Tafsir Surah Yunus Ayat 85-88

Ayat 85:

10:85
Transliteration

Faqaloo AAala Allahitawakkalna rabbana la tajAAalnafitnatan lilqawmi aththalimeen

Sahih International

So they said, “Upon Allah do we rely. Our Lord, make us not [objects of] trial for the wrongdoing people

Malay

Lalu mereka berkata: “Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas.

فَقَالُوا

Lalu mereka berkata:

Ini adalah kata-kata mereka yang beriman dengan Nabi Musa.

 

عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلْنَا

“Kepada Allah kami bertawakal.

Dalam ayat sebelum ini, Nabi Musa a.s. telah menyuruh Bani Israil untuk bertawakal kepada Allah. Maka dalam ayat ini diceritakan bagaimana mereka terus menerima dan mereka terus bertawakal kepada Allah. Mereka terus taat kepada kata-kata Nabi Musa. Selepas mereka disuruh bertawakal, mereka terus berkata yang mereka bertawakal kepada Allah. Beginilah yang sepatutnya kita lakukan. Hendaklah kita taat dan terus melakukan arahan.

Dan tanda mereka bertawakal kepada Allah adalah mereka terus berdo’a kepada Allah:

 

رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami fitnah kesengsaraan

Ini adalah doa mereka kepada Allah supaya menyelamatkan mereka dari fitnah. ‘Fitnah’ dalam Quran bermaksud ‘ujian’ dan bukanlah fitnah mengadu domba yang kita faham dalam bahasa Melayu kita. Mereka berdoa supaya janganlah bala diturunkan kepada mereka sepertimana bala yang diberikan kepada orang-orang yang zalim. Supaya jangan nampak sama sahaja orang Islam dan orang kafir. Sampai orang-orang zalim boleh jadi keliru pula nanti. Nanti mereka boleh kata, “sama sahaja Muslim dan kafir, dua-dua Allah beri bala”. Sampai nanti mereka tak mahu masuk Islam. Sebab mereka tak nampak pun kelebihan kalau masuk Islam. Kerana masuk Islam pun kena bala juga.

Keduanya, mereka meminta supaya jangan jadikan mereka dalam kehinaan. Iaitu kehinaan jikalau doa mereka tak dimakbulkan. Kerana nanti orang-orang yang zalim nampak mereka sama sahaja antara orang beriman dan orang yang zalim. Iaitu doa mereka tak makbul, doa orang Islam pun tidak makbul juga.

 

لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

bagi kaum yang zalim.

Ayat ini juga bermaksud, mereka berdoa supaya mereka tidak dijadikan sebab orang-orang zalim terus menjadi kufur dan tidak mahu masuk Islam. Iaitu mereka berdoa supaya Allah memenangkan mereka ke atas puak yang zalim itu. Kerana kalau puak yang zalim dapat mengalahkan orang-orang Islam, maka tentunya mereka tidak ada alasan untuk masuk Islam. Kerana mereka yang menang tentunya akan rasa yang merekalah yang betul. Dan tidaklah mereka hendak masuk Islam kalau begitu, kerana mereka akan rasa merekalah yang benar. Dan mereka akan terus melakukan kezaliman yang mereka sedang lakukan.

Jadi ayat ini juga mengajar kita supaya jangan melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan orang bukan Islam memandang rendah kepada kita. Sebagai contoh, kalau kita sudah terbuka hati untuk belajar agama, janganlah kita terus meninggalkan hal-hal dunia sampai boleh dipandang serong oleh orang yang bukan Islam. Mereka akan nampak kita seperti orang yang tidak berjaya dalam hidup dan mereka tidak mahu menjadi seperti kita;

Janganlah juga perangai kita buruk sampaikan orang bukan Islam melihat Islam itu tidak menarik. Kerana kita ini sebenarnya adalah ‘duta’ kepada agama Islam. Mereka lihat orang Islam ini mewakili agama ini. Apabila mereka lihat perangai kita buruk, yang jadi busuk nama adalah agama Islam sendiri. Kerana mereka akan kata: “kalau agama ini baik, tentulah penganutnya pun baik juga, bukan?” Padahal, sebenarnya ‘Muslim’ tidak sama dengan ‘Islam’. Agama ini molek, tapi penganutnya yang teruk. Buat malu sahaja. Kerana itulah kita sedih apabila ada Muslim yang ekstremis, yang belajar entah di mana, sampai boleh bom sana dan sini, menyebabkan nama Islam terpalit lumpur. Saya teringat kata seorang yang masuk Islam: “Saya bersyukur saya kenal Islam sebelum saya kenal Muslim.” Maksudnya, kalau dia kenal orang Islam dahulu, mungkin dia tidak jadi masuk Islam kerana melihatkan perangai orang Islam yang teruk. Tapi oleh kerana dia belajar Islam dahulu, dan dia nampak betapa indahnya Islam itu, dia dengan rela telah masuk Islam.

Satu lagi maksud ayat ini adalah doa mereka supaya orang Islam tidak dijadikan mangsa kepada orang zalim. فِتْنَةً bermaksud ‘ujian’. Allah sentiasa memberi ujian kepada hambaNya. Allah benarkan manusia untuk buat apa sahaja yang mereka hendak. Samada mereka memilih jalan yang baik atau tidak. Allah beri peluang memilih sendiri itu sebagai ujian. Allah nak lihat apa yang mereka akan buat. Dan orang-orang zalim selalunya gagal ujian itu dengan melakukan kezaliman kepada orang lain. Bani Israil berdoa dalam ayat ini supaya mereka tidak dijadikan ‘mangsa’ dalam kezaliman mereka itu.

Ini adalah doa yang baik untuk diamalkan. Sesungguhnya doa yang baik sudah banyak ada dalam Quran. Ianya menggunakan kata-kata yang pendek dan indah.

—————-

Ayat 86:

10:86
Transliteration

Wanajjina birahmatika minaalqawmi alkafireen

Sahih International

And save us by Your mercy from the disbelieving people.”

Malay

” Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir”.

وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ

“Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu

Doa ini juga amat baik untuk diamalkan. Doanya ringkas sahaja. Ringkas sahaja permintaan mereka kepada Allah. Janganlah ajar Allah nak beri apa kepada kita. Lihatlah bagaimana Quran mengajar kita berdoa dengan pendek sahaja. Janganlah kita sebut satu-satu perkara yang kita hendak. Sebagai contoh, ini doa mereka yang mahukan isteri: mereka doa kepada Allah dengan sebut segala kriteria isteri pujaannya itu: Nak isteri itu cantik, rambut ikal mayang, gigi bersusun, pandai memasak dan sebagainya. Itu dah mengajar Allah. Seolah-olah kita anggap Allah tidak tahu kehendak kita. Sepatutnya pandailah Allah nak buat apa yang kita perlukan. Allah lebih tahu apa yang kita perlukan. Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita. Tak payah kita nak ajar Dia.

Jadi kita minta apa yang penting yang kita hendak. Macam doa bani Israil ini, mereka minta diselamatkan. Mereka tak ajar bagaimana mereka hendak diselamatkan – bagi Firaun jadi sakit kah, tentera Firaun kabur mata kah atau sebagainya. Mereka tak cakap begitu. Mereka cuma minta ‘diselamatkan’ sahaja. Pandailah Allah nak selamatkan mereka macam mana; begitu juga kalau nak isteri, cukuplah berdoa supaya Allah berikan isteri yang solehah. Apa keinginan lain yang dalam hati kita, Allah amat tahu.

Janganlah kita berdoa macam doa puak Habib. Mereka berdoa sampai lenguh tangan kerana angkat doa. Mereka ajar Tuhan satu persatu macam mana nak beri kepada mereka. Sampai setengah jam doa. Semua perkara mereka hendak. Tamak betul.

Lihatlah dalam hadis bagaimana doa-doa Nabi, semuanya pendek-pendek sahaja. Ikutlah doa-doa yang diberikan dalam Quran dan hadis dahulu sebelum doa-doa yang lain. Yang penting, jangan ajar Allah macam mana nak beri kepada kita.

 

مِنَ الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

dari angkara kaum yang kafir”.

Bagaimana lagi kita hendak menyelamatkan diri daripada musuh seperti tentera Firaun itu melainkan dengan rahmat Allah sahaja? Hanya kepada Allah sahaja harapan kita.

Dalam mereka minta diselamatkan dari ancaman tentera Firaun itu, doa mereka pendek sahaja. Mereka tak minta supaya mereka diberikan senjata yang banyak, mereka tak minta disakitkan Firaun dan tenteranya, tidak. Bermakna, tak perlu kita nak ajar Allah. Allah tahu bagaimana hendak menyelamatkan kita.

—————-

Ayat 87: Bani Israil tinggal bersama bangsa Qibti kerana mereka adalah hamba kepada bangsa Qibti. Mereka duduk di luar rumah, di serambi, kandang kuda dan sebagainya. Dalam ayat ini, Allah telah mewahyukan kepada Nabi Musa dan Nabi Harun untuk menyediakan penempatan yang lain untuk Bani Israil.

10:87
Transliteration

Waawhayna ila moosawaakheehi an tabawwaa liqawmikuma bimisrabuyootan wajAAaloo buyootakum qiblatan waaqeemoo assalatawabashshiri almu/mineen

Sahih International

And We inspired to Moses and his brother, “Settle your people in Egypt in houses and make your houses [facing the] qiblah and establish prayer and give good tidings to the believers.”

Malay

Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun): “Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, dan jadikanlah rumah-rumah kamu tempat sembahyang, serta dirikanlah sembahyang di dalamnya; dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman (bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya)”.

وَأَوْحَيْنَا إِلَىٰ مُوسَىٰ وَأَخِيهِ

Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun):

 

أَن تَبَوَّآ لِقَوْمِكُمَا بِمِصْرَ بُيُوتًا

“Hendaklah kamu berdua menyediakan penempatan di Mesir sebagai rumah penginapan,

تَبَوَّآ dari katadasar ب و ء yang bermaksud ‘tinggal di sesuatu tempat’. Sekarang mereka disuruh untuk bina penempatan mereka sendiri dan tidak lagi duduk di rumah-rumah tuan mereka. Mereka kena cari tempat yang sesuai di Mesir.

Yang kita boleh ambil pelajaran dari ayat ini adalah saranan untuk tinggal di dalam rumah. Apabila ada kacau-bilau di luar, maka kita cari keselamatan di dalam rumah kita. Jangan sibuk-sibuk nak keluar rumah waktu itu. Tak payah campur dengan kekacauan yang ada.

Mereka juga disuruh untuk tinggal di negeri Mesir buat masa itu. Tidak selamat untuk mereka pergi ke mana-mana lagi. Nabi Musa telah pernah meminta kepada Firaun untuk melepaskan Bani Israil tapi tidak dipersetujui oleh Firaun. Dan mereka tidak berada di dalam kedudukan yang membolehkan mereka untuk melarikan diri. Kerana mereka ramai dan tidak boleh lari begitu sahaja. Mereka diarahkan untuk tunggu di Mesir sehingga mendapat arahan Allah seterusnya. Bukanlah setiap penyelesaian kepada masalah adalah dengan hijrah. Kerana kadang-kadang seseorang itu tidak boleh terus berhijrah. Banyak perkara perlu difikirkan sebelum meninggalkan tempat tinggal untuk mencari tempat yang lebih sesuai.

Mereka kena tunggu di situ dan dalam masa yang sama, melakukan apa yang mereka patut lakukan iaitu mendirikan solat. Ini mengajar kita bahawa dalam keadaan kita tidak kuat, kita kena lakukan perkara yang kita boleh buat sahaja. Jangan terus tinggalkan agama.

 

وَاجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ قِبْلَةً

dan jadikanlah rumah-rumah kamu sebagai qiblat,

Firaun tidak membenarkan mereka untuk membina rumah ibadat. Oleh itu mereka hanya diarahkan pada waktu itu untuk melakukan ibadat di rumah sahaja. Walaupun mereka tidak ada rumah ibadat untuk solat berjamaah, tetapi solat perlu diteruskan dengan dilakukan di rumah-rumah mereka. Solat tidak boleh ditinggalkan.

Apakah yang dimaksudkan قِبْلَةً (qiblat) dalam ayat ini? Kalau kita sekarang, qiblat solat kita adalah Mekah. Sebelum qiblat ditukar kepada Mekah, umat Islam berkiblatkan kepada BaitulMaqdis, yang juga qiblat Bani Israil. Tetapi semasa arahan diturunkan dalam ayat ini, BaitulMaqdis belum ada lagi. Jadi apakah قِبْلَةً yang dimaksudkan dalam ayat ini?

Ada pendapat yang mengatakan maksud ayat ini adalah mereka perlu memilih berapa rumah di antara mereka untuk dijadikan sebagai qiblat.

Yahudi sampai sekarang kena solat di mihrab mereka atau di synagogue. Tak boleh sembahyang di tempat lain. Bukan macam kita yang boleh solat di mana-mana sahaja. Kelebihan itu hanya diberikan kepada umat Nabi Muhammad sahaja. Walaupun kita ada masjid, tapi kita boleh lagi solat di mana-mana.

Solat mereka pun sebenarnya macam kita juga. Cuma sekarang mereka dah tak buat dah. Kristian pun macam itu juga. Syariat yang sama kerana Tuhan yang sama juga. Mereka tak buat macam solat yang sepatutnya kerana mereka dah sesat. Macam kita jugalah, lama kelamaan kalau tidak dijaga agama kita ini, solat akan hilang dari amalan kita. Entah berapa ramai yang sudah tidak kisah tentang solat dalam kalangan kita? Macam tak kisah sahaja kalau mereka tak solat. Tapi masih mengaku Islam lagi.

Kenapakah digunakan perkataan قِبْلَةً dalam ayat ini? قِبْلَةً adalah tempat yang kita hadapkan wajah kita. Tahukah anda zaman sekarang apakah قِبْلَةً di rumah kita? Ianya adalah TV kita! Setiap hari kita akan hadapkan wajah kita padanya, bukan? Tapi adakah tempat di rumah kita yang kita jadikan sebagai tempat ibadat? Selalunya bila masuk rumah, kita akan menuju ke ruangtamu di mana TV berada. Ayat ini mengingatkan kita untuk mengadakan tempat beribadat di dalam rumah kita. Tempat kita solat, belajar dan mengajar anak isteri kita etc. Itulah tempat yang sepatutnya kita hadapkan.

Apakah perkara penting yang sepatutnya kita lakukan di qiblat rumah kita?

 

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ

dan dirikanlah sembahyang;

Tentunya Bani Israil mahukan tempat ibadat untuk solat dan beribadat secara berjemaah. Tetapi Firaun tidak membenarkan didirikan rumah ibadat. Kerana kalau Bani Israil ada tempat berkumpul, mereka akan bersatu dan akan mencambahkan titik-titik penentangan kepada kerajaan beliau. Maka, dia tutup kemungkinan itu dari berlaku.

Ayat ini mengajar kita untuk mencari jalan untuk beribadat. Kalau kita dihalang dari beribadat dengan cara yang sepatutnya, kita cari jalan untuk menjalankannya juga dengan cara yang lain. Kalau kita dihalang dari melakukan solat berjemaah, kita boleh melakukan solat di rumah. Jangan sampai tinggalkan solat pula.

Kita juga diajar dalam ayat ini untuk pandai mengubah strategi mengikut keadaan. Tapi janganlah sampai mengubah syariat pula. Janganlah sampai mengatakan tidak perlu solat berjemaah. Lelaki Muslim wajib untuk solat berjemaah.

Kalau kita duduk di dalam komuniti yang tidak boleh mendirikan masjid untuk solat berjemaah, adakah kita tinggalkan terus solat berjemaah? Jangan begitu. Ambil sunnah Bani Israil zaman Nabi Musa ini – mereka disuruh untuk mengambil beberapa rumah dijadikan tempat solat. Maka, kita pilihlah salah satu rumah dalam komuniti kita itu untuk dijadikan sebagai tempat solat berjemaah. Islam itu indah dan amat praktikal. Janganlah pula kita menentang kerajaan yang ada untuk mendirikan juga masjid. Kita mungkin tinggal di negara bukan Islam yang tidak memungkinkan pembinaan masjid sesuka hati. Kerana gazette tanah tempat kita mungkin hanya membenarkan pembinaan rumah kediaman sahaja. Janganlah kita hendak mereka mengubah undang-undang mereka untuk kita pula kerana ini boleh menyebabkan konflik.

 

وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ

dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman

Bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya.

—————-

Ayat 88:

10:88
Transliteration

Waqala moosa rabbanainnaka atayta firAAawna wamalaahu zeenatan waamwalanfee alhayati addunya rabbanaliyudilloo AAan sabeelika rabbana itmis AAalaamwalihim washdud AAala quloobihim falayu/minoo hatta yarawoo alAAathaba al-aleem

Sahih International

And Moses said, “Our Lord, indeed You have given Pharaoh and his establishment splendor and wealth in the worldly life, our Lord, that they may lead [men] astray from Your way. Our Lord, obliterate their wealth and harden their hearts so that they will not believe until they see the painful punishment.”

Malay

Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.

وَقَالَ مُوسَىٰ

Dan Nabi Musa berkata:

Setelah bertahun-tahun Nabi Musa berdakwah kepada Firaun dan kaumnya, inilah kata-kata dan doa baginda kepada Allah.

 

رَبَّنَا إِنَّكَ آتَيْتَ فِرْعَوْنَ وَمَلَأَهُ زِينَةً

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya barang-barang perhiasan yang indah

زِينَةً adalah yang cantik dipandang mata. Samada dari segi akhlak, rupa paras dan barang-barang.

زِينَةً dalam ayat ini bermaksud Allah telah memberikan Firaun dan pembesar-pembesarnya dengan keindahan badan dan barang-barang perhiasan.

Dan mereka memang mempunyai segala kemewahan. Sebagai contoh, mereka ada kereta kuda yang dibuat dari emas dan sebagainya. Rumah mereka berlantaikan marmar hitam. Sekarang sudah tidak tinggal kesan lagi kerana sudah diambil oleh pemerintah lain.

 

وَأَمْوَالًا

dan harta benda yang banyak

Bila orang yang kaya mereka akan menghabiskan masa mengira-ngira harta mereka. Mereka suka mengumpul harta. Padahal, berapa banyak sangat yang mereka boleh makan? Maknanya mereka bukan nak makan sangat tetapi digunakan duit itu untuk berbangga bangga dengan apa yang mereka ada.

 

فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

dalam kehidupan dunia ini.

Begitulah kehidupan dunia telah menyebabkan manusia leka dan lalai. Mereka melebihkan kejayaan di dunia daripada kejayaan di akhirat.

 

رَبَّنَا لِيُضِلُّوا عَن سَبِيلِكَ

Wahai Tuhan kami! akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu

Dengan harta dan perhiasannya banyak itulah yang menyebabkan Firaun dan pembesar-pembesarnya telah jadi sesat. Mereka tidak pun bersyukur kepada Allah tapi sebaliknya mereka telah jadi sesat. Dalam ayat ini, seumpama Nabi Musa bertanya kepada Allah, kenapa Allah memberikan segalanya itu kepada mereka sampai menyebabkan mereka jadi sesat?

Bukanlah salah untuk berjaya dalam dunia. Dan bukanlah salah kalau kita mewah. Yang salah adalah kalau dengan kekayaan dan kemewahan itu sampai menyebabkan kita jadi sesat. Dan malangnya, ramai yang jadi begitu apabila mereka kaya dan mewah.

Kita sekarang pun macam itu juga. Ramai yang mementingkan kekayaan dunia. Kekayaan adalah ujian sebenarnya. Kerana dengan kekayaan, ramai manusia yang lalai dengan agama. Kemiskinan yang Allah berikan kepada kita juga adalah pengujian. Oleh itu, kekayaan dan kemiskinan adalah ujian. Jangan kita ingat kemiskinan sahaja ujian.

Kalau kita kaya, kita sepatutnya menginfakkan harta yang yang Allah telah berikan itu. Tapi kenalah ikut kesesuaian harta kita. Kalau kita ada banyak wang, kenalah kita beri dengan banyak juga. Seorang yang ada duit sebanyak dua juta ringgit dan menderma dua puluh ribu ringgit tidak banyak sebenarnya. Kerana itu hanyalah 1% dari hartanya sahaja. Walaupun rasa macam banyak tapi sebenarnya, dia hanya menderma sebahagian kecil sahaja daripada hartanyta. Bandingkan dengan seorang yang ada dua ribu ringgit dan menderma sebanyak 200 ringgit. Dia sebenarnya telah menderma lebih banyak sebenarnya kerana dia telah menderma 10% dari hartanya.

Dalam ayat ini, kekayaan dan kemewahan yang telah diberikan kepada Firaun dan kerajaanya telah menyebabkan dia jadi sesat. Tidaklah ini bermakna yang kekayaan kerajaan itu tidak baik secara keseluruhan. Banyak yang kita boleh belajar dari negara maju. Lihatlah bagaimana kebebasan diberikan kepada masyarakat yang maju. Lihatlah juga bagaimana mereka menjaga masyarakat yang lemah dan tidak berpendapatan. Bagaimana mereka memudahkan kehidupan rakyatnya. Bagaimana mereka menjaga kebersihan. Bagaimana mereka beri layanan sama rata kepada pekerja dan pelanggan. Itu semua kita patut belajar. Kita patut ambil yang baik. Bukan ambil yang buruk.

Masalahnya, masyarakat kita, dalam kepala mereka, apabila moden, yang diambil adalah kebebasan untuk berbuat dosa, nak pakai baju buka aurat, nak adakan konsert yang buang masa, buat sambutan perayaan yang tidak berfaedah dan macam-macam lagi. Bukan itu yang patutnya kita tiru. Itu perkara buruk yang tak patut kita tiru sebenarnya.

 

رَبَّنَا اطْمِسْ عَلَىٰ أَمْوَالِهِمْ

Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka

Sekarang, baru Nabi Musa berdoa kepada Allah.

طمس bermaksud memusnahkan sesuatu itu sampai tiada kesan lagi dah.

Oleh kerana harta itu yang menyebabkan mereka sesat, maka Nabi Musa berdoa kepada Allah supaya harta itu dihancurkan. Tetapi Allah tidak memakbulkan doa Nabi Musa berkenaan harta ini. Kerana kita tahu bila Firaun dan pengikut-pengikutnya mengejar Nabi Musa dan bani Israil, mereka telah itu meninggalkan harta yang banyak. Allah tidak hancurkan harta mereka dan harta itu telah diambil oleh kaum yang lain.

 

وَاشْدُدْ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ

dan keraskan hati mereka

Keraskan hati mereka macam batu supaya mereka tidak masuk Islam. Kenapa pula sampai begitu? Kerana selepas apa yang mereka lakukan, Nabi Musa rasa mereka tak layak dapat iman. Itulah Allah menceritakan balik apakah kata-kata Nabi Musa. Dalam masa yang sama, Allah seumpama memberitahu umat musyrikin Mekah yang Nabi Muhammad tidak pun berdoa begini kepada mereka. Kerana kalau Nabi berdoa begitu juga, sudah lama mereka mendapat nasib yang sama.

 

فَلَا يُؤْمِنُوا

maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman

Nabi Musa doa supaya Firaun dan pengikutnya tidak beriman. Bilakah baginda doakan ini? Iaitu setelah bertahun baginda berdakwah kepada mereka. Tetapi mereka menolak sahaja dan terus melakukan kezaliman kepada Bani Israil. Mereka menghalang agama Allah dari berkembang. Mereka tidak membenarkan Musa menyampaikan dakwah. Kerana itulah Nabi Musa berdoa seperti doa baginda ini. Memang nampak keras tapi ada sebab. Kerana kalau mereka dibiarkan, mereka akan terus melakukan kerosakan.

Maka, doa ini bukanlah kerana Nabi Musa sudah bosan dan marah dengan Firaun dan kaumnya. Tetapi ianya adalah strategi. Untuk meneruskan agama Islam berkembang, Firaun perlu dimusnahkan. Sebagai contoh, kalau ada bahagian badan kita kena kanser, kadang-kadang bahagian badan itu kena potong sebelum ianya merebak.

 

حَتَّىٰ يَرَوُا الْعَذَابَ الْأَلِيمَ

sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.

Doa Nabi Musa ini telah dimakbulkan oleh Allah. Firaun dan pengikutnya tidak beriman sampai mereka mati. Hanya apabila hendak mati sahaja, barulah Firaun mengaku beriman kepada Tuhan bani Israil.

Allahu a’lam

Lompat ke ayat yang seterusnya

=========================

Ref: UR, TZ, NAK

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 010: Yunus. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s