Tafsir Surah al-An’am Ayat 154-157

Ayat 154: 

6:154
Sahih International

Then We gave Moses the Scripture, making complete [Our favor] upon the one who did good and as a detailed explanation of all things and as guidance and mercy that perhaps in [the matter of] the meeting with their Lord they would believe.

Malay

Kemudian (ketahuilah pula bahawa) Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat untuk menyempurnakan (kemuliaan dan nikmat Kami) kepada orang yang telah berbuat baik (menjalankan ajaran Kitab itu iaitu Nabi Musa), dan untuk menerangkan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi petunjuk dan rahmat, supaya mereka beriman kepada pertemuan dengan Tuhan mereka (pada hari akhirat kelak).

 

ثُمَّ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ

Kemudian Kami telah memberikan Al Kitab (Taurat) kepada Musa

ثُمَّ yang bermaksud ‘kemudian’ digunakan dalam ayat ini sebagai penyambung kepada ayat-ayat sebelum ini. Dalam ayat-ayat sebelum ini, telah diberikan 10 perkara utama dalam agama. Ianya sama seperti ’10 commandments’ dalam agama Yahudi juga. Ianya telah diberikan kepada Nabi Musa a.s. Maka, ayat ini hendak memberitahu kita bahawa selepas Nabi Musa diberikan dengan 10 wasiat itu, baginda telah diberikan dengan Kitab Taurat pula.

 

تَمَامًا عَلَى الَّذِي أَحْسَنَ

untuk melengkapkan kepada orang yang berbuat kebaikan,

‘Melengkapkan’ itu bermaksud Allah melengkapkan nikmatNya kepada mereka. Dan nikmat yang dimaksudkan adalah ‘nikmat agama Islam’. Bermakna bukanlah Nabi Musa hanya diberikan dengan 10 wasiat itu sahaja, tetapi kemudian baginda kemudian telah diberikan dengan Kitab Taurat untuk melengkapkan agama mereka.

Selepas Nabi Musa dan kaumnya menyeberangi Lautan sewaktu lari dari Firaun dan tenteranya, Nabi Musa telah naik ke bukit Thur dan baginda telah diberikan dengan Lauh (Tablet) yang mengandungi 10 wasiat ini. Waktu itulah terjadinya kisah kaumnya menyembah patung anak sapi. Waktu itu hanya diberikan dengan 10 perkara itu sahaja kerana kaumnya itu baru keluar dari sistem perhambaan Firaun dan mereka waktu itu memerlukan arahan yang ringkas-ringkas sahaja.

10 perkara itu adalah ajaran yang utama di dalam agama. Kepada mereka yang telah menerima dan mengikuti ajaran yang utama itu, maka mereka akan diberikan dengan lebih lagi ilmu untuk melengkapkan agama.

‘Lengkap’ itu juga bermaksud Kitab Taurat itu adalah satu kitab yang lengkap untuk dijadikan sebagai panduan kepada mereka yang hendak beriman. Yang penting, mereka itu hendak beriman. Potongan ayat عَلَى الَّذِي أَحْسَنَ bermaksud Allah memberi hidayah kepada mereka yang mahu berbuat kebaikan dan mahu mencari kebenaran. Begitulah kalau kita mahu mencari kebenaran, Allah akan beri hidayah. Allah akan bawa kita kepada orang yang boleh mengajar agama kepada kita. Yang penting, kena mulai dengan keinginan dalam hati itu. Kalau kita memang tak kisah dengan agama, tak mahu tahu manakah jalan yang benar, maka Allah akan biarkan sahaja. Sampaikan kalau kita beritahu mereka hal-hal agama, mereka buat tak kisah sahaja. Ajak belajar tafsir Quran, mereka tak berminat pun.

Apabila agama itu dilengkapkan, ini bermakna ianya adalah satu nikmat yang amat besar. Agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad juga telah lengkap seperti yang disebut dalam Maidah:3

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu.

Ingatlah bahawa hidup ini dikira lengkap hanya apabila kita ada agama. Kalau kita kaya, anak banyak, kawan banyak, kedudukan dalam masyarakat tinggi dan disanjung, tapi kalau tidak ada agama, tidak bermakna langsung. Tapi kalau kita tidak ada benda-benda lain, tapi kita ada iman dan Islam, itu sudah cukup. Sebab yang penting adalah nasib kita di akhirat kelak, bukan di dunia. Dunia ini hanyalah tempat yang sementara sahaja. Akhirnya kita akan mati.

 

وَتَفْصِيلًا لِّكُلِّ شَيْءٍ

dan untuk menjelaskan segala sesuatu

Taurat menjelaskan segala sesuatu yang perlu diketahui ‘tentang agama’. Bukan tentang semua perkara dalam dunia. Entah berapa banyak kertas kalau kitab itu tentang agama dan dunia sekali. Yang dimaksudkan ‘segala sesuatu’ adalah segala sesuatu tentang agama.

Allah bukan sahaja memberi hukum-hukum yang perlu diikuti kepada manusia, buat itu dan tinggalkan ini, tetapi Allah juga ‘menjelaskan’ kepada manusia tentang hukum-hukum itu. Memperjelaskan tentang suruhan-suruhan dalam agama.

Begitulah juga, bila kita mengajar kepada manusia tentang agama, perlulah kita menjelaskan kepada mereka tentang ajaran Islam ini. Sebagai contoh, apabila kita mengajar anak kita tentang puasa, janganlah kita hanya memberitahu yang mereka tidak boleh makan daripada pagi sampai malam sahaja. Tapi hendaklah kita beritahu kepada mereka asal hukum itu, kenapa ianya dilakukan, bagaimanakah cara ia dilakukan, dan apakah kelebihan-kelebihan dan hikmat yang ada di dalam amalan puasa itu. Apabila kita faham, kita lebih mudah untuk mengamalkannya. Kebanyakan manusia pun susah untuk beramal ibadat sebab mereka tak belajar dan mereka tak nampak kepentingan ibadat itu. Padahal, kalau kita belajar, kita akan tahu bahawa segala amal ibadat yang Allah suruh kita buat itu adalah untuk kebaikan diri kita sebenarnya.

 

وَهُدًى وَرَحْمَةً

dan sebagai petunjuk dan rahmat,

Taurat itu juga adalah sebagai petunjuk dan rahmat kepada bangsa Yahudi kalau ianya dipelajari. Malangnya, bangsa Yahudi tidak mempelajari isi kandung Taurat itu. Mereka tahu yang ianya adalah kalam Allah dan mereka memang membacanya, tapi mereka tidak menggunakannya sebagai sumber hukum dalam kehidupan mereka. Mereka baca Taurat dalam majlis agama mereka dan mereka hafal, tapi mereka tidak amalkan. Sebaliknya, sumber hukum mereka ambil dari pendita-pendita mereka dan kitab-kitab karangan pendita-pendita mereka. Mereka tidak tahu apakah ajaran dalam Taurat itu sebenarnya.

Tidakkah itu sama sahaja dengan perbuatan kebanyakan dari masyarakat kita? Kita hormat Quran, tahu ianya dari Allah, kita baca hari-hari dan kita hafal, tapi adakah kita ambil pengajaran darinya? Adakah kita faham dengan apa yang disampaikan dalam Quran itu? Kebanyakan dari kita tidak faham kerana kita tidak belajar tafsir. Apabila tidak belajar tafsir, maka tidaklah kita tahu apakah maksud yang Allah sampaikan dalam Quran ini. Maka tinggallah Quran ini sebagai bacaan dan hafalan sahaja. Tidaklah ianya menjadi petunjuk. Maka, berhentilah dari mengikut ‘sunnah’ Yahudi ini. Marilah belajar tafsir Quran.

 

لَّعَلَّهُم بِلِقَاءِ رَبِّهِمْ يُؤْمِنُونَ

agar mereka beriman (bahawa) mereka akan menemui Tuhan mereka.

Umat Nabi Musa diingatkan dalam Taurat itu dengan perjumpaan dengan Allah. Lihatlah kisah bagaimana pertama kali Nabi Musa bercakap-cakap dengan Allah, baginda awal-awal telah diberitahu dengan hari kiamat lagi dah. Ini kita boleh lihat dalam Taha:15

إِنَّ السَّاعَةَ آتِيَةٌ أَكَادُ أُخْفِيهَا لِتُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍ بِمَا تَسْعَىٰ

Sesungguhnya hari Kiamat itu akan datang; Aku merahsiakan (waktunya) agar supaya tiap-tiap diri itu dibalas dengan apa yang ia usahakan.

Maknanya, pertama sekali wahyu yang Nabi Musa dapat adalah tentang Kiamat. Kalau Nabi Muhamad, wahyu pertama yang disampaikan adalah ‘iqra’, tapi untuk Nabi Musa, diberitahu dengan hari kiamat.

Maknanya, pertemuan dengan Allah adalah perkara pertama yang diberitahu kepada Nabi Musa, menunjukkan kepentingan perkara itu. Tapi malangnya, inilah satu perkara yang banyak diketepikan oleh bangsa Yahudi sekarang. Kebanyakan dari mereka sudah tidak mempercayainya. Padahal, ianya adalah tonggak agama mereka, tapi majoriti dari mereka telah tinggalkan ilmu tentang hari kiamat. Semoga kita pun tidak menjadi seperti mereka.


 

Ayat 155:

6:155
Sahih International

And this [Qur’an] is a Book We have revealed [which is] blessed, so follow it and fear Allah that you may receive mercy.

Malay

Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.

وَهَٰذَا كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ

Dan Al-Quran itu adalah kitab yang Kami turunkan

Selepas memberitahu tentang Taurat, sekarang Allah menyebut tentang Quran pula. Allah mengingatkan kita bahawa Dialah yang telah menurunkan Quran itu. Apabila ianya dari Allah, maka hendaklah kita beri perhatian dan ambil lewa dengan Quran ini.

 

مُبَارَكٌ

yang diberkati,

Sebelum ini telah disebut dengan ciri-ciri kitab Taurat. Untuk Quran, Allah tambah dengan mengatakan yang ia hanya ‘diberkati’. Quran ini lebih lagi dari kitab-kitab terdahulu kerana ajaran dalam Quran ini mengumpulkan segala ajaran-ajaran di dalam kitab-kitab yang terdahulu. Banyaklah lagi kelebihan Quran ini kalau dibandingkan dengan kitab-kitab yang lain.

Ajaran dalam Quran mempunyai banyak keberkatan. Jikalau kita mengikuti ajarannya, maka hidup kita pun akan diberkati.

Tapi ada salah faham dalam perkara ini. Kerana ada yang salah faham maksud ‘keberkatan Quran’. Maka, mereka pun ada berdoa: “Ya Allah, dengan keberkatan Quran, kau sempurnakanlah hajat kami”. Itu adalah cara berdoa yang salah. Kerana ini sudah bertawasul dengan sesuatu. Tawasul sebegini adalah dilarang. Bukan begitu maksud ‘keberkatan Quran’ yang hendak disampaikan. Lihatlah bagaimana kalau lari sikit sahaja dari faham yang sebenar, kita dah tergelincir ke dalam jalan yang salah.

Kerana salah faham dengan maksud ‘keberkatan Quran’ juga menyebabkan manusia ramai yang menggantung ayat-ayat Quran di rumah, kedai, kereta dan merata-rata tempat lagi. Termasuklah ramai yang menggantungnya di masjid-masjid dan surau-surau. Padahal, tidak ada hadis yang mengatakan yang pada zaman Nabi ada tergantung ayat Quran pada zaman Nabi. Yang ada sekarang, termasuk di Masjidilharam dan Masjid Nabi, adalah hasil dari perbuatan pemimpin-pemimpin yang kemudian, bukan dari Nabi. Ayat-ayat Quran adalah sebagai pedoman hidup kita, bukanlah sebagai perhiasan untuk digantung.

Bukan begitu cara untuk mendapat keberkatan dari Quran. Keberkatan dari Quran akan didapati apabila kita membacanya, kemudian memahaminya dengan belajar tafsir, dan kemudian mesti mengamalkannya.

 

فَاتَّبِعُوهُ

maka ikutilah dia

Ini adalah arahan dari Allah untuk mengikuti ajaran-ajaran dalam Quran. Kita memang sudah tahu dan faham, tapi adakah kita lakukan? Sudahkah kita faham apakah ajaran Quran ini? Sudahkah kita berguru kepada mereka yang boleh mengajar?

 

وَاتَّقُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

dan bertakwalah agar kamu diberi rahmat.

Taqwa itu bermaksud kita sedar tentang Allah yang sedang memerhatikan kita. Dalam setiap perbuatan kita, kita akan berjaga-jaga supaya kita tidak melanggar hukum Allah. Kita akan bertaqwa apabila kita sudah belajar isi kandung Quran, in sha Allah.


 

Ayat 156:

6:156
Sahih International

[We revealed it] lest you say, “The Scripture was only sent down to two groups before us, but we were of their study unaware,”

Malay

Supaya kamu tidak mengatakan: “Bahawa Kitab (ugama) itu hanya diturunkan kepada dua golongan (Yahudi dan Nasrani) dahulu sebelum kami, dan sesungguhnya kami lalai (tidak faham) akan apa yang dibaca dan dipelajari oleh mereka”.

أَن تَقُولُوا إِنَّمَا أُنزِلَ الْكِتَابُ عَلَىٰ طَائِفَتَيْنِ مِن قَبْلِنَا

(Kami turunkan al-Quran itu) agar kamu (tidak) mengatakan: “Bahawa kitab itu hanya diturunkan kepada dua golongan sahaja sebelum kami,

Kamu yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah kaum musyrikin.

‘Dua golongan’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Yahudi dan Nasrani. Apabila Quran telah diturunkan, puak Musyrikin tidak lagi mempunyai dalil untuk mengatakan mereka tidak diberikan dengan kitab seperti yang telah diberikan kepada Yahudi dan Nasrani. Supaya mereka tidak boleh memberi alasan yang mereka tidak tahu tentang agama kerana sekarang Quran telah diturunkan dalam bahasa Arab.

 

وَإِن كُنَّا عَن دِرَاسَتِهِمْ لَغَافِلِينَ

dan sesungguhnya kami tidak memperhatikan apa yang mereka belajar.

دِرَاسَتِهِمْ dari katadasar درس yang bermaksud ‘belajar’. Iaitu Taurat dan Injil yang dipelajari oleh Yahudi dan Nasrani

Mereka bangsa Arab sudah tidak boleh kata mereka lalai dengan agama kerana kitab hanya diberikan kepada Yahudi dan Nasrani sahaja. Dan bahasa kitab Taurat dan Injil pula bukan di dalam bahasa Arab. Supaya mereka tidak ada hujah untuk mengatakan mereka tidak faham dengan kitab-kitab itu kerana kitab-kitab itu di dalam bahasa yang mereka tidak faham. Tambahan pula bangsa Yahudi dan Nasrani tidak berkongsi kitab-kitab itu dengan bangsa lain. Mereka kata kitab itu hanya untuk mereka sahaja dan tak layak untuk bangsa Arab. Pada mereka, bangsa Arab adalah bangsa yang hina.

Oleh itu sekarang Allah mengatakan yang Allah telah menurunkan kitab Qur’an itu di dalam bahasa Arab supaya mereka memahaminya.

Mereka akan menyesal kerana mereka tidak mengendahkan Quran yang telah diturunkan kepada mereka, dalam bahasa mereka dan yang membacakannya adalah Nabi Muhammad dari kalangan mereka sendiri. Jangan kita juga menyesal seperti mereka nanti.


 

Ayat 157:

6:157
Sahih International

Or lest you say, “If only the Scripture had been revealed to us, we would have been better guided than they.” So there has [now] come to you a clear evidence from your Lord and a guidance and mercy. Then who is more unjust than one who denies the verses of Allah and turns away from them? We will recompense those who turn away from Our verses with the worst of punishment for their having turned away.

Malay

Atau supaya kamu (tidak) mengatakan: “Sesungguhnya kalau diturunkan Kitab kepada kami tentulah kami mendapat petunjuk hidayah lebih daripada mereka”. (Kamu tidak akan dapat berdalih lagi) kerana sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan (yang cukup) dari Tuhan kamu, dan petunjuk hidayah serta rahmatNya (yang melimpah-limpah). Oleh itu, siapakah yang lebih zalim lagi daripada orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan berpaling daripadanya? Kami akan membalas orang-orang yang berpaling dari ayat-ayat keterangan Kami (dengan) azab seksa yang seburuk-buruknya, disebabkan mereka sentiasa berpaling (mengingkarinya).

أَوْ تَقُولُوا لَوْ أَنَّا أُنزِلَ عَلَيْنَا الْكِتَابُ

Atau agar kamu (tidak) mengatakan: “Sesungguhnya jikalau kitab ini diturunkan kepada kami,

Jangan nanti mereka nak kata: kalaulah dulu kami dapat kitab juga macam yang diberikan kepada Yahudi dan Nasrani itu.

 

لَكُنَّا أَهْدَىٰ مِنْهُمْ

tentulah kami lebih mendapat petunjuk dari mereka”.

Mereka nanti akan kata mereka akan lebih dapat petunjuk sebab mereka rasa mereka lebih pandai lagi. Bangsa Arab memang jenis bangsa yang berbangga dengan diri mereka dan bahasa Arab mereka. Sampaikan mereka panggil bangsa selain bangsa Arab sebagai ‘Ajam’, yang bermaksud ‘tidak tahu bercakap’.

Macam sekarang ni, ramai yang tidak mahu belajar tafsir Quran, kerana mereka kata takkan mereka tak tahu Quran dari kita sedangkan mereka lagi sedap baca Quran. Berlagu-lagu dan mendayu-dayu kalau mereka baca Quran. Tapi, mereka lupa, kalau tahu membaca sahaja Quran itu, tapi tidak memahami apa yang dibaca, tidak bermakna apa-apa kalau mereka tolak apa yang mereka baca itu. Sebagai contoh, ayat-ayat Quran banyak yang melarang bertawasul, tapi mereka buat pula tawasul itu.

 

فَقَدْ جَاءَكُم بَيِّنَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ

Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhanmu,

Sekarang Allah memberitahu mereka yang sekarang Dia telah turunkan satu kitab yang jelas ini dan ia di dalam bahasa mereka. Sekarang, samada mereka mahu terima atau tidak sahaja. Kerana mereka sudah tidak ada alasan lagi di hadapan Allah.

 

وَهُدًى وَرَحْمَةٌ

dan sebagai petunjuk dan rahmat

Taurat itu adalah petunjuk dan rahmat kepada orang beriman dari kalangan bangsa Yahudi. Begitu juga Quran ini. Ianya akan menjadi petunjuk kepada mereka yang mahu mendapat hidayah. Tapi malangnya, ramai yang buat tak kisah dengan Quran ini. Mereka sendiri tahu yang mereka tak faham apabila mereka baca Quran, tapi mereka tak mahu belajar tafsir Quran. Mereka ingat cukup sahaja dengan mereka baca Quran mendayu-dayu. Alangkah ruginya.

 

فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن كَذَّبَ بِآيَاتِ اللَّهِ

Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah

Walaupun Quran telah diturunkan dalam bahasa Arab, tetapi kebanyakan puak Musyrikin tidak mahu menerima Quran itu. Mereka mendustakan dengan mengatakan yang Quran itu bukanlah dari Allah, tapi dari Nabi Muhammad. Bermacam-macam lagi alasan yang mereka gunakan untuk menolak untuk beriman dengan Quran itu.

 

وَصَدَفَ عَنْهَا

dan berpaling daripadanya?

Bermaksud mereka berpaling dengan serta merta. Mereka tolak untuk beriman. Dalam masyarakat kita, ‘berpaling’ itu bermaksud mereka tidak mahu belajar tafsir Quran. Dan apabila mereka tidak mahu belajar tafsir Qur’an maka mereka akan menolak dan berpaling dari ajaran-ajaran di dalam Quran itu walaupun mereka membaca sendiri ayat Quran itu setiap hari.

 

سَنَجْزِي الَّذِينَ يَصْدِفُونَ عَنْ آيَاتِنَا

Kelak Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang berpaling dari ayat-ayat Kami

Allah tidak akan membiarkan sahaja mereka. Mereka akan dibalas di Akhirat kelak.

 

سُوءَ الْعَذَابِ

dengan siksa yang buruk,

Mereka akan mendapat siksa yang buruk.

 

بِمَا كَانُوا يَصْدِفُونَ

disebabkan mereka selalu berpaling.

Bukanlah Allah sengaja hendak menyiksa mereka. Tapi mereka diseksa kerana mereka tidak mahu beriman. Mereka berpaling dengan serta merta tidak mahu langsung mahu memikirkan sama ada Quran itu benar ataupun tidak.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya


 

Ref: UR, NAK, TZ

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s