Tafsir Surah Yunus Ayat 18-20

Ayat 18:

10:18
Sahih International

And they worship other than Allah that which neither harms them nor benefits them, and they say, “These are our intercessors with Allah ” Say, “Do you inform Allah of something He does not know in the heavens or on the earth?” Exalted is He and high above what they associate with Him

Malay

Dan mereka menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka berkata: “Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu hendak memberitahu kepada Allah akan apa yang Ia tidak mengetahui di langit dan di bumi (padahal Allah mengetahui segala-galanya)? Maha Suci Allah dan tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan.”

وَيَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللَّهِ

Dan mereka menyembah selain daripada Allah

Musyrikin Mekah dan puak musyrik yang lainnya, menyembah selain Allah.

Kita perlu meluaskan makna ‘sembah’. Sembah bukan sahaja bermakna kita tunduk sujud kepada berhala atau patung, tapi ianya lebih lagi. Ianya bermaksud taat, puja, melakukan ibadat kepada sesuatu. Dari itu, apabila kita beri salam, atau hadiah fatihah kepada sesuatu entiti, itu pun sudah dikira ‘sembah’. Hanya kepada Allah sahaja kita patut buat ibadat, maka kalau kita ada buat ibadat untuk makhluk lain, itu adalah satu kesyirikan. Kerana kita hanya boleh sembah Allah sahaja.

 

مَا لَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنفَعُهُمْ

apa yang tidak dapat mendatangkan kemudharatan kepada mereka dan tidak (pula) boleh memberi kemanfaatan,

Entiti-entiti yang mereka sembah dan buat ibadat seperti hadiah Fatihah dan beri salam pada malam hari itu, bukanlah boleh memberi manfaat atau mudarat kepada mereka. Kalau mereka buat ibadat itu pun, mereka tidak akan dapat apa-apa dan kalau tak buat ibadat yang mereka lakukan itu pun, mereka tidak akan mendapat mudarat. Sia-sia sahaja apa yang mereka lakukan itu.

Nabi Muhammad pun tidak boleh memberi manfaat dan memberi mudarat. Kerana baginda sudah wafat dan tidak ada dalil yang mengatakan yang baginda akan membantu kita selepas baginda wafat. Baginda telah menjalankan tugas baginda menyampaikan Quran dan ajaran agama kepada kita semasa hayatnya. Tetapi sedang berleluasa sekarang fahaman-fahaman sesat yang mengatakan roh Nabi Muhammad masih wujud dan berkeliaran di kalangan kita dan mendengar apa yang kita katakan kepada baginda. Ada Majlis Qasidah, Nabi datang, ada Marhaban, Nabi datang, nak azan kena baca selawat dulu sebab Nabi nak datang. Dan bermacam-macam lagi kepercayaan karut dalam masyarakat kita. Itu semua tidak ada dalil yang sah melainkan agak-agak sahaja. ‘Agak-agak’ tidak ada nilai dalam agama terutama sekali dalam perkara-perkara ghaib dan akidah. Masyarakat kita masih tidak tahu hendak meminta dalil dari mereka yang mengajar. Maka, yang mengajar itu boleh cakap apa-apa sahaja dan masyarakat kita terima bulat-bulat.

Kalau Nabi Muhammad pun tidak boleh beri manfaat atau mudarat, apatah lagi kalau manusia lain? Maka, kalau ada yang beri salam dan hadiah Fatihah kepada wali dan malaikat, itu adalah satu ajaran yang amat salah sekali. Malangnya, ia amat berleluasa sekarang dalam masyarakat kita yang jahil tentang Quran dan agama yang benar. Mereka hanya mengikut apa yang dikatakan oleh guru-guru sesat.

 

وَيَقُولُونَ هَٰؤُلَاءِ شُفَعَاؤُنَا عِندَ اللَّهِ

dan mereka berkata: “Mereka itu adalah pemberi syafa’at kepada kami di sisi Allah”.

Ada sebab kenapa pemuja-pemuja itu melakukan ibadah kepada sembahan-sembahan mereka itu. Inilah kata-kata sesat mereka yang Allah nukilkan dalam ayat ini. Musyrikin Mekah kata berhala yang mereka sembah seperti Latt dan Uzza itu kerana mereka sangka berhala-berhala itu akan memberi Syafaat (pertolongan) kepada mereka nanti. Niat mereka adalah kerana hendak mendekatkan diri dengan Allah sebenarnya. Tapi walaupun niat mereka begitu, tapi kalau cara yang mereka lakukan itu salah, mereka telah melakukan syirik.

Begitu juga, sekarang ini sudah ramai yang ‘memuja’ Nabi Muhammad, mereka nyanyikan Qasidah untuk baginda, beri salam kepada baginda, hadiah Fatihah kepada baginda, dan semua itu mereka lakukan kerana mereka hendakkan Syafaat dari baginda.

Perbuatan yang salah ini lahir dari salah faham manusia tentang Syafaat. Tentang Syafaat ini telah diterangkan dalam ayat-ayat yang lain. Antaranya boleh dibaca dalam ayat Maryam:87

Satu lagi, kekeliruan ini timbul kerana kita telah diajar dengan fahaman salah yang orang mati boleh mendengar cakap kita. Kalau kita lihat dalam filem dan drama pun, dipaparkan bagaimana manusia bercakap-cakap dengan orang dalam kubur. Dan apabila ada orang yang mati, dibacakan talqin kepada mereka seumpama mereka itu boleh mendengar ajaran kita. Itu semua adalah salah sama sekali. Ini berlawanan dengan ayat Fatir:22

وَمَا يَسْتَوِي الْأَحْيَاءُ وَلَا الْأَمْوَاتُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُسْمِعُ مَنْ يَشَاءُ ۖ وَمَا أَنْتَ بِمُسْمِعٍ مَنْ فِي الْقُبُورِ
dan tidak sama orang-orang yang hidup dan orang-orang yang mati. Sesungguhnya Allah memberi pendengaran kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan kamu sekali-kali tiada sanggup menjadikan orang yang didalam kubur dapat mendengar.

Ayat ini memberitahu kepada kita, hanya Allah sahaja yang dapat memberi pendengaran kepada orang yang mati. Tapi, kita tidak sekali-kali dapat memperdengarkan percakapan kita kepada mereka.

Oleh kerana salah faham yang timbul tentang syafaat, maka ramai manusia menyembah entiti selain Allah. Apakah jawapan Allah kepada alasan yang mereka berikan?

 

قُلْ أَتُنَبِّئُونَ اللَّهَ بِمَا لَا يَعْلَمُ

Katakanlah: “Apakah kamu mengabarkan kepada Allah apa yang tidak diketahui-Nya

Adakah kamu nak mengajar Allah? Adakah ada perkara yang kamu tahu yang Allah sendiri tidak tahu? Adakah kamu pandai sangat? Lihatlah bagaimana sinisnya teguran Allah kepada mereka.

 

فِي السَّمَاوَاتِ وَلَا فِي الْأَرْضِ

baik di langit dan tidak (pula) dibumi?”

Adakah mereka nak mengajar Allah cara beribadat? Adakah mereka nak beritahu kepada Allah bahawa ada pemberi Syafaat di langit dan di bumi yang Allah tak tahu? Sebab mereka cakap perkara yang Allah tak pernah cakap, adakah mereka lebih tahu dari Allah?

Maknanya, ayat ini memberitahu kepada kita, kalau Allah tak pernah cakap begitu, tak pernah ajar kita buat macam begitu, maknanya ia tidak ada. Janganlah guna akal dan agak agak sahaja. Sebagai contoh, adakah Allah atau Nabi ajar kita untuk selawat dan Qasidah beramai-ramai? Adakah Allah atau Nabi ajar kita untuk buat majlis Maulid? Janganlah beri dalil dengan menyebut Syeikh ini atau Syeikh itu kata ianya boleh, ianya molek. Kalau ada, datangkan dalil dari Quran dan hadis kerana itulah pegangan kita.

Selain dari itu, ayat ini juga menempelak pemahaman syafaat yang salah di kalangan manusia. Syafaat itu adalah pertolongan dalam bentuk recommendation. Pemberi syafaat akan tolong dengan meminta pertolongan Allah untuk belas kasihan kepada seseorang yang diberikan bantuan itu. Untuk sesiapa beri recommendation kepada kita, hendaklah orang itu tahu sesuatu yang kita tidak tahu. Sebagai contoh, seorang pengurus memberitahu kepada pemilik syarikat yang seorang pekerja itu patut naik pangkat kerana dia seorang yang rajin. Mungkin pemilik syarikat itu tidak tahu kerajinan pekerja itu dan kerana itulah ia perlu diberitahu oleh pengurus. Tetapi didalam hal syafa’at, apakah lagi yang boleh diberitahu oleh pemberi syafaat itu kepada Allah sedangkan Allah tahu apa yang berlaku di langit dan di bumi? Allah telah tahu tentang semua makhlukNya. Tidak ada perkara lain lagi yang boleh diberitahu tentang seseorang melainkan Allah telah tahu belaka.

Oleh itu, pemahaman syafaat mereka itu adalah salah.

 

سُبْحَانَهُ وَتَعَالَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dan apa yang mereka mempersekutukan (itu).

Allah tidak memerlukan sekutu-sekutu dalam pentadbiran alam ini. Allah tidak memerlukan pemberi-pemberi syafaat untuk menyelamatkan sesiapa pun. Pemberi-pemberi syafaat itu tidak boleh memaksa Allah dalam membuat keputusan. Allah Maha Tinggi dari pemahaman yang mengatakan Dia bersifat seperti manusia biasa. Kalau dengan manusia, bolehlah untuk kita pujuk atau paksa dia, tapi tidak dengan Allah.


 

Ayat 19: Kadang-kadang selalu kita berdakwah dan kena tolak, maka kita pun terfikir alangkah baiknya kalau Allah jadikan semua umat ini sebagai satu ummat sahaja. Iaitu ummat yang dalam satu akidah sahaja, tidak berpecah belah. Kita rasa kalau semua manusia menjadi satu ummat, kita fikir yang semuanya akan bersatu padu. Tidaklah nanti kita susah dalam berhujah dan berlawan dengan mereka agaknya. Allah jawab dalam ayat ini:

10:19
Sahih International

And mankind was not but one community [united in religion], but [then] they differed. And if not for a word that preceded from your Lord, it would have been judged between them [immediately] concerning that over which they differ.

Malay

Dan (ketahuilah bahawa) manusia pada mulanya tidak memeluk melainkan ugama yang satu (ugama Allah), kemudian (dengan sebab menurut hawa nafsu dan Syaitan) mereka berselisihan. Dan kalau tidaklah kerana telah terdahulu Kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga hari kiamat), tentulah telah diputuskan hukuman di antara mereka (dengan segeranya di dunia) mengenai apa yang mereka perselisihkan itu.

وَمَا كَانَ النَّاسُ إِلَّا أُمَّةً وَاحِدَةً

Manusia dahulunya adalah satu umat,

Umat manusia ini memang umat yang satu dari dahulu lagi. Iaitu semasa zaman Nabi Adam a.s. Kemudian mereka berpecah dan lari akidah mereka pada zamaan Nabi Nuh. Tapi kemudian, mereka kembali menjadi umat yang satu. Ingatlah apabila turunnya pengikut-pengikut Nabi Nuh dari bahtera baginda selepas Banjir Besar. Waktu itu semuanya beriman belaka dan tidak melakukan syirik. Tidak ada yang buat syirik dan tidak juga mereka buat bidaah. Ada riwayat yang kata dalam 40 orang, dan ada pula riwayat yang kata dalam 80 orang.

 

فَاخْتَلَفُوا

kemudian mereka berselisih.

Tetapi, lama kelamaan keturunan Kaum Nabi Nuh yang beriman itu akhirnya berpecah belah dan berselisih juga. ‘Perselisihan’ itu bermaksud ada yang beriman ada yang kufur.

Umat Islam dari dulu sampai sekarang pun ada banyak perselisihan. Antara sesama Islam pun banyak perselisihan. Sebagai contoh, puak Sunnah mengatakan bahawa orang yang mati tidak boleh mendengar. Ini berdasarkan dalil-dalil yang sahih. Tetapi sebaliknya puak ahli bidaah mengatakan yang orang yang sudah mati boleh pula mendengar. Ini adalah perselisihan yang jauh berbeza yang tidak ada titik persamaan langsung antara keduanya. Bagaimana mungkin dua-dua pendapat itu benar sedangkan ianya jauh berbeza? Tentu ada satu pendapat sahaja yang betul, bukan? Itu baru satu perselisihan, dan ada banyak lagi perselisihan yang timbul antara yang benar dan yang batil.

Oleh kerana ada perselisihan sebegini, maka kita hendaklah mencari manakah pandangan yang betul. Maka hendaklah kita mencari ilmu dan belajar sampai kita yakin mana satu kah pegangan yang betul. Tidaklah boleh kita biarkan sahaja dan duduk tanpa berbuat apa-apa. Sebab ini adalah perkara agama dan kita kena pastikan manakah yang betul. Kerana pegangan yang salah akan menyebabkan kita masuk neraka dan kita tentu tidak mahu masuk neraka, bukan?

Malangnya yang ramai dalam negara ini adalah ahli bida’ah dan mereka bukan sahaja tidak mahu mencari kebenaran, tetapi mereka mencaci kita pula apabila kita memberitahu mereka mana yang benar kepada mereka. Mereka hanya ambil jalan mudah dengan menerima sahaja apa kata guru-guru dan ustaz mereka. Mereka tidak minta dalil manakah yang dipakai oleh guru mereka. Mereka tidak mahu guna akal mereka. Mereka biarkan akal mereka ditetapkan oleh orang lain.

Ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa umat manusia di dunia ini memang ditakdirkan pasti akan ada perselisihan antara mereka. Tidaklah perlu hairan lagi dan tidaklah kita risau apabila melihat perpecahan antara manusia ini. Memang ianya akan terjadi. Dan ingatlah bahawa ini memberi peluang kepada kita mengaut pahala berdakwah kepada mereka. Kalau semua umat manusia ini beriman dan sunnah belaka, maka siapakah yang hendak kita dakwahkan lagi?

 

وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ

Kalau tidaklah kerana suatu ketetapan yang telah ada dari Tuhanmu dahulu,

Mungkin kita tertanya-tanya: Kenapakah Allah tidak memusnahkan terus mereka yang melakukan syirik? Bukankah Allah telah memusnahkan kaum-kaum terdahulu yang telah melakukan syirik, seperti kaum Nabi Nuh itu? Kenapa sekarang ini walaupun banyak kesyirikan dilakukan manusia, tapi Allah seperti biarkan sahaja?

Allah tidak memusnahkan terus mereka yang melakukan syirik kerana Allah telah menetapkan sesuatu ke atas DiriNya. Ketetapan yang Allah telah tetapkan itu adalah Dia akan melewat-lewatkan azab ke atas manusia. Allah tidak terus musnahkan sahaja mereka yang melakukan syirik. Allah lewatkan azab ke atas mereka sampai mereka mati nanti. Allah beri peluang kepada manusia untuk bertaubat. Itu adalah salah satu dari rahmat Allah. Hanya apabila mereka tidak bertaubat, barulah mereka akan diazab di akhirat kelak.

Banyak kali ayat ini diulang-ulang di dalam Qur’an.

 

لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ

pastilah telah diberi keputusan di antara mereka,

Kalau Allah memberi terus azab kepada manusia apabila mereka buat syirik atau buat dosa, maka akan matilah semua manusia kerana tidak ada manusia yang tidak berdosa.

 

فِيمَا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

tentang apa yang mereka perselisihkan itu.

Kalau Allah matikan semuanya, tentulah perselisihan yang mereka hadapi itu akan selesai belaka. Tapi bukanlah begitu cara Allah. Allah tidak matikan manusia walaupun mereka berdosa atau melakukan syirik sekalipun.


 

Ayat 20:

10:20
Sahih International

And they say, “Why is a sign not sent down to him from his Lord?” So say, “The unseen is only for Allah [to administer], so wait; indeed, I am with you among those who wait.”

Malay

Dan mereka yang ingkar itu berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) satu mukjizat dari Tuhannya? “Maka jawablah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya perkara yang ghaib itu tertentu bagi Allah; oleh itu tunggulah (hukuman Allah), sesungguhnya aku juga di antara orang-orang yang menunggu.

وَيَقُولُونَ

Dan mereka berkata:

Yang berkata itu adalah puak musyrikin Mekah.

 

لَوْلَا أُنزِلَ عَلَيْهِ آيَةٌ مِّن رَّبِّهِ

“Mengapa tidak diturunkan kepadanya (Muhammad) suatu keterangan (mukjizat) dari Tuhannya?”

Mereka mencabar Nabi untuk mengeluarkan mukjizat. Mereka kata, kalau Nabi itu Rasul, tentulah dia boleh mengeluarkan mukjizat. Antaranya mereka mahu supaya bumi Mekah yang kering kontang itu menjadi subur kehijauan. Banyak kali ayat-ayat sebegini dikeluarkan dalam Quran kerana mereka minta Nabi keluarkan mukjizat berkali-kali.

Perkataan آيَةٌ dalam ayat ini bermaksud ‘mukjizat’. Memang Nabi Muhammad ada diberikan mukjizat. Tapi mukjizat itu bukan ikut kehendak manusia. Yang diminta adalah mukjizat ikut kehendak mereka. Allah tidak ikut kehendak manusia sebegitu. Dan Allah tahu yang nanti kalau diberikan dengan mukjizat itu, tentunya mereka akan minta mukjizat yang lain pula.

Tentang mukjizat. Mukjizat itu berlaku kepada Nabi sahaja. Ianya bukan boleh dibuat atau dilakukan dengan kehendak Nabi. Allah yang tetapkan bila ianya boleh berlaku. Sebagai contoh, hanya apabila Allah suruh Nabi Musa memukul laut, barulah laut itu terbelah. Kalau Nabi Musa suka-suka ketuk laut itu dengan tongkat itu, tentulah tidak terbelah laut itu.

Masyarakat kita tidak ada masalah sangat dengan Mukjizat kerana tidak terjadi dah sekarang. Tapi ramai yang salah faham tentang Karamah. Sepertimana Mukjizat berlaku kepada Nabi dan Rasul, Karamah terjadi kepada para wali. Dan sebagaimana mukjizat tidak boleh dilakukan dengan kehendak Nabi, Karamah juga tidak dapat dilakukan dengan kehendak para wali itu. Ianya terjadi jikalau Allah kehendaki. Kalau seseorang guru itu boleh melakukan sesuatu perkara ajaib dengan kehendaknya, ketahuilah yang itu bukanlah karamah, tapi itu adalah sihir.

Tapi, masyarakat kita yang jahil, tidak dapat membezakan manakah yang karamah dan manakah yang sihir. Mereka sanjung tinggi guru-guru yang boleh buat perkara ajaib. Kalau kaum musyrikin Mekah mahu Nabi tunjukkan mukjizat, masyarakat kita hendakkan guru boleh keluarkan benda ajaib, baru mereka nak percaya. Kalau ada yang boleh buat, mereka akan ikut tanpa soal lagi dah. Itulah sebabnya ramai juga yang percaya kepada Ayah Pin kerana Ayah Pin boleh buat macam-macam. Mereka tak tahu nak bezakan manakah karamah dan manakah sihir.

 

فَقُلْ إِنَّمَا الْغَيْبُ لِلَّهِ

Maka katakanlah: “Sesungguhnya yang ghaib itu kepunyaan Allah,

Perkara-perkara ghaib, termasuklah mukjizat adalah hak Allah semata-mata. Allah sahaja yang boleh menentukan apakah yang akan ditunjukkan kepada manusia dan bilakah ia akan ditunjukkan. Nabi Muhammad sendiri pun tidak mempunyai keputusan di dalam perkara ini.

Jadi, kita sebagai manusia tidak ada kuasa dalam mengetahui perkara ghaib. Oleh kerana itu, amalan scan jin tidak boleh dilakukan. Kalau ada yang boleh scan jin, itu bermaksud mereka sendiri telah berkawan dengan jin.

Amalan Scan Jin yang banyak berleluasa sekarang. Jangan terlibat dengan mereka ini.

 

Ghaib itu ada beberapa jenis:
1. Benda kita tak nampak. Macam jin dan juga malaikat.
2. Masa hadapan. Kecuali seperti yang diajar kepada Nabi Khidr. Ianya hanya diberikan kepada baginda sahaja. Jadi, kalau puak tarekat nak dapat Ilmu Laduni, itu adalah salah dan sia-sia sahaja.
3. Perkara yang telah berlaku dahulu.
4. Boleh berkomunikasi dengan orang atau makhluk mana-mana yang tidak ada di hadapan kita, kecualilah kalau guna teknologi seperti internet dan telefon.

Oleh kerana semua itu adalah dalam perkara ghaib dan ianya hanya milik Allah sahaja, maka kalau ada yang mengaku mereka tahu ilmu ghaib, itu bermakna mereka telah syirik kepada Allah. Kerana mereka telah ambil kuasa dan hak Allah dan itu adalah syirik.

 

فَانتَظِرُوا

sebab itu tunggu (sajalah) olehmu,

Tunggu yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘tunggu mati’. Dengan segala dalil yang telah diberi kepada mereka dan mereka masih juga tidak mahu terima, maka tunggulah apa yang akan terjadi.

Allah tidak memberikan mukjizat yang mereka minta itu kerana walaupun ditunjukkan dengan mukjizat, Allah telah tahu mereka tidak akan beriman. Dengarlah firman Allah di dalam Isra’:59

وَمَا مَنَعَنَا أَن نُّرْسِلَ بِالْآيَاتِ إِلَّا أَن كَذَّبَ بِهَا الْأَوَّلُونَ وَآتَيْنَا ثَمُودَ النَّاقَةَ مُبْصِرَةً فَظَلَمُوا بِهَا وَمَا نُرْسِلُ بِالْآيَاتِ إِلَّا تَخْوِيفًا

Dan tiada yang menghalang Kami dari menghantar turun mukjizat yang mereka minta itu melainkan telah didustakan oleh kaum-kaum yang telah lalu; dan di antaranya Kami telahpun memberikan kepada kaum Thamud unta betina sebagai mukjizat yang menjadi keterangan yang nyata, lalu mereka berlaku zalim kepadanya; dan biasanya Kami tidak menghantar turun mukjizat-mukjizat itu melainkan untuk menjadi amaran (bagi kebinasaan orang-orang yang memintanya kalau mereka tidak beriman).

 

إِنِّي مَعَكُم مِّنَ الْمُنتَظِرِينَ

sesungguhnya aku bersama kamu termasuk orang-orang yang menunggu.

Kalau mereka tidak mahu percaya juga, maka tunggulah apakah yang akan terjadi. Dan Nabi Muhammad pun disuruh beritahu yang baginda juga akan menunggu bersama mereka. Sama-sama tunggu dan lihat apakah yang akan terjadi.

Ayat ini diberikan dalam nada ancaman kepada musyrikin Mekah dan juga orang-orang musyrik yang berpandangan seperti mereka.

Allahu a’lam.

Lompat ke ayat yang seterusnya


 

Ref: UR, TZ, NAK

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 010: Yunus. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s