Tafsir Surah al-An’am Ayat 158-160

Ayat 158:

6:158
Sahih International

Do they [then] wait for anything except that the angels should come to them or your Lord should come or that there come some of the signs of your Lord? The Day that some of the signs of your Lord will come no soul will benefit from its faith as long as it had not believed before or had earned through its faith some good. Say, “Wait. Indeed, we [also] are waiting.”

Malay

Apakah (yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang tidak beriman itu?) mereka tidak menunggu melainkan kedatangan malaikat (yang mencabut nyawa mereka), atau kedatangan (azab) Tuhanmu, atau kedatangan sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu (yang menjadi alamat hari kiamat). Pada hari datangnya sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu, atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya. Katakanlah: “Tunggulah kamu (akan apa yang kamu berhak mendapatnya), dan kami pun sebenarnya menunggu (akan apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada kami)”.

هَلْ يَنظُرُونَ إِلَّا أَن تَأْتِيَهُمُ الْمَلَائِكَةُ

Yang mereka nanti-nanti tidak lain hanyalah kedatangan malaikat kepada mereka

Adakah mereka menunggu? Apakah yang mereka tunggu lagi? Atau, apakah yang mereka tunggu sampai mereka masih lagi tidak mahu beriman?

Adakah mereka menunggu sampai malaikat datang kepada mereka baru mereka hendak beriman? Tidak lain dan tidak bukan, mereka menunggu malaikat sahaja. Malaikat yang mana yang mereka tunggu? Yang dimaksudkan mereka tunggu itu mungkin bermaksud Malaikat Maut, iaitu apabila Malaikat Maut datang maka itu bermakna mereka mati. Kerana Malaikat Maut hanya datang apabila mengambil nyawa manusia sahaja. Adakah mereka hendak tunggu sampai mereka mati baru mereka hendak beriman? Itu sudah terlambat. Tidak ada guna kalau dah nak mati baru nak beriman.

Macam masyarakat kita sekarang lah juga. Kita ajak mereka belajar tafsir Quran, mereka tak mahu. Sibuk dengan perkara-perkara lain. Sibuk dengan kerja, sibuk dengan keluarga, malah macam-macam lagi. Mereka kata kalau mereka ada kelapangan, mereka akan datang. Cuma sekarang sibuk sangat, mereka kata. Mereka tunggu punya tunggu, tak belajar sampai mati. Tak sempat nak taubat atau beramal.

 

أَوْ يَأْتِيَ رَبُّكَ

atau kedatangan (siksa) Tuhanmu

Atau mereka nak tunggu kedatangan Allah sendiri. Kedatangan Allah adalah pada Hari Mahsyar seperti yang disebut dalam Fajr:22

وَجَاءَ رَبُّكَ وَالْمَلَكُ صَفًّا صَفًّا

dan datanglah Tuhanmu; sedang malaikat berbaris-baris.

Kalau nak tunggu Allah datang, itu bermakna sudah sampai ke Hari Perbicaraan di Padang Mahsyar. Waktu itu sudah tidak boleh nak bertaubat atau nak beramal dah.

 

أَوْ يَأْتِيَ بَعْضُ آيَاتِ رَبِّكَ

atau kedatangan sebahagian tanda-tanda dari Tuhanmu.

‘Tanda-tanda’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah tanda-tanda hampirnya kiamat. Daripada Hadis, telah diberitahu kepada kita bahawa apabila kiamat sudah hampir, akan ada tanda-tandanya. Antaranya adalah, matahari akan terbit dari arah barat. Bila matahari sudah terbit dari arah barat, taubat sudah tidak diterima lagi.

Satu lagi tanda adalah turunnya Dajjal.
Satu lagi keluarnya makhluk Dabbatul Ard.

Berkenaan kedatangan Kiamat, perlu rujuk kepada perbicaraan yang panjang tentang Kiamat. Terlalu panjang untuk kita masukkan dalam perbicaraan di sini.

Adakah mereka hendak menunggu datangnya Kiamat ini, baru mereka hendak beriman? Itu sudah terlambat.

 

يَوْمَ يَأْتِي بَعْضُ آيَاتِ رَبِّكَ

Pada hari datangnya ayat dari Tuhanmu,

Tadi telah disebut tentang kedatangan ‘tanda-tanda Kiamat’. Sekarang ini disebut kedatangan Hari Kiamat itu sendiri. Apabila retak sahaja langit itu, taubat tidak diterima walaupun dia belum mati lagi. Sebagai contoh, seseorang sempat nampak langit terbelah kemerahan, maka tentunya dia akan bertaubat dan percaya kepada Kiamat. Tapi tidak bernilai kalau waktu itu baru dia nak beriman.

 

لَا يَنفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِن قَبْلُ

tidaklah bermanfaat iman seseorang kepada dirinya sendiri jika belum beriman sebelum itu,

Apabila datangnya kiamat, atau datangnya tanda besar kiamat, tidak berguna lagi iman mereka kalau waktu itu baru mereka hendak beriman.

Atau, apabila nyawa sudah di halqum. Katakanlah kita kemalangan, nyawa kita nyawa-nyawa ikan sahaja. Waktu itu juga taubat tidak diterima. Lihatlah bagaimana iman Firaun tidak diterima semasa hampir matinya.

Hanya mereka yang beriman sebelum keluar tanda-tanda itu baru diterima.

 

أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا

atau dia (belum) mengusahakan kebaikan dalam masa imannya.

Ini bermakna amalan yang baik yang dilakukan hanya selepas datangnya tanda-tanda itu, tidak akan dikira. Takkan bila dah keluar tanda Kiamat, baru nak buat ibadat? Apa yang mereka buat selama hari ini?

Banyak orang Islam yang tidak berbuat amal kebaikan. Iman memang sudah ada, tapi tidak ada usaha nak beramal. Kerana mungkin malas nak beramal, atau mereka tak nampak kepentingan amal itu kepada diri mereka.

Ayat ini mengajar kita jangan berlengah dalam berbuat amal ibadah. Jangan ingat kita ada banyak masa lagi. Kita boleh mati bila-bila masa sahaja.

 

قُلِ انتَظِرُوا

Katakanlah: “Tunggulah olehmu

Kalau mereka hendak menunggu lagi, maka tunggulah. Teruslah kamu di dalam kesyirikan dan kekufuran itu. Kita dah beri dakwah, dah beri nasihat, tapi masih lagi berdegil. Akhirnya, ini sahaja yang kita boleh katakan kepada mereka. Seperti juga kita berkata kepada orang yang degil: “Buatlah apa yang kamu nak buat.” Sebab kita hanya boleh nasihat dan dakwah sahaja, tidak boleh nak paksa orang lain buat kebaikan. Tidak boleh nak paksa orang lain beriman.

 

إِنَّا مُنتَظِرُونَ

sesungguhnya kamipun menunggu (juga)”.

Masing-masing kita semua tunggu datangnya hari Kiamat.


 

Ayat 159:

6:159
Sahih International

Indeed, those who have divided their religion and become sects – you, [O Muhammad], are not [associated] with them in anything. Their affair is only [left] to Allah ; then He will inform them about what they used to do.

Malay

Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan ugama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Ia akan menerangkan kepada mereka (pada hari kiamat kelak), apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya).

إِنَّ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ

Sesungguhnya orang-orang yang memecah belah agama mereka

Tidak dapat dinafikan lagi, memang sekarang ini terdapat banyak sekali perpecahan dalam agama kita. Sudahlah perpecahan antara agama, dalam agama yang sama juga terdapat perpecahan lagi. Allah melarang kita berpecah belah. Sepatutnya kita ini berada dalam satu jalan agama yang satu. Tapi malangnya, kita tidak begitu.

Kenapa bahaya perpecahan ini? Apabila ada perpecahan, setiap puak akan rasa mereka yang benar dan mereka akan menolak puak yang lain. Mereka masing-masing dengan hujah masing-masing. Lalu mana satukah yang benar? Tidakkah kita mahu berada dalam pihak yang benar? Siapakah pihak yang benar telah diberitahu oleh Nabi.

Mereka yang memecahkan agama itu dengan buat amalan bidaah. Agama Islam sebenarnya dah lengkap, tapi mereka rasa tak sempurna lagi. Sebab itu mereka amalkan amalan bidaah. Maka dengan sebab mereka, agama berpecah. Nabi telah memberitahu kita bahawa jalan yang selamat adalah jalan yang diikuti oleh baginda dan para sahabat:

 عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَيَأْتِيَنَّ عَلَى أُمَّتِيْ مَا أَتَى عَلَى بَنِيْ إِسْرَائِيْلَ حَذْوَ النَّعْلِ بِالنَّعْلِ حَتَّى إِنْ كَانَ مِنْهُمْ مَنْ أَتَى أُمَّهُ عَلاَنِيَةً لَكَانَ فِيْ أُمَّتِيْ مَنْ يَصْنَعُ ذَلِكَ وَإِنَّ بَنِيْ إِسْرَائِيْلَ تَفَرَّقَتْ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِيْنَ مِلَّةً وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِيْ عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعِيْنَ مِلَّةً كُلُّهُمْ فِي النَّارِ إِلاَّ مِلَّةً وَاحِدَةً، قَالُوْا: وَمَنْ هِيَ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ: مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِيْ.

Dari ‘Abdullah bin ‘Amr, ia berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Sungguh akan terjadi pada ummatku, apa yang telah terjadi pada ummat bani Israil sedikit demi sedikit, sehingga jika ada di antara mereka (Bani Israil) yang menyetubuhi ibunya secara terang-terangan, maka niscaya akan ada pada ummatku yang mengerjakan itu. Dan sesungguhnya bani Israil berpecah menjadi tujuh puluh dua millah, semuanya di Neraka kecuali satu millah saja dan ummatku akan terpecah menjadi tujuh puluh tiga millah, yang semuanya di Neraka kecuali satu millah.’ (para Shahabat) bertanya, ‘Siapa mereka wahai Rasulullah?’ Beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab, ‘Apa yang aku dan para Sahabatku berada di atasnya.’”
(Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi no. 2641, dan ia berkata: “Ini merupakan hadits penjelas yang gharib, kami tidak mengetahuinya seperti ini, kecuali dari jalan ini.”)

Memecah-belahkan juga bermaksud mereka memilih bahagian agama yang mereka suka. Sebagai contoh, ada yang hanya nak pakai Quran sahaja, hadis mereka tak mahu terima. Ada yang belajar hadis, tapi tak belajar lagi tafsir Quran. Ada yang hal fekah tertib sungguh, tapi tak kisah tentang ilmu tauhid. Atau ramai yang belajar tasauf bertahun-tahun, tapi tidak tahu sikit pun berkenaan tauhid. Itu semua adalah salah. Kerana agama ini satu yang lengkap, jadi kena tahu dan amalkan semua sekali. Jangan pecah-pecahkan agama.

Lihatlah bagaimana Quran menyebut semua perkara. Semua ada dalam Quran. Quran sebut tentang tauhid, tentang feqah, tasawuf dan berbagai lagi perkara termasuk bagaimana menjalani kehidupan.

 

وَكَانُوا شِيَعًا

dan mereka menjadi bergolongan,

Hasil dari mereka memecahkan agama, umat Islam jadi berpuak-puak. Ada puak tarekat, ada anti-hadis, ada puak tabligh, ada ahli bidaah, ada ahli Qasidah, ada ahli nasyid dan bermacam-macam lagi.

Kalau ada kumpulan sahaja, sudah salah dah. Kerana kita dilarang dari berpuak. Kita sebenarnya adalah satu kumpulan yang satu.

Kita kena guna nama ‘Muslim’ sahaja. Inilah nama yang Allah pilih untuk kita guna. Lihat dalam Hajj:78

مِّلَّةَ أَبِيكُمْ إِبْرَاهِيمَ هُوَ سَمَّاكُمُ الْمُسْلِمِينَ مِن قَبْلُ

(Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu.

Jangan kita ikut macam Yahudi dan Kristian. Mereka dulu sebenarnya adalah Muslim, tapi kemudian mereka telah menamakan diri mereka dengan nama yang lain – Yahudi dan Nasrani. Kita pula suka menggelarkan diri kita dengan nama-nama tertentu. Kononnya merekalah yang benar sekali. Ini termasuklah mereka yang mahu mengamalkan sunnah. Mereka pun dah ada nama sendiri – Salafi. Itupun salah juga. Memang kita mengikut apa yang disampaikan oleh ulama-ulama salaf (ulama-ulama awal) kerana mereka lebih rapat dengan Nabi dan sahabat, tapi bukanlah kita kena menamakan diri kita dengan satu nama lain dari ‘Muslim’.

 

لَّسْتَ مِنْهُمْ فِي شَيْءٍ

tidak ada sedikitpun tanggung jawabmu kepada mereka.

Kita diberitahu dalam ayat ini supaya tidak ada kena mengena dengan mereka. Kita tidak perlu risaukan mereka. Kerana mereka hanya ikut hawa nafsu. Jangan kita masuk campur dengan mereka. Jangan kita ikut mereka dalam perkumpulan yang mereka buat itu.

 

إِنَّمَا أَمْرُهُمْ إِلَى اللَّهِ

Sesungguhnya urusan mereka hanyalah terserah kepada Allah,

Bagaimana kesudahan mereka nanti akan ditentukan oleh Allah. Allah akan beritahu mereka nanti, apakah kesalahan mereka dan manakah kumpulan yang benar dan mana yang salah.

 

ثُمَّ يُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka perbuat.

Allah akan beritahu balik apa yang mereka buat dulu.
Ayat ini juga menunjukkan yang kita akan dibalas dengan apa yang kita buat sendiri. Maka, tidak ada pahala kiriman. Maka amalan sedekah Fatihah kepada si-mati adalah sia-sia. Amalan majlis Tahlil adalah amalan bidaah yang mungkar.
يَفْعَلُونَ bermaksud mereka buat tak fikir sangat pun. Mereka ikut sahaja apa yang orang lain buat. Mereka jahil tentang agama sebenarnya, tapi sebab ramai yang buat, mereka ingat tentulah betul kalau tak, tentu tak ramai buat. Takkan ramai-ramai ni salah. Begitulah cara mereka melihat Islam. Itu adalah cara melihat agama dengan pandangan yang amat salah. Kerana ramainya orang melakukan sesuatu, tidaklah bererti yang ianya benar. Yang salah tetap salah, walaupun ramai yang melakukannya.


 

Ayat 160:

6:160
Sahih International

Whoever comes [on the Day of Judgement] with a good deed will have ten times the like thereof [to his credit], and whoever comes with an evil deed will not be recompensed except the like thereof; and they will not be wronged.

Malay

Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).

مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ

Barangsiapa datang membawa amal yang baik,

Iaitu datang kepada Allah. Datang kepada Allah dan tunjuk apa yang kita buat semasa di dunia. Setiap dari kita akan bertemu dengan Allah. Apakah nanti yang kita akan tunjukkan? Apakah bekal kita nanti?

Ada yang kata yang perkataan الْحَسَنَةِ itu adalah kalimah la ilaha illallah; dan ada yang mengatakan yang ia bermaksud apa sahaja perbuatan yang baik.

Amal baik itu Allah pandang penting sampaikan Allah gunakan ال pada perkataan الْحَسَنَةِ itu. Kadang-kadang kita tak sangka perbuatan kita itu ada pahala. Sebagai contoh, kita senyum kepada orang lain. Kita sangka ianya sikit sahaja, tapi ianya berharga kepada Allah. Ada pahala dari senyuman itu yang akan kita bawa kepada Allah nanti.

 

فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا

maka baginya (pahala) sepuluh kali lipat amalnya;

Pahala dari amalan baiknya itu akan digandakan. Seperti dia telah buat amal itu sepuluh kali, padahal dia hanya buat sekali sahaja.

Sepuluh kali ganda itu adalah minimum. Allah boleh beri lebih berkali-kali ganda lagi. Allah boleh beri 700 kali ganda, malah boleh beri lebih lagi.

Kalau kita berniat sahaja, Allah sudah suruh malaikat tuliskan pahala amalan itu. Padahal tak buat pun lagi, cuma berniat sahaja. Kalau dia tidak melakukannya, dia tetap akan mendapat pahala itu.

Inilah rahmat Allah kepada kita. Buat sedikit, tapi dibalas banyak. Ma sha Allah.

 

وَمَن جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ

dan barangsiapa yang datang membawa perbuatan jahat

Malang sekali kalau kita bawa dosa ke hadapan Allah. Tapi kita makhluk yang memang tidak sunyi dari melakukan kesilapan dan dosa. Kita telah baca bagaimana Allah membalas kebaikan yang kita lakukan. Bagaimana pula dengan dosa yang kita lakukan pula?

 

فَلَا يُجْزَىٰ إِلَّا مِثْلَهَا

maka dia tidak diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya,

Kejahatannya tidak digandakan. Dibalas mengikut perbuatannya sahaja. Berbeza dengan amalan kebaikan tadi yang Allah akan gandakan.

Kalau seseorang berniat hendak melakukan kejahatan, tidak ditulis lagi dosa itu. Dan kalau dia meninggalkan niatnya itu, dia akan mendapat pahala pula kerana meninggalkan niat jahatnya. Ma sha Allah, begitu besarnya rahmat Allah kepada kita!

 

وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya (dirugikan).

Kita tidak akan rugi kerana apa sahaja kebaikan yang kita lakukan, akan dibalas tanpa ditinggalkan. Kerana Allah Maha Tahu dengan segala perbuatan kita. Kalau dalam dunia, belum tentu kita dapat balasan dari bos tempat kerja kita kerana mungkin bos itu tidak tahu kebaikan yang kita telah lakukan. Tapi Allah Maha Tahu.

Dan kita tidak akan diseksa kalau kita tidak melakukan kesalahan. Bayangkan bagaimana kadang-kadang manusia kena merengkok dalam penjara walaupun dia tidak buat kesalahan hanya kerana dia kena fitnah. Tapi dengan Mahkamah Allah, tidak akan jadi begitu.

Allah hanya membalas dengan adil. Tidaklah ada kezaliman pada Allah. Mana tidak, sedangkan kebaikan dibalas berganda, dan kejahatan hanya dibalas sama dengan kejahatan itu sahaja.

Ini juga menyebabkan kita lebih menghargai Allah atas segala nikmat yang telah diberikannya kepada kita.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

================================

Ref: UR, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s