Tafsir Surah an-Najm Ayat 1-17

Pengenalan

Surah Najm ini adalah surah tentang Mi’raj Nabi dari MasjidilAqsa ke langit. Tentang Isra’ (perjalanan dari Mekah ke MasjidilAqsa) telah diberitahu dalam surah Isra’, sekarang tentang kenaikan Nabi ke langit pula.

Ianya adalah surah Makkiah. Ianya adalah surah pertama yang Nabi bacakan secara keseluruhan kepada penduduk Mekah. Dalam surah inilah, ayat tentang sujud telah dibacakan dan baginda terus sujud. Selepas Nabi Muhammad membacakan ayat itu, baginda kemudiannya telah sujud. Waktu itu baginda membacakan ayat ini di khalayak ramai, iaitu kepada sahabat-sahabat baginda dan juga kepada kaum musyrikin Mekah.

Apabila baginda sujud, semua sahabat kesemuanya telah sujud bersama baginda. Yang hebatnya, puak-puak musyrikin yang tidak mahu beriman itu pun sampaikan terpesona dengan surah an-Najm yang baginda bacakan dan perbuatan sujud baginda, maka mereka pun ramai-ramai sujud bersama Nabi. Semua sekali mereka yang berada di situ telah sujud, kecuali seorang sahaja yang degil. Begitu pun, dia telah mengambil sedikit tanah dan meletakkan tanah itu ke dahinya. Dia tahan dirinya dari sujud penuh, tapi dia telah terpanggil untuk meletakkan tanah ke dahinya. Kejadian ini boleh dibaca dalam Seerah: http://visitor74.wordpress.com/2014/08/03/seerah-episode-41-the-migration-to-abyssinia/

Ayat 1:

53:1
Transliteration

Wannajmi itha hawa

Sahih International

By the star when it descends,

Malay

Demi bintang semasa ia menjunam, –

وَالنَّجْمِ إِذَا هَوَىٰ

Demi bintang ketika ianya terbenam.

Dalam ayat ini, Allah bersumpah dengan ‘bintang yang terbenam’. Hanya Allah sahaja yang boleh bersumpah dengan makhlukNya. Kita hanya boleh bersumpah dengan menggunakan nama Allah sahaja. Dalilnya, Nabi pernah bersabda: Sesiapa yang ingin bersumpah, maka bersumpahlah atas nama Allah atau (jika tidak) maka diamlah.

Maka orang yang ingin bersumpah hendaklah menyebut “Wallahi”, “Billahi” atau “Tallahi” yang semuanya bermaksud “Demi Allah”.

Selain dari itu, boleh juga bersumpah dengan salah satu nama Allah seperti al-Rahman, al-Rahim, al-Khalik dan sebagainya. Seumpama: “Demi al-Rahman, aku tidak pernah melakukan hal itu”.

Boleh juga bersumpah dengan sifat-sifat Allah. Sebagaimana Nabi pun selalu lakukan:

Demi yang jiwa Muhammad berada di Tangan-Nya, tidaklah seorang jua dari umat ini yang mendengar tentang aku, baik Yahudi mahupun Nasrani, kemudian dia mati tanpa beriman kepada apa yang aku diutus dengannya (Islam) melainkan dia menjadi dari kalangan ahli neraka.

Memang jiwa Nabi dan juga jiwa kita berada dalam Tangan Allah, maka itu tidaklah salah, tambahan pula Nabi Muhammad selalu gunakan sumpah begitu. Oleh itu, ada tiga cara untuk bersumpah yang dibenarkan, maka gunakan cara itu sahaja. Maka janganlah kita buat seperti sesetengah orang yang bersumpah dengan ‘cahaya api’, dengan ‘matahari yang tengah naik’ dan sebagainya. Itu semua memang berlaku tapi dilakukan oleh mereka yang jahil yang tidak tahu tentang larangan Allah.

Jika seseorang bersumpah dengan sesuatu selain Allah, nama-nama Allah atau sifat-sifat Allah, sumpahnya bukan sahaja tidak sah tetapi dia telah menyekutukan Allah. Ini adalah dosa syirik yang tidak akan diampuni oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala jika orang itu tidak bertaubat. Hadis berikut menjadi rujukan:

Ibn ‘Umar (radhiallahu ‘anhuma) mendengar seorang lelaki bersumpah: “Tidak, demi Ka’bah!” Lalu Ibn ‘Umar berkata kepadanya: “Aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang bersumpah dengan selain Allah, maka dia telah berbuat syirik.”

وَالنَّجْمِ bermaksud bintang di langit yang manusia boleh lihat – jelas kelihatan di malam hari. Bintang-bintang itu digunakan sebagai penunjuk arah kepada bangsa Arab yang selalu mengembara waktu malam. Oleh itu, salah satu sifat bintang itu adalah sebagai ‘penunjuk di dalam kegelapan’ malam. Ianya adalah isyarat kepada Quran yang memberi petunjuk kepada kaum yang berada di dalam kegelapan iman.

هَوَىٰ adalah apabila bintang hilang dari langit, tak nampak lagi. Apabila matahari keluar, bintang tak nampak dah. Ianya akan terjadi setiap hari. Perkataan هَوَىٰ ini selalunya digunakan untuk mengungkapkan objek-objek di langit yang terbenam.

Lagi satu, bintang itu akan jatuh apabila ia digunakan untuk menembak syaitan-syaitan yang cuba untuk mendengar rahsia-rahsia dari langit. Ini seperti yang disebut dalam surah al-Mulk:5

وَلَقَدْ زَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِمَصَابِيحَ وَجَعَلْنَاهَا رُجُومًا لِلشَّيَاطِينِ ۖ وَأَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابَ السَّعِيرِ
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (langit dunia) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu sebagai rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.

Jadi dalam potongan ayat ini, Allah bersumpah dengan bintang untuk memberitahu kepada kita satu perkara yang penting yang akan disebutkan selepas ini. Macam kita juga, apabila hendak menekankan sesuatu perkara yang penting, kita akan kata sebagai contoh: “demi Allah, aku tak tipu, aku cakap benar ni”.

Allah menggunakan bintang sebagai sumpahNya dalam ayat ini. Bintang adalah satu elemen penting dalam kehidupan orang Arab. Mereka suka melihat bintang. Mereka tidak ada TV nak tonton, supermarket untuk pergi jalan-jalan, internet nak dilayar. Maka, bintanglah yang mereka tenung malam-malam hari. Maka, Allah menggunakan bintang sebagai sumpah kerana ianya penting kepada bangsa Arab.

Pada zaman itu, seperti juga zaman sekarang, ada Kaahin (tukang tenung) yang membaca nasib manusia dengan membaca bintang. Zaman sekarang pun ada juga, tapi lagi senang sekarang mereka boleh tengok suratkhabar dan tengok zodiak mereka. Ada Sagittarius lah, Pisces lah dan sebagainya. Mereka tengok ramalan nasib itu sebab nak tahu samada mereka akan bernasib baik atau tidak, dan sebagainya. Ramailah budak-budak kita yang tertipu. Pada zaman Nabi pun memang dah ada yang baca bintang ini. Mereka pun ada yang menuduh Nabi sebagai ahli nujum atau Kaahin juga. Mereka tuduh Nabi Muhamad mendapat maklumat dari bintang juga. Itulah Allah menyentuh hal bintang dalam ayat pertama ini.

Ataupun, mereka ada juga menuduh Nabi mendapat maklumat dari jin-jin yang kononnya menjaga bintang itu. Mana mungkin itu terjadi. Sedangkan kalau jin-jin itu cuba mendapatkan maklumat dari langit pun, mereka akan kena lempar dengan bintang-bintang itu seperti yang disebut dalam surah al-Mulk.

——————————-

Ayat 2: Inilah perkara penting yang Allah hendak sebutkan sampaikan Allah bersumpah dengan bintang. Tujuan sumpah adalah untuk memberitahu sesuatu perkara yang penting. Jadi apakah yang Allah hendak tekankan?

53:2
Transliteration

Ma dalla sahibukum wamaghawa

Sahih International

Your companion [Muhammad] has not strayed, nor has he erred,

Malay

Rakan kamu (Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah ia menyeleweng (dari jalan yang benar), dan ia pula tidak sesat (dengan kepercayaan yang salah).

مَا ضَلَّ صَاحِبُكُمْ وَمَا غَوَىٰ

Sahabatmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak pula keliru.

ضَلَّ bermaksud sesat yang disebabkan oleh kejahilan. Tidaklah Nabi Muhammad itu sesat setelah mendapat wahyu. Tidaklah Nabi itu seorang yang jahil.

غَوَىٰ pula bermaksud terpesong atau keliru. Tidaklah juga baginda terpesong daripada jalan yang benar.

Ayat ini bermaksud, apa-apa sahaja yang Nabi Muhammad sampaikan kepada kita adalah berdasarkan kepada panduan daripada Allah. Ianya berdasarkan ilmu dari Allah dan juga hidayah yang diberikan oleh Allah.

Tidaklah Quran itu menyesat dan memesongkan manusia. Malangnya, kadang-kadang ada antara kita yang telah belajar tafsir Qur’an dan juga belajar hadis Nabi, tetapi masih juga terpesong. Itu adalah mereka yang belajar bukan kerana hendak mendapat petunjuk, tapi mungkin kerana hendakkan ilmu supaya mereka boleh berlagak dengan orang lain.

Dalam ayat ini, perkataan صَاحِبُكُمْ – sahabat kamu – digunakan. Allah tidak mengatakan “Nabi Muhammad itu tidak sesat dan tidak keliru”, tapi Allah gunakan perkataan صَاحِبُكُمْ untuk merujuk kepada baginda. Kenapakah begitu?

Perkataan صَاحِبُكُمْ dari perkataan صحب yang bermaksud seseorang yang telah tinggal lama dengan kita. Yang kita memang kenal siapa dia, dan apakah perangainya kerana telah lama kita kenal.

Digunakan perkataan صَاحِبُكُمْ dalam ayat ini untuk mengingatkan kepada musyrikin Mekah bahawa mereka telah lama kenal dengan Nabi Muhammad. Bukan mereka baru kenal baginda semalam tetapi telah 40 tahun baginda tinggal bersama mereka. Mereka pun tahu bagaimana sifat Nabi Muhammad yang amanah dan tidak pernah menipu. Sampaikan mereka menggelar baginda dengan panggilan alAmin (yang amanah). Kenapa dulu mereka menggelarnya al-Amin tetapi apabila baginda membawakan agama yang benar, kenapa mereka menggelar baginda al-kaazib – (penipu) pula? Ini adalah satu perkara yang menghairankan.

Dan Allah mengingatkan kepada puak Musyrikin yang Nabi Muhammad itu adalah sahabat mereka dan apabila kita dengan sahabat, sepatutnya dibantu oleh sahabatnya yang lain, bukannya macam yang dilakukan oleh musyrikin Mekah itu. Mereka bukan sahaja tidak membantu baginda, tapi mereka menentang baginda pula. Allah mengingatkan mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah salah dan tak kena langsung.

——————————-

Ayat 3:

53:3
Transliteration

Wama yantiqu AAani alhawa

Sahih International

Nor does he speak from [his own] inclination.

Malay

Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.

وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ

dan tiadalah yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsunya.

Takkanlah Nabi Muhammad itu sesat sedangkan dia bukannya berkata dari hawa nafsu dirinya sendiri tetapi baginda dipandu sendiri oleh Allah. Kata-kata Nabi sama ada dalam bentuk Qur’an ataupun dalam bentuk hadis, bukanlah dari hawa nafsunya tetapi ianya adalah dari Allah.

Kita boleh bahagikan kata-kata Nabi Muhammad itu kepada tiga jenis. Yang pertama adalah kata-kata dalam bentuk Qur’an yang tentunya hanya daripada Allah sahaja. Yang keduanya adalah kata-katanya dalam bentuk Sunnah ataupun hadis dan itu juga bukanlah dari hawa nafsunya. Kata-kata Nabi dalam bentuk Sunnah itu adalah untuk memperjelaskan apa yang telah disebut di dalam Quran. Yang ketiganya, ada juga kata-kata Nabi yang berbentuk ijtihad ataupun dari pemikiran baginda berdasarkan pengetahuan dan fikiran baginda yang sihat. Kita kena ingat bahawa baginda sebagai seorang Nabi telah diberikan dengan akal fikiran yang bijak. Walaupun ianya adalah ijtihad baginda, tapi itupun bukanlah daripada hawa nafsu baginda. Nabi Muhammad tidaklah sama seperti kita, kerana kita sebagai manusia, kadang-kadang berkata dari hawa nafsu kita sahaja.

Dan kalau kata-kata Nabi yang berasaskan kepada ijtihad itu salah, Allah akan memperbetulkan kata-kata baginda itu dengan diturunkan wahyu. Ada banyak insiden yang kita dapat tahu daripada hadis yang sampai kepada kita, bagaimana Allah telah memperbetulkan kata-kata Nabi Muhammad kalau ianya salah. Sebagai contoh, pernah seorang lelaki bertanya kepada Nabi, jikalau beliau mati dalam jihad Fisabilillah, adakah beliau akan masuk syurga? Nabi Muhammad beritahu kepada lelaki itu ‘ya’. Semasa lelaki itu sedang bergerak pergi, Nabi Muhammad telah memanggil balik lelaki itu. Kerana Jibrail telah memberitahu baginda bahawa orang yang mati pada jalan Allah akan masuk syurga, kecuali mereka yang ada hutang.

Nabi Muhammad tidak reka agama, semua perkara yang Nabi Muhammad sebut dengan mulut baginda itu adalah wahyu dari Allah.

Oleh itu, jikalau apa yang Nabi kata itu bukan daripada hawa nafsu baginda, maka kita hendaklah mengambil serius kata-kata baginda itu dan tidak mempersoalkannya lagi. Tidaklah boleh kita berfikir atau mempersoalkan sama ada kata Nabi itu benar ataupun tidak. Kita kena terima sebagai satu kebenaran.

Ada satu hadis untuk menjelaskan perkara ini:

قال عبد الله بن عمرو ـ رضي الله عنه: كنت أكتب كل شيء أَسْمَعُهُ مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُرِيدُ حِفْظَهُ، فَنَهَتْنِي قُرَيْشٌ، فَقَالُوا: إِنَّكَ تَكْتُبُ كُلَّ شَيْءٍ تَسْمَعُهُ مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَرَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَشَرٌ يَتَكَلَّمُ فِي الْغَضَبِ وَالرِّضَا، فَأَمْسَكْتُ عَنِ الْكِتَابِ، فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ فَقَالَ: اكْتُبْ، فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا خَرَجَ مِنِّي إِلَّا حَقٌّ. رواه أحمد في المسند وأبو داود في السنن.

Abdullah bin Amr, ra berkata: Aku menulis semua yang aku dengar dari Rasul Allah SAW kerana aku mahu menyimpannya, maka ada orang Quraisy (mereka pun orang Islam juga) yang melarangku, mereka berkata: Kamu menulis semua yang kamu dengar daripada Rasulullah SAW, sedangkan Rasulullah SAW itu seorang manusia, yang kadang-kadang bercakap dalam kemarahan dan rasa tidak puas hati, maka aku berhenti dari menulisnya. Aku kemudiannya telah menyatakan perkara ini kepada Rasulullah SAW. Baginda berkata: tulislah, demi jiwaku yang di tanganNya, tidaklah yang keluar dariku melainkan haq. Diriwayatkan oleh Ahmad dalam al-Musnad dan Sunan Abu Daud dalam Sunannya.

Tidaklah Nabi salah di dalam memperkatakan tentang hal agama. Cuma kalau kita lihat ada perbezaan di dalam hadis-hadis yang kita baca, itu adalah kerana kesilapan perawi.

——————————-

Ayat 4:

53:4
Transliteration

In huwa illa wahyun yooha

Sahih International

It is not but a revelation revealed,

Malay

Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.

إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ

Ucapannya itu tiada lain melainkan wahyu yang diwahyukan (kepadanya).

Jadi, tidak boleh ada keraguan dalam diri kita tentang apa yang Nabi katakan itu mungkin salah atau baginda menipu atau baginda keliru. Semua itu pasti tidak ada. Kerana tugas baginda adalah untuk mengajar kita tentang agama dan Allah tidak akan benarkan Nabi mengajar perkara yang salah. Kita kena yakin bahawa segala suruhan yang Nabi sampaikan kepada kita adalah benar dan kita kenalah mengikutinya.

Ayat ini juga sebagai dalil untuk menyatakan bahawa hadis dari Nabi pun adalah ‘wahyu’ juga. Bukanlah hanya Quran sahaja yang dinamakan wahyu. Tapi tidaklah boleh kita baca hadis itu dalam solat kita pula. Hanya wahyu dalam bentuk Quran sahaja yang boleh dibaca dalam Solat.

Ayat ini juga mengingatkan kita yang hadis juga adalah wahyu dari Allah. Maka, tidaklah boleh kalau kita tidak jumpa apa-apa hukum dalam Quran, kita kata: “mana ada Quran cakap begitu? Tunjukkan kat aku yang Quran ada cakap begitu..” Kadang-kadang hukum itu tidak ada dalam Quran, tapi ada dalam hadis. Dan kalau dalam hadis, ianya masih lagi hukum dalam syariat, kerana ianya adalah wahyu juga.

——————————-

Ayat 5: Allah menceritakan tentang Jibril yang membawakan wahyu kepada Nabi Muhammad.

53:5
Transliteration

AAallamahu shadeedu alquwa

Sahih International

Taught to him by one intense in strength –

Malay

wahyu itu (disampaikan dan) diajarkan kepadanya oleh (malaikat jibril) yang amat kuat gagah, –

عَلَّمَهُ شَدِيدُ الْقُوَىٰ

yang diajarkan kepadanya oleh (Jibril) yang sangat kuat.

‘Yang sangat kuat’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah malaikat Jibrail. Jibrail lah yang membawakan wahyu kepada Nabi. Dan apa yang Jibril bawa itu adalah arahan daripada Allah dan bukan dari dirinya sendiri.

Dalam ayat ini, perkataan عَلَّمَ (mengajar) yang digunakan. Maknanya, Jibrail bukan sahaja menyampaikan wahyu itu tetapi Jibrail telah mengajarnya kepada Nabi Muhammad. Sebagai contoh, apabila Jibrail memberitahu tentang sembahyang kepada Nabi Muhammad, bukanlah dia hanya memberitahu Nabi kena solat sahaja, tetapi dia memberitahu cara-cara untuk mengerjakannya dan juga waktu-waktu solat itu.

Ayat ini mengajar kepada kita bahawa ilmu agama ini perlu dipelajari. Guru Nabi adalah Jibrail sendiri. Bukanlah agama ini boleh didapati dengan hanya membaca sahaja. Kerana kalau kita membaca sahaja, ada perkara-perkara yang kita tidak faham yang memerlukan kita untuk bertanya kepada mereka yang boleh menjelaskannya. Itulah sebabnya adalah baik kita berguru dengan guru yang boleh mengajar kita. Oleh itu saya mengajak anda semua yang membaca blog ini untuk menghadiri kelas pengajian tafsir Quran kita ini. Kerana tentunya semasa anda membaca penulisan ini terdapat banyak persoalan persoalan yang timbul di hati anda yang memerlukan jawapan. Kita memang memerlukan guru untuk mengajar kita kerana lihatlah bagaimana Nabi Muhammad pun telah diberikan seorang guru oleh Allah Taala.

Ayat ini juga menceritakan satu sifat Jibrail itu. Iaitu Jibrail itu mempunyai kekuatan yang hebat. Sebagai contoh, kita telah diberitahu bahawa penerimaan wahyu itu amat berat kepada Nabi Muhammad. Kalau Nabi Muhammad mempunyai kepayahan yang susah untuk menerima wahyu itu, sampaikan kalau baginda sedang duduk atas unta, unta itu pun terduduk kerana beratnya wahyu itu, bayangkan Jibrail yang membawanya dari Baitul Izzah kepada Nabi Muhammad. Ianya satu perjalanan yang amat jauh. Maknanya, Jibrail itu kuat benar.

Kita juga telah belajar di dalam sirah bagaimana Jibrail lah yang telah mengangkat tempat tinggal kaum Luth ke langit dan menghempaskannya kembali ke bumi. Tentulah kerja itu memerlukan kekuatan yang amat hebat.

Begitu juga ada diberitahu di dalam ayat-ayat lain bagaimana pekikan daripada Jibrail itu sampai boleh menghancurkan satu kaum. Sebagai contoh, dalam ayat Yaasin:28-29, telah diceritakan bagaimana pekikan Jibrail lah yang mematikan penduduk Antokiah semuanya.

Begitulah hebatnya Qur’an itu. Ianya diberikan kepada seorang manusia yang paling afdhal dan paling hebat dan yang menyampaikannya pula adalah juga makhluk Allah yang amat hebat, iaitu Jibrail.

Dalam hadis ada diberitahu bagaimana Jibrail itu amat kuat dan mulia, sampaikan malaikat lain pun takut dan hormat kepada baginda. Kalau malaikat pun takut kepada Jibril, apatah lagi syaitan, bukan? Dalam masa yang sama, ada hadis yang mengatakan apabila Jibril membawa turun ayat-ayat Quran, baginda ditemani oleh malaikat-malaikat lain, sampaikan ada sampai beratus-ratus malaikat yang mengiringinya. Ada yang jahil mengatakan bahawa malaikat-malaikat itu turun menemani Jibril sebagai pengawal kepada Jibril, takut Quran itu kena curi. Itu adalah pendapat yang amat salah sekali. Kerana Jibril itu adalah makhluk Allah yang amat kuat. Tiada makhluk lain yang dapat kacau dia buat kerja. Sebenarnya, malaikat yang ramai turun sekali itu adalah kerana sebagai penghormatan kepada ayat-ayat Quran yang diturunkan. Bukan sebab nak tolong bantu beri bantuan keselamatan kepada Jibril.

——————————-

Ayat 6: Masih lagi tentang Jibrail dan sifatnya

53:6
Transliteration

Thoo mirratin fastawa

Sahih International

One of soundness. And he rose to [his] true form

Malay

Lagi yang mempunyai kebijaksanaan; kemudian ia memperlihatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad) dengan rupanya asal, –

ذُو مِرَّةٍ فَاسْتَوَىٰ

yang mempunyai akal yang cerdas; dan (Jibril itu) naik menampakkan diri dengan rupa yang asli.

Perkataan مِرَّةٍ bermaksud ‘kekuatan’ lebih-lebih lagi ‘kekuatan akal’. Jibrail bukan sahaja mempunyai kekuatan tubuh tetapi juga mempunyai kekuatan mental yang tinggi. Maksudnya bukanlah Jibrail ada tertinggal untuk memberi tahu hal agama kepada Nabi Muhammad kerana terlupa atau tak faham bagaimana nak sampaikan.

Perkataan مِرَّةٍ juga bermaksud ‘molek untuk dilihat’. Ini bermaksud Jibrail hadir kepada Nabi dalam rupa yang cantik dan indah. Sebab itu, walaupun Jibrail menunjukkan dirinya yang asal dengan besarnya dan dengan 600 sayapnya, tetapi tidaklah rupanya itu menakutkan Nabi malah ianya mempersonakan Nabi Muhammad.

Perkataan فَاسْتَوَىٰ bermaksud Jibrail datang bertemu Nabi dalam bentuknya yang lengkap dan asal. Nabi Muhammad dapat melihat Jibrail dengan segala kebesarannya. Baginda dapat melihat Jibril mempunyai 600 sayap.

——————————-

Ayat 7:

53:7
Transliteration

Wahuwa bil-ofuqi al-aAAla

Sahih International

While he was in the higher [part of the] horizon.

Malay

Sedang ia berada di arah yang tinggi (di langit);

وَهُوَ بِالْأُفُقِ الْأَعْلَىٰ

sedang dia berada di ufuk yang tinggi.

Semasa Nabi Muhammad menerima wahyu yang pertama dan baginda didatangi oleh Jibrail, Jibrail waktu itu menjelma dalam rupanya yang asal dan dia berada di ufuk yang tinggi.

Perkataan ‘Ufuk’ adalah garisan di mana kita melihat langit dan bumi bertemu. Itulah tempatnya kita melihat matahari terbit dan terbenam setiap hari. ‘Ufuk yang tinggi’ bermaksud tubuh Jibrail memenuhi ufuk itu sampaikan menutupi segala-galanya.

——————————-

Ayat 8:

53:8
Transliteration

Thumma dana fatadalla

Sahih International

Then he approached and descended

Malay

Kemudian ia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad), lalu ia berjuntai sedikit demi sedikit,

ثُمَّ دَنَا فَتَدَلَّىٰ

Kemudian dia mendekat, lalu bertambah dekat lagi.

دَنَا bermaksud Jibrail mendekati Nabi Muhammad dengan turun perlahan-lahan. Kalau turun dengan cepat, nampak macam nak menyerang pula.

فَتَدَلَّىٰ bermaksud Jibrail turun. Ianya dari katadasar د ل و yang bermaksud ‘timba’. Ia bermaksud timba yang diturunkan ke dalam perigi.

Selepas Jibrail menampakkan dirinya dalam rupanya yang besar, Jibrail kemudian telah turun mendatangi Nabi Muhammad sambil mengecilkan dirinya. Kemudian Jibril datang berjalan mendatangi Nabi.

——————————-

Ayat 9:

53:9
Transliteration

Fakana qaba qawsayni aw adna

Sahih International

And was at a distance of two bow lengths or nearer.

Malay

Sehingga menjadilah jarak (di antaranya dengan Nabi Muhammad) sekadar dua hujung busaran panah, atau lebih dekat lagi;

فَكَانَ قَابَ قَوْسَيْنِ أَوْ أَدْنَىٰ

maka jadilah dia dekat (pada Muhammad sejarak) dua ujung busur panah atau lebih dekat (lagi).

قَابَ adalah jarak antara tengah panah ke hujung – setengah panah. Oleh itu, perkataan قَابَ قَوْسَيْنِ bermaksud jarak sepanjang satu panah. Menunjukkan bahawa kedudukan Jibril dan Nabi Muhammad adalah amat dekat.

قَابَ قَوْسَيْنِ juga adalah pepatah Arab yang digunakan untuk menyatakan dua kaum yang bersatu. Sebagai satu upacara untuk menyatakan penyatuan mereka, seorang lelaki dari setiap puak itu akan datang ke hadapan dengan busur masing-masing. Kemudian mereka akan merapatkan busur mereka, dan memanah menggunakan satu anak panah. Maknanya, mereka berdiri bersentuhan bahu. Itu adalah sebagai simbol bahawa kaum mereka telah bersatu.

Jadi, kalau perkataan قَابَ قَوْسَيْنِ itu di ambil daripada pepatah Arab itu, ini bermaksud bahawa Nabi Muhammad dan Jibril adalah bersentuhan antara satu sama lain.

Maknanya kedudukan Jibril amat dekat dengan Nabi Muhammad. Sebab itu telah diceritakan bagaimana Jibrail telah mendakap Nabi kerana mereka memang berdekatan.

Kenapa Jibrail perlu berdekatan dengan Nabi? Kerana semakin dekat kita dengan seseorang, semakin senang untuk kita menyampaikan sesuatu. Sebab dia dekat dengan kita.

أَبُو إِسْحَاقَ الشَّيْبَانِيُّ قَالَ سَأَلْتُ زِرَّ بْنَ حُبَيْشٍعَنْ قَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى{ فَكَانَ قَابَ قَوْسَيْنِ أَوْ أَدْنَى فَأَوْحَى إِلَى عَبْدِهِ مَا أَوْحَى }قَالَ حَدَّثَنَا ابْنُ مَسْعُودٍ أَنَّهُ رَأَى جِبْرِيلَ لَهُ سِتُّ مِائَةِ جَنَاحٍ

Abu Ishaq asy-Syaibaniy berkata; Aku bertanya kepada Zirra bin Hubaisy tentang firman Allah Ta’ala dalam an-Najm ayat 9-10: “Fa kaana qaaba qausaini aw adnaa. Fa awhaa ilaa ‘abdihii maa awhaa” (“Maka jadilah dia dekat (pada Muhammad sejarak) sedekat dua ujung busur panah atau lebih dekat (lagi). Lalu dia menyampaikan kepada hamba-Nya (Muhammad) apa yang telah Allah wahyukan”). Dia berkata, telah bercerita kepada kami Ibnu Mas’ud, bahwa baginda shallallahu ‘alaihi wasallam telah melihat Jibril yang memiliki enam ratus sayap”.  (Bukhari, Muslim).

——————————-

Ayat 10:

53:10
Transliteration

Faawha ila AAabdihi maawha

Sahih International

And he revealed to His Servant what he revealed.

Malay

Lalu Allah wahyukan kepada hambaNya (Muhammad, dengan perantaraan malaikat Jibril) apa yang telah diwahyukanNya.

فَأَوْحَىٰ إِلَىٰ عَبْدِهِ مَا أَوْحَىٰ

Lalu dia menyampaikan kepada hamba-Nya (Muhammad) apa yang diwahyukan.

Maka di sinilah Jibrail telah mentalqinkan kepada Nabi Muhammad wahyu pertama dari Allah kepada baginda yang dimulai dengan perkataan yang pertama: iqra’.

Kenapa tidak dicakap terus dikatakan yang ‘Quran’ yang telah diwahyukan. Ini adalah kerana hendak menunjukkan kehebatan Quran. Apabila sesuatu itu tidak disebut secara terus, menambahkan lagi kehebatan sesuatu itu. Oleh kerana itu, dalam ayat ini hanya disebut مَا أَوْحَىٰ – apa yang diwahyukan. Selalu digunakan cara begini dalam Quran.

——————————-

Ayat 11:

53:11
Transliteration

Ma kathaba alfu-adu maraa

Sahih International

The heart did not lie [about] what it saw.

Malay

Hati (Nabi Muhammad) tidak mendustakan apa yang dilihatnya.

مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَىٰ

Hatinya tidak mendustakan apa yang telah dilihatnya.

Hati Nabi Muhammad tidak mendustakan baginda, bermakna baginda yakin bahawa apa yang baginda sedang saksikan itu adalah kebenaran. Hati baginda tidak ragu-ragu. Sebab baginda boleh nampak dengan jelas sekali.

Bukanlah apa yang Nabi nampak itu adalah ilusi. Memang Nabi benar nampak Jibrail. Kadang-kadang kita nampak sesuatu, kita ingat ianya air, tapi rupaya ia fatamorgana juga. Ataupun kadang-kadang kita duduk rumah seorang diri, kita macam nampak kelibat sesuatu, tapi bila pergi periksa, tidak ada apa-apa pun. Itu bermakna, kita tak jelas dan keliru waktu itu. Tapi, apa yang berlaku kepada Nabi Muhammad ini adalah benar, bukan fatamorgana, bukan kelibat sesuatu, ia memang Jibrail datang bertemu Nabi dan menyampaikan wahyu kepada baginda.

——————————-

Ayat 12:

53:12
Transliteration

Afatumaroonahu AAala mayara

Sahih International

So will you dispute with him over what he saw?

Malay

Jika demikian, patutkah kamu hendak membantahnya mengenai apa yang telah dilihatnya itu?

أَفَتُمَارُونَهُ عَلَىٰ مَا يَرَىٰ

Maka apakah kaum (musyrik Mekah) hendak membantahnya tentang apa yang telah dilihatnya?

Apakah kamu kaum musyrikin mempertikaikan yang Jibrail telah datang kepada baginda? Sedangkan apa yang Nabi nampak itu benar-benar Jibrail? Macam mana mereka nak tolak apa yang Nabi nampak? Bayangkan kalau saya nampak sesuatu, bagaimana ada orang yang boleh menidakkan sesuatu yang memang terjadi. Itu tidak masuk akal langsung.

Musyrikin Makkah juga mempersoalkan kejadian baginda naik ke langit dengan tubuh badan baginda. Mereka kata, walaupun ia terjadi, bukanlah dengan tubuh badan tetapi hanya mimpi baginda sahaja. Itu juga adalah kata-kata mereka sahaja kerana mereka memang tidak mahu menerima apa-apa sahaja yang disampaikan oleh baginda.

——————————-

Ayat 13: Sekarang disebut tentang kisah Mi’raj.

53:13
Transliteration

Walaqad raahu nazlatan okhra

Sahih International

And he certainly saw him in another descent

Malay

Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi,

 

وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَىٰ

Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat (Jibril itu) (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain,

نَزْلَةً bermaksud ‘penurunan’. Maknanya, Jibrail pernah turun sekali lagi untuk bertemu dengan Nabi Muhammad dengan rupanya yang asal. Kejadian itu berlaku semasa Mi’raj Nabi ke langit.

Ada tafsir yang salah tentang ayat ini. Mereka kata yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Nabi Muhammad ‘melihat’ Allah. Itu adalah tafsiran yang amat salah. Selalunya dipelopori oleh golongan sufi yang memang suka buat pandangan sendiri. Dalam ayat al-An’am:103, telah dibincangkan bagaimana Allah tidak boleh digarap dengan pandangan mata manusia. Tambahan pula, ayat ini menyebut ‘waktu yang lain’, iaitu Nabi dah pernah lihat Jibrail dan sekarang Nabi dapat melihatnya sekali lagi. Kalau dikatakan ayat ini bermaksud Nabi Muhammad melihat Allah sekali lagi, bila pula baginda melihat Allah buat kali pertama?

——————————-

Ayat 14: Sekarang, Quran menceritakan sedikit apakah yang ada di langit ke tujuh.

53:14
Transliteration

AAinda sidrati almuntaha

Sahih International

At the Lote Tree of the Utmost Boundary –

Malay

Di sisi “Sidratul-Muntaha”;

عِندَ سِدْرَةِ الْمُنتَهَىٰ

(yaitu) di Sidratil Muntaha.

Dalam hadis telah diberitahu bahawa Sidratul-Muntaha ini adalah atas lagi dari langit yang ketujuh.

سِدْرَةِ Dari segi bahasa bermaksud ‘pohon bidara’. Tetapi bukanlah ianya pohon bidara yang sama dengan yang ada di dunia.

الْمُنتَهَىٰ dari katadasar ن ه ي yang bermaksud ‘berhenti’. Oleh itu الْمُنتَهَىٰ bermaksud ‘tempat berhenti’ yang menahan sesuatu dari melepasinya. Oleh itu, Sidratul-Muntaha ini terletak di sempadan antara langit ketujuh dan Arasy Allah Ta’ala. Inilah sempadan yang malaikat Jibril dan malaikat-malaikat lain pun tidak boleh melepasinya.

Ayat ini memberi tahu kepada kita bahawa Nabi Muhammad sekali lagi nampak Jibril dalam rupaya yang asal berdekatan dengan Sidratul-Muntaha.

——————————-

Ayat 15:

53:15
Transliteration

AAindaha jannatu alma/wa

Sahih International

Near it is the Garden of Refuge –

Malay

Yang di sisinya terletak Syurga “Jannatul-Makwa”.

عِندَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَىٰ

Di dekatnya ada syurga tempat tinggal,

Ayat ini memberitahu kepada kita yang Sidratul-Muntaha itu berdekatan dengan syurga Ma’wa. Tetapi kita perlu ingat bahawa bukanlah syurga itu berada di antara tujuh langit itu. Cuma berdekatan sahaja. Semua syurga-syurga yang ada adalah di luar daripada langit yang tujuh. Cuma dalam ini disebut bagaimana syurga Ma’wa itu berdekatan dengan Sidratul-Muntaha.

Ayat ini juga sebagai dalil bahawa syurga telah ada. Allah dah siap-siap buat syurga. Hanya menunggu ahlinya sahaja.

——————————-

Ayat 16:

53:16
Transliteration

Ith yaghsha assidratama yaghsha

Sahih International

When there covered the Lote Tree that which covered [it].

Malay

(Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa ” Sidratul Muntaha” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga.

إِذْ يَغْشَى السِّدْرَةَ مَا يَغْشَىٰ

(Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratil Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya.

Ada sesuatu yang meliputi Sidratul Muntaha itu, tapi Allah menggunakan perkataan مَا يَغْشَىٰ – ‘yang meliputinya’ – bermaksud ianya tidak dapat digambarkan oleh akal. Ianya adalah sesuatu yang hebat sampaikan tidak ada perkataan yang kita dapat faham yang dapat menggambarkannya.

Ibn Kathir menyebut bagaimana banyak sekali ‘malaikat’ yang meliputi pokok Sidratul-Muntaha itu bagaikan banyaknya burung-burung gagak yang meliputi pokok. Itulah perumpamaan yang Nabi Muhammad berikan kepada kita dan disampaikan oleh Ibn Kathir. Setakat itu sahaja yang kita tahu. Memang tidak dapat dibayangkan dengan akal kita yang lemah.

——————————-

Ayat 17:

53:17
Transliteration

Ma zagha albasaru wamatagha

Sahih International

The sight [of the Prophet] did not swerve, nor did it transgress [its limit].

Malay

Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas.

مَا زَاغَ الْبَصَرُ وَمَا طَغَىٰ

Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya.

Perkataan زَاغَ bermaksud ‘melihat ke kiri dan ke kanan’ dan tidak menumpukan perhatian kepada objek di hadapan. Pandangan Nabi Muhamad tidak زَاغَ. Ini menunjukkan adab Nabi Muhammad.

Walaupun Nabi Muhammad nampak pokok Sidratul-Muntaha itu, tapi pandangan baginda tidak beralih dari melihat Jibrail. Seperti Nabi Muhammad hanya melihat dari ekor matanya sahaja. Lihatlah akhlak yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad. Walaupun baginda berada di tempat yang asing, yang ada macam-macam perkara ajaib dan menghairankan, tapi baginda menjaga pandangan baginda. Baginda tidak’ jakun’ – semua nak tengok. Kalau kita, tentu mata kita dah ke mana-mana dah. Kalau orang cakap dengan kita pun, kita dah tak dengar dah.

Pandangan baginda juga tidak melebihi dari melihat Jibrail. Baginda tidak melihat melepasi apa yang ditunjukkan kepada baginda. Baginda dapat mengawal diri baginda.

Ini mengajar kita dalam belajar, kenalah ada adab. Kalau semasa belajar Quran atau belajar tafsir dalam kuliah, mata kita hendaklah melihat kepada Quran.  Hendaklah kita menumpukan perhatian kepada pelajaran hari itu. Tidaklah kita melihat kepada perkara-perkara yang lain. Kerana kita kena menghormati Quran itu. Kalau mata kita melihat perkara-perkara yang lain, maka kita akan hilang tumpuan dan kita akan lalai dari belajar.

Allahu a’lam.

Lompat ke ayat yang seterusnya

=================

Ref: UR, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 053: Najm. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s