Tafsir Surah ash-Shura Ayat 14 – 15 (Jangan pakai kitab sahaja)

Ayat 14: Dalam ayat sebelum ini Allah melarang kita berpecah belah dalam hal tauhid. Tapi seperti yang kita tahu, amat banyak perpecahan yang berlaku. Soalan yang mungkin timbul dalam kepala manusia adalah: Kenapakah ini berlaku sedangkan para Nabi menyampaikan ajaran tauhid yang sama sahaja?

وَما تَفَرَّقوا إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَهُمُ العِلمُ بَغيًا بَينَهُم ۚ وَلَولا كَلِمَةٌ سَبَقَت مِن رَبِّكَ إِلىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى لَقُضِيَ بَينَهُم ۚ وَإِنَّ الَّذينَ أورِثُوا الكِتابَ مِن بَعدِهِم لَفي شَكٍّ مِنهُ مُريبٍ

Sahih International

And they did not become divided until after knowledge had come to them – out of jealous animosity between themselves. And if not for a word that preceded from your Lord [postponing the penalty] until a specified time, it would have been concluded between them. And indeed, those who were granted inheritance of the Scripture after them are, concerning it, in disquieting doubt.

Malay

Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan (dalam menjalankan ugama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang disuruh dan apa yang dilarang); berlakunya (perselisihan yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi Kitab ugama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak yang menggelisahkan terhadap Kitab itu.

 

وَمَا تَفَرَّقُوا

Dan tidaklah mereka berpecah

Ini adalah tentang perpecahan antara umat-umat Rasul selepas ketiadaan rasul-rasul itu. Bukan itu sahaja, zaman sekarang pun sudah banyak perpecahan. Iaitu perpecahan antara umat, dalam negara, dalam keluarga, dengan kawan dan sebagainya. Tapi yang paling penting adalah perpecahan antara agama, malah dalam agama sendiri. Yang paling teruk sekali adalah perpecahan dalam agama Islam ini, dan yang paling teruk adalah perpecahan tentang akidah.

Kenapakah mereka berpecah? Kalau semua Rasul-Rasul itu menyampaikan ajaran tauhid yang sama, kenapa ada perpecahan antara manusia dalam hal agama? Ini yang kita akan kupaskan sebentar lagi.

 

إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ

melainkan setelah sampai kepada mereka ilmu

Pada mula kenabian, Nabi Muhammad rasa susah berdakwah kepada Musyrikin Mekah. Mereka tolak baginda mentah-mentah. Maka Nabi rasa mungkin kerana mereka itu tidak berilmu agama sebelum ini kerana telah lama tiada Rasul diturunkan kepada mereka dan mereka tidak ada Kitab Suci. Maka, Nabi rasa kalau baginda mula berdakwah kepada Yahudi dan Kristian, akan jadi lebih mudah untuk mereka terima kerana mereka itu sudah biasa dengan agama, sudah ada kitab dan sudah berilmu. Maka, Allah terangkan tentang mereka yang ada ilmu pula dalam ayat ini. Mereka pun ada masalah juga. Ingat senang nak dakwah kepada mereka?

Samalah juga kalau hendak dakwah kepada mereka yang sudah belajar agama dalam kalangan kita. Kita sangka, tentu mereka yang sudah sekolah pondok, sudah masuk tarekat, belajar agama di universiti, pergi sampai ke al-Azhar, sudah masuk jemaah Tabligh itu, senang untuk terima akidah tauhid ini. Kita sangka senanglah mereka terima kerana mereka pun sudah belajar agama, sudah mahu beriman, mahu jadi warak; tapi tidak semestinya. Kadangkala, merekalah itu penentang akidah tauhid yang kuat. Kerana mereka sudah ada fahaman agama yang tebal dalam diri mereka hasil dari pembelajaran mereka sebelum ini. Dan mereka rasa susah nak tinggalkan.

Perpecahan itu adalah kerana ilmu sebenarnya. Iaitu setelah datang kepada mereka ilmu tauhid. Apabila disampaikan sahaja tentang tauhid kepada manusia, maka tentu akan ada perbalahan. Akan ada ketidakpuasan dan rasa tidak senang kerana akan ada yang tidak dapat terima apa yang dibawa dalam hal tauhid. Selagi tak memberitahu manusia tentang tauhid, tidak ada masalah, boleh duduk bersembang macam biasa sahaja. Tapi apabila diberitahu, akan ada yang angkat punggung mereka dan meninggalkan majlis. Dan selepas itu tidak bertegur sapa. Kalau di masjid dan surau itu, ustaz mengajar tentang feqah macam solat, wuduk dan puasa, ramai yang boleh dengar. Tapi kalau ada yang datang mengajar tauhid yang ada dalam Quran, ramai yang akan panas punggung sebab akan ada yang tidak sama dengan apa yang mereka faham.

Amatlah malang sekali, apabila kita sampaikan ajaran tauhid, akan berpecah keluarga dan sahabat handai, antara suami dan isteri, penduduk kampung dan sebagainya. Mereka akan tuduh kita lah yang memecah belahkan sesama masyarakat. Mereka kata kita perosak agama pula. Tapi itulah dugaan. Jangan kita jaga hati mereka dan tetap terima apa yang mereka faham itu. Kalau bukan kerana hendak menyampaikan tauhid, tidaklah Nabi Muhammad berpecah dengan masyarakatnya, malah ahli keluarga baginda sekali pun.

Ayat ini juga memberitahu kita, ilmu bukanlah penyelamat segalanya. Kalau ada ilmu pun, boleh menyebabkan perpecahan juga. Kenapa mereka berpecah walaupun ada ilmu?

 

بَغْيًا بَيْنَهُمْ

kerana hasad dengki sesama sendiri.

Ini adalah jawapan kepada soalan: kenapa manusia berpecah juga walaupun ajaran tauhid semua Nabi adalah sama sahaja – Jawapannya adalah: ahli agama telah mengubah agama kerana hasad dengki mereka. Agama yang asal adalah benar, tapi apabila sampai ke tangah ahli-ahli agama, mereka telah ubah.

Mereka yang berilmu itu rasa mereka lebih pandai, sudah pandai, tidak boleh diajar lagi. Lihatlah bagaimana orang Yahudi tidak dapat menerima dakwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad kerana mereka rasa mereka sudah pandai, sudah berilmu, sudah lama ada kitab dan ada agama. Mereka memandang agama itu sebagai satu kelebihan, komoditi, yang tidak boleh diberikan kepada orang lain. Mereka nak pegang sendiri dan kata orang lain selain mereka tidak agama. Padahal sepatutnya mereka kena sampaikan agama kepada orang lain, tapi mereka simpan dan berbangga dengannya. Kalau dulu, mereka yang dipandang mulia kerana ada agama, tapi apabila Nabi akhir zaman diangkat dari bangsa Arab dan bukan dari bangsa Bani Israil, mereka rasa ianya akan hilang kepada bangsa Arab pula.

Mereka sanggup buat apa sahaja supaya mereka menang dan berada di atas. Kita akan belajar bagaimana walaupun mereka tahu bahawa Nabi Muhammad itu adalah benar-benar seorang Rasul, tapi mereka masih lagi menolak baginda. Mereka tuduh bahawa apa yang Nabi Muhammad bawa itu adalah salah dan sesat. Sampai begitu sekali mereka lakukan. Itu hasil dari rasa hasad dan dengki yang ada dalam diri mereka.

Begitulah juga dalam masyarakat kita sekarang. Pengajaran agama sudah lama ada dan berterusan dalam negara ini. Ada yang habis Sekolah Agama Rendah,  Sekolah Agama Tinggi, masuk universiti, masuk Madrasah, pondok, pesantren dan apa-apa sahaja. Mereka yang sudah belajar itu sebenarnya ada satu perasaan dalam hati mereka bahawa mereka sudah cukup ilmu, sudah pandai, sudah tahu agama. Selama ini merekalah yang dipandang tinggi oleh masyarakat – kalau ada majlis kenduri kendara, merekalah yang dipanggil untuk menjadi kepala majlis; kalau ada Majlis Tahlil, Doa Selamat, merekalah yang dipanggil untuk baca doa; kalau ada masalah agama, merekalah yang dirujuk oleh masyarakat. Maka, apabila ada sekumpulan manusia yang mahu memperkenalkan kembali ajaran Tauhid dan Sunnah, mereka rasa tercabar, maka mereka akan rasa dengki. Takut mereka nanti tidak dipandang tinggi lagi. Mereka sudah tidak dapat lagi sampul berisi wang lagi – sudah hilang satu pendapatan mereka.

Jadi apabila kita menegur mereka, mereka tak boleh terima. Mereka akan kata mereka dah belajar di sana dan di sini, bertahun-tahun mereka belajar, bertahun-tahun mereka mengajar, anak murid pun ramai. Memang langsung melenting kalau kita tegur sikit pun. Tegur pun bukan apa, hanya tanya dalil sahaja. Kita nak tahu, dari mana mereka dapat ajaran dan amalan itu dan ini. Sebagai contoh, kita tanya mereka, yang mereka buat Solat Hajat ramai-ramai itu, manakah dalilnya? Adakah Nabi dan sahabat pernah buat? Tanya begitu sahaja, maka dengan anak murid mereka, dengan penyokong mereka, semuanya akan melenting dan memperlekehkan kita. Mereka akan kata: “Ustaz ini sudah belajar bertahun-tahun dah, engkau belajar di mana? Tentulah dia lebih tahu dari engkau!!” Itu sahaja ejekan mereka kepada kita, sedangkan dalil yang ditanya entah ke mana.

Mereka benci kepada orang yang percaya kepada tauhid dari Quran. Kita pun benci juga kepada mereka kerana masih lagi kufur kepada Allah. Kita benci perangai dan kesalahan mereka itu. Tapi sebenarnya, kita tidaklah boleh benci kepada mereka sebaliknya kita kena kasihan kepada mereka. Kita dulu pun ada juga yang berfahaman seperti mereka, tapi kita sudah diberi hidayah dan taufik oleh Allah, dan mereka belum lagi. Tapi mereka benci sungguh kepada kita. Sudah tidak mahu telefon dah. Kalau kita telefon pun, mereka dah tak angkat. Kalau jumpa dalam mana-mana majlis, mereka akan cuba lari dari kita. Kalau tengok kita dari jauh, mereka akan juihkan mulut mereka kepada kita. Mereka akan cerita tentang ‘kesesatan’ kita kepada orang lain.

Hakikatnya, memang ada perasaan hasad dengki antara orang-orang yang berilmu. Dan amat buruk sekali apabila ahli agama berdengki dan hasad. Mereka tuduh macam-macam. Dan begitulah keadaan mereka sebelum datang ilmu tauhid pun. Kerana sudah ada perpecahan antara mereka. Kalau tidak antara guru-guru pun, antara anak-anak murid mereka. Ada puak ini belajar dengan guru ini, puak itu belajar dengan guru itu. Dan mereka tidak boleh bercampur. Semuanya akan menceritakan kelebihan guru masing-masing. Sampai ada yang memperlecehkan kedudukan guru yang selain dari mereka. Ini adalah kerana mereka taksud dengan guru mereka. Mereka jadi taksud kerana guru mereka pun ajar mereka begitu.

Padahal mereka itu belajar dan sudah mempunyai serba sedikit ilmu agama. Maknanya, mereka sudah ada keinginan kepada agama dah, perkara-perkara asas mereka sudah tahu. Maka, hendaklah kita ingat bahawa ini adalah satu dugaan kepada mereka yang belajar. Hendaklah kita ingat bahawa ilmu sahaja tidak cukup. Kena ada keinginan kepada hidayah. Kena ada satu perasaan rendah diri dan tawaduk dalam hati kita, yang berkata: walaupun kita salah, kita akan terima kebenaran walaupun berlainan dengan apa yang kita telah belajar selama ini. Walaupun datang bukan dari kumpulan kita. Asalkan ianya kebenaran, kita nak terima.

 

وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ

Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu

Ada satu lagi soalan yang timbul: Kalau apa yang dilakukan oleh ahli-ahli agama menukar agama itu salah, kenapa mereka dibiarkan sahaja oleh Allah? Allah beri jawapan dalam ayat ini.

Kalimah apa yang dimaksudkan? Kalimah janji dari Allah yang Dia akan beri tangguh kepada mereka yang buat dosa, buat syirik. Allah telah tetapkan ke atas DiriNya awal-awal lagi. Iaitu, Allah tidak terus matikan mereka yang buat syirik, bidaah dan dosa itu, Allah tidak terus masukkan mereka ke dalam neraka, Allah tidak terus beri azab kepada mereka. Allah simpan dulu. Sampai bila?

 

إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى

hingga ke suatu masa yang tertentu,

Inilah jawapan kepada soalan di atas. Allah biarkan mereka dalam kesesatan dan kesalahan dan tidak terus hukum mereka kerana Allah telah berjanji untuk menangguhkan hukuman kepada masa tertentu. Iaitu apabila mereka mati, barulah mereka akan dikenakan dengan azab. Masuk kubur sahaja, mereka akan mula dikenakan dengan azab. Dan apabila Kiamat datang, mereka akan diperhitungkan segala amalan mereka dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

 

لَّقُضِيَ بَيْنَهُمْ

tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka.

Kalau tidak kerana ketetapan Allah untuk beri tangguh kepada manusia yang buat syirik, tentulah telah lama manusia itu dimasukkan ke dalam neraka atau diberikan azab semasa mereka di dunia lagi. Tentulah mereka yang menggunakan agama untuk kepentingan diri mereka akan dikenakan dengan hukuman awal-awal lagi dah. Sebagai contoh, kalau pergi buat ibadat di kubur, balik rumah kena sakit perut kah atau pening kepala dan sebagainya. Tapi sikit pun Allah tak beri apa-apa hukuman kepada mereka. Mereka pergi dan balik sama sahaja.

Ini adalah kerana Allah beri tangguh kepada mereka. Kerana Allah beri tangguh itulah, ada antara mereka yang tetap dalam amalan syirik. Kerana mereka tidak nampak salahnya perbuatan mereka. Pada mereka, kalau mereka ada buat salah dalam agama, tentu Allah telah beri ‘tanda’ bahawa mereka ada buat salah.

Kerana Allah beri tangguh inilah juga yang menyebabkan kita masih terima ajakan tauhid ini. Kalau tidak, sudah lama kita ini kena azab, sudah lama mati masuk kubur kena azab dalam kubur. Sebab kita dulu pun sebelum belajar tafsir Quran dan sebelum belajar Sunnah, entah berapa banyak syirik yang kita lakukan, entah berapa banyak amalan bidaah yang kita buat. Kalau Allah terus beri hukum azab bila manusia buat syirik, dah lama dah kita tiada.

 

وَإِنَّ الَّذِينَ أُورِثُوا الْكِتَابَ مِن بَعْدِهِمْ

Dan sesungguhnya orang-orang yang mewarisi Kitab selepas mereka,

Ayat ini merujuk kepada mereka yang telah diberikan dengan Kitab-Kitab Suci dahulu. Iaitu bangsa Yahudi dan Kristian. Mereka telah mewarisi Kitab Suci itu dari Rasul-rasul mereka. Tapi, apa yang mereka telah lakukan? Orang Yahudi tidak belajar Kitab Taurat dan tafsir kepada Kitab Taurat. Mereka hanya belajar kitab tulisan ulama-ulama mereka. Tulisan pendita mereka lah yang mereka pegang sebagai agama mereka. Kitab Taurat mereka letak ke tepi. Atau hanya dibaca pada hari perayaan sahaja. Penganut Kristian pun begitu juga. Dan kalau mereka belajar dari Taurat dan Injil pun, itu adalah kitab yang telah diubahsuai dari yang asal.

مِن بَعْدِهِمْ (selepas mereka). Bermaksud selepas golongan awal. Selepas golongan yang awal menerima Kitab Taurat dan Injil, ianya telah diwarisi oleh keturunan dan penganut seterusnya. Sampailah kepada Yahudi dan Nasrani dan zaman Nabi Muhammad dan sampailah sekarang. Kerana kita pun ramai yang buat macam itu juga.

Maka, kerana mereka sudah tidak merujuk kepada Kitab yang Allah sendiri turunkan, maka tentulah ada kesalahan yang mereka telah lakukan. Dan kesalahan itu berturutan dan bersambung sampailah kita lihat apakah yang terjadi kepada agama mereka sekarang. Tidakkah kita lihat apa yang terjadi kepada mereka? Tidakkah mereka itu agama yang sesat dari yang diajar oleh Allah? Kita pun tahu bahawa mereka itu asalnya adalah agama yang benar, tapi sudah jadi sesat. Kalau ianya boleh terjadi kepada umat-umat dahulu, adakah mustahil ianya boleh terjadi kepada kita juga? Tentulah tidak mustahil. Kerana sejarah akan berulang. Itulah sebabnya kisah mereka disebut-sebut dalam Quran kerana kalau kita tidak berjaga dan berhati-hati, kita pun akan jadi macam mereka juga. Dan sudah ramai yang sudah cenderung ke arah itu.

Maka begitulah yang terjadi dalam agama kita ini pun. Orang Islam sudah lama tidak belajar tafsir dan terjemahan Quran tetapi mereka belajar kitab yang ditulis oleh manusia. Mereka tidak hiraukan Quran, tafsir Quran dan hadis Nabi yang sahih. Tetapi mereka belajar berjenis-jenis kitab tulisan manusia dari muda sampai ke tua. Bersungguh-sungguh mereka belajar. Maka, kerana itulah agama kita sudah ikut ugama Yahudi dan Nasrani. Bagaimana dengan Quran? Mereka memang sanjung tinggi Quran. Kalau ada majlis, mereka akan baca; setiap tahun akan ada pertandingan Musabaqah Antarabangsa; sekali sekala mereka akan baca Quran; tapi setakat itu sahaja. Mereka baca Quran, tapi mereka tidak faham. Samalah juga yang terjadi kepada Bangsa Yahudi juga.

Kalau tidak percaya, tanyalah kepada ustaz-ustaz dan tokoh agama yang ramai dalam negara ini. Tanya mereka adakah mereka sudah habis belajar tafsir Quran 30 juzuk? Sudahkah mereka belajar kitab hadis Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan lain-lain kitab hadis yang muktabar? Kalau mereka terketar-ketar untuk jawap, tanya lagi samada guru mereka sendiri ada belajar? Kebanyakan mereka akan kata, mereka dan guru mereka pun tidak belajar.

Termasuk dalam ayat ini adalah mereka-mereka yang menggunakan dalil ‘kitab’ dalam ajaran agama mereka. Termasuklah guru-guru agama dan ustaz-ustaz yang ramai dalam negara kita ini. Apabila kita minta dalil kepada mereka dalam mana-mana amalan bidaah dan syirik mereka, jawapan standard dari mereka adalah: “sebenarnya ada dalam kitab”. Setelah mereka jawap ada kitab, mereka pun kata: “sebab awak tak belajar kitab itulah awak tak tahu”.

Ingatlah, kitab karangan manusia BUKAN DALIL. Manusia boleh tulis apa sahaja. Apa yang ditulis itu tidak semestinya benar, bukan? Kerana kita manusia, tidak lari dari kesalahan. Yang menjadi panduan kita adalah Quran dan sunnah. Sepatutnya kalau kitab rujukan kita, kitab itu mestilah merujuk kembali kepada ayat Quran yang mana, hadis yang mana, dan bukannya pendapat ulama itu dan ini.

Apakah Allah kata tentang mereka ini?

 

لَفِي شَكٍّ مِّنْهُ مُرِيبٍ

berada dalam keadaan syak berkenaannya (Quran) dan ragu-ragu

Mereka syak wasangka terhadap ajakan tauhid yang kita sampaikan kepada mereka. Dalam hati mereka, berkata: “betulkah ajaran yang puak Sunnah ini bawa? Kenapa lain dengan apa yang aku faham?”

Mereka pun dalam keadaan termanggu-manggu kebengongan. Perkataan ه dalam مِّنْهُ itu merujuk kepada ‘Quran’. Mereka syak tentang Quran yang dibawa oleh Nabi Muhammad dan mereka syak dengan Nabi Muhammad sendiri. Sepertimana bangsa Yahudi tidak boleh terima yang baginda adalah seorang Nabi lagi Rasul, begitulah juga puak-puak bidaah tidak dapat terima ajaran tauhid yang disampaikan oleh penyebar Tauhid. Mereka tidaklah syak yang Quran itu dari Allah, tapi mereka syak dengan tafsir-tafsir dari ayat Quran itu.

Dalam hati mereka, akan sentiasa ada rasa ragu-ragu dengan agama mereka sendiri. Mereka tidak tenang sebenarnya dalam hati mereka. Itu juga adalah satu bentuk hukuman dari Allah. Kerana Allah tidak terus beri azab dunia, tapi Allah beri hukuman dalam bentuk lain.

Ketahuilah, mereka yang tidak belajar tafsir Quran 30 juzuk dan hadis Nabi yang sahih, TIDAK LAYAK untuk mengajar masyarakat kerana mereka sendiri tidak faham agama. Mereka sendiri tidak ada asas. Kalau mereka sendiri tidak faham agama, masih lagi jahil, maka mereka akan mewariskan kejahilan mereka kepada anak murid mereka.

Maka carilah guru yang mengajar tafsir Quran dan hadis Nabi. Habiskan belajar tafsir Quran dan Hadis sebelum belajar kitab-kitab yang lain. Kalau dah belajar dua sumber utama itu, maka bolehlah kita menilai samada kitab-kitab karangan manusia itu bersesuaian dengan ajaran Allah dan Nabi atau tidak. Belajar kitab-kitab mana pun, bukan kita halang. Tapi belajarlah asas agama dahulu – Quran dan sunnah. Oleh itu, mereka yang ada masalah dengan tauhid kerana belajar dengan kitab-kitab karangan manusia, kena diajak belajar kembali Tauhid.


 

Ayat 15: Ibn Kathir kata ada 10 perkara yang disentuh dalam satu ayat ini sahaja dan setiap satu itu adalah hukum yang kita perlu perhatikan. Ianya adalah hukum yang boleh berdiri sendiri.

فَلِذٰلِكَ فَادعُ ۖ وَاستَقِم كَما أُمِرتَ ۖ وَلا تَتَّبِع أَهواءَهُم ۖ وَقُل آمَنتُ بِما أَنزَلَ اللَّهُ مِن كِتابٍ ۖ وَأُمِرتُ لِأَعدِلَ بَينَكُمُ ۖ اللَّهُ رَبُّنا وَرَبُّكُم ۖ لَنا أَعمالُنا وَلَكُم أَعمالُكُم ۖ لا حُجَّةَ بَينَنا وَبَينَكُمُ ۖ اللَّهُ يَجمَعُ بَينَنا ۖ وَإِلَيهِ المَصيرُ

Sahih International

So to that [religion of Allah ] invite, [O Muhammad], and remain on a right course as you are commanded and do not follow their inclinations but say, “I have believed in what Allah has revealed of the Qur’an, and I have been commanded to do justice among you. Allah is our Lord and your Lord. For us are our deeds, and for you, your deeds. There is no [need for] argument between us and you. Allah will bring us together, and to Him is the [final] destination.”

Malay

Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (mereka – wahai Muhammad – kepada berugama dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka; sebaliknya katakanlah: “Aku beriman kepada segala Kitab yang diturunkan oleh Allah, dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu. Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal kami dan bagi kamu amal kamu. Tidaklah patut ada sebarang pertengkaran antara kami dengan kamu (kerana kebenaran telah jelas nyata). Allah akan menghimpunkan kita bersama (pada hari kiamat), dan kepadaNyalah tempat kembali semuanya (untuk dihakimi dan diberi balasan)”.

 

فَلِذَٰلِكَ فَادْعُ

Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah

1. Serulah manusia kepada tauhid. Ini adalah arahan dan seruan dari Allah kepada kita untuk berdakwah. Serulah manusia kepada menyembah hanya Allah sahaja. Serulah manusia kepada belajar tafsir Quran, kepada sunnah, kepada agama yang benar. Jangan berhenti berdakwah. Ada peluang sahaja, kita dakwah. Kerana ramai manusia yang tidak tahu, ramai yang jahil tentang agama. Kepada yang membaca tulisan ini, hantarkan tulisan ini kepada saudara anda, kawan-kawan anda malah kepada ustaz anda pun. Sampaikan dakwah ini kepada mereka.

Kerana ajaran tauhid lah yang boleh menyatukan manusia. Untuk ringankan, kena ajak manusia kepada tauhid. Bila ramai yang mengamalkan ajaran tauhid, maka semakin senang kita untuk mengamalkan agama ini kerana ramai yang buat sama macam kita. Hanya sembah satu Tuhan sahaja, iaitu Allah. Dalam manusia kebingungan tentang agama, maka bawalah mereka kepada menyembah Allah.

Dakwah adalah satu kewajipan. Kita disuruh berkali-kali dalam Quran dan dalam hadis untuk berdakwah. Ini adalah tanggungjawab kita kepada Allah dan kepada manusia. Malangnya, ramai yang belajar agama, tapi mereka tak ajak pun orang lain untuk datang belajar. Mereka nak selamatkan diri mereka sahaja nampaknya.

Soalan: adakah agama Islam ini benar? Tentulah ianya agama yang benar, bukan? Bagaimana pula dengan agama selain Islam? Tentulah agama lain tidak benar. Maka, kalau agama Islam ini benar, maka hendaklah kita sampaikan kepada orang lain. Kenapa biarkan penganut agama lain pula yang berdakwah? Lihatlah bagaimana setiap hari kita boleh lihat penganut agama lain bersemangat berdakwah mengajak manusia kepada agama mereka. Padahal agama mereka adalah agama yang salah. Jadi kalau kita tidak buat kerja kita menyebarkan agama yang benar ini, maka manusia akan mendapat agama yang salah kerana mereka yang beragama salah pula yang semangat untuk menyampaikan agama mereka.

 

وَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ

serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu,

2. Selain dari berdakwah, kita sendiri hendaklah mengamalkan apa yang kita dakwahkan itu. Atau, dalam bentuk yang umum, kena jalankan apa yang Allah perintahkan, dari segi ibadat dan adat. Jangan pandai cakap sahaja. Jangan kata apa yang kita sendiri tidak lakukan.

Dan tetap teguh dalam melakukan dakwah itu. Walaupun banyak yang menghalang kerja-kerja dakwah kita. Jangan takut dengan orang lain. Lebih-lebih lagi jangan takut dengan orang yang jahil. Orang yang sudah terima sunnah ada satu masalah: takut nak amalkan sunnah kerana takut apa orang akan kata, takut kena marah, kena ejek, kena boikot. Mereka takut dengan orang yang jahil. Ini adalah masalah yang perlu diatasi dalam kalangan kita.

Buatlah seperti yang Allah perintah. Jangan buat cara yang lain. Maka, untuk mengetahui apakah yang diperintah, kenalah kita belajar, bukan? Maka hendaklah kita belajar tafsir Quran dan sunnah untuk mengetahui apakah perintah Allah. Kerana perintah Allah ada dalam Quran dan sunnah. Bukannya dari kitab tulisan manusia.

Dan ingat, dakwah lah guna ayat-ayat Quran. Bukannya dengan menggunakan lagu nasyid, qasidah, puisi, tulisan khat, Zikr Munajat dan lain-lain cara. Padahal Allah perintahkan kita untuk berdakwah menggunakan Quran.

 

وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ

dan janganlah sekali-kali engkau menurut hawa nafsu mereka;

3. Jangan ikut mereka yang hanya menurut hawa nafsu mereka sahaja. Ramai manusia yang tidak kisah tentang agama, hanya mahu ikut apa yang nafsu mereka perintahkan mereka sahaja. Jangan terpedaya dengan mereka.

Dan kena berhujah dengan dalil wahyu. Hujah yang bukan dari Quran dan sunnah adalah dalil hawa nafsu belaka – tidak boleh dipakai. Tapi itulah yang dibawa oleh kebanyakan guru dan ustaz di negara ini.

 

وَقُلْ آمَنتُ بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ مِن كِتَابٍ

katakanlah: “Aku beriman kepada segala Kitab yang diturunkan oleh Allah,

4. Memang akan ada sahaja perbezaan pendapat, sampai kepada perbalahan dan perpecahan. Kalau itu terjadi, kita katakan kepada mereka bahawa apa yang kita lakukan adalah apa yang diwahyukan oleh Allah dalam KitabNya. Kalau apa sahaja yang Allah wahyukan, kenalah kita ikut tanpa berbelah bahagi. Dan segala Kitab yang Allah turunkan adalah berkenaan Tauhid. Cuma apabila telah diubah oleh penganut-penganut mereka, maka hilanglah berita tentang Tauhid itu.

 

وَأُمِرْتُ لِأَعْدِلَ بَيْنَكُمُ

dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu.

5. Lafaz ‘Adil’ dalam ayat ini bermaksud memberitahu apa yang Allah sampaikan. Dengan tidak pilih kasih. Kalau salah, sebut yang ianya salah. Jangan kita simpankan kebenaran kalau dengan sesetengah orang. Kadang-kadang, kalau dengan orang yang kita rasa tak boleh terima, kita tak cerita habis. Itu sudah tidak berlaku adil, namanya.

Juga hendaklah kita adil dalam berdakwah. Kena sampaikan kepada semua orang. Tidak pilih-pilih kepada siapa yang kita sampaikan ajaran tauhid ini. Jangan kita beritahu kepada sesetengah kawan kita dan keluarga kita, tapi kita simpan dari sesetengah kawan yang lain kerana kita rasa mereka tidak akan terima.

Dan adil itu bermaksud tidak seleweng makna. Tak hurai lebih dari yang sepatutnya. Tak tambah dari yang sepatutnya. Kita cuma beritahu apa yang kita belajar sahaja, jangan tambah dari pendapat kita sendiri. Kerana bahaya kalau kita beri pendapat kita kerana ia tidak pasti benar lagi. Dan kalau ia benar pun, itu adalah salah.

Ada juga yang kata ayat ini bermaksud ianya adalah adil dalam memberi hukuman. Iaitu Nabi Muhammad diperintah untuk adil dalam memberi keputusan dalam hukuman. Cuma pendapat itu agak lemah kerana ayat ini diturunkan di Mekah dan waktu itu, baginda tidak dijadikan sebagai hakim lagi dalam urusan orang Islam dan orang Yahudi. Ianya hanya mula terjadi di Madinah. Allahu a’lam.

 

اللَّهُ رَبُّنَا وَرَبُّكُمْ

Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu.

6. Katakan kepada mereka bahawa Tuhanku ini adalah Tuhan kamu juga. Walaupun kamu tidak mahu menerimaNya, tapi Dia tetap juga Tuhan yang mencipta, memelihara dan menjaga kamu.

 

لَنَا أَعْمَالُنَا

Bagi kami amal kami

7. Kami hanya akan amalkan amalan yang diajar oleh Nabi dan yang diamalkan oleh para sahabat.

Ayat ini juga bermaksud, kita akan dapat hasil dari amalan kita. Kalau nak pahala, kena lakukan sendiri.

 

وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ

dan bagi kamu amal kamu.

Kamu buatlah amalan kamu itu. Iaitu amalan yang direka oleh guru-guru, dari manusia, yang bukan dari Allah dan Nabi itu. Amalan itu kita tidak mahu terima, kita tidak akan amalkan. Kalau ahli bidaah nak amalkan, terpulang kepada mereka, kita tidak masuk campur dan kita tidak akan sertai.

Juga, ia bermaksud kamu akan mendapat balasan dari apa yang kamu amalkan. Maknanya, setiap orang hanya bertanggungjawab dengan amalan mereka sendiri. Kalau buat amalan yang betul, akan dapat balasan pahala. Kalau amalan salah, akan dapat dosa.

Dan kita hanya akan dapat pahala kalau amalan itu kita buat sendiri. Tidaklah boleh hendak kirim-kirim pahala seperti yang dilakukan oleh kebanyakan orang kita sekarang. Jadi, amalan Majlis Tahlil untuk mengirim pahala itu tidak benar dan hanya rekaan sahaja.

 

لَا حُجَّةَ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ

Tidaklah ada hujah antara kami dengan kamu

8. Tidak ada hujah antara kita melainkan menggunakan Quran dan sunnah kerana kebenaran telah jelas nyata di dalam keduanya. Yang kamu tidak tahu hujah itu adalah kerana kamu sahaja yang tidak belajar. Maknanya, sebenarnya tidak ada keperluan untuk kita berhujah dan bertegang urat mempertahankan pendapat kita masing-masing. Kerana dalil yang ada amat jelas. Kalau kita ada perbezaan pendapat, rujuk dua sumber itu dahulu.

Macam inilah jawapan kita dengan golongan bidaah sekarang. Kalau kita berhujah dengan mereka, kita gunakan Quran dan sunnah. Tapi mereka akan pakai kata-kata guru dan ustaz mereka, pendapat orang itu dan ini, akal mereka, kitab itu dan ini, malah macam-macam lagi. Rasanya seperti tidak berbaloi nak berhujah dengan mereka yang mengamalkan bidaah. Sebab kita bagi ayat Quran dan mereka beri dalil lain. Rasa macam tidak kena sahaja. Adakah hujah lain yang boleh lawan Quran dan hadis?

Sepatutnya mereka dengar sahaja apa yang kita sampaikan dan ikut. Kerana kita berikan dalil dari Quran dan hadis. Tidak perlu nak berhujah lagi dah.

Ayat ini juga memberitahu kepada kita, yang kita bukannya hendak berhujah dan berdebat. Kita bukan nak bandingkan mana kumpulan yang lebih bagus antara kita semua. Banyak kumpulan kumpulan yang melakukan kerja dakwah maka jangan kita cari perbezaan antara mereka dan kita.

 

اللَّهُ يَجْمَعُ بَيْنَنَا

Allah akan menghimpunkan kita bersama

9. Kalau kamu tidak mahu percaya juga, tidak mengapa, kerana Allah akan mengumpulkan kita semua pada Hari Kiamat nanti. Dan keputusan siapa yang benar akan diberitahu pada hari itu. Tapi di sana, keputusan akan dibuat secara amali. Maksudnya, bukanlah di sana baru tahu mereka salah, tidak. Sekarang di dunia lagi mereka dah salah, cuma tidak dilakukan penghukuman secara amali lagi. Penghukuman secara amali hanya akan diadakan di akhirat kelak.

 

وَإِلَيْهِ الْمَصِيرُ

dan kepadaNyalah tempat kembali semuanya”

10. Dikembalikan kepadaNya adalah untuk dihakimi dan diberi balasan. Takkan nak tunggu perjumpaan di Mahsyar baru nak bertaubat, baru nak kembali ke dunia kerana nak amalkan ajaran tauhid? Banyak ayat-ayat Quran menyebut tentang mereka yang menyesal kerana amalan salah mereka semasa di dunia dan mereka minta kembali ke dunia untuk beramal dengan benar, tapi tidak dimakbulkan permintaan mereka itu.

Allahu a’lam

Maulana Hadi Hamin Syuraa 1-15

Lompat ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 042: Shura. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s