Tafsir Surah ash-Shura Ayat 16 – 19 (Kiamat itu dekat)

Ayat 16: Ayat ini adalah tentang mereka yang membantah ayat-ayat Allah setelah mereka menerima Islam.

وَالَّذينَ يُحاجّونَ فِي اللَّهِ مِن بَعدِ مَا استُجيبَ لَهُ حُجَّتُهُم داحِضَةٌ عِندَ رَبِّهِم وَعَلَيهِم غَضَبٌ وَلَهُم عَذابٌ شَديدٌ

Sahih International

And those who argue concerning Allah after He has been responded to – their argument is invalid with their Lord, and upon them is [His] wrath, and for them is a severe punishment.

Malay

Dan orang-orang yang berhujah menyangkal dan membantah tentang kebenaran ugama Allah sesudah disambut dan diterima ugamaNya itu – bantahan (dan tuduhan palsu) mereka itu sia-sia belaka di sisi Tuhan mereka. Dan mereka pula ditimpa kemurkaan (dari Allah) serta mereka beroleh azab seksa yang seberat-beratnya.

 

وَالَّذِينَ يُحَاجُّونَ فِي اللَّهِ

Dan orang-orang yang membantah terhadap Allah

Mereka membantah tentang Allah. Iaitu orang-orang yang membantah tentang ilmu tauhid. Termasuk mereka yang membantah tentang ayat-ayat tauhid yang Allah berikan di dalam Quran. Ayat-ayat tauhid telah jelas dalam Quran, tapi mereka masih tidak mahu terima. Apabila kita tafsirkan kepada mereka apakah maksud ayat-ayat itu, mereka tak mahu terima. Mereka kata tafsir kita salah. Padahal mereka tak belajar pun tafsir lagi. Ini amat menghairankan: yang tak belajar kata yang belajar pula yang salah!?

Yang membantah ayat-ayat Allah ini ada dua jenis: ada yang membantah kerana jahil dan ada yang membantah setelah tahu. Kalau yang membantah itu kerana jahil, maka kenalah ajak mereka untuk belajar tafsir Quran. Dan kena berlembut dengan mereka, kerana mereka tidak ada ilmu.

 

مِن بَعْدِ مَا اسْتُجِيبَ لَهُ

sesudah disambut dan diterima ugamaNya itu –

Ada yang sudah masuk Islam dengan Nabi Muhammad, tapi masih juga membantah tentang Allah. Sebab masih lagi nak pegang pemahaman yang lama.

Begitulah kebanyakan masyarakat Muslim negara kita. Sesudah dia sendiri terima Islam, atau dia lahir dalam Islam, dia pun sudah ucap Dua Kalimah Syahadah, tapi dia hendak lawan tentang perkara tauhid. Padahal dia telah terima yang Allah itu adalah Tuhan. Tapi ada perkara-perkara lain yang dia tidak terima. Antaranya, tentang tawasul, dia tidak mahu terima yang tawasul itu adalah salah. Sepatutnya selepas dia masuk Islam, ataupun mengaku seorang Muslim, hendaklah dia menerima semua sekali ayat-ayat tauhid dalam Quran itu.

 

حُجَّتُهُمْ دَاحِضَةٌ عِندَ رَبِّهِمْ

hujah mereka sia-sia belaka di sisi Tuhan mereka.

Mereka berilah berbagai-bagai hujah yang bukan datang dari Quran atau Sunnah. Ataupun datang dari Quran dan Sunnah, tapi mereka tafsir dengan fahaman mereka sendiri, tidak ikut fahaman salafussoleh. Hujah-hujah mereka tidak ada dalil, oleh kerana itu ianya tidak bernilai langsung di sisi Allah. Ianya ditolak. Itulah hujah-hujah dari guru, dari kitab, dari kitab karangan manusia, dari akal dan sebagainya. Yang laku di sisi Allah hanyalah dalil dan hujah dari Quran dan sunnah. Oleh itu, kalau ada orang-orang Islam yang membawa hujah-hujah dari kitab tulisan manusia, maka hujah itu tertolak kerana hujah itu berlawanan dengan hujah-hujah dari Quran yang jelas nyata. Yang tidak nyata adalah kerana mereka tidak belajar sahaja.

Banyaklah dari kalangan masyarakat kita yang belajar tidak kemas mana, maka mereka berjumpa amalan-amalan tawasul dan syirik yang berlawanan dari Quran dan sunnah. Apabila ditanya kenapa mereka amal dengan amalan-amalan sebegitu, mereka kata amalan itu adalah kitab sekian dan sekian. Ingatlah yang itu bukanlah hujah. Apa-apa kitab pun, kenalah berlandaskan kepada Quran dan hadis yang sahih. Apa-apa sahaja ajaran tidak boleh lari dari apa yang dibawa oleh Quran. Itulah sebabnya penting untuk belajar tafsir Quran dahulu sebelum belajar ilmu-ilmu yang lain.

Atau, mereka beri hujah kenapa mereka tidak berpegang kepada tauhid: mereka kata mereka tidak tahu. Hujah ini juga tertolak kerana alasan ‘tidak tahu’ tidak boleh diterima kerana mereka sepatutnya kena belajar. Allah telah beri 30 juzuk Quran untuk dipelajari. Orang lain boleh sahaja terima, kenapa kamu pula tidak boleh terima?

Atau, mereka kata mereka ikut orang yang salah. Alasan ini juga tidak diterima. Kerana mereka kena tahu manakah kebenaran. Tidak boleh ikut buta sahaja. Masalah ini banyak dihadapi oleh orang kita. Mereka ramai yang mengikut sahaja.

 

وَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ

dan ke atas mereka kemurkaan 

Yang mereka dapat hanyalah kemurkaan dari Allah. Hujah mereka itu akan mendapat kemurkaan dari Allah. Murka Allah tak sama dengan murka manusia. Allah murka kepada mereka kerana mereka tidak belajar.

 

وَلَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ

serta mereka beroleh azab seksa yang seberat-beratnya.

Iaitu azab neraka akan dikenakan ke atas mereka kerana penolakan mereka itu. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan mereka akan kekal di dalamnya.


 

Ayat 17: Ini adalah dalil seterusnya. Ia juga adalah takhwif ukhrawi.

اللَّهُ الَّذي أَنزَلَ الكِتابَ بِالحَقِّ وَالميزانَ ۗ وَما يُدريكَ لَعَلَّ السّاعَةَ قَريبٌ

Sahih International

It is Allah who has sent down the Book in truth and [also] the balance. And what will make you perceive? Perhaps the Hour is near.

Malay

Allah yang menurunkan Kitab Suci dengan membawa kebenaran, dan menurunkan keterangan yang menjadi neraca keadilan. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? Boleh jadi hari kiamat itu sudah hampir (masa datangnya).

 

اللَّهُ الَّذِي أَنزَلَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ

Allah yang menurunkan Kitab Suci dengan membawa kebenaran,

Quran itu diturunkan untuk menzahirkan kebenaran iaitu Allah lah Tuhan kita yang sebenar-benarnya. Kita kena kenal Allah adalah Tuhan kita. Kena kenal dengan sifatNya. Dan untuk mengenal Allah, kenalah melalui apa yang diberitahu olehNya kerana Dia sendiri akan memperkenalkan sifat-sifatNya. Dan untuk faham itu hendaklah kita belajar Tafsir Quran. Kerana telah lengkap Allah beritahu kepada kita tentang DiriNya dalam Quran. Oleh itu bukanlah mengenal Allah itu dengan belajar sifat 20. Itu adalah cara yang salah.

Oleh itu, tidak ada lagi alasan untuk tidak tahu akidah tauhid dengan sebenarnya, kerana Allah telah turunkan wahyu dalam bentuk Quran. Kalau masih tidak tahu, itu adalah kerana salah sendiri.

 

وَالْمِيزَانَ

dan neraca.

Segala ajaran dari wahyu adalah adil. Dan Quran menjadi neraca untuk menimbang manakah yang baik dan manakah yang tidak; manakah yang tauhid dan manakah yang syirik. Maka, kita kenalah belajar tafsir Quran ini supaya kita boleh jadikannya sebagai neraca. Barulah kita senang nak membezakan manakah ustaz yang mengajar kebenaran dan ustaz yang mengajar ajaran yang salah. In sha Allah, kalau kita sudah mula belajar tafsir Quran, walaupun belum habis, kita sudah boleh agak dah apakah yang disampaikan oleh seseorang penceramah itu benar atau tidak. Kita mungkin tidak jelas lagi, tapi dalam hati kita sudah boleh agak bahawa ada yang tidak kena dengan penceramah itu.

Oleh itu, sebelum rujuk kepada kitab-kitab yang banyak di pasaran, maka hendaklah belajar dahulu tafsir Quran ini, supaya boleh menilai dan menapis hujah-hujah dan dalil-dalil yang disampaikan oleh kitab-kitab tulisan tangan manusia itu.

Banyak sangat kitab-kitab dalam pasaran. Dari dulu sampai sekarang, entah berjuta kitab dalam dunia ini. Orang kita pun rajin juga rujuk kitab (tafsir tak belajar lagi pun). Kita bukan nak halang orang dari baca kitab dan bukanlah kita katakan semua kitab tidak boleh pakai. Tapi, sebagai seorang muslim yang berhati-hati, hendaklah rujuk kepada kitab-kitab yang muktabar sahaja. Kerana kitab-kitab itu telah diteliti zaman berzaman dan diterima pakai oleh kebanyakan umat Islam. Hentikanlah baca kitab-kitab yang tidak muktabar, terutama sekali kalau belum belajar tafsir lagi.

Neraca juga adalah isyarat kepada keadilan. Ayat-ayat Quran itu mengajak kita kepada berlaku adil dalam semua perkara.

Berkali-kali Quran menekankan bahawa ianya diturunkan untuk menegakkan keadilan.

 

وَما يُدريكَ لَعَلَّ السّاعَةَ قَريبٌ

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, boleh jadi hari kiamat itu sudah hampir 

Ini adalah Takwif Ukhrawi – hendak mengingatkan kita bahawa Kiamat itu amat dekat. Entah terjadi esok atau lusa, kita tidak tahu. Tidak ada jalan untuk kita mengetahuinya. Entah-entah kiamat itu sudah dekat. Ini mengajar kita bahawa tidak ada sesiapa pun yang tahu bilakah akan terjadinya Kiamat itu, termasuklah Nabi Muhammad sendiri. Sebab itu, dalam hadis ada disebut bagaimana kalau cuaca tidak elok, angin kencang, Nabi Muhammad akan ketakutan kerana baginda takut kalau-kalau Kiamat sudah datang.

Kiamat ada dua: Kiamat yang besar dan Kiamat Kecil. Kiamat kecil adalah ‘mati’ yang boleh terjadi bila-bila masa sahaja kepada kita. Kita tidak tahu bilakah kita akan mati, maka hendaklah kira segera belajar tafsir. Hendaklah kita segera mengubah diri kita untuk menerima kebenaran. Janganlah ditangguh-tangguh lagi.


 

Ayat 18: Sambungan tentang Kiamat.

يَستَعجِلُ بِهَا الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِها ۖ وَالَّذينَ آمَنوا مُشفِقونَ مِنها وَيَعلَمونَ أَنَّهَا الحَقُّ ۗ أَلا إِنَّ الَّذينَ يُمارونَ فِي السّاعَةِ لَفي ضَلالٍ بَعيدٍ

Sahih International

Those who do not believe in it are impatient for it, but those who believe are fearful of it and know that it is the truth. Unquestionably, those who dispute concerning the Hour are in extreme error.

Malay

Orang-orang yang tidak beriman kepada hari kiamat itu meminta (secara mengejek-ejek) supaya disegerakan kedatangannya, dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman merasa takut ngeri kepadanya serta mereka mengetahui dengan yakin bahawa ia adalah benar. Ketahuilah! Sesungguhnya orang-orang yang membantah mengenai hari kiamat itu, tetap berada dalam kesesatan yang jauh terpesong.

 

يَسْتَعْجِلُ بِهَا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِهَا

Orang-orang yang tidak beriman kepada hari kiamat itu meminta supaya disegerakan kedatangannya,

Mereka yang tidak beriman itu selalu bertanya-tanya kepada Nabi Muhammad bilakah hari Kiamat itu akan berlaku. Mereka tanya dalam mengejek. Mereka kata Nabi selalu cakap tentang Kiamat sahaja, maka kalau betul, bawa marilah Kiamat itu, mereka kata. Mereka berani cakap begitu kerana mereka bodoh dan tidak percaya akan datangnya hari Kiamat itu.

 

وَالَّذِينَ آمَنُوا مُشْفِقُونَ مِنْهَا

dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman merasa takut ngeri kepadanya

Kenapa mereka takut? Kerana mereka telah belajar apakah yang akan terjadi pada Hari itu. Oleh itu mereka amat takut. Kerana mereka tidak pasti sama ada amalan yang mereka buat semasa di dunia ini diterima oleh Allah ataupun tidak. Mereka amat mengharap upaya amalan mereka diterima tapi mereka sendiri tidak dapat memastikannya samada ianya diterima atau tidak kerana ianya salah satu daripada perkara ghaib.

Mereka juga tidak pasti sama ada taubat mereka diterima atau tidak. Dan mereka tahu yang mereka banyak dosa. Mereka hanya boleh mengharap sahaja.

Sama macam kita apabila ambil peperiksaan. Kita dah buat sehabis baik. Tapi kita tidak pasti samada kita boleh lulus atau tidak. Kalau seorang pelajar yang baik, kalau satu soalan dia tidak dapat jawap dengan baik pun, dia sudah risau. Tapi kalau pelajar yang tidak kisah masa depannya, dia tidak ambil kisah samada dia lulus atau tidak. Habis peperiksaan sahaja dia sudah gembira kerana tidak perlu susah baca buku dan belajar lagi. Mereka hendak bergembira sahaja sebenarnya. Itulah perumpamaan seorang Mukmin dan yang tidak.

 

وَيَعْلَمُونَ أَنَّهَا الْحَقُّ

serta mereka mengetahui bahawa ia adalah benar.

Mereka tahu dan ingat bahawa mati dan kiamat itu adalah dekat. Dan mereka tahu bahawa ianya pasti akan terjadi. Mereka percaya dan yakin tentang kedatangannya kerana ianya telah diberitahu oleh Allah. Dan mereka percaya benar kepada Allah.

 

أَلَا إِنَّ الَّذِينَ يُمَارُونَ فِي السَّاعَةِ

Ketahuilah! Sesungguhnya orang-orang yang membantah mengenai hari kiamat itu,

Iaitu mereka yang ragu tentang Kiamat. Dan selepas mereka ragu tentangnya, mereka membantah tentangnya pula. Sudahlah mereka tak terima, mereka bantah pula lagi.

 

لَفِي ضَلَالٍ بَعِيدٍ

tetap berada dalam kesesatan yang jauh terpesong.

Kalau sudah jauh, susah untuk kembali ke pangkal jalan. Memerlukan usaha yang banyak untuk membawa mereka kepada kebenaran.


 

Ayat 19: Kenapa Allah perlu dianggap sebagai penolong? Kenapa kita hanya boleh berdoa kepada Allah sahaja?

اللَّهُ لَطيفٌ بِعِبادِهِ يَرزُقُ مَن يَشاءُ ۖ وَهُوَ القَوِيُّ العَزيزُ

Sahih International

Allah is Subtle with His servants; He gives provisions to whom He wills. And He is the Powerful, the Exalted in Might.

Malay

Allah Maha Lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

 

اللَّهُ لَطِيفٌ بِعِبَادِهِ

Allah Maha Halus kepada hamba-hambaNya;

Maksud ‘halus’ itu adalah ‘sayang’. Allah baik dan berlembut dengan hambaNya. Dia tahu apa yang hambaNya lalui. Tapi Dia berikan juga segala kesusahan dan kepayahan semasa di dunia kerana itu semua sebagai ujian. Bukan kerana Allah tidak suka.

لَطِيفٌ juga bermaksud ‘halus’. Kalau benda yang halus, kita tak berapa nampak. Nak kena pakai mikroskop baru nampak. Maka, apabila dikatakan Allah itu لَطِيفٌ, ia bermaksud Allah tahu segala-gala tentang hambaNya, walaupun perkara yang halus mulus pun. Tak ada benda yang kita boleh sembunyikan dariNya. Allah tahu segala hajat dan keperluan hambaNya. Maka, hadapkanlah sahaja doa kita kepadaNya, jangan hadapkan kepada selain dari Allah kerana tidak ada selain Allah yang tahu.

 

يَرْزُقُ مَن يَشَاءُ

Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya

Walaupun Allah tahu segala hajat dan keperluan hambaNya, tapi Allah beri rezeki ikut kehendak Dia. Itu adalah haqNya untuk memilih siapa yang dapat apa. Kita kena redha sahaja dengan apa yang diberikan kepada kita.

Allah lah sahaja yang berkuasa memberi rezeki. Tidak ada entiti lain yang boleh beri rezeki. Dan Allah itu amat lembut kepada makhlukNya. Lihatlah bagaimana orang kafir pun dapat rezeki juga. Kadang-kadang mereka dapat lebih banyak dari orang Islam. Padahal mereka tolak Allah, mereka sembah selain Allah, mereka buat kezaliman dan sebagainya. Tapi Allah tetap memberi rezeki kepada mereka.

 

وَهُوَ الْقَوِيُّ الْعَزِيزُ

dan Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

Allah memberitahu kepada kita bahawa dia Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja kerana Dia Maha Kuat. Tapi ada juga manusia yang berani untuk mempersoalkan tentangNya.

Allah mampu untuk membalas dengan azab kepada mereka yang mempersoalkanNya, ayat-ayatNya, Nabi-nabiNya, tapi Allah tidak melakukannya di dunia kerana Allah bersifat لَطِيفٌ.

Maulana Hadi – Syuraa 16-19

Allahu a’lam.

Lompat ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 042: Shura. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s