Tafsir Surah an-Najm Ayat 27-31

Ayat 27:

53:27
Transliteration

Inna allatheena la yu/minoonabil-akhirati layusammoona almala-ikatatasmiyata al-ontha

Sahih International

Indeed, those who do not believe in the Hereafter name the angels female names,

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat sahajalah, yang tergamak menamakan malaikat itu dengan nama perempuan,

إِنَّ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ

Sesungguhnya orang-orang yang tiada beriman kepada akhirat,

Orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, mereka akan melakukan apa sahaja yang mereka suka tanpa mengikut arahan dan larangan agama. Dan mereka akan beramal dan menyatakan perkara yang jauh tersasar daripada landasan agama yang benar.

Sebaliknya, orang yang benar-benar beriman dan takut kepada hari akhirat akan berhati-hati didalam perbuatan dan percakapannya. Mereka tidak akan berani memperkatakan sesuatu yang bukan daripada dalil yang sah. Amat malang sekali apabila ahli bidaah di negara ini, apabila mereka berhujah, mereka menggunakan dalil-dalil yang batil seperti akal mereka, hawa nafsu mereka, kata-kata manusia lain, kitab-kitab yang ditulis oleh manusia, perbuatan orang ramai, dan sebagainya. Mereka mungkin boleh berhujah dengan kita menggunakan dalil-dalil batil itu, tetapi bolehkah mereka berhujah dengan menggunakan dalil yang sama di hadapan Allah Ta’ala nanti apabila Allah mempersoalkan perbuatan dan percakapan mereka nanti?

Bagaimana kita boleh mengenalpasti mereka yang tidak beriman dengan hari Akhirat? Itulah mereka yang tidak tahu langsung pasal Mahsyar, syurga dan neraka. Apabila ditanya bagaimanakah syurga, mereka hanya boleh jawap: “tempat yang sedap”. Apabila ditanya bagaimanakah neraka, mungkin mereka jawap: “tempat kena bakar dengan api”. Maknanya, ramai antara kita ini yang tidak ambil peduli tentang hari Akhirat dan kerana itu, tidak kisah pun apa terjadi di Akhirat kelak.

Sebagai orang yang beriman, kita sepatutnya tahu apa yang akan terjadi dan suasana di sana, kerana kita pasti akan ke sana. Kita pun hanya dapat tahu dari sumber-sumber yang sahih sahaja. Ianya tentu tidak dapat dibayangkan secara penuh kepada kita, tetapi sekurang-kurangnya ada maklumat yang serba sedikit. Kita juga kena takut yang kita tidak selamat, supaya memberi motivasi untuk kita beramal di dunia. Dan kita kena berharap kepada rahmat Allah supaya menyelamatkan kita di sana.

لَيُسَمُّونَ الْمَلَائِكَةَ تَسْمِيَةَ الْأُنثَىٰ

mereka benar-benar menamakan malaikat itu dengan nama perempuan.

Puak musyrikin mengatakan bahawa malaikat-malaikat itu adalah anak-anak perempuan Allah. Mereka berani untuk berkata begini kerana mereka tidak percaya dan tidak beriman kepada hari akhirat. Itulah sebabnya bahaya kalau seseorang itu tidak beriman kepada hari akhirat. Mereka cakap ikut sedap mulut dan hati mereka sahaja.

Pujaan orang kufur memang banyak dalam jantina betina. Lihatlah kepada agama Kristian dengan Maryam yang mereka jadikan sebagai sembahan, agama Hindu dengan dewi-dewi perempuan mereka, begitu juga dengan agama kuno yang lain.

——————————————-

Ayat 28:

53:28
Transliteration

Wama lahum bihi min AAilmin inyattabiAAoona illa aththanna wa-innaaththanna la yughnee mina alhaqqishay-a

Sahih International

And they have thereof no knowledge. They follow not except assumption, and indeed, assumption avails not against the truth at all.

Malay

Sedang mereka tidak mempunyai sebarang ilmu mengenainya. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad).

وَمَا لَهُم بِهِ مِنْ عِلْمٍ

Dan mereka tidak mempunyai sesuatu ilmu tentang itu.

Apa yang mereka kata itu bukanlah berdasarkan ilmu. Kalau mereka ada ilmu, mereka tak berani nak cakap sebegitu.

إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ

Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan

Inilah satu perkara yang penting untuk kita fahami. Kita kena jauhkan dari menjelaskan agama ini dengan ‘persangkaan’. Ada yang dengan senang sahaja berkata, “pada pendapat saya, tidak salah kalau buat begitu dan begini”. Itu adalah salah, kerana agama Islam ini bukan berdasarkan ‘pendapat’ kita. Sedangkan kita yang belajar agama ini dengan susah payahnya mencari dalil dari Quran dan hadis dalam mencari penjelasan tentang agama. Mereka senang-senang pula guna pendapat sendiri sahaja.

وَإِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

sedang sesungguhnya persangkaan itu tiada berfaedah sedikitpun terhadap kebenaran.

Tentulah tidak sama sangkaan itu dengan dalil-dalil yang sah. Bayangkan kalau di mahkamah dunia ini pun, jikalau seseorang saksi memberi persaksian mengikut sangkaannya sahaja tanpa memberikan bukti, tentulah tuan hakim itu akan menolak persaksiannya itu. Persangkaan di dunia sudah tiada nilai, apatah lagi dalam hal akhirat.

——————————————-

Ayat 29:

53:29
Transliteration

FaaAArid AAan man tawalla AAanthikrina walam yurid illa alhayataaddunya

Sahih International

So turn away from whoever turns his back on Our message and desires not except the worldly life.

Malay

Oleh itu, janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan orang yang berpaling dari pengajaran Kami, dan mereka tidak mahu melainkan kehidupan dunia semata-mata.

فَأَعْرِضْ عَن مَّن تَوَلَّىٰ عَن ذِكْرِنَا

Maka berpalinglah (hai Muhammad) dari orang yang berpaling dari peringatan Kami,

Allah suruh kita berpaling dari mereka. Iaitu mereka yang berpaling dari peringatan yang Allah telah sampaikan. Memang banyak masyarakat kita yang macam ini. Mereka tolak ayat-ayat Quran dan hadis Nabi dan pakai pendapat tok guru mereka.

Apabila kita telah dakwah dan nasihat mereka yang sebegitu sudah berkali-kali, dengan diberikan segala dalil, tetapi mereka masih menolak juga, maka tinggalkanlah mereka. Tapi, sebelum itu, kenalah kita berusaha berdakwah berkali-kali kepada mereka. Janganlah cerita hal tauhid kepada mereka sekali, sudah kita tinggalkan mereka kalau mereka tolak.

وَلَمْ يُرِدْ إِلَّا الْحَيَاةَ الدُّنْيَا

dan mereka tidak mengingini kecuali kehidupan duniawi.

Jangan campur dengan mereka yang hanya mementingkan dunia sahaja.

Jangan rapat dengan mereka kerana takut kita ikut dengan cara cara mereka. Kerana hati kita lemah. Kita mungkin tak dapat nak tolak mereka. Kerana apa yang mereka buat, adalah amat menarik kerana mereka ikut hawa nafsu sahaja, jadi takut kita pun terjerumus ikut mereka.

——————————————-

Ayat 30:

53:30
Transliteration

Thalika mablaghuhum mina alAAilmiinna rabbaka huwa aAAlamu biman dalla AAan sabeelihiwahuwa aAAlamu bimani ihtada

Sahih International

That is their sum of knowledge. Indeed, your Lord is most knowing of who strays from His way, and He is most knowing of who is guided.

Malay

(Kepentingan dunia) itulah sahaja tujuan terakhir dari pengetahuan yang dicapai oleh mereka. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.

ذَٰلِكَ مَبْلَغُهُم مِّنَ الْعِلْمِ

Itulah sejauh-jauh pengetahuan mereka.

مَبْلَغُهُم dari kata dasar بلغ yang bermaksud ‘sampai’. Pengetahuan mereka sampai ke dunia sahaja. Padahal agama Islam ini adalah tentang perkara yang lebih penting lagi. Kalau hal dunia, mereka amat pandai. Kerana mereka telah belajar tinggi-tinggi. Untuk dapatkan kerja yang bagus, kedudukan yang tinggi di dunia, mereka sanggup belajar tinggi-tinggi sampai ke universiti, sampai dapat PhD, tapi untuk hal agama, mereka pakai ilmu agama yang mereka dapat semasa di sekolah rendah dulu sahaja. Sebagai contoh, kalau kita lihat cara solat kebanyakan masyarakat kita, mereka akan mulakan solat dengan lafaz “usolli fard…..” Bukankah cara lafaz begitu diajar semasa sekolah rendah semasa mula-mula belajar solat dahulu? Diajar kepada kanak-kanak yang masih tidak faham maksud ‘niat’. Lihatlah bagaimana ianya dibawa sampai ke tua? Mereka sampai tidak tahu pun yang lafaz itu tidak ada dan cara itu adalah bidaah. Sampai ke tua pun mereka masih tidak faham maksud ‘niat’.

Mereka hanya mencapai pengetahuan dan mencapai kejayaan di dalam hal dunia sahaja. Padahal untuk akhirat, kenalah belajar untuk mendapatkannya. Bukanlah guna akal dan agak-agak sahaja.

إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ

Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang paling mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya

Allah tahu hal makhlukNya.

وَهُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اهْتَدَىٰ

dan Dia jugalah yang paling mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.

Musyrikin Mekah sangka mereka yang benar dan mendapat hidayah. Begitu juga dengan ahli bidaah sekarang. Mereka ingat mereka lah yang betul. Mereka sangka, mereka lah yang mempertahankan ASWJ. Yang tak setuju dengan mereka, mereka gelar ‘Wahabi’.

Dari ayat ini kita tahu bahawa Allah lah yang menentukan siapa yang benar. Kalau kita yang mengaku sendiri, amatlah tidak patut.

——————————————-

Ayat 31: Bagaimana Allah boleh tahu manakah makhlukNya yang mana engkar dan yang mana mendapat petunjuk?

53:31
Transliteration

Walillahi ma fee assamawatiwama fee al-ardi liyajziya allatheena asaoobima AAamiloo wayajziya allatheena ahsanoobilhusna

Sahih International

And to Allah belongs whatever is in the heavens and whatever is in the earth – that He may recompense those who do evil with [the penalty of] what they have done and recompense those who do good with the best [reward] –

Malay

Dan Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; (diciptakan semuanya itu) untuk membalas orang-orang yang berbuat jahat menurut apa yang mereka lakukan, dan membalas orang-orang yang berbuat baik dengan balasan yang sebaik-baiknya.

وَلِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ

Dan hanya kepunyaan Allah-lah apa yang ada di langit

وَلِلَّهِ disebut dahulu dalam ayat, bermaksud ini adalah pernyataan ‘eksklusif’. *Hanya* Allah sahaja yang memilikinya. Tidak ada yang lain.

Entah berapa banyak makhluk yang ada di langit. Kita pun tak tahu kesemuanya. Semua itu milik Allah. Antara yang diberitahu kepada kita dalam surah al-Mutaffifin, roh mereka yang beriman diletakkan di Illiyin, iaitu di langit ke tujuh.

وَمَا فِي الْأَرْضِ

dan apa yang ada di bumi

Allah tahu samada kita engkar atau tidak, kerana kita semuanya milikNya.

Segala yang ada di bumi juga adalah kepunyaanNya. Tapi bukankah kita pun ada harta di dunia juga? Memang ada. Tapi ingatlah bahawa pemilikan kita itu sementara sahaja. Apabila dah mati , kita akan tinggalkan segala harta itu. Pemilik sebenar harta itu adalah Allah.

Dan kalau kita kata kita miliki sesuatu, pemilikan kita bukan penuh pun. Kita tak boleh nak kawal sepenuhnya, tak dapat nak kawal dari hilang, dari rosak dan sebagainya. Sebagai contoh, kita miliki kereta, tapi bolehkah kita pastikan ianya tidak rosak, tidak hilang? Dan syariat pun ada halangan untuk kita. Sebagai contoh, kalau kita ada duit, kita tak boleh nak pakai ikut suka hati kita. Kita tak boleh gunakan untuk perkara yang haram.

Kalau Allah memiliki semuanya dan sepenuhnya, maka Allah boleh buat segala-galanya ikut kemahuanNya. Maka kalau Allah buat sesuatu, kita kena redha dengan apa yang Allah lakukan dengan kepunyaanNya. Tak boleh kita nak komen. Tak boleh kita nak komplen. Kita kena terima sahaja. Kerana semua itu adalah hakNya. Allah yang tentukan perjalanan alam ini. Tidaklah Allah adakan dan lakukan apa-apa pun secara main-main. Ada sebab di atas perbuatan Allah itu. Ini Allah telah sebut dalam Anbiya:16

وَمَا خَلَقْنَا السَّمَاءَ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا لَاعِبِينَ

Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya dengan main-main.

لِيَجْزِيَ الَّذِينَ أَسَاءُوا بِمَا عَمِلُوا

supaya Dia memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat jahat terhadap apa yang telah mereka kerjakan

Allah jadikan segala-gala dalam dunia ini sebagai ujian untuk kita. Allah menilai bagaimana kita gunakan segala nikmat dan harta yang diberikan kepada kita itu. Adakah kita gunakan untuk kebaikan, atau keburukan.

Kalau kita gunakan untuk cara yang salah, tidak mengikut syariat, Allah akan balas kita setimpal dengan perbuatan buruk itu.

وَيَجْزِيَ الَّذِينَ أَحْسَنُوا بِالْحُسْنَى

dan memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik dengan pahala yang lebih baik (syurga).

Lihatlah bagaimana Allah menggunakan perkataan الحُسنَى apabila menyebut balasan atas kebaikan kita. Ini bermakna, Allah membalas dengan yang lebih baik lagi. Padahal, kalau membalas keburukan yang kita lakukan, Allah kata بِمَا عَمِلُوا sahaja. Ini adalah kerana dosa akan dibalas dengan dosa yang sama. Tapi kebaikan akan dibalas lebih baik lagi dari apa yang kita lakukan. Perkataan الحسنى yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘syurga’. Itulah sebaik-baik balasan yang boleh diberikan.

Perkataan بِمَا عَمِلُوا (apa yang telah mereka kerjakan) tidak ada dalam potongan terakhir ini. Kenapa? Ini adalah kerana kita tidak akan dapat masuk syurga kerana amalan kita. Berapa banyak pun amalan kita, tidak cukup untuk melayakkan kita untuk dapat syurga. Hanya dengan rahmat Allah lah yang memasukkan kita ke syurga. Jangan ingat amal kita banyak, kita boleh masuk syurga.

Tapi, untuk mendapatkan rahmat Allah, kenalah kita beramal. Amal ibadat perlulah dilakukan. Jangan kita kata kita tak masuk syurga dengan amalan, maka kita tak buat langsung amal kebaikan. Itu adalah pemahaman yang amat salah. Kita masih kena buat amalan kebaikan sebanyak yang kita mampu, dan dalam masa yang sama, kita berharap rahmat Allah.

Dan بِمَا عَمِلُوا (apa yang telah mereka kerjakan) tidak ada dalam potongan terakhir ini kerana kita bukan sahaja dibalas syurga dengan amalan yang kita kerjakan. Ada amalan baik yang kita berniat untuk melakukannya tetapi tidak sempat atau tidak mampu. Sebagai contoh, kita sudah berniat untuk pergi ke kelas tafsir Quran, tetapi oleh kerana ada kemalangan di tengah jalan sampai kita tidak boleh pergi. Walaupun kita tidak boleh pergi, tetapi kerana kita telah ada niat, maka pahala belajar itu sudah ditulis untuk kita. Ataupun kita sudah berniat menghafal Quran 30 juzuk tetapi setelah mati, kita masih tidak mampu menghafalnya. Tetapi kerana kita telah berniat untuk menghafal Qur’an, maka pahala menghafal Quran itu sudah ditulis untuk kita. Begitulah besarnya rahmat Allah kepada kita.

Allahu a’lam.

Lompat ke ayat yang seterusnya 

=============================

Ref: UR, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 053: Najm. Bookmark the permalink.

4 Responses to Tafsir Surah an-Najm Ayat 27-31

  1. Mohd Ismail Abdul Rahman says:

    Assalam,

    Bagaimana niat solat yang sebenarnya jika tidak dilafazkan usolli fard….?

    Boleh tolongkan cara solat yg disunnahkan?

    Boleh tunjukkan cara berdoa?

    Boleh bgtahu cara untuk buat majlis seperti kesyukuran?

    • tafsirsunnah says:

      Wksalam,

      Trm ksh Sdr Ismail,

      Saya cuba menjawap persoalan Ismail.
      Tidak ada dalil yang Nabi mengajar sahabt melafazkan niat.Dalam agama kita kena ambl contoh yang diberikan Nabi.

      Niat dati kata dasarnya ” Niyah ” yang bermaksud ” biji “.Dan biji itu tersembunyi.Ianya lintasan hati sahaja.Niat bukan sesuatu yang dilafaz dengan susunan perkataan sebaliknya niat ialah apa yang terlintas dihati dan fikiran.Cuma lafaz niat dizahirkan dengan perbuatan kita berdasarkan niat.

      Sebagai contoh,secara lazimnya tidak ada otang berwuduk disebabkan hendak bersukan,berkerja,memasak dan sebagainya sebab sudah tentu orang yang adalah disebabkan hendak menunaikan solat.Jadi sebelum kita mengambil wuduk itu sudah pasti niat kita adalah menunaikan solat.Kita angkat gelas untuk minun air sudah tentu ada niat dalam hati kita tapi tidak perlu dilafazkan dan kita pun tidak susun dalam hati kita ” aku nak angkat gelas ni nak minum “.Tentu tidak.Kita terus angkat dan minum sahaja.

      Berdoa

      Secara lazimnya tidak ada pengkhususan dalam berdoa kepada Allah sebaliknya ia boleh dilakukan bila2 masa.Allah tidak pernah meletakkan halangan atau dinding untuk hambanya berdoa kepadaNya.Allah cuma suruh hambaNya berdoa terus kepadaNya tanpa perlu perantaraan( bertawasul ) seperti firman Allah:

      Surah Ghafir ayat 60

      Dan Tahun kamu berfirman:”Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu,akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina“.

      Surah Al Araf ayat 55

      Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan ( dengan suara ) perlahan-lahan.Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas“.

      Saya harapkan dengan penjelasan ini sedikit sebanyak memjawab persoalan Sdr Ismail berkenaan Niat dan Doa.

      Boleh juga rujuk link dibawah iaitu cara2 berdoa.

      Berkenaan majlis kesyukuran dan solat cara sunnah insyallah akan dijawap secepat mungkin.

      http://visitor74.wordpress.com/2014/02/02/cara-berdoa/

    • tafsirsunnah says:

      Tidak ada majlis khusus untuk kesyukuran. Boleh untuk kita buat majlis makan di rumah kita atau kita berikan makanan kepada orang lain. Tapi tidak perlu dinamakan ‘Majlis Kesyukuran’ atau kita buat doa selamat, tahlil dan sebagainya. Kerana kalau kita buat, itu sudah bidaah, dan bidaah adalah berdosa.
      Kita dianjurkan untuk memberi makanan kepada orang lain. Kalau kita buat kerana bersyukur atas nikmat yang Allah berikan, tidak perlu diberitahu kepada orang, Allah tahu. Yang jadi masalah adalah apabila diberikan nama kepada sesuatu ‘majlis’. Selepas ada ‘nama’, maka sudahlah manusia reka pula apa ada dalam ‘majlis’ itu. Maka, dari semasa ke semasa, bertambah amalan bidaah yang manusia lakukan.

      Allahu a’lam.

    • tafsirsunnah says:

      Cara solat adalah amat panjang untuk dibincangkan dengan sepenuhnya. Tujuan blog dan kuliah ini adalah tentang tafsir Quran. Dan persoalan tentang solat banyak dibincangkan dalam ilmu Hadis. Walau bagaimana pun, kerana nampak begitu pentingnya perkara ini, kerana ramai masyarakat kita yang tidak tahu mengerjakan solat dengan betul, in sha Allah kami akan usahakan video khas untuk mengajar cara-cara solat yang sunnah. Buat masa ini, ini adalah Ustaz Rosman sentuh sedikit tentang bagaimana kedudukan dalam solat:

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s