Tafsir Surah al-An’am Ayat 145-146

Ayat 145:

6:145
Sahih International

Say, “I do not find within that which was revealed to me [anything] forbidden to one who would eat it unless it be a dead animal or blood spilled out, or the flesh of swine – for indeed, it is impure – or it be [that slaughtered in] disobedience, dedicated to other than Allah. But whoever is forced [by necessity], neither desiring [it] nor transgressing [its limit], then indeed, your Lord is Forgiving and Merciful.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah”. Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana terpaksa) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ

Katakanlah: “Tiadalah aku dapati dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku,

Ayat ini hendak memberitahu kepada kita bahawa hanya ada beberapa perkara sahaja yang diharamkan untuk kita dalam pengharaman binatang ternak. Dan yang selain dari itu semuanya dibenarkan. Ayat ini hendaklah diselarikan dengan hadis Nabi juga. Kerana kalau salah faham, nanti ada yang ingat hanya yang disebut dalam ayat ini sahaja yang haram.

Kita kena baca ayat ini dengan konteks surah ini. Ayat ini dikeluarkan selepas disebut tentang bangsa Arab yang mengharamkan memakan ‘binatang ternak’ yang tertentu. Oleh itu, ayat ini berkenaan ‘binatang ternak’. Akan disebutkan nanti pengharaman yang berkenaan binatang ternak. Jadi, konteks ayat ini adalah tentang binatang ternak.

Oleh kerana itu, jangan kita kata yang disebut dalam ayat ini sahaja yang diharamkan. Ada lagi hadis Nabi yang mengharamkan memakan benda-benda lain. Sebagai contoh, ada hadis Nabi yang mengharamkan memakan binatang yang ada taring. Maka, kita kena ambil kira hadis. Itulah sebabnya Quran perlu dibaca dengan hadis. Kerana Quran menyebut hukum dengan umum sahaja. Penjelasan diberikan dalam Hadis Nabi. Sebagai contoh, Quran menyebut arahan untuk solat, tapi bagaimana melakukan ibadat solat itu, perlu dirujuk kepada hadis.

أُوحِيَ bermaksud ‘yang diwahyukan kepadaku’ – yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad. Kita kena ingat bahawa yang diwahyukan kepada Nabi bukan sahaja Quran. Hadis yang sampai kepada kita dalam bentuk hukum juga adalah wahyu dari Allah juga. Tapi disampaikan dalam lafaz Nabi. Ini penting untuk kita tahu dalam konteks ayat ini kerana ada pengharaman yang ada disebut dalam Quran dan ada juga yang diharamkan dari hadis Nabi. Bukanlah Nabi bercakap dari dirinya sendiri tapi Allah juga yang memberitahu Nabi. Ramai yang menolak hadis, kerana mereka tidak faham. Bacalah apa yang Allah sebut dalam Najm:3-4 –

وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ

dan tiadalah yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsunya.

إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ

Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).

Dalam ayat ini, menunjukkan kepada kita bahawa perkataan dari hadis Nabi tentang agama adalah datang dari wahyu yang diberikan kepada Nabi Muhammad juga.

Ayat ini mengajar kepada kita, bahawa dalam pengharaman, ianya mestilah berdasarkan kepada wahyu. Nabi pun ikut wahyu juga. Kita pun kenalah ikut

 

مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ

sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya,

‘Memakan’ dalam ayat ini termasuk minum sekali. Ianya kalau dari binatang ternak itu, bermaksud susu dari binatang-binatang itu.

Ayat ini juga mengajar kita yang hukum asal makanan adalah halal, kecuali kalau ada dalil yang mengharamkannya. Jadi, kalau ada makanan yang ditanya kepada kita samada boleh makan atau tidak, maka kita periksa samada ada pengharaman atau tidak. Kalau tidak ada pengharaman, maka ianya boleh dimakan. Selagi ianya baik, tidak memudharatkan kesihatan, maka ia boleh dimakan.

 

إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً

kecuali kalau makanan itu bangkai,

Iaitu binatang yang mati sendiri. Seperti kena langgar, mati kerana sakit dan sebagainya. Atau yang kita terjumpa di tengah jalan, dah siap mati dah. Ianya haram untuk dimakan. Sepatutnya kita pun tak lalu nak makan.

 

أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا

atau darah yang mengalir

Hanya darah ‘yang mengalir’ sahaja yang diharamkan. Tapi darah yang melekat dengan daging, tidaklah haram. Iaitu ada darah yang melekat dengan daging. Kadang-kadang kalau kita makan ayam contohnya, kita perasan ada darah lagi pada daging itu. Darah itu tidak ada masalah.

Apabila ada darah pada daging, hanya lalukan air sahaja dan tidak perlu basuh habis langsung darah itu. Ada yang teruk sangat, sampaikan daging itu jadi putih tanpa darah. Itu tidak perlu sampai begitu. Kerana Allah kata darah yang mengalir sahaja yang tidak boleh.

Oleh itu, kita tidak boleh memakan darah yang mengalir. Iaitu kalau kita sembelih binatang, akan ada darah yang memancut keluar. Darah itu banyak. Kenapa disebut darah mengalir dalam ayat ini? Kerana, dalam agama lain seperti Kristian, mereka suka makan darah di mana mereka akan membekukan darah itu dan mereka memakannya. Contohnya, mereka ada satu makanan yang dinamakan ‘Blood Sausage’. Begitu juga ada bangsa yang suka meminum darah seperti bangsa asli di Afrika contohnya. Kita orang Islam tidak boleh buat begitu. Kalau orang Arab, mereka menggunakan darah binatang itu sebagai kuah untuk makanan mereka. Islam melarang mereka melakukan begitu lagi.

Blood sausage atau blood pudding

 

أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ

atau daging babi

Jadi dalam ayat ini jelas mengatakan yang kita tidak boleh makan daging babi seperti yang semua kita sudah tahu. Tetapi tidaklah dalam ayat ini mengharamkan kita menggunakan bahan lain daripada babi itu seperti kulitnya dan juga bulunya. Selalu bulunya digunakan untuk menjadi berus kerana ianya adalah sejenis bulu yang berkualiti. Jadi, kalau kita pakai kasut kulit babi, tidak ada masalah, sebab yang diharamkan adalah memakan ‘daging babi’.

Tidak ada dalil yang sah mengatakan yang kulit babi apabila kita pegang atau tersentuh, perlu disamak atau disertu. Yang jelas dalam dalil yang sah adalah kalau air liur anjing terkena bekas makanan kita. Bekas itu yang perlu disertu dengan air tanah. Yang memberi pendapat bahawa apabila tersentuh kulit babi dan perlu disamak dengan air tanah itu datangnya daripada pendapat Imam Nawawi. Walaupun begitu, kita perlu menerima pendapat itu sebagai pendapatnya sahaja kerana tidak ada dalil yang sah dari Quran ataupun dari hadis Nabi. Kalau ada pengharaman menyentuh babi, tentu sudah ada larangan tersebut, sedangkan babi sudah ada pada zaman Nabi.

Ini mengajar kita bahawa dalam apa-apa perkara untuk mengharamkan sesuatu, memerlukan dalil yang sah. Jadi kalau ada yang kata kalau tersentuh kulit babi ataupun bulu babi, kita perlu sertu, maka mereka perlu membawakan dalil. Kerana dalam agama ini perlu ada dalil.

Timbul banyak persoalan di antara masyarakat kenapakah kita tidak boleh memakan daging babi. Berbagai-bagai teori dikeluarkan. Ada yang mengatakan kerana ada ulat di dalam daging babi yang tidak mati walaupun daging itu dimasak. Ada pula yang mengatakan kerana babi ini adalah jenis binatang yang makan tahi. Ada pula yang mengatakan kerana babi ini mempunyai perangai yang buruk iaitu dia suka menyondol babi-babi yang lain.

Itu semua adalah teori-teori dan andaian-andaian sahaja. Kita sebenarnya tidak akan tahu kenapa daging babi diharamkan kita memakannya dengan tepat. Ini adalah kerana tidak diberitahu dengan jelas kepada kita sebab-sebabnya. Berhentilah kita dari membuat andaian-andaian begitu. Kerana kalau kita kata ianya tidak baik untuk kesihatan, lalu bagaimana dengan bangsa-bangsa lain yang selalu memakan daging babi itu tanpa masalah apa-apa? Mereka hidup sihat sahaja walaupun mereka dari kecil sampai ke-tua, memakan daging babi.

Dan mereka yang mengatakan yang daging babi itu diharamkan kerana ada ulat yang tidak boleh dibunuh, tanyakan kepada mereka, jikalau di masa hadapan nanti ada cara untuk membunuh ulat-ulat itu, lalu adakah waktu itu daging babi sudah halal dimakan? Tentu tidak boleh sama sekali kerana hukum pengharaman ini tetap berdiri sampai ke hari kiamat. Oleh itu kita tidak boleh kata Allah haramkan kerana ulat itu atau sebab-sebab lain. Yang pasti, ianya telah diharamkan oleh Allah.

Maka, kalau kita ditanya kenapa daging babi diharamkan, jawapan yang tepat adalah: kerana Allah haramkan kepada kita memakannya. Kerana ini adalah arahan dari Allah. Tidak cukupkah dengan jawapan itu? Kita tidak memakan daging babi kerana ianya haram kepada kita walaupun daging babi itu sedap sekali. Allah uji kepada kita. Dan kita tidak makan kerana kita taat kepada suruhan dan larangan Allah.

Begitulah kebanyakan daripada arahan Allah kepada kita dalam hal-hal ibadat. Kita tidak tahu dengan tepat apakah hikmat arahan Allah itu. Tentunya ada hikmat dan kelebihan amalan itu tapi kita tidak tahu dengan pasti. Sebagai contoh, bolehkah kita jelaskan kenapa kita disuruh tawaf keliling Ka’bah tujuh kali? Begitu juga dengan perbuatan sa’ie yang dilakukan oleh kita?

Ada yang kata kita sa’ie karana ikut perbuatan Siti Hajar semasa beliau dengan Nabi Ismail mencari air. Sebenarnya kita buat kerana kita ikut arahan Allah. Bukan sebab tiru Siti Hajar. Kerana kalau nak ikut betul-betul, maka kita kena gendong anak sama semasa bersa’ie kerana waktu itu Siti Hajar sedang mengendong anaknya Nabi Ismail. Begitu juga dengan baling Jamrah semasa haji. Ada yang kata itu sebab nak baling kepada syaitan. Bukan sebab nak baling syaitan. Kalau kita baling syaitan, takkan syaitan nak duduk di situ lagi, tentu dah lari dah. Yang sebenarnya, ianya adalah arahan dari Allah, maka kita ikut. Kerana kita taat kepada Allah.

 

فَإِنَّهُ رِجْسٌ

karena sesungguhnya semua itu kotor

رِجْسٌ bermaksud kotor dari segi intelek dan syariat. Akal yang sihat pun akan menolaknya.

Tiga perkara yang disebut sebelum ini adalah kotor – iaitu bangkai, darah yang mengalir dan daging babi. Sebagai contoh, kalau pun kita tengok bangkai pun kita dah tak suka. Takkan kita sanggup nak makan bangkai, bukan?

Ini juga memberitahu kepada kita bahawa benda-benda kotor tidak boleh dimakan. Janganlah kita sangka hanya tiga benda yang disebut dalam ayat ini sahaja yang haram dimakan. Benda-benda lain yang kotor juga tidak boleh dimakan. Sebagai contoh, ular, tikus, kumbang, dan lain-lain. Memang ada kaum yang makan benda-benda sebegitu. Macam bangsa Cina, mereka suka makan ular. Mereka kata ianya ada kebaikan untuk kesihatan pula. Lalu bagaimana dengan ayat ini?

Itulah sebabnya kita kena lihat kepada bangsa Arab. Mereka perlu dijadikan sebagai kayu ukur. Kita kena lihat apakah yang dipandang kotor atau tidak elok oleh mereka. Kalau tidak, semua benda boleh dimakan. Sebagai contoh, ular yang kita sebut tadi. Ada sahaja bangsa yang tidak memandangnya sebagai kotor. Begitu juga dengan burung gagak. Kalau kita guna hujah dengan kata ada bangsa yang tidak memandang jijik binatang-binatang itu, maka semua binatang boleh dimakanlah jawapnya.

Lihatlah kepada satu hadis Nabi:

“Lima jenis hewan yang harus dibunuh, baik di tanah haram maupun di tanah biasa, yaitu : ular, kalajengking, tikus, anjing buas dan burung rajawali” (HR. Abu Daud) dalam riwayat lain disebutkan juga burung gagak.

Dalam hadis lain riwayat Ummu Syarik ra.:

Bahwa Nabi saw. menyuruhnya untuk membunuh cicak. Dan dalam hadis Ibnu Abu Syaibah: Dia menyuruh. (Shahih MuslimNo.4152)

Dari hadis-hadis di atas, menunjukkan bahawa haiwan-haiwan itu tidak elok, dipandang jijik, maka tentulah juga tidak boleh dimakan. Jadi bangsa Arab menjadi kayu ukur kepada kita.

 

أَوْ فِسْقًا

atau berdosa

Memakannya adalah berdosa – perbuatan fasiq. Kerana Allah telah mengharamkannya.

 

أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah.

Satu lagi adalah binatang ternak yang semasa disembelih, nama selain Allah yang disebut. Atau, jika tiada disebut nama apa-apa pun. Pakai sembelih begitu sahaja. Itu pun tidak boleh.

Tapi, kita tidaklah disuruh untuk periksa samada dibaca atau tidak nama Allah. Tapi, kalau kita tahu yang memang disebut nama selain Allah, atau tidak dibacakan nama Allah, kita tidak boleh makan daging sembelihan itu. Kalau yang menyembelihnya itu adalah orang Islam, atau ahli Kitab, kita dah boleh makan tanpa periksa lagi.

 

فَمَنِ اضْطُرَّ

Barangsiapa yang dalam keadaan terpaksa,

Kadang-kadang mungkin kita terpaksa makan benda-benda yang diharamkan itu. Terpaksa kerana keadaan memaksa. Mungkin kita masuk hutan, kemudian tersesat, tidak ada makanan dan yang ada hanyalah babi hutan sahaja. Kalau tak makan, dia boleh mati.

Ataupun kita dipaksa makan oleh seseorang. Dan kalau kita tak makan, dia nak bunuh kita. Waktu itu, sudah jadi wajib kita makan kerana menjaga nyawa kita.

 

غَيْرَ بَاغٍ

sedang dia tidak menginginkannya

Ada dua syarat yang perlu dipenuhi kalau seseorang itu terpaksa memakan makanan yang haram dalam keadaan terdesak. Mulanya, ianya mestilah dalam keadaan terdesak dan terpaksa – kalau tak makan, boleh mati. Dan walaupun dalam keadaan terdesak, ada dua syarat pula.

Pertama, dia tidak ada keinginan untuk memakannya. Bukanlah dia makan kerana nak makan. Bukanlah juga dia hendak melawan hukum Allah. Kerana ada orang yang teringin sangat nak makan benda yang haram. Dia selalu tengok orang makan babi macam sedap sahaja, maka dia teringin nak rasa walaupun dia tahu yang ianya haram.

 

وَلَا عَادٍ

dan tidak (pula) melampaui batas,

Perkataan عَادٍ dari ع د و yang bermaksud ‘melampau’.

Bermaksud tidaklah dia makan dengan banyak. Memang dibenarkan memakan benda yang haram itu apabila mereka terpaksa memakannya di dalam keadaan terdesak, tapi jangan makan lebih-lebih. Bukanlah makan sampai kenyang. Cukup untuk alas perut supaya tidak mati. Sebagai contoh, semasa makan babi itu, tidaklah dia makan lebih kerana daging babi itu sedap. Dan memang kalau ditanya kepada mereka yang pernah makan daging babi, mereka akan kata yang daging babi itu sedap. Lebih sedap dari daging-daging yang kita biasa makan.

Jangan gunakan peluang dalam keadaan terdesak untuk makan dengan banyak.

 

فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Allah mengampun mereka yang terpaksa memakan makanan yang haram. Kerana Allah sayang kepada hambaNya. Allah tidak mahu hambaNya kesusahan.


 

Ayat 146: Kita dilarang dari membantah wahyu-wahyu Allah. Jangan jadi seperti orang Yahdi yang telah berbuat begitu. Atas kesalahan mereka itu, mereka telah didenda.

6:146
Sahih International

And to those who are Jews, We prohibited every animal of uncloven hoof; and of the cattle and the sheep We prohibited to them their fat, except what adheres to their backs or the entrails or what is joined with bone. [By] that We repaid them for their injustice. And indeed, We are truthful.

Malay

Dan Kami haramkan atas orang-orang Yahudi segala binatang yang berkuku, dan dari lembu dan kambing pula Kami haramkan kepada mereka lemaknya, kecuali (lemak) yang ada pada belakangnya atau yang menyelaputi perkakas dalam perutnya, atau yang bercampur dengan tulang. Demikianlah Kami balas mereka dengan sebab kederhakaan mereka; dan sesungguhnya Kamilah yang benar.

وَعَلَى الَّذِينَ هَادُوا

Dan kepada orang-orang Yahudi,

Ini adalah hukum tentang makanan yang telah diberikan kepada orang Yahudi. Asalnya, semua makanan dihalalkan kepada mereka. Hanya kemudian baru diharamkan. Kerana kesalahan mereka sendiri. Seperti yang tersebut dalam Nisa:160

فَبِظُلْمٍ مِّنَ الَّذِينَ هَادُوا حَرَّمْنَا عَلَيْهِمْ طَيِّبَاتٍ أُحِلَّتْ لَهُمْ وَبِصَدِّهِمْ عَن سَبِيلِ اللَّهِ كَثِيرًا

Maka disebabkan kezaliman orang-orang Yahudi, kami haramkan atas (memakan makanan) yang baik-baik (yang dahulunya) dihalalkan bagi mereka, dan kerana mereka banyak menghalangi (manusia) dari jalan Allah.

 

حَرَّمْنَا كُلَّ ذِي ظُفُرٍ

Kami haramkan segala binatang yang berkuku

ظُفُرٍ bermaksud ‘kuku’. Kuku juga ada pada manusia. Tapi kepada binatang, kuku itu digunakan untuk kehidupan mereka. Kepada kita, kita kena potong kuku kita sebab tidak ada guna kuku itu untuk kita.

Kuku yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah kuku yang tidak terbelah. Iaitu kuku itu satu sahaja. Iaitu kuda, unta, arnab dan luak. Allah tidak mengharamkan kepada mereka, tapi mereka yang mengharamkan kepada diri mereka sendiri. Allah menghukum mereka dengan meneruskan pengharaman itu.

Kuku kuda yang tidak terbelah

 

Kuku unta yang tidak terbelah

 

Luak (Rock Badger)

 

وَمِنَ الْبَقَرِ وَالْغَنَمِ

dan dari sapi dan domba,

Ada pengharaman juga kepada sapi/lembu dan domba/biri-biri. Mereka boleh makan lembu dan biri-biri itu, tapi ada bahagian lembu dan biri-biri itu yang mereka tidak boleh makan.

الْغَنَمِ (domba)

 

 

حَرَّمْنَا عَلَيْهِمْ شُحُومَهُمَا

Kami haramkan atas mereka lemak dari kedua binatang itu,

Bukanlah tidak boleh makan daging kedua binatang yang disebut diatas itu. Kena baca dengan penuh. Iaitu, lemak-lemak dari binatang-binatang yang telah disebut itu yang diharamkan kepada mereka. Sebab itu kalau kita lihat mereka menyediakan makanan mereka, mereka akan buang lemak-lemak itu.

 

إِلَّا مَا حَمَلَتْ ظُهُورُهُمَا

selain lemak yang melekat di belakang keduanya

Lemak yang melekat di belakang kedua binatang itu, dibolehkan mereka makan. Iaitu lemak yang melekat di tulang belakang.

 

أَوِ الْحَوَايَا

atau yang di usus kecil

Atau lemak yang ada di usus.

 

أَوْ مَا اخْتَلَطَ بِعَظْمٍ

atau yang bercampur dengan tulang.

Lemak-lemak yang dibenarkan yang telah disebut dalam ayat ini dibenarkan kerana susah nak bersihkan. Jadi, dibenarkan kepada mereka. Lemak yang selain dari itu, tidak boleh.

 

ذَٰلِكَ جَزَيْنَاهُم بِبَغْيِهِمْ

Demikianlah Kami hukum mereka disebabkan kedurhakaan mereka;

Kalau kita mengharamkan sesuatu yang halal kepada diri kita, bermakna kita menyatakan bahawa kita adalah orang berdosa. Oleh itu, orang Arab yang mengharamkan sesetengah makanan kepada diri mereka itu, sebenarnya seperti mereka mengatakan yang mereka orang yang bersalah pula. Kerana kita boleh lihat bagaimana pengharaman diberikan kepada mereka yang bersalah seperti yang telah dikenakan kepada bangsa Yahudi. Tentulah kita sepatutnya tidak suka meniru mereka yang tidak baik. Sebagai contoh, takkan kita suka berpakaian seperti orang gay, kerana itu memalukan diri kita sendiri. Bodoh betul diri kita kalau suka nak ikut mereka yang buruk perangai.

Apakah kesalahan bangsa Yahudi sampai mereka telah diberikan dengan pengharaman itu? Makanan yang diharamkan kepada mereka itu adalah binatang yang biasa waktu itu. Ianya menyebabkan mereka kehilangan sumber makanan yang besar. Maka, ini adalah satu pengharaman yang menyusahkan mereka. Mereka diberikan dengan hukum itu kerana mereka telah mengubah-ngubah agama ikut nafsu mereka. Mereka juga telah mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Yang buat begitu adalah pendita-pendita mereka dan diikut oleh penganut mereka. Itu adalah dosa yang besar.

Antaranya yang mereka haramkan ke atas diri mereka adalah memakan unta. Pada asalnya, ia tidak haram kepada diri mereka, tapi mereka yang memandai haramkan. Mereka haramkan kepada diri mereka kerana pernah Nabi Yaakob tidak boleh makan daging unta kerana suatu penyakit. Tetapi kerana sebab Nabi Yaakob itu, mereka mengharamkan kepada diri mereka pula. Padahal, yang tak boleh makan adalah Nabi Yaakob sahaja sebab dia ada penyakit tak boleh makan unta. Kenapa pula mereka yang ikut?

 

وَإِنَّا لَصَادِقُونَ

dan sesungguhnya Kami adalah Maha Benar.

Allah memberitahu bahawa apa yang diberitahu ini adalah satu kebenaran. Kerana ianya datang dari Allah sendiri. Apa yang Allah beritahu adalah benar.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya


 

Ref: UR, NAK, TZ

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s