Tafsir Surah Yunus Ayat 7-10

Ayat 7: Ini adalah sifat ahli-ahli neraka.

10:7
Sahih International

Indeed, those who do not expect the meeting with Us and are satisfied with the life of this world and feel secure therein and those who are heedless of Our signs

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan yang reda (berpuashati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak mengendahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami, –

إِنَّ الَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَاءَنَا

Sesungguhnya orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami,

يَرْجُونَ dari katadasar رجع yang bermaksud ‘mengharap sesuatu’. Bukan itu sahaja, tetapi perkataan رجع ini mengandungi maksud ‘harapan’ dan ‘takut’. Iaitu apabila seseorang itu mengharap kepada sesuatu tetapi di dalam masa yang sama, dia takut jikalau perkara yang diharapkannya itu tidak terjadi. Kerana jikalau seseorang itu hanya berharap sahaja, tetapi dia tidak kisah sangat kalau dia tidak mendapatnya, maka itu bukanlah رجع.

Ayat ini adalah tentang mereka yang tidak berharap untuk bertemu Tuhan mereka. Mereka tidak teringin untuk bertemu Allah yang telah menjadikan mereka. Mereka tidak teringat pun yang mereka akhirnya akan bertemu dengan Allah. Janganlah kita jadi begitu. Hendaklah kita setiap hari berdoa untuk bertemu dengan Allah. Takkan kita tidak teringin hendak bertemu dengan Allah yang telah menjadikan kita?

Seperti telah disebut, perkataan رجع bermaksud ‘harap’ dan ‘takut’. Dari makna ‘takut’ itu juga, perkataan لَا يَرْجُونَ dalam ayat ini juga membawa maksud mereka-mereka yang tidak takut untuk bertemu dengan Allah. Apabila mereka tidak takut untuk bertemu dengan Allah, maka mereka tidak takut untuk melakukan apa sahaja semasa di dunia ini, termasuk melakukan dosa. Kerana itulah kita nampak ramai dari kalangan orang-orang Islam sendiri yang berbuat dosa seperti dosa-dosa itu tidak ada makna.

Oleh itu, ayat ini adalah tentang mereka yang tidak mengharapkan balasan baik yang dijanjikan oleh Allah dan tidak takut kepada janji-janji azab daripada Allah jikalau mereka melakukan dosa.

Ayat ini juga tentang orang-orang yang tidak menaruh harapan untuk bertemu dengan Allah. Kenapa mereka sampai jadi begitu sekali? Ini adalah kerana Allah telah mengunci mati hati mereka dari mempunyai perasaan begitu. Ini bermakna, mereka ini Allah telah tutup hati mereka daripada menerima hidayah. Seperti yang Allah telah sebut di dalam Baqarah:7

خَتَمَ اللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَعَلَىٰ سَمْعِهِمْ وَعَلَىٰ أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Allah telah mengunci-mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka siksa yang amat berat.

Apabila telah dikunci mati hati, walaupun datang hidayah kepada mereka, mereka tidak nampak dan mereka tidak terima. Dan kenapa pula Allah kunci mati hati mereka? Tidakkah ini seperti berlaku kejam kepada mereka? Kita kena ingat bahawa mereka ini tidaklah dikunci hati mereka dari mula lagi. Mereka ini adalah orang-orang yang telah diberi peringatan dan ajakan tauhid berkali-kali tetapi setiap kali mereka menolak dan tidak mahu mendengar kebenaran. Apabila sudah banyak kali menolak kebenaran yang disampaikan kepada mereka, maka barulah Allah menutup hati mereka daripada menerima hidayah kerana Allah nak masukkan mereka ke dalam neraka.

Ini adalah satu perkara yang menakutkan. Kerana perkara ini bukan hanya terjadi kepada orang-orang yang kafir sahaja, tetapi terjadi juga kepada orang-orang yang pada zahirnya Islam dan mengaku beragama Islam, melakukan ibadat-ibadat Islam tetapi dalam masa yang sama mereka menolak ayat-ayat Qur’an.

Apabila Allah sudah kunci mati hati seseorang itu, maka tidak ada keinginan di dalam hatinya untuk meminta ampun. Walaupun mereka telah melakukan kesalahan, tapi mereka tidak teringat untuk meminta ampun atas dosa-dosa mereka. Padahal Allah telah beritahu kepada kita bahawa Dia Maha Pengampun. Kalau kita minta ampun kepada Allah, tentu Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita. Tetapi mereka yang telah dikunci mati hati mereka, langsung tidak teringat untuk meminta ampun kepada Allah dan kerana itu, dosa mereka tidak diampun. Oleh itu, jikalau hati kita masih lagi terdetik untuk meminta ampun kepada Allah, maka ketahuilah bahawa itu adalah rahmat yang amat besar daripada Allah. Itu bermakna, Allah tidak kunci mati hati kita.

Ayat ini banyak berulang-ulang dalam surah ini nanti. Kerana ini adalah satu ayat yang penting.

 

وَرَضُوا بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا

dan merasa puas dengan kehidupan dunia

Yang mereka mahukan hanyalah kesenangan hidup di dunia sahaja. Mereka rasa mereka sudah cukup, sudah puas, jikalau mereka dapat hidup senang di dunia ini. Macam mereka melihat kehidupan itu hanyalah kehidupan di dunia sahaja. Mereka tidak mahu memikirkan persediaan untuk menghadapi kehidupan di akhirat nanti.

 

وَاطْمَأَنُّوا بِهَا

serta merasa tenteram dengan kehidupan itu

وَاطْمَأَنُّوا bermaksud mereka tidak mahu apa-apa lagi selain daripada dunia. Mereka tidak mengharapkan apa-apa selain daripada apa yang mereka dapat di dunia ini. Mereka tidak mengharapkan kelebihan di akhirat langsung.

Tidak salah untuk kita mencari kekayaan dan kelebihan dunia. Ianya hanya salah jikalau kita berhenti setakat itu sahaja. Sepatutnya kita kena mengharap kelebihan di akhirat lebih lagi dari kita mengharap kepada kelebihan dunia. Tetapi ramai dari kalangan kita yang apabila dapat kelebihan dunia, mereka tidak mengharapkan kelebihan di akhirat pula.

Dunia ini tidak ada apa-apa sebenarnya. Mereka yang hanya mencari kesenangan dan kelebihan di dunia ini sahaja, akan merasa kosong. Jiwa mereka tidak akan puas. Walau banyak mana pun kekayaan dan kesenangan yang mereka dapat, mereka tidak akan puas. Kerana dunia ini tidak dapat memuaskan apa yang dikehendaki oleh jiwa manusia. Selepas mereka menikmati kesenangan yang berbagai-bagai, lama kelamaan, mereka akan tertanya kepada diri mereka sendiri: “Inikah sahaja yang aku kehendaki? Inikah sahaja yang aku perlukan dalam hidup ini?” Itulah sebabnya, kita banyak dengar tentang manusia yang menghadapi Mid life crisis. Kerana mereka telah merasa kosong dengan apa yang mereka telah capai. Dari segi fizikal, mereka dah capai macam-macam, tapi jiwa mereka rasa kosong. Mereka pun tidak tahu apa lagi yang mereka perlu buat untuk memenuhinya. Dan mereka memang tidak akan rasa penuh jikalau mereka tidak menemui agama.

Mereka yang mengisi jiwa mereka dengan ketaatan kepada Allah, akan ada rasa satu ketenangan, rasa cukup yang tidak dapat dibayangkan dan dijelaskan dengan perkataan.

 

وَالَّذِينَ هُمْ عَنْ آيَاتِنَا غَافِلُونَ

dan orang-orang yang melalaikan ayat-ayat Kami,

Mereka lalai untuk mempelajari ayat-ayat Allah. Mereka tidak rasa penting untuk mengetahui apakah yang hendak disampaikan di dalam Quran ini. Bila diajak untuk menghadiri kelas Tafsir Quran, mereka tidak mahu datang. Oleh kerana itu, mereka lalai untuk taat kepada Allah.

Ayat-ayat Allah itu terbahagi kepada dua. Ada ayat-ayat yang berbentuk Quran dan juga ada ayat-ayat yang bermaksud ‘tanda-tanda’ dalam alam ini. Apabila mereka lalai dengan tanda-tanda yang ada di dalam alam ini, mereka tidak mengambil pengajaran dengan apa-apa sahaja yang berlaku kepada mereka. Mereka melihat alam yang amat indah ini, tapi mereka tidak rasa apa-apa. Mereka tidak rasa kehebatan Allah yang menjadikan alam ini. Apabila sesuatu terjadi kepada mereka, mereka tidak berfikir bahawa itu adalah hasil perbuatan dan qada’ Allah.

Dalam satu bahagian, mereka lalai dengan ayat-ayat Allah dalam bentuk Quran. Dan dalam bahagian yang lain, mereka juga tidak mengambil pengajaran daripada alam semesta yang Allah jadikan ini. Alam yang hebat ini sepatutnya menjadi tanda kepada kita tentang kewujudan Allah, kehebatan Allah, tetapi mereka tidak mengambil pengajaran darinya.

————————————-

Ayat 8: Apakah nasib mereka nanti?

10:8
Sahih International

For those, their refuge will be the Fire because of what they used to earn.

Malay

Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan.

أُولَٰئِكَ مَأْوَاهُمُ النَّارُ

mereka itu tempatnya ialah neraka,

مَأْوَ adalah tempat pulang yang akhir sekali. Iaitu tempat yang kekal abadi. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

 

بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

disebabkan apa yang selalu mereka kerjakan.

Mereka dimasukkan ke dalam neraka pun disebabkan oleh kesalahan yang mereka telah lakukan semasa di dunia. Bukan kerana sebab lain. Allah tidak zalim. Bukanlah Allah suka-suka nak masukkan mereka ke dalam neraka itu.

Ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa kita hanya dibalas dengan usaha-usaha yang kita lakukan semasa di dunia. Oleh itu tidak ada ‘konsep sedekah’ dan ‘hadiah pahala’ seperti yang difahami oleh kebanyakan masyarakat Islam sekarang. Amatlah banyak ayat-ayat sebegini dalam Quran ini. Tapi mereka yang tidak belajar tidak akan tahu. Mereka yang kata pahala boleh sampai, hanyalah menggunakan hujah akal sahaja dan hujah manusia sahaja. Padahal Quran dengan jelas mengatakan yang kita hanya mendapat apa yang kita usahakan sahaja. Bukan atas usaha orang lain.

————————————-

Ayat 9: Ini pula adalah balasan kepada orang yang baik.

10:9
Sahih International

Indeed, those who have believed and done righteous deeds – their Lord will guide them because of their faith. Beneath them rivers will flow in the Gardens of Pleasure

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Tuhan mereka akan memimpin mereka dengan sebab iman mereka yang sempurna itu. (Mereka masuk ke taman yang) sungai-sungainya mengalir di bawah tempat kediaman mereka di dalam Syurga yang penuh nikmat.

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman

Dia itu orang-orang yang ‘beriman sempurna’. Dan maksud ‘beriman sempurna’ itu adalah mereka yang tidak melakukan syirik. Mereka betul-betul menyembah hanya Allah sahaja. Untuk mengetahui bagaimana mendapatkan iman yang sempurna ini, kenalah belajar tafsir Quran kerana hal tentang syirik ini banyak diberitahu dalam Quran.

 

وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ

dan mengerjakan amal-amal saleh,

Tidak cukup dengan beriman sahaja, tapi iman itu perlu ditunjuk dengan melakukan amal ibadat juga. Jangan jadi seperti sesetengah manusia yang kata mereka beriman, tapi amal ibadat mereka tak buat. Kononnya mereka kata: “yang penting apa dalam hati; Allah tahu apa yang dalam hati aku”. Itu adalah kata-kata mereka yang tidak berilmu sahaja.

Apakah amal-amal yang saleh itu? Itulah amal-amal ibadat yang diajar oleh Nabi. Bukannya amal ibadat yang bidaah, yang bukan datang dari Nabi. Amal ibadah yang bidaah, tidak ada nilai langsung, malahan akan mengundang dosa. Amatlah malang sekali kepada mereka yang jahil yang tidak tahu apakah maksud bidaah itu. Mereka terkeliru kerana mereka diajar oleh guru-guru agama yang keliru juga. Yang paling mereka keliru adalah tentang ‘Bidaah Hasanah’. Amat banyak sekali dalam masyarakat Islam kita yang keliru tentang Bidaah Hasanah ini.

Dari segi nahu, perkataan الصَّالِحَاتِ itu memberi isyarat bahawa Allah tidak menuntut kita berbuat amal ibadat dengan banyak sekali. Memang perkataan الصَّالِحَاتِ itu itu dalam bentuk jamak, tapi bukanlah jamak yang banyak. Jadi, kita tidak perlu buat amal ibadat dengan banyak, tapi yang lebih penting adalah adalah melakukan amalan dengan cara yang terbaik. Maksudnya, dilakukan dengan cara terbaik dan istiqamah (berterusan). Memanglah lebih baik lagi kalau dia melakukan amalan yang terbaik dan dalam masa yang sama, lagi banyak. Yang penting, kita buatlah amal ibadat mengikut kemampuan kita.

 

يَهْدِيهِمْ رَبُّهُم بِإِيمَانِهِمْ

mereka diberi petunjuk oleh Tuhan mereka karena keimanannya,

Apabila seseorang itu telah mula beriman, maka Allah akan teguhkan iman mereka dengan diberikan hidayah. Allah akan tambah dan tambah lagi hidayah kepada mereka. Tetapi perlulah dimulai dengan mempunyai iman.

Kepada mereka, Allah akan beri ilmu kepada mereka. Bukan itu sahaja, Allah akan beri peluang kepada mereka untuk beramal.

 

تَجْرِي مِن تَحْتِهِمُ الْأَنْهَارُ

di bawah mereka mengalir sungai-sungai

Selalunya ayat yang menyebut tentang sungai-sungai ini akan menggunakan perkataan تَحْتِهِا dimana ها itu dhomir kepada ‘syurga’ – iaitu sungai-sungai itu mengalir di bawah syurga. Tapi dalam ayat ini, perkataan تَحْتِهِمُ digunakan dimana هم itu merujuk kepada orang beriman yang dimasukkan ke dalam syurga.

Apakah maksud ‘sungai-sungai itu di bawah mereka’? Ia bermaksud ‘dibawah penguasaan’ mereka. Mereka boleh kawal sungai-sungai itu. Nak masuk rumah ikut kanan atau kiri. Nak naik atas siling dan sebagainya. Sungguh hebat sekali! Bayangkan kalau rumah di dunia, kita tidak ada pilihan sebegini. Kalau kita suruh tukang rumah buat longkang pun, belum tentu menepati apa yang kita hendak. Tapi di syurga nanti, macam-macam kelebihan dan nikmat yang Allah akan berikan. Mereka telah berkorban semasa di dunia, maka Allah balasi di akhirat nanti dengan berbagai-bagai nikmat.

 

فِي جَنَّاتِ النَّعِيمِ

di dalam syurga yang penuh kenikmatan.

النَّعِيمِ dari segi soraf bermaksud ‘nikmat yang tidak putus-putus’. Mereka akan berterusan mendapat nikmat yang berbagai-bagai sampai bila-bila.

Sebenarnya, di dunia ini lagi kita sudah dapat nikmat yang tidak putus-putus. Sebagai contoh, matahari yang naik setiap hari tanpa henti itu pun adalah nikmat yang berterusan tidak putus-putus bagi kita. Setiap hari kita mendapat nikmat itu sampaikan kita tidak perasan yang ianya adalah satu nikmat. We already take things for granted. Sebab hari-hari ianya terjadi. Kita tidak terpegun pun melihat matahari; tidaklah kita melihat matahari naik, sampaikan kita berkata: “Ma sha Allah! Subhanallah, cantiknya matahari ini!”, tidak bukan?

Sekarang dalam ayat ini, Allah beritahu kepada kita bahawa di syurga nanti kita akan diberikan dengan nikmat yang tidak putus-putus. Dan kita akan mendapat nikmat itu sampai bila-bila. Adakah perasaan kita dengan nikmat yang Allah berikan di syurga itu nanti sama macam perasaan kita dengan nikmat tidak putus-putus yang Allah telah berikan di dalam dunia ini? Sedangkan beberapa tahun sahaja kita hidup di dunia, kita sudah tidak merasa apa-apa dengan nikmat-nikmat itu, bagaimana pula kalau kita mendapat nikmat itu lebih lama lagi di syurga nanti? Ini akan dibincangkan dalam ayat seterusnya.

————————————-

Ayat 10:

10:10
Sahih International

Their call therein will be, “Exalted are You, O Allah ,” and their greeting therein will be, “Peace.” And the last of their call will be, “Praise to Allah , Lord of the worlds!”

Malay

Doa ucapan mereka di dalam Syurga itu ialah ‘Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan!’ Dan ucapan penghormatan mereka ialah: ‘Selamat sejahtera!’ Dan akhir doa mereka ialah ‘segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam’

دَعْوَاهُمْ فِيهَا سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ

Ucapan mereka di dalamnya ialah: “Subhanakallahumma” (Maha Suci Engkau ya Allah),

Inilah kata-kata mereka di syurga nanti. Kebanyakan kata mereka adalah puji pujian kepada Allah. Kerana mereka rasa amat-amat bersyukur dengan segala nikmat yang mereka telah dapat.

Ada juga pendapat yang mengatakan apabila mereka memerlukan apa-apa sahaja, mereka hanya perlu sebut سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ dan mereka akan terus dapat apa yang mereka kehendaki.

Kata sebegini dikeluarkan oleh mulut mereka kerana mereka takjub. Takjub dengan apa yang mereka akan terima dalam syurga nanti. Seperti yang kita telah sebutkan sebelum ini, kita sentiasa dapat melihat nikmat yang tidak putus-putus yang Allah berikan kepada kita, tapi kita anggap biasa sahaja. Maka, bagaimana kalau kita di syurga nanti, adakah begitu? Kalau hari-hari kita dapat nikmat, agaknya setelah beribu-ribu tahun mendapat nikmat itu, adakah kita akan rasa biasa sahaja dengan nikmat itu nanti?

Tidak sama sekali. Kerana di syurga nanti, nikmat yang diberikan kepada kita tidak ada tandingan. Tidak dapat disebutkan dengan lidah dan tidak dapat dibayangkan dengan akal kita sekarang. Kita akan tetap terpersona dengan segala nikmat itu sampaikan kita akan sentiasa berkata سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ setiap kali mendapat nikmat itu. Walaupun beribu atau berjuta tahun kita menginap di syurga nanti. Kita akan ternanti-nanti apakah nikmat baru yang Allah akan berikan kepada kita. Seperti yang disebut dalam Kahfi:3

مَّاكِثِينَ فِيهِ أَبَدًا

mereka menunggu-nunggu di dalamnya untuk selama-lamanya.

Mereka menunggu-nunggu nikmat apakah lagi yang akan diberikan oleh Allah. Kerana mereka dah dapat banyak nikmat dah. Tapi nikmat mereka itu akan bertambah-tambah. Belum sempat mereka rasa bosan dengan nikmat yang mereka sedang dapat, Allah akan beri nikmat yang lebih lagi. Yang berlainan dengan nikmat yang mereka sudah dapat.

Lihatlah juga ayat Baqarah:25

كُلَّمَا رُزِقُوا مِنْهَا مِن ثَمَرَةٍ رِّزْقًا قَالُوا هَٰذَا الَّذِي رُزِقْنَا مِن قَبْلُ وَأُتُوا بِهِ مُتَشَابِهًا وَلَهُمْ فِيهَا أَزْوَاجٌ مُّطَهَّرَةٌ وَهُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Setiap kali mereka diberi rezeki buah-buahan dalam syurga-syurga itu, mereka mengatakan: “Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu”. Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya.

Ahli syurga akan diberi dengan buah yang ‘serupa’ tapi ‘tidak sama’. Iaitu buah itu akan lebih sedap lagi dari yang sebelumnya. Ma sha Allah! Semoga Allah masukkan kita ke dalam syurgaNya. Aminn.

 

وَتَحِيَّتُهُمْ فِيهَا سَلَامٌ

dan kata-kata aluan mereka ialah: “Salam” (Sejahtera).

‘Tahiyat’ bermaksud kata-kata aluan yang baik. Ahli-ahli syurga akan mengucapkan kata-kata yang sejahtera sahaja sesama mereka.

Apabila ahli-ahli syurga bercakap-cakap sesama mereka, mereka akan mengucapkan perkataan-perkataan yang sejahtera sahaja. Tidak terkata perkataan-perkataan yang lain. Mereka rasa terlalu bersyukur kerana mereka telah selamat dari api neraka. Mereka akan bercerita tentang berbagai nikmat yang mereka sedang dapati itu.

Perkataan تَحِيَّتُهُمْ adalah dari perkataan تَحِيَّة yang berasal dari katadasar ح ي ي yang bermaksud ‘hidup’. Perkataan تَحِيَّة ini adalah ucapan alu-aluan. Orang Arab akan memberi kata aluan apabila berjumpa sesama mereka dengan mendoakan hidup yang panjang kepada orang yang mereka jumpa itu. Itu adalah sebelum ucapan assalamualaikum diperkenalkan dalam Islam. Jadi, perkataan itu dinamakan ‘tahiyyah’.

Jadi, perkataan تَحِيَّة ada kena mengena dengan ‘kehidupan’. Ayat ini memberi isyarat bahawa kehidupan yang bermakna adalah kehidupan yang penuh salam, penuh selamat dan sejahtera. Itulah yang mereka akan dapat di syurga nanti. Di dunia, belum tentu lagi.

 

وَآخِرُ دَعْوَاهُمْ أَنِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Dan penutup kata mereka ialah: “Alhamdulilaahi Rabbil ‘aalamin” (segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam).

Selepas mereka dapat menikmati setiap nikmat yang mereka dapat di syurga itu, mereka akan mengucapkan perkataan ini.

Sepertimana kita di dunia, kita berdoa kepada Allah dan berkomunikasi dengan manusia lain, begitu juga di syurga nanti. Di syurga, kita berkomunikasi dengan Allah dengan menyebut سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ; dan kita berkomunikasi dengan manusia lain dengan menyebut سَلَامٌ. Dengan malaikat pun nanti, kita akan menyebut سَلَامٌ kepada mereka di syurga nanti. Dan apabila mendapat nikmat, mereka akan memuji-muji Allah.

Jadi, untuk mendapat kelebihan ini, maka kita hendaklah membiasakan dengan perkataan-perkataan ini semasa di dunia lagi. Hendaklah kita selalu memuji-muji Allah. Kalau kita bercakap dengan manusia, mulakan dengan memberi salam kepada mereka. Di syurga nanti, Allah juga akan memberi salam kepada kita sebagaimana yang tertulis dalam Yaasin:58

سَلَامٌ قَوْلًا مِّن رَّبٍّ رَّحِيمٍ

(Kepada mereka dikatakan): “Salam”, sebagai ucapan selamat dari Tuhan Yang Maha Penyayang.

Maka, kita amat berharap supaya kita mendapat ucapan salam dari Allah di syurga nanti. Apabila diberikan ucapan salam itu, bermakna kita sudah masuk ke dalam syurga. Kerana Allah hanya berjumpa dengan hambaNya yang masuk syurga sahaja.

Perkataan الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ dalam ucapan mereka itu juga mengingatkan mereka kepada surah Fatihah yang mereka baca setiap hari yang mereka jadikan sebagai panduan hidup.

Allahu a’lam

Link kepada ayat yang seterusnya

=============================

Ref: UR, TZ, NAK

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 010: Yunus. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s