Tafsir Surah an-Najm Ayat 18-26

Ayat 18:

53:18
Transliteration

Laqad raa min ayatirabbihi alkubra

Sahih International

He certainly saw of the greatest signs of his Lord.

Malay

Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya.

لَقَدْ رَأَىٰ مِنْ آيَاتِ رَبِّهِ الْكُبْرَىٰ

Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar.

Semasa dalam perjalanan isra’ dan mi’raj itu, berbagai-bagai tanda kebesaran Allah yang telah ditunjukkan kepada Nabi Muhammad. Antaranya, Malaikat Jibril, Buraq, Sidratul Muntaha dan macam-macam lagi. Untuk mengetahui dengan panjang lebar, kena belajar khusus berkenaan perjalanan isra’ mi’raj itu.

————————————————–

Ayat 19: Ini adalah maksud surah.

53:19
Transliteration

Afaraaytumu allata walAAuzza

Sahih International

So have you considered al-Lat and al-‘Uzza?

Malay

(Setelah kamu – wahai kaum musyrik Makkah – mendengar keterangan yang membuktikan kekuasaan dan keagungan Allah) maka adakah kamu nampak bahawa “Al-Laat” dan “Al-Uzza” –

أَفَرَأَيْتُمُ اللَّاتَ وَالْعُزَّىٰ

Maka apakah patut kamu (hai orang-orang musyrik) menganggap al Lata dan al Uzza,

Ayat ini boleh juga dibaca: “Tidakkah kau pernah memikirkan tentang al Lata dan al Uzza?”

Berhala adalah setiap benda yang disembah dan dipuja oleh manusia dalam bentuk patung batu, kayu atau benda-benda lain dengan maksud untuk lebih mendekatkan diri mereka kepada Tuhan.

Lata dan Uzza asalnya adalah dua orang alim dan apabila mereka mati, mereka telah dipuja oleh puak musyrikin. Bukanlah mereka itu terus dijadikan sebagai patung berhala. Mula-mula, mereka beri salam kepada kubur mereka sahaja, kemudian mungkin buat gambar. Lama kelamaan, sudah sampai dijadikan patung dan dipuja sebagai tuhan.

Begitulah permulaan penyembahan manusia kepada selain Allah. Mulanya sebagai peringatan sahaja tapi lama kelamaan, akan dipuja dan disembah. Mungkin generasi pertama yang memulakannya tahu bahawa mereka letak gambar orang-orang alim mereka sebagai peringatan kepada orang-orang alim itu supaya memberi semangat kepada mereka untuk menjadi baik seperti orang-orang alim itu. Kemudian, lama kelamaan mereka telah menjadikan orang-orang alim yang telah mati itu sebagai perantara untuk doa mereka. Inilah yang dinamakan tawasul. Dan tawasul ini adalah perbuatan kufur. Akhirnya, syaitan akan menyesatkan manusia dengan menyatakan bahawa itulah tuhan mereka yang sebenarnya. Akhirnya, jadilah patung berhala yang mereka sembah sebagai tuhan.

Itulah sebabnya kita menentang perbuatan bidaah yang telah dimulakan oleh guru-guru yang sesat. Mereka sudah mula mengajar beri salam kepada orang yang mati, sedekah fatihah kepada mereka dan macam-macam lagi amalan bidaah yang tidak ada asas dalam agama. Asalnya nampak macam tidak ada apa-apa. Tetapi lama kelamaan, ianya akan menjadi seperti kanser yang sudah susah untuk dibuang. Sebagai contoh, di negara ini sudah datang puak Habib yang mengajar masyarakat kita untuk jadi sesat dengan menghias kubur-kubur guru mereka dengan cantik, letak gambar pula dan duduk-duduk di kubur itu dengan amalan-amalan bidaah mereka yang sesat. Memang mula-mula dijadikan sebagai perantara sahaja dalam doa tapi lama kelamaan, manusia akan berdoa terus kepada tuan kubur itu sendiri. Asalnya, perbuatan bidaah itu nampak kecil sahaja, tapi kalau tidak dibenteras, kesannya amat berat kerana boleh  sampai jadi syirik!

Asalnya, syaitan akan membisikkan untuk buat benda-benda sikit dahulu. Yang tak jelas syiriknya. Sebagai contoh, kalau ditanya kepada pengikut Habib sekarang, mereka kata tidak ada apa salah perbuatan mereka. Mereka cuma hormat guru mereka yang dah mati. Dan mereka tidak sembah pun kubur guru mereka itu, cuma mereka jadikan sebagai perantaraan dalam berdoa sahaja. Itu pun dah salah dah kerana tawasul adalah amalan kufur. Tapi lama kelamaan, kalau tidak dibenteras, akhirnya anak cucu kita akan puja dan sembah guru-guru itu. Seperti yang terjadi dengan Lata dan Uzza ini.

Dari segi sejarah, Lata ini adalah berhala penduduk Taif. Ada yang mengatakan makna اللَّاتَ ini asalnya bermaksud ‘tawaf’ kerana mereka yang menyembahnya akan tawaf mengelilinginya. Ada pula yang mengatakan yang اللَّاتَ adalah nama الله  yang difemininkan. Itu bermakna, mereka menukar nama Allah. Ini adalah satu perbuatan yang amat mungkar.

Uzza pula adalah berhala penduduk Ghatfan. Quraisy juga mengagungkan berhala Uzza ini. Sebagaimana yang dikatakan oleh Abu Sufyan pada peristiwa Perang Uhud,

لنا العزى ولا عزى لكم (kami memiliki ‘Uzzà, sedang kamu wahai kaum muslimin tidak memiliki ‘Uzzà). Lalu, Rasulullah saw., bersabda: قولوا: الله مولانا ولا مولى لكم (katakanlah oleh kalian, Allah adalah pelindung kami dan tidak ada pelindung buat kalian).

Kedua-dua berhala ini adalah dalam jantina betina.

————————————————–

Ayat 20:

53:20
Transliteration

Wamanata aththalithataal-okhra

Sahih International

And Manat, the third – the other one?

Malay

Serta “Manaat” yang ketiga, yang bertaraf rendah lagi hina itu (layak disembah dan dianggap sebagai anak-anak perempuan Allah)?

وَمَنَاةَ الثَّالِثَةَ الْأُخْرَىٰ

dan Manah yang ketiga, yang lagi satu?

Manah ini asalnya adalah seorang bomoh perempuan. Jadi apabila mereka ada hajat jenis perubatan, musyrikin Mekah akan minta tolong kepada Manah ini. Berhala Manah ini juga berjantina betina pada mereka. Ketiga-tiga berhala utama bangsa Arab ini adalah berjantina perempuan.

Adapun Manat terdapat di Musyallal di daerah Qadid yang terletak antara Mekah dan Madinah. Adalah Khuza’ah, Aus, dan Khazraj (yang duduk di Yathrib, kemudian ditukar namanya kepada Madinah apabila Nabi berhijrah ke sana) sangat mengagungkannya di masa jahiliah dan mereka mengucapkan talbiah dari sana ketika hendak berhaji menuju Ka’bah. Imam Bukhari telah meriwayatkan dari Aisyah keterangan seperti ini. Sebetulnya, di Jazirah Arab dan yang lainnya terdapat taghut-taghut lain yang senantiasa diagungkan oleh orang-orang Arab, selain berhala-berhala yang telah ditegaskan melalui nas oleh kitab-Nya yang mulia. Tapi ketiga berhala ini disebutkan secara khusus, karena lebih popular dibandingkan dengan yang lainnya.

Rasulullah SAW sendiri kemudiannya selepas Pembukaan Mekah, telah mengutus Mughirah bin Syu’bah dan Abu Sufyan bin Harb agar mendatangi patung al-Lata. Kemudian, merekapun menghancurkannya dan mendirikan sebuah masjid di Thaif pada tempat yang sebelumnya diletakkan berhala itu. Baginda juga telah mengutus Khalid bin Walid agar mendatangi berhala al-‘Uzza. Dia pun menghancurkannya. Dan baginda mengutus Abu Sufyan bin Harb agar mendatangi berhala Manat, yang ketika itu terletak di pinggir Musyallal di daerah Qadid, maka dia pun menghancurkannya. Terdapat pula patung-patung lainnya, seperti Dzil Khilshah, Qais, Riyam, Ridha, Dzil Ka’baat yang tersebar di beberapa daerah. Maka, Rasulullah pun mengutus sejumlah sahabatnya agar menghancurkan semuanya dan membersihkan jazirah Arab dari kotoran-kotoran syirik itu.

Allah menyebut berhala-berhala ini kerana hendak menyedarkan musyrikin Mekah. Dalam ayat sebelum ini, telah diceritakan bagaimana hebatnya malaikat Jibril. Dengan segala kekuatan, kebesaran dan kekuatan akalnya, dia masih lagi pesuruh kepada Allah. Kalau orang suruhan pun dah macam itu, bagaimana pula dengan Allah? Tentu tidak terbayang kehebatan Allah, bukan? Sedangkan kehebatan Jibril pun tidak dapat dibayangkan, apatah lagi Allah.

Dan sekarang, Allah tanya mereka, tidakkah mereka memikirkan tentang tuhan-tuhan berhala mereka itu? Bolehkah berhala-berhala itu buat apa-apa? Adakah berhala-berhala itu ada kuasa? Bolehkah berhala itu beri mereka apa-apa? Tentulah tidak boleh sama sekali. Sedangkan berhala itu, manusia juga yang jadikan. Kalau ada lalat singgah kepada hidung berhala itu, berhala itu pun tak boleh nak halau sendiri. Begitulah lemahnya patung-patung itu, tapi kenapa mereka memujanya? Kenapa dangkal sangat fikiran mereka? Begitulah Allah menyedarkan mereka.

————————————————–

Ayat 21:

53:21
Transliteration

Alakumu aththakaru walahual-ontha

Sahih International

Is the male for you and for Him the female?

Malay

Patutkah kamu membahagi untuk diri kamu sendiri anak lelaki (yang kamu sukai), dan untuk Allah anak perempuan (yang kamu benci)?

أَلَكُمُ الذَّكَرُ

Apakah (patut) untuk kamu (anak) laki-laki

Seperti yang kita tahu, ada bangsa Arab amat suka kalau mereka dapat anak lelaki dan mereka tidak suka kalau mereka dapat anak perempuan. Pada mereka, hina sangat kalau mereka dapat anak perempuan. Sampaikan ada yang sanggup membunuh anak perempuan mereka hidup-hidup kerana malunya mereka mendapat anak perempuan.

 

وَلَهُ الْأُنثَىٰ

dan untuk Allah (anak) perempuan?

Musyrikin mengatakan yang berhala-berhala itu adalah ‘anak perempuan’ Allah. Lihatlah bagaimana kalau untuk mereka, mereka hendakkan anak lelaki. Tapi untuk Allah, mereka berikan anak perempuan pula.

————————————————-

Ayat 22:

53:22
Transliteration

Tilka ithan qismatun deeza

Sahih International

That, then, is an unjust division.

Malay

Pembahagian yang demikian, sudah tentu suatu pembahagian yang tidak adil.

تِلْكَ إِذًا قِسْمَةٌ ضِيزَىٰ

Yang demikian itu tentulah suatu pembahagian yang tidak adil.

Memang tidak patut apa yang mereka lakukan itu. Tidak patut mereka memberikan anak perempuan kepada Allah. Mereka berikan kepada Allah apa yang mereka sendiri tak mahu. Kalau menetapkan anak lelaki untuk Allah pun sudah satu kesalahan besar, apatah lagi kalau anak perempuan. Janganlah pula kita kata tidak mengapa kalau untuk Allah anak lelaki pula. Itupun dah perbuatan syirik dah. Tapi ianya lebih teruk lagi kalau mereka memberikan anak perempuan untuk Allah sedangkan mereka sendiri tidak suka anak perempuan.

Apa yang kita boleh belajar dari ayat ini? Jangan kita beri kepada Allah dalam keadaan sambil lewa. Kalau ada masa, baru nak solat; kalau ada kesempatan, baru nak pergi kelas belajar agama, baru nak belajar Tafsir Quran. Maknanya, kita beri kepada Allah sesuatu yang tidak berharga. Itu amat tidak adil.

————————————————-

Ayat 23:

53:23
Transliteration

In hiya illa asmaonsammaytumooha antum waabaokum maanzala Allahu biha min sultanin inyattabiAAoona illa aththanna wamatahwa al-anfusu walaqad jaahum min rabbihimu alhuda

Sahih International

They are not but [mere] names you have named them – you and your forefathers – for which Allah has sent down no authority. They follow not except assumption and what [their] souls desire, and there has already come to them from their Lord guidance.

Malay

Benda-benda yang kamu sembah itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kamu dan datuk nenek kamu menamakannya. Allah sekali-kali tidak menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Mereka yang berbuat demikian, tidak menurut melainkan sangkaan-sangkaan dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka. Padahal demi sesungguhnya telah datang kepada mereka petunjuk dari Tuhan mereka.

إِنْ هِيَ إِلَّا أَسْمَاءٌ سَمَّيْتُمُوهَا

Itu tidak lain hanyalah nama-nama yang diada-adakan

Mereka sahaja yang memandai-mandai meletakkan kedudukan Lata, Uzza dan Manah itu sebagai tuhan atau sebagai perantara kepada Allah. Mereka yang beri nama, mereka yang beri pangkat dan mereka yang reka cara beramal kepada berhala itu. Padahal tidaklah ada tuhan yang bernama Lata, Uzza, Manah atau mana-mana tuhan lain selain Allah. Tidaklah dengan meletakkan nama sesuatu, yang tak wujud jadi wujud pula. Itu adalah mustahil.

Sebagai contoh, puak Hindu reka nama tuhan mereka Murugan dengan mereka beri pangkat Murugan itu sebagai ‘tuhan Perang’, sebagai panglima perang dewa-dewa. Mereka juga reka siapakah ibubapa dia, dan cara bagaimana nak puja dia. Sebagai contoh, cara pemujaan kepada Murugan adalah dengan perayaan Thaipusam yang diadakan di Batu Caves yang kita selalu saksikan itu.

Orang Kristian pula, reka tugas Nabi Isa sebagai ‘anak tuhan’, mereka beri juga pangkat kepada ibunya Maryam, kemudian mereka reka cara beribadat kepada Nabi Isa dan ibunya Maryam. Antaranya, mereka menyanyi dalam gereja mereka. Malangnya, kita pun sekarang nak ikut Kristian dan Hindu yang menggunakan nyanyian dalam dakwah dan agama sampaikan ada nasyid, ada Qasidah dan ada pula Zikir Munajat berlagu.

Puak tarekat pula lagi pandai dalam hal mereka-reka ini. Antaranya, mereka beri pangkat kepada Sheikh Qadir Jalani sebagai ‘Sultan para Wali-wali’. Maknanya, semua wali-wali dalam dunia ini diketuai oleh Sheikh Abdul Qadir. Perlantikan ini tidak memerlukan apa-apa, boleh dibuat sesuka hati oleh guru dan pengikut Tasawwuf. Mereka juga ‘melantik’ Sheikh Abdul Qadir ini sebagai ‘penjaga masa’. Maknanya, Sheikh Abdul Qadir ini boleh memberhentikan masa kalau dia mahu. Sebagaimana mereka juga menamakan dan memberi tugas kepada entiti-entiti tertentu sebagai wali dan diberikan tugas kepada wali-wali itu. Macam kabinet pula jadinya, ada yang jaga kutub selatan, kutub Utara, bahagian ini dan itu. Wali-wali itu pula dari masa ke semasa ada ‘mesyuarat’ dengan Nabi Muhammad tentang pemerintahan dan penjagaan dunia ini! Sebagaimana agama Hindu memandai beri nama dan tugas, begitu jugalah yang dilakukan oleh orang Islam kita yang sudah keliru ini.

Dari pembacaan kita, ramai dari mereka yang ‘dilantik’ itu adalah orang yang baik-baik, termasuklah Sheikh Abdul Qadir, Nabi Isa dan Saidina Ali, Hasan dan Husein. Bukanlah salah mereka dipuja dan diberi pangkat sebegitu. Tidaklah pernah Nabi Isa suruh baginda disembah. Begitu juga Saidina Ali, Hasan dan Hussein tidak pernah mengaku sebagai ‘Imam’ kepada pengikut Syiah. Pengikut Syiah sahaja yang memandai ‘menamakan’ mereka itu sebagai ‘Imam Syiah’ dan mereka jadikan ‘Imam-Imam’ itu sebagai perantara antara mereka dan Allah. Mereka juga minta pertolongan kepada Iman-Iman itu dengan ucapan “madad Ali, madad Hussein“. Dan ajaran ini sedang diajar pula kepada orang Sunni dengan diajar masyarakat yang jahil dengan ucapan “madad Rasulullah“. Ma sha Allah! Ini adalah satu kesyirikan! Tapi apabila dibincangkan di dalam media massa, masih ada lagi ustaz-ustaz yang jahil yang  mengatakan ini tidak mengapa! Bagaimana ini boleh terjadi!?

Bagaimana dengan Nabi Muhammad SAW? Adakah baginda terselamat dari perkara rekaan ini? Tidak juga. Orang Islam telah ‘menamakan’ atau ‘memberi pangkat’ kepada Nabi kita dengan gelaran ‘Sayyidina’ juga, sama seperti yang diberikan kepada sahabat-sahabat baginda yang lain. Mereka kata pangkat itu diberikan sebab nak hormat baginda, tapi mereka sebenarnya telah ‘turunkan’ pangkat baginda sampai disamakan dengan sahabat pula.

Dan ada pula yang angkat baginda melebihi manusia lain dengan mengatakan baginda itu ‘Nur’ – cahaya. Maka timbullah konsep ‘Nur Muhammad’ yang penuh syirik itu. Walaupun baginda dah wafat, tugas dah habis, puak-puak sesat ini masih lagi beri tugas kepada baginda. Maka, mereka kata Nabi Muhammad ‘hadhir’ pada majlis Tahlil mereka, Marhaban mereka, majlis Mawlid mereka, Qasidah mereka. Nabi juga mereka kata sekali sekala ada ‘mesyuarat’ dengan para wali seluruh dunia dalam pentadbiran dunia dan langit ini. Nabi juga jadi tukang beri Syafaat, tukang beri berkat sekarang. Cara ibadat kepada Nabi juga diajar oleh mereka – ada yang hantar hadiah Fatihah sebagai upah kepada baginda, ada yang reka berjenis-jenis Selawat sampaikan ada yang berbau syirik seperti Selawat Syifa’, ada ajaran beri salam kepada Nabi dan macam-macam lagi. Susah kita nak senaraikan semuanya kerana puak-puak sesat ini amat-amat kreatif dalam cara mereka. Itu belum lagi dikira golongan sesat yang mengatakan Nabi Muhammad itu ‘bersemayam di Arash sebagai Tuhan, turun ke bumi sebagai Muhammad’. Ini pun ada di Malaysia ini.

Kumpulan silat pun ada juga buat macam-macam rekaan dalam amalan mereka. Apabila mereka buka atau hendak masuk gelanggang, mereka akan beri salam kepada Nabi tertentu, kerana mereka kata Nabi itu menjaga tanam-tanaman dan pokok. Jadi, mereka semasa di gelanggang silat itu, banyak pokok mereka akan cantas dan pijak, jadi mereka minta maaf melalui Nabi itu; Mereka juga ‘tugaskan’ Malaikat Jibrail untuk menjaga mereka di hadapan, Malaikat Mikhail di sebelah kanan dan sebagainya. Ini semua adalah kerana kejahilan yang berleluasa dalam masyarakat kita yang mengaku Islam ini.

 

أَنتُمْ وَآبَاؤُكُم

oleh kamu dan bapa-bapa kamu

Mereka hanya ikut sahaja amalan tok nenek mereka. Musyrikin Mekah kononnya mengatakan yang mereka mengikut ajaran Nabi Ibrahim. Tok Nenek mereka telah lama mengamalkan amalan itu. Jadi, apabila Nabi Muhammad datang, mereka tuduh Nabi Muhammad sebagai sesat pula kerana memperkenalkan amalan agama yang lain dari amalan agama yang dibawa oleh tok nenek mereka. Padahal, apa yang Nabi Muhammad bawa itu adalah yang benar.

Bagaimana pula dengan masyarakat kita? Mereka amat menghormati amalan dulu-dulu yang diamalkan oleh tok nenek kita. Mereka tak periksa pun samada amalan itu benar atau tidak. Mereka terus terima ianya sebagai sesuatu yang benar. Apabila kita tegur, mereka pula marah kita. Mereka kata kalau amalan itu salah, takkan diamalkan dari dulu lagi sampai sekarang?

Sebagai contoh, amalan Majlis Tahlil, Kenduri Arwah, Bacaan Talqin, Bacaan Yaasin malam Jumaat dan banyak lagi. Amalan-amalan itu adalah amalan bidaah. Memang kita tahu sudah lama diamalkan. Tapi tidaklah amalan yang lama diamalkan boleh menjadi dalil yang ianya benar. Sesuatu amalan itu kenalah diperiksa samada kena dengan syarak atau tidak. Jangan kita jadi macam Musyrikin Mekah yang terus memegang amalan tok nenek mereka.

 

مَّا أَنزَلَ اللَّهُ بِهَا مِن سُلْطَانٍ

Allah tidak menurunkan suatu keteranganpun untuk (menyembah)nya.

Mereka langsung tidak ada dalil untuk membenarkan amalan menyembah berhala mereka itu. Itu semua adalah hasil dari ajaran syaitan. Allah tak pernah suruh dan ajar mereka dengan amalan syirik itu.

Ini mengajar kita untuk memeriksa sesuatu amalan itu ada dalam nas syarak atau tidak. Nas syarak adalah Quran dan sunnah Nabi. Itu adalah rujukan utama kita. Bukannya amalan orang terdahulu dan bukan juga dari ‘Kitab’. Amat menyedihkan apabila ditanya dalil sesuatu amalan, jawapan yang diberikan adalah: “ada dalam kitab’. Ini adalah jawapan yang diberikan oleh orang yang jahil. Yang jadi masalahnya, jawapan itu diberikan oleh ustaz-ustaz dan agamawan pula. Kalau ustaz pun beri jawapan sebegitu, apakah agaknya jawapan dari orang awam? Tentulah lagi memalukan.

 

إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ

Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan-sangkaan,

Musyrikin Mekah membuat amalan mereka dari agak-agak fikiran mereka sahaja. Dan ini juga yang dilakukan oleh masyarakat kita. Sebagai contoh, amalan Marhaban. Mereka yang buat majlis ini kata, Nabi Muhammad hadir dalam majlis itu. Kalau kita mempertikaikan kepada mereka, takkan kalau ada dua majlis, roh Nabi akan berada pada dua majlis itu, mereka akan jawab: jangan persoal kurnia Allah dan kelebihan Nabi Muhammad! Mereka kata begitu kerana mereka agak-agak bahawa Nabi Muhammad itu mestilah lain daripada roh manusia yang biasa. Dan mereka agak, tentulah Allah boleh beri kelebihan yang lebih kepada kekasihNya.

image

Tetapi, mana dalilnya? Agakan akal fikiran bukanlah dalil yang sah. Kalau ianya boleh diterima, maka akan rosaklah agama. Kerana semua orang boleh ‘agak-agak’ belaka.

 

 وَمَا تَهْوَى الْأَنفُسُ

dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka

Selain dari andaian akal fikiran, mereka juga beramal ikut kehendak nafsu mereka sahaja. Mereka buat apa yang mereka suka. Mereka hiaskan berhala itu cantik-cantik ikut suka mereka.

Hawa nafsu mereka mahukan macam-macam perkara yang tidak sama dengan apa yang syariat hendak. Maka, mereka buat sendiri tuhan mereka, dan dengan itu, mereka boleh kawal apa yang ‘tuhan’ mereka cakap. Sudah semestinya mereka akan kata perkara-perkara yang nafsu mereka mahukan, bukan apa yang syariat mahukan.

Masyarakat kita pun ikut hawa nafsu mereka dalam beramal. Amalan-amalan bidaah seperti Majlis Tahlil, bacaan Talqin, Doa Selamat, Solat Hajat, tunggu kubur dan macam-macam lagi adalah ‘sumber pendapatan’ yang lumayan bagi pengamal-pengamal ini. Mereka ini selalunya golongan ‘ahli masjid’ dan surau, Pak lebai, ustaz-ustaz dan guru-guru agama. Mereka akan dapat upah apabila mengepalai majlis bidaah itu. Yang hadir sekali, sekurang-kurangnya dapat makan percuma hari itu. Itu semua adalah kehendak nafsu mereka. Kalau amalan-amalan itu dihapuskan, mereka sudah tidak dapat upah, sudah tidak dapat makan percuma. Tentunya mereka kata, mereka buat amalan itu ‘ikhlas’. Untuk dapatkan kepastian samada mereka ikhlas atau tidak, apa kata tuan rumah buat majlis, tapi tak beri upah kepada imam itu, dan tak hidangkan makanan. Agak anda, golongan surau itu akan datang lagikah esok?

Berhentilah dari buat majlis bidaah itu. Berhentilah dari menyusahkan keluarga yang kematian ahli keluarga mereka. Sudahlah mereka baru kematian ahli keluarga yang disayangi, kita pula susahkan mereka dengan kena beri makan kepada kita pula. Tidakkah kita ada hati perut? Tidakkah kita terfikir kesusahan mereka itu? Bagaimana pula kalau yang meninggal itu adalah bapa kepada keluarga itu dan dia sahaja yang bekerja? Sudahlah mereka hilang sumber pendapatan, tak tahu macam mana nak hidup selepas ini, tapi kena beri makan kepada orang ramai pula. Kalau anda makan juga, anda sebenarnya tidak berhati perut langsung!

 

وَلَقَدْ جَاءَهُم مِّن رَّبِّهِمُ الْهُدَىٰ

dan sesungguhnya telah datang petunjuk kepada mereka dari Tuhan mereka.

Allah telah memberikan petunjuk kepada manusia dalam bentuk ayat-ayat Qur’an dan juga hadis-hadis Nabi, tetapi mereka masih melakukan perkara-perkara sesat dan khurafat. Alangkah rugi apa yang musyrikin Mekah itu tolak. Nabi Muhammad sudah ada di kalangan mereka, Quran diturunkan dalam bahasa mereka, tapi mereka berpaling.

Masyarakat kita amat rugi. Kita sudah dilahirkan dalam agama Islam, dalam masyarakat Islam, tapi masih lagi berpaling dari petunjuk Allah. Ini adalah kerana tafsir Qur’an mereka tidak belajar dan syarah kepada hadis juga mereka tidak belajar. Dan rujukan mereka adalah kepada guru-guru dan ustaz-ustaz yang mereka pun tidak belajar tafsir Quran dan juga hadis Nabi. Oleh kerana itu, kejahilan itu diwarisi turun temurun daripada dulu sampai sekarang. Walaupun kitab tafsir dan kitab hadis sudah ada banyak, tetapi yang mereka rujuk masih lagi kepada kitab-kitab karangan manusia yang tidak berlandaskan kepada ayat Qur’an dan hadis Nabi.

Jadi ayat ini memberi dua pilihan kepada manusia: samada nak ikut mereka yang ‘agak-agak’ dan ikut hawa nafsu atau nak ikut mereka yang mendapat hidayah? Tentulah pilihan kita kepada mereka yang ikut petunjuk dari Allah, bukan?

————————————————-

Ayat 24:

53:24
Transliteration

Am lil-insani ma tamanna

Sahih International

Or is there for man whatever he wishes?

Malay

Adakah manusia akan dapat mencapai segala yang dicita-citakannya? (Tidak!).

أَمْ لِلْإِنسَانِ مَا تَمَنَّىٰ

Apakah manusia akan mendapat segala yang dicita-citakannya?

Adakah manusia patut dapat semua yang dia ingini? Manusia ada macam-macam kehendak, tapi tidaklah mereka dapat semua yang mereka hendak itu. Kalau diberikan semua yang manusia hendak, rosak binasalah dunia ini.

Apakah kaitan ayat ini dengan berhala-berhala itu? Allah nak beritahu, walaupun mereka berkeinginan kepada berhala-berhala itu, tapi mereka tak akan dapat. Manusia tidak mendapat semua yang mereka inginkan. Semuanya bergantung kepada kehendak Allah.

————————————————–

Ayat 25:

53:25
Transliteration

Falillahi al-akhiratu wal-oola

Sahih International

Rather, to Allah belongs the Hereafter and the first [life].

Malay

Kerana Allah jualah yang menguasai segala urusan akhirat dan urusan dunia.

فَلِلَّهِ الْآخِرَةُ وَالْأُولَىٰ

(Tidak), maka hanya bagi Allah kehidupan akhirat dan kehidupan dunia.

Manusia tidak mendapat semua yang mereka inginkan, sebaliknya apa yang manusia akan dapat atau tidak itu terpulang kepada Allah. Allah sahaja yang ada hak untuk menentukan apa yang kita dapat. Kerana akhirat dan dunia adalah kepunyaanNya.

Kalau akhirat dan dunia ini milik Allah, maka kenapa kita perlu minta pertolongan kepada Nabi, Wali dan malaikat? Kenapa nak minta kepada tuhan-tuhan rekaan yang memang tidak boleh memberikan apa-apa? Sepatutnya kita minta terus kepada Allah Ta’ala sahaja.

Dalam ayat ini, ‘akhirat’ disebut dahulu, sedangkan dari segi kronologi, kehidupan dunia dulu, kemudian barulah kehidupan akhirat, bukan? Akhirat disebut dahulu kerana kekuasaan Allah akan lebih jelas di akhirat nanti. Sekarang ini pun dalam dunia, Allah yang berkuasa penuh, tapi manusia tak nampak. Nanti, bila di akhirat nanti, tidak ada yang akan mempersoalkannya lagi.

————————————————-

Ayat 26:

53:26
Transliteration

Wakam min malakin fee assamawatila tughnee shafaAAatuhum shay-an illa minbaAAdi an ya/thana Allahu liman yashao wayarda

Sahih International

And how many angels there are in the heavens whose intercession will not avail at all except [only] after Allah has permitted [it] to whom He wills and approves.

Malay

(Golongan yang musyrik mengharapkan pertolongan benda-benda yang mereka sembah itu) padahal berapa banyak malaikat di langit, syafaat mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah, kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan diredhaiNya.

وَكَم مِّن مَّلَكٍ فِي السَّمَاوَاتِ

Dan entah berapa banyaknya malaikat di langit,

Berapa banyak malaikat pun kita tak akan tahu. Allah sahaja yang tahu bilangan mereka.
Kita pun tahu bahawa malaikat itu rapat dengan Allah. Mereka menerima arahan terus dari Allah. Mereka makhluk yang taat. Sebelum ini pun telah disebut sifat-sifat Jibril yang hebat. Tetapi kenapa disebut tentang malaikat dalam ayat ini?

 

لَا تُغْنِي شَفَاعَتُهُمْ شَيْئًا

syafa’at mereka sedikitpun tidak berguna,

Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa mereka-mereka yang ada meminta tolong kepada malaikat ataupun menjadikan malaikat sebagai perantaraan untuk mereka memohon kepada Allah adalah sia-sia sahaja. Walaupun mereka itu banyak.

Musyrikin Mekah menyembah berhala-berhala mereka kerana mereka kata berhala itu akan menyampaikan permintaan mereka kepada Allah. Dalam masa yang sama, mereka juga menyembah malaikat-malaikat yang mereka kata kononnya anak-anak perempuan Allah. Jadi mereka ingat mereka selamat kerana mereka kononnya sudah baik dengan malaikat. Adakah begitu? Tidak sama sekali. Allah kata pertolongan mereka tidak berguna pun. Itupun kalau malaikat itu hendak menolong.

Allah nak suruh mereka bandingkan berhala mereka dengan malaikat-malaikat itu. Tentulah malaikat lebih hebat dari berhala itu, bukan? Walaupun hebat, tapi mereka pun masih tidak dapat membantu manusia kalau Allah tak izinkan. Kalau malaikat pun tak boleh tolong, apatah lagi berhala mereka yang tidak ada apa-apa itu? Sia-sia sahaja.

Tapi ada juga yang boleh memberi Syafaat, tapi dengan syarat.

 

إِلَّا مِن بَعْدِ أَن يَأْذَنَ اللَّهُ

kecuali sesudah Allah mengizinkan

Ada syarat untuk malaikat itu memberi pertolongan kepada manusia. Kita kena ingat bahawa Malaikat ikut perintah Allah sahaja. Allah boleh izinkan kalau Allah mahu. Ini adalah syarat pertama: syarat itu adalah – Allah izinkan malaikat itu untuk menolong.

 

لِمَن يَشَاءُ وَيَرْضَىٰ

bagi orang yang dikehendaki dan diridhai (Nya).

Ini adalah syarat kedua: yang ditolong oleh malaikat itu pun kena dapat approval dari Allah juga. Bukanlah malaikat itu boleh tolong sesiapa sahaja.

Syarat ketiga: Allah redha dengan Syafaat itu.

Maknanya, bukan senang nak dapatkan Syafaat. Ini mengajar kita untuk jangan berharap kepada orang lain. Kita kena berharap dengan Allah sepenuhnya. Kerana segalanya Allah yang tentukan. Entah berapa ramai masyarakat kita yang mengharapkan Syafaat dari malaikat, dari Nabi, dari wali, dari guru mereka, tanpa mereka sedari samada mereka melepasi syarat-syarat itu atau tidak.

Allahu a’lam.

Lompat ke ayat yang seterusnya

=============================

Ref: UR, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 053: Najm. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s