Tafsir Surah Yunus Ayat 26-29

Ayat 26:

10:26
Sahih International

For them who have done good is the best [reward] and extra. No darkness will cover their faces, nor humiliation. Those are companions of Paradise; they will abide therein eternally

Malay

Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.

لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا الْحُسْنَىٰ

Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik, dikurniakan ‘kebaikan’

أَحْسَنُوا (Berbuat baik) itu bermaksud, pertama sekali beriman dengan sempurna. Dan untuk beriman dengan sempurna, bermaksud tidak melakukan syirik. Untuk tidak melakukan perbuatan Syirik, kenalah tahu dahulu apakah maksud ‘syirik’ dan manakah perbuatan yang syirik. Dan untuk mengetahui tentang syirik, maka setiap dari kita perlulah mempelajari tafsir Quran kerana hal berkenaan syirik ini banyak diceritakan di dalam Quran. Janganlah kita sedap mulut sahaja berkata “aku tidak syirik” tapi dalam masa yang sama, tidak tahu pun tentang syirik. Bila tidak tahu, maka ada kemungkinan seseorang itu ada melakukan perbuatan syirik tanpa sedar.

Keduanya, amalan yang dilakukan mestilah berdasarkan kepada dalil dari Quran dan hadis Nabi. Bukannya amalan bidaah yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Kalau amalan banyak, tetapi amalannya adalah bidaah, maka itu bukanlah amalan yang baik tapi amalan yang mengundang dosa. Penat sahaja buat amalan itu tapi kena seksa nanti di akhirat.

Kepada mereka yang أَحْسَنُوا (berbuat baik) ini, mereka akan dibalas dengan الْحُسْنَىٰ iaitu bermaksud syurga.

Ahli syurga akan menikmati kenikmatan sepanjang masa. Tidak ada amal ibadat yang perlu dilakukan lagi. Tidak ada malam di syurga, bermaksud tidak ada tidur. Kerana tidak ada matahari dan bulan pun. Kita akan sentiasa jaga kerana aktiviti kita waktu itu adalah menikmati dan memuaskan nafsu kita sahaja dan kalau tidur, tidaklah dapat menikmati nikmat itu. Dan kita tidak akan bosan dengan nikmat yang Allah berikan di dalam syurga itu. Sebagai contoh, kita akan makan dengan banyak sekali. Nafsu makan kita adalah sebesar nafsu makan 1,000 orang supaya kita dapat makan dengan banyak.

 

وَزِيَادَةٌ

serta tambahan lagi

Dari balasan kebaikan yang mereka telah lakukan semasa di dunia, mereka sepatutnya hanya mendapat الْحُسْنَىٰ sahaja. Itu pun sudah besar rahmat yang kita dapat. Tetapi dengan rahmat Allah, Allah beri lebih lagi daripada apa yang mereka sepatutnya terima. Itulah sebabnya Allah sebut tentang ‘tambahan’ dalam ayat ini.

Tambahan yang dimaksudkan ini adalah ‘dapat melihat Allah’. Mereka yang menjadi ahli syurga sahaja yang dapat melihat Allah. Dan ini adalah satu nikmat yang amat-amat besar sekali. Inilah nikmat yang paling besar. Oleh itu, hendaklah kita berdoa setiap hari supaya kita mendapat nikmat ini. Takkan kita tidak teringin untuk melihat Allah? Kita sepatutnya ada simpan niat untuk melihat Allah yang telah menjadikan kita, yang kita puja hari-hari sepanjang hidup kita.

 

وَلَا يَرْهَقُ وُجُوهَهُمْ قَتَرٌ

dan air muka mereka pula tidak diliputi oleh kegelapan

Muka mereka di syurga itu akan berseri-seri. Bukan sahaja dia akan berseri-seri di syurga sahaja, tetapi dari permulaan Hari Kiamat sampailah mereka masuk ke dalam syurga. Maknanya, di Mahsyar lagi muka dah berseri dah.

قَتَرٌ adalah asap hitam yang keluar dari api. Maknanya, mereka akan selamat dari api neraka. Selamat dari api neraka pun sudah dikira satu nikmat dan balasan yang besar juga.

 

وَلَا ذِلَّةٌ

dan tidak ada kehinaan.

Dan muka mereka tidak ditutupi dengan kehinaan.

 

أُولَٰئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ

Mereka itulah ahli Syurga,

Allah menceritakan kebaikan yang kita akan dapat di syurga nanti. Banyak diberitahu dalam Quran tentang nikmat-nikmat dalam syurga. Dan tambahan maklumat ada dalam hadis. Kalau kita jenis manusia yang teringin untuk masuk syurga, hendaklah kita tahu tentang syurga. Tahu serba sedikit apakah nikmat yang diberi dalam syurga. Supaya kita ada motivasi untuk ke sana. Mereka yang langsung tidak tahu, menunjukkan mereka tak minat pun nak masuk syurga.

 

هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.

Apabila dikatakan kekal dalam syurga, bermaksud kita tidak takut yang kita akan dikeluarkan dari syurga itu. Allah telah berjanji yang ahli syurga akan kekal di dalamnya. Ini adalah satu ketenangan yang Allah berikan kepada penghuni syurga. Kalau dalam dunia, katakanlah kita ini orang kaya, adakah jaminan yang kita tetap kaya? Tentu tidak. Tapi kepada ahli syurga, ada jaminan mereka akan kekal di dalam syurga. Itu pun satu nikmat besar juga.


Ayat 27:

10:27
Sahih International

But they who have earned [blame for] evil doings – the recompense of an evil deed is its equivalent, and humiliation will cover them. They will have from Allah no protector. It will be as if their faces are covered with pieces of the night – so dark [are they]. Those are the companions of the Fire; they will abide therein eternally.

Malay

Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding dengannya serta akan ditimpakan kehinaan; tiadalah bagi mereka pelindung dari (seksa) Allah; muka mereka (hitam legam) seolah-olahnya ditutup dengan beberapa bahagian (yang gelap-gelita) dari malam yang gelap-gelita. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

وَالَّذِينَ كَسَبُوا السَّيِّئَاتِ

Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat),

السَّيِّئَاتِ adalah dosa-dosa yang dilakukan. Merangkumi berbagai jenis dosa. Dosa yang paling besar adalah dosa syirik. Selain dari dosa syirik, ada banyak lagi dosa-dosa lain. Antara yang manusia jarang tahu adalah dosa amalan bidaah. Apakah balasan kepada mereka yang melakukan dosa-dosa itu?

 

جَزَاءُ سَيِّئَةٍ بِمِثْلِهَا

balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding dengannya

Mereka akan dibalas dengan kadar yang sama dengan kejahatan yang mereka lakukan. Berbeza dengan kebaikan yang kita lakukan. Kalau kita berbuat baik, kita akan dibalas berganda-ganda tetapi kalau buat jahat, kita hanya dibalas sama dengan kejahatan yang dilakukan. Sekurang-kurang balasan yang akan diberikan kepada kebaikan yang dibuat adalah sepuluh kali ganda dari kebaikan itu. Dan ianya boleh digandakan lebih banyak lagi mengikut kehendak Allah.

 

وَتَرْهَقُهُمْ ذِلَّةٌ

serta akan ditutup dengan kehinaan;

Muka mereka akan hitam kehangusan. Mereka dibalas dengan kehinaan kerana semasa di dunia mereka menghina agama. Apabila tidak taat dan mengikut ajaran agama, itu sebenarnya menghina agama.

Seperti yang telah diberitahu, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka lakukan semasa di dunia. Dan oleh kerana semasa di dunia mereka menghina agama, maka mereka pun akan dibalas dengan kehinaan di akhirat nanti. Semoga Allah selamatkan kita dari perbuatan ini.

 

مَّا لَهُم مِّنَ اللَّهِ مِنْ عَاصِمٍ

tiadalah bagi mereka penyelamat dari Allah;

Sudahlah mereka tidak dapat menyelamatkan diri mereka sendiri, mereka pun tidak ada sesiapa pun lagi yang akan menjadi penyelamat mereka. Perkataan ‘dari Allah’ bermaksud ‘dari seksa Allah’. Tidak ada yang akan menyelamatkan mereka dari seksaan Allah.

Ataupun ayat ini boleh bermaksud mereka tidak akan mendapat pertolongan ‘dari Allah’. Iaitu, Allah tidak akan menolong dan menyelamatkan mereka. Mereka berharap Allah akan menolong mereka tapi tidak sekali-kali. Sebagai contoh, orang yang buat amalan bidaah, mereka sangka mereka dah buat benda yang baik, maka mereka ingat Allah akan selamatkan mereka. Tapi rupanya mereka akan dihukum kerana amalan bidaah adalah perbuatan dosa yang memasukkan manusia dan jin ke neraka. Oleh itu, berhati-hatilah dengan bidaah. Fahamilah apa maksud bidaah dan kenalilah mana amalan bidaah. Dan jangan buat walau satu pun amalan bidaah.

Apabila ada perkataan لَهُم (untuk mereka) dalam ayat ini, ianya adalah penekanan bahawa ahli neraka sahaja yang tidak ada penyelamat dan penolong. Tapi kepada ahli syurga, akan ada عَاصِمٍ (penyelamat) untuk mereka nanti.

 

كَأَنَّمَا أُغْشِيَتْ وُجُوهُهُمْ قِطَعًا مِّنَ اللَّيْلِ مُظْلِمًا

Muka mereka seolah-olahnya ditutup dengan pecahan dari malam yang gelap-gelita.

Di dunia kita boleh tutup kehinaan kita. Kita buat-buat gembira, buat-buat tak kisah. Orang ramai kebanyakannya tidak tahu pun kehinaan yang kita ada. Tapi di akhirat, ianya tidak dapat ditutup. Semuanya akan jelas kelihatan kepada semua yang melihat. Akan ada tanda yang akan diberikan.

 

أُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ

Mereka itulah ahli neraka,

 

هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

mereka kekal di dalamnya.

Kesalahan dosa syirik akan menyebabkan seseorang itu akan kekal dalam neraka. Walaupun semasa hidupnya dia mengaku Islam, mengucap syahadah dan beramal dengan amalan Islam seperti solat dan puasa. Tapi kalau dalam masa yang sama, dia ada mengamalkan amalan syirik, maka dia akan kekal dalam neraka. Inilah bahayanya dosa syirik. Itulah sebabnya kita kena faham betul-betul dengan dosa syirik ini. Supaya kita dapat elak dan dapat beritahu kepada orang lain. Alangkah malangnya kalau kita sangka kita beragama Islam tapi akhirnya masuk neraka dan kekal pula di dalamnya?


Ayat 28:

10:28
Sahih International

And [mention, O Muhammad], the Day We will gather them all together – then We will say to those who associated others with Allah , “[Remain in] your place, you and your ‘partners.’ ” Then We will separate them, and their “partners” will say, “You did not used to worship us,

Malay

Dan (ingatlah) masa Kami himpunkan mereka semua (pada hari kiamat), kemudian Kami berfirman kepada orang-orang musyrik: “Tunggulah di tempat kamu semua, kamu dan makhluk-makhluk yang kamu jadikan sekutu”; sesudah itu Kami putuskan perhubungan baik di antara mereka. Dan berkatalah makhluk-makhluk yang mereka sembah itu (sebagai berlepas diri): “Bukanlah kami – yang kamu puja dan taat (sebenarnya kamu hanya memuja dan mentaati hawa nafsu kamu sendiri)!

وَيَوْمَ نَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا

Dan masa Kami himpunkan mereka semua (pada hari kiamat),

Semua makhluk akan dikumpulkan. Manusia, jin, malaikat, binatang dan lain-lain. Dari makhluk yang mula-mula dicipta sampai yang akhir sekali dimatikan pada Hari Kiamat akan dikumpulkan. Tak dapat dibayangkan betapa ramainya makhluk waktu itu. Kalau kumpulkan orang Islam di waktu Haji pun dah nampak ramai, apatah lagi kalau SEMUA makhluk dari dulu sampai yang akan datang.

 

ثُمَّ نَقُولُ لِلَّذِينَ أَشْرَكُوا

kemudian Kami berfirman kepada orang-orang musyrik:

Ada perutusan khas pula kepada ahli musyrik. Besar sangat dosa yang mereka lakukan sampai mereka akan disebut secara khusus.

 

مَكَانَكُمْ أَنتُمْ وَشُرَكَاؤُكُمْ

“Tunggulah di tempat kamu, kamu dan makhluk-makhluk yang kamu jadikan sekutu”;

مَكَانَكُمْ bermaksud ‘tempat kamu semua’. Dari segi literal, ia bermaksud itu sahaja. Tapi ianya difahami sebagai ‘duduk di sini tempat kamu!’. Orang yang ada autoriti, kadang-kadang tidak perlu cakap banyak. Tak perlu gunakan ayat yang penuh. Lebih-lagi dalam keadaan marah. Sebagai contoh, kalau guru nak beri peperiksaan kepada anak muridnya, dia cuma cakap ‘Exam!’ dan semua anak murid akan diam dan ketakutan.

Ayat ini menceritakan bagaimana golongan musyrik akan dikumpulkan dengan sembahan-sembahan mereka. Waktu itu mereka akan gelisah. Kerana di akhirat, mereka dah mula tahu dan sedar yang apa yang mereka lakukan selama di dunia dulu adalah salah. Mereka tentunya tidak mahu dikaitkan lagi dengan sembahan mereka. Mereka tidak mahu dilihat bersama. Mereka tidak mahu kesyirikan mereka diungkit. Macam kita kalau kita ditangkap buat salah, tentu kita buang alat kesalahan kita. Tentu kita buang apa-apa sahaja yang boleh digunakan sebagai bukti. Kalau kita bunuh orang dengan pisau, tentu kita akan campak pisau itu. Tapi bayangkan kalau pendakwaraya bawa keluar pisau itu di mahkamah? Apa perasaan kita waktu itu?

Yang disembah itu ada macam-macam jenis. Ada makhluk hidup yang disembah dan ada juga makhluk tidak bernyawa seperti berhala, batu, bintang dan sebagainya. Selain dari itu, dari kalangan makhluk itu pula, ada yang tidak suruh mereka disembah dan ada yang memang suruh mereka disembah. Macam Firaun, memang dia suruh kaumnya sembah dia. Semuanya akan dipanggil. Tapi ada mufassir yang mengatakan bahawa yang dipanggil ini adalah makhluk bernyawa yang disembah. Tambahan pula, berhala yang tidak bernyawa seperti berhala telah dimasukkan sebagai bahan bakar api neraka, jadi berhala-berhala itu tidak ada lagi dah. Ini menguatkan pendapat yang mengatakan bahawa sembahan yang disembah adalah makhluk-makhluk bernyawa yang disembah.

Yang disembah itu kadang-kadang adalah orang yang baik-baik. Sebagai contoh, Nabi Isa adalah orang baik. Dia tidak pernah suruh orang menyembahnya. Begitu juga dengan Imam-imam Syiah, tak pernah suruh penganut Syiah sembah mereka. Begitu juga dengan Nabi Muhammad dan Nabi-nabi lain. Termasuk juga dengan para wali dan malaikat. Mereka itu semuanya baik-baik belaka. Tapi kenapa Allah seperti gunakan kata kasar kepada mereka? Bukan salah mereka disembah tapi kenapa mereka kena kumpul sekali dengan puak musyrik itu? Ini adalah kerana Allah hendak menjatuhkan harapan puak musyrik itu. Mereka mengharap sangat kepada sembahan mereka itu boleh menyelamatkan mereka. Tapi lihatlah bagaimana sama sahaja mereka yang disembah itu – kena duduk di hadapan Allah untuk diadili. Kena kumpul sekali dengan mereka. Tidak ada kuasa langsung. Tidak boleh beri Syafaat pun pada mereka rupanya. Apabila yang menyembah melihat begitu, maka habis punahlah harapan mereka. Dulu mereka sangka, Nabi, wali dan malaikat itu boleh beri Syafaat kepada mereka, tapi tidak sama sekali.

 

فَزَيَّلْنَا بَيْنَهُمْ

sesudah itu kami asingkan di antara mereka.

Kemudian Allah akan asingkan antara mereka yang menyembah dan mereka yang disembah. Maknanya, akan nampak jelas mana yang menyembah dan mana yang disembah.

Juga bermakna diputuskan perhubungan antara mereka.

 

وَقَالَ شُرَكَاؤُهُم

Dan berkatalah makhluk-makhluk yang mereka sembah itu (sebagai berlepas diri):

Yang disembah akan berkata. Maka berkatalah para Nabi, para wali dan para malaikat yang dipuja, yang dihadiahkan Fatihah, yang diberi salam kepada mereka dahulu. Apakah yang akan mereka katakan? Adakah mereka akan bersetuju? Adakah mereka akan berterima kasih?

 

مَّا كُنتُمْ إِيَّانَا تَعْبُدُونَ

“Bukanlah kami – yang kamu puja dan taat

Yang menyembah sahaja yang sangka mereka menyembah pujaan mereka itu tetapi sebenarnya tidak. Yang menyembah sahaja yang sangka sedekah Fatihah yang mereka beri itu sampai; mereka sahaja yang sangka salam mereka sampai kepada yang diberi salam itu. Sebenarnya tak sampai pun. Mereka seumpama bertepuk sebelah tangan sahaja.

Sembahan-sembahan yang memang ada suruh mereka disembah pula, tidak akan mengaku yang mereka ada suruh orang lain sembah dulu. Dia cuba mengelak.

Dan yang tidak pernah suruh disembah, akan mengatakan yang bukan mereka yang disembah. Tapi yang sebenarnya yang menyembah itu adalah menyembah diri mereka sendiri dan juga jin syaitan. Ini juga disebut dalam Maryam:82

كَلَّا سَيَكْفُرُونَ بِعِبَادَتِهِمْ وَيَكُونُونَ عَلَيْهِمْ ضِدًّا

Tidak sekali-kali! Bahkan benda-benda yang mereka pertuhankan itu mengingkari perbuatan mereka menyembahnya, dan akan menjadi musuh kepada mereka.

Yang menyembah itu amat memuja sembahan mereka, tapi di akhirat kelak, yang disembah itu sebaliknya akan menjadi musuh mereka. Mereka ingat mereka akan ditolong, sebab dah banyak Fatihah dan salam telah diberi, tentu mereka dapat pertolongan dari sembahan mereka itu. Tapi itu hanyalah sangkaan mereka yang salah sahaja.

Dalam Baqarah:166 juga disebut

إِذْ تَبَرَّأَ الَّذِينَ اتُّبِعُوا مِنَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا وَرَأَوُا الْعَذَابَ وَتَقَطَّعَتْ بِهِمُ الْأَسْبَابُ

(Iaitu) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya segala hubungan di antara mereka.


Ayat 29:

10:29
Sahih International

And sufficient is Allah as a witness between us and you that we were of your worship unaware.”

Malay

“(Allah mengetahui apa yang sebenarnya); oleh itu, cukuplah Allah sebagai saksi antara kami dengan kamu, bahawa sesungguhnya kami tidak menyedari pujaan atau penyembahan kamu (kepada kami)”.

فَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ

oleh itu, cukuplah Allah sebagai saksi antara kami dengan kamu,

Inilah kata-kata mereka yang disembah. Mereka menamakan Allah sebagai saksi mereka. Kerana Allah sahaja yang boleh menjadi saksi kepada mereka yang disembah itu kerana mereka sudah tidak ada lagi apabila mereka disembah. Mereka sudah mati. Macam Nabi Muhammad sekarang dipuja dan manusia melakukan ibadat kepada baginda, padahal baginda telah lama wafat. Begitu juga dengan Nabi Isa dan Nabi-Nabi yang lain. Begitu juga dengan para wali seperti Syeikh Abdul Qadir Jalani, Imam Bukhari, Imam Shafie dan sebagainya. Mereka tak boleh nak halang mereka yang buat ibadat kepada mereka kerana mereka dah lama mati. Dan orang yang mati tidak dapat mendengar dan menegur sesiapa lagi. Mereka sudah hidup dalam alam lain yang jauh dari alam kita.

 

إِن كُنَّا عَنْ عِبَادَتِكُمْ لَغَافِلِينَ

bahawa sesungguhnya kami tidak menyedari pujaan atau penyembahan kamu (kepada kami)”.

Ayat ini memberitahu kita bahawa mereka-mereka yang disembah itu tidak mendengar langsung sembahan-sembahan itu. Mereka tak tahu pun yang mereka disembah. Kerana mereka pun tidak pernah suruh disembah.

Jadi, Nabi, wali dan malaikat yang disembah akan mengatakan sedemikian. Fatihah yang dihadiahkan kepada mereka, tak sampai pun kepada mereka. Mereka tak tahu pun ada orang hadiah Fatihah kepada mereka. Begitu juga dengan salam-salam yang diberikan kepada mereka, mereka tak dengar langsung. Kerana mereka tidak ada berkomunikasi dengan manusia yang hidup lagi dah.

Dalam Ahqaf:5 juga disebut tentang perkara ini

وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّن يَدْعُو مِن دُونِ اللَّهِ مَن لَّا يَسْتَجِيبُ لَهُ إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَهُمْ عَن دُعَائِهِمْ غَافِلُونَ

Dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang memanggil sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak dapat menyahut atau memberikan sebarang pertolongan kepadanya (dari dunia) hinggalah ke hari kiamat, sedang makhluk-makhluk yang mereka sembah itu tidak menyedari seruan mereka itu.

Mereka yang disembah itu tidak dengar dan tidak dapat menyahut pun seruan yang diberikan kepada mereka. Apatah lagi untuk membantu mereka. Disambung dalam ayat 6:

وَإِذَا حُشِرَ النَّاسُ كَانُوا لَهُمْ أَعْدَاءً وَكَانُوا بِعِبَادَتِهِمْ كَافِرِينَ

Dan apabila manusia dihimpunkan (untuk dihitung amalnya pada hari akhirat), menjadilah segala yang disembah itu musuh kepada orang-orang yang menyembahnya, dan segala yang disembah itu juga tidak mengakui serta mendustakan penyembahan mereka kepadanya.

Nabi, wali dan malaikat yang disembah, dipuja, diberi salam dan dihadiah Fatihah itu akan menjadi musuh pula kepada yang menyembah mereka. Yang menyembah dan sedekah Fatihah itu ingat mereka akan ditolong, tapi yang terjadi adalah sebaliknya. Bayangkan dalam mahkamah, kita ingat yang kita selalu tegur akan menjadi saksi sebelah kita, tapi rupa-rupanya dia menjadi saksi untuk pendakwaraya yang menuduh kita pula. Alangkah terkejutnya kita waktu itu. Itulah nanti perasaan orang-orang musyrik nanti.

Oleh itu, siapakah yang sebenarnya yang disembah? Ini diberitahu dalam Saba:41

قَالُوا سُبْحَانَكَ أَنتَ وَلِيُّنَا مِن دُونِهِم بَلْ كَانُوا يَعْبُدُونَ الْجِنَّ أَكْثَرُهُم بِهِم مُّؤْمِنُونَ

Malaikat menjawab: “Maha Suci Engkau (dari adanya sebarang sekutu denganMu). Engkaulah (yang kami hubungi sebagai Pemimpin dan) Pelindung kami, bukan mereka. (Tidak ada hubungan dari pihak kami dengan mereka mengenai penyembahan mereka kepada kami), bahkan mereka adalah menyembah Jin Syaitan; kebanyakan mereka pula percaya kepada Jin Syaitan itu (sebagai sekutu Tuhan yang dipuja dan dipatuhi)”.

Malaikat digunakan sebagai contoh dalam ayat ini, kerana malaikat adalah antara mereka yang disembah selain Allah. Rupanya yang disembah itu adalah jin syaitan rupanya. Setiap kali mereka sedekah Fatihah kepada Nabi, wali dan malaikat itu, seekor jin akan datang berdamping dengan mereka. Maka apabila amalan itu berulang-ulang dilakukan, maka jin yang mendamping mereka akan bertambah-tambah. Beranak pinak Maka tidak hairanlah mereka yang buat amalan salah itu boleh buat perkara-perkara pelik dan nampak perkara pelik – sebab jin dah banyak dalam badan mereka. Antaranya mereka boleh scan jin. Tentulah mereka boleh rasa kehadiran jin, sebab mereka dah banyak jin dalam diri mereka.

Allahu a’lam

Lompat ke ayat yang seterusya

=============

Ref: UR, TZ, NAK

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 010: Yunus and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s