Tafsir Surah Yunus Ayat 21-22

Ayat 21:

10:21
Sahih International

And when We give the people a taste of mercy after adversity has touched them, at once they conspire against Our verses. Say, ” Allah is swifter in strategy.” Indeed, Our messengers record that which you conspire

Malay

Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat sesudah mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka dengan serta-merta melakukan rancangan mereka menentang ayat-ayat keterangan Kami dengan mendustakannya dan mengingkarinya. Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah lebih cepat melakukan rancangan menentangnya!” Sesungguhnya malaikat-malaikat utusan Kami sentiasa menulis akan rancangan tipu daya yang kamu jalankan itu.

وَإِذَا أَذَقْنَا النَّاسَ رَحْمَةً

Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat

أَذَقْنَا dari katadasar ذوق yang bermaksud ‘merasa sesuatu’. Apabila kita merasa sesuatu, kita akan ‘rasa’ nikmat itu sedikit. Mereka rasa senang sikit, mungkin kerana dapat rezeki dan sebagainya.

 

مِّن بَعْدِ ضَرَّاءَ مَسَّتْهُمْ

sesudah mereka ditimpa sesuatu kesusahan,

Apabila manusia ditimpa oleh kesusahan, mereka akan berdoa kepada Allah untuk mengangkat kesusahan dan musibah itu daripada mereka. Allah dengan rahmatNya boleh mengangkat musibah itu dan menggantikan musibah itu dengan rahmat kepada manusia. Tetapi apakah yang dilakukan oleh manusia apabila musibah itu telah diangkat?

 

إِذَا لَهُم مَّكْرٌ فِي آيَاتِنَا

mereka melakukan rancangan jahat menentang ayat-ayat Kami

Perkataan إِذَا bermaksud ‘serta-merta’. Selepas dapat nikmat itu, mereka akan buat rancangan jahat dengan serta merta.

Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan ‘rancangan jahat’ mereka itu? Sebagai contoh, katakanlah seseorang terperangkap dalam kapal dalam ribut di lautan sampai kapalnya karam. Semasa dia mengharungi ribut itu, dia pun berdoa tanpa henti kepada Allah untuk menyelamatkannya. Kemudian dia pun diselamatkan dan dia dapat kembali ke darat. Berbagai cara Allah boleh selamatkan orang itu. Mungkin Allah beri tong untuk dia berpaut, mungkin Allah berikan papan untuk dia bergantung dan sebagainya.

Bila orang bertanya kepadanya apakah pengalamannya semasa dia dalam ribut itu dan bagaimana dia boleh selamat, lihatlah bagaimana jawapannya. Ada yang berkata: “Nasib baiklah saya berjumpa dengan tong yang menyelamatkan saya. Saya berpaut dengan tong itulah bila kapal saya karam. Kalau saya tidak berjumpa dengan tong ini tentulah saya sudah mati”.

Lihatlah bagaimana pemahaman syirik yang ada pada dirinya. Akidah syiriknya terkeluar pada kata-katanya. Sebenarnya Allah lah yang memberikan tong itu untuk menyelamatkannya daripada karam di lautan. Tetapi lelaki yang selamat itu mengatakan tong itulah yang menyelamatkannya. Sepatutnya dia kata: “syukurlah kepada Allah Ta’ala yang telah menyelamatkan saya dengan memberi tong ini”. Lihatlah perbezaan jawapan yang pertama dan jawapan yang kedua ini.

Asbabun Nuzul ayat ini: Musyrikin Mekah telah mengalami kemarau selepas mereka menolak Nabi Muhammad. Allah telah berikan kemarau kepada mereka untuk menundukkan ego mereka, supaya mereka insaf dan mahu menerima ajakan tauhid. Maka mereka telah menghantar wakil untuk memujuk Nabi supaya berdoa kepada Allah supaya mengangkat kemarau itu. Mereka berjanji yang kalau kemarau itu berhenti, mereka akan beriman. Selepas sahaja Allah mengangkat kemarau itu dari mereka, mereka kembali engkar dan membuat rancangan jahat untuk menjatuhkan Nabi Muhammad dan menentang ayat-ayat Allah. Mereka tak mengaku yang mereka pernah kata yang mereka akan beriman kalau Allah angkat bencana kemarau itu dahulu.

مَّكْرٌ bermaksud rancangan mereka, perbuatan mereka dan kata-kata mereka yang menolak ayat-ayat Allah. Begitulah perangai golongan musyrik dan yang tidak beriman: kalau susah, mereka akan minta tolong kepada Allah. Tapi bila dah selesai masalah itu, mereka terus lupa kepada Allah. Banyak sangat yang buat macam ini.

 

قُلِ اللَّهُ أَسْرَعُ مَكْرًا

Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah lebih cepat melakukan rancangan”

Allah lebih cepat lagi dalam merancang. Apakah maksudnya? Itulah rancangan Allah untuk beri masa kepada mereka untuk melakukan dosa. Allah beri sahaja mereka buat apa yang mereka nak buat. Tapi nanti, bila dah mati, baru mereka tahu apakah salah mereka dan mereka akan diazab dengan sebesar-besar azab. Itulah rancangan Allah dan rancangan Allah pasti akan menang. Rancangan Allah tidak boleh dikalahkan.

 

إِنَّ رُسُلَنَا يَكْتُبُونَ مَا تَمْكُرُونَ

Sesungguhnya malaikat-malaikat Kami sentiasa menulis akan rancangan jahat mereka itu.

Selalunya rancangan jahat dibuat dengan cara sembunyi-sembunyi, bukan? Tapi Allah beritahu dalam ayat ini yang Dia tahu rancangan jahat mereka itu. Tak rahsia mana pun. Mereka sahaja yang ingat rancangan mereka itu tidak diketahui. Bukan sahaja Allah, malah malaikat yang menulis amalan manusia juga tahu apakah rancangan jahat mereka itu.

Ingatlah yang ada malaikat yang sentiasa menulis segala perbuatan kita. Jangan ingat kita akan lepas dari kesalahan kita. Adakah kita ingat kita akan lepas? Tentu tidak. Kita tahu, tapi selalunya kita lupa.


 

Ayat 22: Allah menyambung topik berkenaan mereka yang diberi nikmat tetapi tidak beriman dan tidak bersyukur. Allah beri contoh kapal layar dalam ayat ini.

10:22
Sahih International

It is He who enables you to travel on land and sea until, when you are in ships and they sail with them by a good wind and they rejoice therein, there comes a storm wind and the waves come upon them from everywhere and they assume that they are surrounded, supplicating Allah , sincere to Him in religion, “If You should save us from this, we will surely be among the thankful.”

Malay

Dia lah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): “Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur”.

هُوَ الَّذِي يُسَيِّرُكُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ

Dia lah yang menjalankan kamu di darat dan di laut

Allah lah yang membenarkan kita berjalan dan mengembara dalam alam ini. Allah berikan segala keperluan kita untuk mengembara dan bergerak itu. Sebagai contoh, Allah beri papan untuk buat kapal, Allah beri kain untuk buat layar, Allah beri lautan dan angin untuk menggerakkan kapal layar.
Di daratan, kita bergerak dengan dengan kenderaan daratan seperti kereta dan basikal.
Di lautan, dengan kenderaan seperti kapal dan sampan. Allah kata, Allah yang beri segala itu kepada manusia.

 

حَتَّىٰ إِذَا كُنتُمْ فِي الْفُلْكِ

sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera,

Allah suruh kita bayangkan kita dalam kapal layar sekarang.

Contoh kapal layar

 

 

وَجَرَيْنَ بِهِم بِرِيحٍ طَيِّبَةٍ

dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik,

Allah beri angin yang baik untuk menggerakkan bahtera itu. Angin yang sesuai untuk perjalanan bahtera itu. Ini jenis kapal layar yang menggunakan angin. Tapi walaupun zaman sekarang kapal tidak lagi menggunakan angin, tetapi sedikit sebanyak angin itu membantu. Kalau arah perjalanan kapal itu dibantu oleh pergerakan angin yang menolaknya ke hadapan, pergerakan kapal itu akan lebih cepat lagi.

Allah buat iltifad dalam ayat ini. Iaitu Allah tukar kata ganti. Pada awal ayat, Allah menggunakan kata ganti kedua (كُنتُمْ), seperti Allah berkata-kata dengan kita. Tapi dalam bahagian kedua ayat ini, Allah tukar kepada kata ganti ketiga pula (بِهِم). Ini bukanlah ada kesilapan penulisan dalam Quran pula sepertimana yang didakwa oleh penentang-penentang Quran. Ini memang adalah salah satu dari keindahan bahasa yang digunakan dalam Quran. Teknik ini dinamakan iltifad. Ada maksud tertentu kenapa Quran menggunakan teknik ini.

Kenapa Allah melakukan iltifad dalam ayat ini? Kata ganti kedua digunakan dalam ayat yang menceritakan pemberian nikmatNya. Tapi bila ditukar kepada kata ganti ketiga, ianya hendak menunjukkan ketidaksukaan Allah terhadap mereka dan perbuatan mereka.

 

وَفَرِحُوا بِهَا

dan mereka pun bersukacita dengannya;

Bila angin itu baik, mereka pun suka. وَفَرِحُوا bermaksud suka yang terlebih sangat. Jenis kesukaan yang tidak elok dalam agama. Ianya dipandang negatif sebenarnya. Itulah sebabnya Allah menggunakan kaedah iltifad dalam ayat ini. Apakah yang Allah tak suka? Kerana mereka suka sangat sebab kapal itu bergerak dengan baik dan cepat tapi dalam masa yang sama, mereka dah tak ingat dah kepada Allah. Allah beri angin tapi mereka lupa siapa yang beri angin itu kepada mereka.

Kita juga kadang-kadang atau selalu juga berkelakuan begitu. Sebagai contoh, ingat tak perasaan kita bila sudah menaiki kapal terbang, bukankah kita dah lupa Allah. Mungkin mula-mula sahaja kita baca doa naik kenderaan sebab takut kalau-kalau kapal terbang itu terhempas. Tapi sepanjang perjalanan itu, kita buang masa dengan tengok filem dalam kapal terbang sahaja sampai lupa Allah.

 

جَاءَتْهَا رِيحٌ عَاصِفٌ

tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang,

Cerita yang tadi dalam suasana gembira telah bertukar kepada cerita buruk dengan tiba-tiba. Tadi, angin baik yang membantu perjalanan kapal laut itu, dan sekarang angin yang kencang pula datang.

 

وَجَاءَهُمُ الْمَوْجُ مِن كُلِّ مَكَانٍ

dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru,

Angin itu kencang dan kuat, sampaikan menolak ombak ke arah kapal itu dari semua arah. Kapal itu terbuai-buai dengan kuat sekali.

Keadaan dipukul ombak

 

 

وَظَنُّوا أَنَّهُمْ أُحِيطَ بِهِمْ

serta mereka yakin bahawa mereka diliputi oleh bahaya;

Mereka tahu yang mereka tidak boleh buat apa-apa lagi dah. Dalam keadaan sebegitu, mereka tidak ada kawalan langsung. Mereka tidak boleh kawal angin, kawal ombak atau kapal itu.

 

دَعَوُا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan doa mereka kepadaNya semata-mata

Waktu ini mereka minta kepada Allah sahaja. Mereka tahu mereka hanya boleh berharap kepada Allah sahaja. Tidak ada yang dapat menolong mereka. Waktu itu, doa mereka terus kepada Allah. Dah tak sempat nak tawasul dah. Dah tak ingat mana Nabi, wali dan malaikat yang selalu mereka jadikan perantaraan itu. Dah tak sempat nak panggil Nabi Khidr dah, Syeikh Qadir Jailani dah. Mulut mereka berkata: “Allah, Allah” sahaja. Itulah maksudnya doa mereka ‘ikhlas’ kepada Allah sahaja.

Waktu itu mereka tahu yang mereka tidak boleh mengharapkan kepada sesiapa pun lagi. Dalam keadaan lain, mungkin mereka boleh menghubungi kapal lain ataupun menghubungi pasukan penyelamat. Waktu itu, mereka tak berharap sepenuhnya dengan Allah lagi. Tetapi ada waktu-waktunya yang mereka tahu yang mereka langsung tidak boleh menghubungi sesiapa pun. Pertolongan yang mereka boleh harapkan hanyalah daripada Allah sahaja.

Kadang-kadang Allah letakkan kita di dalam satu situasi yang kita tahu tidak ada manusia ataupun apa-apa sahaja yang boleh menyelamatkan kita kecuali Tuhan sahaja. Supaya kita sedar bahawa pengharapan yang sebenarnya adalah dengan Allah sahaja.

 

لَئِنْ أَنجَيْتَنَا مِنْ هَٰذِهِ لَنَكُونَنَّ مِنَ الشَّاكِرِينَ

(sambil merayu dengan berkata): “Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur”.

Mereka dah insaf dah. Dah berniat nak jadi orang baik dah. Berjanji nak buat perkara baik-baik sahaja. Tak mahu nak buat perkara khurafat dah. Tak mahu nak buat syirik dah. Mereka nak bersyukur sentiasa. Dan memang mereka benar-benar ikhlas waktu itu. Tapi, hanya waktu itu sahaja. Nanti kita lihat apakah yang mereka akan lakukan selepas mereka selamat nanti.

Ayat ini juga mengingatkan kita untuk mensyukuri nikmat alat alat pengangkutan yang Allah telah mudahkan untuk kita. Janganlah kita hanya bersyukur kepada Allah apabila kita selamat daripada malapetaka sahaja. Tetapi hendaklah kita juga bersyukur kepada Allah atas nikmat kemudahan yang telah diberikanNya kepada kita.

Allahu a’lam

Lompat ke ayat yang seterusnya


 

Ref: UR, TZ, NAK

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 010: Yunus. Bookmark the permalink.

2 Responses to Tafsir Surah Yunus Ayat 21-22

  1. Pingback: Transportation | BaytuZuhr

  2. Pingback: Transportation – Baytzuhr

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s