Tafsir Surah al-An’am Ayat 161-165

Ayat 161:

6:161
Sahih International

Say, “Indeed, my Lord has guided me to a straight path – a correct religion – the way of Abraham, inclining toward truth. And he was not among those who associated others with Allah .”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang betul lurus, (kepada) ugama yang tetap teguh, iaitu ugama Nabi Ibrahim yang ikhlas, dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik”.

قُلْ إِنَّنِي هَدَانِي رَبِّي

Katakanlah: “Sesungguhnya aku telah ditunjuki oleh Tuhanku

Apabila kaumnya masih tidak mahu ikut, maka Nabi Muhammad disuruh berkata begini kepada mereka. Kalau orang yang kita ajak kepada Islam yang benar tidak juga mahu ikut, maka beginilah kita katakan kepada mereka. Bukan kita yang buat sendiri agama ini tetapi kita telah diberi petunjuk oleh Allah. Allah yang mengajar kita melalui Quran dan hadis yang disampaikan oleh Nabi Muhammad.

 

إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

kepada jalan yang lurus,

Allah membawa kita kepada jalan yang lurus. Iaitu jalan ke syurga. Oleh itu, jikalau kita mahu masuk syurga, maka hendaklah kita ikut Quran dan sunnah, tidak ada jalan lain lagi.

 

دِينًا قِيَمًا

(yaitu) agama yang benar,

Islam adalah agama yang tegak, yang lurus, yang benar, dan ia juga adalah agama yang mengajak manusia untuk menjadi lurus. Bakal sesiapa yang mengikut agama ini akan juga berada di atas jalan yang lurus dan jalan yang selamat.

 

مِّلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا

agama Ibrahim yang lurus,

Agama yang Nabi Muhammad bawa ini adalah seperti agama Nabi Ibrahim juga. Musyrikin Mekah kata mereka ikut agama peninggalan Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad pun kata baginda mengikut agama Nabi Ibrahim juga. Tapi kenapa ada banyak perbezaan? Siapa sebenarnya yang mereka ikut?

Perkataan حَنِيفًا juga membawa maksud agama yang menyembah Tuhan yang satu. Memang Nabi Ibrahim tidak pernah melakukan syirik dengan menyembah tuhan selain Allah. Tapi mengapa musyrikin Mekah ada tuhan selain Allah?

 

وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

dan Ibrahim itu bukanlah termasuk orang-orang musyrik”.

Nabi Ibrahim tidak melakukan syirik. Tapi kenapa mereka buat syirik sedangkan mereka kata mereka mengikut peninggalan agama Nabi Ibrahim?

Ayat ini adalah juga untuk menolak pegangan sesetengah orang dan sesetengah agama yang mengatakan bahawa Nabi Ibrahim pernah melakukan syirik. Ayat ini membersihkan nama Nabi Ibrahim a.s. Bukankah ada ayat yang menceritakan bagaimana baginda mengatakan yang bintang itu tuhannya, kemudian bulan itu tuhannya dan kemudian matahari pula tuhannya? Kita telah jelaskan bahawa itu semua adalah helah Nabi Ibrahim untuk mengajar tauhid kepada kaumnya. Bukannya Nabi Ibrahim benar-benar percaya yang bintang, bulan dan matahari itu tuhannya.

Dan Allah hendak membersihkan nama baginda kerana memang ada dalam pengajaran Yahudi dan Kristian yang mengatakan yang di hujung hayat baginda, baginda telah menjadi musyrik! Ma sha Allah! Amat buruk apa yang mereka katakan tentang Nabi Ibrahim. Maka Allah membersihkan nama baginda dalam ayat ini.


 

Ayat 162: Ini adalah ayat ‘Perjanjian’ kita dengan Allah. Yang kita selalu baca dalam doa iftitah dalam solat.

6:162
Sahih International

Say, “Indeed, my prayer, my rites of sacrifice, my living and my dying are for Allah , Lord of the worlds.

Malay

Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي

Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku,

Sebelum ini, telah disebut tentang Nabi Ibrahim a.s. Kalau mereka memang mengikut ajaran Nabi Ibrahim, maka hendaklah mereka juga mengikut apa yang Nabi Ibrahim lakukan. Nabi Ibrahim selalu melakukan solat, bahkan musyrikin Mekah memang ada melakukan solat sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Nabi lagi. Ini adalah kerana memang itu adalah ajaran nabi-nabi terdahulu pun, termasuklah Nabi Ibrahim pun.

Ayat ini mengingatkan kita yang solat yang kita lakukan hari-hari itu adalah kerana Allah. Ianya adalah arahan dari Allah, dan kerana kita taat kepada Allah, maka kita melakukan ibadat solat itu.

 

وَنُسُكِي

dan ibadatku,

Digunakan untuk bermaksud ibarat-ibadat yang kita lakukan kerana Allah. Asalnya ia bermaksud ‘sembelihan’ iaitu bermaksud apa sahaja yang kita sembelih dalam ibadah korban kita hanyalah untuk Allah dan bukan untuk selain Allah. Ini kerana kita telah belajar bagaimana surah ini menyentuh berkenaan binatang-binatang yang disembelih. Puak musyrikin Mekah ada menyembelih binatang kerana tuhan-tuhan sembahan mereka yang lain.

Perkataan ini juga digunakan untuk merangkumi ibadat-ibadat yang lain juga dan tidak hanya untuk ibadat sembelihan sahaja.

Ibadat yang kita lakukan hanya untuk Allah. Jangan ada ibadat kepada selain Allah. Maka jangan kita berzikir kepada selain Allah. Jangan hadiah bacaan Surah Fatihah kepada Nabi. Banyak telah kita sebutkan tentang kesalahan yang dilakukan oleh umat Islam negara ini yang dilakukan kerana mereka tidak tahu tentang agama. Mereka tidak perasan yang mereka telah melakukan syirik tanpa mereka sedari.

 

وَمَحْيَايَ

dan hidupku

Adakah dalam kehidupan ini kita hidup berlandaskan Islam? Sebagai manusia, tentu kita ada cita-cita untuk menjadi apa dalam dunia ini. Ada yang nak jadi kaya, ada yang nak jadi pandai, ada yang jadi terkenal dalam masyarakat. Allah ingatkan dalam ayat ini bahawa cita-cita kita di dalam dunia ini sebenarnya adalah untuk mencari redha Allah. Jangan kita terikut-ikut dengan cara pemikiran manusia lain yang hanya mementingkan kehidupan mereka di dunia ini. Kita hidup bukanlah hanya untuk memenuhi keinginan kita kepada dunia, kepada keluarga, kepada kesenangan dan tidak juga untuk menghabiskan masa dengan kerja-kerja di pejabat. Hidup kita ini perlu dikorbankan untuk Allah.

 

وَمَمَاتِي

dan matiku

Kita mahu apabila kita mati nanti kita berada di atas jalan agama Islam yang benar.

Kita sanggup mati untuk memperjuangkan Islam.

 

لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.

Ini bermakna semuanya kita lakukan untuk Allah.

Ayat ini amat berkait rapat dengan Nabi Ibrahim dan perjalanan hidup baginda:

1. صَلَاتِ – Nabi Ibrahim memang seorang yang kuat melakukan solat.

2. نُسُكِ – korban. Nabi Ibrahim telah diuji oleh Allah untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail.

3. مَحْيَا – kehidupan. Nabi Ibrahim pernah meminta Allah menunjukkan kepada baginda bagaimana Allah menghidupkan yang mati. Maka Allah telah menyuruh baginda menyembelih empat ekor burung dan cerai bahagian tubuh burung-burung itu dan campur adukkan dan pecahkan kepada empat bahagian pula. Dan letakkan pula di empat bukit. Maka Allah telah menghidupkan keempat-keempat burung itu di hadapan mata baginda. Maka baginda telah melihat sendiri bagaimana Allah menghidupkan makhluk yang mati. Kisah ini Allah sebutkan dalam Baqarah:260

4. مَمَاتِي – Nabi Ibrahim diajar bagaimana Allah lah yang mematikan. Raja Namrud telah memasukkan baginda ke dalam api yang besar untuk membunuh baginda. Walaupun baginda dimasukkan ke dalam api yang besar, tapi kalau bukan ketentuan Allah untuk mematikannya, baginda tidak akan mati. Kisah ini disebut dalam Anbiya:69

Dalam ayat ini juga, kita diajar untuk menumpukan perhatian kepada Allah dalam solat kita. Kemudian Allah mengajar kita untuk berkorban setiap tahun kepada Allah. Apabila sudah dilatih begitu, kita dibawa untuk menumpukan hidup kita seluruhnya untuk Allah. Kemudian sampai kepada tahap yang kita pun sanggup mati kerana Allah.

Banyak perkara kita boleh lakukan untuk Islam. Tidak semestinya semua Muslim kena mengajar, menjadi ustaz atau ulama. Kita masing-masing ada tugas kita yang kita mampu lakukan. Kita kena pandai mencari bagaimana kita boleh memberi kepada Islam. Sebagai contoh, untuk kerja dakwah, tentunya memerlukan kewangan yang besar. Mungkin kita orang itu, yang memberi wang pada jalan dakwah. Sebagai contoh, lihatlah bagaimana Khadijah lah yang telah membiayai dakwah Nabi di awal Islam.


 

Ayat 163:

6:163
Sahih International

No partner has He. And this I have been commanded, and I am the first [among you] of the Muslims.”

Malay

Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama – (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)”.

لَا شَرِيكَ لَهُ

Tiada sekutu bagi-Nya;

Allah tidak mempunyai sekutu dan Allah tidak memerlukan sekutu apa pun. Kalau kita buat kerja, mungkin kita memerlukan orang lain untuk tolong kita, bukan? Tapi Allah tidak memerlukan sesiapa untuk menolongNya.

Dan kalau kita nak bandingkan dengan ayat sebelum ini tentang memberi kehidupan kita kepada Islam, jadi ayat ini menolak kita memberikan hidup kita kepada selain Allah. Sebagai contoh, ada manusia yang memberikan seluruh usahanya untuk negaranya, sampaikan dia melupakan Allah, tidak berkhidmat untuk Allah. Ada juga yang mementingkan parti politiknya. Jangan kita jadi begitu.

 

وَبِذَٰلِكَ أُمِرْتُ

dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku

Itulah arahan dari Allah kepada kita untuk mendedikasikan ibadat dan kehidupan kita dan mati untuk Allah.

 

وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ

dan aku adalah orang yang awal-awal menyerahkan diri (kepada Allah)”.

Ayat ini mengajar kita kepentingan untuk menyerahkan diri kita kepada Allah. Perkataan ‘Islam’ itu sendiri bererti ‘menyerah diri’.

Ayat ini juga mengajar kita untuk menjadi orang yang mula-mula untuk menyerahkan diri kepada Allah. Kalau tidak ada orang lain yang buat, maka kita lah yang perlu menjadi contoh kepada mereka. Sebagai contoh, mungkin kitalah orang pertama dalam keluarga kita yang pergi haji atau umrah; atau kitalah orang yang pertama dalam keluarga kita yang belajar tafsir Quran dan kemudian kita ajak mereka untuk belajar juga. Maknanya, kita jangan tunggu orang lain buat dulu. Kita kena mulakan.


 

Ayat 164:

6:164
Sahih International

Say, “Is it other than Allah I should desire as a lord while He is the Lord of all things? And every soul earns not [blame] except against itself, and no bearer of burdens will bear the burden of another. Then to your Lord is your return, and He will inform you concerning that over which you used to differ.”

Malay

Katakanlah: “(Sesudah aku mentauhidkan Allah dan berserah diri kepadaNya) patutkah aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia lah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Ia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya.

قُلْ أَغَيْرَ اللَّهِ أَبْغِي رَبًّا

Katakanlah: “Patutkah aku mencari Tuhan selain Allah,

Nabi Muhammad telah disuruh oleh puak-puak musyrikin untuk menyembah juga tuhan-tuhan berhala mereka. Kalau tak sujud pun, sentuh sahaja dah cukup. Inilah jawapan baginda kepada mereka. Takkan kita hendak mencari tuhan yang lain, bukan?

 

وَهُوَ رَبُّ كُلِّ شَيْءٍ

padahal Dia adalah Tuhan bagi segala sesuatu.

Allah lah yang mencipta dan memelihara segala sesuatu. Kenapa kita nak kepada yang lain sedangkan semuanya adalah makhluk kepada Allah.

 

وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا

Dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudharatannya kembali kepada dirinya sendiri;

Kalau kita buat dosa, kita sendiri akan merugikan diri kita sendiri. Kita akan dibalas dengan azab di neraka kelak.

 

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ

dan seorang penanggung tidak akan memikul untuk orang lain.

Semua kita akan pikul dosa sendiri-sendiri. Kita tak boleh nak pass dosa kita kepada orang lain. Orang lain juga tidak boleh nak ambil dosa kita.

Ini juga mengajar kita supaya jangan salahkan orang lain atas kesalahan diri kita atau kekurangan diri kita. Kita kena bertanggungjawab sendiri.

 

ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُم مَّرْجِعُكُمْ

Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali,

Di hujung-hujung surah ini, Allah mengingatkan kita bahawa kita semuanya akan mati. Kita semuanya akan bertemu dengan Allah nanti untuk menjawap perbuatan kita di dunia. Kita tidak akan hidup di dunia ini selama-lamanya – mati itu pasti.

 

فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ

dan akan diberitakan-Nya kepadamu apa yang kamu perselisihkan”.

Terdapat banyak perselisihan dalam dunia sekarang. Antaranya yang terbesar adalah perselisihan dalam agama. Perselisihan di dunia tentang agama akan diselesaikan di akhirat kelak. Di sana nanti, semua akan mengetahui dengan jelas manakah yang benar, manakah yang salah.

Di negara ini sekarang, kita boleh lihat bagaimana perselisihan agama ini berleluasa sekali. Ada yang salaf, ada yang khalaf, ada puak Habib, ada puak tarekat, ada puak Sufi, ada puak mengubat dan banyak lagi. Semuanya ingat mereka yang betul. Yang betul adalah mereka yang berpegang dengan Quran dan Sunnah. Itulah jalan yang selamat.

Mula-mula perpecahan akan dimulakan dengan perselisihan. Mulanya perselisihan itu mungkin sedikit, tapi  itulah nanti yang membawa kepada perpecahan ummat yang telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini.

Perselisihan memang akan ada. Tidak semua perkara kita akan sama pendapat. Antara puak yang Sunnah pun ada perbezaan pendapat. Tapi yang dimaksudkan adalah perselisihan dalam perkara dasar dalam agama. Bukanlah macam perselisihan tentang feqah atau perkara perkara kecil. Kita mungkin ada perbezaan dalam perkara feqah, tapi dalam perkara tauhid, sepatutnya kita semua bersatu hati. Sebagai contoh, walaupun Imam-Imam mazhab itu berbeza pandangan dan hukum tentang feqah, tapi dalam perkara tauhid, mereka semuanya sama.


 

Ayat 165:

6:165
Sahih International

And it is He who has made you successors upon the earth and has raised some of you above others in degrees [of rank] that He may try you through what He has given you. Indeed, your Lord is swift in penalty; but indeed, He is Forgiving and Merciful.

Malay

Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ الْأَرْضِ

Dan Dialah yang menjadikan kamu pengganti-pengganti di bumi

Khalifah bermaksud pengganti-pengganti yang silih berganti. Kita sebenarnya mengganti orang yang terdahulu dan kita akan diganti dengan orang yang kemudian. Kita bukan tinggal di dunia ini untuk selama-lamanya. Ini adalah peringatan kepada musyrikin Mekah. Memang waktu itu mereka adalah penjaga Kaabah, mereka berkuasa, tetapi mereka tidak akan kekal hidup di dunia ini. Mereka akan mati dan mereka akan diganti dengan orang lain. Tidak ada gunanya mereka berlagak dengan kedudukan mereka di dunia. Kerana apabila mereka mati kelak, lama kelamaan, orang tak kenal dan ingat pun lagi kepada mereka.

 

وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ

dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa derajat,

Kedudukan kita dalam dunia ini berbeza-beza. Ada yang lebih pandai dari orang lain, ada yang lebih cantik, ada yang dari keturunan yang lebih mulia, ada yang banyak harta dari orang lain, dan sebagainya. Allah lah yang meletakkan manusia dalam berbagai-bagai kedudukan dan darjat itu.

Derajat yang berbeza juga adalah satu nikmat sebenarnya. Kalau semua kita kaya, huru hara dunia ini, kerana tidak ada orang nak buat kerja buang sampah. Tiada orang yang akan kerja buat makanan untuk kita, dan sebagainya. Maknanya, apa yang Allah buat itu sudah elok dan molek dah. Jangan kita persoalkan.

 

لِّيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ

untuk mengujimu tentang apa yang diberikan kepadamu.

Kenapakah Allah telah meletakkan manusia dalam darjat-darjat yang berlainan? Ianya adalah sebagai ujian kepada mereka. Untuk melihat bagaimana kita menjalani kehidupan kita dalam kedudukan kita itu.

Ingatlah, bahawa segala rahmat dan kesusahan adalah ujian dari Allah. Kalau kedudukan kita tinggi pun, itu adalah ujian juga sebenarnya. Kalau yang kaya, diberi ujian untuk mengeluarkan sedekah. Kepada yang miskin pula, ujian yang diberikan adalah ujian kesabaran. Untuk orang kaya, ujian berlainan dari orang yang miskin. Tapi tentunya semua ada ujiannya masing-masing. Tidak ada manusia yang hidup tanpa ujian.

Ujian-ujian yang diberikan kepada manusia semasa di dunia ini adalah untuk melihat sama ada mereka layak untuk masuk ke syurga atau tidak. Allah nak lihat samada kita lepas ujian itu atau tidak. Barulah bernilai balasan yang Allah berikan kalau kita telah melepasi ujian itu.

Ujian-ujian itu adalah untuk melihat sama ada kita sabar atau tidak, pemurah atau tidak, rajin atau tidak, dan bermacam-macam lagi ujian.

 

إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ الْعِقَابِ

Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaan-Nya

Apabila Allah memulakan perbicaraan di Mahsyar kelak, ianya hanya mengambil masa setengah hari sahaja. Makhluk yang mula dilahirkan sampailah kepada mereka yang akhir sekali mati waktu Kiamat nanti, semuanya akan dibicarakan dalam masa setengah hari sahaja. Kemudian, mereka yang ahli neraka akan segera dimasukkan ke dalam neraka untuk menerima seksaan.

 

وَإِنَّهُ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ

dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Kepada mereka yang beriman dan beramal ibadat, mereka akan diberi pengampunan oleh Allah kerana Allah bersifat Maha Penyayang kepada hambaNya yang beriman.

 

Berakhirlah sudah tafsir Surah al-An’am ini. Alhamdulillah – segala puji bagi Allah yang telah memberikan kekuatan dan taufiq untuk meneruskan usaha tafsir ini.

Ingatlah bahawa surah ini adalah surah yang terakhir yang diturunkan sebelum Nabi berhijrah ke Madinah. Perkara utama yang disentuh di dalam surat ini adalah tentang tauhid. Surah ini banyak menceritakan tentang siapakah Allah. Kerana Allah memperkenalkan DiriNya dalam Quran juga. Supaya kita lebih beriman kepadaNya.

Allahu a’lam. Alhamdulillah. Semoga Allah memberi pemahaman Quran kepada kita. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-A’raf.


 

Ref: UR, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s