Tafsir Surah Yunus Ayat 4-6

Ayat 4:

10:4
Sahih International

To Him is your return all together. [It is] the promise of Allah [which is] truth. Indeed, He begins the [process of] creation and then repeats it that He may reward those who have believed and done righteous deeds, in justice. But those who disbelieved will have a drink of scalding water and a painful punishment for what they used to deny.

Malay

KepadaNyalah kembalinya kamu semua, sebagai janji Allah yang benar. Sesungguhnya Dia lah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya), untuk membalas orang-orang yang beriman dan beramal soleh dengan adil; dan orang-orang yang kafir pula, disediakan bagi mereka minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka ingkar dan berlaku kufur.

إِلَيْهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا

Hanya kepada-Nya-lah kamu semuanya akan kembali;

Semua makhluk akan dikumpulkan kepadaNya, tidak ada satu pun yang akan tertinggal. Kalau dalam dunia, ada perhimpunan, mungkin ada yang boleh lari dari menghadirinya, tapi tidak di akhirat nanti.

Kita semua akan *terus* dihadapkan kepada Allah. Tidak melencong ke tempat lain. Ini berlawanan dengan kepercayaan musyrikin Mekah dan mereka-mereka yang berakidah yang sama dengan mereka. Mereka sangka yang mereka akan bertemu dengan ‘pemberi-pemberi Syafaat’ mereka. Ini adalah kesinambungan dari ayat 3 sebelum ini tentang hal Pemberi Syafaat.

Mereka sangka sembahan-sembahan mereka semasa di dunia dahulu akan memberi pertolongan kepada mereka dalam bentuk Syafaat. Pada mereka, sembahan-sembahan mereka itu akan menjadi seperti ‘peguam’ yang akan membawa kes mereka kepada Tuhan. Macam kita di mahkamah, kita tidak perlu bercakap pun, sebab kita dah upah peguam kita untuk mewakili dan membela kita. Maka, mereka sangka berhala yang mereka sembah, malaikat yang mereka sembah dan apa-apa lagi yang mereka sembah itu, akan menunggu mereka di akhirat kelak. Mereka sangka mereka akan bertemu dengan sembahan mereka itu dahulu sebelum bertemu dengan Allah. Itu pun kalau akhirat terjadi, kerana mereka bukan percaya ada kehidupan akhirat pun. Tapi, pada mereka, kalau ada akhirat pun, mereka akan selamat. Mereka sangka mereka tak perlu pun untuk menjawab dengan Allah kerana mereka dah ada ‘peguam’.

Begitu jugalah pemahaman agama lain seperti agama Buddha. Penganut agama Buddha sangka mereka akan dikumpulkan kepada Gautama Buddha dan beliau akan mewakili mereka untuk berjumpa dengan Tuhan. Begitu juga dengan penganut Kristian, mereka sangka mereka akan bertemu dengan Jesus di akhirat kelak yang mereka sangka akan membela mereka. Begitu jugalah pemahaman penganut agama lain.

Masyarakat Islam kita yang sekarang sedang rancak meminta syafaat kepada Nabi Muhammad pun macam itu juga. Mereka sangka yang Nabi Muhammad akan menjadi ‘peguam’ yang dapat menyelamatkan mereka daripada azab Allah.

Anggapan itu semua adalah anggapan yang salah kerana ayat ini menekankan kepada kita bahawa kita semua akan *terus* dibawa kepada Allah SWT. Apabila terus dibawa kepada Allah, maknanya, kita terus kena jawap kepada Allah. Tidak ada yang akan mewakili kita dan mempertahankan kita. Kita kena berharap kepada diri kita sahaja dan amalan kita. Jangan berharap kepada orang lain.

Kenapa Allah bawa kita kembali kepadaNya?

 

وَعْدَ اللَّهِ حَقًّا

sebagai janji yang benar daripada Allah,

Iaitu janji Allah yang sesiapa yang berbuat kebaikan akan dibalas dengan kebaikan, dan sesiapa yang berbuat jahat akan dibalas dengan azab. Allah bawa kita kepadaNya untuk memenuhi janjiNya yang telah diberikan kepada kita.

 

إِنَّهُ يَبْدَأُ الْخَلْقَ

sesungguhnya Allah menciptakan makhluk pada permulaannya

يَبْدَأُ dari katadasar بدأ yang bermaksud ‘memulakan sesuatu’. Yang mula-mula buat. Allah lah yang mula-mula mencipta. Sebelum itu, tidak pernah dicipta sebegitu. Allah tidak memerlukan contoh untuk mencipta makhluk. Macam kita, kalau kita cipta sesuatu, sebenarnya dah ada contoh. Kita buat kereta, berdasarkan contoh kereta atau alat pengangkutan yang telah ada sebelum ini.

Allah juga menciptakan sesuatu tanpa perlu ada apa-apa. Macam kita, kalau kita mencipta kereta, kita perlu besi, perlu plastik, perlu getah untuk tayar dan sebagainya. Allah tidak perlukan apa-apa pun.

Dari katadasar بدأ ini jugalah datangnya perkataan ‘bidaah‘. Itulah maksudnya amalan agama yang dimulakan yang tidak pernah diajar dan dilakukan oleh Nabi. Inilah satu perkataan yang menjadi kemelut hebat di negara ini sekarang. Ramai yang sangka mereka faham maksud dan takrif bidaah ini, tapi malangnya boleh dikatakan kebanyakan masyarakat Islam kita keliru dengan maksud bidaah ini. Termasuk yang keliru adalah guru-guru agama sendiri yang tidak belajar tafsir Quran dan sunnah.

 

ثُمَّ يُعِيدُهُ

kemudian mengulanginya (menghidupkannya) kembali,

‘Mengulangi’ dalam ayat ini bermaksud Allah menjadikan makhluk itu sekali lagi. Bermaksud Allah menghidupkan kembali makhluk itu di hari pembangkitan. Allah jadikan makhluk pada asal kejadiannya, kemudian mematikannya, dan kemudian menghidupkannya kembali.

Oleh itu, kenapa begitu susah untuk menerima konsep ‘kebangkitan semula’? Musyrikin Mekah dan atheism, tidak dapat menerima konsep ‘kebangkitan semula’. Manakah yang lagi susah: menjadikan semula atau menciptakannya pertama kali? Tentu perciptaan yang pertama kali itulah kalau difikirkan mengikut logik, lebih susah dari menghidupkan semula. Melakukan perkara yang sama kali kedua tentunya lebih mudah dari kali pertama. Sebagai contoh, kalau kita dah pernah menjalani peperiksaan SPM, dan kalau kita melaluinya kali kedua, tentu ianya lebih mudah buat kita. Maka, kalau Allah boleh melakukan penciptaan yang asal, tentu lebih mudah bagi Allah menjadikan semula makhluk yang telah dimatikanNya kerana itu hanya mengulang apa yang telah pernah diperbuat sebelum itu. Ini adalah dari segi logik akal sahaja, kerana pada Allah, menjadikan makhluk buat kali pertama dan kali kedua adalah sama mudah sahaja bagi Allah.

Kenapa Allah jadikan makhluk dan kemudian menghidupkan kembali?

 

لِيَجْزِيَ الَّذِينَ آمَنُوا

agar Dia memberi pembalasan kepada orang-orang yang beriman

Tujuan Allah menghidupkan kita semula adalah untuk memberikan balasan kenikmatan kepada mereka yang telah beriman. Beriman yang dimaksudkan adalah ‘beriman sempurna’.

 

وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ

dan yang mengerjakan amal saleh

Amal yang soleh adalah amalan yang diajar oleh Allah dan Nabi. Amal yang bukan dari Allah dan Nabi adalah amalan bidaah. Bidaah adalah amalan yang berdosa.

 

بِالْقِسْطِ

dengan adil.

‘Adil’ bermaksud makhluk akan mendapat apa yang mereka patut dapat. Mereka tidak akan dizalimi.

 

وَالَّذِينَ كَفَرُوا لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيمٍ

Dan untuk orang-orang kafir disediakan minuman air yang panas

Air yang panas itu sangat panas sampaikan akan merosakkan muka apabila diletakkan dekat dengan muka. Suhunya entah beribu juta darjah.

 

وَعَذَابٌ أَلِيمٌ

dan azab yang pedih

Azab yang selain air panas itu lebih teruk lagi.

 

بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ

disebabkan keengkaran mereka.

Adalah lebih baik kalau kita terjemahkan perkataan كفر dengan maksud ‘engkar’ dan bukan kafir. Ini adalah kerana, apabila kita menterjemahkan كفر dengan maksud ‘kafir’, ramai kalangan orang Islam akan rasa selamat sebab mereka kata, mereka bukan kafir. Padahal dalam masa yang sama, mereka engkar dengan arahan Allah. Dan kita kena ingat, bukanlah orang Islam terselamat dari seksa neraka. Kalau mereka melakukan dosa, mereka tetap akan dibalas di neraka melainkan mereka diampunkan oleh Allah.

Dan walaupun ada kalangan kita yang mengaku Islam, tapi dalam masa yang sama melakukan perkara syirik, maka mereka akan dimasukkan ke dalam neraka seperti orang kafir dan mereka juga akan kekal dalam neraka seperti orang kafir juga.


 

Ayat 5: Allah memperkenalkan DiriNya lagi dalam ayat ini. Inilah pentingnya belajar tentang Allah daripada Quran sendiri. Kerana tentunya yang paling layak memperkenalkan DiriNya adalah Allah sendiri. Allah menceritakan tentang ciptaanNya kepada kita, supaya kita dapat mengetahui kehebatanNya.

10:5
Sahih International

It is He who made the sun a shining light and the moon a derived light and determined for it phases – that you may know the number of years and account [of time]. Allah has not created this except in truth. He details the signs for a people who know

Malay

Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya).

هُوَ الَّذِي جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاءً

Dialah yang menjadikan matahari bersinar

Perkataan ضِيَاءً dari katadasar ض و ء yang bermaksud ‘cahaya yang bersinar dan memancar’. Cahaya itu berasal dari dirinya sendiri macam matahari. Bukan macam bulan yang walaupun bercahaya, tapi cahayanya bukan berasal dari bulan itu sendiri.

Seperti kita sudah tahu, matahari adalah sumber cahaya. Ini kita tahu setelah kita belajar sains. Tapi bagaimanakah orang Arab zaman itu tahu tentang perkara ini? Ini menunjukkan ketepatan ilmu sains yang ada dalam Quran ini. Ianya tepat kerana ianya datang dari Allah. Ini adalah salah satu dari tanda-tanda kebenaran Quran.

Matahari mempunyai sumber cahaya sendiri; ianya amat panas dan berwarna kemerahan

 

 

وَالْقَمَرَ نُورًا

dan bulan bercahaya

نُورًا dari katadasar نور yang juga bermaksud ‘cahaya’, tetapi cahaya yang bagaimana? Ianya adalah cahaya tanpa kepanasan dan kemerahan. Kalau cahaya yang ada panas dan kemerahan, itulah ضِيَاءً seperti dalam bahagian ayat sebelum ini.

Seperti kita tahu dalam sains, bulan memang nampak bercahaya, tapi cahayanya itu bukan dari dirinya, tapi datang dari cahaya matahari. Cahaya bulan itu hanya dari pantulan cahaya yang datang dari matahari.

Cahaya bulan datangnya dari matahari

 

Lihatlah bagaimana tepatnya Quran menerangkan tentang cahaya pada matahari dan pada bulan. Allah gunakan perkataan yang berbeza untuk cahaya pada matahari dan cahaya pada bulan. Tidak mungkin perkara ini diketahui oleh manusia pada zaman Nabi Muhammad. Tidak mungkin Quran ini ditulis oleh Nabi.

Ilmu sains yang ada pada Quran boleh dibuktikan dengan kajian sains moden. Ini bermakna kalau perkara sains itu benar, maka tentulah perkara-perkara lain yang disebut dalam Quran itu adalah benar juga. Oleh itu, tentang syurga, tentang neraka dan segala-gala yang disebut dalam Quran itu adalah benar belaka.

 

وَقَدَّرَهُ مَنَازِلَ

dan ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu,

مَنَازِلَ adalah jamak kepada perkataan منزل yang berasal dari katadasar نزل yang bermaksud ‘turun’. مَنَازِلَ bermaksud ‘tempat yang tetap’ setelah sesuatu itu turun. Iaitu turun dan menetap.

Allah telah menetapkan tempat-tempat yang tetap untuk bulan. Bermaksud ada beberapa tempat kedudukan atau tahap bulan itu. Dari bermula sebagai anak bulan, kemudian jadi bulan sabit, kemudian menjadi separuh dan akhir sekali menjadi bulan penuh. Kemudian berulang kembali proses itu. Allah lah yang menetapkan yang bulan itu ada banyak tahap. Sebagai contoh, kalau kita lihat bulan penuh malam itu, kita akan tahu yang ianya adalah pertengahan bulan hijriah. Tentang perubahan bulan ini ada disebut dalam Yaasin:39

وَالْقَمَرَ قَدَّرْنَاهُ مَنَازِلَ حَتَّىٰ عَادَ كَالْعُرْجُونِ الْقَدِيمِ
Dan telah Kami tetapkan bagi bulan manzilah-manzilah, sehingga (setelah dia sampai ke manzilah yang terakhir) kembalilah dia sebagai bentuk tandan yang tua.

مَنَازِلَ juga bermaksud ‘tempat berhenti’. Ada banyak tempat kita melihat bulan itu. Ianya tidak akan tetap pada satu tempat sahaja sepanjang tahun. Sebagai contoh, kalau bulan ini kita boleh nampak bulan dari satu tingkap rumah kita, bulan depan, ia akan kelihatan dari tingkap lain pula.

Perubahan fasa bulan

 

 

Kedudukan bulan yang berubah-ubah dari awal bulan ke hujung bulan

 

 

لِتَعْلَمُوا عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَ

supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu).

Kerana kedudukan bulan yang berubah-ubah itu, kita boleh menentukan waktu. Kita boleh tahu bilakah bulan bermula dan bulan berakhir. Kita gunakan penentuan itu untuk mengira bulan dan tahun. Lebih-lebih lagi untuk menentukan permulaan ibadat seperti permulaan Puasa, Hari Raya dan bulan Haji.

Bukan bulan sahaja yang boleh menentukan masa tetapi matahari juga. Kerana dhomir ه dalam perkataan وَقَدَّرَهُ itu boleh digunakan untuk bulan dan untuk matahari juga.

 

مَا خَلَقَ اللَّهُ ذَٰلِكَ إِلَّا بِالْحَقِّ

Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak.

Bukanlah Allah jadikan semua itu main-main tapi ianya bersebab. Tidaklah layak Allah berbuat sesuatu yang sia-sia.

Iaitu menzahirkan tanda bahawa Allah lah yang wajib disembah. Segala penciptaan itu adalah dari Allah, maka sembahlah Dia sahaja. Jangan sembah yang lain.

Kalau bulan dan matahari ada gunanya, tentulah kita yang dijadikan ini pun ada sebab kita dijadikan. Bukanlah kita ini dijadikan sia-sia sahaja. Kalau bulan dan matahari menjalankan tugas dan tuntutan mereka dijadikan, maka kita pun kenalah juga memenuhi tanggungjawab kita dijadikan.

 

يُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya) kepada orang-orang yang mahu mengetahui.

Allah memperjelaskan tanda-tanda QudratNya.

Diberikan tanda itu kepada semua makhluk, tetapi yang mahu menerima adalah mereka yang mengetahui. Mengetahui bahawa Allah lah Tuhan kita yang patut kita sembah dan dibuat ibadat kepadaNya. Oleh itu, jangan buat ibadat kepada makhluk. Jangan beri salam kepada Nabi, wali dan malaikat. Jangan hadiah Fatihah kepada Nabi dan juga wali. Itu semua adalah termasuk dalam perbuatan yang kufur.

Yang mengetahui itu adalah mereka yang mengetahui bahawa kita ini dijadikan dengan sebab tertentu. Sebagaimana bulan dan matahari juga dijadikan dengan tugasnya masing-masing, kita juga ada tugas kita dijadikan oleh Allah.

Kalau dilihat perkataan يَعْلَمُونَ itu didalam fiil mudhari’ (present tense), ia juga membawa maksud mereka yang sedang cuba sedaya upaya untuk mengetahui. Kerana kita masih lagi dalam proses untuk belajar. Belum tentu lagi kita dapat memahaminya dengan mendalam. Jadi, Allah tidak syaratkan kita sudah mengetahui, tapi cukup kalau kita sedang cuba untuk mengetahui.


 

Ayat 6:

10:6
Sahih International

Indeed, in the alternation of the night and the day and [in] what Allah has created in the heavens and the earth are signs for a people who fear Allah

Malay

Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa.

إِنَّ فِي اخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ

Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang itu

اخْتِلَافِ bermaksud ‘perbezaan’. Iaitu apabila dua perkara berbeza antara satu sama lain.
اخْتِلَافِ juga bermaksud sesuatu yang ‘datang selepas sesuatu’. Iaitu menggantikan sesuatu. Sebagaimana juga perkataan ‘khalifah’ bermaksud seseorang yang menggantikan khalifah yang sebelumnya.

Ayat ini menerangkan bagaimana malam dan siang datangnya silih berganti selepas satu sama lain. Selepas siang maka datangnya malam dan selepas malam maka datangnnya siang.

Begitu juga terdapat perbezaan yang ketara antara siang dan malam. Bagaimana siang itu cerah terang benderang dan malam itu gelap gelita.

Ada isyarat tentang iman dalam perbezaan siang dan malam itu. Sebagaimana bezanya antara siang dan malam, begitu juga bezanya antara iman dan kufur.

 

وَمَا خَلَقَ اللَّهُ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

dan pada apa yang diciptakan Allah di langit dan di bumi,

Segala-galanya yang Allah telah ciptakan di dalam alam ini menjadi tanda. Allah berikan contoh penciptaanNya di langit dan di bumi. Lihatlah bagaimana di langit, Allah jadikan galaksi, bintang-bintang, planet-planet, meteor-meteor dan sebagainya. Begitu juga Allah jadikan di langit dunia ini ada awan, ada ozone, ada air, ada pelangi dan sebagainya. Dan ada lagi penciptaan lain yang kita tidak tahu.

Dan di bumi pula berjenis-jenis kehidupan yang Allah telah ciptakan dari jenis tumbuh tumbuhan, binatang, manusia, batu-batuan, air dan macam-macam lagi. Tak cukup nyawa kita untuk mengkaji semua kehidupan yang Allah telah jadikan. Dalam kita hidup dalam zaman moden sebegini pun, masih ada lagi kehidupan lain yang kita tidak tahu. Saintis sentiasa sahaja sibuk mengkaji dan menemui kehidupan yang baru dalam alam ini.

 

لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَّقُونَ

benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan-Nya) bagi orang-orang yang bertakwa.

Semua perciptaan di langit dan dibumi itu adalah sebagai tanda kekuasaan Allah.

Tanda itu diberitahu kepada semua, tetapi yang boleh menerima hanyalah mereka yang bertaqwa sahaja.

Atau mereka ‘mahu bertaqwa’. Kerana perkataan يَتَّقُونَ itu dalam bentuk present tense, bermaksud ianya merujuk kepada mereka yang berusaha untuk bertaqwa. Taqwa itu bermaksud mereka yang menjaga hukum yang Allah telah berikan. Berhati-hati dalam segenap kehidupannya untuk mengikut perintah Allah. Mereka sedar tentang Allah melihat setiap gerak gerinya. Dalam setiap perbuatannya, dia akan menilai samada perkara itu adalah halal, haram, sunat, makruh atau harus.

Maknanya, segala penciptaan itu menjadi tanda bukan sahaja kepada mereka yang ‘mahu mengetahui’, tetapi kepada mereka yang ‘mahu bertaqwa’. Ada beza antara keduanya. Kerana ‘mahu tahu’ sahaja tidak cukup. Berapa ramai orang kafir yang mahu tahu tentang Islam? Mereka menghabiskan masa bertahun-tahun untuk mengkaji Islam. Tapi selepas mereka mengetahui tentang Islam, mereka tidak beriman. Mereka hanya mahu tahu dari segi akademik sahaja, bukan untuk dijadikan sebagai panduan hidup mereka. Maknanya, kalau setakat hanya ‘untuk tahu’ pun, tidak selamat lagi. Kita kena jadikan pengetahuan kita itu membawa kepada taqwa.

Allahu a’lam

Lompat ke ayat yang seterusnya


 

Ref: UR, NAK, TZ, IK

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 010: Yunus. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s