Tafsir Surah an-Najm Ayat 32-44

Ayat 32: Sifat-sifat mereka yang akan dibalas dengan syurga:

53:32
Transliteration

Allatheena yajtaniboona kaba-iraal-ithmi walfawahisha illa allamama innarabbaka wasiAAu almaghfirati huwa aAAlamu bikum ithanshaakum mina al-ardi wa-ith antum ajinnatun feebutooni ommahatikum fala tuzakkoo anfusakumhuwa aAAlamu bimani ittaqa

Sahih International

Those who avoid the major sins and immoralities, only [committing] slight ones. Indeed, your Lord is vast in forgiveness. He was most knowing of you when He produced you from the earth and when you were fetuses in the wombs of your mothers. So do not claim yourselves to be pure; He is most knowing of who fears Him.

Malay

(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya. Ia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Ia mencipta kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.

الَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ

(Yaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar

Ini adalah sifat orang-orang yang Allah akan balas dengan syurga seperti yang disebut di dalam ayat sebelum ini.

Dalam ayat sebelum ini telah disentuh bagaimana Allah akan membalas manusia dengan kebaikan amal yang mereka lakukan. Tetapi dalam agama ini, kita bukan sahaja perlu beramal, tetapi ada perkara-perkara yang kita perlu tinggalkan. Oleh itu, ayat ini memperkatakan tentang dosa pula.

Penting untuk kita meninggalkan dosa-dosa kerana kita hanya boleh beramal dengan kebaikan jikalau kita meninggalkan dosa. Janganlah kita menjadi orang yang buat amal ibadat, tapi dalam masa yang sama, masih lagi melakukan dosa-dosa besar. Dosa-dosa yang besar akan menghalang kita dari melakukan amal ibadat.

Ayat ini tentang mereka yang meninggalkan dosa-dosa besar. Dia memang tak buat dosa-dosa syirik dah, tetapi dalam masa yang sama, dia juga tidak mahu langsung membuat dosa-dosa besar. Sebagai contoh, kalau ada orang yang buat Majlis Tahlil dan ajak dia datang, dia memang tidak akan hadir. Ataupun kalau ada yang buat majlis perkahwinan dan ada bersanding, dia tak jadi naik ke rumah itu. Sanggup dia patah balik dan makan di kedai makan sahaja dari bersekongkol dengan majlis syirik kepada Allah.

Ulama mengatakan bahawa كَبَائِرَ الْإِثْمِ ini adalah dosa-dosa yang membawa kita ke Neraka jikalau kita melakukannya. Dalam al-Qur’an telah dijelaskan berbagai macam dosa-dosa besar dan keharusan kita untuk bertaubat serta menjauhkan diri dari hal-hal yang dilarang oleh Allah. Dosa besar merupakan sesuatu dosa yang dalam al-Qur’an sudah diancam hukuman yang sangat berat dan tidak mendapat ampunan dari Allah. Sebagai seorang muslim, kewajiban kita adalah menjalankan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya yang timbul dari keimanan dan ketakwaan kita.

Ada 70 jenis dosa besar yang disebut dalam kitab Al-Kabair oleh Adz-Dzahabi. Alasan dan dasar hukumnya dapat dilihat sendiri dalam kitab Al-Kabair (الكبائر) karya Adz-Dhahabi.

1. Menyekutukan Allah atau Syirik
2. Membunuh manusia
3. Melakukan sihir
4. Meninggalkan salat
5. Tidak mengeluarkan zakat
6. Tidak berpuasa ketika bulan Ramadhan tanpa alasan yang kuat
7. Tidak mengerjakan Haji walaupun berkecukupan
8. Durhaka kepada Ibu Bapa
9. Memutuskan silaturahim
10. Berzina
11. Melakukan sodomi atau homoseksual
12. Memakan riba
13. Memakan harta anak yatim
14. Mendustakan Allah S.W.T dan rasul-Nya
15. Lari dari medan perang
16. Pemimpin yang penipu dan kejam
17. Sombong
18. Saksi palsu
19. Meminum minuman beralkohol
20. Berjudi
21. Menuduh orang baik melakukan zina
22. Menipu harta rampasan perang
23. Mencuri
24. Merompak
25. Sumpah palsu
26. Berlaku zalim
27. Pemungut cukai yang zalim
28. Makan dari harta yang haram
29. Bunuh diri
30. Berbohong
31. Hakim yang tidak adil
32. Memberi dan menerima rasuah
33. Wanita yang menyerupai lelaki dan sebaliknya juga
34. Membiarkan isteri, anaknya atau anggota keluarganya yang lain berbuat maksiat dan membantu anggota keluarganya untuk berbuat maksiat
35. Menikahi wanita yang telah bercerai agar wanita tersebut nantinya boleh kembali menikah dengan suaminya terdahulu (Cina Buta)
36. Tidak melindungi pakaian dan tubuhnya dari terkena hadas kecil seperti air kencing atau kotoran
37. Riya atau suka menunjuk-nunjuk
38. Ulama yang memiliki ilmu namun tidak mahu mengamalkan ilmu tersebut untuk orang lain
39. Berkhianat
40. Mengungkit-ungkit pemberian
41. Mengingkari takdir Allah SWT
42. Mencari-cari kesalahan orang lain
43. Menyebarkan fitnah
44. Mengutuk umat Islam
45. Mengingkari janji
46. Percaya kepada sihir dan nujum
47. Durhaka kepada suami
48. Membuat patung
49. Menamparkan pipi dan meratap jika terkena bala
50. Mengganggu orang lain
51. Berbuat zalim terhadap yang lemah
52. Menggangu jiran
53. Menyakiti dan memaki orang Islam
54. Durhaka kepada Allah S.W.T dan menggangap dirinya baik
55. Memakai pakaian labuh
56. Lelaki yang memakai sutera dan emas
57. Seorang hamba yang lari dari tuannya
58. Sembelihan untuk selain dari Allah S.W.T
59. Seorang yang mengaku bahawa seseorang itu adalah ayahnya namun dia tahu bahawa itu tidak benar
60. Berdebat dan bermusuhan
61. Enggan memberikan kelebihan air
62. Mengurangi timbangan
63. Merasa aman dari kemurkaan Allah S.W.T
64. Putus asa dari rahmat Allah S.W.T
65. Meninggalkan solat berjemaah tanpa alasan yang kuat
66. Meninggalkan Solat Jumaat tanpa alasan yang kuat
67. Merebut hak warisan yang bukan miliknya
68. Menipu
69. Mengintip rahsia dan membuka rahsia orang lain
70. Mencela Nabi dan para sahabat baginda

 

وَالْفَوَاحِشَ

dan perbuatan keji

Dia juga akan meninggalkan dosa-dosa keji yang memalukan. Ini adalah dosa perbuatan yang keji, yang dengan kawan atau dengan isteri kita sendiri pun kita tak mahu dia tahu yang kita melakukan perbuatan itu kerana ianya memang memalukan. Kadang-kadang dengan kawan atau dengan isteri, mereka tahu dengan kelakuan kita. Tapi, ada dosa-dosa keji yang dengan isteri atau kawan baik kita pun kita malu.

Meninggalkan dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan yang keji memerlukan iman yang tinggi. Kita tidak mencari untuk berbuat dosa besar itu tetapi bagaimana pula kalau Allah tiba-tiba uji kita dengan meletakkannya berada di depan mata kita? Sebagai contoh, kita memang tidak mahu melakukan zina tetapi bagaimana pula kalau ada seorang perempuan yang cantik yang mahu berzina dengan kita, adakah kita mempunyai kekuatan iman untuk menolaknya? Itulah ujian iman yang memerlukan kekuatan dan keimanan yang tinggi.

Dosa الْفَوَاحِشَ disebut secara khusus dalam ayat ini kerana walaupun ianya memang sudah termasuk di dalam jenis dosa, tetapi dosa jenis ini amat susah untuk dijaga. Kita mungkin senang untuk tidak melakukan dosa besar seperti bunuh orang lain, minum arak, makan babi, dan sebagainya. Tetapi apabila melibatkan dosa yang berkaitan dengan nafsu syahwat, ianya amat sukar. Sebab itu walaupun ada yang mengaku Islam tetapi mereka juga menonton video lucah, dan ada juga yang melakukan zina. Dan ada yang mengaku Islam, tapi mengamalkan homoseksual. Mereka seperti tidak dapat meninggalkan perbuatan itu walaupun mereka tahu ianya salah.

 

إِلَّا اللَّمَمَ

yang selain dari kesalahan-kesalahan kecil.

Dosa-dosa kecil ini adalah dosa yang tidak berapa jelas. Oleh sebab itu ianya memang susah untuk ditinggalkan.

Perkataan اللَّمَمَ dari katadasar لمم yang bermaksud ‘perkara yang kecil’. Ia juga bermaksud ‘sesuatu yang dilakukan sekali sekala’. Oleh itu, dalam perkara dosa ini, ianya adalah dosa yang kecil sahaja yang dilakukan sekali sekala. Bukanlah sampai menjadi tabiat. Dan setiap kali melakukan dosa kecil itu, kita sepatutnya menyesali perbuatan kita dan meminta ampun kepada Allah.

Kita sebagai manusia biasa tentunya tidak dapat lari dari melakukan kesalahan dosa-dosa kecil. Nabi pernah bersabda:

كُلُّ بَنِى آدَمَ خَطَّاؤُوْنَ وَخَيْرُ الْخَطَّائِيْنَ التَّوَّبُوْنَ

“Setiap Bani Adam itu bersalah dan sebaik-baik mereka yang melakukan kesalahan itu adalah mereka yang bertaubat”.

Hadis ini memberitahu kita bahawa sebagai manusia, kita tidak dapat lari dari melakukan kesalahan dosa. Hadis di atas juga menyatakan bahawa semulia-mulia manusia adalah yang bertaubat apabila menyedari dirinya telah melakukan dosa atau bersalah. Allah Azza wa-Jalla pula telah memerintahkan setiap mukmin agar mereka segera bertaubat, dan janganlah ditangguh-tangguh atau dilewat-lewatkan. Adapun antara dalil-dalil dari al-Quran tentang wajibnya segera bertaubat ialah Nur:31

وَتُوْبُوْااِلَىاللهِ جَمِيْعًااَيُّهَاالْمُؤْمِنُوْنَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ.

“Bertaubatlah kamu sekalian wahai kaum mukminin kepada Allah semoga kamu mendapat keuntungan”

Dosa-dosa kecil pula akan dibersihkan dengan amalan-amalan ibadah kita yang baik. Sebagai contoh dengan ambil wuduk, solat, puasa dan amal-amal lain seperti zikir dan sebagainya, dosa-dosa itu akan dihapuskan. Itu adalah jenis-jenis dosa kecil yang kita pun tak minta ampun untuknya. Kita tidak minta ampun kerana kadang-kadang kita pun tidak sedar kita telah melakukannya. Walaupun kita tak sebut, tapi ianya terhapus begitu sahaja. Sebagaimana firman Allah di dalam Hud:114

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِّنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ

Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.

Kadang-kadang kita tak perasan pun kita ada buat dosa-dosa kecil itu. Dengan melakukan amal ibadat, dosa-dosa itu akan hilang.

Tetapi perlu juga diingat, jikalau dosa-dosa kecil itu dilakukan berterusan, maka ianya boleh menjadi dosa yang besar.

Tambahan pula, dosa-dosa kecil inilah yang membawa kepada perbuatan dosa-dosa besar kalau tidak diperhatikan. Sebagai contoh, melihat kepada wanita adalah dosa kecil. Tapi kalau tidak dijaga, ianya akan membuka kepada kebiasaan melihat wanita dan lama-lama akan membuka hati manusia kepada zina. Mula-mula lihat sahaja, kemudian melihat dengan nafsu, kemudian mula menegur, kemudian bersembang, jadi mesra dan seterusnya.

Ada satu penyakit dalam masyarakat kita: dalam hal dosa-dosa kecil, mereka jaga betul. Sebagai contoh, kalau solat, kena sengseng seluar (isbal); kalau gula-gula, tidak boleh ada alkohol dan sebagainya. Tapi dalam dosa-dosa besar, mereka tak kisah pula. Macam tak kisah kalau beli rumah, pakai sistem kewangan yang mengamalkan riba. Memang dosa-dosa kecil itu perlu juga dijaga, tapi dosa-dosa besar, lebih-lebih lagi sepatutnya dijauhkan.

 

إِنَّ رَبَّكَ وَاسِعُ الْمَغْفِرَةِ

Sesungguhnya Tuhanmu maha luas ampunan-Nya.

Allah sentiasa membuka pintu taubatNya. Maka kalau kita ada melakukan kesalahan-kesalahan dosa apa pun, maka mohonlah ampun kepada Allah dan Allah akan ampunkan.

Allah ampunkan dosa-dosa kecil manusia dengan dua cara: dengan amalan baik manusia dan kerana mereka meninggalkan dosa-dosa besar.

Allah akan mengampunkan dosa-dosa kecil kita selagi mana kita meninggalkan dosa-dosa besar. Ini berdasarkan daripada firman Allah di dalam Nisa:31

إِن تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُم مُّدْخَلًا كَرِيمًا

Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, niscaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (surga).

Kadang-kadang, Allah ampunkan dosa-dosa kecil tanpa kita minta ampun pun. Cukup dengan amalan baik sahaja.

Dengan sifat rahmat Allah lah Dia ampunkan dosa kita. Kalau Allah tak ampunkan, tidak ada manusia yang akan selamat.

Tapi, ada dosa yang Allah takkan ampunkan selagi kita tak minta ampun secara khusus untuknya. Sebagai contoh, dosa syirik. Allah telah sebut dalam Nisa:48

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.

Maknanya, kena minta ampun dosa atas dosa syirik. Kena cakap: “ya Allah, ampunkan dosa syirik aku dulu, yang aku amal doa tawasul masa tarekat dulu, masa silat dulu… ” dan sebagainya. Tak boleh lah pakai doa umum “ya Allah, ampunkan dosa aku”. Sedangkan kalau kita minta sesuatu kebaikan dengan Allah, satu-satu kita sebut. Tapi kalau minta ampun, kita sebut sekali lalu sahaja?

Tetapi, untuk mula minta ampun kepada dosa besar seperti dosa syirik itu, seseorang itu kenalah tahu bahawa sesuatu perbuatan itu adalah syirik dan dia pernah lakukan. Sebagai contoh, ramai yang tidak tahu yang bersanding adalah syirik. Ianya adalah satu perbuatan syirik kerana ianya adalah perbuatan ibadat dalam agama Hindu dan kita pun tahu Hindu itu agama syirik. Jadi, kalau seseorang itu tidak tahu yang bersanding adalah syirik, dia pun tidak akan minta ampun untuk dosa syiriknya kerana dia sendiri pun tidak tahu yang ianya syirik. Jadi, untuk tahu, kena datang belajar tauhid. Dan untuk tahu tentang tauhid, kena belajar tafsir Quran. Tidak dapat kita belajar tentang syirik tanpa kita belajar dan memahami Quran.

Dosa syirik adalah dosa yang amat besar. Tapi manusia tidak sedar kesannya. Kalau dia mati tanpa sempat minta ampun atas dosa syiriknya, maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka, tidak keluar-keluar sampai bila-bila. Mereka akan duduk kekal dalam neraka sepertimana orang-orang kafir juga. Jangan ingat kalau kita Islam, kita akan keluar akhirnya dari neraka seperti orang Islam yang lain kalau kita ada melakukan syirik. Orang Islam yang masuk neraka kerana ada dosa, memang akan masuk syurga akhirnya, *asalkan* dia tidak melakukan syirik, atau dia pernah melakukan syirik tapi dia dah minta ampun kepada Allah atas kesalahan syirik itu.

Satu lagi kesan yang ramai tidak tahu adalah, dosa syirik itu akan menyebabkan *seluruh* amal ibadatnya sebelum itu akan dihapuskan pahalanya. Ini berdasarkan kepada ayat Zumar:65

وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelummu. “Jika kamu mempersekutukan (Tuhan), niscaya akan hapuslah amalmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang merugi.

Alangkah ruginya! Untuk faham ayat ini, bayangkan kalau pahala kita sebagai angin yang ditiupkan ke dalam belon. Semakin banyak amal, semakin besar belon itu. Setiap perbuatan syirik yang dilakukan pula adalah ibarat satu jarum. Jarum itu akan memecahkan belon itu dan semua angin itu akan hilang. Maka, segala pahala solat, puasa, sedekah, umrah, haji, malah apa sahaja akan hilang begitu sahaja. Alangkah ruginya. Dia kena kumpul balik pahala sedikit demi sedikit balik. Malanglah kalau dia masih tidak tahu perbuatan syirik itu, kerana dia kemudiannya akan melakukan kembali dosa syirik itu dan pahalanya akan jadi kosong balik.

Banyak yang sudah sedar banyak amalan mereka dulu salah. Maka, mereka pun risau, sesak dada mengenangkan dosa mereka dahulu. Mereka khuatir macam mana keadaan mereka di akhirat nanti. Sebab dah lama dah buat amalan tawasul, amalan bidaah, amalan syirik dan amalan yang sesat. Maka, kepada mereka ini, jawapannya ada dalam Zumar:53

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Apabila kita dah sedar dengan dosa-dosa kita, maka jangan kita ingat Allah tak ampunkan kita terus. Allah mampu untuk ampunkan dosa kita semuanya sekali walaupun sebanyak buih di lautan. Asalkan kita minta ampun dengan ikhlas kepadaNya.

 

هُوَ أَعْلَمُ بِكُمْ

Dan Dia lebih mengetahui (tentang keadaan)mu

Allah paling mengetahui tentang diri kita. Allah tahu tentang diri kita lebih lagi daripada orang-orang lain. Malah, Allah lebih tahu tentang diri kita lebih dari kita sendiri. Tidak ada apa yang kita boleh sembunyikan daripada Allah.

 

إِذْ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ

ketika Dia menjadikan kamu dari tanah

Yang dijadikan daripada tanah adalah Nabi Adam a.s. Kita pun belum ada lagi waktu itu. Tetapi Allah kata Allah sudah kenal kita kerana waktu itu kita sudah ada dalam bentuk roh. Cuma jasad yang belum ada.

 

وَإِذْ أَنتُمْ أَجِنَّةٌ فِي بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ

dan ketika kamu masih janin dalam perut ibumu;

Waktu kita dalam perut ibu kita lagi pun Allah sudah kenal kita. Walaupun kita sudah ada dalam perut, tetapi ibu kita tidak kenal kita lagi dan bapa kita pun tidak kenal kita. Mereka tidak tahu macam mana kita akan jadi nanti, bagaimana kah rupa kita, apakah perangai kita dan sebagainya. Tetapi Allah sudah kenal kita.

 

فَلَا تُزَكُّوا أَنفُسَكُمْ

maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci.

Maka, janganlah kamu anggap diri kita ini suci. Kerana Allah tahu apakah perangai kita, apakah kelemahan kita dan apakah kesalahan-kesalahan yang kita lakukan. Manusia dan makhluk lain tidak tahu, tetapi Allah Maha Tahu tentang kita.

Allah larang kita untuk mengatakan yang diri kita ini baik, suci atau pun sudah bertaqwa kerana itu seperti meninggikan diri dan juga berlagak.

Jangan ingat kita dah jaga solat kita, kita puasa, kita ada sedekah dan buat amal ibadat yang lain, kita dah rasa kita baik sangat dah. Kita dah mula pandang rendah kepada orang lain. Dah mula ada perasaan ‘holier than thou‘. Kena tengok banyak perkara lagi selain daripada amal ibadat itu sahaja.

Jangan rasa kita dah selamat atau lebih baik dari orang lain. Selagi belum mati, belum tentu lagi kita akan selamat di akhirat. Kita tak tahu hujung hayat kita macam mana lagi. Walaupun kita dah belajar agama, belajar tafsir Quran dan sunnah Nabi. Oleh itu, kenalah kita berdoa kepada Allah untuk menetapkan iman kita dalam Islam. Sebagai contoh, ini ada dua doa yang elok diamalkan:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوْبِ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِيْنِكَ

Artinya: “Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, teguhkan hati kami di atas agama-Mu.” (HR. Ahmad dan at Tirmidzi)

Juga amalkan doa dalam Ali Imran:8

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; karena sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi”.

Hendaklah kita berharap sangat supaya kita tetap dalam Islam. Kalau sepanjang hidup kita, kita duduk dalam Islam dan iman, tapi kalau di hujung hayat kita, kita terkeluar dari Islam kerana buat syirik, maka yang dikira adalah penghujung hayat kita, bukan perkara yang dilakukan dahulu.

Dan hendaklah kita memohon perlindungan dari ujian yang kita tidak mampu menghadapinya. Sebagaimana doa Nabi:

”اللَّهُمَّ إني أعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَأعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَسيحِ الدَّجَّال، وأعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَحْيا والمَماتِ، اللَّهُمَّ إني أعُوذُ بِكَ من المأثمِ والمَغْرَمِ”

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada azab kubur, aku berlindung denganMu daripada fitnah masih ad-dajjal, aku berlindung denganMu daripada fitnah kehidupan dan kematian. Ya Allah sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada hambatan dosa dan hutang”. (HR al-Bukhari dan Muslim)

Nota: amalan doa ini Nabi baca di dalam tasyahud akhir solat baginda. Eloklah kita pun amalkan begitu juga. Kerana waktu itu kita masih lagi di dalam solat yang bermakna kita masih berhadapan dengan Allah Taala lagi. Jadi, doa kita lebih makbul lagi.

Jadi, kembali kepada maksud ayat ini, kita jangan kata diri kita sudah suci, sudah baik. Tetapi, kalau kita mengatakan untuk orang lain, itu dibolehkan. Kalau ada saudara kita yang ditohmah, difitnah, kita kena pergi ke hadapan dan menyatakan yang orang itu tidak melakukannya. Kita disuruh untuk ‘menyucikan’ kedudukan saudara kita itu kalau kita tahu kedudukan yang sebenarnya. Jangan kita biarkan fitnah berleluasa. Seperti kisah Aisyah yang dikatakan berzina dengan lelaki lain. Sepatutnya ada yang mengatakan yang Aisyah itu suci. Allah tegur dalam Quran dalam Nur:16

وَلَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ قُلْتُم مَّا يَكُونُ لَنَا أَن نَّتَكَلَّمَ بِهَٰذَا سُبْحَانَكَ هَٰذَا بُهْتَانٌ عَظِيمٌ

Dan mengapa kamu tidak berkata, diwaktu mendengar berita bohong itu: “Sekali-kali tidaklah pantas bagi kita memperkatakan ini, Maha Suci Engkau (Ya Tuhan kami), ini adalah dusta yang besar”.

Dalam ayat itu, Allah menegur para sahabat yang tidak bangkit membersihkan nama Aisyah. Sepatutnya mereka membela Aisyah. Oleh itu, kalau penyucian dilakukan untuk orang lain, bagus. Tapi untuk diri sendiri, tidak boleh.

Banyak salah faham terjadi tentang perkara ini. Sebab itulah, ada dalam masyarakat kita yang kata diri mereka dah sampai ‘maqam tinggi’, sampai mereka tak perlu lagi solat, puasa dan sebagainya. Itu adalah mengarut sekali. Mereka inilah yang kononnya mengaku sebagai ‘wali’. Mereka mengaku begitu supaya mereka dipandang tinggi dan supaya ada anak murid yang jahil mengagungkan mereka.

Kita juga tidak boleh menceritakan amalan-amalan kebaikan yang sudah kita lakukan. Antaranya cerita berapa lama kita dah solat, berapa banyak kita sedekah dan sebagainya. Jangan kita buat begitu. Kerana kalau kita buat begitu, akan hilang keikhlasan dalam diri kita. Allah mahu kita ikhlas. Allah sendiri akan balas amalan baik kita itu, tak perlu kita nak dapatkan pujian dari manusia.

Tak payahlah nak post kalau buat ibadat tu...

Tak payahlah nak post kalau buat ibadat tu…

Kita juga tidak boleh menceritakan kebaikan yang kita hendak lakukan. Buat apa? Bukanlah Allah tak tahu niat dalam hati kita. Macam orang kita yang lafaz niat solat dengan kuat – usolli fard….  Kenapa nak kena buat begitu? Adakah sengaja dia nak beritahu orang lain? Kalau nak beritahu Allah, buat apa? Sebab Allah dah tahu dah pun.

Jangan juga berikan nama kedudukan tinggi kepada diri kita. Sebagai contoh, kita beri pangkat Syeikhul Islam kepada diri kita. Macam Ibn Taimiyyah, bukan dia yang kata dia Syeikhul Islam. Bila dia dah tiada barulah anak muridnya yang sebutkan kedudukannya itu. Masa dia hidup, tidak ada lagi. Kita pula janganlah beri nama yang memuji melampau kepada orang lain semasa dia hidup lagi. Itu akan menyebabkan dia pula tak selesa nanti. Atau dia rasa tinggi diri. Itulah sebabnya Nabi melarang kita memuji orang lain depan-depan. Lihatlah satu hadis:

Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah, dari bapanya r.a katanya,:”Seorang lelaki memuji orang lain berhampiran Nabi s.a.w, lalu Nabi s.a.w berkata kepadanya:”Celaka kamu. Bererti kamu memenggal leher saudara kamu. (Kata-kata itu diucapkan baginda berulang kali.) “Apabila seorang kamu memuji saudaranya, seharusnya dia berkata: ”Cukuplah bagi si fulan Allah sahaja yang menilainya. Tidak ada yang lebih berhak menilainya selain Allah Taala, sekalipun temannya tahu dia begini dan begitu.” Riwayat Muslim.

Untuk tidak merasa tinggi diri, Nabi Muhammad sampai suruh sahabat tukar nama jikalau nama itu meninggikan diri. Sebagai contoh, ada sahabah nama asalnya Barrah yang bermaksud ‘Wanita yang sangat baik’. Nabi berikan nama Zainab kepadanya.

Amat bahawa kalau kita rasa diri kita sudah selamat. Agama Kristian kata, kalau mereka menerima Jesus, mereka akan masuk syurga. Itu pun sudah mengatakan diri selamat dan itu adalah amat bahaya sekali. Kerana kita tidak tahu bagaimanakah kesudahan diri kita.

 

هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَىٰ

Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa.

Allah tahu siapakah yang bertaqwa. Tak perlu kita hendak memberi tahu kepada Allah yang kita ini bertakwa kepadanya kerana Allah sendiri sudah tahu. Tak perlu juga kita nak beritahu orang lain.

Ada satu kisah peperangan yang berlaku semasa tentera Muslim mengepung kubu tentera Rom. Berhari-hari mereka cuba untuk menembusi kubu itu tapi tidak berjaya. Sampailah ada yang berjaya membuat lubang yang kecil. Diberitahu kepada Amir tentera itu yang mereka memerlukan orang yang bertubuh kecil untuk memasuki lubang itu supaya dapat membuka pintu kubu dari dalam. Belum sempat Amir perang mengeluarkan perintah, sudah ada yang masuk dan membuka pintu kubu dari dalam dan tentera Muslim dapat masuk dan menakluki kubu itu. Amir bertanya siapakah yang telah membuka pintu dari dalam itu tetapi tidak ada sesiapa yang tampil mengaku. Berhari-hari Amir itu bertanya siapakah yang melakukannya kerana dia hendak memberi habuan kepada orang itu. Masih tiada sesiapa yang mengaku sampaikan pada satu malam, datang seorang lelaki kepada Amir secara tersembunyi dengan muka tertutup. Dia kata dia boleh beritahu siapakah orang itu, dengan syarat Amir itu tidak memberikan hadiah, tidak menyebut siapakah dia dan tidak bertanya lagi selepas itu. Apabila Amir itu bersetuju, barulah dia memberitahu bahawa dialah orangnya. Kemudian dia telah meninggalkan tentera itu dan pergi ke tempat lain. Kerana orang itu bukannya mahukan kedudukan atau hadiah, tetapi apa yang dia lakukan adalah untuk Islam, dan yang penting Allah tahu siapakah dia dan apa yang dia telah lakukan untuk agama.

Ada tiga perkara yang perlu kita tinggalkan:
1. Riak. Riak adalah melakukan sesuatu kebaikan supaya manusia lain nampak.
2. Sum’ah. Dari perkataa sama‘ yang bermaksud ‘mendengar’. Ada orang yang melakukan sesuatu amal supaya didengari. Termasuklah kalau dia ceritakan dia berniat nak buat itu dan ini.
3. Ujub. Dari perkataan yang bermaksud ‘ajaib‘. Itulah orang yang melakukan sesuatu supaya orang ta’jub dengan dia. Ataupun dia ta’jub dengan dirinya sendiri.

Ketiga-tiga perkara ini adalah bahaya kerana ianya adalah sifat yang boleh menyebabkan hilangnya ikhlas dalam amal.

Oleh itu, kalau kita belajar agama ini kerana tiga perkara ini, maka berhentilah. Kerana ada yang belajar agama supaya mereka dipandang tinggi oleh manusia lain.

—————————

Ayat 33: Ini adalah kisah seorang musyrikin Mekah yang bernama Walid al-Mughirah. Dia telah mula hendak menerima ajaran tauhid dari Nabi Muhammad. Dia dah mula nak beriman, tapi kemudian dia telah berpaling.

53:33
Transliteration

Afaraayta allathee tawalla

Sahih International

Have you seen the one who turned away

Malay

Adakah engkau mengetahui (keburukan) orang yang berpaling (dari menurut kebenaran kerana ia dihasut)?

أَفَرَأَيْتَ الَّذِي تَوَلَّىٰ

Maka apakah kamu melihat orang yang berpaling?

Berpaling yang dimaksudkan adalah berpaling dari Allah, dari agama, dan berpaling dari iman.

أَفَرَأَيْتَ menunjukkan perasaan ‘kehairanan’. Membawa maksud: Tak hairankah kamu melihat orang yang sebegini? Kisah Walid al Mughirah itu adalah asbabun nuzul kepada ayat ini tapi bukanlah ianya hanya untuk kisahnya sahaja.

Ramai yang berperangai sebegini. Mereka dulu dah buat baik, tapi tidak lagi. Dia berhenti kerana berbagai sebab.

Ini juga adalah berkenaan orang yang baru belajar tentang agama dan tafsir Quran dan kemudian dia meninggalkannya. Baru belajar sikit, kemudian tinggalkan kelas pengajian. Samada dia sudah jadi malas, atau dia rasa dia sudah pandai.

—————————

Ayat 34:

53:34
Transliteration

WaaAAta qaleelan waakda

Sahih International

And gave a little and [then] refrained?

Malay

Dan setelah ia memberi sedikit pemberiannya, ia memutuskannya (kerana menurut hawa nafsunya)?

وَأَعْطَىٰ قَلِيلًا وَأَكْدَىٰ

serta memberi sedikit dan berhenti?

أَكْدَىٰ dari ك د ي yang bermaksud beri sedikit sahaja – kedekut. Asalnya bermaksud ‘tanah keras yang susah untuk dikorek’. Sebagai contoh, kita menggali tanah, lama-lama sampai kepada bahagian tanah yang keras yang menghentikan kerja penggalian kita.

Sebagai contoh, ada orang yang mula beri sedekah dan kemudian berhenti. Asal dia mula memberi itu pun kerana nak tunjuk kepada orang sahaja. Seperti ahli politik yang beri derma hanya untuk promosi sahaja. Apabila dia tidak pegang kedudukan politik, dia sudah tidak memberi.

Atau merujuk kepada seseorang yang telah berbuat amal kebaikan, kemudian berhenti.

Atau orang yang mulanya taat dalam agama, kemudian tidak lagi. Mereka berhenti kerana mereka rasa tidak ada apa kalau mereka berhenti.

Kenapa seseorang itu berhenti dan tidak meneruskan amal kebaikan itu? Kerana dia dah rasa susah untuk meneruskan. Kalau dia rasa senang, tentu dia masih buat lagi. Ini adalah satu keputusan yang salah sekali. Dalam agama, memang akan bertemu kesusahan. Itu adalah sebahagian dari ujian yang Allah berikan kepada kita. Allah telah berfirman dalam Ankaboot:2

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?

Bukan dalam hal agama sahaja, tapi dalam kehidupan dunia juga kita akan bertemu dengan kesusahan dan kepayahan. Itu semua adalah sebahagian dari kehidupan. Sepatutnya kita terus bersabar dalam melakukan amal kebaikan itu.

—————————

Ayat 35:

53:35
Transliteration

aAAindahu AAilmu alghaybi fahuwa yara

Sahih International

Does he have knowledge of the unseen, so he sees?

Malay

Adakah ia mempunyai pengetahuan mengenai perkara yang ghaib sehingga ia dapat mengetahui (bahawa orang lain boleh menghalang gantinya dari apa yang akan menimpanya pada hari akhirat)?

 

أَعِندَهُ عِلْمُ الْغَيْبِ فَهُوَ يَرَىٰ

Apakah dia mempunyai pengetahuan tentang yang ghaib, sehingga dia dapat melihat?

‘Melihat’ apakah yang dimaksudkan dalam ayat ini? Melihat nasibnya di Akhirat kelak. Adakah dia nampak yang dia akan selamat walaupun dia berhenti dari beramal? Dia ingat dia dah selamatkah di Akhirat nanti sampai dia berani tinggalkan amalan kebaikan?

Ini adalah satu perkara yang bahaya. Iaitu apabila rasa diri dah selamat. Sebagai contoh, belajar sedikit dan rasa dah cukup, dah selamat. Maka, apabila ada rasa begitu, ada yang sudah tidak belajar lagi. Apabila tidak sambung belajar, ada perkara yang dia tidak faham lagi. Sepatutnya kita kena belajar dari kita dalam buaian sampai ke liang lahad.

Ramai kita mungkin terjatuh dalam situasi ini. Iaitu rasa diri dah selamat. Allah tegur mereka yang sebegini dalam Kahf:36

وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً وَلَئِن رُّدِدتُّ إِلَىٰ رَبِّي لَأَجِدَنَّ خَيْرًا مِّنْهَا مُنقَلَبًا

dan aku tidak mengira hari kiamat itu akan datang, dan jika sekiranya aku dikembalikan kepada Tuhanku, pasti aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik dari pada kebun-kebun itu”.

Lelaki dalam ayat ini sangka yang kerana dia mendapat kekayaan di dunia, dia akan mendapat kebaikan di Akhirat juga. Tidak ada sesiapa yang tahu apakah akhir hidup kita, samada selamat atau tidak di akhirat. Kerana kita tidak dapat melihat perkara ghaib: kita tidak akan tahu nasib kita di akhirat kelak. Dalam Maryam:78 Allah telah berfirman:

أَطَّلَعَ الْغَيْبَ أَمِ اتَّخَذَ عِندَ الرَّحْمَٰنِ عَهْدًا

Adakah ia melihat yang ghaib atau ia telah membuat perjanjian di sisi Tuhan Yang Maha Pemurah?,

Adakah dia dah dapat kepastian dari Allah yang dia akan selamat? Allah tidak pernah beri perjanjian sebegitu. Jadi kenapa dia berhenti dari beramal?

Asbabun Nuzul ayat ini adalah kisah Walid al-Mughirah. Tapi kisah ini bukan untuk dia sahaja. Ianya boleh terjadi kepada kita semua.

—————————

Ayat 36:

53:36
Transliteration

Am lam yunabba/ bima fee suhufimoosa

Sahih International

Or has he not been informed of what was in the scriptures of Moses

Malay

Atau belumkah ia diberitahu akan apa yang terkandung dalam Kitab-kitab Nabi Musa

 

أَمْ لَمْ يُنَبَّأْ بِمَا فِي صُحُفِ مُوسَىٰ

Ataukah belum diberitakan kepadanya apa yang ada dalam lembaran-lembaran Musa?

صُحُفِ مُوسَىٰ yang dimaksudkan adalah Kitab Taurat. Dia tak tahukah apa yang telah Allah sampaikan dalam Kitab Taurat itu?

—————————

Ayat 37:

53:37
Transliteration

Wa-ibraheema allathee waffa

Sahih International

And [of] Abraham, who fulfilled [his obligations] –

Malay

Dan juga (dalam Kitab-kitab) Nabi Ibrahim yang memenuhi dengan sempurnanya (segala yang diperintahkan kepadanya)?

 

وَإِبْرَاهِيمَ الَّذِي وَفَّىٰ

dan lembaran-lembaran Ibrahim yang selalu menyempurnakan janji?

Allah hendak membezakan mereka yang berhenti beramal dengan Nabi Ibrahim yang meneruskan beramal dalam agama. Segala apa yang telah diberikan kepada Nabi Ibrahim, baginda penuhkan. Ini telah disebut dalam Baqarah:124

وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ

Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia”. Ibrahim berkata: “(Dan saya mohon juga) dari keturunanku”. Allah berfirman: “Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang yang zalim”.

  • Antara ujian berat yang diberikan kepada baginda:
    Sembelih anaknya Nabi Ismail.
    Tinggalkan anak isterinya Hajar di Mekah.
    Tinggalkan kampung halaman.
    Khatan dalam usia yang tua
    Dimasukkan dalam api.
    Isterinya Sarah diambil oleh Namrud.

Semua itu adalah arahan-arahan yang susah belaka. Tapi baginda penuhi. Kerana itu Allah memuji baginda dalam Quran.

Kenapa Ibrahim disebut kemudian selepas disebut Nabi Musa? Bukankah Nabi Ibrahim datang dulu sebelum Nabi Musa? Kerana hendak menekankan perkataan وَفَّىٰ itu. Apabila ianya disebut kemudian, ianya akan lebih memberi kesan kepada mereka yang membaca. Allah hendak tekankan bagaimana Baginda tidak أَكْدَىٰ (berhenti) walaupun banyak kali baginda diuji dan dengan ujian yang berat-berat pula. Kisah inilah yang sepatutnya dijadikan sebagai motivasi untuk kita beramal dan memenuhkan janji kita dengan Allah. Bukankah kita telah berjanji untuk taat kepada perintah Allah?

—————————

Ayat 38: Apakah yang ada dalam suhuf Musa dan Ibrahim? Disebut dalam ayat ini dan seterusnya.

53:38
Transliteration

Alla taziru waziratun wizraokhra

Sahih International

That no bearer of burdens will bear the burden of another

Malay

(Dalam Kitab-kitab itu ditegaskan): Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja);

أَلَّا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ

(yaitu) bahwasanya seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain,

Tidak ada orang lain yang akan ambil dan tanggung dosa kita. Kita kena tanggung sendiri. Walid al Mughirah diberitahu oleh kaumnya yang mereka akan pikul dosa beliau kalau beliau tidak beriman dengan agama Nabi Muhammad. Allah nak jawap kepada mereka bahawa itu tidak akan berlaku. Kita kena tanggung sendiri. Seperti yang selalu disebut oleh orang-orang muda – “sendiri buat, sendiri tanggung”

Antara sebab manusia berhenti dari agama adalah kerana keluarga atau kawan tak kisah. Sebagai contoh, ada wanita yang apabila tak pakai tudung tutup aurat, keluarga dan kawan-kawan macam tak kisah sahaja. Tapi itu adalah salah. Kita bukan taat kepada Allah kerana manusia, tapi kita taat kepadaNya.

Allah telah ingatkan kita dalam Ankaboot:12

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِلَّذِينَ آمَنُوا اتَّبِعُوا سَبِيلَنَا وَلْنَحْمِلْ خَطَايَاكُمْ وَمَا هُم بِحَامِلِينَ مِنْ خَطَايَاهُم مِّن شَيْءٍ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ

Dan berkatalah orang-orang kafir kepada orang-orang yang beriman: “Ikutilah jalan kami, dan nanti kami akan memikul dosa-dosamu”, dan mereka (sendiri) sedikitpun tidak (sanggup), memikul dosa-dosa mereka. Sesungguhnya mereka adalah benar-benar orang pendusta.

.Jadi ayat ini mengajar kita supaya jangan kita harap kepada orang lain. Dalam Fatir:18 Allah berfirman:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ وَإِن تَدْعُ مُثْقَلَةٌ إِلَىٰ حِمْلِهَا لَا يُحْمَلْ مِنْهُ شَيْءٌ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَىٰ

Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Dan jika seseorang yang berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul dosanya itu tiadalah akan dipikulkan untuknya sedikitpun meskipun (yang dipanggilnya itu) kaum kerabatnya.

Keluarga pun takkan tolong kita nanti. Mereka pun akan ada masalah masing-masing.

—————————

Ayat 39: Ini adalah perkara kedua yang ada dalam suhuf Musa dan Ibrahim.

 

53:39
Transliteration

Waan laysa lil-insani illa masaAAa

Sahih International

And that there is not for man except that [good] for which he strives

Malay

Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya;

 

وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ

dan bahwasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya,

Ayat ini dengan jelas memberitahu kita yang manusia tidak akan dapat balasan pahala melainkan apa yang dia buat sendiri. Dalam Tur:21 juga telah disebut:

كُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ

Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.

Maknanya, pahala kiriman tidak ada. Segala amalan perlu dilakukan sendiri. Inilah dalilnya. Yang kata boleh sampai pahala itu, mereka gunakan hujah akal sahaja. Tapi ayat Quran dengan jelas mengatakan tak boleh dapat pahala melainkan buat sendiri. Amat jelas sekali. Imam Syafie sendiri menafsirkan ayat ini dengan mengatakan tidak sampai pahala kepada penerima kalau kita mengirimnya.

Maka salahlah amalan Majlis Tahlil yang banyak diamalkan oleh masyarakat kita yang tidak tahu hal agama. Amalan itu sia-sia kerana majlis itu adalah majlis ‘hadiah pahala’ kepada si mati. Tidak ada dalil langsung, malahan berlawanan dengan ayat Quran ini. Malangnya, majlis ini dipelopori oleh tok imam dan ahli-ahli masjid dan surau. Itulah sebabnya masyarakat Islam kita sangka yang ianya adalah majlis yang betul.

Begitulah juga salah amalan biasa masyarakat kita apabila mendengar kematian sahaja, secara otomatis mulut mereka akan berkata: “al-Fatihah”. Tujuannya adalah untuk sedekah pahala kepada si-mati itu. Dan ada yang sangka dengan menghantar fatihah itu, dapat jadi ‘benteng’ dari azab Allah. Macam lah Allah boleh terkesan dengan kiriman fatihah yang banyak itu. Adakah Allah boleh terkesan macam itu? Allah tidak boleh didesak oleh sesiapa pun. Ini semua adalah ajaran rekaan yang TIDAK pernah diajar dalam agama. Tapi kerana masyarakat kita dah jahil, mereka ikut sahaja apa yang mereka mereka lihat.

Ayat ini juga mengajar kita untuk berusaha. Kalau tak berusaha, kita tak dapat balasan. Nak dapat kejayaan dunia pun begitu juga. Takkan boleh berjaya kalau duduk senang lenang. Usaha kena ada.

Malangnya, kita tahu di dunia, kita kena ada usaha untuk melihat kejayaannya, tapi untuk akhirat, kita tidak fikir begitu pula.

Ayat ini juga bermaksud kita akan mendapat kesan dari perbuatan dan amalan kita. Kalau belajar dengan benar, maka kita akan selamat.

—————————

Ayat 40:

53:40
Transliteration

Waanna saAAyahu sawfa yura

Sahih International

And that his effort is going to be seen –

Malay

Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada hari kiamat kelak);

 

وَأَنَّ سَعْيَهُ سَوْفَ يُرَىٰ

dan bahawasanya usaha itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya).

Balasan itu akan ditunjukkan di akhirat nanti. Orang yang berhenti dari beramal itu adalah kerana mereka tidak nampak hasil dari amalan mereka. Ingatlah, walaupun kita tak nampak hasil itu di dunia, tapi ia akan ditunjukkan di akhirat kelak.

Perkataan يُرَىٰ juga bermaksud, amalan mereka akan ‘dilihat’ – bermaksud akan ditimbang, akan diperiksa di akhirat kelak. Ianya akan dinilai, dan akan dibalas. Kena yakin yang ianya ada nilai walaupun tak nampak di dunia. Jadi, dengan mengetahui ayat ini, sepatutnya memberi motivasi kepada kita untuk beramal dengan lebih lagi.

—————————

Ayat 41:

53:41
Transliteration

Thumma yujzahu aljazaa al-awfa

Sahih International

Then he will be recompensed for it with the fullest recompense

Malay

Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna;

 

ثُمَّ يُجْزَاهُ الْجَزَاءَ الْأَوْفَىٰ

Kemudian akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna,

Pahala kebaikan akan dibalas lebih lagi dari amalan yang dilakukan. الْأَوْفَىٰ bermaksud ‘dengan sepenuhnya’. Ini bermaksud, tidak ada amalan yang tidak bernilai. Semua akan dikira dan akan dibalas. Walau sekecil mana pun. Dalam Zalzalah:7, Allah telah berjanji:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ

Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya.

Walaupun amal itu sebesar atom pun, akan dibalas oleh Allah di akhirat kelak.

—————————

Ayat 42:

53:42
Transliteration

Waanna ila rabbika almuntaha

Sahih International

And that to your Lord is the finality

Malay

Dan bahawa sesungguhnya kepada hukum Tuhanmu lah kesudahan (segala perkara);

 

وَأَنَّ إِلَىٰ رَبِّكَ الْمُنتَهَىٰ

dan bahwasanya kepada Tuhanmulah kesudahan (segala sesuatu),

Kesudahan kita adalah bertemu Allah. الْمُنتَهَىٰ bermaksud ‘tempat akhir’. Semua perkara akan dibawa ke hadapan Allah untuk dinilai.

Maka, jangan lupa perkara ini. Dalam semua perkara yang kita lakukan, ingatlah bahawa kita akan bertemu Allah akhirnya dan kita akan disoal tentang apa yang kita lakukan.

—————————

Ayat 43: Mungkin kita rasa Allah jauh sahaja dari kita. Tapi ingatlah Allah ada dan terlibat dalam setiap detik hidup kita. Kita sahaja tak perasan.

53:43
Transliteration

Waannahu huwa adhaka waabka

Sahih International

And that it is He who makes [one] laugh and weep

Malay

Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis;

 

وَأَنَّهُ هُوَ أَضْحَكَ وَأَبْكَىٰ

dan bahawasanya Dialah yang menjadikan orang tertawa dan menangis,

Manusia ketawa apabila dia gembira, berjaya, dan sebagainya. Dan manusia menangis apabila dia sedih, gagal dan kalah. Allah lah yang menyebabkan kejadian yang menyebabkan kita suka atau sedih itu.

Ini memberitahu kepada kita yang Allah kawal semuanya yang terjadi kepada kita. Begitu rapatnya Allah dengan kita. Segala perkara penting yang berlaku dalam kehidupan kita ini melibatkan Allah. Jadi kenapa kita tidak hiraukan Allah?

Ayat ini juga boleh dikaitkan dengan ayat sebelum ini, tentang pertemuan kita dengan Allah. Di mana masa itu, ada yang ketawa kesukaan kerana mereka mendapat balasan baik dengan amalan baik mereka. Dan ada yang menangis menyesali perbuatan buruk mereka di dunia dahulu.

—————————

Ayat 44:

53:44
Transliteration

Waannahu huwa amata waahya

Sahih International

And that it is He who causes death and gives life

Malay

Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang mematikan dan menghidupkan;

 

وَأَنَّهُ هُوَ أَمَاتَ وَأَحْيَا

dan bahawasanya Dialah yang mematikan dan menghidupkan,

Kematian dan kehidupan adalah dalam tangan Allah juga. Setiap hari ada sahaja manusia hidup dan mati. Jadi kenapa kita buat tak kisah dengan Allah? Sepatutnya apabila kita melihat bayi yang baru memulakan kehidupan dan manusia yang mati, kita teringat kepada Allah. Kerana Allah lah yang Maha Berkuasa untuk menghidupkan dan mematikan.

Allahu a’lam

Lompat ke ayat yang seterusnya 

========================

Ref: UR, NAK, TZ.

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 053: Najm. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s