Tafsir Surah Yunus Ayat 43-47

Ayat 43:

10:43
Transliteration

Waminhum man yanthuru ilaykaafaanta tahdee alAAumya walaw kanoo la yubsiroon

Sahih International

And among them are those who look at you. But can you guide the blind although they will not [attempt to] see?

Malay

Dan di antara mereka pula ada yang memandang kepada perkara-perkara yang engkau tunjukkan (tetapi mereka tidak nampak kebenarannya seperti orang buta); maka engkau (wahai Muhammad) tidak berfaedah menunjuk jalan kepada orang-orang yang buta, juga kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu melihat (perkara yang engkau tunjukkan itu).

وَمِنْهُم مَّن يَنظُرُ إِلَيْكَ

Dan di antara mereka pula ada yang memandang kepada engkau

Ada juga dari golongan Musyrikin Mekah itu yang datang duduk bertemu dengan Nabi. Mereka mendengar sendiri dakwah yang diberikan oleh baginda. Ataupun kalau mereka tidak bertemu dengan Nabi, mereka ada melihat Nabi dari kejauhan bagaimana Nabi menyampaikan dakwah. Tetapi mereka tidak juga mahu beriman.

Kebanyakan manusia ada yang langsung tidak mahu datang ke kelas agama atau kelas tafsir quran. Tetapi ada juga yang datang menghadiri. Tetapi mereka datang itu hanya untuk ‘tengok-tengok’ sahaja. Mungkin mereka hendak melihat suasana kelas dan hendak mengetahui samada ramai atau tidak yang datang ke kelas. Mungkin ada yang diajak kenalan atau ahli keluarga yang telah datang dan mereka hendak ‘tengok-tengok’ samada kawan dia belajar ‘ilmu sesat’ pula. Maknanya, mereka datang bukan dengan kehendak hati sendiri. Dan selepas datang sekali dua, mereka tak datang dah. Orang yang sebegini berkemungkinan besar tidak akan beriman. Kerana mereka datang hanya untuk tengok tengok sahaja. Walau bagaimanapun, ada juga yang datang sekali dan terus minat untuk datang lagi. Kerana apa yang mereka nampak itu adalah kebenaran yang mereka cari-cari selama ini.

Dalam ayat ini disebut mereka melihat Nabi. Bagaimanakah cara mereka melihat Nabi? Cara kita tengok orang pun berbeza-beza. Ada yang kita tengok dengan perasaan suka dan ada yang kita tengok orang dengan perasaan benci. Perasaan benci itu boleh kelihatan pada air muka kita.

Maka, mereka yang melihat Nabi itu tidaklah semestinya melihat dengan rupa yang suka. Kemungkinan besar mereka melihat dengan rupa yang benci. Macam puak bidaah yang melihat ahli sunnah sekarang lah. Mereka tengok kita dengan perasaan benci sahaja.

 

أَفَأَنتَ تَهْدِي الْعُمْيَ

Adakah engkau boleh menunjuk jalan kepada orang yang buta?

Kalau ada orang yang buta bertanyakan jalan kepada kita dan kita tunjuk jalan itu dengan tangan kita, bolehkah orang buta itu nampak? Tentu tidak boleh.

Lihatlah bagaimana Allah sifatkan mereka yang telah bertemu dengan Nabi Muhammad dan telah melihat bagaimana akhlak Baginda tapi masih lagi tidak beriman, diibaratkan seperti mereka yang buta. Bukanlah mata mereka betul-betul buta, tetapi hati mereka yang buta seperti yang disebut dalam Hajj:46

أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَٰكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ

Oleh itu, tidakkah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan melihat kesan-kesan yang tersebut – mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala mereka yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.

Mereka ada telinga dan mereka ada mata tapi mereka tidak menggunakan kedua-duanya untuk menerima hidayah. Allah telah beri kepada manusia fakulti-fakulti deria untuk mendapatkan hidayah. Tetapi mereka sendiri yang tidak menggunakannya. Hidayah dah sampai tapi mereka tak mahu nak terima. Oleh itu jangan salahkan Allah jikalau tidak mendapat hidayah. Kerana hidayah telah sampai tapi mereka yang tidak menerimanya. Ini kerana ada orang yang menyalahkan Qada’ dan Qadar kerana tidak mendapat hidayah. Mereka kata mereka tak beriman sebab Allah dah takdirkan mereka tak beriman. Mereka salahkan Allah pula.

Itu adalah pendapat yang salah kerana kita telah ada penglihatan dan dakwah telah diberikan kepada kita, tetapi yang tidak beriman itu adalah kerana mereka menolak hidayah itu.

Hidayah itu akan diberikan kepada mereka yang MAHUKAN hidayah. Iaitu mereka yang dalam hati mereka mahu mencari kebenaran. Tidak kira samada mereka itu orang Islam ataupun tidak. Mereka yang lahir dalam agama kafir tapi masuk Islam adalah kerana dalam hati mereka ada keinginan untuk tahu kebenaran.

 

وَلَوْ كَانُوا لَا يُبْصِرُونَ

kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu melihat

Hidayah yang di depan mata mereka pun mereka tak mahu lihat. Kalau jenis macam ni, susah kita nak tolong. Sebab mereka sendiri tidak mahu ditolong.

————————-

Ayat 44:

10:44
Transliteration

Inna Allaha la yathlimuannasa shay-an walakinna annasaanfusahum yathlimoon

Sahih International

Indeed, Allah does not wrong the people at all, but it is the people who are wronging themselves.

Malay

Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri.

إِنَّ اللَّهَ لَا يَظْلِمُ النَّاسَ شَيْئًا

Sesungguhnya Allah tidak menzalimi manusia sedikitpun,

Tidaklah Allah menzalimi manusia dengan tidak memberi hidayah kepada manusia. Allah sentiasa memberi hidayah, tetapi samada manusia terima atau tidak, sahaja. Ini adalah kerana Allah telah memberi pilihan kepada manusia untuk memilih jalan mana yang manusia hendak ambil. Allah tak paksa. Berbeza dengan malaikat yang semuanya hanya taat kepada Allah sahaja. Mereka tidak ada pilihan untuk tidak taat kepada Allah. Kalau manusia hendak jadi sesat, Allah akan biarkan selama mereka di dunia. Tapi di akhirat kelak, mereka akan kena azab. Itu janji Allah.

 

وَلَٰكِنَّ النَّاسَ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

akan tetapi manusia jualah yang menzalimi diri mereka sendiri.

Allah tidak menzalimi makhlukNya. Tetapi makhlukNya yang tidak menerima hidayah yang telah disampaikanlah yang menzalimi diri mereka. Kerana dengan tidak menerima hidayah itu, mereka akan hidup dalam dosa dan apabila mati nanti, mereka akan diazab. Itu dinamakan zalim kepada diri sendiri.

————————-

Ayat 45:

10:45
Transliteration

Wayawma yahshuruhum kaan lamyalbathoo illa saAAatan mina annahariyataAAarafoona baynahum qad khasira allatheena kaththaboobiliqa-i Allahi wama kanoo muhtadeen

Sahih International

And on the Day when He will gather them, [it will be] as if they had not remained [in the world] but an hour of the day, [and] they will know each other. Those will have lost who denied the meeting with Allah and were not guided

Malay

Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia).

وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ

Dan masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak),

Apabila Allah menyebut وَيَوْمَ (tentang hari itu), ianya bermaksud Allah suruh kita beringat-ingat. Allah juga suruh kita mengingatkan orang lain tentangnya.

Hari yang dimaksudkan dalam ini adalah hari di Mahsyar.

 

كَأَن لَّمْ يَلْبَثُوا إِلَّا سَاعَةً مِّنَ النَّهَارِ

mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal (di dunia) melainkan sekadar satu jam dari siang hari.

Berkumpul di Mahsyar itu terlalu lama sampaikan jikalau dibandingkan penungguan mereka di Mahsyar itu dengan seluruh kehidupan mereka di dunia, hidup pada dunia itu rasa seperti satu jam sahaja. Satu pendapat menyatakan yang penungguan di Masyar itu adalah selama 50,000 tahun.

 

يَتَعَارَفُونَ بَيْنَهُمْ

Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri.

Selama masa yang menunggu di mahsyar itu mereka akan berkenal-kenalan sesama mereka. Sebagai contoh, ada orang yang kita kenal semasa di dunia yang kita mungkin bertemu dengan mereka di akhirat kelak. Atau kita mungkin berjumpa dengan orang-orang yang kita selalu dengar kisah mereka. Sebagai contoh, kita tidak pernah bertemu dengan sahabat Nabi, tapi kita kenal mereka daripada kisah-kisah mereka. Dan apabila sampai di sana, kita mungkin berada di dalam lingkungan sahabat-sahabat itu dan dapat berkenalan dengan mereka.

Dan kita boleh kenal orang-orang Islam kerana orang-orang Islam yang mengambil wuduk akan bercahaya anggota-anggota wuduk mereka di Mahsyar nanti.

Kita juga akan kenal orang-orang yang berdosa daripada tanda-tanda pada diri mereka, seperti yang disebut di dalam ar-Rahman:41

يُعْرَفُ الْمُجْرِمُونَ بِسِيمَاهُمْ فَيُؤْخَذُ بِالنَّوَاصِي وَالْأَقْدَامِ

Orang-orang yang berdosa dapat dikenal dari tanda-tandanya, lalu dipegang dari atas kepala dan kakinya (serta diseret ke neraka);

Walaupun kita dapat berkenal-kenalan dengan orang-orang lain, tidaklah ada sesiapa pun yang dapat membantu sesiapa. Kalau kenal pun tak boleh nak buat apa. Ini adalah kerana suasana di Mahsyar itu setiap makhluk akan sibuk dengan dirinya sendiri. Seperti yang tersebut didalam Maarij:10

وَلَا يَسْأَلُ حَمِيمٌ حَمِيمًا

Dan sahabat karib tidak bertanyakan hal sahabat karibnya, (kerana tiap-tiap seorang sibuk memikirkan hal keadaannya sendiri),

Kalau kita pergi mana-mana, tentunya kita akan cari kawan kita, bukan? Dalam majlis yang ramai orang, kita akan cari juga sesiapa yang kita kenal kan? Kita pun akan melepak dengan dia. Tapi di akhirat nanti, tidak ada macam itu. Tak cari pun kawan. Sebab risau sangat tentang hal diri sendiri. Macam disebut dalam Abasa:34-37

يَوْمَ يَفِرُّ الْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ

Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya,

وَأُمِّهِ وَأَبِيهِ

Dan ibunya serta bapanya,

وَصَاحِبَتِهِ وَبَنِيهِ

Dan isterinya serta anak-anaknya; –

لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُمْ يَوْمَئِذٍ شَأْنٌ يُغْنِيهِ

Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.

 

قَدْ خَسِرَ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِلِقَاءِ اللَّهِ

Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan,

Manusia yang tidak memikirkan tentang hari perjumpaan dengan Allah adalah mereka yang paling rugi. Kerana sekarang mereka rasa dunia ini lah yang penting tetapi bila mereka di Mahsyar nanti, mereka akan sedar bahawa dunia ini tidak ada apa-apa nilai pun. Sekarang mereka rasa kehidupan di dunia ini lama. Tetapi sebenarnya tidak.

Kerana merasakan dunia ini penting, maka mereka banyak memikirkan tentang dunia dan berusaha untuk mendapat kelebihan di dunia dan mereka meninggalkan persediaan mereka untuk akhirat. Tetapi apabila di Mahsyar nanti, mereka akan tahu bahawa segala usaha yang mereka lakukan untuk dunia itu adalah sia-sia sahaja kerana ianya akan ditinggalkan begitu sahaja.

Oleh itu janganlah kita mementingkan dunia ini sangat. Kita memang suka kalau mendapat barang yang cantik seperti telefon yang baru, kereta yang besar, dan sebagainya. Waktu mula dapat, kita akan jaga baik-baik. Tapi ianya tidak akan kekal dan dalam beberapa tahun, ianya akan rosak dan kita akan buang ke dalam tong sampah tanpa rasa sayang pun lagi.

 

وَمَا كَانُوا مُهْتَدِينَ

dan mereka bukan orang yang mendapat petunjuk

Mereka tidak mendapat hidayah petunjuk itu kerana mereka sendiri yang memilih untuk tidak mengendahkan hidayah itu apabila ianya sampai kepada mereka. Sebagai contoh, apabila mereka diajak untuk pergi ke kelas Tafsir Qur’an, berbagai-bagai alasan yang mereka akan berikan:

  • Kau pergi lah dahulu
  • Aku baru dapat projek, jadi aku sibuk sikit
  • Siapa guru kamu itu, kitab apa dia pakai? betulkah dia ajar?
  • Aku tak pernah dengar pun nama guru kamu.
  • Aku nak belajar agama, bukan nak belajar Tafsir Quran.
  • Aku nak belajar bahasa Arab dulu
  • Aku nak belajar baca Quran dulu
  • Aku nak betulkan diri aku dulu
  • Waktu kelas itu, aku kena hantar anak aku pergi tution.

Dan bermacam-macam lagi alasan yang diberikan.

————————————

Ayat 46:

10:46
Transliteration

Wa-imma nuriyannaka baAAdaallathee naAAiduhum aw natawaffayannaka fa-ilaynamarjiAAuhum thumma Allahu shaheedun AAala mayafAAaloon

Sahih International

And whether We show you some of what We promise them, [O Muhammad], or We take you in death, to Us is their return; then, [either way], Allah is a witness concerning what they are doing

Malay

Dan jika Kami perlihatkan kepadamu (wahai Muhammad) akan sebahagian dari balasan azab yang Kami janjikan kepada mereka, atau jika Kami wafatkan engkau sebelum itu, maka kepada Kamilah tempat kembali mereka; kemudian Allah yang memberi keterangan mengenai apa yang mereka lakukan.

وَإِمَّا نُرِيَنَّكَ

Dan jika Kami perlihatkan kepadamu (wahai Muhammad)

Bila kita ditentang dengan begitu teruk dan dikeji oleh puak-puak bidaah, maka ada terdetik dalam hati kecil kita untuk melihat bagaimanakah keadaan mereka apabila mereka hampir mati nanti. Allah jawab perasaan kita di dalam ayat ini.

 

بَعْضَ الَّذِي نَعِدُهُمْ

akan sebahagian dari (azab) yang Kami janjikan kepada mereka,

Apakah yang telah dijanjikan kepada Musyrikin Mekah dan orang-orang yang mengamalkan syirik? Janji Allah adalah, sesiapa yang melakukan syirik dan dosa, mereka akan di azab.

Allah boleh sahaja memberikan azab itu kepada puak musyrik itu masa Nabi masih hidup lagi.

 

أَوْ نَتَوَفَّيَنَّكَ

atau jika Kami wafatkan engkau sebelum itu,

Allah boleh beri Nabi Muhammad melihat azab yang diberikan kepada puak musyrik itu atau Allah boleh buat keputusan untuk memberikan azab kepada mereka selepas Nabi telah wafat. Maknanya, Nabi Muhammad tidak sempat untuk melihat azab itu diberikan kepada mereka yang menentang baginda.

Allah boleh beri Nabi Muhammad melihat azab itu ataupun memutuskan Nabi tidak melihat azab itu dikenakan kepada musuh baginda.

 

فَإِلَيْنَا مَرْجِعُهُمْ

maka kepada Kamilah tempat kembali mereka;

Sama ada kita dapat lihat ataupun tidak bagaimanakah mereka dimatikan, yang pasti, mereka akan dibawa untuk mengadap Allah. Mereka akan dibawa kepada Allah.

 

ثُمَّ اللَّهُ شَهِيدٌ عَلَىٰ مَا يَفْعَلُونَ

kemudian Allah yang akan menjadi saksi atas apa yang mereka lakukan.

Maknanya, Allah tahu sangat dengan apa yang mereka lakukan. Allah sendiri akan menjadi saksi atas perbuatan mereka itu.

Dan ayat ini juga bermaksud yang Allah akan membalas mereka dengan azab di atas perbuatan mereka. Bukan setakat jadi saksi sahaja, tetapi menjadi hakim untuk menjatuhkan hukum sekali. Kerana perkataan شَهِيدٌ bukan sahaja bermakna saksi tapi ia juga boleh bermaksud ‘Hakim’. Allah sendiri akan menghukum mereka atas kesalahan yang mereka telah lakukan. Allah sendiri yang akan buat keputusan tentang apakah azab yang akan diberikan kepada mereka.

Oleh itu, ayat ini sebenarnya untuk menenangkan dan memujuk hati Nabi. Janganlah Nabi risau tetapi ketahuilah bahawa jika mereka tidak beriman, mereka akan dikenakan dengan azab.

Ayat ini juga menjadi penenang hati kita. Berapa ramai yang kita sudah dakwah tetapi mereka menolak dakwah kita dan mereka mengutuk kita, mencaci kita, memarahi kita dengan bermacam-macam tuduhan. Mereka juga beri gelaran kepada kita seperti ‘wahabi’ dengan tujuan untuk menjatuhkan kita. Tenanglah wahai hati dan yakinlah bahawa mereka akan dibalas dengan kata-kata mereka itu.

———————

Ayat 47:

10:47
Transliteration

Walikulli ommatin rasoolun fa-itha jaarasooluhum qudiya baynahum bilqisti wahum layuthlamoon

Sahih International

And for every nation is a messenger. So when their messenger comes, it will be judged between them in justice, and they will not be wronged

Malay

Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya); setelah datang Rasul masing-masing (menerangkan apa yang mesti diterangkan) maka hukuman pun dijalankan di antara mereka dengan adil dan mereka tetap tidak dianiaya.

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولٌ

Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya);

Allah dengan rahmat-Nya memberikan Rasul sebagai pemberi peringatan. Memberi ingat bahawa kalau buat syirik, bidaah dan dosa, maka akan dibalas dengan azab.

 

فَإِذَا جَاءَ رَسُولُهُمْ

setelah datang Rasul masing-masing

Tugas Rasul adalah menerangkan apa yang mesti diterangkan.

Macam kita sekarang, sudah tidak ada rasul yang diturunkan kepada kita. Tetapi ada pendakwah yang menyampaikan ajaran tauhid. Maknanya, peringatan sudah diberikan kepada kita juga. Jangan pula bagi alasan kita tidak ada Rasul. Quran dah ada, pendakwah tauhid dah ada.

 

قُضِيَ بَيْنَهُم بِالْقِسْطِ

maka hukuman pun dijalankan di antara mereka dengan adil

Apabila Rasul telah diberikan kepada sesuatu umat itu dan mereka menentang Rasul itu, maka mereka akan dijatuhkan dengan keputusan azab di azab.

Allah tidak akan mengazab sesuatu umat itu melainkan mereka telah diberitahu tentang tauhid dan apakah yang mereka patut lakukan. Mereka juga telah diberi amaran tentang neraka.

 

وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

dan mereka tetap tidak dizalimi.

Mereka tidak akan di azab melainkan apa yang patut mereka terima. Dan Allah tidak mengazab melainkan sudah diberi peringatan.

Allahu a’lam

Lompat ke ayat yang seterusnya 

====================

Ref: UR, TZ, NAK

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 010: Yunus. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s