu. Tidak ada sesiapa yang boleh menghalang kematian atau hari kiamat itu dari terjadi.

 

مَا لَكُم مِّن مَّلْجَإٍ يَوْمَئِذٍ

pada hari itu tidak ada bagi kamu tempat berlindung,

مَّلْجَإٍ dari katadasar لجء yang bermaksud ‘berlindung di dalam kubu’. مَّلْجَإٍ bermaksud tempat berlindung terutama sekali berlindung dari musuh. Ini adalah kerana di Mahsyar nanti, ianya adalah tanah datar sejauh mata memandang, tiada lubang untuk kita masuk menyorok ke dalamnya atau bukit/tempat tinggi yang kita boleh berselindung di sebaliknya.

 

وَمَا لَكُم مِّن نَّكِيرٍ

dan tidak ada pula bagi kamu sebarang alasan untuk menafikan

نَّكِيرٍ dari katadasar نكر yang boleh bermaksud ‘ganjil’ atau ‘tidak disukai’. نَّكِيرٍ dalam ayat ini bermaksud ‘menafikan’. Ia itu tidak ada sesiapa pun yang boleh menafikan hari Kiamat dari berlaku, menafikan dosa mereka pada hari itu, menafikan hukuman yang dikenakan oleh Allah.

نَّكِيرٍ juga boleh bermaksud seseorang yang menolong kita. Maknanya pada Hari Kiamat itu nanti, tidak akan ada sesiapa pun yang boleh menolong kita dan menyelamatkan kita daripada azab Allah. Keluarga kita pun tidak boleh nak tolong kita. Mereka pun tak kisah dengan kita kerana mereka pun sibuk dengan hal mereka.

Maknanya, kita tidak boleh mengharap orang lain di akhirat kelak. Kita cuma boleh berharap kepada iman dan amal kita sahaja. Maka beramallah dengan sebaik-baiknya supaya kita tidak menyesal di sana nanti. Kerana kita pasti akan menghadapinya.

Allahu a’lam

Lompat ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 042: Shura. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s