Tafsir Surah Yunus Ayat 79-84

Ayat 79:

10:79
Transliteration

Waqala firAAawnu i/toonee bikulli sahirinAAaleem

Sahih International

And Pharaoh said, “Bring to me every learned magician.”

Malay

Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya): “Bawalah kamu kepadaku semua ahli sihir yang mahir”.

وَقَالَ فِرْعَوْنُ

Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya):

Firaun berkata ini selepas Nabi Musa datang kepada beliau dan menunjukkan dua mukjizat: tongkat menjadi ular dan tangannya yang bercahaya. Kita nak melawan Nabi Musa.

 

ائْتُونِي بِكُلِّ سَاحِرٍ عَلِيمٍ

“Bawa kepadaku semua ahli sihir yang mahir”.

Firaun mengarahkan untuk dipanggil ahli-ahli sihir yang mahir dan hebat-hebat. Kerana zaman itu memang ramai yang tahu sihir dan mengamalkan sihir. Tapi dia tidak mahu yang biasa-biasa sahaja, tetapi dia ahli sihir yang betul-betul mahir. Sebab dia nak lawan mukjizat Nabi Musa itu. Dia suruh panggil semua sekali yang mahir untuk datang.

Firaun tahu yang Nabi Musa itu bukanlah ahli sihir sebenarnya. Tetapi dia hendak melawan Nabi Musa menggunakan sihir kerana itulah sahaja senjata yang dia ada. Inilah cara mereka yang telah kalah dari mula-mula lagi. Mereka akan gunakan apa sahaja yang mereka ada walaupun mereka dah tahu yang mereka dah kalah dah. Dalam bahasa Inggeris, mereka ‘clutching at straws’.

Sepatutnya dia beriman dengan apa yang dibawa oleh Nabi Musa itu tetapi dia hendak melawan juga. Dia degil dan sombong untuk beriman.

Memang sentiasa sahaja penyebar tauhid ditentang dari dulu sampai sekarang. Kalau Firaun mengumpulkan ahli-ahli sihir, puak musyrikin Mekah mengumpulkan penyair-penyair untuk melawan Nabi Muhammad. Merekalah yang mengkritik Nabi. Kerana dipandang sebagai orang yang berilmu zaman itu dan disanjung tinggi. Jadi mereka rasa merekalah yang sesuai untuk menegur Nabi.

Begitulah juga apabila kita berhujah dengan puak syirik dan puak bida’ah. Apabila kita bawakan dalil Qur’an & Hadis, sepatutnya mereka terima tetapi mereka nak tolak juga. Mereka menolak itu dengan menggunakan dalil-dalil yang bathil seperti kata-kata manusia dan akal fikiran mereka. Mereka tak mahu juga mengaku salah. Mereka hendak juga melawan. Janji mereka nak menang hujah. Mereka akan panggil ustaz-ustaz mereka, guru-guru pondok mereka untuk berbincang dengan kita dan menegur kita. Tapi yang selalunya terjadi, apabila kita berjumpa ustaz dan guru itu, apabila kita membangkitkan beberapa isu, mereka sendiri yang tidak dapat jawap. Contohnya, kita tanya manakah dalil tawasul dengan orang mati, mereka sendiri tidak dapat jawap.

—————-

Ayat 80:

10:80
Transliteration

Falamma jaa assaharatuqala lahum moosa alqoo ma antum mulqoon

Sahih International

So when the magicians came, Moses said to them, “Throw down whatever you will throw.”

Malay

Setelah datang ahli-ahli sihir itu, Nabi Musa berkata kepada mereka:” Campakkanlah kamu dahulu apa yang kamu hendak campakkan (diri benda-benda yang kamu jadikan sihir itu)!”

فَلَمَّا جَاءَ السَّحَرَةُ

Setelah datang ahli-ahli sihir itu,

Dipendekkan cerita, ahli-ahli sihir itu sudah dikumpulkan dan sekarang mereka semua dan Nabi Musa sedang berada di khalayak ramai. Ada banyak pendapat tentang berapa ramainya ahli-ahli sihir itu. Ada yang kata berpuluh dan ada yang kata sampai beribu. Kita kena ingat yang zaman itu adalah zaman sihir. Memang mereka banyak.

Ianya dilakukan pada hari perayaan, bermaksud semua rakyat Mesir boleh berkumpul untuk melihat pertarungan itu. Hari itu tidak bekerja dan memang mereka dah berkumpul pada satu-satu tempat pun. Jadi memang ramai yang hadhir pada kejadian itu.

 

قَالَ لَهُم مُّوسَىٰ

Nabi Musa berkata kepada mereka:”

Nabi Musa berkata kepada ahli-ahli sihir itu.

 

أَلْقُوا مَا أَنتُم مُّلْقُونَ

Campakkanlah kamu dahulu apa yang kamu hendak campakkan (diri benda-benda yang kamu jadikan sihir itu)!”

Dalam surah yang lain, ada dikisahkan bagaimana ahli-ahli sihir itu yang bertanya kepada baginda samada baginda yang campak dahulu atau mereka. Ini boleh dibaca di dalam Taha:65-66

—————-

Ayat 81:

10:81
Transliteration

Falamma alqaw qala moosama ji/tum bihi assihru inna Allahasayubtiluhu inna Allaha la yuslihuAAamala almufsideen

Sahih International

And when they had thrown, Moses said, “What you have brought is [only] magic. Indeed, Allah will expose its worthlessness. Indeed, Allah does not amend the work of corrupters.

Malay

Setelah mereka campakkan (benda-benda itu), Nabi Musa berkata:” Apa yang kamu datangkan itu, itulah sihir; sesungguhnya Allah akan mendedahkan kepalsuannya (dengan mukjizat yang dikurniakanNya kepadaku); sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan.

فَلَمَّا أَلْقَوْا

Setelah mereka campakkan (benda-benda itu),

Dalam Taha:66 telah disebut yang mereka mencampakkan tongkat dan tali.

 

قَالَ مُوسَىٰ

Nabi Musa berkata:

 

مَا جِئْتُم بِهِ السِّحْرُ

“Apa yang kamu datangkan itu, adalah sihir;

“Yang kamu bawakan inilah sihir, bukan apa yang aku bawa”. Yang Nabi Musa bawa adalah mukjizat, tidak sama dengan sihir.

 

إِنَّ اللَّهَ سَيُبْطِلُهُ

sesungguhnya Allah akan menghapuskannya

سَيُبْطِلُهُ dari katadasar بطل yang bermaksud ‘membatalkan’. Apa yang mereka buat itu, Allah akan batalkan. Allah akan lemahkan. Tak jadi apa-apa. Allah maha berkuasa. Bukan mereka yang ada kuasa. Bukan juga Nabi Musa.

Kita nak melawan sihir, kita tidak ada mukjizat lagi dah. Tapi kita ada mukjizat Quran pada kita. Maka, kalau ada yang menggunakan sihir kepada kita, maka bacakan ayat-ayat Quran kepada mereka. Bacakan juga kepada mereka yang buat wirid-wirid keramat.

Juga kalau kita kena sihir dengan orang, kita hendaklah menggunakan ayat-ayat Quran untuk menghilangkan sihir itu. Bukannya pergi berjumpa dengan bomoh-bomoh dan ustaz-ustaz yang mengamalkan sihir juga. Masalah zaman sekarang, tukang-tukang bomoh dan pawang menggelar diri mereka dengan ‘ustaz’. Mereka sahaja sangka mereka menggunakan cara Islam, tapi sebenarnya mereka menggunakan jin juga dalam amalan mereka tanpa mereka sedar. Ini adalah kerana mereka mengamalkan amalan yang bidaah dan mungkin syirik yang menyebabkan jin-jin telah berdamping dengan mereka.

 

إِنَّ اللَّهَ لَا يُصْلِحُ عَمَلَ الْمُفْسِدِينَ

sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan.

Kenapa tadi menceritakan sihir dan sekarang menyebut tentang ‘kerosakan’ pula? Kadang ada manusia yang benci kepada seseorang sampai menggunakan sihir. Dia pergi jumpa bomoh dan suruh bomoh itu buat macam-macam: bagi sakit lah, bagi jadi gila, bagi tiada nafsu dan macam-macam lagi. Itu adalah termasuk ‘melakukan kerosakan’. Dan memang sihir itu melakukan kerosakan. Allah tidak akan memberikan kejayaan kepada mereka. Ianya tidak akan membawa kepada kebaikan. Mereka ingat mereka berjaya, tapi sebenarnya tidak.

Ini juga mengajar kepada kita yang jikalau perbuatan kita itu membawa kepada kerosakan, ia tidak berguna kepada kita. ‘Kerosakan’ itu bukan sahaja di dalam bentuk sihir. Kerosakan itu merangkumi semua perkara, samada dalam perkara yang besar atau pun yang kecil. Sebagai contoh, dalam kita hendak mendisiplinkan kanak-kanak, kita tidak patut memaki mereka ataupun menipu kepada mereka. Itu akan membawa kepada kerosakan juga.

—————-

Ayat 82:

10:82
Transliteration

Wayuhiqqu Allahu alhaqqabikalimatihi walaw kariha almujrimoon

Sahih International

And Allah will establish the truth by His words, even if the criminals dislike it.”

Malay

“Dan Allah juga sentiasa menetapkan perkara yang benar dengan kalimah-kalimah perintahNya, walaupun yang demikian dibenci oleh orang-orang yang melakukan dosa”.

وَيُحِقُّ اللَّهُ الْحَقَّ بِكَلِمَاتِهِ

“Dan Allah juga sentiasa menetapkan perkara yang benar dengan kalimah-kalimah perintahNya,

Allah tetap akan menegakkan kebenaran. Kerana Allah telah berjanji dengan kalimahNya untuk menegakkan kebenaran dan itu pasti akan terjadi. Kerana Allah yang kata sendiri. Kalimah yang dimaksudkan adalah wahyuNya. Pada kita sekarang, ianya adalah Quran. Maknanya, dengan Quran, Allah akan menegakkan kebenaran. Kebathilan akan dikalahkan dengan hujah-hujah Quran.

Sebagai contoh, dalam kisah Nabi Musa ini, Allah telah memenangkan baginda dengan menjadikan tongkat baginda menjadi ular dan memakan semua ular-ular sihir itu.

 

وَلَوْ كَرِهَ الْمُجْرِمُونَ

walaupun yang demikian dibenci oleh orang-orang yang melakukan dosa”.

Orang yang berdosa tidak suka dengan kebenaran. Tapi Allah tak kira samada mereka suka atau tidak. Walaupun mereka tak suka, Allah akan memenangkan kebenaran juga.

—————-

Ayat 83: Apakah tindakan Firaun selepas itu?

10:83
Transliteration

Fama amana limoosa illathurriyyatun min qawmihi AAala khawfin minfirAAawna wamala-ihim an yaftinahum wa-inna firAAawna laAAalinfee al-ardi wa-innahu lamina almusrifeen

Sahih International

But no one believed Moses, except [some] youths among his people, for fear of Pharaoh and his establishment that they would persecute them. And indeed, Pharaoh was haughty within the land, and indeed, he was of the transgressors

Malay

Maka tidaklah ada yang beriman kepada Nabi Musa melainkan sebilangan kecil dari keturunan kaumnya, itupun dengan keadaan takut kepada Firaun dan ketua-ketua kaum mereka menyeksa mereka; kerana sesungguhnya Firaun bermaharajalela di bumi, dan sebenarnya ia dari orang-orang yang melampaui batas.

فَمَا آمَنَ لِمُوسَىٰ

Maka tidaklah beriman kepada Nabi Musa

Ramai yang tidak beriman dengan Nabi Musa dan Nabi Harun, walaupun mereka sendiri nampak bagaimana ahli-ahli sihir mereka telah dikalahkan dengan mukjizat Nabi Musa. Walaupun mereka nampak kebenaran dengan mata mereka sendiri, tapi mereka masih tidak beriman.

 

إِلَّا ذُرِّيَّةٌ مِّن قَوْمِهِ

melainkan sebilangan kecil dari keturunan kaumnya,

Walaupun ramai yang tidak beriman, tapi ada juga antara mereka yang melihat pertarungan itu yang telah beriman. Antara yang beriman itu adalah ahli-ahli sihir yang bertarung dengan Nabi Musa itu. Oleh kerana mereka orang yang berilmu, maka mereka tahu bahawa apa yang Nabi Musa lakukan itu bukanlah sihir tetapi ianya adalah mukjizat. Dan mereka juga tahu bahawa mukjizat itu yang hanya boleh dilakukan oleh seorang Nabi sahaja. Jadi, mereka tahu yang apa yang dikatakan oleh Nabi Musa itu adalah kebenaran. Oleh kerana itu mereka terus beriman tanpa berasa sangsi lagi walaupun telah diancam bunuh oleh Firaun.

Selain daripada ahli-ahli sihir itu, ada lagi yang beriman. Apabila perkataan ذُرِّيَّةٌ digunakan, ia memberitahu kepada kita bahawa mereka adalah orang-orang muda.

Perkataan قَوْمِهِ (kaumnya) boleh diertikan dalam dua makna. Samada kaum Nabi Musa, atau kaum Firaun.

Kalau ditafsirkan sebagai kaum Nabi Musa, iaitu Bani Israil, timbul satu persoalan: bukankah mereka sudah beriman? Oleh itu, maknanya adalah, walaupun Nabi Musa memberikan ajaran tauhid kepada semua kaumnya, tetapi yang menerima hanya sedikit sahaja, iaitu golongan muda.

Dan kalau ianya ditafsirkan sebagai ‘kaum Firaun’, ia merujuk kepada golongan kecil dari bangsa Qibti dan kaum kerabat Firaun sendiri. Antaranya;
1. Asiah isteri Firaun.
2. Seorang lelaki dari golongan istana yang disebutkan dalam surah Mukmin. Hanya disebut tentangnya, tanpa diberitahu namanya.
3. Menteri kewangan Firaun.

Seperti yang telah disebut sebelum ini, yang sanggup beriman adalah golongan-golongan yang muda. Dalam setiap zaman, golongan muda lah yang berani menentang arus pemahaman kolot sesuatu masyarakat itu dan sanggup untuk beriman, walaupun berlainan dengan pendapat golongan-golongan yang tua. Walaupun mereka tahu bahawa pemikiran itu akan menyebabkan mereka susah, tetapi mereka sanggup untuk menghadapinya. Kerana mereka mahukan perubahan. Mereka juga lebih bertenaga dan lebih bersemangat untuk membawa arus pembaharuan.

Kalau kita lihat penyokong penyokong Nabi Muhammad pun kebanyakannya adalah golongan golongan yang muda.

Begitulah juga sekarang, kalau kita lihat, golongan mudalah yang banyak beriman dengan jalan sunnah ini.

 

عَلَىٰ خَوْفٍ مِّن فِرْعَوْنَ وَمَلَئِهِمْ

itupun dengan keadaan takut kepada Firaun dan ketua-ketua kaum mereka

Kenapa ramai takut beriman? Kerana mereka takut kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya.

Macam kita sekarang pun, ramai yang takut nak ikut jalan sunnah kerana ianya lain dengan arus biasa. Mereka takut kena pulau. Mereka takut kena marah dengan guru mereka, dengan ibubapa mereka, dengan kawan-kawan mereka.

عَلَىٰ juga boleh bermaksud ‘walaupun’. Walaupun mereka takut, mereka beriman juga. Itulah mereka-mereka yang berani. Yang terus meninggalkan perkara-perkara yang bidaah dan syirik. Kalau ada kenduri kahwin bersanding, mereka tidak pergi walaupun adik mereka sendiri yang kahwin; mereka tidak pergi lagi ke Majlis Tahlil, majlis selawat beramai-ramai dan sebagainya. Walaupun mereka dipandang serong, dikata dengan kata-kata cacian dan hina, tapi mereka tabah.

 

أَن يَفْتِنَهُمْ

menyeksa mereka;

Kaum Firaun takut kena seksa dengan Firaun kerana Firaun amat zalim dan sanggup lakukan apa sahaja. Seksaan yang diberikannya amat teruk sekali.

 

وَإِنَّ فِرْعَوْنَ لَعَالٍ فِي الْأَرْضِ

kerana sesungguhnya Firaun bermaharajalela di bumi,

Firaun mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Allah sendiri memberitahu kita kedudukan tinggi beliau. Dia boleh buat apa sahaja yang dia mahu.

Tiada kebebasan beragama atau apa kebebasan pun waktu itu. Itulah perangai Firaun yang ganas dan mengongkong kaumnya. Oleh itu, kita janganlah ikut sunnah Firaun ini. Janganlah kita dalam memimpin orang bawahan kita, menggunakan cara kepimpinan kuku besi seperti yang dilakukan oleh Firaun ini. Sebagai contoh, kalau kita seorang bapa, janganlah anak isteri kita tidak boleh bercakap langsung untuk memberikan pendapat mereka. Begitulah juga kalau kita ketua di tempat kerja kita. Berikan mereka kebebasan untuk bersuara.

 

وَإِنَّهُ لَمِنَ الْمُسْرِفِينَ

dan sebenarnya ia dari orang-orang yang melampaui batas.

Seksaan yang diberikan oleh Firaun kepada mereka yang menentang beliau amat teruk sekali. Lihatlah bagaimana beliau sanggup membunuh isterinya Asiah apabila Asiah beriman – Firaun telah mengikat kaki tangan Asiah dan menghempaskan batu ke atas Asiah; Lihatlah juga bagaimana beliu membunuh Ahli-ahli sihir yang beriman itu – dia telah memotong kaki dan tangan mereka bersilang dan digantung di pokok kurma ramai-ramai. Memang Firaun tiada hati perut. Tak kisah apa pun dengan apa yang dilakukankan. Sebelum Nabi Musa lahir pun, bukankah dia telah mengarahkan seluruh anak lelaki Bani Israil dibunuh? Pernahkah ada lagi manusia lain sekejam beliau?

Dalam hal agama pula, Firaun sanggup mengaku tuhan dan tidak membenarkan kaumnya menyembah mana-mana tuhan lain. Dia amat melampaui batas.

—————-

Ayat 84:

10:84
Transliteration

Waqala moosa ya qawmiin kuntum amantum billahi faAAalayhitawakkaloo in kuntum muslimeen

Sahih International

And Moses said, “O my people, if you have believed in Allah , then rely upon Him, if you should be Muslims.”

Malay

Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): “Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)”.

وَقَالَ مُوسَىٰ

Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya):

Nabi Musa berkata kepada bani Israil.

 

يَا قَوْمِ

“Wahai kaumku!

Selepas Nabi Musa berdakwah kepada Firaun dan setelah Firaun dikalahkan dalam pertarungan antara ahli-ahli sihir dan Nabi Musa, Firaun amat marah sekali. Dia telah dimalukan di khalayak ramai. Tambahan pula, ahli-ahli sihir harapannya itu pun terus sujud beriman kepada Allah. Kerana marah sangat, bukan sahaja dia tidak mahu membebaskan bani Israil dari cengkaman perhambaan, tetapi sebaliknya dia meningkatkan dan menggandakan lagi kesusahan kepada mereka. Maka bani Israil pun marah kepada Nabi Musa kerana pada anggapan mereka, Nabi Musa lah yang menyusahkan mereka. Ini ada disebut dalam ayat A’raf:129

قَالُوا أُوذِينَا مِن قَبْلِ أَن تَأْتِيَنَا وَمِن بَعْدِ مَا جِئْتَنَا قَالَ عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُهْلِكَ عَدُوَّكُمْ وَيَسْتَخْلِفَكُمْ فِي الْأَرْضِ فَيَنظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ

Mereka berkata: “Kami telah dianiaya dan diperhambakan (oleh Firaun) sebelum engkau datang kepada kami dan sesudah engkau datang kepada kami”. Nabi Musa menjawab: “Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi, kemudian Ia akan memerhati bagaimana pula perbuatan kamu?”

Mereka marah kepada Nabi Musa kerana sebelum Nabi Musa lahir lagi, Firaun telah mengarahkan untuk dibunuh semua anak lelaki bani Israil. Mereka kata itu sebab Nabi Musa. Dan sekarang selepas baginda berdakwah kepada Firaun, sekali lagi firaun mengarahkan untuk anak-anak lelaki dan perempuan bani Israil dibunuh pula. Mereka kata Nabi Musa tidak habis-habis menyusahkan mereka.

Kerana perasaan mereka begitu, maka Nabi Musa berkata kepada mereka:

 

إِن كُنتُمْ آمَنتُم بِاللَّهِ

Kalau sungguh kamu sudah beriman kepada Allah,

Iaitu beriman sungguh-sungguh dengan Allah. Mengharap hanya kepada Allah. Beribadat hanya kepada Allah.

 

فَعَلَيْهِ تَوَكَّلُوا

maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya,

Nabi Musa mengingatkan kaumnya bertawakal kepada Allah. Berharap kepada Allah sahaja. Serahkan semua urusan kepada Allah. Kerana kita adalah makhluk yang lemah.

 

إِن كُنتُم مُّسْلِمِينَ

jika betul kamu orang-orang Islam“.

Kalau betul-betul kamu kata kamu orang Islam, maka bertawakal sahaja kepada Allah.

Ada tiga elemen agama yang disebut di dalam ayat ini.

  • Iman
  • Tawakal
  • Islam.

Iman itu terjadi apabila seseorang itu mengaku yang mereka percaya kepada Allah, kepada Rasul, kepada wahyu Allah, dan lain-lain lagi. Iman itu berada di dalam hati. Tetapi tidaklah cukup kalau kita percaya di dalam hati sahaja tapi tidak diikuti dan ditunjuk dengan perbuatan. Itulah maksud Islam di mana kita menjalankan perintah Allah seperti kita solat, puasa, mengeluarkan zakat, dan sebagainya.

Di antara Iman dan Islam ada tawakal. Selepas kita beriman, kita perlu bertawakal kepada Allah. Kadang-kadang, selepas kita beriman dan hendak menjalankan perintah Allah, kadang-kadang, kita tak boleh tahan ataupun susah untuk melakukannya.

Sebagai contoh, apabila masuk Islam, seorang Muslim itu wajib melakukan solat. Tetapi ada yang susah untuk menjalankan ibadah solat kerana mereka takut keluarga mereka yang kafir akan marah mereka; seorang wanita Muslim wajib untuk menutup auratnya. Tetapi kadangkala ada yang susah untuk memakai tudung. Mereka takut dengan keluarga mereka, dengan kata-kata kawan mereka, atau pun mungkin ada diskriminasi yang dilakukan oleh negara mereka. Sebagai contoh, pernah Negara Perancis mengharamkan rakyatnya memakai tudung menutup aurat.

Dalam hal ini, terutama sekali apabila ada dugaan untuk melaku sesuatu perintah agama maka seorang muslim itu hendaklah bertawakal kepada Allah. Kita akan hanya mendapat kekuatan untuk menjalankan perintah Allah jikalau kita berserah diri kepada Allah sepenuh-penuhnya. Kita kena melakukan perintah Allah walau bagaimana keadaan sekalipun. Apa yang perlu dilakukan tetap perlu dilakukan. Kerana memang sudah tujuan hidup kita untuk taat kepada perintah Allah – menjadi Muslim. Kerana kita akan gagal kalau kita mengharapkan semua orang akan menyokong perbuatan kita dalam setiap keadaan. Akan ada sahaja yang tidak setuju dengan pegangan agama kita.

Kekuatan itu akan datang jikalau bertawakal kepada Allah. Kerana kita sudah tidak boleh berharap kepada rakan-rakan kita, keluarga kita atau negara kita. Kita kena berharap kepada Allah dan yakin bahawa Allah akan memelihara kita. Seperti yang disebut di dalam ayat Talaq:3

وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Ayat dari surah Yunus ini mengajar kita bahawa kita perlu bertawakal kepada Allah dalam melakukan ibadah. Nabi Musa mengingatkan kaumnya untuk bertawakal kepada Allah dalam beriman dan menjalankan ibadat kepada Allah. Begitu juga dengan kita zaman sekarang. Memang ada rasa takut dan gelisah dalam melakukan ibadah yang sunnah, tapi kita buat sahaja dan tawakal kepada Allah. Sebagai contoh, susah juga nak solat subuh tanpa baca Qunut. Tapi kita sepatutnya tahu yang Qunut bukanlah amalan sunnah dan kita kena berani untuk solat subuh tanpa Qunut; takut juga kita hendak menggerak-gerakkan jari dalam tahiyat, tapi kita tahu bahawa itu adalah sunnah yang diberitahu dalam hadis yang sahih. Dan berbagai lagi ibadah sunnah yang kita risau untuk lakukan. Oleh itu, ayat ini memberi semangat kepada kita untuk tidak takut dan serahkan urusan itu kepada Allah.

Allahu a’lam

Lompat ke ayat yang seterusnya

===============

Ref: UR, TZ, NAK

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 010: Yunus. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s