Tafsir Surah Yunus Ayat 34-37

Ayat 34:

10:34
Transliteration

Qul hal min shuraka-ikum man yabdaoalkhalqa thumma yuAAeeduhu quli Allahu yabdao alkhalqathumma yuAAeeduhu faanna tu/fakoon

Sahih International

Say, “Are there of your ‘partners’ any who begins creation and then repeats it?” Say, ” Allah begins creation and then repeats it, so how are you deluded?”

Malay

Bertanyalah (kepada mereka wahai Muhammad): “Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang mula menciptakan sesuatu kejadian kemudian ia mengembalikan adanya semula (pada hari kiamat)? “Katakanlah: Allah jualah yang mula menciptakan sekalian makhluk kemudian Ia mengembalikan adanya semula (untuk menerima balasan); oleh itu, mengapa kamu rela dipalingkan (kepada menyembah yang lain)?”

قُلْ هَلْ مِن شُرَكَائِكُم

Bertanyalah (kepada mereka wahai Muhammad): “Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu,

Asal ayat ini memang ditujukan kepada Nabi Muhammad, tapi sekarang ditujukan kepada kita. Kita pun boleh tanya kepada mereka yang melakukan syirik kepada Allah dengan soalan ini:

 

مَّن يَبْدَأُ الْخَلْقَ

sesiapa yang mula menciptakan sesuatu kejadian

Adakah sesiapa yang boleh memulakan penciptaan? Iaitu mencipta perkara yang tidak pernah ada lagi. Sebagaimana Allah menjadikan alam ini tanpa ada contoh alam lain sebelum ada alam ini. Tidak dijadikan contoh mana-mana alam.

Tidak sama penciptaan kita dengan penciptaan Allah. Manusia pun ada juga mencipta tetapi segala penciptaan manusia bukanlah boleh dikatakan ‘memulakan penciptaan’. Kerana kita tiru sahaja apa yang telah ada. Macam kalau kita cipta kereta, ianya mengikut penciptaan alat pengangkutan yang telah ada. Begitu juga, apabila kita cipta kereta, pakai besi yang Allah ciptakan, getah yang Allah ciptakan dan macam-macam lagi. Maknanya, bukanlah kita cipta dengan sendiri, tetapi kita gunakan ciptaan Allah.

 

ثُمَّ يُعِيدُهُ

kemudian ia mengembalikan adanya semula (pada hari kiamat)?

Adakah ada tuhan yang boleh memulakan kembali proses kejadian itu? Iaitu apabila makhluk itu mati, Allah boleh menjadikan semula makhluk itu. Allah lah sahaja yang boleh memulakan kembali kehidupan selepas kiamat nanti. Yang telah mati, Allah boleh hidupkan kembali.

 

قُلِ اللَّهُ يَبْدَأُ الْخَلْقَ

“Katakanlah: Allah jualah yang mula menciptakan sekalian makhluk

Hanya Allah sahaja yang boleh buat penciptaan yang mula-mula sekali. Kita tidak boleh nak cipta macam Allah cipta.

 

ثُمَّ يُعِيدُهُ

kemudian Ia mengembalikannya semula;

Dan hanya Allah sahaja yang boleh menghidupkan semua makhluk yang telah mati. Tidaklah susah untuk Allah menjadikan semula penciptaan kerana Dia juga yang menjadikan penciptaan itu pada pertama kali. Kalau Allah boleh cipta untuk kali pertama, tentulah Allah juga boleh menjadikannya semula. Tentulah lebih mudah bagi Allah kalau dikira-kirakan.

 

فَأَنَّىٰ تُؤْفَكُونَ

oleh itu, mengapa kamu rela dipalingkan (kepada menyembah yang lain)?”

Kalau hanya Allah sahaja yang boleh mencipta dan menjadikan semula, kenapa sembah selain dari Allah? Kenapa ada yang beramal ibadat kepada selain Allah?

Agama yang lain walaupun mereka tidak kenal nama ‘Allah’, tapi mereka tahu tentang ‘Tuhan yang satu’ yang menjadikan alam ini dan segala makhluk. Cuma nama Allah sahaja mereka sudah tidak tahu. Tanyalah kepada agama-agama lain kalau tidak percaya.

Oleh kerana itu, kenapa mereka tidak hanya sembah Tuhan yang menjadikan alam ini? Apakah hebat entiti-entiti yang lain sampaikan mereka nak sembah juga? Itu adalah kerja yang bodoh.

———————–

Ayat 35:

10:35
Transliteration

Qul hal min shuraka-ikum man yahdeeila alhaqqi quli Allahu yahdee lilhaqqiafaman yahdee ila alhaqqi ahaqqu anyuttabaAAa amman la yahiddee illa an yuhdafama lakum kayfa tahkumoon

Sahih International

Say, “Are there of your ‘partners’ any who guides to the truth?” Say, ” Allah guides to the truth. So is He who guides to the truth more worthy to be followed or he who guides not unless he is guided? Then what is

with you – how do you judge?”

Malay

Bertanyalah (wahai Muhammad): “Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang dengan memberi petunjuk kepada kebenaran? “Katakanlah: “Allah jualah yang memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran; (kalau sudah demikian) maka adakah yang dapat memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran itu, lebih berhak diturut, ataupun yang tidak dapat memberi sebarang petunjuk melainkan sesudah ia diberi hidayah petunjuk? Maka apakah alasan sikap kamu itu ? Bagaimana kamu sanggup mengambil keputusan (dengan perkara yang salah, yang tidak dapat diterima oleh akal)?”

قُلْ هَلْ مِن شُرَكَائِكُم

Bertanyalah (wahai Muhammad): “Adakah di antara makhluk-makhluk: yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu,

Ini adalah hujah kedua yang Allah suruh kita tanya kepada kaum musyrikin.

 

مَّن يَهْدِي إِلَى الْحَقِّ

sesiapa yang boleh memberi petunjuk kepada kebenaran?

يَهْدِي dari segi bahasa literal adalah ‘menggerakkan/membawa sesuatu dari satu tempat ke tempat yang lain’. Dibawa dari satu tempat ke tempat yang lain. Maknanya, ada melibatkan pergerakan. Tidak ada apa yang bergerak sendiri. Setiap benda perlu dibawa oleh sesuatu. Oleh itu, hidayah adalah arahan tentang apakah yang perlu dilakukan. Allahlah yang telah memberi arahan kepada setiap kejadian. Bagaimana makhluk itu hidup dan menjalankan kehidupannya, semuanya adalah arahan Allah. Semua makhluk termasuklah kepada atom yang amat kecil itu pun tertakluk kepada arahan dan kehendak Allah. Semua perlakuan makhluk telah ditetapkan oleh Allah.

Hidayah dalam maksud agama pula adalah membawa seseorang dari kesesatan kepada iman. Dan membawa itu kepada iman itu adalah dengan memberi panduan agama tentang bagaimana menjalani kehidupan kita dalam dunia ini. Adakah entiti lain yang dapat memberi arahan dan panduan tentang kebenaran?

 

قُلِ اللَّهُ يَهْدِي لِلْحَقِّ

“Katakanlah: “Allah jualah yang memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran;

Hanya Allah sahaja yang boleh beri hidayah. Kerana ilmu Allah yang lengkap. Kita tidak ada pengetahuan sepenuhnya. Apa sahaja yang kita tahu, ianya diberi oleh Allah. Kalau kita tidak tahu tanpa pengetahuan yang diberikan Allah, bagaimana kita hendak memberi petunjuk?

Mari kita buat perumpamaan sebagai contoh. Kalau kita beli barang elektronik, tentu kita akan rujuk kepada manual yang diberikan bersama dengan alat itu. Tentulah kita akan pakai manual dari pembuat barang elektronik itu, bukan? Kalau kita pakai manual yang lain, tentu barang itu boleh rosak dan itu adalah kerja yang bodoh. Begitulah perumpamaan hidayah dari Allah. Allah yang menjadikan kita, maka Dialah yang tahu apa yang kita perlukan. Kenapa nak pakai pedoman dari yang selain Allah?

Maka, dalam hal hidayah agama, hendaklah kita mengambil panduan dari Quran dan sunnah, bukan dari selain dari itu. Bukan ambil dengan kitab tulisan manusia, bukan juga dengan kata-kata ulama yang lain dari Quran dan hadis. Bukan kata-kata ustaz yang berdasarkan pendapatnya sahaja atau dia ambil dari sumber yang lain dari Quran dan hadis. Kita hanya mengikut ulama dan ustaz yang memberi pengajaran kepada anak muridnya berdasarkan kepada panduan dari Allah. Dan panduan itu adalah dari Quran dan dari Hadis yang sahih.

Allah sahaja yang boleh membuka hati manusia untuk menerima hidayah. Kita hanya boleh sampaikan sahaja. Samada orang yang disampaikan itu beriman atau tidak, terpulang kepada Allah. Tugas kita adalah menyampaikan dakwah tentang tauhid ini kepada manusia berkali-kali. Mungkin kalau sekali sahaja kita beritahu, dia tidak dapat terima lagi, jadi kita kena ulang. Tapi kita tidak ada upaya untuk membuka hatinya untuk menerima hidayah itu. Allah akan balas pahala kepada kita atas usaha dakwah kita itu, bukan atas kejayaan berapa ramai orang yang mengikut ajakan kita.

 

أَفَمَن يَهْدِي إِلَى الْحَقِّ أَحَقُّ أَن يُتَّبَعَ

maka adakah yang dapat memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran itu, lebih berhak diturut,

Tentulah yang boleh memberi hidayah itu patut diikut dan lebih patut diikuti. Iaitu hendaklah kita ikut panduan yang diberikan oleh Allah.

 

أَمَّن لَّا يَهِدِّي إِلَّا أَن يُهْدَىٰ

ataupun yang tidak dapat memberi sebarang petunjuk melainkan sesudah ia diberi hidayah petunjuk?

Takkan kita nak ikut orang yang tak terpimpin lagi? Antaranya jangan kita ikut kebanyakan ustaz-ustaz di Malaysia ini. Mereka sendiri masih memerlukan hidayah. Mereka itu tidak belajar lagi tafsir Quran, hadis pun tak tahu, oleh itu tentang akidah pun mereka tak tahu. Mereka sendiri tidak beres perkara asas tentang agama. Mereka pun perlu mendapat hidayah lagi kerana mereka sendiri tak belajar lagi tafsir Quran dan hadis. Lalu bagaimana orang sebegini yang kita jadikan panduan? Malangnya orang-orang beginilah yang menjadi ikutan masyarakat kita. Sepatutnya pelajar mereka tanya kepada mereka: “Ustaz dah belajar ke tafsir Quran 30 juzuk? Ustaz dah belajarkah kitab hadis?” Kalau belum lagi, atau mereka kata ‘ambil sikit-sikit’, jadi tahulah kita bahawa mereka itu adalah ustaz yang jahil tentang agama, dan mereka tidak layak lagi mengajar manusia. Kalau mereka ajar juga, itu membawa kepada kesesatan.

 

فَمَا لَكُمْ كَيْفَ تَحْكُمُونَ

Maka kenapakah kamu begini? Bagaimana kamu mengambil keputusan?

Kenapa masih ramai yang belajar agama dengan ustaz yang jahil? Tafsir Quran tak pernah belajar, hadis pun tak belajar, lalu mereka banyak mengajar bidaah kepada manusia. Kerana mereka sendiri tidak faham tentang bidaah. Manusia yang belajar dengan mereka pun memang dah jahil dah, itu sebab mereka datang belajar dengan ustaz-ustaz itu. Maka terus jadi jahil lah masyarakat kita. Oleh sebab itulah, apabila dibawakan ajaran sunnah kepada manusia, mereka menentang, kerana mereka tak pernah dengar sebelum itu. Mereka kata kita pula bawa ajaran salah.

Yang menyedihkan, mereka yang tak belajar pula kata kita salah. Padahal kita sudah belajar, mereka tak belajar lagi pun, tapi mereka kata kita pula yang salah. Inilah yang tidak masuk akal.

———————–

Ayat 36:

10:36
Transliteration

Wama yattabiAAu aktharuhum illathannan inna aththanna layughnee mina alhaqqi shay-an inna Allaha AAaleemunbima yafAAaloon

Sahih International

And most of them follow not except assumption. Indeed, assumption avails not against the truth at all. Indeed, Allah is Knowing of what they do.

Malay

Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.

وَمَا يَتَّبِعُ أَكْثَرُهُمْ إِلَّا ظَنًّا

Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sangkaan sahaja,

Puak syirik dan bidaah hanya menggunakan sangkaan sahaja. Sebagai contoh, mereka agak-agak sahaja yang mereka yang dah mati boleh mendengar kata-kata kita. Itulah sebabnya mereka membacakan talqin kepada orang mati kerana sangkaan salah mereka ini. Adakah fahaman mereka itu berdasarkan dalil? Tidak ada. Tidak ada yang telah mati memberitahu yang mereka ada mendengar kata-kata manusia yang masih hidup. Tidak juga dari ayat-ayat Quran dan tidak juga dari hadis Nabi. Padahal Quran sendiri menyatakan bahawa mereka yang telah mati tidak dapat mendengar seperti yang disebut dalam Fatir:22. Kebanyakan amalan yang mereka lakukan dan fahaman mereka adalah kerana mengikut apa yang dilakukan oleh orang terdahulu sahaja. Mereka agak-agak sahaja bahawa apa yang dikatakan oleh guru-guru agama dan orang-orang terdahulu itu betul belaka.

Itu adalah satu contoh sahaja, banyak lagi contoh-contoh amalan dan fahaman manusia yang berdasarkan kepada sangkaan sahaja.

Mereka yang tidak rasa salah buat bidaah itu adalah kerana mereka tak tahu yang mereka sedang melanggar ayat-ayat Quran. Kerana mereka sendiri tak belajar tafsir Quran. Maka kitalah yang kena sampaikan kepada mereka. Kitalah yang kena dakwah kepada mereka.

Lagi satu hujah yang selalu digunakan mereka, kalau mereka ikhlas dalam amalan bidaah mereka itu, Allah akan terima, walaupun Nabi tak pernah ajar. Ini hujah yang sungguh lemah. Kadang-kadang mereka tahu yang Nabi tidak pernah buat amalan itu, dan Nabi tak pernah ajar. Tapi mereka sangka, dengan ikhlas sahaja, Allah akan terima. Kita tidak tahu dari manakah ajaran ini sampai. Kalaulah ikhlas sahaja yang menjadi syarat untuk diterima sesuatu amalan itu, maka amalan orang kafir yang ikhlas juga boleh diterima. Sebagai contoh, paderi Kristian itu ikhlas dalam menjaga agama mereka dengan amalan mereka. Mereka sanggup tidak kahwin dan tinggal dalam gereja sahaja kerana mereka percaya apa yang mereka buat itu betul dan tentunya mereka ikhlas – kalau tidak, mereka tak sanggup buat apa yang mereka buat itu. Tapi tentulah amalan mereka ditolak kerana amalan itu bukan dari ajaran Allah. Bukan dengan cara yang Allah kehendaki. Maka, kalau amalan kita pun bukan dari ajaran agama Islam, adakah kita sangka yang ianya akan diterima? Tentu tidak. Janganlah pula kita sangka kerana kita orang Islam sahaja, Allah akan terima. Itu sudah mengatakan yang Allah tidak adil. Iaitu amalan salah orang kafir, Dia tidak terima, tapi amalan salah kita, Dia kena terima pula, sebab kita orang Islam. Ingatlah bahawa Allah Maha Adil.

 

إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran sedikit pun.

Tidak ada nilainya sangkaan-sangkaan mereka itu. Lebih-lebih lagi kalau dibandingkan dengan kebenaran. Bayangkan dalam mahkamah dunia pun tak bernilai sangkaan seseorang. Katakanlah kita dipanggil jadi saksi kepada seseorang yang dituduh membunuh, kita pun kata: “saya yakin sungguh dia orang baik, dan saya agak tentu dia tak bunuh orang itu”. Adakah hakim akan terima hujah sangkaan itu? Tentu tidak, kerana tidak bernilai langsung sangkaan dan agak-agak begitu. Samalah juga dalam hal agama.

Maka jangan berpegang dengan sangkaan semata-mata. Kena dapatkan dalil dari sesuatu fahaman atau amalan dalam agama. Kalau kita ditanya di hadapan Allah nanti dari mana kita dapat sesuatu amalan yang kita buat itu, adakah kita sangka yang kita akan selamat dengan mengatakan yang ianya adalah dari sangkaan kita? Adakah kita sanggup nak jawap: “Takkanlah orang dulu-dulu nak masuk neraka?”.

 

إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِمَا يَفْعَلُونَ

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.

Kita tak boleh nak tipu Allah. Allah tahu apa yang kita lakukan. Allah tahu mana amalan syirik dan mana amalan bidaah yang kita lakukan. Takkan kita nak guna hujah yang ianya akan diterima Allah kalau niat kita ikhlas?

———————–

Ayat 37:

10:37
Transliteration

Wama kana hatha alqur-anuan yuftara min dooni Allahi walakin tasdeeqaallathee bayna yadayhi watafseela alkitabi larayba feehi min rabbi alAAalameen

Sahih International

And it was not [possible] for this Qur’an to be produced by other than Allah , but [it is] a confirmation of what was before it and a detailed explanation of the [former] Scripture, about which there is no doubt, from the Lord of the worlds.

Malay

Dan bukanlah Al-Quran ini sesuatu yang boleh diada-adakan oleh yang lain dari Allah; tetapi Al-Quran itu diturunkan oleh Allah untuk membenarkan Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya, dan untuk menjelaskan satu persatu hukum-hukum Syarak yang diwajibkan (atas kamu); tidak ada sebarang syak dan ragu-ragu pada Al-Quran itu tentang datangnya dari Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.

وَمَا كَانَ هَٰذَا الْقُرْآنُ

Dan bukanlah Al-Quran ini

Allah sekarang fokus kepada Quran pula. Memberitahu kepada kita tentang Quran.

 

أَن يُفْتَرَىٰ مِن دُونِ اللَّهِ

sesuatu yang boleh diada-adakan oleh yang lain dari Allah;

Quran itu tidak mungkin boleh direka oleh makhluk. Tidak boleh dibuat oleh makhluk yang lemah akalnya. Ianya hanya dari Allah. Kalau ianya bukan dari Allah, tentulah ada banyak kekeliruan dalam ayat-ayat Quran ini. Tentulah ada kesalahan di mana-mana. Tapi kita yang belajar Quran ini, tidak jumpa lagi manakah bahagian yang salah dalam Quran ini. Dan kita tidak akan berjumpa kerana ianya adalah dari Allah.

 

وَلَٰكِن تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ

Al-Quran membenarkan Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya,

Sebelum Quran turun, telah ada kitab-kitab dari Kalam Allah seperti Taurat, Injil dan Zabur. Sama sahaja perkara berkenaan akidah dan tauhid dalam kitab dulu dan Quran. Quran membenarkan apa yang telah disebut dalam kitab-kitab itu.

 

وَتَفْصِيلَ الْكِتَابِ

dan untuk menjelaskan satu persatu hukum-hukum dalam kitab terdahulu;

Banyak topik-topik yang ada dalam kitab-kitab terdahulu dan Quran memperjelaskannya lagi.

 

لَا رَيْبَ فِيهِ

tidak ada sebarang syak dan ragu-ragu pada Al-Quran itu

Tidak ada mana-mana ayat yang berlawanan antara satu sama lain.

Maklumat yang ada dalam Quran tidak mungkin diketahui oleh makhluk.

Quran diturunkan dalam masa 23 tahun. Tidak ada kekeliruan dalam Quran. Sama sahaja topik dan hukum yang diberikan dari mula sampai habis. Tidak ada pertukaran hukum. Kalau kita menulis karangan, dan kita ambil masa seminggu, tentulah akan ada banyak perubahan yang kita lakukan. Kerana sekejap kita berfikir begini, tapi sekejap kita akan berfikir lain pula. Tapi, walaupun Quran itu diturunkan dalam masa 23 tahun, tidak ada percanggahan atau pertukaran informasi yang diberikan. Kerana ianya dari Allah dan Allah tidak keliru dan berubah fikiran.

 

مِن رَّبِّ الْعَالَمِينَ

datangnya dari Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.

Quran itu datangnya dari Allah, bukan dari makhluk. Allah yang telah menjadikan kita. Dia yang Maha Berkuasa. Jadi, jangan kita ambil sambil lewa sahaja Quran ini. Ianya adalah panduan hidup kita yang diberikan oleh yang menjadikan kita. Kalau kita terima surat pos, kalau kita tidak baca pun, tidak mengapa. Tapi Quran ini telah diberikan khas kepada kita, dari Allah, maka kita kena baca dengan teliti.

Allahu a’lam.

Lompat ke ayat yang seterusnya

=================

Ref: UR, TZ, NAK

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 010: Yunus. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s