Tafsir Surah Yunus Ayat 23-25

Ayat 23: Dalam ayat sebelum ini, telah disebutkan bagaimana contoh seorang yang dilanda ombak yang kuat di lautan. Dalam keadaan susah begitu, yang tidak boleh harap kepada orang lain dia akan berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Allah. Doanya pun ikhlas sahaja. Doa hanya kepada Allah sahaja. Tapi apakah yang terjadi apabila Allah mengeluarkannya daripada musibah itu?

10:23
Sahih International

But when He saves them, at once they commit injustice upon the earth without right. O mankind, your injustice is only against yourselves, [being merely] the enjoyment of worldly life. Then to Us is your return, and We will inform you of what you used to do.

Malay

Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka, mereka dengan serta-merta merebakkan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar. Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan kamu menderhaka itu hanyalah bala bencana terhadap diri kamu sendiri. (Dengan itu kamu hanya dapat merasai) kesenangan hidup di dunia (bagi sementara); kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya kamu, maka Kami akan memberitahu apa yang kamu telah lakukan.

فَلَمَّا أَنجَاهُمْ

Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka,

Dengan rahmat Allah, Allah selamatkan mereka yang berdoa kepadaNya. Ingatlah bahawa Allah sahaja yang dapat menyelamatkan sesiapa sahaja.

 

إِذَا هُمْ يَبْغُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ

mereka dengan serta-merta melakukan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar.

Mereka buat syirik tanpa dalil. Tidak ada dalil membenarkan perbuatan yang mereka lakukan itu. Banyak contoh-contoh perbuatan syirik kita telah sebut dalam penulisan ini. Mereka yang buat amalan syirik dan bidaah itu tidak mempunyai dalil yang haq. Dalil yang mereka berikan untuk amalan mereka itu adalah dalil yang bathil. Antaranya, mereka akan kata ada dalam kitab itu dan ini. Ketahuilah bahawa itu bukanlah dalil yang sah. Itu adalah dalil yang diberi oleh mereka yang jahil sahaja. Mereka hanya mengikut sahaja apa yang diajar oleh orang-orang dahulu dan itu dilarang oleh Allah.

Dalam ayat sebelum diceritakan bagaimana mereka benar benar berdoa kepada Allah dan berjanji dengan ikhlas yang mereka akan jadi orang baik, orang yang bersyukur. Tapi lihatlah apa yang terjadi. Sepatutnya mereka bersyukur kepada Allah kerana menyelamatkan mereka, tetapi sebaliknya mereka melakukan perbuatan derhaka kepada Allah.

Perkataan يَبْغُونَ dari katadasar بغي yang asalnya bermaksud ‘mahukan sesuatu’. Iaitu mahukan sesuatu yang lebih dari bahagian kita. Oleh kerana hendak sangat, mereka sanggup buat apa sahaja untuk mendapatkannya. Yang kadang-kadang sampai melakukan kezaliman. Kerana disebabkan ianya lebih dari apa yang patut kita dapat, maka kita akan ambil bahagian orang lain.

Tidak ada sesiapa boleh melakukan kezaliman dengan haq. Kerana tidak adil yang membenarkan kezaliman.

 

يَا أَيُّهَا النَّاسُ

Wahai manusia!

Ini adalah ayat yang diberikan kepada semua manusia. Kerana mesej yang disampaikan adalah mesej sejagat.

إِنَّمَا بَغْيُكُمْ عَلَىٰ أَنفُسِكُم

Sesungguhnya perbuatan kamu menderhaka itu hanyalah bala bencana terhadap diri kamu sendiri.

Maknanya, kalau kita derhaka dan zalim, kita sendiri yang akan dapat kesan keburukan darinya. Kita akan dibalas di akhirat kelak kalau tidak dibalas di dunia lagi. Kita tidak dapat lari dari balasan itu. Kita sangka, apabila kita zalim kepada orang lain, kita dapat kelebihan. Contohnya, kita ambil harta orang lain, maka kita sangka kita untung kerana kita akan dapat harta itu. Tetapi berapa banyak sangatkah harta itu kalau dibandingkan dengan azab yang kita akan dapat di akhirat nanti. Ianya langsung tidak berbaloi. Hanya untuk keuntungan di dunia, sanggup kita menanggung azab di akhirat?

 

مَّتَاعَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

kesenangan hidup di dunia (sementara);

Kamu buat segala kesalahan itu kerana tertipu dengan kehidupan dunia. Kita mungkin sangka yang kita dapat keuntungan di dunia dengan berbuat zalim kepada orang lain, berbuat dosa dengan menindas orang lain dan sebagainya, tetapi itu semua adalah keuntungan yang sementara sahaja di dunia.

 

ثُمَّ إِلَيْنَا مَرْجِعُكُمْ

kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya kamu,

Sama ada kita ingat atau tidak kepada Allah, kita akan dikembalikan kepadaNya. Sama ada kita taat atau tidak kepada Allah, kita akan dikembalikan kepadaNya juga. Ingatlah bahawa semua makhluk akan dikembalikan kepada Allah untuk dibalas dengan perbuatan yang mereka lakukan semasa di dunia.

 

فَنُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

maka Kami akan memberitahu apa yang kamu telah lakukan.

Kita akan diberitahu dengan apa yang kita lakukan itu kerana hendak dibalas atas kesalahan yang kita telah lakukan. Bukan hanya nak beritahu sahaja, tapi nak balas sekali.

Bayangkan kita masa di sekolah dulu. Kalau kita buat salah, kita kena panggil ke dalam bilik Guru Besar. Mak ayah kita pun kena panggil juga. Kena panggil itu adalah kerana Guru Besar nak ceritakan balik kesalahan yang kita buat di sekolah. Nak beritahu kepada mak ayah kita. Apakah perasaan kita waktu itu? Rasa tak selesa, rasa takut, rasa bersalah, rasa biarlah bumi terbelah dan kita masuk ke dalam bumi, dan macam-macam lagi bukan?

Itu baru hal dunia yang tidak ada apa-apa. Bayangkan kalau di akhirat nanti. Kesalahan pula bukannya kecil-kecil tapi besar-besar belaka. Dan kesannya bukan setakat balik rumah kena pukul dengan ayah, tapi kita kena masuk neraka dan kena seksa dengan malaikat! Ma sha Allah!


 

Ayat 24: Manusia selalunya berbuat dosa dan kezaliman kerana hendakkan keuntungan di dunia. Mereka tipu orang, tindas orang, buat zalim kepada orang lain dan sebagainya kerana hendakkan kelebihan di dalam dunia. Maka dalam ayat ini Allah jelaskan kepada kita apakah hakikat dunia itu.

10:24
Sahih International

The example of [this] worldly life is but like rain which We have sent down from the sky that the plants of the earth absorb – [those] from which men and livestock eat – until, when the earth has taken on its adornment and is beautified and its people suppose that they have capability over it, there comes to it Our command by night or by day, and We make it as a harvest, as if it had not flourished yesterday. Thus do We explain in detail the signs for a people who give thought.

Malay

Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang – bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni), dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan dia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).

إِنَّمَا مَثَلُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia

Allah berikan contoh bandingan supaya kita senang faham. Ini adalah cara Quran memberikan pemahaman kepada kita.

 

كَمَاءٍ أَنزَلْنَاهُ مِنَ السَّمَاءِ

seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit,

Apabila air hujan turun ke bumi, maka air hujan itu akan diserap ke dalam tanah. Maka tanah itu akan menjadi subur dan sesuai untuk digunakan untuk menumbuhkan tanam-tanaman.

 

فَاخْتَلَطَ بِهِ نَبَاتُ الْأَرْضِ

lalu ia bercampur dengan tanaman-tanaman di bumi

Ada dua makna yang kita boleh ambil dari kata ‘campur’ dalam ayat ini:

1. Tanam-tanaman di bumi itu bercampur baur dengan air hujan yang turun dari langit itu tadi. Tanam-tanaman itu akan menyedut air itu untuk digunakan sebagai sumber kehidupan.

2. Yang dimaksudkan bercampur baur itu adalah tanam-tanaman itu sendiri. Oleh kerana suburnya tanah itu kerana telah disiram dengan air, maka tumbuhan yang tumbuh adalah banyak sangat sampai ia hidup rapat antara satu sama lain dan bercampur antara satu sama lain. Sampai sudah tak tahu satu-satu daun itu dari pokok yang mana satu.

 

مِمَّا يَأْكُلُ النَّاسُ وَالْأَنْعَامُ

dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang

Ada tumbuhan yang dimakan oleh binatang dan ada tumbuhan yang dimakan oleh manusia. Tanam-tanaman itu dimanfaatkan oleh kehidupan-kehidupan dalam dunia ini. Semuanya adalah rahmat pemberian rezeki dari Allah SWT.

 

حَتَّىٰ إِذَا أَخَذَتِ الْأَرْضُ زُخْرُفَهَا

Sehinggalah bumi mengambil perhiasannya

زُخْرُفَهَا bermaksud ‘kecantikannya’. Yang dimaksudkan adalah kecantikan tumbuh-tumbuhan itu. Iaitu kecantikan luaran. Sebagai contoh, orang perempuan apabila hendak keluar rumah, mereka akan mekap diri mereka. Kecantikan ini tidak kekal kerana ianya adalah kecantikan luaran sahaja.

Allah bayangkan dunia mencantikkan dirinya dengan menggunakan kecantikan alam. Dengan berbagai warna dan rupa tanam tanaman yang ada, menyebabkan dunia ini nampak cantik.

 

وَازَّيَّنَتْ

dan ia menjadi indah

Ini hendak menceritakan keindahan bumi ini bila tanam tanaman hidup subur. Bunga yang berbagai warna dan buah-buahan yang berbagai-bagai warna dan rupa. Kita pun suka sahaja melihat alam yang indah itu. Tenang sahaja kita rasa melihatnya. Dengan satu jenis air sahaja, Allah mencipta berbagai bagai jenis tanam-tanaman. Sebelum datangnya air hujan itu, tanah itu mungkin kering kontang dan tandus tanpa ada tanam tanaman. Tetapi selepas Allah turunkan air hujan, pokok-pokok pun tumbuh dan segala kehidupan menjadi banyak dan indah sekali.

Keindahan alam yang permai

 

 

وَظَنَّ أَهْلُهَا أَنَّهُمْ قَادِرُونَ عَلَيْهَا

dan ahlinya pun menyangka bahawa mereka dapat menguasainya (mengambil hasilnya)

Mereka yang dimaksudkan ‘ahlinya’ dalam ayat ini adalah petani-petani, peladang-peladang dan tuan-tuan punya tanah yang subur indah itu. Dalam hati mereka, mereka yakin yang mereka dapat menguasai tanam tanaman itu. Mereka sudah mengira-ngira berapa banyak hasil yang mereka dapat tuai daripada tanah itu. Mereka sangka mereka boleh buat apa-apa sahaja dengan hasil tanah itu. Kerana mereka sangka mereka ada kuasa dengan tanaman itu. Mereka sudah merancang-rancang tanpa terfikir bahawa semuanya itu boleh diambil dari mereka.

 

أَتَاهَا أَمْرُنَا لَيْلًا أَوْ نَهَارًا

datanglah perintah Kami pada waktu malam atau pada siang hari

‘Perintah Allah’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah PerintahNya untuk memusnahkan tanam tanaman itu. Mungkin datang dalam bentuk ribut, taufan, banjir, serangan penyakit, serangan belalang dan sebagainya.

Perintah itu pula boleh datang pada bila-bila masa sahaja sama ada siang ataupun malam. Kalau ianya datang waktu siang, maksudnya ia berlaku di depan mata mereka dan mereka boleh melihat bagaimana hasil mereka dihancurkan begitu sahaja. Kalau ianya datang pada waktu malam, bermakna perintah itu berlaku tanpa pengetahuan mereka pun. Bila perintah Allah datang, ia tidak menunggu sama ada manusia itu bersedia atau tidak. Tidak peduli samada manusia nampak atau tidak.

 

فَجَعَلْنَاهَا حَصِيدًا

lalu Kami jadikan ia hancur-lebur,

Semuanya dihancurkan. Kita sendiri boleh nampak dengan mata kita bagaimana banyak tanaman yang subur tetapi musnah begitu sahaja. Semua itu adalah isyarat dari Allah kepada kita.

 

كَأَن لَّمْ تَغْنَ بِالْأَمْسِ

seolah-olah ia tidak ada sebelum itu.

Allah boleh jadikan tanah yang subur dengan tanam tanaman itu kering kontang dan tandus seperti sebelum datangnya air yang menyuburkan tanah itu.

 

كَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir

Tujuan ayat ini adalah untuk mengingatkan dan beri manusia berfikir bahawa kehidupan dunia ini tidak kekal. Ia boleh datang dan pergi dengan begitu sahaja. Segala yang terjadi dalam dunia ini adalah isyarat daripada Allah. Samada kita nampak atau tidak sahaja. Samada kita berikan perhatian atau tidak.

Jangan sangka yang kita boleh menguasai kehidupan ini seperti sangkaan pemilik tanaman yang sangka mereka berkuasa atas tanaman mereka tadi. Kadang-kadang kita sudah buat segala-galanya untuk memastikan kejayaan di dunia tetapi jikalau Allah tidak takdirkan begitu, ianya tidak akan menjadi. Kita dah pagar ladang kita, dah beri racun serangga, ubat dari penyakit dan sebagainya. Tapi kalau Allah takdirkan ianya akan hancur, segala usaha itu tidak berhasil langsung.

Air hujan didalam ayat ini adalah isyarat kepada rahmat yang Allah berikan kepada manusia. Bila Allah berikan rahmat kepada makhluk, segala-galanya akan nampak indah-indah belaka. Sebagai contoh, katalah kita mendapat kerja yang bagus. Tentu kita rasa suka dan kita rasa kehidupan kita lebih indah dan lebih bermakna. Tetapi ingatlah bahawa kesenangan itu boleh ditarik oleh Allah serta merta.

Begitu jugalah dengan kehidupan kita. Kita lahir, membesar jadi dewasa dan sampai ke usia tua. Seperti tumbuhan yang akhirnya akan layu dan mati, begitulah juga dengan kita. Kita pun setiap hari tahu entah berapa ramai yang meninggalkan dunia ini. Itu adalah isyarat bahawa kita pun akan meninggalkan dunia ini juga.

Pengajaran dalam ayat ini: Jikalau dunia ini hanya untuk sekejap sahaja, maka janganlah habiskan seluruh usaha kita untuknya. Beri yang patut-patut sahaja. Jangan kita lupa amalan untuk bekalan akhirat kita. Bekalan untuk akhirat lah yang perlu dikumpul sebanyak mungkin kerana ianya akan kekal, sedangkan dunia tidak kekal. Jangan hanyut dalam dunia. Memang dunia nampak indah dan kita pun terpesona. Tapi lama kelamaan, ianya akan pudar. Kalau kita dapat kereta baru, memang mula-mula cantik, tapi lama kelamaan ada kemek sana dan sini. Itu tanda yang apa sahaja dalam dunia tidak kekal.

Kalau kita dapat apa sahaja dalam dunia ini, ingatlah kepada SIAPA yang memberikannya kepada kita. Itulah ALLAH! Selalu sangat kita lupa. Kadang-kadang kita lupakan solat kerana hal dunia. Itu bermakna kita melebihkan dunia dari akhirat. Padahal solat itu adalah tanda kita bersyukur dengan nikmat yang kita dapat dalam dunia.


 

Ayat 25: Allah bandingkan kenikmatan dunia dan syurga.

10:25
Sahih International

And Allah invites to the Home of Peace and guides whom He wills to a straight path

Malay

(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu).

وَاللَّهُ يَدْعُو إِلَىٰ دَارِ السَّلَامِ

Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa,

Apabila Allah menyeru, bermaksud Allah mengajak kita. Ada jemputan khas dari Allah.

دَارِ السَّلَامِ adalah ‘syurga’. Ianya dipanggil ‘selamat sentosa’ kerana di sana, kita akan mendapat keamanan yang sempurna. Tidak ada kekurangan langsung di sana. Tidak akan dapat nikmat itu kalau di dunia. Kalau di dunia, ada sahaja barang yang rosak, ada sahaja barang yang luput. Dalam syurga, tidak ada ketakutan akan adanya kekurangan dalam nikmatNya. Tidak ada perasaan takut. Yang ada hanya aman.

Oleh itu, kenapa kita lebihkan kehidupan dunia yang tidak kekal dan banyak kekurangan ini sedangkan kita boleh dapat kehidupan yang kekal abadi yang penuh dengan kesempurnaan?

 

وَيَهْدِي مَن يَشَاءُ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang betul lurus

Untuk masuk ke dalam syurga, maka kita kena ikut petunjuk. Dan dari mana datangnya petunjuk itu? Dari Allah SWT. Kena ikut ajaran dari Allah dan disampaikan oleh Nabi. Bukannya ikut ajaran manusia, tidak kira ulama mana, tok Syeikh mana pun. Ajaran akidah ada diajar oleh Allah dan disampaikan oleh Nabi. Tak perlu nak belajar ajaran akidah rekaan manusia seperti Sifat 20 itu; amalan ibadat juga sudah diajar oleh Nabi, tak perlu nak reka amalan baru. Amalan baru adalah amalan bidaah seperti solat Hajat, Majlis Tahlil dan sebagainya. Hendaklah kita menjauhkan diri dari amalan-amalan bidaah itu.

Dan yang mendapat petunjuk itu adalah sesiapa yang Allah kehendaki sahaja. Semoga kita termasuk mereka yang Allah berikan hidayah itu. Hendaklah kita sentiasa berdoa supaya Allah berikan hidayah kepada kita.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

 

============================

Ref: UR, TZ, NAK.

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 010: Yunus. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s