Tafsir Surah an-Najm Ayat 45-62

Ayat 45:

53:45
Transliteration

Waannahu khalaqa azzawjayni aththakarawal-ontha

Sahih International

And that He creates the two mates – the male and female –

Malay

Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan, –

وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ

dan sesungguhnya, Dialah yang menciptakan berpasang-pasangan lelaki dan wanita.

Segala kehidupan dalam alam ini ada jantan dan betina. Itu semua adalah ciptaan Allah Taala. Allah lah yang menjadikan kehidupan makhluk berpasangan. Hanya Dia sahaja yang tidak ada pasangan. Untuk makhlukNya, semuanya dijadikan berpasangan. Allah jadikan keindahan dalam perbezaan antara jantan dan betina itu. Bolehkah anda bayangkan kalau dunia ini ada satu jantina sahaja? Semua manusia lelaki sahaja? Atau semuanya perempuan sahaja? Tentulah amat tidak ceria alam ini kalau begitu.

Musyrikin Mekah menjadikan perempuan sebagai ‘anak Allah’ dalam agama rekaan mereka. Tapi sebenarnya lelaki dan perempuan adalah ciptaan Allah belaka.

—————————

Ayat 46:

53:46
Transliteration

Min nutfatin itha tumna

Sahih International

From a sperm-drop when it is emitted

Malay

Dari (setitis) air mani ketika dipancarkan (ke dalam rahim);

 

مِن نُّطْفَةٍ إِذَا تُمْنَىٰ

dari sperma, apabila dipancarkan.

Inilah permulaan kehidupan samada jantan atau betina. Bermula dari sperma yang dipancutkan ke dalam rahim betina. Samada manusia atau binatang, permulaan kehidupan adalah sebegini caranya.

Lihatlah asal manusia – dari air mani yang tidak ada apa-apa. Dari air yang hina sahaja – kalau jatuh ke tanah, ayam tak patuk, itik pun tak sudu kerana tidak ada nilai. Allah mengingatkan kepada kita asal kita dalam ayat ini. betapa Allah lah yang memberikan segalanya kepada manusia itu. Tapi apabila mereka sudah mendapat segala-galanya, mereka tidak mahu taat kepada Allah!

—————————

Ayat 47:

53:47
Transliteration

Waanna AAalayhi annash-ata al-okhra

Sahih International

And that [incumbent] upon Him is the next creation

Malay

Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang tetap menghidupkan semula (makhluk-makhluk yang mati);

 

وَأَنَّ عَلَيْهِ النَّشْأَةَ الْأُخْرَىٰ

Dan sesungguhnya Dia menetapkan ke atas DiriNya, kejadian yang lain (kebangkitan sesudah mati),

Permulaan penciptaan mahluk itu dari sperma air mani seperti yang telah disebut sebelum ini. Dari sperma itu, Allah jadikan kehidupan itu dalam bentuk yang lain: Kalau manusia, jadi sperma yang telah disenyawakan, akan jadi segumpal darah, kemudian jadi segumpal daging, tulang, organ dan seterusnya sampai jadi manusia sempurna.

Ayat ini juga membawa maksud penciptaan kita dalam bentuk kejadian yang lain apabila kita sudah dibangkitkan kelak. Kita akan diberi dengan tubuh badan yang baru, yang lain dari tubuh kita sekarang ini. Tubuh kita akan ‘dinaiktaraf’ di akhirat kelak untuk masuk syurga atau neraka. Kalau kita dibangkitkan kelak dalam tubuh kita semasa di dunia ini, ianya tidak akan tahan dengan segala seksaan dalam neraka. Kalau dia masuk syurga pula, tubuh yang di dunia ini juga tidak akan dapat menanggung segala nikmat yang Allah berikan di syurga itu. Maka, Allah akan berikan tubuh yang lebih besar dan lebih kuat. Bayangkan, dari hadis Nabi telah disebut bagaimana besarnya tubuh kita nanti. Gigi sahaja sebesar bukit Uhud!

Ini adalah satu kepercayaan yang amat penting. Kepercayaan kepada kewujudan Tuhan sahaja tidak cukup, tapi kena ada sekali dengan kepercayaan kepada kehidupan yang lain di akhirat kelak. Inilah yang ramai manusia sesat susah nak percaya. Terutama kepada musyrikin Mekah, atheist dan mereka yang seumpamanya. Orang-orang yang berfahaman atheist tidak mahu percaya kepada adanya Tuhan kerana mereka fikir, kalau ada Tuhan, kenapa dunia ini tidak adil? Ada sahaja kekurangan, kekejaman, kesusahan dan sebagainya, kata mereka. Hanya kerana itu, mereka menolak kewujudan Tuhan sama sekali. Itulah logik akal yang mereka sebut-sebutkan.

Itu adalah satu konklusi yang amat salah. Kita memang tidak nafikan yang memang ada ketidakadilan dalam dunia ini. Ada yang zalim menindas yang lemah, yang menipu dapat keuntungan dalam perniagaan, pemimpin yang zalim yang dilantik ke kedudukan yang tinggi, malah banyak lagi yang tidak kena dalam alam ini.

Tapi kita yang beriman ini percaya bahawa ada kehidupan di Akhirat kelak. Di situlah nanti keadilan yang sebenar-benarnya akan ditegakkan. Allah akan membalas dengan seadil-adilnya. Sebagai contoh, bayangkan seorang penjahat yang membunuh seratus orang di dunia, dan katakanlah polis berjaya tangkap dia. Apakah balasan yang setimpal untuknya semasa di dunia? Kalau dia dibalas bunuh, iaitu hukuman yang paling berat boleh dikenakan, berapa kali kita boleh bunuh dia? Sekali sahaja. Tapi bayangkan, di akhirat kelak, keadilan Allah akan ditegakkan dimana orang itu akan mendapat balasan yang setimpal di atas kejahatannya semasa di dunia. Allah boleh seksa manusia yang membunuh itu berkali-kali.

Perkataan وَأَنَّ عَلَيْهِ bermaksud Allah telah ‘menetapkan’ ke atas DiriNya untuk menjadikan kehidupan yang lain. Dalam erti kata lain, Allah ‘mewajibkan’ ke atas Dirinya. Apakah yang Allah tetapkan? Allah telah tetapkan ke atas DiriNya untuk mengadakan hari Kiamat. Kerana di sanalah nanti keadilan akan ditegakkan. Maksudnya, Allah PASTI akan jadikan hari Kiamat itu. Kalau kita tidak mendapat keadilan semasa di dunia, yakinlah bahawa kita akan mendapat keadilan di akhirat kelak.

—————————

Ayat 48:

53:48
Transliteration

Waannahu huwa aghna waaqna

Sahih International

And that it is He who enriches and suffices

Malay

Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang memberikan (sesiapa yang dikehendakiNya) apa yang diperlukannya dan memberikannya tambahan yang boleh disimpan;

 

وَأَنَّهُ هُوَ أَغْنَىٰ وَأَقْنَىٰ

dan bahwasanya Dia yang memberikan kekayaan dan memberikan ‘kecukupan’,

Perkataan أَغْنَىٰ berasal dari katadasar غنى yang bermaksud ‘kaya’. Jadi perkataan أَغْنَىٰ bermaksud ‘menjadikan seseorang kaya’ dengan memberikan harta kepadanya, dan dengan itu memberikan keperluan hidup kepada orang itu.

أَقْنَىٰ pula dari katadasar قنى yang bermaksud ‘mempunyai harta’, iaitu harta yang tidak boleh digerakkan seperti tanah, ladang, rumah, pokok dan sebagainya. Apabila kita ada harta yang sebegitu, kita akan rasa ‘cukup’. Kerana harta macam ini tidak boleh untuk diambil, dicuri. Kalau wang, emas dan perak, orang lain boleh curi, kena rompak atau ianya boleh hilang. Jadi, satu maksud أَقْنَىٰ yang kita boleh faham adalah: Allah lah memberikan manusia perasaan ‘cukup’ itu. Lihatlah bagaimana ada manusia yang kaya dan segala keperluan yang cukup, tetapi dia masih lagi ada rasa tidak kena, tidak cukup. Oleh itu, perasaan cukup dan puas itu juga adalah satu rahmat dari Allah. Kalau Allah tak berikan, berapa banyak harta pun tak cukup juga.

Ada satu lagi makna أَقْنَىٰ. Ia juga boleh dimaksudkan ‘menjadikan seseorang faqir’. Faqir itu bermaksud ‘memerlukan’, iaitu maksud yang berlawanan dengan ‘cukup’. Kalau seseorang itu faqir, dia amat memerlukan harta, wang dan sebagainya. Bagaimana pula boleh begini? Ini adalah kerana, dalam Bahasa Arab ada konsep menyebut satu perkataan, tetapi maksudnya berlawanan dengan yang disebut. Oleh itu, walaupun yang disebut dari segi literal adalah ‘cukup’, tapi maksud yang hendak dibawa adalah ‘memerlukan’. Ayat ini bermakna Allah lah sahaja boleh memberi kekayaan kepada seseorang dan Dia lah juga yang menjadikan seseorang itu Faqir. Betapa pandai pun dia dalam bekerja atau berniaga, kalau Allah takdirkan dia jadi orang yang miskin dan faqir, maka faqirlah dia. Itu hanya ada dalam Tangan Allah.

Dalam ayat-ayat sebelum ini, ada disebutkan bagaimana ada manusia yang meninggalkan untuk meneruskan melakukan kebaikan. Kenapa? Manusia meninggalkan perbuatan amal kebaikan dan meninggalkan untuk belajar agama adalah kerana sibuk mencari keperluan hidup dunia. Sebab itulah Allah menekankan ayat ini bahawa yang memberi rezki adalah Dia. Bukannya kerja kita, bukannya syarikat kita bekerja, dan bukan juga bos kita. Bekerja keras pun sampai tidak buat ibadat dan tidak belajar agama, tapi kalau Allah tidak beri rezeki, orang itu pun tidak akan mendapat rezeki juga.

—————————

Ayat 49:

53:49
Transliteration

Waannahu huwa rabbu ashshiAAra

Sahih International

And that it is He who is the Lord of Sirius

Malay

Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah Tuhan (Pencipta) “Bintang Syikra;

 

وَأَنَّهُ هُوَ رَبُّ الشِّعْرَىٰ

dan bahwasanya Dialah yang Tuhan (yang memiliki) bintang Syi’ra,

Bintang Syi’ra adalah bintang yang terkenal pada zaman Jahiliyah. Ianya disembah oleh musyrik juga. Iaitu disembah oleh Puak Khuzaah. Maknanya, Arab Jahiliyah bukan sahaja menyembah berhala, tapi ada juga menyembah bintang. Ada juga yang mengatakan yang Bintang Syi’ra itu adalah bintang Jupiter. Dan ada yang mengatakan ianya adalah Bintang Sirius. Orang Mesir juga pada zaman dahulu ada menyembah bintang ini. Kepada mereka, bintang Itulah yang menyebabkan air Sungai Nil itu ada. Kalau tak sembah Bintang itu, mereka takut yang Sungai Nil akan kekeringan.

Allah memberitahu kepada puak Musyrikin bahawa Allah juga lah Tuhan kepada bintang ini. Maka janganlah sembah Bintang Syi’ra itu, tetapi sembahlah kepada Tuhannya. Allah yang mengawal kehidupan makhluk dan bukannya bintang itu.

—————————

Ayat 50: Allah memberi peringatan kepada mereka yang tidak tak ada kepadanya bahawa Allah boleh menghancurkan mereka seperti mana telah menghancurkan kaum dan umat umat yang terdahulu.

53:50
Transliteration

Waannahu ahlaka AAadan al-oola

Sahih International

And that He destroyed the first [people of] ‘Aad

Malay

Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang membinasakan kaum “Aad” yang pertama (kaum Nabi Hud), –

 

وَأَنَّهُ أَهْلَكَ عَادًا الْأُولَىٰ

dan bahwasanya Dia telah membinasakan kaum ‘Aad yang dulu,

Ini merujuk kepada Kaum Aad yang menjalankan kehidupan mereka lama dahulu. Itulah yang dimaksudkan dengan perkataan الْأُولَىٰ.

Atau perkataan الْأُولَىٰ bermaksud ‘yang awal’. Ini bermaksud ada dua kaum Aad. Aad yang kedua adalah Kaum Tsamud. Apabila kaum Aad yang mula-mula itu telah dihancurkan, kaum Tsamud diangkat menggantikan mereka. Jadi kaum Tsamud adalah ‘Aad yang kedua’.

Jadi kaum Aad itu telah dihancurkan kerana mereka telah berpaling dari agama Allah sebagaimana juga Allah telah berfirman di dalam Fussilat:13

فَإِنْ أَعْرَضُوا فَقُلْ أَنذَرْتُكُمْ صَاعِقَةً مِّثْلَ صَاعِقَةِ عَادٍ وَثَمُودَ

Jika mereka berpaling maka katakanlah: “Aku telah memperingatkan kamu dengan petir, seperti petir yang menimpa kaum ‘Aad dan Tsamud”.

Aad adalah keturunan kelima Nabi Nuh selepas kejadian ‘Banjir Besar’. Yang bersama dengan Nabi Nuh itu semuanya orang beriman. Tapi, apabila sampai kepada keturunan yang kelima, dah ada yang sesat dah. Oleh itu, kita pun tak pasti tentang keturunan kita nanti. Kita berdoa semoga mereka tidak sesat. Tapi kalau kita tidak jalankan kerja dakwah dan ajar tauhid kepada manusia, mereka akan jadi sesat. Sekarang pun ramai yang dah sesat, bayangkan kalau tidak ada orang yang mengajar agama yang benar. Kerana manusia ini kalau tidak diberikan peringatan, mereka akan condong kepada kesyirikan. Dan memang begitu sifat kebanyakan manusia.

—————————

Ayat 51:

53:51
Transliteration

Wathamooda fama abqa

Sahih International

And Thamud – and He did not spare [them] –

Malay

Dan kaum “Thamud” (kaum Nabi Soleh). Maka tidak ada seorangpun (dari kedua-dua kaum itu) yang dibiarkan hidup.

 

وَثَمُودَ فَمَا أَبْقَىٰ

dan kaum Tsamud. Maka tidak seorangpun yang diselamatkan-Nya

Semua sekali ahli kaum itu dimatikan. Tidak ada yang ditinggalkan.

—————————

Ayat 52:

53:52
Transliteration

Waqawma noohin min qablu innahum kanoohum athlama waatgha

Sahih International

And the people of Noah before. Indeed, it was they who were [even] more unjust and oppressing.

Malay

Dan kaum Nabi Nuh sebelum itu (telah juga dibinasakan). Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang sangat zalim dan sangat melampaui batas.

 

وَقَوْمَ نُوحٍ مِّن قَبْلُ

Dan kaum Nuh sebelum itu.

Sebelum wujud kaum Aad dan Tsamud itu, telah ada kaum Nabi Nuh. Mereka juga telah dihapuskan dengan dijadikan banjir besar yang menghapuskan semua manusia kecuali beberapa orang yang bersama dengan Nabi Nuh.

Sebelum Quraisy juga telah ada kaum yang lain. Allah ingatkan kepada mereka bagaimana kaum-kaum yang hebat itu pun telah dihancurkan kerana mereka berpaling dari ajaran Nabi mereka.

 

إِنَّهُمْ كَانُوا هُمْ أَظْلَمَ وَأَطْغَىٰ

Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang lebih zalim dan lebih durhaka,

Zalim itu bermaksud syirik. Mereka melakukan Tawasul kepada lima orang wali. Iaitu orang-orang alim dahulu kala. Tapi kerana bisikan syaitan, orang-orang alim yang telah mati itu dijadikan sebagai perantara dalam berdoa.

Mereka itu dikatakan dalam ayat ini ‘lebih zalim’ dan ‘lebih derhaka’ daripada kaum Aad dan Tsamud kerana mereka telah diberikan Rasul yang berada bersama mereka untuk jangkamasa yang lebih lama iaitu 950 tahun. Sepanjang waktu yang lama itu, mereka menolak dakwah Nabi Nuh dan terus zalim dan derhaka.

————————

Ayat 53:

53:53
Transliteration

Walmu/tafikata ahwa

Sahih International

And the overturned towns He hurled down

Malay

Dan bandar-bandar yang ditunggang balikkan itu, Dia lah yang (mengangkatnya ke angkasa dan) menghempaskannya ke bumi;

 

وَالْمُؤْتَفِكَةَ أَهْوَىٰ

dan negeri yang telah diterbalikkan, yang dicampakkan ke bawah.

Negeri yang dimaksudkan adalah negeri Sodom tempat kaum Nabi Luth. Itulah Atlantis yang dicari-cari oleh manusia. Dicungkil negeri itu ke langit dan dihempas ke bumi. Sampaikan semasa diangkat ke langit itu, penduduk langit pertama boleh dengar bunyi ayam berkokok. Yang mengangkat itu adalah Malaikat Jibril.

Perkataan الْمُؤْتَفِكَةَ juga boleh digunakan untuk memperkatakan tentang mereka, kerana mereka telah ‘menterbalikkan’ fitrah manusia yang mengadakan hubungan antara lelaki dan perempuan. Sebaliknya mereka telah menukar fitrah dengan mengamalkan homoseksual.

Perkataan الْمُؤْتَفِكَةَ juga digunakan kepada mereka kerana seluruh negeri mereka telah diterbalikkan sebelum dihempaskan bumi semula.

—————————-

Ayat 54:

53:54
Transliteration

Faghashshaha ma ghashsha

Sahih International

And covered them by that which He covered.

Malay

Lalu (penduduk) bandar-bandar itu diliputi azab seksa yang meliputinya.

 

فَغَشَّاهَا مَا غَشَّىٰ

lalu Allah menutup atas negeri itu azab besar yang menutupnya.

Setelah negeri kaum Luth itu dihempaskan semula ke bumi, mereka telah dihujani dengan batu pula. Ini seperti disebut dalam Hud:82

فَلَمَّا جَاءَ أَمْرُنَا جَعَلْنَا عَالِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ مَّنضُودٍ

Maka tatkala datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Luth itu yang di atas ke bawah (Kami balikkan), dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi,

Dalam riwayat ada disebut bagaimana setiap batu itu telah mempunyai nama mangsanya masing-masing.

Allah menggunakan perkataan مَا غَشَّىٰ (apa yang menutupi) mereka untuk menunjukkan apa yang menghentam mereka adalah amat berat sekali. Ianya untuk memberikan perasaan takut kepada manusia.

——————————-

Ayat 55:

53:55
Transliteration

Fabi-ayyi ala-i rabbika tatamara

Sahih International

Then which of the favors of your Lord do you doubt?

Malay

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhanmu (yang tidak terhingga itu) engkau ragu-ragukan (wahai manusia)?

 

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكَ تَتَمَارَىٰ

Maka terhadap nikmat Tuhanmu yang manakah kamu ragu-ragu?

Adakah yang kamu tidak puas hati? Dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada manusia, ada lagi yang tak puas hati sampai tak mahu nak taat kepadaNya? Masih lagi mereka nak menentang Nabi Muhammad?

————————–

Ayat 56: Allah kembali memperkatakan tentang Nabi Muhammad.

53:56
Transliteration

Hatha natheerun mina annuthurial-oola

Sahih International

This is a warner like the former warners.

Malay

Ini adalah pemberi amaran di antara jenis-jenis amaran yang telah lalu!

 

هَٰذَا نَذِيرٌ مِّنَ النُّذُرِ الْأُولَىٰ

Ini (Muhammad) adalah seorang pemberi peringatan di antara pemberi-pemberi peringatan yang terdahulu.

Ajaran tauhid yang dibawa oleh Nabi Muhammad sama sahaja dengan yang dibawa oleh Nabi-Nabi dahulu. Dalam ayat sebelum ini telah disebut kaum-kaum Nabi terdahulu dan Rasul-Rasul terdahulu. Semuanya membawa ajaran tauhid yang sama. Mungkin ada perbezaan dari segi syariat antara satu Nabi ke Nabi yang lain, tetapi sama sahaja ajaran tauhid.

Oleh itu, kita pun kena ikut langkah mereka dengan memberi peringatan tentang tauhid kepada manusia di seluruh dunia ini. Berapa banyak kesesatan yang ada dalam dunia ini tapi apa yang kita lakukan? Adakah kita hanya melihat sahaja tanpa buat apa-apa?

—————————

Ayat 57:

53:57
Transliteration

Azifati al-azifat

Sahih International

The Approaching Day has approached.

Malay

Telah hampir masa datangnya saat yang dekat itu (hari kiamat);

 

أَزِفَتِ الْآزِفَةُ

Telah dekat terjadinya hari kiamat.

Perkataan أَزِفَتِ dari kata dasar ء ز ف yang bermaksud ‘masa yang tinggal sedikit’. Maksudnya dah dekat nak jadi. Maksudnya Kiamat semakin mendekat.

الْآزِفَةُ bermaksud ‘Yang sedang mendekat’, iaitu Hari Kiamat. Tak lama lagi akan berlaku. Dalam Ghafir:18, telah disebut juga tentang Hari Kiamat yang semakin mendekat itu:

وَأَنذِرْهُمْ يَوْمَ الْآزِفَةِ إِذِ الْقُلُوبُ لَدَى الْحَنَاجِرِ كَاظِمِينَ مَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ حَمِيمٍ وَلَا شَفِيعٍ يُطَاعُ

Berilah mereka peringatan dengan hari yang dekat (hari kiamat yaitu) ketika hati (menyesak) sampai di kerongkongan dengan menahan kesedihan. Orang-orang yang zalim tidak mempunyai teman setia seorangpun dan tidak (pula) mempunyai seorang pemberi syafa’at yang diterima syafa’atnya.

Salah satu tanda kedatangan Kiamat tidak lama lagi adalah kedatangan Nabi Muhammad sendiri. Apabila Nabi akhir zaman sudah dibangkitkan, bermaksud Kiamat akan berlaku tidak lama lagi. Itulah permulaan tanda Kiamat. Dan akhir sekali adalah apabila matahari terbit dari barat. Waktu itu, segala taubat tidak diterima lagi.

———————————-

Ayat 58:

53:58
Transliteration

Laysa laha min dooni Allahi kashifat

Sahih International

Of it, [from those] besides Allah , there is no remover.

Malay

Tidak ada sesiapapun selain Allah yang dapat menahan atau menghapuskan huru-hara “hari kiamat” itu.

 

لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ اللَّهِ كَاشِفَةٌ

Tidak ada yang boleh menyatakan bila terjadinya hari itu selain Allah.

Hanya Allah sahaja yang tahu bilakah berlakunya kiamat itu. Oleh itu, sesiapa yang kata mereka tahu bilakah akan terjadinya kiamat, adalah kufur. Malangnya, ada kalangan agamawan sesat dalam negara ini yang telah membuat andaian bilakah terjadinya Hari Kiamat itu. Padahal Allah telah sebut dalam A’raf:187

يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ رَبِّي لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلَّا هُوَ ثَقُلَتْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَا تَأْتِيكُمْ إِلَّا بَغْتَةً يَسْأَلُونَكَ كَأَنَّكَ حَفِيٌّ عَنْهَا قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ اللَّهِ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: “Bilakah terjadinya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba”. Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.

Dalam ayat ini, dijelaskan bahawa Nabi Muhammad sendiri tidak tahu bilakah akan terjadinya Kiamat itu. Lalu bagaimana ada ‘ulama’ dalam negara ini yang boleh ramal bilakah terjadinya Kiamat itu? Itulah ulama yang tidak berpegang dengan Quran. Maknanya, bukan semua ulama boleh dipercayai. Mereka nama sahaja ulama, tapi amat jahil dan menjahilkan masyarakat pula.

كَاشِفَةٌ juga bermaksud ‘mengangkat’ yang bermaksud ‘menghilangkan’. Ini bermaksud, selain Allah, tidak ada sesiapa yang akan dapat menidakkan atau melambatkan kedatangan hari Kiamat itu. Apabila telah sampai masa yang telah ditentukan oleh Allah, ianya akan sampai, tidak akan lambat sesaat dan tidak akan terawal sesaat.

—————————

Ayat 59:

53:59
Transliteration

Afamin hatha alhadeethitaAAjaboon

Sahih International

Then at this statement do you wonder?

Malay

Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini (sehingga kamu mengingkarinya)?

 

أَفَمِنْ هَٰذَا الْحَدِيثِ تَعْجَبُونَ

Maka apakah kamu merasa hairan terhadap pemberitaan ini?

Perkataan هَٰذَا الْحَدِيثِ bermaksud berita tentang Hari Kiamat itu. Adakah kamu hairan dengan pemberitahuan tentang kedatangan Kiamat itu? Adakah kerana kamu tak tahu tentangnya, kamu tak mahu terima? Ini amat bahaya, kerana ada antara masyarakat kita yang tak tahu sesuatu perkara tentang agama, mereka tolak. Sebagai contoh, ada yang tak pernah dengar bahawa Nabi menggerak-gerakkan jarinya dalam tasyahud, maka dia tolak. Padahal, dia tak dengar itu sebab dia tak belajar. Tapi sebab dia tak pernah dengar, maka adakah bermaksud amalan itu tiada?

Makna kedua perkataan هَٰذَا الْحَدِيثِ adalah ia bermaksud ‘Quran’. Dalam surah Qaf:2

بَلْ عَجِبُوا أَن جَاءَهُم مُّنذِرٌ مِّنْهُمْ فَقَالَ الْكَافِرُونَ هَٰذَا شَيْءٌ عَجِيبٌ

(Mereka tidak menerimanya) bahkan mereka tercengang kerana telah datang kepada mereka seorang pemberi peringatan dari (kalangan) mereka sendiri, maka berkatalah orang-orang kafir: “Ini adalah suatu yang amat ajaib”.

Orang kafir yang tidak mahu beriman, merasa hairan dengan Quran. Mereka hairan yang Allah hendak menurunkan satu kitab dariNya kepada manusia. Tapi ta’jub mereka itu bukan menyebabkan mereka beriman, tapi menyebabkan mereka kufur.

Memang ada banyak keajaiban dalam Quran itu. Itu adalah mukjizat Quran. Sampai sekarang pun, banyak lagi yang kita tidak tahu. Antara keajaiban dalam Quran, kata-kata orang musyrik dan kufur telah ada dalam Quran walaupun mereka tak cakap lagi. Allah telah sebut apa yang ada dalam hati mereka. Kerana sama sahaja apa yang dikatakan dalam Quran dengan perbuatan manusia. Hujah-hujah manusia sudah ada dalam Quran itu. Sebagai contoh, dalam ayat Zumar:3, alasan mereka yang mengamalkan tawasul telah disebut awal-awal lagi. Cuma yang mengamalkan tawasul itu sahaja yang tak tahu kerana mereka tidak belajar tafsir Quran.

Ketiga, perkataan هَٰذَا الْحَدِيثِ boleh bermaksud ‘mesej dalam Quran’ yang mengandungi tauhid. Memang mesej utama yang dibawa dalam Quran adalah tentang Allah dan tentang tauhid. Mereka amat kehairanan dengan ajakan tauhid dalam Quran ini. Dalam Sad:5

أَجَعَلَ الْآلِهَةَ إِلَٰهًا وَاحِدًا إِنَّ هَٰذَا لَشَيْءٌ عُجَابٌ

Mengapa ia menjadikan tuhan-tuhan itu Tuhan Yang Satu saja? Sesungguhnya ini benar-benar suatu hal yang sangat menghairankan.

Mereka hairan kenapa perlu sembah hanya satu Tuhan sahaja. Mereka dah biasa sembah banyak tuhan, tiba-tiba Quran kata hanya sembah satu Tuhan sahaja?

Begitulah juga masyarakat kita yang masih tak tahu bahawa terdapat ajaran tauhid dalam Quran itu. Yang tak tahu itu termasuklah para ustaz pun. Yang mereka sangka, Quran itu hanya menceritakan hal hukum dan sejarah dan perkara lain. Mereka ingat kisah musyrik yang banyak dalam Quran itu adalah tentang musyrikin Mekah sahaja. Mereka tak tahu yang kisah musyrikin Mekah itu adalah untuk singgung mereka. Tapi masyarakat kita, termasuk para ustaz-ustaz pun, tidak tahu tentang perkara ini kerana mereka tak belajar tafsir Quran. Jadi, apabila mereka tak tahu, dan kita beritahu tentang hal tauhid yang ada dalam Quran itu, mereka ta’jub kehairanan. Dan kerana hairan itu, mereka tolak. Mereka tolak kerana ianya tidak kena dengan akidah mereka.

——————————

Ayat 60: Hari Kiamat dah dekat, tapi bagaimanakah sifat mereka yang musyrik?

53:60
Transliteration

Watadhakoona wala tabkoon

Sahih International

And you laugh and do not weep

Malay

Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya), dan kamu tidak mahu menangis (menyesali kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)?

 

وَتَضْحَكُونَ وَلَا تَبْكُونَ

Dan kamu mentertawakan dan tidak menangis?

Musyrikin Mekah mengejek-ejek Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad itu. Mereka langsung tidak menghormati Quran. Macam-macam tohmahan yang berikan kepada Nabi Muhammad dan Quran itu.

Begitu jugalah ahli-ahli bidaah dalam masyarakat kita yang mengejek apabila diberitahu tentang tafsir Quran. Mereka mentertawakan golongan yang hendak mengamalkan sunnah dengan mengatakan ahli sunnah itu ‘Golongan Wahabi’. Itu adalah gelaran mengejek-ejek dan mentertawakan orang lain. Sebagaimana musyrikin Mekah mengejek Nabi Muhammad, begitulah juga ahli bidaah mengejek orang yang hendak mengamalkan sunnah.

Mereka juga buat tak kisah dan tak takut pun apabila disebutkan tentang hari Kiamat. Padahal hari Kiamat itu sudah dekat dah seperti yang disebut dalam ayat 57 tadi. Apabila dikatakan mereka ‘tidak menangis’, bermaksud mereka tak takut pun dengan azab Allah. Mereka tak menyesal pun dengan kesalahan amalan mereka.

Begitulah puak bidaah di negara ini. Mereka tak takut pun dengan kesalahan amalan bidaah mereka. Mereka tak takut kerana mereka tak tahu pun bahawa apa yang mereka lakukan itu sebenarnya adalah dosa. Mereka sangka ianya akan memberi pahala, tapi sebenarnya ia memberi dosa kepada mereka.

Itulah sebabnya orang yang mengamalkan bidaah itu lebih teruk dari mereka yang mengamalkan maksiat. Kerana mereka yang buat maksiat itu, tahu yang mereka buat itu adalah dosa dan mereka kalau diberi kesempatan oleh Allah, mereka akan bertaubat. Tapi, mereka yang mengamalkan bidaah, tidak tahu pun yang mereka buat itu adalah dosa. Maka, tentu mereka TAKKAN minta ampun atas bidaah yang mereka lakukan kerana mereka rasa mereka tidak berdosa.

——————————-

Ayat 61:

53:61
Transliteration

Waantum samidoon

Sahih International

While you are proudly sporting?

Malay

Sedang kamu adalah orang-orang yang sombong angkuh, lagi yang melalaikan kewajipan?

 

وَأَنتُمْ سَامِدُونَ

Sedang kamu berhibur sahaja?

Allah menempelak mereka yang buang masa berhibur ke sana ke sini dan tidak peduli tentang Quran.

سَامِدُونَ dari katadasar سمد yang bermaksud ‘mengangkat kepala’ dengan bangga dan sombong. Mereka menolak ajakan dakwah. Mereka sombong untuk terima ajakan tauhid dari Nabi Muhammad.

سَامِدُونَ juga bermaksud mereka yang mengangkat tinggi kepala mereka dan tidak melihat ke bawah, kiri dan ke kanan lagi, yang bermaksud mereka itu tidak memikirkan tentang hal agama ini. Dia sibuk dengan dunia sampaikan tidak memikirkan tentang agama. Mereka angkat kepala nampak dunia sahaja.

Ibnu Abbas mengatakan maksud سَامِدُونَ itu adalah leka dengan hiburan. Leka dengan muzik, dengan nyanyian, filem dan lain-lain. Sepatutnya mereka sibuk tentang Quran, tentang agama, tapi mereka sibuk dengan hiburan. Dalam Fussilat:26

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَسْمَعُوا لِهَٰذَا الْقُرْآنِ وَالْغَوْا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ

Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar akan Al Quran ini dan buatlah hiruk-pikuk terhadapnya, supaya kamu dapat mengalahkan mereka”.

Begitulah musyrikin Mekah menggunakan hiburan untuk menghalang manusia dari mendengar ajaran Quran. Maka, zaman sekarang, apabila sibuk dengan hiburan, maka kita akan lalai dari Quran, dari jalan agama. Malangnya, ada golongan yang kononnya hendak kepada agama, tapi gunakan pentas hiburan pula untuk berdakwah! Itu adalah cara yang amat salah  Quran larang kita dari lalai dengan hiburan, tapi mereka pula bawakan hiburan kepada manusia atas nama agama.

—————————————

Ayat 62: Arahan kepada orang beriman.

53:62
Transliteration

Fasjudoo lillahi waAAbudoo

Sahih International

So prostrate to Allah and worship [Him].

Malay

Oleh yang demikian, hendaklah kamu sujud kepada Allah (yang telah menurunkan Al-Quran itu), dan beribadatlah kamu kepadaNya (dengan sepenuh-penuh tauhid).

 

فَاسْجُدُوا لِلَّهِ وَاعْبُدُوا

Maka bersujudlah kepada Allah dan sembahlah (Dia).

Di awal surah ini, disebut tentang ‘bintang terbenam’. Di hujung surah ini sekarang, disebut yang kita pun disuruh tunduk sujud kepadaNya. Lihatlah bagaimana bintang itu besar dan tinggi di langit, tapi apabila Allah mengarahkannya untuk jatuh terbenam, ia taat. Kita pun kena taat begitu juga. Kita kenalah rendahkan diri kepada Allah.

Kita disuruh taat dan sembah kepada Allah, bukannya sibuk dengan dunia, sibuk dengan hiburan.

Penutup:
Kita telah sebutkan bagaimana surah ini dibacakan oleh Nabi Muhamad dari mula sampailah kepada ayat sajdah ini. Surah ini adalah arahan dari Allah kepada baginda untuk menyerang tuhan-tuhan sembahan musyrikin seperti Lata, Uzza dan Manat. Bayangkan Nabi membacakan ayat ini kepada musyrikin Mekah yang memang waktu itu menyembah berhala-berhala itu.

Bacaan surah ini amatlah mengasyikkan, tambahan pula dibaca oleh Nabi Muhammad sendiri, menyebabkan musyrikin Mekah yang mendengarnya juga terpukau. Apabila Nabi habis baca sahaja, semua yang ada di situ, telah sujud, termasuklah musyrikin Mekah sekalipun! Mereka terpanggil untuk sujud, macam mereka tidak ada pilihan lain. Itulah kekuatan Quran.

Kejadian itu telah menyebabkan satu kekecohan yang hebat. Semua orang dah tahu yang mereka ramai-ramai telah sujud dalam majlis itu. Orang ramai sudah mula berkata bahawa Musyrikin Mekah telah beriman dengan Muhammad! Kerana malu, mereka kata mereka sebenarnya sujud kepada Lata dan Uzza, kerana dalam surah Najm ini, ada disebut nama tuhan berhala mereka itu.

Jangan ingat surah ini hanya ditujukan kepada musyrikin Mekah sahaja. Tapi ianya ditujukan kepada kita dengan menggunakan kesalahan yang dilakukan mereka sebagai contoh. Ada amalan mereka yang masyarakat kita pun ada lakukan. Iaitu berdoa menggunakan tawasul. Maka, selepas membaca tentang surah ini, jangan lagi ikut amalan golongan Musyrikin Malaysia yang berdoa kepada selain Allah. Jangan ikut mereka yang menggunakan perantaraan dalam mereka berdoa kepada Allah. Sebaliknya hendaklah kita berdoa terus kepada Allah.

Allahu a’lam.

Lompat ke surah yang seterusnya, Surah al-Qamar

======================

Ref: UR, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 053: Najm. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s