Tafsir Surah ash-Shura Ayat 39 – 44 (Balas kezaliman)

Ayat 39: Ini adalah sambungan sifat-sifat ahli syurga.

وَالَّذينَ إِذا أَصابَهُمُ البَغيُ هُم يَنتَصِرونَ

Sahih International

And those who, when tyranny strikes them, they defend themselves,

Malay

Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu perbuatan secara zalim, mereka hanya bertindak membela diri (sepadan dan tidak melampaui batas).

وَالَّذِينَ إِذَا أَصَابَهُمُ الْبَغْيُ

Dan juga orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu perbuatan secara zalim,

الْبَغْيُ dari segi bahasa bermaksud ‘keinginan’. Di dalam ayat ini, membawa maksud ‘dizalimi’ kerana kadang-kadang apabila kita hendak memenuhi ‘keinginan’ kita, kita menzalimi orang lain. Kita hendak ambil lebih dari yang sepatutnya. Kita ambil bahagian orang lain sebab kita hendak lebih lagi. Kadang-kadang manusia melakukannya dengan cara yang keras dan kasar. Itu adalah zalim. Adakala kita menzalimi dan adakala juga kita yang di zalimi.

Bagaimanakah tindakan mereka yang mukmin apabila mereka di zalimi?

 

هُمْ يَنتَصِرُونَ

mereka bertindak membela diri

Kita sangka yang kita hanya disuruh bersabar sahaja kalau dizalimi. Tapi dalam ayat ini, Allah memberi satu jalan: kita boleh ‘membantu’ diri kita. Kerana perkataan يَنتَصِرُونَ dari kata dasar َنَصَر yang bermaksud ‘bantu’. Iaitu membantu diri kita dengan mengambil tindakan balas. Tidaklah menahan dan terima sahaja apa yang dikenakan kepada kita. Islam bukanlah agama yang sebegitu. Islam adalah agama praktikal untuk hidup dalam alam ini. Tidaklah tahan dan terima sahaja kezaliman orang lain ke atas kita. Kalau kita buat begitu, itu bukanlah kebaikan.

Islam adalah agama yang adil. Oleh kerana itu, Islam membenarkan kita bertindak balas kepada mereka yang menzalimi kita. Tetapi dengan syarat-syarat yang dibenarkan. Tidaklah boleh kita ambil tindakan sesuka hati.

Pilihan tindakan itu banyak tetapi manakah yang sesuai dalam Islam? Ini adalah beberapa tindakan yang selalunya diambil oleh manusia:
1. Apabila ada orang yang menzalimi kita, kita biarkan sahaja. Contohnya seperti ajaran dalam Kristian. Kitab Injil mengajar, “Kalau ada yang menampar pipi kita, berikan pipi kita yang satu lagi”. Macam inikah yang dianjurkan oleh agama kita? Adakah ini praktikal dalam kehidupan di dunia ini?
2. Kita balas sama dengan apa yang dikenakan kepada kita. Kalau orang tampar kita, kita tampar dia semula. Dia patahkan tangan kita, kita patahkan tangan dia semula. Tapi haruslah dengan proses yang dibenarkan.
3. Kita memaafkan orang itu.
4. Kita balas dengan lebih berat lagi dari apa yang dikenakan kepada kita.

Yang dibenarkan kepada kita dalam Syari’at adalah pilihan kedua dan ketiga sahaja. Dalam Surah Hajj: 39 Allah telah berfirman:

أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا وَإِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ

Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).

Ayat dari Surah Hajj ini memberi kebenaran kepada kita untuk membalas kepada orang yang memerangi kita. Kita tidak kacau mereka, tidak serang mereka, tapi apabila mereka yang mula menyerang kita, maka kita boleh menyerang mereka semula.

Kita juga boleh mengambil pilihan untuk memaafkan orang yang menganiaya kita, tapi tidaklah sampai kita membiarkan sahaja dianiaya berkali-kali tanpa melakukan apa-apa. Kerana kalau kita biarkan sahaja, orang zalim itu akan menjadi lebih zalim lagi. Bukan kita sahaja yang dizaliminya, orang lain pula yang dizaliminya. Sebab dia rasa perbuatannya itu tidak ada tindakan pembalasan pun, dengan senang hati sahaja dia akan terus melakukannya. Oleh itu, kita kena ambil tindakan untuk menghentikannya. Kalau kita tidak mahu lakukan sendiri, kita boleh mengadu kepada orang lain atau pihak yang berkuasa. Sekurang-kurangnya yang boleh kita lakukan kalau kita tidak mampu untuk membalas, hendaklah kita berdoa kepada Allah untuk membantu kita.

Dalam ayat ini, Allah memberi kebenaran kepada kita untuk membela diri. Tapi surah ash-Shura ini adalah surah Makkiah. Waktu zaman sahabat di Mekah, mereka banyak ditindas, diseksa dan disakiti. Tapi, Nabi tidak membenarkan mereka membalas balik kerana kedudukan mereka amat lemah waktu itu. Allah juga tidak lagi memberikan wahyu untuk membenarkan mereka menyerang balas. Memang sahabat ramai yang hendak membalas balik, tambahan pula mereka ada Saidina Umar yang tentunya tidak mahu duduk senyap sahaja. Tapi, Nabi tidak benarkan kerana Allah tidak beri kebenaran lagi. Kerana kalau mereka balas, akan menyebabkan tindakan buruk yang lebih besar lagi daripada kaum kafir Mekah. Kerana setakat itu, yang dilakukan adalah secara perseorangan sahaja. Kalau sudah mereka balas balik, maka seluruh kaum kafir Musyrikin Mekah akan bergabung dan memusnahkan terus Muslim yang sedikit sangat pada waktu itu. Maka, kalau bukan membalas begitu yang dimaksudkan, apakah maksudnya?

Surah ini adalah tentang Syura. Ianya tentang melakukan sesuatu dalam peringkat kerajaan. Iaitu, apabila kerajaan sudah ada, tindakan boleh dijalankan ke atas mereka yang menzalimi. Ini memberi isyarat kepada sahabat waktu itu di Mekah, bahawa mereka akan diberikan dengan kedudukan yang membolehkan mereka mengambil tindakan semula. Memang waktu itu mereka tidak boleh ambil tindakan balas, tapi mereka akan diberikan dengan kedudukan itu tidak lama lagi. Memang tidak lama selepas itu, sahabat telah diarahkan untuk berhijrah dan mereka telah membina kerajaan Islam di Madinah. Waktu itu, barulah boleh tindakan balas diambil kerana undang-undang Islam telah ditegakkan.

Walaupun kita dibenarkan mengambil tindakan balas, tapi tidaklah dengan cara individu. Katakanlah seorang manusia tumbuk kita dan lari. Kita tidak boleh naik kereta dan cari dia lalu tumbuk dia semula. Kita akan dikira sebagai penjenayah dan boleh disabitkan dengan kesalahan dan hukuman oleh pihak berkuasa pula. Yang sebenarnya kita kena lakukan adalah melaporkan kepada pihak berkuasa dan mereka yang yang akan mengambil tindakan.

Kita jangan pandai mengambil tindakan sendiri

Antara hukuman yang boleh dikenakan adalah Qisas, iaitu kita boleh tumbuk dia semula. Tapi, itu adalah dalam suasana mahkamah. Mahkamah akan membuat penyiasatan dan perbicaraan untuk memastikan sama ada benar kejadian itu berlaku. Tidak boleh ambil tindakan sendiri kerana bayangkan, kalau semua orang boleh ambil tindakan dengan tangan sendiri, maka itu akan memporak perandakan negara ini. Sudah tidak boleh kawal. Jadi seperti zaman koboi pula nanti.

Tetapi, kalau dia sedang tumbuk kita, kita boleh tumbuk dia balik waktu itu. Kerana itu dikira ‘mempertahankan’ yang termasuk dalam lingkungan ayat ini. Tapi, jangan pula kita tumbuk sampai lembik hingga dia pengsan pula.

Sekarang sudah lengkap 10 sifat-sifat yang perlu ada bagi mereka yang mengharap untuk masuk syurga. Secara ringkas, disenaraikan kembali kesemuanya:

1. Iman sempurna. Yakin dengan janji Allah.

2. Tawakal selepas melakukan taat.

3. Sentiasa berusaha menjauhi dosa besar.

4. Terutama dosa-dosa besar yang melibatkan hawa nafsu.

5. Bila terbit kemarahan ke atas orang lain, mereka mudah maafkan.

6. Menyahut seruan Tuhan dalam melaksanakan hukum sama ada akidah dan fardhu ain.

7  Terutama solat fardhu

8. Buat urusan penting sesama manusia dengan Syura. Mereka duduk baik dalam masyarakat.

9. Infaq.

10. Bila mereka dizalimi, mereka hanya bela diri sahaja. Tidak buat zalim balik. Tidak balas lebih dari yang patut.

Mereka yang ada kesemua sifat-sifat ini, barulah boleh ‘mengharap’ untuk masuk syurga. Belum tentu masuk lagi, tapi boleh mula mengharap.


 

Ayat 40: Ini adalah sambungan dari ayat sebelum ini: Selain dari balas balik, apa yang kita boleh lakukan? Ini adalah huraian tentang ayat membalas kezaliman.

وَجَزاءُ سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِثلُها ۖ فَمَن عَفا وَأَصلَحَ فَأَجرُهُ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّهُ لا يُحِبُّ الظّالِمينَ

Sahih International

And the retribution for an evil act is an evil one like it, but whoever pardons and makes reconciliation – his reward is [due] from Allah . Indeed, He does not like wrongdoers.

Malay

Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.

وَجَزَاءُ سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِّثْلُهَا

Dan balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang sama dengannya;

Ayat ini adalah dalil bahawa kita boleh membalas balik kepada orang yang melakukan kesalahan kepada kita sama dengan kesalahan yang telah dikenakan kepada kita. Apabila kita balas balik, jangan lebih daripada apa yang dibuat kepada kita. Sebagai contoh, ada hadis bagaimana Hindun (isteri Abu Sufyan) tanya Rasulullah samada beliau boleh ambil wang suaminya tanpa pengetahuannya kerana dia tidak berikan nafkah. Nabi kata boleh.

Tetapi hendaklah kita ingat bahawa ini adalah dalam konteks hukum Qisas. Islam telah memberikan jalan untuk memuaskan hati kita, maka kita kena lakukan dalam lingkungan yang dibenarkan sahaja. Dalam Baqarah:194

الشَّهْرُ الْحَرَامُ بِالشَّهْرِ الْحَرَامِ وَالْحُرُمَاتُ قِصَاصٌ فَمَنِ اعْتَدَىٰ عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَىٰ عَلَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

(Mencabuli) bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab membalas pencabulan dalam) bulan yang dihormati; dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang. Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.

Dalam hukum Qisas, kalau kita dipukul di kepala kita boleh memukulnya balik di kepala. Kalau ada orang yang membunuh ahli keluarga kita, kita boleh balas dengan membunuhnya kembali. Adakah kebaikan kalau kita membalas kesalahan yang dilakukan kepada kita? Memang ada. Sepertimana yang disebut di dalam Baqarah:179

وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.

Qisas atau ‘balas balik’ seperti yang dianjurkan oleh Islam ini adalah baik. Kerana bila kita membalas balik, ini akan memberitahu kepada manusia yang zalim bahawa mereka tidak boleh suka-suka hati untuk melakukan apa-apa sahaja kepada kita. Kerana kita boleh membalas balik. Dengan itu ia akan menahan orang yang zalim daripada mengambil tindakan mereka. Supaya mereka tahu bahawa ada balasan kepada apa yang mereka lakukan itu. Ia akan menyelamatkan orang lain dari kena kezaliman yang sama.

Kita kena melaporkan kesalahan yang dilakukan. Supaya mereka yang menyakiti orang lain itu akan diambil tindakan dan tidak mengacau atau menyakiti orang lain pula. Maknanya, dengan melaporkan pun bermakna kita berbuat kebaikan juga.

Qisas ini ada disebut dalam Maidah:45

وَكَتَبْنَا عَلَيْهِمْ فِيهَا أَنَّ النَّفْسَ بِالنَّفْسِ وَالْعَيْنَ بِالْعَيْنِ وَالْأَنفَ بِالْأَنفِ وَالْأُذُنَ بِالْأُذُنِ وَالسِّنَّ بِالسِّنِّ وَالْجُرُوحَ قِصَاصٌ فَمَن تَصَدَّقَ بِهِ فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَّهُ وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Maknanya, Bani Israil juga telah diberikan dengan hukum yang sama. Ianya juga menjadi salah satu hukum dari agama Islam.

Jangan salah faham dengan kebenaran yang Allah telah berikan dalam ayat-ayat ini. Ada juga perkara yang kita tidak boleh balas sama dengan yang dilakukan kepada kita. Sebagai contoh, kalau kita ditipu, kita tidak boleh menipu balik. Kerana penipuan yang dilakukan oleh mereka itu hanya boleh dibalas boleh Allah. Tidaklah kita boleh tipu balik orang lain, kalau kita kena tipu; atau kalau orang kata buruk tentang kita, kita kata buruk tentang dia balik – itu adalah pemahaman yang salah.

 

فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ

dalam pada itu sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik

Kemaafan ada dua jenis: baik dan tidak. Kemaafan yang baik adalah kalau kesalahan itu dikenakan kepada diri kita. Kadang-kadang kalau kita tidak memaafkan, kita lawan balik, ianya hanya akan menjadikan perbalahan itu berpanjangan. Kadang-kadang kita tidak mahu ianya berpanjangan sahaja, kita nak ianya berhenti. Kemaafan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah kemaafan yang baik.

Kemaafan yang tidak baik adalah apabila orang itu sepatutnya dihukum, tapi kita tak jalankan. Kerana mungkin kita di pihak yang buat keputusan, dan kita maafkan pula orang yang membuat kesalahan itu sedangkan bukan hak kita untuk memaafkan. Sebagai contoh, pernah seorang perempuan dibawa kepada Nabi kerana dia telah mencuri. Oleh kerana wanita itu dari keluarga yang terkenal dan orang besar, ada yang mencadangkan supaya beliau dilepaskan. Nabi telah marah dan berkata kalaulah Fatimah anaknya sendiri yang mencuri pun dia akan potong tangan Fatimah.

Ataupun memaafkan orang yang memang bersalah. Sebagai contoh, membebaskan penjenayah yang ditangkap sedangkan mereka telah melakukan kesalahan dan patut dihukum. Kalau mereka dibebaskan, ada kemungkinan mereka akan melakukan jenayah lagi. Itu bukanlah keadilan namanya. Nama ‘maaf’, tapi bukan maaf yang baik.

Hukuman kadangkala perlu dijalankan. Sebagai contoh, kalau anak kita melakukan kesalahan, kita kena hukum mereka supaya mereka tahu apakah kesalahan yang mereka telah lakukan supaya mereka tidak membuatnya lagi. Jangan lepaskan begitu sahaja, kerana nanti mereka tidak takut untuk melakukan kesalahan lagi.

Secara ringkasnya, dari dua jenis kemaafan itu, kita kena bahagikan kepada dua bahagian: peringkat individu dan peringkat kerajaan. Dalam peringkat individu, kita digalakkan untuk memaafkan. Tapi dalam peringkat kerajaan, tidak boleh memaafkan kalau telah sabit kesalahan yang dilakukan oleh seseorang.

أَصْلَحَ bermaksud mahukan kebaikan. Kita mencari apakah perkara yang baik yang dapat dicapai. Kita maafkan supaya perkara itu tidak dipanjangkan. Kita mahu memperbaiki perhubungan yang terputus kerana kejadian buruk itu. Kadang-kala tidak ada gunanya kalau kita meneruskan kemarahan itu atau membalas dendam. Lihatlah bagaimana para sahabat tidak dibenarkan mengambil tindakan membalas balik kejahatan yang telah dilakukan kepada mereka semasa di Mekah. Kerana waktu itu mereka amat sedikit dan kalau mereka balas dengan menentang mereka secara fizikal, mereka akan dikalahkan terus kerana mereka amat sedikit. Itu maknanya membalas kejahatan yang dilakukan tidaklah baik waktu itu. Tidak أَصْلَحَ.

 

فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ

maka pahalanya ke atas Allah

Mereka akan dapat balasan yang amat baik kalau mereka maafkan. Dalam ayat ini, Allah tak sebutkan apakah balasan yang akan diberikan. Allah cuma sebut عَلَى اللَّهِ (ke atas Allah). Selalunya Allah sebut apakah yang akan dapat kalau kita melakukan sesuatu perbuatan yang baik – dapat syurga, dapat rumah di syurga dan sebagainya. Tapi apabila Allah sebut Dia yang akan balas, itu bermakna Allah akan beri lebih lagi dari yang amat-amat istimewa. Sampaikan tidak boleh disebut – ianya terpulang kepada Allah. Begitu hebatnya Allah menganjurkan kepada kita memaafkan orang yang berbuat zalim kepada kita. Memang untuk membuat amalan yang baik memang susah tapi tidaklah sesusah menahan diri dari mengambil tindakan kepada orang yang zalim kepada kita. Sudahlah tidak ambil tindakan, kita maafkan dia pula. Sudahlah maafkan, kita perbaiki perhubungan kita dengan dia balik. Ma sha Allah, memang susah!

Memang ada ruang hukum dalam Islam untuk membalas perbuatan zalim yang dikenakan kepada kita. Tetapi Allah juga memberitahu yang kalau kita memaafkan, itu lebih baik. Allah berfirman dalam Baqarah:178

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنثَىٰ بِالْأُنثَىٰ فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ ذَٰلِكَ تَخْفِيفٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ فَمَنِ اعْتَدَىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qisas” (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ

Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.

Iaitu mereka yang melakukan kezaliman dan melakukan kesalahan kepada orang lain. Allah akan menghukum mereka nanti. Dan dalam urusan perundangan, mereka akan dikenakan dengan hukuman Hudud, Qisas atau Ta’zir.

Ia juga bermaksud mereka yang membalas lebih dari yang sepatutnya. Kerana balasan yang boleh dilakukan hanyalah balasan yang setimpal dengan perlakuan asal sahaja. Kalau kita buat lebih lagi, itu sudah zalim namanya.


 

Ayat 41:

وَلَمَنِ انتَصَرَ بَعدَ ظُلمِهِ فَأُولٰئِكَ ما عَلَيهِم مِن سَبيلٍ

Sahih International

And whoever avenges himself after having been wronged – those have not upon them any cause [for blame].

Malay

Dan sesungguhnya orang yang bertindak membela diri setelah ia dizalimi, maka mereka yang demikian keadaannya, tidak ada sebarang jalan hendak menyalahkan mereka.

وَلَمَنِ انتَصَرَ بَعْدَ ظُلْمِهِ

Dan sesungguhnya orang yang bertindak membela diri setelah ia dizalimi,

Iaitu mereka yang mengambil tindakan dengan melaporkan kepada pihak yang berwajib tentang kesalahan yang dilakukan ke atas dirinya – supaya dia boleh balas balik kesalahan yang telah dilakukan.

 

فَأُولَٰئِكَ مَا عَلَيْهِم مِّن سَبِيلٍ

maka mereka yang demikian keadaannya, tidak ada sebarang jalan hendak menyalahkan mereka.

Mereka tidak bersalah kalau mereka hendak mengambil tindakan balas. Mereka tidak ada dosa. Tidak ada jalan atau hujah untuk kita menyalahkan mereka. Memang ada anjuran untuk memaafkan, tapi itu hanya anjuran. Dan ianya adalah anjuran yang berat, sampaikan Allah kata balasan yang akan diberikan adalah ‘atas DiriNya’ untuk membalas kebaikan memaafkan itu. Kalau mereka dapat tahan sabar dan tidak balas, mereka akan dapat pahala yang amat besar.

Tetapi, dalam masa yang sama, orang yang dizalimi ada hak untuk membalas dendam. Jangan pula kita paksa atau pujuk mereka untuk maafkan. Jangan kata mereka teruk kalau mereka nak balas juga. Mereka ada hak yang telah diberikan dalam Islam. Jangan kita cakap kepada mereka: “Kenapa kau nak balas juga, bukankah sesama Islam itu baik untuk memaafkan? Teruklah kau ini”.

Hati manusia kita tidak tahu. Ada orang yang tidak selesai dalam dirinya sehinggalah dia melihat orang yang menzaliminya dibalas. Allah tahu isihati manusia. Kerana itulah Allah telah berikan mereka ruang untuk membalas balik. Jadi kalau dia nak balas juga, maka jangan salahkan dia.


 

Ayat 42: Takhwif Ukhrawi

إِنَّمَا السَّبيلُ عَلَى الَّذينَ يَظلِمونَ النّاسَ وَيَبغونَ فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ ۚ أُولٰئِكَ لَهُم عَذابٌ أَليمٌ

Sahih International

The cause is only against the ones who wrong the people and tyrannize upon the earth without right. Those will have a painful punishment.

Malay

Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak berperi sakitnya.

إِنَّمَا السَّبِيلُ عَلَى الَّذِينَ يَظْلِمُونَ النَّاسَ

Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia

Mereka yang mula-mula melakukan kezaliman dan gangguanlah yang patut disalahkan dan dihukum. Apa yang mereka lakukan itu memang satu kesalahan dan dosa yang berat. Bukannya orang yang hendak membalas balik yang bersalah.

 

وَيَبْغُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ

dan menindas di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar.

Iaitu orang yang besar, yang berkuasa, yang bermaharajalela di atas muka bumi ini. Mereka melakukan perkara yang tidak ada alasan yang haq dan benar. Mereka buat hal mereka sendiri sahaja. Orang-orang seperti ini tidak patut dibiarkan sahaja.

 

أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak berperi sakitnya.

Di dunia lagi mereka boleh dikenakan dengan hukuman – hukum Hudud, Qisas dan Ta’zir. Dan di akhirat nanti, mereka juga akan dikenakan dengan azab Allah.


 

Ayat 43: Allah menganjurkan sekali lagi untuk memaafkan. Allah puji mereka yang berbuat begitu.

وَلَمَن صَبَرَ وَغَفَرَ إِنَّ ذٰلِكَ لَمِن عَزمِ الأُمورِ

Sahih International

And whoever is patient and forgives – indeed, that is of the matters [requiring] determination.

Malay

Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang memerlukan keazaman.

وَلَمَن صَبَرَ وَغَفَرَ

Dan orang yang bersabar dan menutup kesalahan

Iaitu mereka yang memaafkan kesalahan orang terhadapnya.

Tetapi, selepas dia memaafkan kesalahan itu, dia tidak menceritakan kesalahan orang yang telah melakukannya. Itulah maksud غَفَرَ – menutupi kesalahan itu. Tutup kes dah. Kerana manusia ada yang suka memberitahu semua orang tentang kejahatan yang telah dilakukan oleh orang lain. Sebagai contoh, katakanlah ada pencuri yang masuk rumah kita. Kita pun tangkap. Tengok-tengok, rupanya dia adalah anak kawan sekampung dengan kita. Kita pun tak mahu panjangkan, maka kita suruh dia balik rumah dan pesan supaya dia jangan buat lagi kerja macam itu. Maknanya, kita dah maafkan dia. Tapi esok, janganlah pula cerita kisah itu di kedai kopi kampung – sebab semalam dah maafkan, bukan? Apabila kita dah maafkan, kita tak boleh nak pukul canang keliling kampung yang budak itu masuk rumah kita malam semalam nak mencuri. Itu adalah satu kesalahan. Kerana kita dan maafkan, tapi ada pula usaha kita untuk memalukannya.

 

إِنَّ ذَٰلِكَ لَمِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

sesungguhnya yang demikian itu memerlukan keazaman.

Ianya adalah satu perbuatan yang mulia. Ia memerlukan kekuatan hati – keazaman yang kuat. Allah puji mereka yang boleh buat begitu. Bukan senang nak buat. Allah tambah huruf ل dalam لَمِنْ sebagai penegasan. Kenapa? Kerana bukan senang nak maafkan dan sembunyikan dan buat senyap dengan apa yang telah dilakukan oleh pesalah itu. Kalau tidak ada azam, kita tidak mampu nak melakukannya. Tapi lihatlah bagaimana balasan yang Allah telah janjikan – ianya ‘ke atas Allah’.

Kita memang disuruh bersabar dalam banyak keadaan. Apabila kita ditimpa musibah, kita memang disuruh sabar. Sebagai contoh, anak sakit, kereta rosak, rumah kena banjir dan sebagainya. Dan memang sabar adalah satu-satunya pengubat jiwa waktu itu. Sebab tidak ada jalan lain. Tapi apabila kita dizalimi dan kita ada peluang untuk membalasnya, tapi kita sabar, itu memang satu perbuatan yang amat besar. Sebab kita ada pilihan. Dan tak salah pun kalau kita ambil tindakan. Sebab itulah Allah beri penekanan huruf ل dalam لَمِنْ.

Maulana Hadi – Syuraa 37-43


 

Ayat 44: Ini berkenaan dengan Maksud Surah ini. Tiada dalil yang sahih untuk melakukan syirik kepada Allah. Dan kalau ada dalil yang dibawa orang, itu adalah dalil yang salah dan ianya datang dari bisikan Syaitan. Ia juga mengandungi takhwif ukhrawi.

وَمَن يُضلِلِ اللَّهُ فَما لَهُ مِن وَلِيٍّ مِن بَعدِهِ ۗ وَتَرَى الظّالِمينَ لَمّا رَأَوُا العَذابَ يَقولونَ هَل إِلىٰ مَرَدٍّ مِن سَبيلٍ

Sahih International

And he whom Allah sends astray – for him there is no protector beyond Him. And you will see the wrongdoers, when they see the punishment, saying, “Is there for return [to the former world] any way?”

Malay

Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada baginya sesudah itu sesiapapun yang dapat menolongnya. Dan engkau akan melihat orang-orang yang zalim semasa mereka menyaksikan azab (pada hari kiamat) berkata: “Adakah sebarang jalan untuk kami kembali ke dunia?”

وَمَن يُضْلِلِ اللَّهُ

Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah,

Bukanlah Allah zalim untuk menyesatkan sesiapa. Allah beri hidayah kepada semua makhlukNya. Tapi apabila hidayah telah berkali-kali diberikan kepada mereka, mereka masih tak mahu terima, masih menolak dan menentang, maka Allah akan tutup pintu hidayah kepada mereka. Mereka tidak akan menerima lagi hidayah selepas itu walaupun apa hujah dan dalil yang diberikan kepada mereka. Itulah maksudnya: ‘disesatkan oleh Allah’. Iaitu Allah ‘kunci mati’ hati mereka dari beriman.

 

فَمَا لَهُ مِن وَلِيٍّ مِّن بَعْدِهِ

maka tidak ada baginya sesudah Allah sesiapapun yang dapat menolongnya.

Ini adalah sesat peringkat keempat dimana mereka tidak ada peluang lagi. Apabila pintu hidayah telah ditutup oleh Allah, tidak ada sesiapa pun yang boleh menolongnya. Tidak ada sesiapa yang boleh beri hidayah lagi kepada mereka. Kalau kita cuba ajar mereka pun, mereka tidak akan faham kerana Allah telah kunci mati hati mereka dari terima hidayah.

Dan Allah akan azab mereka dan mereka tidak akan ada penolong. Kalau Musyrikin Mekah dahulu, mereka menyangka berhala-berhala dan segala pujaan mereka akan menyelamatkan mereka. Ada juga dari kalangan mereka yang memohon dan menyembah malaikat-malaikat yang mereka anggap sebagai ‘anak perempuan Allah’. Begitu juga penganut Kristian, mereka sangka Nabi Isa yang mereka sembah itu akan menjadi penolong mereka nanti di akhirat. Pengikut Buddha pula sangka Gautama Buddha akan menjadi penjamin mereka.

Mereka itu semua akan terkejut dan hampa apabila di akhirat kelak. Sangkaan mereka itu tidak akan menjadi kenyataan. Tidak ada sesiapa yang akan memberi pertolongan kepada mereka dan menjamin mereka.

Begitu juga orang Islam kita: ada yang sangka sembahan mereka seperti Nabi Muhammad, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Tok Kenali dan wali-wali yang lain, guru-guru mereka, atau sebagainya, akan menjadi penjamin bagi mereka. Tapi itu adalah anggapan sia-sia sahaja. Mereka mungkin bawa hujah dari tok guru mereka, mimpi mereka, kitab-kitab karangan manusia dan macam-macam lagi, tapi itu semua bukanlah dalil tapi dalil khayalan sahaja. Mereka yang tidak belajar tafsir Quran dengan benar sahaja yang akan tertipu dengan dalil-dalil sebegitu. Itulah sebabnya penting anak-anak kita diajar dengan Quran supaya mereka ada penimbang untuk membeza manakah ajaran yang benar dan tidak senang ditipu. Jangan jadi mereka yang nak jadi baik, tapi pergi masuk kumpulan tarekat. Memang akan kena tipu sahaja lah.

 

وَتَرَى الظَّالِمِينَ لَمَّا رَأَوُا الْعَذَابَ

Dan engkau akan melihat orang-orang yang zalim semasa mereka menyaksikan azab

Allah suruh kita bayangkan keadaan di neraka itu. Iaitu apabila ahli-ahli neraka diperlihatkan neraka yang menyala-nyala kepada mereka. Tidak dapat dibayangkan dengan akal kita betapa hebatnya dan dahsyatnya azab yang mereka akan nampak itu.

Ahli neraka itu adalah mereka yang zalim. Zalim ada banyak jenis. Zalim kepada orang lain, adalah mereka yang menganiaya orang lain. Selain dari itu, ada yang zalim kepada diri sendiri dan ada yang zalim kepada Allah. Zalim kepada Allah bermaksud mereka melakukan syirik kepada Allah. ‘Zalim’ yang dimaksudkan dalam ayat ini lebih kepada zalim kepada Allah iaitu berbuat syirik.

 

يَقُولُونَ هَلْ إِلَىٰ مَرَدٍّ مِّن سَبِيلٍ

Mereka akan berkata: “Adakah sebarang jalan untuk kami kembali?”

Iaitu mereka berharap untuk kembali ke dunia. Mereka berkata ini dalam keadaan yang menyesal sangat kerana mereka sudah tahu kesalahan mereka. Mereka tanya kepada kawan-kawan mereka. Dengan berharap ada sesiapa yang tahu jalan nak keluar dari azab neraka. Mereka akan minta juga kepada guru-guru dan pemimpin mereka yang mereka ikut semasa mereka di dunia; mereka juga akan minta kepada Penjaga Neraka.

Kenapa mereka nak sangat kembali? Kerana hendak memperbaiki kesalahan-kesalahan mereka semasa di dunia. Dulu semasa mereka di dunia, mereka telah menzalimi Allah, diri mereka sendiri dan orang lain. Dulu mereka buat amalan syirik, amalan bidaah, bermacam-macam dosa. Apabila di akhirat, mereka menyesal. Kerana mereka sudah nampak kebenaran. Janganlah kita jadi beritu. Kenalah kita belajar Qur’an secara talaqqi supaya kita tidak menyesal seperti mereka nanti.

Dalam al-An’am:27 Allah telah berfirman:

وَلَوْ تَرَىٰ إِذْ وُقِفُوا عَلَى النَّارِ فَقَالُوا يَا لَيْتَنَا نُرَدُّ وَلَا نُكَذِّبَ بِآيَاتِ رَبِّنَا وَنَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: “Wahai kiranya kami boleh dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman”.

Mereka nak balik ke dunia supaya mereka dapat menjadi orang Mukmin. Mereka nak buat amalan baik, yang sunnah, dan nak tinggalkan amalan syirik dan bidaah. Kerana mereka menyesal sangat-sangat dah. Bila dah nampak azab baru nak beriman. Takkan kita pun nak jadi macam itu juga? Sebab waktu itu dah terlambat dah. Memang tidak akan dikembalikan ke dunia dah. Dunia pun dah hancur lebur dah pun, jadi nak hantar ke mana? Waktu itu adalah waktu untuk mereka menerima azab hasil dari apa yang mereka lakukan semasa di dunia.

Oleh itu, janganlah percaya sahaja kepada kata-kata guru dan manusia lain. Mereka kena bawa dalil dan dalil yang diberikan itu pun kena diperiksa juga samada benar atau tidak, sahih atau tidak, sama fahaman dengan salafussoleh atau tidak. Kerana ada yang bawa dalil, tapi pemahaman dalil itu tidak seperti yang difahami oleh golongan salafussoleh.

Allahu a’lam.

Lompat ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 042: Shura. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s