Tafsir Surah Yunus Ayat 11-14

Ayat 11:

10:11
Sahih International

And if Allah was to hasten for the people the evil [they invoke] as He hastens for them the good, their term would have been ended for them. But We leave the ones who do not expect the meeting with Us, in their transgression, wandering blindly

Malay

Dan kalau Allah menyegerakan bagi manusia azab sengsara yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan nikmat kesenangan, nescaya binasalah mereka dan selesailah ajal mereka. Oleh itu, (Kami tidak menyegerakan azab yang dimintanya), Kami biarkan orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami itu meraba-raba dalam kesesatannya.

وَلَوْ يُعَجِّلُ اللَّهُ لِلنَّاسِ الشَّرَّ

Dan kalau sekiranya Allah menyegerakan kejahatan (yang mereka minta) bagi manusia

‘Kalaulah Allah menyegerakan’ – ini bermaksud, Allah tak segerakan, Allah cuma cakap *kalau* Dia segerakan. Allah nak beritahu kepada kita apakah kesannya kalau Allah buat begitu.

يُعَجِّلُ dari katadasar عجل yang bermaksud cuba untuk ‘mendapatkan sesuatu sebelum masanya’. Sebagai contoh, kalau ikut proses normal kalau kita order sesuatu barang, dua hari baru dapat. Tetapi kita cuba untuk mendapatkan barang itu dalam masa sehari. Itulah dinamakan عجل. Boleh juga diterjemahkan sebagai ‘tergesa-gesa’.

الشَّرَّ bermaksud ‘keburukan’. Boleh bermaksud keburukan untuk dirinya. Kadang-kadang manusia mendoakan keburukan untuk diri mereka sendiri. Bagaimana pula begini?! Lihatlah kadang-kadang, ada manusia yang semasa menghadapi masalah yang mereka sudah tak sanggup hadapi, mereka ada yang berdoa begini: “Alangkah elok kalau aku mati sahaja….” Itulah doa meminta keburukan untuk diri sendiri. Ataupun, kadang-kadang, kita marah sangat kepada seseorang sampaikan kita mendoakan keburukan untuk orang itu. Ini adalah dua contoh bagaimana manusia meminta disegerakan keburukan kepada diri sendiri dan ini tidak baik. Nabi telah larang kita dari berbuat begini.

Kita sebagai IbuBapa pun janganlah mendoakan keburukan kepada anak kita kalau anak kita buat perangai. Sebaliknya kenalah kita mendoakan kebaikan kepada mereka. Kerana kita tidak tahu bilakah doa kita akan dimakbulkan. Alangkah ruginya kalau waktu kita katakan yang buruk kepada anak kita, Allah makbulkan doa itu?

Apakah yang akan terjadi kalau Allah makbulkan doa-doa mereka ini yang meminta keburukan disegerakan itu? Sebagai contoh, kalau Allah makbulkan doa mereka yang mahu dimatikan sahaja, entah berapa ramai manusia akan mati begitu sahaja, bukan? Tapi, kerana rahmat Allah, Allah tidak makbulkan. Kerana mereka minta itu bukanlah mereka benar-benar hendakkan keburukan itu. Mereka minta dalam keadaan tidak sedar. Mulut sahaja cakap macam tu.

Selain dari itu, perkataan الشَّرَّ juga boleh ditafsirkan sebagai ‘kesan buruk’ dari dosa yang dilakukan oleh manusia. Kalaulah Allah terus beri azab kepada manusia atas dosa mereka, tentulah tidak ada lagi tinggal manusia di dunia ini. Sebagai contoh, kalau ada yang buat dosa besar dan dia terus dimatikan, entah berapa ramai orang yang akan mati. Siapa pula yang akan tinggal di dunia ini? Ataupun, kalau ada yang berkata tidak benar dan Allah kelukan lidahnya, entah berapa orang yang tidak dapat bercakap-cakap atau jadi bisu terus. Maka sebab itulah Allah tidak mempercepatkan balasan azab kepada dosa yang manusia lakukan.

 

اسْتِعْجَالَهُم بِالْخَيْرِ

seperti permintaan mereka untuk menyegerakan kebaikan,

Dalam kita meminta doa kepada Allah untuk kebaikan, kita sentiasa mahu Allah segera berikan kebaikan itu kepada kita. Macam tak sabar-sabar nak dapat. Kalau boleh, nak waktu itu juga.

Bagaimanakah kalau Allah mempercepatkan balasan azab atau Allah memperkenankan doa manusia untuk keburukan orang lain sebagaimana mereka mahu kebaikan diberikan segera kepada mereka? Tentulah habis manusia di alam ini. Alam ini tidak memerlukan manusia. Maknanya, kalaulah manusia pupus, tidak ada seorang pun, alam ini masih masih boleh berfungsi. Manusia, adalah satu-satunya makhluk yang tidak diperlukan di alam ini. Kalau ada binatang-binatang atau serangga yang pupus, tentu ada kesan kepada flora dan fauna dalam alam ini. Tapi, kalau manusia tidak ada, tidak ada apa-apa kesan pun.

 

لَقُضِيَ إِلَيْهِمْ أَجَلُهُمْ

pastilah diakhiri umur mereka.

Kalau disegerakan keburukan kepada manusia, tentulah tidak ada manusia yang hidup di dunia ini. Kerana ajal mereka akan disampaikan. Tentu manusia akan rosak binasa kerana dosa-dosa yang mereka telah lakukan dan kerana doa-doa mereka untuk keburukan diri sendiri dan keburukan orang lain tu dimakbulkan Allah. Tentulah semua manusia akan mati.

 

فَنَذَرُ الَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَاءَنَا

Maka Kami biarkan orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami,

Sekali lagi Allah menyebut tentang mereka yang tidak mengharap untuk bertemu denganNya.

 

فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ

bergelimangan di dalam kesesatan mereka.

Allah biarkan mereka terus melakukan kesalahan dan dosa. Allah tidak terus beri azab kepada mereka. Allah tak terus balas semasa mereka di dunia. Sebagai contoh, tidaklah orang-orang Hindu yang menyembah berhala mereka itu mati kesakitan selepas mereka memuja berhala mereka.

Orang-orang kita yang jumpa bomoh, selepas itu tidaklah mereka jatuh sakit pula. Mereka rasa macam biasa sahaja. Bila manusia melakukan dosa dan tidak ada apa-apa yang terjadi kepada mereka, maka mereka merasakan bahawa tidak salah apa yang mereka buat itu. Maka mereka akan terus melakukan dosa tanpa rasa takut.

Musyrikin Mekah kata kepada Nabi, kalau betul mereka salah, maka turunkan azab kepada mereka. Seperti yang disebut dalam Maarij:1

سَأَلَ سَائِلٌ بِعَذَابٍ وَاقِعٍ

Seseorang telah meminta kedatangan azab yang akan menimpa,

Itu bermakna, mereka dah minta keburukan untuk diri mereka. Tapi Allah tak beri. Itu adalah satu rahmat sebenarnya.

Begitu juga dalam surah Rad:6 telah disebut bagaimana mereka meminta dipercepatkan azab kepada mereka:

وَيَسْتَعْجِلُونَكَ بِالسَّيِّئَةِ قَبْلَ الْحَسَنَةِ وَقَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِمُ الْمَثُلَاتُ وَإِنَّ رَبَّكَ لَذُو مَغْفِرَةٍ لِّلنَّاسِ عَلَىٰ ظُلْمِهِمْ وَإِنَّ رَبَّكَ لَشَدِيدُ الْعِقَابِ

Mereka meminta kepadamu supaya disegerakan (datangnya) siksa, sebelum (mereka meminta) kebaikan, padahal telah terjadi bermacam-macam contoh siksa sebelum mereka. Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mempunyai ampunan (yang luas) bagi manusia sekalipun mereka zalim, dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar sangat keras siksanya.

Lihatlah bagaimana kurang ajarnya mereka. Sepatutnya mereka minta kebaikan dan hidayah, tapi mereka minta dipercepatkan azab kepada mereka.


 

Ayat 12:

10:12
Sahih International

And when affliction touches man, he calls upon Us, whether lying on his side or sitting or standing; but when We remove from him his affliction, he continues [in disobedience] as if he had never called upon Us to [remove] an affliction that touched him. Thus is made pleasing to the transgressors that which they have been doing

Malay

Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia ditimpa Kami (dalam segala keadaan), sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan.

وَإِذَا مَسَّ الْإِنسَانَ الضُّرُّ

Dan apabila manusia disentuh bahaya

Manusia akan sentiasa dikenakan dengan kesusahan sebagai ujian bagi mereka. Lihatlah satu jenis manusia dan apa yang mereka lakukan apabila mereka disentuh dengan kesusahan.

 

دَعَانَا لِجَنبِهِ

dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring di lambungnya,

Apabila manusia kena bala, mereka akan bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah. Waktu mereka terbaring pun, mereka ingat kepada Allah dan tidak putus-putus mereka berdoa dan mengharap kepada Allah untuk mengeluarkan mereka dari masalah yang telah dikenakan kepada mereka.

Ini tidak ada masalah sebenarnya. Yang jadi masalah adalah kepada mereka yang hanya berdoa kepada Allah apabila mereka ditimpa kesusahan sahaja. Waktu-waktu lain mereka tak berdoa kepada Allah mereka tidak ingat kepada Allah.

 

أَوْ قَاعِدًا

atau sedang duduk

Bukan sahaja waktu berbaring, waktu duduk-duduk pun mereka teringat dan berdoa kepada Allah.

 

أَوْ قَائِمًا

atau berdiri,

Maknanya apabila manusia ditimpa kesusahan baru mereka akan ingat Allah dalam semua keadaan sama ada berbaring, duduk ataupun berdiri.

 

فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُ ضُرَّهُ

tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya,

Apabila Allah angkat kesusahan itu. Iaitu, apabila dia dah jadi senang semula, lihatlah apa yang yang dia akan lakukan.

 

مَرَّ

dia berlalu

Dia berlalu pergi macam tidak ada apa-apa. Maksudnya selepas kesusahan yang dihadapi itu telah diangkat, dia berlalu pergi. Dia hidup balik macam biasa, macam sebelum itu. Dan dia pun berlalu meninggalkan doanya itu. Sebelum ini dia bersungguh-sungguh berdoa, waktu baring, duduk dan berdiri dia sentiasa berdoa kepada Allah, tapi sekarang dia sudah tinggalkan.

 

كَأَن لَّمْ يَدْعُنَا إِلَىٰ ضُرٍّ مَّسَّهُ

seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya.

Semasa dia susah, bersungguh-sungguh dia doa kepada Allah untuk menghilangkan kesusahannya itu. Tetapi bila kesusahannya itu diangkat oleh Allah, dia buat biasa sahaja. Macam dia tidak pernah berdoa kepada Allah untuk mengangkat kesusahannya itu dulu. Dia lupa yang Allah lah yang telah mengangkat kesusahannya itu. Maksudnya, dia tidak mengucapkan syukur langsung kepada Allah kerana telah menyelamatkannya. Dia pun sudah meninggalkan aktiviti berdoa kepada Allah. Dia hanya ingat kepada Allah apabila dalam kesusahan sahaja.

 

كَذَٰلِكَ زُيِّنَ لِلْمُسْرِفِينَ

Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik

مُسْرِفِينَ adalah ‘orang yang melampau’. Apabila dia melakukan sesuatu dia melampau-lampau dalam perbuatannya itu. Lihatlah bagaimana semasa susah, dia berdoa kepada Allah waktu berbaring, waktu duduk dan waktu berdiri. Dan apabila masalahnya telah diangkat, dia melampau pula dalam lupa kepada Allah.

Dan dia telah melampau dalam kehidupannya. Kerana melampau dalam hiduplah yang menyebabkan manusia menghadapi masalah. Melampau dalam bergembira, melampau dalam menonton TV dan sebagainya. Apa-apa sahaja yang dilakukan secara ekstrem akan menyusahkan kita akhirnya.

Ini mengajar kita supaya tidak melampau di dalam hidup kita. Termasuklah didalam melakukan amal ibadat dan doa sekalipun. Biarlah amal ibadah kita sedikit, tetapi hendaklah ianya berterusan (Istiqamah). Jangan jadi seperti orang yang melampau seperti yang disebut di dalam ayat ini. Iaitu pada waktu dia susah, dia berdoa dengan banyak sekali, tapi di waktu yang lain, dia langsung lupa kepada Allah.

Bukanlah ayat ini memarahi mereka yang banyak berdo’a sampaikan berdoa sewaktu berbaring, duduk dan berdiri. Memang sudah menjadi lumrah manusia akan banyak berdoa apabila mempunyai masalah. Ini adalah normal dan tidak salah. Waktu susahlah yang kita lebih mengharap kepada Allah. Yang Allah marah adalah bila dalam waktu dia senang, dia lupa kepada Allah.

 

مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

apa yang selalu mereka kerjakan.

Orang yang melampau itu nampak cantik amalan yang dilakukannya itu. Dia sangka dia sudah hebat sangat bila banyak berdoa kepada Allah. Dia lupa bahawa dia hanya banyak berdoa kepada Allah bila dia mempunyai masalah sahaja. Waktu lain, dia lupa langsung.

Ayat ini juga bukanlah menghalang kita dari berdoa langsung walaupun sebelum itu kita banyak lupa Allah. Jangan keliru. Syaitan akan bisikkan kepada kita untuk tidak berdoa. Syaitan akan kata: “kau masa senang tak ingat Allah langsung. Sekarang dah susah, baru kau nak ingat Dia?! Baik kau jangan doa kepada Allah.” Kalau kita terpedaya dengan bisikan syaitan ini, maka kita telah ditipu dengan teruk sekali.

Dan orang-orang yang melampau selalunya mereka akan nampak amalan-amalan ibadat mereka yang melampau lampau itu elok. Sebagai contoh, apabila berzikir, sampai beribu ribu zikir yang mereka lakukan. Tetapi dalam mencari ilmu agama, mereka tidak mahu meluangkan masa. Begitulah yang terjadi sekarang ini dengan pengikut-pengikut Habib. Mereka ingat amalan zikir, sambutan Mawlid, Qasidah dan selawat rekaan mereka itu cantik sahaja pada pandangan mata mereka. Padahal, ianya adalah amalan bidaah yang mungkar.

Ataupun orang yang melampau ini akan menggunakan nama lain untuk dosa-dosa yang mereka lakukan untuk ‘mencantikkan’ perbuatan mereka. Sebagai contoh, mereka menggunakan nama ‘faedah’ padahal yang sebenarnya ia adalah ‘riba’. Tapi supaya nampak ianya tidak berdosa, ia diberikan nama ‘faedah’. Supaya dosa yang mereka lakukan itu nampak ‘cantik’.


 

Ayat 13:

10:13
Sahih International

And We had already destroyed generations before you when they wronged, and their messengers had come to them with clear proofs, but they were not to believe. Thus do We recompense the criminal people

Malay

Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat yang terdahulu daripada kamu semasa mereka berlaku zalim padahal telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka membawa keterangan-keterangan, dan mereka masih juga tidak beriman. Demikianlah Kami membalas kaum yang melakukan kesalahan.

وَلَقَدْ أَهْلَكْنَا الْقُرُونَ مِن قَبْلِكُمْ

Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat sebelum kamu,

‘Kamu’ yang dimaksudkan dalam ayat ini asalnya adalah musyrikin Mekah. Tetapi sekarang ianya ditujukan kepada kita yang sedang membaca ayat ini dan kepada orang-orang zaman sekarang dan seterusnya hingga ke akhir zaman. Jangan kita sangka ayat-ayat Qur’an ini hanya ditujukan kepada orang lain sahaja tapi hendaklah kita merasa Allah sedang berkata-kata dengan kita.

Memang telah banyak golongan-golongan yang sebelum kita telah dimusnahkan oleh Allah. Ini kita boleh tahu dari sejarah yang kita boleh baca.

 

لَمَّا ظَلَمُوا

apabila mereka berbuat kezaliman,

Mereka yang dimusnahkan itu adalah kerana mereka telah berbuat kezaliman. Ada berbagai-bagai jenis kezaliman yang manusia lakukan. Kezaliman yang paling tinggi adalah apabila manusia melakukan syirik kepada Allah. Kemudian mereka menolak dakwah daripada rasul-rasul mereka. Mereka juga telah melakukan kezaliman sesama mereka dengan menindas orang yang lemah dari kalangan mereka dan macam-macam lagi.

 

وَجَاءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِالْبَيِّنَاتِ

padahal rasul-rasul mereka telah datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata,

Bukanlah mereka tidak tahu yang apa yang mereka lakukan itu adalah zalim. Mereka tahu kerana mereka telah diberikan dengan peringatan dan ancaman daripada Rasul-Rasul mereka. Dan ancaman-ancaman itu pula adalah jelas nyata, bukan samar-samar. Allah tidak akan memusnahkan sesuatu kaum itu melainkan mereka telah diberi peringatan dan setelah diberi peringatan itu, mereka engkar. Allah tidak zalim sama sekali.

 

وَمَا كَانُوا لِيُؤْمِنُوا

tetapi mereka sekali-kali tidak hendak beriman.

Walaupun mereka telah diberi dengan peringatan tetapi mereka tidak mahu beriman. Mereka tidak mahu beriman itu kerana degil sahaja. Macam orang kita juga, walaupun tahu kebenaran, tapi masih tidak mahu terima. Apabila kita berikan dalil dari Quran dan hadis, mereka masih lagi hendak memakai kata-kata ustaz dan guru mereka. Mereka masih lagi tidak mahu beriman dengan Quran.

 

كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْقَوْمَ الْمُجْرِمِينَ

Demikianlah Kami memberi pembalasan kepada orang-orang yang berbuat dosa.

Tidak kira siapa mereka, kalau mereka zalim, mereka akan diberi balasan yang buruk.


 

Ayat 14:

10:14
Sahih International

Then We made you successors in the land after them so that We may observe how you will do.

Malay

Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, supaya Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan.

ثُمَّ جَعَلْنَاكُمْ خَلَائِفَ فِي الْأَرْضِ

Kemudian Kami jadikan kamu pengganti-pengganti di muka bumi

خَلَائِفَ dari katadasar خلف yang bermaksud seseorang yang ganti yang sebelumnya. Selepas kaum yang dahulu tiada, kita pula yang mengganti mereka. Selepas kaum-kaum yang zalim itu dimusnahkan, didatangkan kaum yang lain pula untuk menggantikan mereka.

Ayat ini juga mengingatkan kita yang kita tidak akan kekal lama di dunia ini. Sebagaimana kita telah menggantikan umat sebelum kita, kita juga akan diganti akhirnya.

 

مِن بَعْدِهِمْ

sesudah mereka,

Kita ini menggantikan keturunan sebelum kita. Dan kita pun akan diganti dengan keturunan kita selepas ini. Agaknya bagaimanakah iman keturunan kita nanti? Bagaimana dengan anak anak dan cucu cucu kita nanti? Adakah mereka terus beriman atau sebaliknya? Kalau kita dapat memastikan anak-anak dan cucu kita beriman, itu sudah cukup baik. Sebab kita hanya dapat bertemu dengan mereka sahaja. Dan anak-anak kita pula memastikan anak-anak cucu mereka pula beriman. Itulah harapan kita. Jadi kena sampaikan ajaran agama kepada mereka. Kita kena ajar mereka. Jangan harap sangat kepada orang lain, kepada ustaz di sekolah, kepada guru sekolah dan sebagainya. Mengajar agama ini adalah tanggungjawap bapa sebenarnya. Oleh itu, kenalah dia juga belajar agama supaya dia sendiri faham agama dan boleh mengajar anak dan isterinya.

 

لِنَنظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ

supaya Kami memperhatikan bagaimana kamu berbuat.

Bukan main-main kita mengganti mereka. Apa sahaja yang kita lakukan, akan diperhatikan. Dan akan dibalas segala perbuatan kita, bukan diperhatikan sahaja. Allah akan lihat apa yang kita lakukan dan di akhirat nanti, akan dibalas segala perbuatan kita itu. Allah akan lihat apakah amalan yang kita lakukan. Seperti Allah firman dalam Mulk:2

لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا

supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya.

Maknanya, ada tugas kita dijadikan di dunia ini. Bukan untuk main-main sahaja. Tapi untuk melakukan amalan kebaikan.

Allahu a’lam.

Lompat ke ayat yang seterusnya


 

Ref: UR, NAK, TZ.

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 010: Yunus. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s