Tafsir Surah al-Qamar Ayat 41-55

Ayat 41:

54:41
Sahih International

And there certainly came to the people of Pharaoh warning.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Firaun dan kaumnya telah didatangi (Rasul-rasul) pemberi amaran.

وَلَقَدْ جَاءَ آلَ فِرْعَوْنَ النُّذُرُ

Dan sesungguhnya telah datang kepada kaum Fir’aun ancaman-ancaman.

Kepada Firaun dan keluarganya, telah didatangkan Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. Mereka telah diberikan dengan ancaman-ancaman yang jelas. Bukan satu ancaman sahaja, tapi banyak yang diberikan kepada mereka. Bukan seorang Rasul yang dihantar kepadanya, tapi sampai dua orang. Tapi apakah yang dilakukan oleh Firaun dan pengikutnya?

—————————–

Ayat 42:

54:42
Sahih International

They denied Our signs, all of them, so We seized them with a seizure of one Exalted in Might and Perfect in Ability.

Malay

Mereka telah mendustakan mukjizat-mukjizat Kami semuanya, lalu Kami timpakan azab seksa kepada mereka sebagai seksaan dari Yang Maha Perkasa, lagi Maha Kuasa.

كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا كُلِّهَا

Mereka mendustakan mukjizat-mukjizat Kami semuanya,

Firaun dan pengikut-pengikutnya tidak mahu menerima dakwah Nabi Musa dan mukjizat-mukjizat yang ditunjukkan. Itulah maksud كُلِّهَا (semuanya) itu. Semuanya mereka tolak walaupun entah berapa banyak mukjizat yang telah ditunjukkan kepada mereka. Dalam Quran telah disebut sebanyak sembilan mukjizat ditolak oleh mereka. Selain dari mukjizat itu, ada lagi ayat-ayat dari Allah yang mereka tolak.

Dalam A’raf:132 ada disebut

وَقَالُوا مَهْمَا تَأْتِنَا بِهِ مِنْ آيَةٍ لِّتَسْحَرَنَا بِهَا فَمَا نَحْنُ لَكَ بِمُؤْمِنِينَ

Mereka berkata: “Bagaimanapun kamu mendatangkan keterangan kepada kami untuk menyihir kami dengan keterangan itu, maka kami sekali-kali tidak akan beriman kepadamu”.

Mereka bukan sahaja menolak, tapi mereka tuduh pula apa yang Nabi Musa dan Nabi Harun bawakan itu adalah sihir. Dalam Taha:56 juga telah disebut bagaimana Firaun dan konco-konconya telah ditunjukkan dengan semua tanda, tapi mereka menolak

وَلَقَدْ أَرَيْنَاهُ آيَاتِنَا كُلَّهَا فَكَذَّبَ وَأَبَىٰ

Dan sesungguhnya Kami telah perlihatkan kepadanya (Fir’aun) tanda-tanda kekuasaan Kami semuanya maka ia mendustakan dan enggan (menerima kebenaran).

Digunakan perkataan كُلِّهَا kerana kalau tolak satu sahaja ayat Allah, bermaksud semuanya sekali ditolak. Ini adalah amat bahaya. Kita tidak boleh tolak walau satu pun ayat dalam Quran. Bayangkan satu negeri dalam negara kita ini yang menolak tiga ayat Quran berkenaan pembahagian harta. Sepatutnya harta dibahagikan mengikut cara faraid, tetapi sebaliknya mereka menggunakan Adat Perpatih untuk membahagikan harta itu. Kalau satu ayat sahaja ditolak bermaksud seluruh Quran itu ditolak, bagaimana pula kalau tiga ayat Quran ditolak?

Bagaimana pula mereka yang menolak ayat-ayat hudud dari Allah?

Bagaimana pula mereka yang menolak ayat-ayat tentang tawasul dan sebagainya?

 

فَأَخَذْنَاهُمْ أَخْذَ عَزِيزٍ مُّقْتَدِرٍ

lalu Kami azab mereka dengan azab dari Yang Maha Perkasa lagi Maha Kuasa

Kerana menolak ayat-ayat dari Allah, maka mereka telah diazab oleh Allah semasa mereka di dunia lagi. Yang dimaksudkan adalah azab kepada mereka itu adalah apabila mereka dilemaskan dan dihempaskan dengan air laut semasa mereka mengejar Bani Israil untuk menyeberanginya.

Firaun amat berbangga dengan kekuatan dan kekuasaannya. Dalam Zukhruf:51 ada disebut bagaimana bangga dan sombongnya dia:

وَنَادَىٰ فِرْعَوْنُ فِي قَوْمِهِ قَالَ يَا قَوْمِ أَلَيْسَ لِي مُلْكُ مِصْرَ وَهَٰذِهِ الْأَنْهَارُ تَجْرِي مِن تَحْتِي أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Dan Fir’aun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata: “Hai kaumku, bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku; maka apakah kamu tidak melihat(nya)?

Firaun sangka dia yang berkuasa dan gagah, tapi Allah beritahu Dia lah sebenarnya yang mempunyai kuasa.

—————————–

Ayat 43:

54:43
Sahih International

Are your disbelievers better than those [former ones], or have you immunity in the scripture?

Malay

Adakah kafir kamu (wahai kaum musyrik Mekah), lebih baik (kekuatan, kekayaan dan kehandalannya) daripada kafir yang tersebut itu? Atau adakah kamu mempunyai sebarang bukti dalam Kitab-kitab Suci tentang kebebasan kamu (dari azab)?

أَكُفَّارُكُمْ خَيْرٌ مِّنْ أُولَٰئِكُمْ

Apakah kafirmu (hai kaum musyrikin) lebih baik dari mereka itu,

أُولَٰئِكُمْ itu bermaksud kaum-kaum yang disebut sebelum ini. Telah disebutkan bagaimana mereka itu dihancurkan kerana keengkaran mereka. Allah nak tanya kepada puak musyrikin Mekah dan kita juga, adakah kita lebih hebat dari mereka? Mereka itu hebat, tapi Allah boleh hancurkan mereka. Jangan ingat yang kita akan selamat dengan kehebatan yang kita ada. Kalau kita engkar, Allah boleh azab kita di dunia ini lagi. Dan kita tidak akan selamat di akhirat kelak.

 

أَمْ لَكُم بَرَاءَةٌ فِي الزُّبُرِ

atau apakah kamu telah mempunyai jaminan kebebasan (dari azab) dalam Kitab-kitab yang dahulu?

بَرَاءَةٌ bermaksud imuniti. Adakah ada tertulis di mana-mana kitab-kitab sebelum ini yang mereka ada imuniti, boleh terselamat dari azab Allah?

Ada kalangan kita yang sangka kita boleh selamat dari azab Allah. Kerana mereka itu ada yang keturunan Nabi, ada mereka yang ikut sekian guru dan sebagainya, maka mereka ingat mereka akan selamat. Allah tanya balik kepada mereka yang rasa sebegitu, adakah tertulis dalam mana-mana kitab yang dahulu yang mereka akan selamat? Tentulah tidak ada. Keturunan atau dekat dengan seseorang yang baik tidaklah menjadi syarat bahawa seseorang itu akan selamat. Atau mana-mana sebab pun.

—————————–

Ayat 44:

54:44
Sahih International

Or do they say, “We are an assembly supporting [each other]”?

Malay

(Mereka tidak mempunyai sebarang bukti) bahkan mereka akan berkata (dengan angkuhnya): Kami satu kaum yang bersatu, yang sudah tentu dapat membela diri!

أَمْ يَقُولُونَ

Atau apakah mereka mengatakan:

Ini ada satu lagi hujah yang Allah buka kepada kita tentang mereka yang melakukan keengkaran itu.

 

نَحْنُ جَمِيعٌ مُّنتَصِرٌ

“Kami adalah satu golongan yang bersatu yang pasti menang”.

Musyrikin Mekah kata mereka ramai dan kerana itu mereka boleh membantu sesama mereka. Mereka ingat kalau azab Allah dikenakan kepada mereka, mereka boleh lawan.

Ada yang rasa kerana mereka ramai, mereka akan selamat. Sebagai contoh, lihatlah betapa ramainya golongan yang ber’ya hanana’ sampai penuh satu stadium buat syirik. Adakah mereka sangka, mereka ramai itu mereka akan selamat?

—————————–

Ayat 45:

54:45
Sahih International

[Their] assembly will be defeated, and they will turn their backs [in retreat].

Malay

Kumpulan mereka yang bersatu itu tetap akan dikalahkan dan mereka pula akan berpaling lari.

سَيُهْزَمُ الْجَمْعُ

Golongan itu pasti akan dikalahkan

Tidak kira berapa ramai pun mereka, mereka akan dikalahkan. Kisah ini tentang perang Badr di mana waktu itu musyrikin Mekah itu ramai, tapi mereka kalah juga dan melarikan diri. Kerana kemenangan dan kekuatan bukan pada diri sendiri tapi dengan bantuan Allah.

 

وَيُوَلُّونَ الدُّبُرَ

dan mereka akan mundur ke belakang.

Apabila Nabi hendak menyerang sesuatu tempat, Allah akan tanamkan ketakutan dalam diri mereka walaupun mereka itu ramai. Ini berdasarkan kepada kata-kata mereka yang masuk Islam, apabila mereka menceritakan pengalaman mereka dalam kufur dan berperang dengan tentera Islam. Mereka kata semasa mereka berperang dengan Nabi dan tentera Islam dulu, mereka amat takut dengan tentera Islam walaupun bilangan mereka ramai dan kelengkapan perang mereka lebih hebat. Dalam hadis ada disebut bagaimana walaupun jarak Nabi dari mereka seribu batu pun, mereka sudah rasa takut.

Begitu juga dengan puak-puak syirik dan bidaah sekarang. Puak-puak syirik dan bidaah ini, kalau kita berhujah dengan mereka, mereka akan mengundur ke belakang. Katakanlah kita berhujah dengan salah seorang dari mereka, penyokong-penyokongnya tidak akan membantunya dalam berhujah. Mereka akan berundur ke belakang. Mereka tidak akan menyokong kawannya yang sedang berhujah dengan kita. Kerana mereka tahu yang mereka tidak ada hujah. Maka dalam kita berhujah dengan mereka semasa berdakwah dengan mereka, hendaklah kita berharap dengan Allah. Allah akan membantu kita memberi hujah dalam melawan mereka kerana hujah-hujah itu datang dari Allah.

—————————–

Ayat 46:

54:46
Sahih International

But the Hour is their appointment [for due punishment], and the Hour is more disastrous and more bitter.

Malay

(Bukan kekalahan itu sahaja) bahkan hari kiamat ialah hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan yang sepenuh-penuhnya) dan (azab seksa) hari kiamat itu amat dahsyat dan amat pahit.

بَلِ السَّاعَةُ مَوْعِدُهُمْ

Sebenarnya hari kiamat itulah hari yang dijanjikan kepada mereka

Allah telah beri janji bahawa mereka itu akan diazab. Azab yang mereka kena di dunia itu tidak ada apa-apa kalau dibandingkan dengan azab neraka. Walaupun mereka selamat di dunia, mereka tidak akan selamat di Akhirat.

 

وَالسَّاعَةُ أَدْهَىٰ وَأَمَرُّ

dan kiamat itu lebih dahsyat dan lebih pahit.

أَدْهَىٰ dari katadasar دهي yang bermaksud musibah yang manusia tidak mampu nak tanggung. Yang tak boleh dielak. أَدْهَىٰ bermaksud ‘lebih dahsyat’. Azab neraka lebih dahsyat lagi dari azab dunia.

وَأَمَرُّ bermaksud ‘lebih pahit’. Lebih teruk lagi. Azab Neraka itu lebih pahit, lebih teruk lagi dari azab dunia. Maka azab neraka lah yang kita kena takut. Kalau kita selamat di dunia, belum tentu selamat di akhirat nanti. Kita kena sentiasa berhati-hati dalam segala perbuatan kita. Kalau silap langkah, kita akan terjerumus ke dalam lembah kehinaan di Akhirat kelak.

—————————–

Ayat 47:

54:47
Sahih International

Indeed, the criminals are in error and madness.

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang berdosa berada dalam keadaan sesat (di dunia), dan (di akhirat pula mereka berada dalam) api Neraka.

إِنَّ الْمُجْرِمِينَ فِي ضَلَالٍ وَسُعُرٍ

Sesungguhnya orang-orang yang berdosa berada dalam kesesatan (di dunia) dan dalam kebengongan.

Golongan musyrikin Mekah dalam kebengongan. Begitulah juga keadaan puak-puak Musyrikin dan ahli-ahli bidaah sekarang, apabila kita memberitahu kepada mereka ajaran tauhid yang ada di dalam Qur’an. Mereka akan melihat kita dengan penuh kebingungan. Ajakan tauhid itu amat asing dan pelik sangat kepada mereka. Sampai mereka jadi bingung. Tetapi mereka susah untuk menolak ayat-ayat yang ada di dalam Qur’an kerana mereka tidak belajar tafsir Qur’an. Tetapi hati mereka masih juga tak mahu terima. Oleh itu mereka hanya dapat melihat kita dengan penuh kebingungan. Mereka nak terima apa hujah yang kita bawa, ianya berlawanan dengan pemahaman mereka; tapi hendak dilawan, mereka tak berani kerana ayat Quran yang kita bawakan. Maka, mereka jadi bengong.

Mereka bingung dengan hal agama. Sebagai contoh, mereka diajar bagaimana kalau mati, perlu ditalqin si-mati dalam kubur itu. Semasa panggil si-mati dalam kubut itu, kena ‘bin’kan kepada emaknya, kononnya kalau di’bin’kan kepada ayah, tak sampai talqin itu. Dari ajaran mana, kita pun tak tahu. Talqin ini adalah ajaran yang bidaah. Adakah boleh kita nak ajar aqidah kepada mereka yang sudah mati? Kalau begitu, tak perlu belajar agama semasa hidup, tunggu mati sahaja. Dan alangkah ruginya mereka yang mati dalam hutan dibaham harimau, sebab tidak ditalqinkan lagi. Atau rugilah orang Islam yang tidak tinggal di Malaysia ini sebab ajaran mazhab mereka tidak ada bacaan talqin. Adakah begitu? Tempat lain tidak ada talqin sebab ini bukanlah ajaran Islam tapi rekaan manusia sahaja. Dan ianya berlawanan dengan ayat Quran Fathir:22

وَمَا يَسْتَوِي الْأَحْيَاءُ وَلَا الْأَمْوَاتُ إِنَّ اللَّهَ يُسْمِعُ مَن يَشَاءُ وَمَا أَنتَ بِمُسْمِعٍ مَّن فِي الْقُبُورِ

dan tidak (pula) sama orang-orang yang hidup dan orang-orang yang mati. Sesungguhnya Allah memberi pendengaran kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan kamu sekali-kali tidak boleh menjadikan orang yang didalam kubur dapat mendengar.

Kalau kita berikan hujah yang jelas ini untuk mengatakan bahawa orang mati tidak boleh dengar apa yang kita katakan kepada mereka, mereka akan termanggu-manggu kebingungan kerana mereka tidak tahu ada dalil selama ini yang mengatakan bahawa orang yang sudah mati tidak boleh mendengar. Mereka hanya ‘sangka’ sahaja orang mati dalam kubur itu boleh dengar. Mereka terima tanpa usul periksa kerana talqin itu bukan dibaca oleh orang lain, tapi tok-tok imam mereka, ustaz-ustaz mereka – jadi mereka rasa, takkan salah kalau perbuatan itu dibuat oleh mereka yang ‘alim’.

سُعُرٍ juga boleh ditafsirkan dengan ‘gila’. Mereka gila kerana masih lagi mahu menolak ajakan dakwah dan tidak takut azab neraka. Kalau mereka takut azab neraka, tentulah mereka akan mengubah cara hidup mereka.

سُعُرٍ juga boleh ditafsirkan sebagai ‘Api Neraka’. Oleh kerana mereka ضَلَالٍ (sesat) di dunia, mereka akan merasa سُعُرٍ (api) di neraka.

—————————–

Ayat 48:

54:48
Sahih International

The Day they are dragged into the Fire on their faces [it will be said], “Taste the touch of Saqar.”

Malay

Semasa mereka diseret di dalam Neraka (dengan tertiarap) atas muka mereka, (serta dikatakan kepada mereka): Rasalah kamu bakaran api Neraka.

يَوْمَ يُسْحَبُونَ فِي النَّارِ عَلَىٰ وُجُوهِهِمْ

(Ingatlah) pada hari mereka diseret di neraka atas muka mereka.

Mulanya mereka akan kena ikat, kemudian kena seret pula. Mereka kena seret kerana mereka tak mahu pergi ke neraka sendiri. Mereka nak lari jauh, tapi mereka akan kena tangkap, diikat, kemudian diseret. Alangkah hinanya, alangkah sakitnya. Mereka dipegang di kaki dan muka muka terseret di tanah.

 

ذُوقُوا مَسَّ سَقَرَ

(Dikatakan kepada mereka): “Rasakanlah sentuhan api neraka!”

سَقَرَ itu adalah ‘bahang api neraka’. Bukan kena api neraka lagi, tapi kalau kena bahang pun dah boleh terbakar dah. Bayangkan kalau kita buka oven yang panas, walaupun kita tak kena apinya, tapi kita pun dah rasa bahangnya. Itu baru api oven, bagaimana pula kalau kena terus api neraka?

Sebagai seorang yang beriman dengan Hari Akhirat, kita kena tahu hal syurga dan neraka. Dalam Quran telah disebut tentang neraka dan ada lebih banyak maklumat lag maklumat tentangnya ada dalam hadis. Jadi kalau sesiapa yang mengamalkan sunnah, mestilah tahu tentang syurga dan neraka. Barulah dikatakan beriman dengan hari akhirat. Kalau setakat tahu yang Syurga itu ‘tempat sedap’, Neraka itu ‘ada api’, itu belum boleh dikira beriman lagi dengan Hari Akhirat.

—————————–

Ayat 49:

54:49
Sahih International

Indeed, all things We created with predestination.

Malay

Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan).

إِنَّا كُلَّ شَيْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ

Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu menurut ukuran.

Musyrikin Mekah sangka mereka akan terus berkuasa, tapi Allah memberitahu dalam ayat ini, bahawa semuanya telah ditetapkan. Berapa lama mereka akan berkuasa juga telah ditetapkan oleh Allah. Berapa lama mereka hidup juga telah ditentukan. Ditentukan oleh siapa? Oleh Allah yang Maha Berkuasa.

Semuanya yang ada dalam alam ini adalah mengikut ketentuan Allah. Sebagai contoh, lihatlah tangan kita. Betapa cantiknya dengan bilangan jarinya, dengan saiznya yang sesuai dan sebagainya.
Begitu juga lihatlah kejadian matahari yang Allah ciptakan. Tidaklah Allah buat matahari itu sembrono sahaja. Ada ukuran yang tepat. Berapa besarnya ia, kekuatan habanya, kedudukan berapa jauh bumi dan planet yang lain, bilakah waktu bergeraknya dan macam-macam lagi. Semuanya itu mengikut kadar yang tepat sebagaimana yang sesuai untuknya dan sebagai yang telah ditetapkan Allah. Kalau bergerak sedikit sahaja dari tempatnya, boleh hancur musnah bumi ini kerana kepanasannya.

Kadar itu ditentukan Allah sebelum sesuatu itu dijadikan lagi. Apa yang kita lalui juga adalah dalam kadar ketetapan Allah. كُلَّ شَيْءٍ itu bermaksud semua sekali. Tidak ada yang tertinggal dari ketetapan dan ketentuan Allah.

Kalau Allah menentukan segalanya itu, maka kita sebagai hambaNya kenalah menerima ketetapan Allah itu. Jangan kita persoalkan. Kerana semua itu ada hikmat di sebaliknya. Kalau hujan turun, jangan marah; kalau banjir, jangan marah.

Ia juga bermaksud, kalau kita ada masalah dan cabaran dalam perjalanan hidup kita, kita kena berharap kepada Allah. Kerana Allah lah sahaja yang boleh mengubahnya. Tidak ada yang lain. Kerana yang menetapkan kejadian sesuatu perkara itu adalah Allah. Jangan kita putus harap dengan Allah.

—————————–

Ayat 50:

54:50
Sahih International

And Our command is but one, like a glance of the eye.

Malay

Dan hal Kami (dalam melaksanakan apa yang Kami kehendaki), hanyalah satu cara sahaja, (cepat jadinya) seperti sekelip mata.

وَمَا أَمْرُنَا إِلَّا وَاحِدَةٌ

Dan perintah Kami hanyalah satu perkataan

Apabila Allah hendak sesuatu terjadi, ianya akan terus terjadi. Ianya amat mudah bagi Allah. Allah hanya beri arahan sekali sahaja. Itulah kalimah كُن (Jadilah!).

Allah telah berfirman tentang perkara ini dalam Yaasin:82

إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَن يَقُولَ لَهُ كُن فَيَكُونُ

Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: “Jadilah!” maka terjadilah ia.

 

كَلَمْحٍ بِالْبَصَرِ

seperti kejapan mata.

Kita tidak akan dapat tahu dengan tepat bagaimanakah cara Allah menjadikan sesuatu. Allah cuma beri isyarat kepada kita bahawa ianya amat cepat dan cepatnya itu boleh dibayangkan seperti kerdipan mata sahaja. Begitulah cepatnya. Ianya akan terjadi tanpa lengah. Allah tak perlu nak cakap banyak kali. Bandingkan, kalau kita hendakkan sesuatu, sebagai contoh, kita beri arahan kepada anak kita, kita kena suruh berkali-kali. Dan bukannya dia terus buat, tapi dia akan berlengah-lengah lagi, bukan? Tidak terjadi begitu dengan Allah.

أَمْرُنَا (Urusan Kami) yang dimaksudkan dalam ayat ini boleh juga dimaksudkan ‘apabila tiba keputusan Allah untuk menjadikan kiamat’. Apabila Allah mahu Kiamat itu jadi, ia akan terjadi dalam sekelip mata sahaja. Tak perlu nak ambil masa nak rancang dan bina apa-apa.

Dalam Yaasin:53 Allah telah memberitahu kepada kita bagaimana cepatnya terjadi hari Kiamat itu:

إِن كَانَتْ إِلَّا صَيْحَةً وَاحِدَةً فَإِذَا هُمْ جَمِيعٌ لَّدَيْنَا مُحْضَرُونَ

Tidak adalah teriakan itu selain sekali teriakan saja, maka tiba-tiba mereka semua dikumpulkan kepada Kami.

‘Dikumpulkan’ itu bermaksud dikumpulkan untuk dibawa ke Mahsyar.

—————————–

Ayat 51:

54:51
Sahih International

And We have already destroyed your kinds, so is there any who will remember?

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah binasakan orang-orang yang sama keadaannya seperti kamu; maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran?

وَلَقَدْ أَهْلَكْنَا أَشْيَاعَكُمْ

Dan sesungguhnya telah Kami binasakan orang yang serupa dengan kamu.

أَشْيَاعَكُمْ bermaksud mereka yang sama dengan kamu dalam cara menjalankan kehidupan dan cara beragama. Allah memberitahu kepada kita bahawa Allah telah memusnahkan mereka yang mempunyai pegangan agama yang sama seperti musyrikin Mekah itu. Iaitu mereka yang beribadat kepada selain Allah, yang mengamalkan amalan syirik, yang buat bidaah, yang menggunakan tawasul dalam berdoa dan sebagainya. Jangan rasa yang mereka akan selamat.

Maka, kalau masyarakat kita pun mengamalkan amalan dan pegangan yang sama, Allah boleh musnahkan. Masyarakat kita banyak membaca tentang kekufuran kaum-kaum terdahulu, tetapi mereka baca sahaja tanpa rasa apa-apa. Mereka ingat itu hanya kisah orang terdahulu sahaja. Macam tidak kena dengan mereka sahaja. Padahal ayat ini Allah perli mereka dengan berfirman bahawa dah ada ramai orang yang buat macam itu dan Allah telah musnahkan.

 

فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

Maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?

Tidakkah ada yang mahu mengambil pengajaran dari azab yang Allah telah berikan itu? Adakah kita hanya tahu sahaja tapi tidak mengambil pengajaran? Itu adalah amat malang sekali. Macam orang kita yang hari-hari baca Quran, tapi tidak mengambil pelajaran dari pembacaan itu kerana mereka tidak faham. Tidak faham itu adalah kerana kita mahu belajar sahaja.

Ramai yang baca tentang bagaimana Allah telah balas kepada puak musyrik, puak Yahudi dan puak Kristian. Tapi mereka setakat baca sahaja. Kerana mereka tidak faham bagaimana ada amalan-amalan dan pegangan agama mereka itu sama sahaja seperti Musyrikin Mekah, Yahudi dan Kristian.

—————————–

Ayat 52:

54:52
Sahih International

And everything they did is in written records.

Malay

Dan tiap-tiap perkara yang mereka lakukan, adalah tertulis di dalam Kitab suratan amal;

وَكُلُّ شَيْءٍ فَعَلُوهُ فِي الزُّبُرِ

Dan segala sesuatu yang telah mereka perbuat tercatat dalam buku-buku catatan

Semua yang dilakukan oleh manusia ada tertulis dalam الزُّبُرِ (Kitab Amalan). Ianya tidak akan hilang. Semua yang dilakukan dan dikatakan akan ditulis.

Kalau Musyrikin Mekah melihat amalan kaum yang telah dihapuskan itu, mereka akan nampak bahawa sama sahaja amalan syirik mereka. Begitu juga, kalau ‘Musyrikin Malaysia’ melihat amalan-amalan syirik kaum terdahulu, sama sahaja amalan mereka dan mereka. Antaranya, Musyrikin Mekah juga mengamalkan tawasul seperti kebanyakan masyarakat kita yang mengaku Islam. Mereka juga banyak mencipta amalan bidaah macam masyarakat kita juga. Ma sha Allah!

Segala perbuatan itu bukan ditulis sahaja, tapi akan dibalas di Akhirat kelak. Kalau tulis tapi disimpan sahaja, tidak mengapa. Tapi, ianya akan dikeluarkan dan akan dibentangkan kepada mereka dan kemudian akan dibalas.

Lalu bagaimana kita tidak takut melakukan kesalahan, kalau kita tahu yang setiap apa yang kita lakukan akan ditulis?

—————————–

Ayat 53:

54:53
Sahih International

And every small and great [thing] is inscribed.

Malay

Dan tiap-tiap perkara yang kecil dan yang besar tetap tercatit.

وَكُلُّ صَغِيرٍ وَكَبِيرٍ مُّسْتَطَرٌ

Dan segala yang kecil maupun yang besar adalah tertulis.

مُّسْتَطَرٌ bermaksud ‘ditulis baris demi baris’. Tak kira kecil atau besar, ianya akan ditulis. Akan ditulis dalam Kitab Amalan kita.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘perkara yang kecil?’. Kalau jari kita kena cucuk dengan duri pun, akan ditulis. Kenapa nak kena tulis benda sekecil itu? Kerana kalau kita sabar dengan kesusahan sekecil itu, maka kita akan dapat pahala juga. Kalau tak ditulis, maka akan rugilah kita sebab ianya tidak ditulis.

Kalau yang sekecil itu pun ditulis, apatah lagi kalau kita buat perkara yang melawan perintah Allah? Tentulah itu pun akan ditulis juga.

Nanti manusia akan terkejut betapa semuanya sekali akan ditulis sebagaimana yang disebut dalam Kahf:49

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata: “Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis). Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juapun”.

—————————–

Ayat 54: Setelah banyak diberikan peringatan dan ancaman dalam ayat-ayat sebelum ini, sekarang diberikan berita baik pula kepada mereka yang mahu mendengar dan memikirkan tentang amaran dan ancaman itu dan mengubah cara hidup mereka.

54:54
Sahih International

Indeed, the righteous will be among gardens and rivers,

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, ditempatkan dalam taman-taman Syurga (yang indah) dan (dekat) beberapa sungai,

إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَنَهَرٍ

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu di dalam taman-taman dan sungai,

Orang yang bertaqwa adalah mereka yang berhati-hati dengan setiap perbuatan mereka. Samada yang kecil atau besar.

Antaranya, mereka berhati-hati dalam amalan ibadat mereka. Mereka tak mahu nak buat satu pun perkara bidaah. Kalau dia musykil samada sesuatu amalan itu adalah dari ajaran Nabi atau tidak, dia akan tinggalkan amalan sampai dia dapat kepastian yang ianya memang ajaran dari Nabi. Lebih baik meninggalkan sesuatu amalan ibadat yang kita tidak pasti, dari melakukan sesuatu yang kita tidak tahu dari mana datangnya. Seperti sabda Nabi:

دَعْ ما يُرِيبُكَ إلى ما لا يُرِيبُكَ
Tinggalkan perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu.

Apakah balasan kepada mereka yang bertaqwa ini? Mereka akan dimasukkan ke dalam Syurga. Mereka akan menikmati nikmat dalam syurga seperti tanaman-taman dan sungai-sungai di dalamnya. Itulah nikmat yang dibalas kepada mereka. Bandingkan mereka yang telah engkar yang akan duduk dalam neraka, dalam kepanasan api Neraka dan bahang api Neraka.

Ayat-ayat inilah yang memberi semangat kepada para sahabat yang ditindas semasa mereka di Mekah. Ianya memberi harapan kepada mereka. Dan para sahabat memang banyak membaca Quran. Maka mereka sentiasa diberikan dengan berita-berita gembira ini.

Orang yang bertaqwa adalah mereka yang berhati-hati dalam amalan mereka. Dan mereka yang tidak bertaqwa adalah mereka yang telah banyak disebut dalam surah ini sebelum ini: mereka tidak mengendahkan amaran yang telah diberi oleh Rasul-Rasul mereka.

Sekarang ini Nabi dan Rasul tidak ada lagi. Tapi masih ada lagi di kalangan kita, penyebar-penyebar tauhid yang masih mengingatkan manusia supaya jangan engkar dengan Allah dan jangan melakukan syirik.

—————————–

Ayat 55:

54:55
Sahih International

In a seat of honor near a Sovereign, Perfect in Ability.

Malay

Di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendakNya.

فِي مَقْعَدِ صِدْقٍ

di tempat duduk penuh kemuliaan

صِدْقٍ bermaksud ‘kebenaran’. Ianya juga boleh bermaksud ‘kemuliaan’. مَقْعَدِ adalah satu majlis yang apabila kita duduk, kita tidak mahu bangun sebab kita suka berada di situ. مَقْعَدِ صِدْقٍ bermaksud ‘tempat duduk yang penuh kebenaran’. Tidak ada lagi penipuan dan pembohongan di dalamnya. Di syurga, segala yang ada padanya adalah benar dan mulia.

Ada yang kata kedudukan ini hanya diberikan kepada mereka yang ‘berkata benar’ sahaja. Mereka yang penipu, tidak akan ada peluang untuk mendudukinya.

Mereka juga adalah mereka yang membenarkan/mengiyakan kebenaran apabila mereka melihatnya. Sebagai contoh, katakanlah mereka mendengar seseorang mengatakan kebenaran yang ada dalam Quran, mereka akan kata “benarlah apa yang dikatakannya itu dari Quran”. Ini penting, kerana ada yang takut hendak membenarkan. Sebagai contoh, ada ramai yang tahu dan mengamalkan sunnah. Tapi mereka senyap sahaja, kerana takut dikutuk, takut dimarahi, takut dimaki. Itu adalah orang-orang yang tidak ‘membenarkan’.

Dalam syurga nanti, tidak ada cakap-cakap kosong, cakap-cakap lalai dan pembohongan, tetapi hanya ada kata-kata yang benar sahaja. Dalam Maryam:62 Allah berfirman:

لَّا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا إِلَّا سَلَامًا وَلَهُمْ رِزْقُهُمْ فِيهَا بُكْرَةً وَعَشِيًّا

Mereka tidak mendengar perkataan yang tak berguna di dalam syurga, kecuali ucapan salam. Bagi mereka rezekinya di syurga itu tiap-tiap pagi dan petang.

 

عِندَ مَلِيكٍ مُّقْتَدِرٍ

di sisi Raja (Tuhan) Yang Berkuasa.

Inilah sebabnya kita tidak mahu bangun dari tempat duduk itu – kerana kita duduk berdekatan Allah.

Inilah nikmat yang paling besar sekali. Mereka yang masuk syurga dapat duduk berdekatan dengan Allah. Tidakkah kita mahu untuk duduk berdekatan dengan Allah? Melihat Allah adalah nikmat yang paling besar, lebih besar lagi dari masuk syurga itu sendiri. Inilah maksud ayat Qiyamah:22-23

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ

Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri.

إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ

Kepada Tuhannyalah mereka melihat.

مَلِيكٍ bermaksud raja, tapi bukan raja yang biasa. Kerana kalau ‘raja’ sahaja, perkataan مَلِكٍ digunakan. Tapi, dalam perkataan ini, ada penambahan huruf ي yang menunjukkan lebih lagi.

مُّقْتَدِرٍ bermaksud ‘mampu melakukan segalanya’. Allah boleh buat apa sahaja. Tidak ada larangan atau sekatan kepada Allah untuk melakukan sekehendakNya. Allah boleh berikan apa-apa sahaja kepada kita kalau Allah mahu dan tidak ada yang boleh menghalangNya. Tidak ada yang boleh kalahkan Allah.

Allahu a’lam. Tamatlah sudah tafsir surah al-Qamar ini. Lompat ke surah yang seterusnya: Surah ar-Rahman

=======================

Rujukan: 

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 054: Qamar. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s