Tafsir Surah al-An’am Ayat 152-153

Ayat 152:

6:152
Sahih International

And do not approach the orphan’s property except in a way that is best until he reaches maturity. And give full measure and weight in justice. We do not charge any soul except [with that within] its capacity. And when you testify, be just, even if [it concerns] a near relative. And the covenant of Allah fulfill. This has He instructed you that you may remember.

Malay

“Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil”. – Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya – “dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu); dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhiNya)”.

وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ

Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim,

Ini adalah ayat tentang larangan memakan harta anak yatim. Perkataan yang digunakan adalah ‘janganlah kamu dekati’. Ini bermaksud jangan dekati untuk mengurus pun harta itu. Kalau kita rasa kita tidak dapat beramanah dengan harta itu, atau tidak rasa berkemampuan untuk mengurus harta itu, maka jangan kita cuba-cuba untuk mengurus harta itu. Sebagai contoh, kalau kita ini jenis orang yang memang sibuk dengan kerja lain, maka tentunya kita tidak mampu untuk menjadi pengurus untuk harta itu. Maka lebih baik untuk kita berikan kepada orang lain yang dapat menguruskannya.

Allah melarang kita dari dekati harta anak yatim kerana bila kita hampir dengan harta itu akan jadi mudah untuk kita mencurinya, atau termakan harta itu. Islam amat berhati-hati dalam hal ini.

Anak yatim adalah anak yang kematian ayah sebelum dia baligh. Dia dalam keadaan yang lemah. Seorang anak yang kecil dan belum baligh tidak diberikan untuk pegang harta peninggalan ayahnya. Kalau dia yang pegang, nanti mungkin senang orang nak curi, nak tipu dia dan sebagainya. Maka, sepatutnya ada orang yang dewasa yang menjaga hartanya bagi pihaknya.

 

إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat,

Kalau kita diberikan tanggungjawab untuk menjaga harta anak yatim, maka kita kenalah menguruskan harta itu dengan baik.

Antara cara yang lebih baik adalah dengan melaburkan harta itu sampai harta itu boleh menjadi semakin banyak. Tapi kenalah laburkan dalam perniagaan yang menguntungkan. Jangan laburkan dalam perniagaan yang belum tentu. Walaupun anak itu bersetuju dengan nasihat kita untuk memperniagakan harta itu dalam perniagaan yang belum tentu menguntungkan itu. Kerana anak yang belum baligh tentunya tidak dapat memberikan keputusan yang bijak lagi. Salah satu pelaburan yang menguntungkan adalah pembelian rumah, kerana rumah harganya sentiasa naik sahaja.

Barangsiapa menjadi wali atas harta anak yatim hendaklah diperkembangkan (diperdagangkan) dan jangan dibiarkan harta itu susut karena dimakan sedekah (zakat).”(Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Ada sahabat yang takut sangat memakan harta anak yatim yang di dalam jagaan mereka sampaikan makanan yang dibeli dengan harta anak yatim untuk anak yatim itu langsung tidak disentuh oleh mereka kerana takut. Sampaikan kalau anak yatim itu makan tidak habis, mereka tidak berani untuk memberinya kepada anaknya yang lain. Sampaikan kadang kala makanan itu sampai rosak tidak dimakan. Itu sudah membazir namanya. Maka dalam ayat ini, Allah kata ‘dengan cara yang lebih baik’. Bermaksud harta anak yatim itu boleh digunakan juga untuk dikongsi bersama untuk dimakan bersama.

Juga bermaksud, kalau seorang penjaga itu mengenakan bayaran sebagai balasan menjaga harta itu, jangan ambil dengan terlalu banyak tapi ambillah dengan kadar yang patut sahaja.

Tetapi jikalau penjaga anak yatim itu seorang yang kaya, dia perlulah menggunakan hartanya sendiri untuk menyara anak yatim itu dan tidak menyentuh harta anak yatim itu. Ini ada tersebut dalam Nisa:6

وَمَنْ كَانَ غَنِيًّا فَلْيَسْتَعْفِفْ ۖ وَمَنْ كَانَ فَقِيرًا فَلْيَأْكُلْ بِالْمَعْرُوفِ

Barang siapa (di antara pemelihara itu) mampu, maka hendaklah ia menahan diri (dari memakan harta anak yatim itu) dan barangsiapa yang miskin, maka bolehlah ia makan harta itu menurut yang patut.

 

حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ

hingga sampai ia dewasa.

Penjaga harta itu hanya perlu menjaga harta anak yatim itu semasa anak yatim itu kecil sahaja. Iaitu semasa ia tidak mampu menjaganya sendirinya. Apabila anak itu telah dewasa dan mampu menjaga sendiri, maka harta itu perlu dikembalikan kepada anak yatim itu.

أَشُدَّ bermaksud dewasa dari segi fizikal; akal. Kerana ada yang badan dan besar, tapi masih keanak-anakan; maiyyiz – tahu bagaimana berurusan.

Ada ulamak yang mengatakan umur itu ditetapkan 25 tahun. Kerana pada mereka, itulah umur أَشُدَّ. Kerana kalau kita tengok pun sekarang, jarang orang lelaki kahwin sebelum umur mereka 25 tahun.

Dalam Nisa:6 juga ada disebut bagaimana kita perlu menilai samada anak itu sudah pandai menjaga harta atau tidak:

وَابْتَلُوا الْيَتَامَىٰ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغُوا النِّكَاحَ فَإِنْ آنَسْتُمْ مِنْهُمْ رُشْدًا فَادْفَعُوا إِلَيْهِمْ أَمْوَالَهُمْ

Dan ujilah anak yatim itu sampai mereka cukup umur untuk kawin. Kemudian jika menurut pendapatmu mereka telah cerdas (pandai memelihara harta), maka serahkanlah kepada mereka harta-hartanya.

 

وَأَوْفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ بِالْقِسْطِ

Dan sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil.

Rujuk surah Mutaffifin: 1-3 berkenaan perkara ini.

وَيْلٌ لِلْمُطَفِّفِينَ
Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang
الَّذِينَ إِذَا اكْتَالُوا عَلَى النَّاسِ يَسْتَوْفُونَ
(yaitu) orang-orang yang apabila menerima takaran dari orang lain mereka minta dipenuhi,
وَإِذَا كَالُوهُمْ أَوْ وَزَنُوهُمْ يُخْسِرُونَ
dan apabila mereka menakar atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi.

Ayat-ayat dari surah Mutaffifin ini menjelaskan lagi bagaimana jenis orang yang celaka dalam perniagaan mereka. Iaitu apabila orang lain menyukat untuk mereka, mereka nak cukup timbangan itu, tapi apabila mereka pula menyukat untuk orang lain, mereka kurangkan. Amat buruk sekali perangai itu.

Apabila digunakan perkataan الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ bermaksud setiap cara timbangan dan sukatan dimasukkan ke dalamnya. Kerana mungkin zaman sekarang, cara ukuran sudah semakin canggih, maka apapun cara timbangan, kita perlu memastikan timbangan itu tepat.

Ini adalah peringatan kepada peniaga-peniaga kita yang ada di kalangan mereka yang mengurangkan timbangan yang diberikan kepada pelanggan-pelanggan mereka. Macam-macam cara mereka gunakan untuk mengurangkan timbangan itu. Mungkin mereka kurangkan sedikit sahaja setiap kali, tapi kalau dicampur semua, maka lama kelamaan banyak juga habuan untuk mereka. Dengan keuntungan lebihan mereka yang sedikit itulah yang akan memasukkan mereka ke dalam neraka.

Inilah masalah masyarakat yang dialami oleh umat Nabi Syuaib, selain dari masalah syirik yang mereka amalkan. Oleh kerana kesalahan mereka itu, seluruh bangsa mereka telah dihapuskan oleh Allah.

Kadang-kadang kita tidak berniat pun hendak menipu dalam timbangan itu. Kadang-kadang pengurangan itu disebabkan kecuaian kita. Ataupun kita tak perasan. Sebagai contoh, peniaga makan dan minum mungkin terlupa memasukkan gula dalam minuman untuk pelanggannya. Pelanggan itu tidak minum tapi dia bayar juga harga minuman itu. Pendapatan begini dinamakan ‘Harta syubhah’. Dia tidak layak dapat harta itu. Dia tidak perasan pun yang dia tidak layak dapat. Harta sebegini boleh dibersihkan dengan mengeluarkan zakat.

 

لَا نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Kami tidak memikulkan beban kepada sesorang melainkan sekadar kesanggupannya.

Allah tidak membebankan makhlukNya dengan perkara-perkara yang mahklukNya tidak boleh lakukan. Dalam konteks ayat ini, segala hukum-hukum dan suruhan yang telah disebut sebelum ini bukanlah sesuatu yang manusia tidak boleh penuhi. Manusia sebenarnya berkemampuan untuk menjalankan segala hukum-hukum yang Allah telah berikan itu. Tidaklah susah untuk tidak melakukan syirik. Tidaklah mustahil untuk kita tidak membunuh anak-anak kita. Tidaklah juga sukar untuk berbuat baik kepada ibubapa dan juga untuk berlaku adil dalam sukatan kita semasa melakukan perniagaan. Kita cuma perlu buat sunguh-sungguh dalam menjalankan hukum Allah itu.

Lihatlah bagaimana Allah tidak membebankan kita melainkan kesanggupan kita. Maka, dari ayat ini juga mengajar kita supaya jangan kita bebankan orang lain terutama sekali orang bawahan kita. Dan jangan kita marah kepada pekerja kita yang tidak mampu menjalankan tugas yang terlalu berat yang kita berikan kepada mereka. Sebagai contoh, mungkin kita suruh despatch kita hantar surat ke sepuluh tempat. Tapi kerana banyak sangat tempat yang perlu dihantar, dia hanya sempat hantar tujuh sahaja. Janganlah pula kita marah dia kerana kita pun telah berikan tugas yang memang dia tidak mampu hendak sempurnakan.

 

وَإِذَا قُلْتُمْ فَاعْدِلُوا

Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil,

Setiap kali kita membuka mulut kita untuk berkata-kata, sama ada dalam memberi hukum ataupun memberi nasihat ataupun apa sahaja, hendaklah kita berlaku adil. Maknanya kita hendaklah berlaku adil bukan sahaja di dalam perbuatan kita tetapi di dalam percakapan kita juga.

Ini bermaksud kita tidaklah boleh pilih kasih antara manusia. Kadang-kadang dengan orang yang kita suka, kita akan bercakap baik dengan mereka tetapi malangnya dengan orang yang kita benci, kita pandang rendah, kita bercakap huduh dengan mereka. Ini tidak bertepatan dengan apa yang Allah kehendaki.

Begitu juga, kadang-kadang berkenaan orang yang kita rapat, kita puji mereka di hadapan orang lain. Tetapi tidak pula kita lakukan perkara yang sama dengan orang yang tidak rapat dengan kita. Ini bermaksud kita telah pilih kasih, tidak berlaku adil dan ini adalah salah.

Selalunya kita dengan pekerja pun pilih kasih. Ada yang kita layan dengan baik dan bercakap dengan mereka dengan baik, tapi ada yang sebaliknya. Maka, ingatlah tentang suruhan Allah dalam ayat ini.

 

وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَىٰ

walaupun ia adalah kerabat(mu),

Lihatlah juga Nisa:135

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ

Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu.

Kita kena berlaku adil dengan semua orang. Jangan pilih kasih. Jangan kerana orang yang buat salah itu dari keluarga kita, dari kawan rapat kita, kita biarkan mereka lepas. Kadang-kadang dengan orang yang baik dengan kita, kita tidak tegur mereka.

Ini terutama sekali berlaku dalam negara kita yang kuat berpolitik. Selalunya, kalau ahli dalam parti kita, kita biarkan mereka buat salah pun tidak mengapa, tapi kalau parti lawan yang buat salah, kita kecam dan kita kutuk mereka tanpa henti. Sampaikan dalam hal agama pun boleh dibiarkan. Sebagai contoh, kalau ada orang dalam parti sendiri, sampai buat syirik pun ada pemimpin yang tak tegur, kerana takut hilang sokongan. Sampaikan ada ahli yang dah masuk Syiah pun, senyapkan sahaja. Ini adalah satu kesalahan yang berat.

Lihat juga Maidah:8

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

وَبِعَهْدِ اللَّهِ أَوْفُوا

dan penuhilah janji dengan Allah.

Apakah sebenarnya janji kita kepada Allah? Itulah janji kita di dalam dua kalimah Syahadah yang setiap hari kita lafazkan. Kita telah berjanji untuk hanya sembah, puja, buat ibadat, berdoa dan  berharap hanya kepada Allah sahaja. Kita juga telah berjanji untuk taat kepada Allah. Dan kita juga telah berjanji di dalam Syahadah itu untuk mengikut ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Kita semua telah berjanji kepada Allah tapi kita selalu terlupa dengan kita itu.

Tetapi malangnya, oleh kerana ramai tidak faham syahadah yang mereka lafazkan itu, ramai orang Islam pada hari ini yang telah berdoa, berharap, dan menghambakan diri kepada selain daripada Allah.

Mereka juga mengambil ajaran-ajaran dan amalan-amalan selain daripada apa yang diajar oleh Nabi Muhammad. Mereka ambil ajaran dan amalan dari manusia, dari kitab-kitab karangan manusia, dari guru-guru mereka, dari ustaz-ustaz mereka. Mereka telah memungkiri janji yang mereka buat dengan Allah, tanpa mereka sedari.

Oleh itu, fahami lah janji yang selalu kita sebutkan setiap hari itu. Dan kembalilah memenuhi janji itu.

 

ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ

Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu

Itulah kewajipan-kewajipan yang Allah berikan kepada kita. Mari kita senaraikan balik apakah wasiat dari Allah itu:

1. Beribadah hanya kepada Allah.
2. Berbuat baik dengan IbuBapa
3. Jangan bunuh anak
4. Jangan dekati dosa keji
5. Jangan bunuh orang
6. Jangan dekati harta anak yatim
7. Penuhi sukatan dalam timbangan
8. Berlaku adil dalam percakapan
9. Penuhi janji dengan Allah

Sepatutnya terdapat sepuluh wasiat dari Allah. Tapi setakat ini, kita hanya mendapat sebanyak sembilan sahaja. Yang ke sepuluh akan disebut dalam ayat seterusnya.

 

لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

agar kamu ingat.

Allah ingatkan balik janji-janji itu kepada kita. Dan kalau kita amalkan selalu membaca Quran, maka kita akan bertemu dengan peringatan-peringatan ini banyak terdapat dalam Quran.

 


 

Ayat 153:

6:153
Sahih International

And, [moreover], this is My path, which is straight, so follow it; and do not follow [other] ways, for you will be separated from His way. This has He instructed you that you may become righteous.

Malay

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا

dan bahwa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalan-Ku yang lurus,

Inilah maksud tafsir daripada ayat ihdina shiratal mustaqim. Setiap hari kita minta kepada Allah untuk tunjukkan kepada kita jalan yang lurus. Dan dalam ayat ini, terdapat penjelasan apakah jalan yang lurus itu.

 

فَاتَّبِعُوهُ

maka ikutilah dia,

Inilah wasiat ke sepuluh dari Allah. Iaitu, hendaklah kita mengikuti jalan yang lurus itu. Pertama, kita kena tahu apakah jalan yang lurus itu dan selepas kita tahu, maka hendaklah kita mengikutinya. Inilah jalan yang membawa kita ke syurga.

 

وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ

dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain),

Selain dari jalan Islam yang sebenar, ada banyak lagi jalan-jalan lain yang tidak betul. Nabi Muhammad telah memberitahu kepada kita bahawa terdapat 72 lagi jalan yang tidak membawa terus ke syurga, maka hendaklah kita tinggalkan jalan-jalan itu.

Jalan yang lurus hanya ada satu. Di tepi jalan itu, ada banyak lagi jalan-jalan lain yang diduduki oleh Syaitan yang akan mengajak kita untuk keluar dari jalan yang lurus itu. Maka, hendaklah kita tetap di atas jalan yang lurus dan tinggalkan jalan yang lain.

Jadi, apakah jalan yang lurus? Itulah jalan sunnah: mengikut Quran dan hadis. Ayat ini menekankan kepada kita kewajipan untuk mengikut jalan yang Nabi bawa. Bukan jalan ulama-ulama bagaimana besar dan terkenalnya mereka dan bukan jalan ustaz-ustaz dan bukan juga idealogi-idealogi baru yang dibawa oleh manusia. Kalau ulama dan ustaz itu mengajar kita berdasarkan Quran dan hadis, maka boleh lah kita ikuti mereka. Tapi kalau ajarannya bukan mengikut Quran sunnah, maka tinggalkan mereka.

 

فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ

kerana jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalan-Nya.

Jalan-jalan selain daripada satu jalan yang lurus itu akan membawa kita ke neraka.
Sekarang ini entah berapa banyak perpecahan kita. Bayangkan berapa banyak jalan-jalan silat, jalan-jalan tarekat yang berlainan jenis dan sebagainya. Berhati-hatilah dengan berbagai-bagai fahaman itu dan jika tidak selaras dengan Quran dan hadis Nabi, maka semua jalan itu akan membawa ke neraka.

Kita selalu mengeluh, terdapat banyak perpecahan umat Islam zaman ini. Tapi jarang kita dengar orang yang mencari jalan penyelesaian kepada perpecahan itu. Perpecahan itu terjadi kerana berbezanya pendapat dari satu puak ke puak yang lain. Ini adalah kerana sumber ambilan hukum mereka yang berlainan. Tapi, kalau kita semua kembali kepada ajaran Quran dan sunnah, maka semua kita akan bersatu padu kerana sumber hukum yang sama akan menyebabkan pertalian yang kuat antara kita. Kerana Quran itu sama sahaja di tangan kita semua. Dan hadis-hadis yang sahih telah pun dibukukan untuk memudahkan kita merujuk hadis-hadis itu. Maka, semua akan ada sumber ambilan hukum yang sama.

 

ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ

Yang demikian itu diperintahkan Allah

Apa yang diperintahkan Allah, kenalah kita ikut. Tak boleh nak tolak satu pun.

 

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

agar kamu bertakwa.

Supaya kita takut kepada Allah dan kita menjaga hukum seperti yang diberikan oleh Allah kepada kita. Taqwa juga bermaksud kita sentiasa peka dengan Allah yang sentiasa mengawasi gerak geri kita sampaikan kita tidak berani hendak melakukan sesuatu yang dimurkaiNya.

Allahu a’lam.

Lompat ke ayat yang seterusnya


 

Ref: UR, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s