Tafsir Surah al-An’am Ayat 140-142

Ayat 140: Hasil daripada hasutan syaitan, mulanya tentang pantang makanan sahaja. Tapi lama kelamaan, syaitan sampai menyuruh mereka membunuh anak-anak mereka. Itulah bahayanya kalau sentiasa mengikut bisikan syaitan. Mereka akan merosakkan agama kita sedikit demi sedikit. Mulanya nampak macam tidak ada apa yang kita buat. Tapi lama kelamaan, apabila kita dah selalu sangat ikut kata syaitan, maka kita akan terus ikut tanpa soal segala arahan dan pujukan mereka, walau apa pun yang mereka suruh kita buat. Apabila kita dah selalu sangat ikut kata syaitan, syaitan itu akan menguasai kita.

 

6:140
Sahih International

Those will have lost who killed their children in foolishness without knowledge and prohibited what Allah had provided for them, inventing untruth about Allah . They have gone astray and were not [rightly] guided.

Malay

Sesungguhnya rugilah orang-orang yang membunuh anak-anak mereka kerana kebodohan, lagi tidak berpengetahuan (sedang Allah yang memberi rezeki kepada sekalian makhluknya), dan juga (rugilah orang-orang yang) mengharamkan apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka, dengan berdusta terhadap Allah. Sesungguhnya sesatlah mereka, dan tiadalah mereka mendapat petunjuk.

قَدْ خَسِرَ الَّذِينَ قَتَلُوا أَوْلَادَهُمْ

Sesungguhnya rugilah orang yang membunuh anak-anak mereka,

Bukan semua daripada puak bangsa Arab yang membunuh anak-anak mereka. Dikatakan bahawa hanya beberapa puak sahaja yang berbuat begitu. Termasuk yang dikatakan mengamalkan pembunuhan anak-anak adalah puak Rabi’ dan Mudhar.

Amat bodoh sekali mereka kerana mereka merugikan diri mereka. Mereka rugi di dunia kerana mereka kekurangan anak – anak boleh membantu kerja-kerja dan sebagai penenang hati dan sebagainya; dan mereka akan rugi di akhirat kelak kerana mereka akan dihukum dengan amat teruk sekali.

 

سَفَهًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

karena kebodohan lagi tidak mengetahui

Semua yang mereka lakukan itu adalah kerana kebodohan mereka. Ibn Abbas pernah berkata, jikalau kamu hendak tahu betapa bodohnya mereka di zaman Jahiliah, maka bacalah perbuatan-perbuatan mereka di dalam surah al-An’am ini bermula daripada ayat 136 dan seterusnya. Apabila membaca bagaimanakah perbuatan mereka, kita boleh nampak bagaimana bodohnya perkara-perkara yang mereka lakukan.

 

وَحَرَّمُوا مَا رَزَقَهُمُ اللَّهُ

dan mereka mengharamkan apa yang Allah telah rezeki-kan pada mereka

Allah telah memberi kita dan mereka dengan berbagai-bagai rezeki, antaranya termasuklah makanan dan juga anak-anak. Tetapi mereka telah mengharamkan makanan yang boleh dimakan dan mereka juga telah membunuh anak-anak mereka. Itulah sebabnya mereka dikatakan amat rugi. Mereka rugi di dunia kerana tidak dapat menikmati rezeki itu dan mereka akan rugi di akhirat kerana mereka akan dibalas di atas perbuatan mereka mereka-reka hukum yang baru.

 

افْتِرَاءً عَلَى اللَّهِ

dengan semata-mata mengada-adakan perbohongan terhadap Allah.

Perbuatan mereka itu adalah mengadakan dusta terhadap Allah. Allah tak pernah haramkan makanan yang mereka haramkan tapi mereka yang memandai haramkan. Samalah juga dengan mereka yang mencipta ibadah-ibadah bidaah dalam agama. Mereka yang reka amalan, kemudian mereka kata amalan itu Allah suka. Mereka sangka mereka buat perkara yang baik dan akan mendapat pahala, tapi rupanya nanti mereka akan dihukum kerana dosa mengamalkan benda baru yang Allah tak ajar pun.

Sebagai contoh, ada ulama yang reka zikir baru, dan mereka ‘beri’ pahala kepada amalan zikir itu. Mereka kata kalau mengamalkan zikir itu, pahalanya sebanyak langit dan bumi.

Sebagai contoh, amalan tarekat Ahmadiyah adalah:

لاَاِلَهَ اِلاّ اللهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللهِ فِي كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا وَسِعَهُ عِلْمُ اللهِ
Ertinya:- Bahawasanya tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah pada setiap kerlipan mata dan nafas sebanyak bilangan ilmu Allah.

Ini adalah satu amalan rekaan yang timbul lama selepas Nabi wafat. Mereka yang mengamal amalan ini mengatakan sekali baca zikir ini, pahalanya sebanyak langit dan bumi. Tentu tidak ada dalil kerana zikir ini tidak pernah ada pada zaman Nabi. Dan ketahuilah zikir ini adalah zikir yang kufur kerana ianya berzikir kepada Allah dan dalam masa berzikir kepada Nabi Muhammad juga. Kita tidak boleh berzikir kepada selain Allah. Tapi, apabila zikir ini diulang-ulang, ianya telah menjadi satu zikir.

 

قَدْ ضَلُّوا

Sesungguhnya mereka telah sesat

Mereka sangka mereka terpimpin, tapi sebenarnya tidak. Mereka ingat apa yang diberitahu oleh pemimpin-pemimpin mereka itu, mestilah benar. Pemuka-pemuka Quraish lah yang mengatakan bahawa makanan ini boleh dimakan atau tidak, sembelihan ini boleh dimakan atau tidak. Mereka ikut sahaja.

Begitulah juga dengan kebanyakan dari masyarakat kita. Apabila sesuatu hukum itu diberitahu oleh ustaz mereka, mereka terus terima walaupun ustaz mereka itu tidak beri dalil pun. Mereka ingat mereka terpimpin dengan buat amalan itu tapi sebenarnya tidak. Amalan itu adalah amalan yang sesat. Kita kena tahu bahawa amalan bidaah adalah amalan yang sesat. Kerana inilah hadis yang Nabi telah beritahu kepada kita. Dan setiap yang sesat itu masuk neraka.

 

وَمَا كَانُوا مُهْتَدِينَ

dan tidaklah mereka mendapat petunjuk.

Petunjuk dalam dunia ini adalah dari Quran dan Hadis sahih. Semua Muslim sepatutnya tahu dan menjadikan dua sumber itu sebagai rujukan yang utama. Tapi malangnya, mereka masih lagi menerima pendapat dari manusia – dari ulama, ustaz, tok nenek keturunan mereka dan sebagainya.

Mereka amat jahil dengan nas yang sah. Apabila mereka bercakap, kita tahu yang mereka langsung tidak tahu dalil dari Quran dan sunnah. Tapi nada bahasa yang digunakan oleh mereka, macamlah mereka itu pandai sangat. Padahal, hujah mereka adalah hujah akal sahaja. Ini amat menyedihkan.


 

Ayat 141: Dalam ayat ini Allah menceritakan kepada kita nikmat-nikmat yang telah diberikanNya kepada kita. Dengan kita mengetahui segala nikmat-nikmat, itu maka kita lebih mengenali Allah dan lebih menghargai Allah. Dalam masa yang sama, Allah menceritakan tentang alam ini kepada kita. Dunia ini telah dijadikan dengan berbagai-bagai keindahan yang perlu kita amati dan kita perlu hargai kerana ianya telah diberikan kepada kita oleh Allah.

Dalam ayat ini Allah ceritakan tentang tumbuh-tumbuhan yang telah Allah ciptakan untuk kita.

6:141
Sahih International

And He it is who causes gardens to grow, [both] trellised and untrellised, and palm trees and crops of different [kinds of] food and olives and pomegranates, similar and dissimilar. Eat of [each of] its fruit when it yields and give its due [zakah] on the day of its harvest. And be not excessive. Indeed, He does not like those who commit excess.

Malay

Dan Dia lah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya; dan buah zaiton dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya; dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau.

وَهُوَ الَّذِي أَنشَأَ جَنَّاتٍ مَّعْرُوشَاتٍ

Dan Dialah yang menaikkan kebun-kebun yang berjunjung

Perkataan أَنشَأَ bermaksud mencipta sesuatu dan menyebabkan ia tumbuh dan hidup. Allah mengingatkan kita dalam ayat ini bahawa Dia lah yang telah menjadikan kebun-kebun dan menyebabkan kebun-kebun itu hidup subur dan berkembang biak. Kita sangka kita yang tanam pokok tu, tapi Allah beritahu yang Dia yang jadikan kebun-kebun itu. Kerana segalanya dari Allah. Tanah dari Allah, benih dari Allah dan cara tanam pun Allah yang ajarkan.

Maka, Allah lah yang menumbuhkan dan menyuburkan tanaman. Dan tanaman itu telah berkembang biak itu sedikit demi sedikit. Sebab kalau dengan tumbuhan, tidaklah kita tanam hari ini, esok dah jadi banyak. Ianya akan mengambil masa. Itu semua dalam perancangan Allah.

Perkataan جَنَّاتٍ adalah jamak kepada جَنَّة yang bermaksud ‘taman’. Syurga juga dipanggil جَنَّة dalam bahasa Arab. Perkataan جَنَّة bermaksud ‘tanaman yang lebat’. Iaitu apabila bumi dipenuhi dengan tanaman yang menghijau. Sampaikan susah nak nampak tanah apabila tanaman menghijau memenuhi kawasan itu.

Perkataan مَّعْرُوشَاتٍ dari عرش yang bermaksud ‘singgahsana’. Sifat singgahsana ialah ditinggikan daripada benda-benda lain yang di sekelilingnya. Oleh itu, مَّعْرُوشَاتٍ adalah tanaman jenis berpara seperti buah anggur, kacang panjang dan sebagainya. Kerana jenis-jenis tanaman seperti itu naik meninggi. Dan ia memerlukan para untuk ia memanjat kerana ia tidak cukup kuat kalau tidak ada para.

Ada juga pendapat yang mengatakan yang مَّعْرُوشَاتٍ bermaksud pokok yang ‘tinggi’ seperti pokok Tamar. Allahu a’lam.

 

وَغَيْرَ مَعْرُوشَاتٍ

dan yang tidak berjunjung,

Selain daripada pokok yang memerlukan junjung/para, terdapat juga pokok yang melata di tanah yang tidak berpara. Tanaman itu tidak boleh menggunakan junjung atau para kerana ianya berat seperti labu dan tembikai.

 

وَالنَّخْلَ وَالزَّرْعَ مُخْتَلِفًا أُكُلُهُ

pohon kurma, tanam-tanaman yang bermacam-macam jenis pengeluarannya

Buah-buahan dan biji-bijian yang dikeluarkan oleh tanaman itu berbagai bagai jenis dari segi warna, rasa, rupa dan sebagainya. Itulah satu dari maksud أُكُلُهُ – pengeluarannya, atau hasilnya. Begitu banyak sekali jenis-jenis tanaman, sampaikan kadang-kadang kita tidak tahu apakah jenis biji-bijian dan buah-buahan yang ada di supermarket apabila kita pergi membeli belah. Ada yang kita tahu, tapi ada juga yang kita macam tak pernah tengok pun. Kita pun tidak tahu di mana ianya ditanam, dari negeri manakah ia datang dan bagaimanakah cara untuk memakannya.

Cara tanam tanaman itu dimakan juga berbeza-beza. Ini adalah makna kedua dari perkataan أُكُلُهُ – cara pemakanannya. Ada yang kena kupas kulitnya dahulu sebelum dimakan dan ada yang boleh dimakan dengan kulit-kulitnya sekali. Ada yang dimakan terus dan ada yang kena masak dahulu baru boleh dimakan. Ada pula hasil tanaman yang boleh dibuat sup dan ada pula tumbuhan yang dimakan begitu sahaja. Ada juga yang perlu dihancurkan untuk dimakan dan ada juga yang dijadikan dalam bentuk roti. Berbagai-bagai cara memakannya. Begitulah Allah telah berikan pilihan kepada kita sebagai nikmat untuk kita. Maka, makanlah dengan apa cara yang sesuai. Janganlah pula kita haramkan memakan sesuatu tanaman yang Allah telah berikan sebagai rezeki untuk kita.

 

وَالزَّيْتُونَ وَالرُّمَّانَ مُتَشَابِهًا

zaitun dan delima yang serupa (bentuk dan warnanya)

Ada buah-buahan yang nampak sama sahaja jenisnya, tetapi tidak semestinya ianya sama dari sifatnya. Nampak sahaja sama.

 

وَغَيْرَ مُتَشَابِهٍ

dan tidak sama (rasanya).

Daun pokok zaitun dan delima itu hampir serupa, tetapi buahnya berlainan rasa. Ada banyak jenis lagi tanaman yang nampak ada persamaan tapi berbeza.

Ada buah yang memang sama jenis, tetapi ada yang warna berlainan dan ada yang rasa berlainan. Sebagai contoh, buah epal ada banyak jenis Allah keluarkan untuk kita.

Begitulah juga, Allah boleh jadikan dua biji dari buah yang sama tetapi tidak sama dari segi sifatnya. Mungkin ada persamaan dari segi saiz dan dari warna buah itu tetapi rasa tidak sama. Ada yang buah yang rasa manis tapi ada yang masam. Macam kalau kita makan durian, ada yang rasa lain dan ada yang rasa sama walaupun dari pokok yang sama pun.

 

كُلُوا مِن ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ

Makanlah dari buahnya (yang bermacam-macam itu) bila dia berbuah,

Allah mengajar kepada kita hukum untuk memakan buah-buahan dari tanam-tanaman yang Allah telah jadikan untuk kita. Secara dasarnya, semua buah-buahan dan semua biji-bijian boleh dimakan oleh kita. Kecuali jikalau buah-buahan ataupun biji-bijian itu tidak boleh dimakan kerana akan memberi kesan tidak baik kepada kita – sebagai contoh, kita boleh terkena racun dan sebagainya. Kalau dalam keadaan itu, ia telah menjadi haram untuk dimakan.

Ada juga yang asalnya halal, tapi boleh jadi haram kalau disalahgunakan. Sebagai contoh, buah anggur itu halal dimakan tetapi apabila ia dijadikan arak maka ia sudah menjadi haram. Begitu juga barli boleh dimakan tetapi kalau diproses menjadi tuak kita tidak boleh minum kerana akan memabukkan.

 

وَآتُوا حَقَّهُ يَوْمَ حَصَادِهِ

dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya;

Iaitu, berilah zakat bila telah sampai masa menuai. Perkataan حَصَادِهِ diertikan sebagai ‘masa menuai’. Masa menuai adalah masa yang sesuai untuk menuai hasil tanaman itu, tidak terlalu awal kerana buah masih muda dan tidak terlalu lewat kerana buah sudah terlalu masak dan mungkin sudah busuk.

Selalunya zakat dikeluarkan apabila telah cukup setahun. Tetapi zakat tanam-tanaman dikeluarkan apabila selesai menuai. Dikeluarkan sebanyak satu persepuluh daripada hasil tanaman itu atau separuh daripadanya. Perbezaan ini perlu dipelajari dalam hukum fekah.

Ada juga yang mengatakan perkataan حَقَّهُ bermaksud hakNya – hak Allah. Bermaksud ayat ini adalah suruhan untuk mengeluarkan ‘sedekah’. Ini kerana, seperti yang kita tahu, surah al-An’am ini adalah surah Makkiyah dimana belum lagi difardhukan hukum zakat. Arahan zakat difardhukan hanya apabila Nabi telah berhijrah ke Madinah. Jadi semasa ayat ini diturunkan di Makkah, ia mungkin bermaksud ‘sedekah’ tapi bila kita membacanya sekarang ianya sudah bermaksud mengeluarkan zakat pada hari menuai.

Ada yang menggunakan ayat ini sebagai dalil untuk mengatakan yang zakat pertanian hendaklah dikeluarkan pada hari yang sama tanaman itu dituai. Tetapi ada juga Ulamak yang mengatakan tidak semestinya dikeluarkan pada hari menuai itu tetapi boleh dilakukan kemudian. Seeloknya zakat itu dikeluarkan pada hari yang sama kerana apabila tanaman telah berbuah, maka mereka yang layak mendapat zakat itu mungkin telah melihatnya dan mereka telah mengharap untuk mendapatkannya pada hari itu juga. Kalau kita melengah-lengahkan mengeluarkan zakat pada hari itu, ditakuti barakah berzakat itu akan berkurangan. Allahu a’lam.

 

وَلَا تُسْرِفُوا

dan janganlah kamu berlebih-lebihan.

Janganlah kamu tidak mengeluarkan zakat bila telah sampai masanya.

Ataupun ayat ini memberi peringatan kepada petani petani yang menuai hasil tanaman mereka. Para petani mendapat hasil mereka mungkin setahun sekali. Tidak sama dengan kita yang bekerja makan gaji kerana kita dapat gaji selalunya sebulan sekali. Apabila kita dapat gaji sebulan sekali, maka senanglah untuk kita mengatur keperluan hidup kita. Kerana kita bayar bil dan membeli makanan mengikut keperluan bulan itu. Tetapi bayangkan keadaan para petani yang mendapat gaji mereka setahun sekali. Mereka kena pandai untuk mengatur kewangan mereka supaya mereka dapat bertahan sehingga ke masa menuai tahun hadapan. Kalau mereka boros, berlebih-lebihan, maka mereka akan mempunyai masalah untuk menjalani hidup mereka sehingga sampai ke masa menuai yang seterusnya.

Dan janganlah kita melampau-lampau dalam agama dengan mengharamkan makanan yang halal untuk dimakan. Dan jangan pandai-pandai menetapkan manakah makanan yang boleh dimakan oleh lelaki dan mana yang boleh dimakan untuk perempuan. Itu pun dikira berlebih-lebih dalam agama.

Boleh juga bermaksud, jangan berlebih-lebihan dalam memakan hasil tanaman itu sampaikan tidak dapat mengeluarkan zakat yang perlu dikeluarkan. Jangan kita dapat hasil, kita makan sampai habis, sampai termakan bahagian yang sepatutnya kita keluarkan untuk zakat.

Ia juga bermaksud jangan berlebih-lebihan dalam berbelanja. Iaitu yang lebih daripada kemampuan. Katakanlah gaji seseorang iaitu 3,000 ringgit sebulan maka janganlah mengeluarkan belanja sampai habis 3,000 ringgit. Kerana kalau seseorang melakukan begitu, bermakna dia telah menyusahkan dirinya dan juga diri orang orang yang di bawah tanggungannya.

Termasuklah dalam hal ini, jikalau seseorang itu mengeluarkan sedekah yang terlalu banyak sampaikan dia tidak dapat memberikan kepada mereka-mereka yang di bawah tanggungannya. Walaupun sedekah itu adalah satu perbuatan yang mulia dan dituntut, tapi kita hendaklah mendahulukan keperluan mereka yang dalam tanggungan kita.

Potongan ayat ini juga bermaksud: jangan membazir. Katakanlah tanam-tanaman kita mengeluarkan buah-buahan yang banyak melebihi dari apa yang kita boleh makan. Dalam keadaan begitu, janganlah kita membazir dengan membuang buah-buahan yang berlebih itu tetapi berilah kepada mereka yang memerlukannya. Begitu juga jikalau kita membeli makanan terlalu banyak sampaikan kita tidak mampu menghabiskannya. Janganlah kita menyimpannya di dalam petiais di rumah kita sahaja sampai tidak boleh dimakan lagi dan kemudian kita terpaksa membuangnya. Ataupun, kita ada pakaian yang banyak yang kita sudah tidak mahu pakai lagi. Bila kita tidak mahu pakai lagi, berikanlah kepada mereka yang mahu menggunakannya.

Jangan juga berlebih-lebihan di dalam membeli pakaian yang cantik-cantik dan mahal-mahal sampaikan dikira memboros. Ada orang yang membeli pakaian terlalu banyak sampaikan tidak ada masa pun untuk pakai pakaian itu. Sebagai contoh, apabila berkahwin, orang kita selalu beli pakaian yang mahal, tapi pakai hanya sekali itu sahaja. Apa salahnya beli pakaian yang boleh dipakai kemudian hari? Bayangkan orang-orang miskin yang tidak dapat membeli pakaian walaupun mereka amat memerlukan pakaian itu. Mereka mungkin ada sehelai sahaja pakai atau beberapa pakaian yang mereka terpaksa pakai sampai lusuh. Jangan lupakan keperluan mereka. Tidakkah kita malu dengan Allah kerana kita membazir dengan pakaian, tetapi dalam masa yang sama entah berapa ramai orang miskin yang tidak mampu membeli pakaian.

Juga bermaksud jangan berbelanja untuk perkara-perkara ke arah dosa. Dalam surah ini diceritakan bagaimana musyrikin Mekah akan memberikan sebahagian dari tanaman mereka kepada berhala mereka. Itu adalah perbuatan yang amat berdosa. Maka kita pun janganlah berbelanja untuk perkara-perkara yang haram. Sebagai contoh, jangan beri makanan kepada orang kerana disuruh tok bomoh yang menyembuhkan penyakit kita. Ini selalu dilakukan oleh orang-orang kita. Apabila mereka sakit, tok bomoh akan kata kena sembelih ayam, kambing atau lembu sebab nak jamu ‘penunggu’. Ma sha Allah, itu pun sudah sama macam beri makanan kepada berhala! Tapi begitulah orang-orang kita yang jahil.

 

إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.

Dalam ayat ini ada tiga arahan Allah kepada kita:

Pertama, makanlah dari hasil tanam-tanaman itu. Janganlah kita kononnya zuhud sangat sampaikan apabila ada makanan yang sedap, kita tidak memakannya. Ada mereka yang kononnya zuhud sangat, sampaikan tidak boleh memakan makanan yang sedap-sedap – kononnya kerana itu semua adalah nikmat dunia dan nanti takut akan terlalu sayang sangat dunia. Tiada siapa yang ajar untuk buat begitu melainkan mereka yang sesat sahaja. Ingatlah bahawa segala makanan yang Allah telah berikan kepada kita ini adalah sebagai nikmat yang diberikan kepada kita. Allah dah suruh kita makan makanan itu, bermakna kalau kita makan, itupun adalah satu ibadah juga kepada diri kita.

Lihatlah bagaimana memakan hasil tanaman pun adalah satu ibadah kerana itu adalah arahan dari Allah. Bila kita mengikut arahan Allah maka ianya adalah satu ibadah. Allah mahu kita menikmati nikmat yang diberikanNya, maka itulah sebabnya Allah telah menjadikan berbagai-bagai jenis tanaman dan buah-buahan dan biji-bijian untuk kita. Allah pun tidak mengharamkan mana-mana buah-buahan atau biji-bijian. Semuanya kita boleh makan. Apabila kita menggunakan nikmat yang Allah berikan kepada kita, itu adalah satu perbuatan bersyukur sebenarnya.

Kedua, tunaikanlah zakat apabila sampai masanya, atau keluarkan sedekah kepada mereka yang memerlukannya.

Ketiga, jangan berlebih-lebihan. Dalam kehidupan dan juga dalam beragama.


 

Ayat 142:

6:142
Sahih International

And of the grazing livestock are carriers [of burdens] and those [too] small. Eat of what Allah has provided for you and do not follow the footsteps of Satan. Indeed, he is to you a clear enemy.

Malay

Dan di antara binatang-binatang ternak itu, ada yang dijadikan untuk pengangkutan, dan ada yang untuk disembelih. Makanlah dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu, dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

وَمِنَ الْأَنْعَامِ حَمُولَةً

Dan di antara haiwan ternak itu, ada yang dijadikan untuk pengangkutan

Dalam masyarakat Arab, mereka yang mempunyai binatang ternak adalah mereka yang dikira mendapat kenikmatan. Kerana mereka ada binatang yang boleh diminum susunya dan boleh diguna sebagai pengangkutan dan pengangkat barang. Dan apabila diperlukan, mereka boleh menyembelih binatang ternak itu. Selepas disembilah dan dimakan dagingnya, kulit binatang itu pula boleh digunakan. Lihatlah bagaimana banyaknya kegunaan binatang ternak itu kepada manusia.

Salah satu sifat binatang ternak itu yang ditetapkan di dalam ayat ini adalah kegunaan binatang itu untuk mengangkut barang muatan yang berat. Ini adalah binatang-binatang yang mempunyai empat kaki yang boleh digunakan untuk mengangkat muatan.

Zaman sekarang, mungkin kita tidak terasa sangat kerana kita pakai kereta sekarang. Tapi lihatlah bagaimana ada lagi di negara-negara lain yang masih lagi menggunakan binatang itu sebagai alat pengangkutan dan tunggangan.

 

وَفَرْشًا

dan ada binatang yang kecil untuk disembelih.

Perkataan وَفَرْشًا dari فرش yang bermaksud ‘dekat dengan tanah’ kerana binatang-binatang itu lebih kecil dari binatang yang boleh digunakan sebagai tunggangan. Binatang jenis ini tidak boleh digunakan untuk tunggangan dan mengangkat muatan berat kerana badan mereka lebih kecil. Tetapi hasil yang boleh diambil dari mereka adalah susu yang dikeluarkan dan mereka boleh disembelih untuk dimakan dagingnya.

Binatang ternak ini termasuk binatang ternak yang kecil seperti ayam, itik, angsa, dan sebagainya iaitu ia digunakan sebagai makanan dan tidak boleh untuk ditunggang. Kita memang ternak untuk disembelih sebagai makanan.

Allah menceritakan kepada kita bagaimana Dia telah memberikan segala nikmat kepada kita dalam ayat ini. Berbagai-bagai kegunaan diberikan kepada kita.

 

كُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ

Makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepadamu,

Ayat ini mengandungi hukum kebenaran memakan binatang-binatang ternak. Walaupun ada binatang-binatang itu selalunya digunakan untuk ditunggangi ataupun digunakan untuk mengangkat muatan. Seperti unta. Kecuali kalau ada dalil yang sah yang mengharamkan memakannya. Oleh itu, kita boleh memakan kuda walaupun kuda itu selalunya digunakan untuk tunggangan. Tetapi kita tidak boleh makan keldai kerana ada hadis Nabi yang mengharamkannya. Begitupun keldai yang diharamkan adalah Keldai jinak yang dibela. Jikalau keldai itu jenis liar, ia masih boleh dimakan lagi. Oleh itu, kita boleh memakan Zebra kerana ianya seperti keldai yang liar.

Allah telah mencipta binatang-binatang itu sebagai rezeki untuk kita makan, maka hendaklah kita memakannya dan janganlah kita mengharamkan apa yang Allah telah halalkan kepada kita.

 

وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ

dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan.

Ikut langkah syaitan bermaksud: mengharamkan apa yang Allah telah halalkan. Daripada hasutan syaitanlah yang menyebabkan musyrikin Mekah mengharamkan sesetengah makanan, mengharamkan binatang digunakan untuk tunggangan, dan sebagainya. Begitulah juga yang terjadi di dalam masyarakat kita, apabila mereka mengharamkan sesuatu makanan kepada diri mereka. Sama ada dalam bentuk pantang selepas bersalin, pantang semasa mengamalkan amalan-amalan zikir keramat, atau mengharamkan makanan kepada sesuatu puak kerana sebab-sebab tertentu. Mereka yang tidak belajar tafsir Quran tidak tahu pun bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah satu kesalahan yang besar, malah boleh jadi syirik!

 

إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.

Sentiasalah ingat bahawa Syaitan adalah musuh bagi kita. Seorang musuh tidak akan suka jikalau musuhnya mendapat sesuatu kebaikan. Kerana itulah syaitan tidak suka kita menikmati nikmat-nikmat yang telah Allah berikan kepada kita.

Kadang-kadang musuh itu tidak menentang kita dengan nyata. Apatahlagi dengan syaitan yang sudahlah kita tidak nampak, dan dalam masa yang sama dia menghasut kita secara senyap. Dia membisikkan ajaran-ajaran sesat ke dalam hati kita tanpa kita mengetahuinya.

Kadang-kadang musuh kita tidak memberitahu yang mereka memusuhi kita. Tetapi lihatlah bagaimana Iblis telah berjanji dan mengaku untuk memusuhi dan menjatuhkan kita dari dahulu lagi. Itulah maksudnya syaitan adalah ‘musuh yang nyata’ bagi kita. Kerana mereka telah menyatakan permusuhan mereka terhadap kita. Mereka tidak pernah lupa kepada kita, tapi kita yang selalu lupa kepada mereka. Oleh kerana lupa, kita tidak berhati-hati.

Ayat ini lebih kurang sama seperti ayat di dalam surah Al-Baqarah apabila Allah memperkatakan tentang makanan. Syaitan memang akan mengganggu manusia di dalam hal pemakanan. Mereka akan suruh kita makan benda yang haram dan mengharamkan memakan benda yang halal. Mereka juga akan menghasut kita untuk mendapatkan rezeki dari jalan-jalan yang haram. Dan ingatlah bagaimana Iblis memulakan kerja menghasut dan menyesatkan manusia ini dengan menghasut Nabi Adam untuk memakan pokok yang terlarang. Dari situ sampai sekarang dan sampailah hari kiamat nanti, Iblis dan syaitan tidak akan berhenti menghasut manusia di dalam hal pemakanan.

Allahu a’lam

Lompat ke ayat yang seterusnya


 

Ref: UR, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s