Tafsir Surah ash-Shura Ayat 1 – 5 (Langit hampir pecah kerana syirik)

Pengenalan Surah Shura:

Surah ini ada menceritakan tentang guru-guru yang ajar ajaran syirik dan bidaah kepada anak-anak murid mereka. Ini ada disebut dalam ayat ke-21. Iaitu mereka ‘buat’ syariat sendiri. Mereka mesyuarat sesama sendiri, dan kata amalan ini dan amalan itu adalah baik dan diterima. Mereka kata itu adalah ijma’ ulama. Patutnya, kalau mesyuarat untuk menyelesaikan hal kehidupan, memanglah boleh, tapi bukan dalam hal ibadat. Kerana cara-cara ibadat telah ditetapkan oleh Allah dan telah diajar oleh Nabi Muhammad. Dan apabila mereka mengatakan itu adalah ijma’ ulama’, itu adalah perkara yang bohong. Seolah-olah mereka tidak faham apakah maksud ijma’ itu sendiri. Kerana bukan senang ijma’ itu dapat dijalankan, sampaikan ulama sunnah mengatakan yang ijma’ hanya berlaku pada zaman sahabat sahaja, kerana waktu itulah sahaja yang ulama satu dunia dapat bertemu dan bersetuju atas sesuatu perkara.

Majlis baca yasin solat hajat bidaah

Nabi dan para sahabat sebelum keluar berperang tidak mereka buat solat hajat bersama-sama. Baca Yasiin pun tidak padahal urusan berat. Antara menang atau kalah, antara hidup atau mati

Bidaah ini apabila mula dibuka, mula dibenarkan, akan ditambah-tambah padanya. Contohnya, Solat Hajat itu kalau dikerjakan sendirian pun memang dah bidaah sebab tidak ada sunnahnya dalam agama. Tapi apabila dibenarkan, diajar kepada masyarakat, ia akan jadi melarat. Mereka akan tambah lagi bidaah yang sudah ada. Mulanya, mereka tambah ‘lafaz niat’, maka timbullah soalan kurang cerdik: “macam mana niatnya, ustaz?”; kemudian cara-cara Solat Hajat itu kena direka, kerana memang tidak ada pun diajar oleh ulama salaf. Maka, akan ada macam-macam jenis cara. Maka kerana ramai yang mereka, maka tentulah ada sahaja perbezaan dari segi rakaat, dari segi doa, surah apa yang dibaca dalam solat itu, berapa kali kena baca dan sebagainya; kemudian ditambah dengan solat itu dibuat berjemaah, supaya lebih kuat lagi untuk ‘desak’ Allah. Kalau seorang sahaja, tak cukup kuat pada anggapan mereka; kemudian ditambah lagi, jemaah itu pula kena 40 orang baru cukup; imam pula kena cari yang ‘terkenal’, yang serban besar, kuat zikir, dahi hitam dan sebagainya; bila dah ramai datang, sudah kena beri makan, maka kena buat kenduri; mulanya beri duit tambang sahaja kepada imam Solat Hajat itu, lama-lama dah jadi ‘upah’. Lagi hebat dan terkenal ustaz itu, lagi mahal kena bayar. Ini semua kerana asal dari tidak melarang Solat Hajat itu dari dilakukan. Mereka yang takut untuk mengatakan Solat Hajat itu berjemaah, akan kata tidak ada masalah kalau buat Solat Hajat, tapi lihatlah bagaimana Solat Hajat ini telah menjadi satu punca pendapatan kepada sesetengah orang dan dilakukan dengan berbagai-bagai cara yang amat bidaah. Mulanya bidaah sedikit sahaja, tapi lama kelamaan telah jadi macam-macam.

Itu semua adalah perbuatan-perbuatan yang ditambah dan menyusahkan umat. Ianya adalah salah di sini ugama kerana ianya menambah-nambah perkara dalam agama. Mereka tidak nampak beratnya dosa buat bidaah itu. Mereka tidak perasan bahawa mereka-reka ibadah itu sebenarnya mengganti kerja Tuhan. Sepatutnya, aturan agama ini diberikan oleh Allah dan disampaikan oleh Nabi, tapi mereka sendiri yang memandai menambah-nambah apa yang tidak ada. Masalahnya cuma satu: tidak belajar agama.

Perkataan ‘Shura’ bermaksud mesyuarat/konsultansi. Surah ini adalah surah Makkiah – diturunkan di Mekah. Ianya adalah salah satu dari 7 surah hawameem – surah-surah yang dimulai dengan ‘ha mim’. Surah-surah hamim ini memperkatakan tentang doa kepada Allah. Iaitu dalam berdoa, kita kena tauhid kepada Allah sahaja. Jangan seru kepada selain Allah. Ini adalah tafsir kepada ayat Iyyaka nas’tain dalam surah Fatihah. Banyak sungguh kekeliruan dalam masyarakat Islam kita tentang doa dan cara-cara berdoa. Jadi, diharap dengan membaca surah-surah ini, akan lebih memberi kefahaman tentang ibadah doa.

Tauhid Dalam Berdoa

Maksud utama tentang Tauhid dalam Berdoa telah dibentangkan dalam Surah Ghafir. Tetapi, mungkin ada yang keliru tentang Tauhid dalam Doa itu, maka Allah telah turunkan enam lagi surah selepas Surah Ghafir itu untuk menjelaskan tentang kesamaran tentang syirik yang mungkin timbul di hati dan fikiran manusia. Dalam Surah Fussilat, telah dibincangkan kesamaran pertama: manusia yang melakukan syirik dalam berdoa masih lagi mendapat apa yang mereka hajati dengan cara syirik mereka. Allah jawap dalam Surah Fussilat itu, walaupun mereka dapat apa yang mereka minta dengan cara syirik, itu bukanlah tanda bahawa cara itu benar.

Surah Hamim 7 tauhid dalam berdoa

Surah Shura ini hendak membincangkan kesamaran yang kedua. Mereka yang mengamalkan syirik dalam berdoa itu kata ada dalil yang membenarkannya. Mereka bawa hujah dari merata tempat, dari kata ulama itu dan ini, kitab itu dan ini. Dalil-dalil dan hujah itu telah menyebabkan ramai yang keliru dan mereka berpegang dengan dalil dan hujah itu walaupun sebenarnya ia bukanlah dalil sebenarnya. Mereka yang tidak belajar, memang akan keliru dengan hujah-hujah yang ada kerana mereka tidak dapat nak bezakan mana dalil dan mana tidak. Surah ini menjelaskan bahawa tidak ada dalil sama sekali dalam nas yang diberikan kepada makhluk untuk buat syirik. Semua ayat dalam Qur’an hanya menyebut bahawa Allah sahaja yang berkuasa. Tidaklah Allah beritahu ada yang lain ada kuasa sampai boleh minta kepada mereka. Dalam Quran, Allah tetap memperkenalkan bahawa Dia sahaja yang Maha Kuasa, tidak ada entiti lain yang ada kuasa sepertiNya.

Tetapi, amat ramai manusia yang keliru tentang syirik kerana mereka tidak belajar tafsir Quran dengan betul. Sedangkan dosa syirik ini amat bahaya kerana Allah telah beritahu yang Dia tidak akan ampunkan dosa syirik. Kalau dosa lain, Allah boleh ampunkan lagi, tapi tidak ada harapan kepada mereka yang melakukan syirik. Umpama kalau isteri kita tidak pandai masak, kita boleh maafkan lagi, boleh pergi makan di kedai. Kalau tidak cantik pun tidak mengapa, kalau tidak pandai mengemas pun masih ada maaf lagi. Tapi kalau isteri itu sampai menduakan suami, sampai ada lelaki lain yang naik atas katil dengan isteri kita, suami normal takkan terima dan takkan maafkan perbuatan isteri itu. Itu kalau menduakan suami, bagaimana pula kalau menduakan Allah? Tentu Allah lebih layak untuk marah kepada mereka yang menduakanNya. Semoga kita faham kenapa kita menekankan tentang tauhid dan syirik dalam penulisan blog ini.

Inilah kesalahan Iblis sampai menyebabkan tidak ada ampun untuk dia sampai bila-bia. Iblis tidak kenal Allah dengan sepatutnya sampai dia sanggup engkar perintah Allah dan dia pakai otak dia untuk tolak arahan yang Allah telah berikan dengan jelas kepadanya. Kesalahan Iblis tidak sama dengan kesalahan Nabi Adam, kerana baginda dekati pokok itu bukan kerana nak derhaka kepada Allah tapi kerana baginda terlupa sahaja. Dan baginda segera mengaku kesalahan yang baginda telah lakukan, maka Allah maafkan. Tapi kesalahan Iblis tidak ada maafnya kerana Iblis tidak kenal Allah seperti yang sepatutnya. Jadi ada beza antara dua kesalahan itu. Kalau kesalahan terlupa, ada maaf lagi. Tapi kalau kesalahan itu kerana melawan Allah dan dalam bentuk akidah pula, tidak ada maaf.

Penerangan tentang syirik amat jelas dalam Qur’an kepada mereka yang belajar. Segala bukti dan dalil telah diberikan untuk melarangnya. Tapi ada pula yang bawa dalil boleh buat syirik. Mungkin ada yang keliru dengan dalil-dalil yang dibawa itu. Mereka akan terfikir, bagaimana pula dengan dalil-dalil ini? Jadi surah Shura ini Allah turunkan untuk menjawap kesamaran itu.

Ada yang tidak meyakini kitab wahyu kerana mereka tidak belajar. Dan apabila mereka diberikan dengan hujah dari sumber yang lain dari wahyu, mereka boleh keliru tentang tauhid. Pada mereka, sudah ada bukti yang membenarkan mereka melakukan perbuatan syirik yang mereka lakukan. Oleh itu, pada mereka, perkara yang mereka lakukan itu tidaklah syirik pada pandangan mereka. Kalau ada dalil yang sampai kepada kita yang sudah belajar ini yang membenarkan syirik dalam doa, kita kena jawap bahawa apa-apa sahaja riwayat yang bersalahan dengan akidah tauhid, itu semua adalah palsu. Kerana tidak ada lagi hadis sahih yang berlawanan dengan akidah yang diajar dalam Qur’an. Kalau periksa mana-mana hadis yang macam itu, kita pasti akan dapat kepastian bahawa ianya adalah palsu. Hadis-hadis sebegitu adalah hadis-hadis yang palsu yang ditulis oleh manusia hasil dari bisikan syaitan. Sebab itu penting belajar hadis juga. Kalau hadis pun tidak ada, tentulah pandangan lain pun tidak terpakai juga. Tidak kira lah datang dari kitab mana atau pandangan ulama mana pun.

Tapi, kalau tidak belajar wahyu Quran, maka ada yang keliru apabila dihulurkan dengan hujah-hujah lain. Kerana mereka tidak belajar dengan sempurna. Cara untuk menjawap kesamaran itu ada dalam ayat ke-14. Inilah ‘Maksud’ surah ini – iaitu ayat terpenting dalam surah ini yang kita kena beri perhatian yang lebih – kena tawajuh. Kena belajar tafsir baru faham ayat ini kerana kalau baca sendiri tidak boleh faham kerana ianya memerlukan penjelasan.

وَما تَفَرَّقوا إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَهُمُ العِلمُ بَغيًا بَينَهُم ۚ وَلَولا كَلِمَةٌ سَبَقَت مِن رَبِّكَ إِلىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى لَقُضِيَ بَينَهُم ۚ وَإِنَّ الَّذينَ أورِثُوا الكِتابَ مِن بَعدِهِم لَفي شَكٍّ مِنهُ مُريبٍ
Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan melainkan setelah sampai ilmu tauhid kepada mereka; berlakunya (perselisihan yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi Kitab ugama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak terhadap Kitab itu.

Ayat ini memberitahu kita bahawa tidaklah golongan Ahli Kitab dahulu berbeza pendapat melainkan setelah sampai kepada mereka ilmu tentang tauhid. Maknanya, bukan mereka tidak tahu. Selepas mereka disampaikan dengan ilmu tauhid itu, ada antara mereka yang menerima tauhid dan ada yang kembali kepada syirik. Perselisihan yang dimaksudkan dalam ayat ini bukanlah perselisihan yang kecil tetapi perselisihan dari segi akidah. Jadi, mereka berselisih itu bukanlah kerana mereka jahil, tapi kerana mereka degil sahaja. Kerana telah sampai kepada mereka ilmu tauhid.

Allah beritahu kenapa mereka berselisih. Mereka berselisih itu kerana hasad dengki sesama mereka. Kerana ingin kedudukan dunia. Ini adalah kerana mereka tamak harta dunia dan tamak kedudukan di dunia. Kerana mereka cari makan dengan cara syirik dah. Mereka dapat habuan dari apa yang mereka lakukan dari amalan syirik. Mereka ada hasad dengki itu sampai benda yang jelas jadi samar kepada mereka kerana hati mereka tidak dapat terima ajaran tauhid yang disampaikan. Apabila ada orang bawa dalil dari wahyu, mereka tak boleh terima. Oleh itu, kita dapat faham bahawa yang melawan tauhid adalah kerana nak cari makan sahaja. Begitulah juga dalam masyarakat kita. Yang menentang kita menyampaikan ajaran sunnah dan tauhid ini adalah kerana kita kacau carian makan mereka. Memang mereka akan lawan sebab sudah susah mereka nak cari makan. Sudah susah mereka hendak menipu masyarakat dengan amalan-amalan doa mereka yang mengamalkan tawasul itu.

Walaupun mereka telah mengamalkan syirik dalam doa mereka, Allah tidak terus beri azab kepada mereka. Allah telah taqdirkan yang azab akan dikenakan kepada mereka pada waktu yang telah ditetapkan – hanya Allah sahaja yang tahu. Maka itu sebab mereka selamat kerana Allah tidak terus beri azab. Tapi pasti mereka akan kena azab.

Mereka yang mewarisi kitab wahyu selepas mereka, seperti Taurat, Injil, terus menerus ragu-ragu dalam akidah tauhid. Walaupun mereka ada kitab, tapi mereka tidak ada keyakinan atas akidah tauhid. Mereka jadi keliru kerana mereka jumpa dalil-dalil palsu yang direka oleh manusia. Mereka pun terima dalil-dalil palsu itu sebab mereka pun tidak belajar kitab yang benar. Mereka tidak belajar dengan benar apa yang ada dalam kitab mereka sendiri. Kitab Taurat dan Kitab Injil mereka pun sudah tidak benar dah, telah dimasuki oleh elemen-elemen luaran, jadi memang mereka akan terus keliru.

Jangan sangka itu terjadi kepada ahli-ahli Kitab terdahulu sahaja. Begitulah yang akan terjadi kepada kita kalau kita pun tak belajar Qur’an dengan cara yang benar. Apabila jahil tentang wahyu, maka apabila datang hujah yang lain dari wahyu, ada kemungkinan akan termakan dengan hujah-hujah itu kerana syaitan akan bagi indah hujah-hujah itu. Sebab itu kena belajar tafsir Quran itu sampai habis. Dan kalau ada yang beri hadis-hadis, kena periksa status hadis itu. Pasti ada yang boleh tolong kita periksa samada hadis itu benar atau tidak.

Anjuran Mengadakan Shura (mesyuarat)

Surah ini juga menceritakan jalan dalam menyelesaikan perbalahan. Setiap manusia ada perbezaan pandangan antara mereka dan kadang-kadang akan ada perbalahan sesama manusia. Ini termasuk juga mereka yang berdakwah ke jalan Allah pun ada ketidaksamaan antara mereka. Tidaklah salah kalau berbeza pendapat, kerana ini menunjukkan kita menggunakan akal fikiran kita yang sihat. Jadi berbeza pendapat adalah bagus sebenarnya. Tetapi, ianya menjadi tidak baik jikalau manusia berkelahi kerana perbezaan pendapat itu. Iaitu apabila seseorang hanya mengganggap pendapatnya sahaja yang benar, sampai tidak mahu mendengar pandangan orang lain. Kalau sampai jadi begitu, maka perbezaan pendapat itu sudah menjadi buruk yang akan merosakkan masyarakat dan mereka yang terlibat.

Jadi, surah ini memberitahu kepada kita jalan penyelesaian kepada perbalahan pendapat itu. Iaitu dengan melakukan ‘shura’ di mana semua pihak kena duduk berbincang dan mendengar pendapat masing-masing. Diceritakan di dalam surah ini bagaimana orang-orang terdahulu pun ada berbeza pendapat dan bagaimana cara mereka menyelesaikannya.

Maulana Hadi – Pengenalan Ash-Shura


Ayat 1:

حم

Haa, Miim.

Kita tidak tahu apa makna ayat ini. Ayat-ayat jenis ini dinamakan ayat-ayat Muqattaah. Kita hanya boleh tafsir ayat yang selepas ayat muqattaah ini sahaja.

Ini menyedarkan kita bahawa, kalau Allah tidak memberitahu apa-apa kepada kita, kita tidak akan tahu apa-apa. Bukanlah huruf-huruf Muqattaah ini tidak ada makna. Ada maknanya, cuma kita sahaja yang tak tahu kerana Allah tidak memberitahu kepada kita. Nabi Muhammad pun tidak pernah menceritakan apakah maknanya. Kita tahu tidak ada maklumat tentangnya, kerana tidak ada hadis yang Nabi memberitahu maknanya. Sedangkan kewajipan Nabi untuk menjelaskan perkara yang tidak jelas kepada kita. Ada perkara yang Allah tak beritahu kepada kita, termasuklah kepada Nabi Muhammad. Oleh itu, apabila Nabi pun tidak menjelaskannya kepada kita, maka itu bermaksud, Nabi Muhammad pun tidak tahu.

Ini adalah satu ujian kepada orang yang alim – (orang berilmu). Ujian untuk lihat sama ada mereka boleh kata mereka ‘tidak tahu’. Untuk melihat samada mereka boleh mengaku kepada manusia bahawa mereka tidak tahu. Kerana mereka mungkin rasa malu untuk mengaku tidak tahu. Takut orang hairan kenapa mereka tidak tahu atau pandang rendah kepada mereka pula. Jadi, ada orang alim yang walaupun mereka tidak tahu dengan pasti, mereka akan jawap juga mengikut agak-agak mereka, walaupun mereka tahu maklumat itu tidak tepat. Ini mengingatkan kita kepada kisah bagaimana pernah satu rombongan dari jauh datang bertemu Imam Malik dengan membawa 18 soalan. Imam Malik hanya menjawap 3 sahaja soalan-soalan itu dan selainnya, Imam Malik jawap: ‘tidak tahu’.

Kepada kita yang tidak berilmu ini, ayat ini mengajar kita untuk mula belajar dengan ‘tidak tahu’. Dengan mempunyai fikiran yang kosong, bersedia untuk menerima ilmu. Kalau kita mulakan belajar sesuatu dengan idea lain yang sudah ada dalam fikiran kita, itu akan jadi satu gangguan kepada pemahaman kita.

Satu lagi, huruf-huruf Muqattaah ini mungkin diletakkan sebegitu rupa untuk menarik perhatian orang yang mendengar. Bangsa Arab adalah satu bangsa yang amat berbangga dengan penguasaan bahasa mereka. Penggunaan huruf Muqattaah ini tidak pernah mereka dengar. Jadi, apabila Quran menggunakan perkataan sebegini, mereka kehairanan dan mereka akan tertanya-tanya apakah yang hendak dibawa oleh ayat-ayat Quran itu. Oleh itu, mereka akan memberi perhatian kepada ayat-ayat yang seterusnya.

Kepada kita, walaupun kita tidak menguasai bahasa Arab, tetapi apabila kita baca huruf-huruf Muqattaah ini, ianya adalah satu penggunaan bahasa yang amat menarik perhatian kita. Kita akan rasa terpanggil untuk terus membaca ayat-ayat seterusnya. Begitulah keindahan Quran yang Allah telah jadikan untuk kita.


Ayat 2:

عسق

Ain, Siin, Qaaf.

Unik sekali dalam surah ini, dua ayat yang pertama adalah ayat muqattaah. Selalunya ada satu sahaja. Ini menambahkan kelainan pada surah ini. Tapi kita tidak tahu dengan pasti kenapa Allah lakukan demikian. Seperti kita telah sebut di atas, kita tidak mendapat maklumat dari Nabi apakah maksudnya.


 

Ayat 3: Ini adalah Dakwa yang pertama: Sepertimana Nabi-Nabi terdahulu diwahyukan dengan Dakwa Tauhid, begitu juga dengan Nabi Muhammad.

كَذٰلِكَ يوحي إِلَيكَ وَإِلَى الَّذينَ مِن قَبلِكَ اللَّهُ العَزيزُ الحَكيمُ

Sahih International

Thus has He revealed to you, [O Muhammad], and to those before you – Allah , the Exalted in Might, the Wise.

Malay

Sebagaimana yang terkandung dalam surah ini dan surah-surah yang lain – diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu, oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

كَذَٰلِكَ يُوحِي إِلَيْكَ

Begitulah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad)

Selepas diberikan ayat muqattaah dalam ayat sebelumnya, Allah terus berkata, ‘begitulah’. Sebagaimana akal kita tidak dapat mencapai maksud ayat-ayat muqattaah itu, akal kita pun tidak dapat mencapai bagaimana wahyu diturunkan kepada hambaNya.

Atau, ‘Begitulah’ – sebagaimana telah diwahyukan kepada kamu wahai Muhammad, begitulah juga wahyu-wahyu lain telah diberikan kepada Rasul-rasul sebelum kamu. Iaitu wahyu-wahyu yang sama juga – tidak boleh syirik dalam doa.

‘Wahyu’ bermaksud mesej yang diberikan dengan cepat dan secara rahsia. Supaya orang-orang di sekitar tidak tahu. Ini adalah maksud literal perkataan ‘wahyu’.

Dalam segi syariat, maksud ‘wahyu’ adalah maklumat dari Allah yang diberikan kepada Nabi dan Rasul dalam berbagai cara. Antaranya, melalui Jibril. Ianya adalah satu proses yang amat berat. Ini boleh dipelajari dari hadis.

Wahyu diberikan kepada manusia kerana Allah hendak memberi hidayah kepada manusia. Semasa Nabi Adam diturunkan, Allah telah beritahu yang hidayah akan diberikan kepada manusia dan Allah memenuhi janjiNya dengan diturunkan kitab-kitab wahyu seperti Taurat, Injil, Zabur dan kepada kita, telah diturunkan Quran ini sebagai panduan untuk kita.

Terdapat banyak sekali ayat-ayat dan ajaran yang ada dalam Quran. Tetapi yang paling penting sekali adalah tentang akidah tauhid. Tambahan pula surah Syura ini adalah Surah Makkiah yang banyak menekankan tentang akidah dan pemantapan tauhid. Inilah topik perbincangan yang berulang-ulang dan diberikan penjelasan dengan berbagai-bagai cara kepada kita. Kerana tujuan wahyu itu adalah untuk kenal Allah. Dan kenal Allah mestilah kenal dalam akidah tauhid. Kalau kita kenal Allah, tapi tidak kenal tauhid, itu maksudnya belum kenal lagi dengan sebenarnya. Kerana mereka yang belajar tafsir Quran, akan kenal Allah dalam akidah tauhid. Mereka tidak akan menduakan Allah dalam apa segi pun.

 

وَإِلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكَ

dan kepada Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu,

Ini bermakna wahyu ini bukanlah perkara yang baru, melainkan ianya telah diberikan juga kepada Rasul-Rasul dan umat-umat yang terdahulu.

Dan seperti yang kita telah sebut sebelum ini, wahyu yang terpenting adalah tentang akidah tauhid. Maka, Allah hendak menekankan bahawa akidah tauhid yang diberikan kepada Nabi Muhammad dan Rasul-rasul sebelum baginda itu sama sahaja; kalau dari segi syariat mungkin berbeza, tapi kalau akidah, sama sahaja dari dulu sampai bila-bila.

Ayat ini juga hendak memberitahu kepada Nabi Muhammad bahawa apa yang baginda terima itu adalah benar. Bukan baginda sahaja yang menerima wahyu itu kerana sebelum baginda pun sudah ada Rasul lain yang menerima wahyu yang sebegitu juga. Janganlah baginda risau dan sangsi dengan apa yang baginda terima itu.

 

اللَّهُ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah menyebut dua sifatNya di dalam ayat ini.

Pertamanya, kita kena sentiasa ingat bahawa yang menyampaikan wahyu itu adalah Allah. Jadi, jangan kita buat main-main dengan wahyuNya itu. Kenalah kita pelajari dan taati dengan sungguh. Kalau orang hantar surat kepada kita pun, kita akan baca, bukan? Takkan Allah hantar ‘surat’ Dia kepada kita tapi kita tidak teringin nak baca pula?

Dan Allah memberitahu sifatNya adalah Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Allah berkuasa untuk menyampaikan wahyu kepada Nabi-Nabi. Tidak ada masalah bagi Allah untuk memberikan wahyu itu kerana dia Maha Berkuasa.

Selain SifatNya yang maha berkuasa, Allah juga bersifat Maha Bijaksana. Selalunya orang yang berkuasa, dia tidak menggunakan kebijaksanaan, sebaliknya dia akan menyalahgunakan kekuasaannya. Lihatlah bagaimana ramainya pemerintah yang berkuasa yang telah berlaku zalim. Tapi Allah ada dua-dua sifat itu. Walaupun Allah berkuasa penuh, tapi Allah menggunakan kuasaNya itu dengan penuh bijaksana. Segala apa yang diberikan dariNya adalah dari kebijaksanaanNya. Maka kita tidak layak menolak dan mempertikaikan apa yang Allah wahyukan dan arahankan kepada kita. Kita kena ikut sahaja. Antara yang kita kena ikut adalah tentang Tauhid dalam doa.


 

Ayat 4: Allah menceritakan lagi kepada kita tentang sifatNya dan siapakah Dia. Ini adalah khulasah (ringkasan) kepada pemahaman tentang wahyu.

لَهُ ما فِي السَّماواتِ وَما فِي الأَرضِ ۖ وَهُوَ العَلِيُّ العَظيمُ

Sahih International

To Him belongs whatever is in the heavens and whatever is in the earth, and He is the Most High, the Most Great.

Malay

Dia lah yang mempunyai dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan Dia lah Yang Tertinggi keadaanNya, lagi Maha Besar (kekuasaanNya).

 

لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ

KepunyaanNya yang ada di langit

Apa sahaja yang ada dilangit adalah kepunyaanNya. Kita pun tidak tahu apakah yang ada di langit itu. Tapi, apa sahaja yang ada, ianya adalah milik Allah.

 

وَمَا فِي الْأَرْضِ

dan yang ada di bumi;

Allah adalah pemilik segala-galanya sama ada di langit atau di dunia dan di mana-mana sahaja. Kalau kita fikir, kita pun ada juga memiliki sesuatu di dunia ini, tapi ketahuilah bahawa pemilik sebenar itu adalah Allah. Kita nampak sahaja macam memiliki harta itu, tapi hakikatnya, kita tidak menguasainya.

Termasuk yang dimiliki oleh Allah adalah para Nabi, wali dan malaikat. Oleh kerana mereka itu dimiliki oleh Allah, maka kenapa kita berdoa kepada mereka ataupun menggunakan mereka sebagai perantaraan (tawasul) di dalam doa kita? Mereka tidak boleh beri apa-apa kerana mereka tidak memiliki apa-apa. Kerana Allah kata dalam ayat ini yang Dia yang memiliki segala yang di langit dan di bumi.

Apabila Allah kata Dia mempunyai langit dan bumi, ia juga bermaksud yang Dia sahaja yang menguruskan langit dan bumi itu. Jangan kita ada pegangan macam Musyrikin Mekah pula. Mereka percaya Allah yang menjadikan alam ini, tapi Dia ada memberikan kuasa pengurusan kepada makhluk seperti wali, Nabi dan malaikat. Ini kita ada bincangkan dalam Usul Tauhid.

 

وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

dan Dia lah Yang Tertinggi keadaanNya, lagi Maha Hebat (kekuasaanNya).

Allah lah yang paling tinggi meliputi segala makhluknya. Dia lah yang paling tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi dariNya atau pun sama kedudukan denganNya.

Tidak ada yang lebih hebat daripada Allah.

Kalau Allah itu Maha Tinggi dan Maha Hebat, maka kita sebagai makhlukNya yang kerdil dan lemah ini hendaklah hanya memuja kepadaNya, berdoa kepadaNya dan buat ibadat kepadaNya sahaja. Janganlah kita puja, doa dan buat ibadat kepada makhluk yang lain bersama dengan Allah. Banyak masyarakat Islam kita, puja, doa dan buat ibadat kepada Allah. Tapi dalam masa yang sama, mereka pun puja, doa dan buat ibadat kepada entiti lain juga.


 

Ayat 5: Dalam ayat sebelum ini, Allah telah memberitahu Sifat-sifatNya. Apabila makhluk itu tahu betapa AgungNya Allah, hamba itu akan sujud hanya kepada Allah dan tidak akan doa kepada selain dari Allah. Dalam ayat ini, Allah memberitahu betapa AgungNya Dia.

تَكادُ السَّماواتُ يَتَفَطَّرنَ مِن فَوقِهِنَّ ۚ وَالمَلائِكَةُ يُسَبِّحونَ بِحَمدِ رَبِّهِم وَيَستَغفِرونَ لِمَن فِي الأَرضِ ۗ أَلا إِنَّ اللَّهَ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ

Sahih International

The heavens almost break from above them, and the angels exalt [ Allah ] with praise of their Lord and ask forgiveness for those on earth. Unquestionably, it is Allah who is the Forgiving, the Merciful.

Malay

Alam langit nyaris-nyaris pecah dari sebelah atasnya; dan malaikat bertasbih dengan memuji Tuhannya serta memohon ampun bagi makhluk-makhluk yang ada di bumi. Ingatlah! Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِن فَوْقِهِنَّ

Alam langit nyaris-nyaris pecah dari sebelah atasnya

Langit itu hampir pecah kerana keagungan Allah. Hampir pecah itu kerana takut dan takjub kepada Allah. Kita tidak dapat hendak membayangkan betapa besarnya langit itu sendiri dan langit yang amat besar itu pun takut dan takjub dengan kebesaran dan keagungan Allah SWT. Kenapa? Kerana langit sedar dengan kebesaran Allah Taala. Kita sahaja yang tak sedar. Sebab itu kita buat biasa sahaja.

Ayat ini mengajar kita bahawa makhlukNya yang mengenal kebesaran dan keagungan Allah, akan tunduk dan takut kepadaNya. Mereka tidak akan berdiri sombong di hadapan Allah. Mereka tidak akan ingkar dengan petunjuk dan perintah Allah.

فَوْقِهِنَّ bermaksud ‘di atasnya’. Maknanya kalau langit itu pecah, ia akan bermula daripada bahagian atas. Iaitu langit ketujuh pecah dan kemudian langit keenam, kelima dan seterusnya. Ini adalah kerana, langit yang atas lah yang lebih hampir dengan Allah.

Satu lagi, maksud hampir terpecahnya langit itu adalah kerana marahnya langit kerana kesyirikan manusia yang mengatakan Allah mempunyai anak. Ini ada disebut dalam Maryam:90-91

تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنشَقُّ الْأَرْضُ وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدًّا

Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, –

أَن دَعَوْا لِلرَّحْمَٰنِ وَلَدًا

Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak.

 

Apa yang mereka katakan itu adalah amat buruk sekali, sampaikan hampir-hampir terpecahnya langit itu kerana kemarahan Allah dan kemarahan langit itu. Allah itu Maha Tinggi dan Maha Mulia, lalu bagaimana ada yang mengatakan Allah memerlukan anak? Hanya makhluk sahaja yang memerlukan anak kerana kita lemah dan memerlukan pertolongan. Kita juga inginkan penyambung zuriat kita kerana kita tahu yang kita akan mati. Tapi, Allah itu akan terus kekal sampai bila-bila. Lalu bagaimana manusia boleh mengatakan sesuatu yang amat dusta tentang Allah? Kalau kita berdusta tentang manusia pun manusia itu dah marah, apatah lagi kalau yang didustakan adalah Allah, Tuhan kita? Tentulah tidak sama. Jadi, langit itu amat marah kerana ada makhluk yang melakukan syirik kepada Allah. Ini adalah kerana hal syirik itu bukanlah perkara yang kecil.

Ada juga pendapat yang mengatakan langit itu hampir pecah kerana banyaknya malaikat malaikat yang beribadat kepada Allah dan mereka berada di langit itu. Banyak hadis-hadis yang menceritakan bagaimana besarnya mereka dan mereka memenuhi langit itu. Apa yang mereka lakukan? Allah sambung lagi:

 

وَالْمَلَائِكَةُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ

dan malaikat bertasbih dengan memuji Tuhannya

Malaikat-malaikat itu hanya beribadat kepada Allah sahaja tanpa lelah dan tanpa bosan. Mereka tidak pernah ingkar kepada Allah walau sedikitpun. Kerana apa? Kerana mereka kenal Allah dan kenal Sifat-Sifat Allah. Seperti juga langit yang kenal Allah, malaikat juga amat kenal Allah dan kerana itu mereka amat taat kepada Allah. Itulah maksudnya apabila makhluk mengenal Allah, Maka mereka tak akan sombong dan tunduk kepadaNya sahaja.

Jadi, pertama sekali, diberitahu dalam ayat ini yang para malaikat beribadat kepada Allah di langit itu.

 

وَيَسْتَغْفِرُونَ لِمَن فِي الْأَرْضِ

serta memohon ampun bagi makhluk-makhluk yang ada di bumi.

Selain dari beribadat, para malaikat itu juga memohon keampunan  untuk makhluk, seperti juga disebut dalam Ghafir:7

الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ وَمَنْ حَوْلَهُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَّحْمَةً وَعِلْمًا فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ

Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): “Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.

 

Dalam ayat dari surah Ghafir ini, kita boleh tahu bahawa malaikat-malaikat itu hanya meminta keampunan bagi mereka yang beriman sahaja. Tapi, kenapa kalau mereka sudah beriman, masih lagi malaikat itu meminta ampun untuk mereka? Kerana walaupun mereka itu sudah beriman, tetapi kerana mereka itu manusia biasa, maka tentunya ada kesalahan dan kesilapan yang mereka lakukan. Lihatlah bagaimana beruntungnya orang-orang yang beriman sampaikan malaikat pun memohon keampunan untuk mereka.

Ada lagi kelebihan yang kita boleh faham dari ayat ini. Kerana istighfar bukan sahaja untuk pengampunan dosa tapi dia juga adalah sebagai asbab (penyebab) diturunkan rahmat yang banyak kepada mereka yang beristighfar itu. Seperti yang disebut di dalam Nuh:10-12

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا

“Sehingga aku (Nabi Nuh a.s.) berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.

يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا

“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

“Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

 

Dalam ayat ini Nabi Nuh memberitahu kepada umatnya jikalau mereka beristighfar kepada Allah, Allah akan memberikan rezeki yang banyak kepada mereka dan akan memberikan kekayaan serta anak pinak. Jadi, apabila para malaikat itu melakukan istighfar untuk orang-orang yang beriman, ia bukan sahaja untuk menghapuskan dosa mereka tetapi supaya rahmat Allah akan diturunkan kepada mereka juga.

Jadi, ini adalah salah satu cara untuk kita mendapat keampunan dari Allah. Dalil telah diberikan dalam ayat ini. Malangnya, ada yang reka amalan baru seperti mereka yang reka ‘Solat Taubat’. Datang dari mana pun, kita tidak tahu. Tidak ada hadis langsung tentang perkara ini. Yang ada cumalah anjuran melakukan solat sebelum bertaubat – tidaklah itu menjadikan Solat Taubat. Apabila sudah direka satu perkara bidaah, ianya akan bertambah-tambah. Sebagai contoh, apabila sudah ada Solat Taubat, ada yang tambah pula dengan ‘Mandi Sunat Taubat’. Kemudian direka cara mandi pula – kena mandi pukul 3 pagi. Macam-macam kebodohan yang kita boleh lihat manusia yang jahil lakukan.

solat taubat-bidaah

Itulah contoh ibadat rekaan yang berkenaan dengan taubat. Padahal, lihatlah dalam ayat Ghafir:7,  Allah memberitahu kita bahawa para malaikat akan meminta ampun kepada mereka yang bertaubat dan mengikuti jalan Allah sahaja. Maknanya untuk mendapat kelebihan doa mereka, kita kena ikut Quran dan sunnah kerana jalan Allah itu bermaksud ikut Quran dan Sunnah. Itulah cara yang kita patut ikut. Bukannya jalan yang lain. Kalau ikut jalan tarekat, Habib dan guru-guru karut, tidak akan dapat kelebihan ini.

 

أَلَا إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Ingatlah! Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Di hujung ayat ini, Allah memberitahu lagi kepada kita sifatNya. Itulah kepentingan belajar tauhid menggunakan Quran. Kita belajar tentang Allah dari kalamNya sendiri. Bukannya belajar Sifat 20 yang tidak pasti dari manakah dalilnya.

Dua sifat yang disebut dalam ayat ini adalah sifat-sifat JamaliahNya – sifat-sifat yang cantik yang manusia suka. Ada manusia yang melihat Allah itu bagai Tuhan yang garang padahal Allah memberitahu tentang sifatNya yang Maha Pengampun dan belas kasihanNya di hujung ayat ini. Walaupun banyak manusia yang berbuat dosa, malah sampai melakukan syirik, sampaikan langit itu hampir pecah kerana kata-kata mereka, tetapi langit itu tidak pun pecah dan tetap utuh kerana sifat Allah Yang Ghafir dan Rahim itu. Dan Allah masih tetap mengampunkan dosa syirik kepada mereka yang bertaubat kepadaNya sebelum mati. Cuma kalau mati tidak sempat bertaubat dari dosa syirik itulah yang Allah kata Dia tidak akan ampunkan. Kalau selagi belum mati, masih ada harapan lagi untuk Allah ampunkan dosa. Tapi kalau tidak belajar apakah tauhid dan apakah syirik, bagaimana manusia nak minta ampun dari dosa-dosa syirik itu?

Allahu a’lam. Bersambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 042: Shura. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s