Sambutan Mawlid Nabi adalah bidaah dholalah

MENILAI SAMBUTAN MAULID

======================
Abu Bakar RA memerintah selama 2 tahun, dan tidak pernah beliau merayakan Maulid sedangkan beliau adalah Ash-Shiddiq umat ini, dan yang menemani Rasulullah SAW di Gua Thur.
======================
Umar RA memerintah selama 10 tahun, dan tidak juga beliau merayakan Maulid, sedangkan beliau adalah al-Faruq dan panduan umat ini.
======================
Uthman RA memerintah selama 13 tahun, dan tidak juga beliau merayakan Maulid, sedangkan beliau adalah suami kepada 2 puteri Rasulullah SAW, orang melakukan hijrah sebanyak 2 kali, dan yang paling tebal malunya dikalangan umat ini.
======================
Ali RA telah memerintah selama 4 tahun, dan tidak juga beliau merayakan Maulid, sedangkan beliau adalah sepupu Rasulullah SAW dan suami kepada ketua wanita syurga (puteri Rasulullah SAW).
======================
Al-Hasan RA telah memerintah selama 6 bulan, dan tidak juga merayakan Maulid sedangkan beliau ialah cucu Rasulullah SAW dan ketua pemuda ahli syurga.
======================
Selama pemerintahan Muawiyah RA, beliau juga tidak pernah merayakan Maulid sedangkan beliau adalah “raja” yang terbaik dari kalangan “raja-raja Islam”.
======================
Kemudian datanglah Kerajaan Umayyah yang di dalamnya terdapat Umar bin Abdul Aziz, serta Kerajaan Abbasiyyah yang di dalamnya terdapat Harun al-Rashid, dan mereka semua turut tidak merayakan Maulid.
======================
Mereka, sekalian ulama’ Islam, para pencinta Rasulullah SAW yang sebenar, tidak pernah merayakan Maulid Rasulullah sepanjang 3 kurun terbaik umat ini, sedangkan merekalah golongan yang paling berilmu dan memahami agama dan kitab Allah. Bagaimana tidak, merekalah golongan Hamalatul Qur’an dan perawi kepada atsar?
======================
Kami berkata, “Sekiranya (sesuatu amalan itu adalah) baik, maka nescaya golongan ini telah mendahului kami (dalam melakukannya)”.
======================
Dan kami ingin mengungkapkan juga kata-kata Imam Malik, “Sesuatu yang tidak menjadi amalan agama pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat, maka sehingga hari ini ia juga bukan merupakan amalan agama”.
======================
Telah diketahui juga, bahawa tidaklah Rasulullah SAW itu berpindah ke alam kedua (kematian) melainkan Allah telah menyempurnakan agama ini untuknya, dan ini adalah nikmat Allah yang sangat besar buat kamu.
======================
Baginda Rasulullah SAW telah memperingatkan kepada kita dalam sunnahnya agar menjauhi segala perkara baru dalam agama, atau melakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh baginda mahupun para sahabat.
======================
Ketahuilah olehmu – semoga Allah merahmati kamu – sesungguhnya sepanjang 3 kurun terbaik umat ini, mereka sama sekali tidak mengenali apa itu perayaan Maulid, dan dengan itu ketahuilah bahawa ia adalah satu perbuatan bid’ah. Ia direka cipta semasa era Kerajaan Fatimiyyah (di Mesir) semasa dipimpin oleh al-Mu’iz li dinillah (penolong agama Allah), sedangkan sebenarnya dia adalah al-Mudhil li dinillah (penghina agama Allah).

Kerajaan Fatimiyyah ini adalah kerajaan Syiah. Maka, sambutan Mawlid adalah ‘Sunnah Syiah’.
======================
Semasa dia memimpin, dia memimpin dengan menampilkan segala ciri kafir bawwah (yang mengeluarkan pelakunya daripada agama Islam) dan kefasikan yang jelas. Dia menghalalkan arak dan segala kemaluan (melalui nikah pelacuran – mut’ah), sepertimana juga dia telah mengisytiharkan bahawa dia keluar daripada mengikut golongan salaf, mencaci dan mengkafirkan sahabat, serta seluruh tokoh-tokoh Islam. Si celaka inilah yang juga merupakan orang pertama yang merayakan Maulid. Dia telah mencipta 6 Maulid: Maulid Nabi, Maulid Fatimah, Maulid Ali, Maulid Hasan, Maulid Husain, dan Maulid untuk dirinya sendiri.
=====================
Kemudian, datanglah golongan jahil dari kalangan umat Islam yang meneruskan tradisi rekaan golongan Fatimiyyah ini secara buta tuli. Ketahuilah, tidak terdapat sebarang dalil agama yang menyokong golongan penyambut Maulid ini. Apa yang ada hanyalah nas-nas yang mereka salah fahami, atau atsar yang tidak sahih. Jika ada yang sahih, maka di situ sebenarnya tiada apa yang menyokong mereka. Ini
adalah kesilapan besar sebahagian orang Islam semasa yang berlawanan dengan fatwa ulama’-ulama’ besar yang telah pun memutuskan bahawa sambutan Maulid ini adalah bid’ah.
=====================
Kami ingin bertanya kepada golongan penyambut Maulid ini dengan 3 pertanyaan, dan kami benar-benar berharap agar mereka menjawapnya:
=====================
1) Merayakan Maulid ini adalah satu ketaatan kepada Allah atau maksiat kepadaNya?
=====================
Sudah tentu mereka akan berkata “Ketaatan”. Jika mereka mengatakan ia adalah maksiat, maka dengan mudah semuanya selesai.
=====================
2) Baik, jika kamu mengatakan “Ia adalah ketaatan dan kamu akan mendapat pahala dengannya”, maka adakah Rasulullah SAW sendiri mengetahuinya atau tidak?
=====================
Jika kamu berkata “Tidak”, maka sungguh kamu adalah golongan celaka kerana mendakwa Nabi teragung sebagai jahil, dan ini adalah kesesatan yang nyata.
=====================
Jika kamu berkata “Baginda mengetahuinya”, maka ketika itu kami ingin berpindah ke soalan yang ketiga iaitu:
=====================
3) Jika kamu mengatakan “Ia adalah amalan ketaatan yang diketahui oleh Rasulullah SAW”, maka adakah baginda pernah menyampaikannya kepada umatnya?
=====================
Jika kamu mengatakan “Baginda tidak menyampaikannya”, maka ini adakah puncak kejelekan kerana dengannya datang bersama tuduhan “Rasulullah SAW menyembunyikan sesuatu daripada risalah Allah”, sedangkan Allah telah berfirman, {Wahai Rasul (Muhammad SAW), sampaikan segala yang Allah turunkan kepadamu dalam risalah. Jika kamu tidak menyampaikannya, siapa lagi yang akan menyampaikan risalahNya?}”.
=====================
Jika kamu mengatakan “Baginda telah menyampaikannya”, maka kami katakan, “Bawakan dalil. Dimana contoh daripada salaf yang mereka melakukannya? Adakah semua dalil daripada sahabat, tabi’in dan at-ba’ tabi’in sepanjang kurun-kurun yang mulia ini telah hilang? Dan tiada siapa yang meneruskan tradisi ini daripada mereka kecuali para najis-najis Fatimiyyah?
=====================
Jika ia sedemikian rupa, maka kami dengan yakin mengatakan ia adalah bid’ah yang direka. Ini bahkan turut disertakan bersama pelbagai kemungkaran besar dan kecil yang berlaku di dalamnya dengan sangkaan merayakan Maulid? Semoga Allah memberi pertolonganNya kepada umat ini.

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Hujjah. Bookmark the permalink.

2 Responses to Sambutan Mawlid Nabi adalah bidaah dholalah

  1. Zahyi says:

    Kenapa sambutan maulid dikatakan bidaah dholalah?
    Kenapa sambutan hari kemerdekaan tidak dikatakan bidaah dholalah dan tidak dihalang?
    Kenapa sambutan tahun baru tidak dikatakan bidaah dholalah dan tidak dihalang?
    Kenapa sambutan hari pahlawan tidak dikatakan bidaah dholalah dan tidak dihalang?
    Kenapa sambutan hari lahir saya, tidak dilarang oleh mana-mana pihak, sebaliknya disokong
    Kenapa sambutan hari kelahiran Rasulullah saw tidak dibenarkan tetapi hiburan dibenarkan?
    .
    Sambutan maulid diperlukan, seperti mana hari pahlawan diadakan supaya kita mengingati jasa pahlawan, sambutan maulid membolehkan genereasi yang semakin mundur dan cetek ilmu agama tahu akan sirah dan biodata nabi.
    Kerana hiburan lebih menguasai minda generasi zaman sekarang!
    .
    Dipersilakan untuk menghalang hiburan yang meampau sebelum menghalang maulidur rasul yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi peringatan dan kecintaan pada Rasulullah saw.

    • tafsirsunnah says:

      Jawapan kepada Sambutan Mawlid Nabi

      Terima kasih saudara kerana membaca dan bertanya. Dari sabda Nabi, baginda mengatakan bahawa “ubat jahil adalah bertanya”.

      Hujah yang saudara berikan amat logik. Kalau sambutan lain tidak ada masalah, kenapa pula dengan Sambutan Mawlid? Patut lagilah digalakkan, bukan?

      Amat logik. Alangkah senang kalau agama Islam ini pakai logik. Macam-macam lagi kita boleh buat. Macam-macam kita boleh langgar. Tetapi agama Islam tidak begitu. Hujah Agama ini berdasarkan kepada dalil. Kalau tidak perlu kepada dalil, sesiapa sahaja boleh kata apa-apa sahaja dan mengaitkannya dengan agama.

      Dan itulah yang banyak dilakukan oleh golongan agamawan di negara ini. Mereka sudah tidak hiraukan dalil Qur’an & Sunnah dan sebaliknya menggunakan hujah akal. Sebab itulah saya tidak hairan dengan hujah anda kerana memang itulah yang dibawa oleh golongan agama di negara ini.

      Akal bukanlah hujah yang boleh digunakan untuk membenarkan perkara di dalam agama. Akal kita lemah sebenarnya. Ibn Khaldun pernah berkata: “Akal manusia seperti neraca emas”. Ianya bermaksud, akal manusia boleh memikirkan tentang hal-hal keduniaan tetapi tidak mampu untuk memikirkan hal-hal keagamaan. Kerana agama ini memerlukan wahyu dari Allah. Kita tidak dapat faham perkara ghaib kalau Allah tidak beritahu kita.

      Saidina Ali pernah berkata: “kalau ikutkan logik, tentulah kita akan sapu bagian bawah khuf, dan bukan di atasnya”.

      Dalam setiap amalan agama, hendaklah ada dalil seperti firman Allah dalam Isra’:36:

      وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

      Dan janganlah engkau mengikut melakukan apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

      Ayat ini bermaksud, kita akan ditanya dari manakah kita dapat dalil untuk melakukan sesuatu amalan tu. Seperti yang sudah kita tulis didalam posting di atas, Sambutan Maulid Nabi ini tidak ada dalil yang sah. Golongan awal tidak pernah buat.

      Apakah bezanya dengan sambutan hari kemerdekaan, perayaan tahun baru, sambut Harijadi anda dan sebagainya? Bezanya adalah, semua sambutan itu tidak melibatkan amalan dan penambahan di dalam agama. Tidak ada orang yang rasa mereka akan mendapat pahala dengan menyambut hari merdeka, perayaan tahun baru, dan hari jadi mereka. Tetapi sambutan Maulid Nabi adalah satu tambahan baru di dalam agama yang dilakukan oleh mereka yang rasa mereka telah berbuat kebaikan didalam agama dan mereka mengharapkan pahala dalam melakukannya.

      Menambah perkara baru di dalam agama adalah salah dan berdosa sebagaimana sabda Nabi:

      حَدَّثَنَا يَعْقُوبُ حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ سَعْدٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ الْقَاسِمِ بْنِ مُحَمَّدٍ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ رَوَاهُ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ جَعْفَرٍ الْمَخْرَمِيُّ وَعَبْدُ الْوَاحِدِ بْنُ أَبِي عَوْنٍ عَنْ سَعْدِ بْنِ إِبْرَاهِيم

      2499. Telah menceritakan kepada kami Ya’qub telah menceritakan kepada kami Ibrahim bin Sa’ad dari bapaknya dari Al Qasim bin Muhammad dari ‘Aisyah radliallahu ‘anha berkata; Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Siapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini yang tidak ada perintahnya maka perkara itu tertolak”. Diriwayatkan pula oleh ‘Abdullah bin Ja’far Al Makhramiy dan ‘Abdul Wahid bin Abu ‘Aun dari Sa’ad bin Ibrahim. َ

      Itu belum kita bincangkan lagi tentang perkara-perkara mungkar yang dilakukan di dalam sambutan Maulid Nabi itu. Antaranya:

      – Memuja Nabi, bukan memuji lagi.
      – Menceritakan kisah Nabi yang tidak benar
      – Meminta Syafaat dari Nabi
      – Berkomunikasi dengan Nabi macam Nabi hidup dan boleh mendengar lagi
      – Mengamalkan selawat yang direka yang ada antaranya berbau syirik
      – Sekarang kita import pula ‘penyanyi’ Qasidah dari luar, dan Qasidah ini juga adalah bidaah dholalah.

      Setiap satu ini pun ada hujah dan perbincangan, yang mengambil masa juga untuk dijelaskan. Saya nak cuba pendekkan penulisan ini. Tapi cukuplah buat masa ini untuk saya nukilkan larangan Nabi untuk memujinya secara berlebihan:

      Umar bin al-Khattab radhiallahu ‘anh pernah menyebut ketika di atas mimbar, aku mendengar Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Janganlah berlebih-lebihan memuji aku sebagaimana kaum Nasrani (Kristian) berlebih-lebihan memuji (Nabi ‘Isa) ibni Maryam. Ini kerana sesungguhnya aku tidak lain adalah hamba-Nya, maka berkatalah Abdullah dan Rasul-Nya.” [Shahih al-Bukhari, no: 3189/3445 dan 6328/6830]

      Bukanlah kita katakan yang sambut Merdeka, Tahun Baru dan sebagainya itu bagus. Itu pun buang masa sahaja. Perayaan untuk kita orang Islam ada dua sahaja, sebagaimana ada dalam hadis:

      “Ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah, ada dua hari yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka baginda bersabda yang maksudnya: “ Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Hari Adha dan Hari Fitri” (Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasai’)

      Anda katakan bahawa Maulid Nabi perlu kepada generasi kita yang semakin mundur dan cetek pengetahuan tentang Nabi. Itu adalah niat yang murni dan ikhlas. Kita akui.

      Tapi adalah niat menghalalkan cara? Adakah niat baik tapi dengan melakukan perkara dosa, iaitu bidaah?
      Bagaimana anda tahu bahawa Sambutan Maulid ini akan menyebabkan masyarakat cinta kepada Nabi, dan semakin tahu tentang Nabi? Kita lihat selepas sambutan Maulid itu saban tahun, masyarakat macam itu juga. Tidak ada peningkatan langsung. Masih tidak tahu tentang Nabi, masih langgar perintah Nabi sebab tak belajar pun kisah yang benar tentang Nabi. Tak belajar pun hadis Nabi. Masih menentang ayat-ayat Allah yang dibawa oleh Nabi. Masih jahil tentang agama. Nak bezakan bidaah dholalah dan bidaah Hasanah pun tak tahu lagi. Semua bidaah kalau boleh hendak dihasanahkan.

      Sebut tentang bidaah Hasanah, secara ringkasnya, bagaimana anda boleh katakan sesuatu bidaah itu sebagai baik? Neraca apa yang anda pilih? Adakah dengan dalil atau akal kita yang cetek ini?

      Baik, tujuan kita semua adalah untuk kenal Nabi, kenal Islam. Apakah yang perlu dilakukan? Itulah menghidupkan pengajian agama berlandaskan Quran dan sunnah. Ajar dari kecil lagi. Semarakkan pembelajaran tafsir Quran dan hadis Nabi yang sahih. Itulah yang sepatutnya dilakukan. Bukannya rasa dah pandai agama dan selamat selepas sambut Mawlid Nabi, tahlil, Solat Hajat dan sebagainya.

      Memang ada ustaz dan guru agama yang tahu tentang perkara ini. Tapi malangnya, mereka dihalang. Mereka tak dibenarkan mengajar. Yang popular sekarang adalah mereka yang mahukan kebendaan dalam mengajar dan buat amalan-amalan bidaah ini. Anda rasa kepala majlis bidaah seperti Mawlid dan Qasidah itu berkhidmat percuma sahaja? Berapa penganjur bayar kepada mereka? Itulah sebabnya majlis sebegini masih disokong dan dipelopori oleh mereka. Mereka akan kata yang ianya baik dalam agama. Kerana ianya adalah sumber pendapatan yang lumayan untuk mereka. Kalau nak cuba, anda ajak mereka buat majlis tahlil dan kata kepada mereka: “lillahi Taala la ustaz/tok imam, tok bilal etc”. Anda ingat kali kedua anda ajak, mereka nak datang lagi?

      Adakah lebih baik Majlis Majlid dari majlis hiburan yang lain? Tahukah anda bahawa perbuatan bidaah itu lebih teruk lagi dari maksiat? Majlis maksiat memang berdosa tapi ianya tidak seteruk majlis bidaah.

      Kerana mereka yang melakukan maksiat tahu bahawa mereka melakukan dosa. Ada kemungkinan mereka akan bertaubat, sebab mereka tahu apa yang mereka buat itu salah. Tapi mereka yang melakukan bidaah, tidak tahu yang mereka sedang melakukan dosa. Mereka sangka mereka buat perkara baik dalam agama. Maka mereka tidak akan minta ampun atas dosa bidaah mereka itu. Maksiat dan bidaah, sama-sama ada dosa. Bezanya orang buat bidaah tidak minta ampun atas dosa mereka. Bezanya, orang buat maksiat tidak tokok tambah hal agama.

      Allahu a’lam. Maaf kalau saya terkasar bahasa. Semoga anda dapat mendalami lagi ilmu agama dan jumpa kebenaran. Mintalah kepada Allah untuk tunjukkan manakah jalan yang benar. Kami pun begitu juga. Dalam dunia Islam sekarang yang macam-macam pendapat yang berbeza, kita pun kadang-kadang keliru. Apakah kita boleh buat? Dalami ilmu agama dan MINTA kepada Allah untuk tunjukkan mana yang benar.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s