Tafsir Surah Yunus Ayat 67-70

Ayat 67:

10:67
Transliteration

Huwa allathee jaAAala lakumu allaylalitaskunoo feehi wannahara mubsiran innafee thalika laayatin liqawmin yasmaAAoon

Sahih International

It is He who made for you the night to rest therein and the day, giving sight. Indeed in that are signs for a people who listen.

Malay

Dia lah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya perubahan malam dan siang itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu mendengar (keterangan-keterangan yang tersebut dan mengambil pelajaran daripadanya).

هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ اللَّيْلَ

Dia lah yang menjadikan malam bagi kamu

Apabila masuknya waktu malam, ketahuilah yang Allah lah yang menjadikan malam itu.

 

لِتَسْكُنُوا فِيهِ

supaya kamu berehat padanya,

لِتَسْكُنُوا dari katadasar سُكن yang bermaksud ‘berhenti selepas bergerak’ (stationary), ‘berasa aman’. Allah telah menjadikan malam untuk kita berehat dan berasa aman di dalam rumah kita.

Allah tidak menceritakan sifat malam dalam ayat ini. Tetapi Allah memberitahu apa yang kita patut buat di waktu malam. Walaupun Allah tidak memberitahu kita apakah sifat malam itu, tetapi kita tahu bahawa malam itu gelap gelita. Apabila gelap gelita, maka mudah untuk kita berehat. Mudah untuk kita tidur sebab cahaya tidak ada. Orang lain pun tak buat bising sebab dah malam, lagi senang kita nak tidur sebab senyap sunyi. Allah telah mudahkan segalanya untuk kita.

 

وَالنَّهَارَ مُبْصِرًا

dan menjadikan siang terang-benderang

مُبْصِرًا bermaksud ‘sesuatu yang boleh melihat’. Kalau literalnya, bermaksud ‘siang boleh melihat’. Tapi tentulah malam tidak boleh melihat, bukan? Maksudnya, Allah telah menjadikan siang itu dalam keadaan yang kita boleh melihat di dalamnya, sebab ada cahaya terang benderang. Macam kalau kita kata ‘sungai melimpah’ – adakah sungai itu melimpah? Tentu tidak, yang melimpah adalah air dalam sungai itu, bukan? Maksud siang boleh melihat adalah kita boleh melihat dengan mata kita pada waktu siang.

Allah menceritakan sifat siang yang terang benderang, tetapi Allah tidak memberitahu kepada kita apa yang patut kita buat di waktu siang. Walaupun Allah tidak memberitahu apakah yang patut kita buat di waktu siang, tetapi kita boleh gunakan akal kita untuk mengetahuinya. Oleh kerana siang itu terang dan kita senang melihat didalamnya, maka mudahlah kita untuk melakukan kerja dan tugas harian kita.

Maka malam untuk berehat dan siang untuk bekerja; dan bukan sebaliknya. Kalau kita buat yang sebaliknya, maka kita telah melanggar fitrah yang telah dibuat oleh Allah. Apabila kita langgar, maka ada kesannya kepada diri kita sendiri.

Nabi telah memberi nasihat kepada kita untuk berhati-hati pada waktu malam kerana pada waktu malam lah banyak keburukan akan berlaku. Sebagai contoh, perompak-perompak selalunya keluar pada waktu malam. Kita kena kurangkan aktiviti malam kita. Jangan kita selalu keluar tak tentu hala. Tetapi inilah masalah yang dihadapi oleh pemuda-pemudi kita. Mereka suka sangat keluar malam berpoya-poya. Dengan tidak melakukan perkara berfaedah. Lainlah kalau mereka memang ada kerja, pergi kuliah dan sebagainya. Tapi tidak, yang mereka buat adalah hal-hal yang lagha.

Siang itu diserahkan supaya kita dapat cari rezeki, dan dengan rezeki itu kita dapat sebar agama ini. Bukan hanya mencari rezeki untuk hidup sahaja, kerana bukan itu tujuan hidup kita. Tujuan hidup kita adalah untuk membesarkan nama Tuhan. Selalunya, ayat ini diterjemahkan ‘untuk mencari nafkah’ sahaja. Itu tidak tepat. Kita kena tambah dalam tafsir, mencari nafkah itu adalah untuk menyebarkan agama ini.

Perbincangan balaghah dalam ayat ini:

Allah sebut tujuan malam dalam ayat ini (لِتَسْكُنُوا فِيهِ) untuk berehat.
Tapi Allah tidak sebut tujuan siang dijadikan. Tujuan siang dihazafkan.

Allah sebut sifat siang (مُبْصِرًا) terang benderang,
Tapi Allah tidak sebut sifat malam. Sifat malam dihazafkan.

Tujuan hazaf itu adalah untuk memendekkan penceritaan dan ianya dapat diketahui dengan melihat lawannya. Ini adalah satu keindahan Quran yang dapat diketahui kalau belajar balaghah.

Jadi, untuk melihat tujuan siang, dan sifat malam yang tidak disebut, kena lihat kepada lawan masing-masing:

Maka, dari lawannya, kita dapat tahu yang tujuan siang dijadikan adalah untuk bekerja kerana itu adalah lawan kepada rehat. Ini adalah kerana Allah sebut tujuan malam (untuk berehat)

Dari untuk tahu sifat malam, kita kena lihat lawannya, iaitu siang yang sifatnya terang benderang. Maka sifat malam adalah gelap, iaitu lawan kepada terang.

 

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ

Sesungguhnya pada demikian itu

Pada kejadian siang dan malam itu. Pada pertukarannya yang tidak pernah bertukar atau terbalik lagi. Pada kegunaan malam dan kegunaan siang itu, semuanya ada guna, ada sebab Allah jadikan.

 

لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَسْمَعُونَ

mengandungi tanda-tanda bagi mereka yang mahu mendengar

Mahu mendengar apa? Mahu mendengar Quran dibacakan. Merekalah yang sanggup datang belajar tafsir Quran dan terus belajar. Maka anda yang membaca tulisan ini, marilah masuk kelas dan belajar wahyu Allah betul-betul. Mari belajar sampai faham.

—————–

Ayat 68: Ayat tentang tawassul lagi

10:68
Transliteration

Qaloo ittakhatha Allahuwaladan subhanahu huwa alghaniyyu lahu ma fee assamawatiwama fee al-ardi in AAindakum min sultaninbihatha ataqooloona AAala Allahi ma lataAAlamoon

Sahih International

They have said, ” Allah has taken a son.” Exalted is He; He is the [one] Free of need. To Him belongs whatever is in the heavens and whatever is in the earth. You have no authority for this [claim]. Do you say about Allah that which you do not know?

Malay

Mereka berkata: “Allah mempunyai anak” Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu)! Dia lah Yang Maha Kaya; segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaanNya; tidaklah ada sebarang keterangan di sisi kamu yang membuktikan apa yang kamu dakwakan itu. Mengapa kamu berani mengatakan terhadap Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya?

قَالُوا اتَّخَذَ اللَّهُ وَلَدًا

Mereka berkata: “Allah mempunyai anak”

Ini adalah teguran kepada mereka-mereka yang mengatakan Allah ada anak. Amat ramai sekali yang kata begitu. Yang jelas kepada kita, agama Kristian mengatakan Nabi Isa itu anak Tuhan. Tapi bukan mereka sahaja. Yahudi mengatakan Uzair anak Allah. Musyrikin Mekah pula mengatakan yang malaikat-malaikat itu semua adalah anak perempuan Allah.

Bagaimana pula dengan orang Islam? Kita pun terkena juga kesesatan ini kalau tidak belajar. Maksud ‘anak’ di dalam Quran adalah ‘anak angkat’. Seperti yang kita tahu, Allah tidak beranak seperti yang disebut dalam surah al-Ikhlas. Oleh itu Allah tidak ada anak kandung. Apabila disebut di dalam Quran tentang ‘anak Allah’, kita boleh tafsirkan dengan maksud ‘anak angkat Allah’. Sebab itu, kita jangan sangka yang Quran ini hanya menempelak orang kafir sahaja – kita pun ada kena juga kalau jahil tentang agama.

Apakah maksud ‘Anak Angkat’ itu? Apabila seseorang itu anak angkat kepada seorang yang besar, tentulah anak angkat itu rapat dengan orang itu. Jadi, kalau kita hendak sesuatu dari orang besar itu, kita minta pada anak angkatnya. Siapakah yang diangkat sebagai ‘anak angkat’ oleh orang yang mengaku Islam? Itulah para Nabi, para Wali dan para Malaikat. Mereka kata Syeikh itu dan ini rapat dengan Allah, jadi kena minta melaluinya. Mereka kata Nabi-nabi rapat dengan Allah, maka kena minta kepada Allah melalui mereka. Itulah yang dinamakan tawasul, dan tawasul adalah perbuatan kufur yang dilakukan oleh orang kafir. Malangnya, orang kita yang mengaku Islam pun buat perbuatan kufur juga.

 

سُبْحَانَهُ

Maha Suci Allah

Allah suci bersih dari apa yang mereka katakan itu! Apa yang mereka katakan dan anggapkan itu adalah salah. Allah tidak begitu! Allah tidak memerlukan anak. Allah suci dari perkara itu. Allah suci dari sifat-sifat makhluk. Apa yang mereka katakan itu adalah salah sama sekali.

 

هُوَ الْغَنِيُّ

Dia lah Yang Maha Kaya;

‘Kaya’ bermaksud tidak memerlukan apa-apa dari orang lain. Seperti orang kaya, mereka tidak memelukan duit dari kita. Tapi, sekaya-kaya mereka, mereka masih lagi memerlukan pertolongan dari kita, bukan?

Allah pula ‘Maha Kaya’. Allah langsung tidak perlu apa-apa dari makhlukNya. Allah tidak perlu berkongsi kerajaanNya kerana Allah itu Maha Kaya. ‘Maha Kaya Allah’ bermaksud Allah tidak memerlukan sesiapa pun untuk membantuNya dan menolongNya. Allah juga tidak memerlukan sesiapa untuk menemaniNya. Macam kita, kalau keseorangan, kita akan rasa sunyi, bukan? Jadi kita memerlukan seseorang untuk menemani kita. Allah tidak begitu.

Makhluk yang hidup memang memerlukan anak untuk melangsungkan keturunan mereka. Memang ini adalah juga fitrah manusia. Setiap lelaki dan perempuan yang normal, akan ada keinginan untuk mempunyai anak. Kalau tidak percaya, tanyalah kepada orang kaya yang tidak ada anak. Mereka akan ada rasa kekurangan yang amat sangat. Sampaikan mereka sanggup untuk ambil anak angkat untuk meneruskan legasi mereka. Mereka hendak ada rasa bahawa mereka ada meninggalkan sesuatu dalam dunia ini apabila mereka pergi nanti.

Begitulah sifat manusia. Tetapi Allah tidak begitu. Allah Maha Hidup dan akan terus hidup. Oleh itu makhluk perlu kepada anak, tetapi Allah tidak memerlukan anak itu.

 

لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ

kepunyaanNya segala apa yang ada di langit

Kenapa Allah perlu kepada anak, sedangkan segala yang dalam dunia ini adalah milikNya belaka.

Kita tidak ada apa-apa dalam dunia ini. Semua hak Allah belaka.

 

وَمَا فِي الْأَرْضِ

dan apa yang ada di bumi

Tentulah yang di langit itu tidak ada milik kita apa-apa pun. Kita pun tidak tinggal di langit. Bagaimana pula di bumi? Bukankah kita ada harta di bumi? Allah beritahu, yang di bumi ini pun semuanya milik Allah. Kita tidak memiliki apa-apa pun sebenarnya. Nampak sahaja kita ada pemilikan, tapi sebenarnya tidak.

 

إِنْ عِندَكُم مِّن سُلْطَانٍ بِهَٰذَا

Tidak ada sebarang bukti di sisi kamu yang membuktikan apa yang kamu dakwakan itu.

Dalam ayat ini, perkataan إِنْ bermaksud ‘tidak’.

سُلْطَانٍ dalam ayat ini bermaksud ‘bukti’. Ingatlah bahawa perkara dalam agama ini memerlukan bukti. Kalau tidak memerlukan bukti, maka sesiapa sahaja akan boleh berkata apa sahaja yang mereka suka. Macam puak bidaah, apabila mereka berhujah, mereka tak keluarkan bukti. Ataupun bukti yang mereka keluarkan hanyalah kata-kata manusia, kitab-kitab atau hasil dari akal mereka yang tidak sihat sahaja. Padahal, bukti yang perlu dikeluarkan adalah dari Quran dan hadis.

Hujah mereka yang mengatakan Allah mempunyai anak itu tidak ada landasan sedikitpun.

 

أَتَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Atau adakah kamu mengatakan terhadap Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya?

Jangan kita memandai-mandai memberikan hujah dalam agama kalau kita tidak tahu, tidak belajar. Amat ramai sekali mereka yang mengamalkan syirik dan bidaah yang memberikan hujah-hujah yang bathil, yang menunjukkan mereka sebenarnya tidak faham agama. Apa yang mereka tahu adalah sikit sangat hal agama. Dan mereka telah dikelirukan lagi oleh guru-guru yang sesat. Amat sedih sekali apabila berhujah dengan mereka. Kita boleh nampak bahawa hujah mereka itu tidak ada asas, tapi mereka sangka hujah mereka kuat. Mereka ingat mereka pandai dalam berhujah, tapi tidak sebenarnya.

——————-

Ayat 69:

10:69
Transliteration

Qul inna allatheena yaftaroona AAalaAllahi alkathiba la yuflihoon

Sahih International

Say, “Indeed, those who invent falsehood about Allah will not succeed.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah, tidak akan berjaya”.

قُلْ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ

Katakanlah: “Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah,

Dusta itu bermaksud buat ‘bidaah’. Iaitu dusta dengan mengatakan sesuatu amalan itu baik, padahal Allah atau Nabi tidak pernah beritahu. Mereka dusta dengan tidak membawa dalil yang sah.

 

لَا يُفْلِحُونَ

tidak akan berjaya”.

Mereka tidak akan berjaya di dunia dan tidak akan berjaya di akhirat. Walaupun nampak mereka seperti berjaya di dunia, tetapi akhirnya mereka akan kalah juga. Mereka akan berdebat dengan menggunakan hujah-hujah bathil mereka. Tapi kalau kita terus berhujah dengan mereka, mereka akan kalah.

Lebih-lebih lagi, mereka tidak akan berjaya di akhirat kelak. Mereka akan mendapat balasan yang buruk. Malangnya, orang-orang yang buat bidaah sangka mereka telah melakukan amalan yang baik dalam agama. Mereka sangka pahala mereka banyak. Tapi sebenarnya, mereka mengumpul dosa dengan melakukan perkara bidaah itu.

Kejayaan yang sebenarnya adalah apabila Allah redha dengan kita. Tidak semestinya kita berjaya dalam dunia, bermaksud kita sudah berjaya. Ada fahaman dalam Agama Kristian yang percaya kalau mereka berjaya di dunia, itu menunjukkan yang mereka akan berjaya di akhirat. Mereka sangka, kalau Tuhan sayang seseorang di dunia, bermakna Tuhan sayang juga orang itu selepas dia mati. Maka, mereka menggalakkan penganutnya untuk mencapai kejayaan dan kekayaan sebanyak mungkin. Allah beritahu dalam ayat ini, kejayaan dunia bukanlah kejayaan sebenar.

Jangan kita sangka yang mereka telah berjaya, tidak begitu.

——————-

Ayat 70:

10:70
Transliteration

MataAAun fee addunyathumma ilayna marjiAAuhum thumma nutheequhumu alAAathabaashshadeeda bima kanoo yakfuroon

Sahih International

[For them is brief] enjoyment in this world; then to Us is their return; then We will make them taste the severe punishment because they used to disbelieve

Malay

(Apa yang mereka beroleh hanya) kesenangan di dunia, kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya mereka. Kemudian Kami akan rasakan mereka azab yang berat disebabkan perbuatan kufur yang mereka lakukan.

مَتَاعٌ فِي الدُّنْيَا

(Apa yang mereka beroleh hanya) kesenangan di dunia,

Ada orang yang buat syirik dan bidaah, tapi Allah beri kepada mereka kesenangan dunia. Tetapi harta yang mereka kumpulkan itu tidak benilai langsung pada sisi Allah. Ianya hanya kesenangan dunia sahaja. Seperti kita telah belajar di dalam beberapa ayat yang lalu, walaupun orang yang engkar itu hendak memberikan harta sebesar dunia untuk menembus diri mereka daripada azab Allah, hartanya itu tidak akan diterima oleh Allah. Kerana harta dunia tidak bernilai langsung sebenarnya.

Seperti kita telah belajar dalam ayat yang lalu, kejayaan yang sebenarnya adalah apabila Allah redha dengan kita dan memasukkan kita ke dalam syurga. Oleh itu, jikalau kita lihat orang yang engkar, tetapi di dunia mereka ada harta yang banyak dan hidup senang lenang, janganlah kita pandang mereka sebagai berjaya. Kejayaan di dunia tidak bernilai apa-apa jikalau tiada kejayaan di akhirat.

 

ثُمَّ إِلَيْنَا مَرْجِعُهُمْ

kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya mereka.

Mereka hanya menikmati kesenangan dunia itu sekejap sahaja. Hanya semasa di dunia sahaja. Kemudian mereka akan dikembalikan kepada Allah. Dan kehidupan di dunia itu terlalulah sebentar kalau dibandingkan dengan kehidupan di akhirat kelak.

Bukan mereka sahaja yang akan dikembalikan, tapi kita juga. Ayat ini mengingatkan kita kepada mati yang kita semua akan hadapi. Kita semua kena sentiasa ingat mati. Ianya adalah satu perkara yang semua orang malas nak fikir. Tapi ianya akan terjadi samada kita fikirkan atau tidak, bersedia atau tidak. Kita fikirkan tentang mati supaya kita buat persediaan untuk mati.

 

ثُمَّ نُذِيقُهُمُ الْعَذَابَ الشَّدِيدَ

Kemudian Kami akan rasakan mereka azab yang amat berat

Alangkah malangnya mereka kerana dikenakan dengan azab yang berat.

 

بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ

disebabkan perbuatan kufur yang mereka lakukan.

Mereka dikenakan azab itu bukanlah kerana Allah zalim. Tapi kerana mereka yang engkar. Iaitu ayat Quran dan hadis yang mereka engkarkan.

Allahu a’lam

Lompat ke ayat yang seterusnya

==============

Ref: UR, TZ, NAK

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 010: Yunus. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s