Tafsir Surah al-Qamar Ayat 16-27

Ayat 16: Ini sambungan dari kisah bagaimana kaum Nabi Nuh telah diberikan azab Banjir Besar.

54:16
Transliteration

Fakayfa kana AAathabee wanuthur

Sahih International

And how [severe] were My punishment and warning.

Malay

Oleh itu, perhatikanlah bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu.

فَكَيْفَ كَانَ عَذَابِي وَنُذُرِ

Maka alangkah dahsyatnya azab-Ku dan ancaman-ancaman-Ku.

Allah mengingatkan kita kepada betapa dahsyatnya azab yang Allah berikan kepada kaum Nabi Nuh itu. Mereka telah dimatikan semua sekali dalam banjir besar itu.

Allah juga mengingatkan kita kepada ‘ancaman’ yang telah diberikan kepada mereka itu. Bukan untuk kita baca sebagai bahan sejarah sahaja. Mereka telah diberi ancaman oleh Nabi Nuh sebelum dikenakan dengan banjir itu selama 950 tahun tapi mereka tidak mahu dengar. Kesannya mereka semua telah menerima azab di dunia. Dan mereka akan menerima azab yang lebih keras lagi di akhirat kelak. Kalau kita pun engkar juga, kita pun boleh dikenakan dengan azab dunia dan tentunya azab akhirat.

Amaran yang diberikan kepada mereka adalah jelas. Begitulah juga amaran yang diberikan kepada kita. Entah berapa banyak ayat Quran dan hadis yang mengingatkan kita tentang azab-azab itu. Tidak ada alasan lagi untuk kita kata kita tidak tahu.

Ayat ini untuk menakutkan kita dengan azab Allah. Jangan ambil mudah dengan amaranNya. Jangan kita baca ayat ini dengan senang lenang sahaja. Jangan kita sangka yang ianya tidak akan terjadi kepada kita. Kalau Allah boleh kenakan kepada umat terdahulu kerana keengkaran mereka, Allah boleh sahaja kenakan kepada kita juga.

————————————

Ayat 17:

54:17
Transliteration

Walaqad yassarna alqur-ana liththikrifahal min muddakir

Sahih International

And We have certainly made the Qur’an easy for remembrance, so is there any who will remember?

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ

Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Quran untuk diambil peringatan,

Quran ini mudah sahaja untuk dipelajari kepada mereka yang mahu belajar. Iaitu kepada mereka yang mahu mencari kebenaran. Tafsir Quran ini lebih mudah untuk difahami dari belajar subjek peperiksaan SPM pun. Tidak perlu untuk jadi ulama untuk faham Quran ini.

‘Mudah’ itu bukanlah bermaksud senang sampaikan baca sekali sahaja sudah faham. Bukanlah mudah sangat sampaikan pelajar sekolah rendah pun boleh faham. Ianya masih lagi memerlukan intelek untuk memahaminya. Tapi tidaklah sampai kena belajar tinggi berpuluh tahun baru boleh faham. Kita memang tidak akan dapat faham keseluruhan kandungan Quran ini kerana ianya adalah Kalam Allah. Allah sahaja yang tahu keseluruhan maknanya. Tapi sekurang-kurangnya kita telah berusaha untuk memahaminya sedikit.

‘Mudah’ bermaksud Allah telah memberikan keperluan dan alat-alat untuk kita memahami Quran ini. Kalau kita luangkan masa untuk berusaha memahaminya, kita akan berjaya. Kerana Allah telah beri segala keperluan kepada kita untuk memahami ayat-ayatNya.

Ulama-ulama tafsir telah mengkaji Quran ini dan menulis kitab-kitab tafsir untuk dipelajari oleh kita. Mereka telah mengupas ayat-ayat Quran itu satu persatu. Dan ramai guru-guru yang boleh menyampaikan maksud Quran ini kepada kita.

Jangan pula kita sangka bahawa ayat-ayat Quran ini ‘mudah’ kerana ayat-ayat Qur’an ini adalah kalam Allah dan ianya mempunyai kehebatan yang amat tinggi. Ia adalah kata-kata yang disampaikan di dalam lenggok bahasa yang amat tinggi dan indah. Oleh itu kalau kita terjemahkan يَسَّرْ sebagai ‘mudah’, itu adalah tidak sesuai. Oleh itu maksud يَسَّرْ  adalah ‘dipermudahkan’ adalah Quran itu mampu dipelajari. Atau dalam Inggeris bermaksud ‘possible’. Maknanya kita sebagai manusia biasa ini mampu untuk memahami apa yang Allah hendak sampaikan.

Malangnya, ada puak agama yang mengajar orang awam bahawa Quran ini hanya untuk dibaca sahaja dan tidak boleh difahami. Mereka kata yang boleh faham adalah para ulama sahaja. Sampaikan ada negeri yang melarang tafsir Quran diajar di masjid dan surau kerana ‘takut masyarakat keliru’.

Ada juga meletakkan syarat kena tahu ‘ilmu-ilmu Alat’, baru boleh faham Quran. Sampai berbelas-belas cabang ilmu kena mahir dahulu sebelum boleh faham tafsir Quran. Contohnya mereka kata kena pandai bahasa Arab, tahu ilmu qiraat, ilmu nahu dan sarf, ulum al-qur’an, ilmu usuluddin, usul fiqh dan ilmu-ilmu lain seperti ilmu sosiologi dan antropologi, zoologi dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan maklumat umum seperti sejarah, geografi, saikologi dan sebagainya. Itu dinamakan ‘Ilmu Alat’, kata mereka. Kena tahu semua itu baru boleh tafsir Quran, kata mereka.

Kalau itulah keperluan untuk mengetahui Quran, maka tidaklah ‘dipermudahkan’ Quran itu untuk dipelajari. Dah jadi sukar pula. Dan sampai bila baru boleh kita mendapat pengajaran dari Quran itu? Kebanyakan orang akan sampai bila-bila tidak akan dapat mendalami ‘Ilmu-ilmu Alat’ itu. Maka, sampai bila-bila lah dia tidak akan faham arahan Allah. Kerana syarat-syarat yang diletakkan inilah yang menyebabkan ramai masyarakat kita tidak mencuba pun belajar tafsir. Hasilnya, ramai mereka yang mengamalkan syirik tanpa sedar.

Memang ilmu-ilmu itu perlu untuk mentafsir Quran. Iaitu untuk tafsir sendiri seperti yang dilakukan oleh ulama-ulama tafsir. Tapi apa yang kita lakukan sekarang adalah hanya mempelajari tafsir yang telah dikupas oleh ulama-ulama itu. Maka, tidaklah perlu sampai kita mengetahui segala macam ilmu yang disebut di atas untuk memahami Quran. Asalkan kita ada kehendak untuk mengetahui kalam Allah, Allah akan bantu kita untuk memahaminya. Dan itu bergantung kepada tahap ilmu kita.

Maksud ذِكْر dalam ayat ini membawa maksud Quran itu memberi kita ingat balik perkara yang kita tahu. Kerana itulah banyak peringatan yang menakutkan dalam Quran itu. Supaya kita ingat balik. Kita bukannya tidak tahu, kerana kita sudah belajar lama dah. Tapi kerana kita adalah manusia yang mudah lupa, maka kita perlu selalu diingatkan dari masa ke semasa.

Perkataanذِكْر juga bermaksud ‘hafalan’. Ia membawa maksud, Quran itu senang dihafal. Kerana lenggok bahasa yang digunakan itu amat indah, maka ianya senang dihafal. Banyak perkataan juga diulang-ulang dan itu memudahkan kita untuk menghafalnya. Kerana itu, Quran adalah satu-satunya kitab agama dalam dunia ini yang banyak dihafal oleh penganutnya. Tidak ada kitab lain dalam dunia yang sebegini. Sampaikan kalaulah semua kitab Quran dalam dunia ini hilang, dalam masa sejam sahaja Quran baru boleh dikeluarkan kerana amat ramai sekali yang menghafalnya.

Quran ini mudah dihafal sampaikan banyak sekolah tahfiz dalam dunia ini. Mereka yang dapat menghafal 30 juzuk itu pun ada yang tidak faham pun apa yang mereka hafal itu. Tapi kerana Quran itu mudah dihafal, maka ianya boleh dilakukan walaupun tidak faham. Oleh itu, jangan kita kata yang susah untuk hafal Quran kerana Allah telah mudahkan. Maka, hendaklah kita mulakan proses menghafal ayat-ayat Allah ini sedikit demi sedikit.

 

فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

maka adakah orang yang mengambil pelajaran?

Diulang ayat ini kerana ianya penting. Itulah juga salah satu teknik yang digunakan oleh Qur’aan untuk memudahkan kita mengambil pelajaran Allah dengan mengulang-ulang ingatan yang sama kepada pembacanya.

Ada juga banyak topik-topik yang di ulang-ulang dalam Qur’an tetapi dipersembahkan dengan berbagai-bagai cara yang berbeza. Ini dinamakan konsep Tasrif. Kadang-kadang apabila satu perkara diberitahu kepada kita, kita tidak faham tetapi apabila diberitahu dengan cara lain baru kita faham. Sebagai contoh, perjelasan tentang tawassul amat banyak di dalam Qur’an dan diberikan penerangan dengan berbagai-bagai cara. Ini adalah kerana ianya adalah perkara yang amat penting untuk difahami.

Serba sedikit penerangan tentang asal perkataan مُّدَّكِرٍ. Katadasarnya adalah ذكر seperti yang kita telah sebut sebelum ini. Dari perkataan itu, terjadilah perkataan مُذْتَكِر yang bermaksud ‘seseorang yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengambil peringatan dari sesuatu’. Tetapi, perkataan مُذْتَكِر susah disebut. Dalam bahasa Arab, sesuatu perkataan itu kalau susah disebut, akan dipermudahkan penyebutannya. Maka, perkataan مُذْتَكِر telah ditukar kepada مُذَّكِر. Tapi, itu pun ditukar lagi kerana huruf د lebih mudah disebut dari huruf ذ. Oleh itu, perkataan مُذَّكِر telah diubah kepada perkataan مُّدَّكِرٍ untuk memudahkan kita menyebutnya.

Terdapat satu isyarat di dalam pemudahan perkataan مُّدَّكِرٍ itu. Allah telah memudahkan Quran ini untuk dipelajari, dibaca, dihafal dan diambil pelajaran. Asalnya kita berikan usaha yang sedikit pun, kita sudah boleh mendapat hasil darinya. Kalau kita beri lebih lagi usaha, tentulah kita akan mendapat lebih lagi ilmu.

————————————

Ayat 18: Sebelum ini telah disebut kisah Kaum Nabi Nuh. Sekarang kisah Kaum Aad pula.

54:18
Transliteration

Kaththabat AAadun fakayfa kanaAAathabee wanuthur

Sahih International

‘Aad denied; and how [severe] were My punishment and warning.

Malay

(Demikian juga) kaum Aad telah mendustakan Rasulnya (lalu mereka dibinasakan); maka perhatikanlah, bagaimana buruknya azabku dan kesan amaran-amaranKu!

كَذَّبَتْ عَادٌ

Kaum ‘Aad pun mendustakan (pula)

Bukan kaum Nabi Nuh dan puak musyrikin Mekah sahaja yang mendustakan Nabi mereka, tapi kaum Aad juga mendustakan Rasul mereka, iaitu Hud a.s. Perkataan ‘mendustakan’ itu bermaksud ‘menolak’. Iaitu mereka kata apa yang Rasul mereka bawa kepada mereka itu adalah dusta. Kerana mereka tidak mahu terima ajakan tauhid itu, mereka kata Nabi mereka berbohong dengan membawa ajaran yang salah.

 

فَكَيْفَ كَانَ عَذَابِي وَنُذُرِ

Maka alangkah dahsyatnya azab-Ku dan ancaman-ancaman-Ku.

Penolakan mereka itu tidak dibiarkan begitu sahaja. Mereka dibalas semasa mereka di dunia lagi. Ayat ini mula dibacakan kepada musyrikin Mekah. Ianya sebagai amaran kepada mereka. Mereka diingatkan kepada apa yang terjadi kepada kaum Aad kerana mereka kenal kaum Aad itu dan tahu apakah yang terjadi kepada kaum Aad itu. Mereka melalui kawasan penempatan kaum Aad itu dalam musafir mereka.

Dan sekarang, kita pula membaca ayat ini, maka ayat ini menjadi peringatan kepada kita juga. Kenanglah apa yang terjadi kepada kaum Aad itu yang menolak ajakan tauhid itu dan apakah yang terjadi kepada mereka. Jangan kita jadi seperti mereka.

————————————

Ayat 19:

54:19
Transliteration

Inna arsalna AAalayhim reehansarsaran fee yawmi nahsin mustamirr

Sahih International

Indeed, We sent upon them a screaming wind on a day of continuous misfortune,

Malay

Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang, pada hari nahas yang berlanjutan; –

إِنَّا أَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا صَرْصَرًا

Sesungguhnya Kami telah menghembuskan kepada mereka angin yang sangat kencang

صَرْصَرًا bermaksud ‘sangat sejuk’, ‘sangat bising’ dan ‘sangat laju’. Angin itu sejuk sangat sampaikan mereka beku.

 

فِي يَوْمِ نَحْسٍ مُّسْتَمِرٍّ

pada hari yang penuh celaka yang terus menerus,

Bermaksud, apabila angin itu sudah mula dikenakan kepada mereka, ianya memberi kecelakaan kepada mereka tanpa henti.

Dan kecelakaan itu tidak berhenti apabila mereka mati saja kerana ianya berterusan di dalam kubur di Mahsyar dan di neraka nanti.

————————————

Ayat 20:

54:20
Transliteration

TanziAAu annasa kaannahumaAAjazu nakhlin munqaAAir

Sahih International

Extracting the people as if they were trunks of palm trees uprooted.

Malay

Yang menumbangkan manusia gugur bergelimpangan, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang terbongkar.

تَنزِعُ النَّاسَ

yang memetik manusia

تَنزِعُ dari katadasar نزع yang bermaksud ‘menarik sesuatu dari tempatnya’. Apabila angin itu mula bertiup, mereka mula mencari tempat perlidungan dan cuba berpegang dengan sesuatu, tetapi angin itu tetap menarik mereka dari tempat mereka.

 

كَأَنَّهُمْ أَعْجَازُ نَخْلٍ مُّنقَعِرٍ

seakan-akan mereka pokok korma yang ditumbangkan.

Allah memberi perumpamaan bagaimana kuatnya angin itu, sampaikan dapat menarik dan merebahkan pokok kurma.

Seperti kita tahu, pokok kurma adalah pokok yang kuat yang akarnya masuk dalam tanah. Kaum Aad ini diumpamakan sebagai pokok kurma kerana mereka bertubuh besar dan gagah sekali. Seperti yang disebut dalam ayat Fussilat:15

فَأَمَّا عَادٌ فَاسْتَكْبَرُوا فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَقَالُوا مَنْ أَشَدُّ مِنَّا قُوَّةً أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّ اللَّهَ الَّذِي خَلَقَهُمْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُمْ قُوَّةً وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يَجْحَدُونَ

Adapun kaum ‘Aad maka mereka menyombongkan diri di muka bumi tanpa alasan yang benar dan berkata: “Siapakah yang lebih besar kekuatannya dari kami?” Dan apakah mereka itu tidak memperhatikan bahawa Allah Yang menciptakan mereka adalah lebih besar kekuatan-Nya daripada mereka? Dan adalah mereka mengingkari tanda-tanda (kekuatan) Kami.

Jadi ini ayat ini memberitahu kepada kita yang walaupun tubuh badan kaum Aad itu besar dan gagah, tetapi angin itu lebih kuat lagi sampaikan boleh menjatuhkan dan menarik mereka.

————————————

Ayat 21:

54:21
Transliteration

Fakayfa kana AAathabee wanuthur

Sahih International

And how [severe] were My punishment and warning.

Malay

Maka perhatikanlah, bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu!

فَكَيْفَ كَانَ عَذَابِي وَنُذُرِ

Maka alangkah dahsyatnya azab-Ku dan ancaman-ancaman-Ku.

Allah menarik perhatian kita kepada dahsyatnya azab yang diberikan kepada kaum Aad yang engkar itu. Jangan kita jadi macam itu. Jangan kita menolak ajaran Nabi kita. Jangan kita amalkan syirik dan amalan bidaah.

————————————

Ayat 22: Allah ulang lagi. Berkali-kali ayat ini diulang dalam surah Qamar ini. Kerana pentingnya kita mengambil perhatian.

54:22
Transliteration

Walaqad yassarna alqur-ana liththikrifahal min muddakir

Sahih International

And We have certainly made the Qur’an easy for remembrance, so is there any who will remember?

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ

Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al Quran untuk dipelajari,

 

فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

maka adakah orang yang mengambil pelajaran?

————————————

Ayat 23: Sekarang disebut pula kisah kaum Tsamud juga

54:23
Transliteration

Kaththabat thamoodu binnuthur

Sahih International

Thamud denied the warning

Malay

(Demikian juga) kaum Thamud telah mendustakan peringatan dan amaran (yang disampaikan oleh Rasul mereka, Nabi Soleh).

كَذَّبَتْ ثَمُودُ بِالنُّذُرِ

Kaum Tsamud pun telah mendustakan ancaman-ancaman (itu).

Kepada kaum Tsamud, telah diutuskan Nabi Saleh a.s. kepada mereka.

————————————

Ayat 24:

54:24
Transliteration

Faqaloo abasharan minna wahidannattabiAAuhu inna ithan lafee dalalinwasuAAur

Sahih International

And said, “Is it one human being among us that we should follow? Indeed, we would then be in error and madness.

Malay

Lalu mereka berkata: Patutkah kita menurut manusia dari jenis kita, lagi yang berseorangan? Jika demikian, sesungguhnya kita berada dalam keadaan sesat dan gila!

فَقَالُوا أَبَشَرًا مِّنَّا وَاحِدًا نَّتَّبِعُهُ

Maka mereka berkata: “Adakah patut kita mengikuti seorang manusia (biasa) di antara kita?”

Mereka mempersoalkan kenapa mereka perlu ikut seorang manusia sahaja. Nabi Saleh seorang diri sahaja tanpa pengikut yang ramai dan tentera yang mengiringinya. Oleh kerana itu, mereka pandang rendah kepada Nabi Saleh dan tidak mahu mengikut baginda. Mereka juga mengatakan yang Nabi Saleh itu adalah seorang manusia yang sama sahaja seperti mereka.

 

إِنَّا إِذًا لَّفِي ضَلَالٍ وَسُعُرٍ

Sesungguhnya kalau kita begitu, benar-benar kita berada dalam keadaan sesat dan gila”.

Mereka kata sesama mereka yang kalau mereka mengikut dakwah Nabi Saleh itu, merekalah yang akan sesat dan gila.

————————————

Ayat 25:

54:25
Transliteration

Aolqiya aththikru AAalayhimin baynina bal huwa kaththabun ashir

Sahih International

Has the message been sent down upon him from among us? Rather, he is an insolent liar.”

Malay

Tidaklah patut wahyu peringatan itu diturunkan kepadanya (padahal orang-orang yang lebih layak ada) di antara kita. Bahkan dialah seorang pendusta, lagi sombong angkuh.

أَأُلْقِيَ الذِّكْرُ عَلَيْهِ مِن بَيْنِنَا

Apakah wahyu itu diturunkan kepadanya di antara kita?

Mereka mempersoalkan kebenaran wahyu yang diberikan kepada Nabi Saleh. Mereka nak kata dalam banyak-banyak orang, kenapa pula wahyu diberikan kepada Nabi Saleh? Tidak ada orang lain lagikah? Mereka nak kata, ada lagi orang lain yang lebih layak untuk diberikan wahyu itu. Mereka pula yang lebih pandai dari Allah?

 

بَلْ هُوَ كَذَّابٌ أَشِرٌ

Sebenarnya dia adalah seorang yang amat pendusta lagi sombong.

Perkataan أَشِرٌ bermaksud ‘sombong’ tetapi bukan sombong yang biasa, tetapi sombong yang peringkat tertinggi sekali.

————————————

Ayat 26:

54:26
Transliteration

SayaAAlamoona ghadan mani alkaththabual-ashir

Sahih International

They will know tomorrow who is the insolent liar.

Malay

Mereka akan mengetahui kelak siapakah orangnya yang pendusta, lagi sombong angkuh itu.

سَيَعْلَمُونَ غَدًا مَّنِ الْكَذَّابُ الْأَشِرُ

Esok mereka akan mengetahui siapakah yang sebenarnya yang amat pendusta lagi sombong.

غَدًا ‘esok’ boleh bermaksud ‘Hari Pembalasan’ ataupun apabila mereka dikenakan dengan azab nanti. Mereka tuduh Nabi Saleh itu berdusta dan sombong, tapi itu adalah bohong sahaja. Nanti, mereka akan mengetahui siapakah yang sebenarnya yang berdusta dan sombong – iaitu mereka sendiri.

————————————

Ayat 27:

54:27
Transliteration

Inna mursiloo annaqatifitnatan lahum fartaqibhum wastabir

Sahih International

Indeed, We are sending the she-camel as trial for them, so watch them and be patient.

Malay

Sesungguhnya Kami menghantarkan unta betina (yang menjadi mukjizat) sebagai satu ujian bagi mereka. Lalu (Kami perintahkan Rasul Kami): Tunggulah (apakah yang mereka akan lakukan) serta bersabarlah (terhadap tentangan mereka).

إِنَّا مُرْسِلُو النَّاقَةِ

Sesungguhnya Kami mengirimkan unta betina

Kaum Nabi Saleh telah mencabar baginda untuk buktikan kenabian baginda dengan mengeluarkan satu mukjizat. Sebagaimana juga puak musyrikin Mekah minta mukjizat daripada Nabi Muhammad, begitulah juga kaum Nabi Saleh. Seperti di awal surah ini, telah disebut bagaimana mereka minta Nabi tunjukkan mukjizat dan bagaimana Allah telah memberi mukjizat Pembelahan Bulan kepada baginda.

Kaum Tsamud telah cabar Nabi Saleh untuk mengeluarkan seekor unta dari bukit batu. Unta itu pula mestilah unta betina. Unta itu juga mestilah berwarna merah. Bukan itu sahaja, tapi unta itu mesti bunting bila dikeluarkan. Dan unta itu hendaklah melahirkan unta yang betina juga dan anak unta itu juga mestilah unta merah juga. Itulah syarat-syarat yang mereka keluarkan kepada Nabi Saleh. Kalau dikirakan secara logik akal, tentulah syarat-syarat itu adalah syarat-syarat yang mustahil. Tetapi Allah telah mengeluarkan seperti mana yang mereka minta.

 

فِتْنَةً لَّهُمْ

sebagai cubaan bagi mereka,

Unta itu dikatakan sebagai ‘ujian’ kepada mereka kerana bila unta itu diberikan kepada mereka, ini akan membuka ruang kepada mereka untuk melakukan dosa. Mereka mungkin berlaku zalim kepada unta itu ataupun mereka boleh membunuh unta itu. Kerana bila unta itu diberikan, ianya datang dengan syarat-syarat dari Allah. Mereka tidak boleh menganiaya unta itu mereka, dan mereka mesti membiarkan unta itu tanpa gangguan. Mereka juga perlu berkongsi air dengan untuk itu.

Mereka minta mukjizat ditunjukkan kepada mereka, tanpa mereka sedari yang permintaan mereka itu adalah ujian kepada mereka yang akan menyusahkan mereka. Ini juga ingatan dan amaran kepada musyrikin Mekah yang selalu meminta-minta mukjizat dari Nabi Muhammad.

 

فَارْتَقِبْهُمْ وَاصْطَبِرْ

maka tunggulah (tindakan) mereka dan bersabarlah.

Lihatlah apa yang mereka akan lakukan. Adakah mereka akan beriman atau tidak. Nabi Saleh disuruh bersedia sahaja. Allah dah tahu apa yang mereka akan lakukan.

Bersabarlah dengan mereka dan apa yang mereka akan lakukan. Itu memerlukan kesabaran yang lebih tinggi dari biasa. Sebab itu perkataan وَاصْطَبِرْ yang digunakan. Kalau sabar, perkataan وَاصْبِرْ boleh digunakan. Dalam bahasa Arab, kalau perkataan itu dipanjangkan, ianya bermaksud ada sesuatu yang lebih yang dimaksudkan. Apabila huruf ط dimasukkan dalam وَاصْطَبِرْ, ianya hendak memberitahu kepada Nabi Saleh bahawa baginda perlu bersabar lebih dari biasa.

Allahu a’lam.

Lompat ke ayat yang seterusnya

=========================

Ref: UR, TZ, NAK

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 054: Qamar. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s