Tafsir Surah Yunus Ayat 71-73

Ayat 71: Allah beri contoh kepada kita tentang satu kaum yang mengamalkan tawasul, iaitu kaum Nabi Nuh a.s.

Kaum Nabi Nuh mengamalkan tawasul dengan menggunakan lima orang wali mereka yang telah mati sebagai perantara (tawasul) kepada Allah. Kisah ini ada disebut dalam surah Nuh.

Ada kemungkinan yang Nabi Nuh ini telah berdakwah ke seluruh dunia. Kerana banjir yang terjadi adalah di seluruh dunia. Dan Allah tidak menghancurkan umat melainkan mereka telah diberikan dengan Rasul untuk menyampaikan dakwah kepada mereka. Kalau bukan seluruh dunia yang menolak ajakan tauhid itu, tidaklah keseluruhan manusia yang dibanjirkan.

Tambahan pula umur baginda amat panjang yang boleh dijadikan hujah yang baginda telah merantau ke serata dunia untuk menyampaikan dakwah tauhid. Maknanya, sudah merata baginda telah berdakwah. Allahu a’lam, kerana ini adalah pendapat sahaja. Tidak ada dalil yang sah.

 

10:71
Transliteration

Watlu AAalayhim nabaa noohinith qala liqawmihi ya qawmi in kanakabura AAalaykum maqamee watathkeeree bi-ayatiAllahi faAAala Allahi tawakkaltu faajmiAAooamrakum washurakaakum thumma la yakun amrukumAAalaykum ghummatan thumma iqdoo ilayya wala tunthiroon

Sahih International

And recite to them the news of Noah, when he said to his people, “O my people, if my residence and my reminding of the signs of Allah has become burdensome upon you – then I have relied upon Allah. So resolve upon your plan and [call upon] your associates. Then let not your plan be obscure to you. Then carry it out upon me and do not give me respite.

Malay

Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) perihal Nabi Nuh, ketika ia berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Sekiranya kedudukan aku dalam kalangan kamu, dan peringatan yang aku berikan kepada kamu dengan ayat-ayat keterangan Allah itu, menjadi keberatan kepada kamu, maka (buatlah apa yang kamu hendak buat, kerana) kepada Allah jualah aku berserah diri. Oleh itu, tetapkanlah keazaman kamu serta sekutu-sekutu kamu untuk melakukan rancangan jahat kamu terhadapku; kemudian janganlah hendaknya rancangan jahat kamu itu, kamu jalankan secara tersembunyi (tetapi biarlah terbuka); sesudah itu bertindaklah terus terhadapku dan janganlah kamu tunggu-tunggu lagi.

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ نُوحٍ

Dan bacakanlah kepada mereka berita Nabi Nuh,

Allah memerintahkan Nabi Muhammad dan kita yang membawa mesej Quran ini untuk menyampaikan kepada manusia tentang kisah Nabi Nuh a.s. dan kaumnya. Ada pengajaran yang kita kena belajar dari kisah baginda.

 

إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ

ketika ia berkata kepada kaumnya:

Lihatlah kata-kata baginda kepada kaumnya itu. Ini adalah kata-kata terakhir dari baginda kepada kaumnya sebelum Banjir Besar berlaku. Iaitu selepas 950 tahun baginda berdakwah kepada mereka.

 

يَا قَوْمِ

“Wahai kaumku!

 

إِن كَانَ كَبُرَ عَلَيْكُم مَّقَامِي

Sekiranya menjadi keberatan kepada kamu kedudukan aku dalam kalangan kamu,

“Sekiranya kamu berasa berat kerana aku tinggal bersama kamu; Kalau kamu rasa susah apabila aku berada bersama-sama dengan kamu.” Begitulah lebih kurang kata baginda.

Kaumnya yang engkar sudah rasa tidak selesa Nabi Nuh tinggal bersama mereka. Mereka rasa berat dengan adanya baginda bersama mereka. Memang sudah lumrah yang orang yang mengamalkan tauhid dan sunnah, akan dibenci oleh orang lain yang hendak mengamalkan syirik dan bidaah. Sampai ada yang kena halau dari kampung halaman pun pernah kita dengar. Apabila mereka nampak kita, mereka akan menjuihkan mulut ke arah kita. Mereka pula akan bercakap sesama mereka tentang kita dalam nada menghina.

Maksud kedua dari perkataan مَّقَامِ itu adalah ‘kedudukan’. Jikalau mereka rasa berat dengan ‘kedudukan’ Nabi Nuh itu. Apakah ‘kedudukan’ Nabi Nuh? Iaitu sebagai Rasul dan penyebar tauhid kepada mereka. Maka, sebagai Rasul, tentunya tugas baginda adalah menyampaikan ajaran agama dan menegah mereka dari berbuat dosa, lebih-lebih lagi dosa syirik. Mereka tidak senang dengan dakwah yang disampaikan oleh baginda.

 

وَتَذْكِيرِي بِآيَاتِ اللَّهِ

dan peringatan yang aku berikan kepada kamu dengan ayat-ayat Allah itu,

Sebenarnya, bukan kerana Nabi Nuh tinggal dengan mereka yang menyebabkan mereka benci itu, tetapi kerana dakwah baginda yang mereka benci. Kalau duduk buat senyap sahaja, tidak ada hal kepada mereka. Kalau kita tahu tentang tauhid, tapi kita buat senyap sahaja, kita pun selamat juga dari dikacau puak bidaah. Tapi, kita nanti tidak selamat dari seksa Allah kerana sembunyi ilmu.

آيَاتِ اللَّهِ (ayat-ayat Allah) yang dimaksudkan itu adalah ‘ayat-ayat tauhid’. Itulah mesej utama yang disampaikan oleh semua Rasul dan Nabi. Iaitu memberitahu manusia tentang Allah dan tentang larangan kesyirikan yang dilakukan oleh manusia. Nabi Nuh mengajak mereka untuk menyembah Allah sahaja. Nabi Nuh melarang mereka melakukan tawasul. Kerana teguran baginda itulah yang menyebabkan mereka benci kepada baginda.

Selama 950 tahun Nabi Nuh telah berdakwah kepada kaumnya dan kaumnya sudah rasa bosan dengan baginda dan mereka telah sampai tahap hendak melakukan rancangan jahat terhadap baginda. Maka baginda telah bercakap dengan mereka secara terbuka.

 

فَعَلَى اللَّهِ تَوَكَّلْتُ

Kepada Allah aku bertawakal.

Nabi Nuh hanya bertawakal kepada Allah sahaja. Apa-apa sahaja yang mereka hendak buat kepada baginda, baginda telah menyerah dirinya kepada Allah. Terpulang kepada Allah. Baginda akan terima sahaja apa yang Allah telah tentukan untuknya.

 

فَأَجْمِعُوا أَمْرَكُمْ وَشُرَكَاءَكُمْ

Oleh itu, kamu kumpullah urusan kamu dan sekutu-sekutu kamu

“Kalau kamu tidak suka aku berada bersama kamu dan dengan kedudukan aku sebagai Rasul kamu, dan dengan aku memberi peringatan kepada kamu, maka kamu buatlah rancangan kamu. Teruskan rancangan untuk melakukan rancangan jahat kamu terhadapku.”

Sebelum itu, sudah kedengaran kepada Nabi Nuh yang kaumnya mahu membunuhnya. Maka Nabi Nuh suruh mereka buat apa yang mereka nak buat kepada baginda.

 

ثُمَّ لَا يَكُنْ أَمْرُكُمْ عَلَيْكُمْ غُمَّةً

kemudian janganlah hendaknya rancangan jahat kamu itu, kamu jalankan secara tersembunyi

“Jangan kamu rahsiakan rancangan kamu itu. Tak perlu buat planning sembunyi-sembunyi”

غُمَّةً dari katadasar غمم yang bermaksud ‘awan’. Dan sifat awan itu melindungi. Melindungi dari kepanasan matahari dari sampai ke bumi. Nabi Nuh suruh mereka jangan sembunyikan apa perancangan mereka itu.

“Kamu buatlah rancangan kamu itu dengan cara terbuka. Buat rancangan itu di depan aku dan di depan semua orang.” Sebab kalau mereka buat rancangan tersembunyi, nanti ada kalangan mereka yang tak tahu apa nak buat, bukan? Maka, berpakatlah molek-molek dan terang-terang, supaya perancangan mereka betul-betul mantap.

Ini adalah cabaran Nabi Nuh kepada mereka. Selalunya rancangan jahat akan dilakukan dengan sembunyi dan rahsia. Tapi Nabi Nuh dah beri mereka peluang untuk buat rancangan secara terbuka. Supaya semua tahu apa yang hendak dibuat kepada baginda. Tidak ada yang tertinggal dari dapat info.

 

ثُمَّ اقْضُوا إِلَيَّ

sesudah itu bertindaklah terhadapku

اقْضُوا dari katadasar قضى yang bermaksud menjalankan sesuatu rancangan. “Buatlah apa pun rancangan yang telah kamu semua tetapkan untuk diriku.” Nabi Nuh sudah bersedia untuk menerima apakah keputusan dan tindakan mereka.

 

وَلَا تُنظِرُونِ

dan janganlah kamu lengahkan.

“Jangan beri tangguh kepada aku. Buat terus apa yang kamu telah rancangkan. Jangan beri peluang untuk aku melarikan diri atau apa-apa sahaja.”

Nabi Nuh berkata begitu kerana baginda tidak takut kepada mereka dan baginda telah bertaqwa kepada Allah. Baginda hanya takut kepada Allah sahaja. Baginda juga amat yakin dengan apa yang baginda lakukan.

Begitu jugalah dengan kita yang menjalankan kerja dakwah ini, perlu juga yakin bahawa apa yang kita lakukan dan sampaikan ini adalah kebenaran. Bila kita yakin dengan dakwah yang kita bawa, maka kita akan jadi berani. Kita tidak takut dengan ancaman musuh.

Apabila kita berdakwah, sudah tentu kita akan ditentang. Tetapi kita jangan takut dengan tentangan itu sampai kita memberhentikan gerakan dakwah ini. Kita kena teruskan.

Manusia tidak akan mampu untuk memberi mudharat kepada kita tanpa izin dari Allah. Walaupun mereka berkumpul ramai-ramai membuat rancangan jahat kepada kita dan mereka ramai-ramai datang kepada kita untuk menyakiti kita, mereka tidak dapat buat apa-apa kalau Allah tidak izinkan.

——————-

Ayat 72:

10:72
Transliteration

Fa-in tawallaytum fama saaltukum minajrin in ajriya illa AAala Allahi waomirtuan akoona mina almuslimeen

Sahih International

And if you turn away [from my advice] then no payment have I asked of you. My reward is only from Allah, and I have been commanded to be of the Muslims.”

Malay

“Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku, kerana aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu (mengenai ajaran ugama Allah yang aku sampaikan itu); balasanku hanyalah dari Allah semata-mata (sama ada kamu beriman ataupun kamu ingkar); dan aku pula diperintahkan supaya menjadi dari orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)”.

فَإِن تَوَلَّيْتُمْ

“Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku,

Jika mereka menolak dakwah tauhid disampaikan oleh Nabi Nuh.

 

فَمَا سَأَلْتُكُم مِّنْ أَجْرٍ

aku tidak meminta sebarang balasan upah daripada kamu

Nabi Nuh mengingatkan mereka yang baginda tidak pernah meminta upah kepada mereka atas dakwahnya itu. Kerana memang sudah tugas baginda untuk menyampaikan. Macam juga kalau kita beritahu kepada keluarga kita tentang kebaikan, takkan selepas itu kita minta upah dari mereka pula, bukan?

Maka Nabi Nuh di dalam ayat ini memberitahu kepada mereka bahawa jika mereka menolak dakwah daripada baginda, baginda tidak terkesan dengan penolakan mereka itu. Kerana baginda tidak pernah meminta upah daripada mereka pun. Maknanya, kalau mereka beriman, tidaklah baginda mendapat wang daripada mereka. Begitu juga kalau mereka tidak mahu beriman, baginda tidak rugi apa-apa. Kerana baginda berdakwah bukanlah kerana mahukan upah daripada mereka.

Yang rugi hanyalah mereka sahaja kerana menolak jalan tauhid yang baginda sampaikan.

 

إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَى اللَّهِ

balasanku hanyalah dari Allah semata-mata

Yang baginda harapkan hanyalah balasan dari Allah yang lebih baik dari dunia dan segala isinya. Pahala sebar tauhid itu adalah seperti jihad fisabilillah. Takkan kita tidak mahu?

Ayat ini mengingatkan kita untuk tidak meminta upah dalam kerja mengajar agama kepada orang lain. Ketahuilah bahawa meminta upah itu adalah kesalahan yang besar. Sesiapa yang minta upah dalam mengajar, akan dimasukkan ke dalam neraka seperti yang disebut dalam Hud 15-22.

 

وَأُمِرْتُ أَنْ أَكُونَ مِنَ الْمُسْلِمِينَ

dan aku pula diperintahkan supaya menjadi dari orang-orang Islam”.

Menjadi seorang Muslim bermaksud berserah diri kepada Allah dengan mengesakanNya. Iaitu, tak kira apa yang mereka nak lakukan kepada baginda, baginda akan berserah kepada Allah semata.

——————-

Ayat 73: Apakah tindakan kaumnya selepas mendengar kata-kata Nabi Nuh itu?

10:73
Transliteration

Fakaththaboohu fanajjaynahuwaman maAAahu fee alfulki wajaAAalnahum khala-ifawaaghraqna allatheena kaththaboo bi-ayatinafanthur kayfa kana AAaqibatualmunthareen

Sahih International

And they denied him, so We saved him and those with him in the ship and made them successors, and We drowned those who denied Our signs. Then see how was the end of those who were warned.

Malay

Mereka tetap juga mendustakan Nabi Nuh, lalu Kami selamatkan dia bersama-sama pengikut-pengikutnya yang beriman di dalam bahtera, dan kami jadikan mereka pengganti-pengganti (yang memakmurkan bumi) serta Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami (dengan banjir dan taufan sehingga punah-ranah semuanya). Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan ayat-ayat kami) setelah diberi amaran.

فَكَذَّبُوهُ

Mereka tetap juga mendustakan Nabi Nuh,

Kaumnya masih juga menolak ajakan dakwah daripada Nabi Nuh. Yang menolak itu adalah musyrikin pada zaman baginda. Yang menentang ajakan tauhid pada setiap zaman, tidak kira di mana mereka, dipanggil ‘musyrikin’. Termasuk jugalah orang Islam di zaman sekarang yang menolak tauhid dan sebaliknya mereka melakukan syirik. Mereka juga dikenali sebagai ‘musyrikin’ walaupun mereka mengaku Islam. Mengaku Islam sahaja tidak cukup, kita kena beriman sempurna dan tidak melakukan syirik.

 

فَنَجَّيْنَاهُ

lalu Kami selamatkan baginda

Apabila kaumnya engkar, mereka telah dikenakan dengan azab dalam bentuk banjir yang besar. Banjir itu menenggelamkan seluruh dunia. Tapi Nabi Nuh diselamatkan. Dalam surah ini diceritakan dengan ringkas sahaja kisah baginda kerana kisah itu banyak disebut dalam surah-surah yang lain.

 

وَمَن مَّعَهُ

bersama-sama pengikut-pengikutnya

Yang selamat bersama baginda hanyalah mereka yang beriman. Ada riwayat kata dalam 40 orang dan ada riwayat yang kata dalam 80 orang. Allahu a’lam.

 

فِي الْفُلْكِ

di dalam bahtera,

Allah menyelamatkan mereka dengan memasukkan mereka ke dalam bahtera. Apabila semua tempat telah dibanjirkan, maka yang selamat hanyalah mereka yang di dalam bahtera itu.

 

وَجَعَلْنَاهُمْ خَلَائِفَ

dan Kami jadikan mereka pengganti-pengganti

Merekalah yang menggantikan penghuni dunia yang semuanya telah mati dalam banjir itu. Selepas kejadian banjir besar itu hanya mereka sahaja tinggal di bumi dan meneruskan kelangsungan hidup manusia. Keturunan merekalah yang selepas itu merebak keserata dunia. Ada juga pendapat yang mengatakan hanya keturunan Nabi Nuh sahaja yang hidup.

 

وَأَغْرَقْنَا الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا

serta Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami.

Selain daripada bahtera itu, segala yang lain tidak selamat. Mereka semua ditenggelamkan.

 

فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُنذَرِينَ

Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan ayat-ayat kami) setelah diberi amaran.

Mereka diberikan dengan azab semasa di dunia lagi. Mereka telah diberi peringatan dengan banyak sekali tapi mereka masih lagi engkar. Maka, Allah telah beri azab kepada mereka. Oleh itu, jangan kita rasa senang lenang sangat. Kalau Allah nak turunkan azab kepada kita, boleh. Dengan semakin banyak kemungkaran yang dilakukan manusia sekarang, kita takut kalau-kalau Allah buat keputusan turunkan azab. Kalau Allah turunkan azab yang menyeluruh, dengan kita sekali pun boleh kena azab itu. Semoga Allah selamatkan kita semua sebagaimana Allah selamatkan Nabi Nuh dan pengikut baginda.

Allahu a’lam

Lompat ke ayat seterusnya

============

Ref: UR, TZ, NAK

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 010: Yunus. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s