Tafsir Surah al-An’am Ayat 138-139

Ayat 138: Halal dan haram adalah hukum yang hanya Allah sahaja yang boleh tentukan. Ianya akan disampaikan kepada Nabi melalui wahyu. Nabi sendiri pun tidak berani berbuat hukum sendiri. Banyak hadis bagaimana Nabi akan mendiamkan diri apabila ditanya dengan sesuatu perkara sampai baginda diberikan dengan wahyu menjawap pertanyaan para sahabat.

Jadi, jikalau kita mengatakan sesuatu perkara itu haram untuk dimakan atau dilakukan, maka kita hendaklah membawa wahyu daripada Allah sama ada dalam bentuk ayat Quran ataupun hadis Nabi yang sahih.

Mereka mengatakan Nabi Muhammad sesat kerana membawa ajaran baru. Sekarang Allah menyebutkan satu persatu kesalahan fahaman akidah mereka kepada semua. Ini menjadi pengajaran kepada kita. Kita kena lihat samada ada yang kena dengan kita kerana Allah menceritakan tentang amalan dan akidah Musyrikin Mekah ini supaya kita periksa samada kita ada melakukan perbuatan yang sama dengan mereka. Bukanlah Allah memberitahu kepada kita sebagai satu kisah sejarah sahaja. Ini adalah kefahaman yang salah masyarakat kita. Mereka kutuk perbuatan Musyrikin Mekah, tanpa mereka memeriksa samada mereka pun ada mengamalkan amalan yang sama.

6:138
Sahih International

And they say, “These animals and crops are forbidden; no one may eat from them except whom we will,” by their claim. And there are those [camels] whose backs are forbidden [by them] and those upon which the name of Allah is not mentioned – [all of this] an invention of untruth about Him. He will punish them for what they were inventing.

Malay

Dan mereka berkata lagi: “Ini adalah binatang-binatang ternak dan tanaman-tanaman yang dilarang, yang tidak boleh seorang pun memakannya kecuali sesiapa yang kami kehendaki”, – menurut anggapan mereka; dan (sejenis lagi) binatang-binatang ternak yang dilarang menunggangnya; dan (sejenis lagi) bintang-bintang ternak yang tidak mereka sebutkan nama Allah ketika menyembelihnya; (semuanya itu mereka lakukan dengan) berdusta terhadap Allah. Allah akan membalas mereka disebabkan apa yang mereka telah ada-adakan itu.

وَقَالُوا هَٰذِهِ أَنْعَامٌ وَحَرْثٌ

Dan mereka mengatakan: “Inilah haiwan ternak dan tanaman

Mereka telah mengatakan ada jenis-jenis haiwan dan tanaman yang haram dimakan dalam keadaan tertentu dan orang-orang tertentu.

Dalam Maidah:103, ada disebut tentang perkara ini:

مَا جَعَلَ اللَّهُ مِنْ بَحِيرَةٍ وَلَا سَائِبَةٍ وَلَا وَصِيلَةٍ وَلَا حَامٍ ۙ وَلَٰكِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ ۖ وَأَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ
Allah sekali-kali tidak pernah mensyari’atkan adanya bahiirah, saaibah, washiilah dan haam. Akan tetapi orang-orang kafir membuat-buat kedustaan terhadap Allah, dan kebanyakan mereka tidak mengerti.

Allah tak pernah syariatkan hukum yang sebegitu, tapi mereka yang memandai-mandai buat hukum baru.

 

حِجْرٌ لَّا يَطْعَمُهَا

yang dilarang; tidak boleh memakannya,

Perkataan حِجْرٌ dari حجر yang bermaksud ‘batu’. Apabila orang-orang Arab menggali tanah dan mereka sampai kepada batu, maka mereka terhalang dari menggali lagi. Ataupun bermaksud, batu adalah tak boleh dimakan. Jadi, perkataan حِجْرٌ  dalam ayat ini bermaksud sesuatu yang terhalang atau terlarang.

Terdapat beberapa halangan kepada sesetengah binatang dan sesetengah makanan yang akan disebutkan nanti. Halangan dan larangan itu adalah hukum yang direka-reka oleh puak musyrikin. Mereka pandai-pandai melarang memakan makanan-makanan itu.

Dalam kefahaman karut mereka, wasilah ialah seekor kambing betina yang melahirkan anak kembar yang terdiri daripada jantan dan betina, maka yang jantan ini disebut wasilah,tidak boleh disembelih dan hanya boleh diserahkan pada berhala.

Ham adalah unta jantan yg tidak boleh diganggu gugat lagi, kerana telah dapat membuntingkan unta betina sepuluh kali. Binatang-binatang yang disebutkan itu dianggap haram oleh orang-orang musyrik tanpa dalil.

Zaman sekarang pun banyak dilakukan. Jangan kita ingat puak Musyrikin sahaja yang buat. Sebagai contohnya, kita boleh lihat pada zaman sekarang yang dilakukan oleh agama Hindu. Mereka tidak boleh makan lembu dan mereka cuma hanya boleh minum susu lembu sahaja. Ini adalah kerana lembu adalah binatang yang suci dalam agama mereka. Sampaikan kalau di negara India itu, kita boleh lihat lembu berkeliaran di merata-rata tempat. Tidak boleh langsung kacau lembu-lembu itu. Sampaikan orang Islam pun tidak boleh menyembelih lembu terang-terangan dan tidak boleh memakannya di khalayak ramai kerana orang-orang Hindu akan marah kepada orang-orang Islam yang berbuat begitu. Boleh jadi berbunuhan pula nanti. Dan setiap lembu ada Surat Beranak, maka itu menyusahkan orang untuk menyembelih lembu-lembu itu. Dah jadi macam kalau kita bunuh orang pula. Jadi, kalau nak makan daging lembu di sana, kena bela lembu di kawasan terpencil secara senyap.

Lembu-lembu itu akan dibiarkan sehingga mereka mati kerana tua. Kalau mereka perlu menangkap lembu itu, mungkin kerana nak kena ubah sebab ia mengganggu rel keretapi, mereka sampai kena meminta maaf kepada lembu itu kerana takut mereka akan dikenakan bala. Begitulah teruknya syaitan menyesatkan manusia dalam hal binatang ternakan ini.

Bagaimana pula dengan orang kita? Adakah kita pun buat macam apa yang disebutkan oleh Allah dalam ayat ini? Malangnya, amat ramai yang melakukan perkara sebegini. Itulah mereka yang mengharamkan makanan yang halal di dalam ‘amalan berpantang’ selepas bersalin. Allah tidak pernah suruh haramkan makanan kepada sesiapa selepas bersalin, tapi ramai dalam masyarakat kita yang buat macam tu. Yang diharamkan itu pula tidak masuk akal. Ada yang haramkan minum air, ada yang haramkan makan ayam. Tapi dalam masyarakat lain, mereka suruh minum air banyak suruh makan ayam banyak kerana ia baik untuk kesihatan.

Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan kata-kata ini. Mereka akan kata: “mana ada haram, cuma tak galakkan makan sahaja”. Itu adalah terminologi yang digunakan. Secara dasarnya, sama sahaja. Tak beri makan bermaksud mengharamkan makanan itu kerana sebab-sebab tertentu.

Bukan amalan pantang bersalin sahaja makanan diharamkan. Macam di Kelantan, Terubong Buluh Betung tidak boleh dimakan oleh keturunan raja-raja termasuk juga golongan Nik. Kerana mereka dikatakan daripada keturunan Buluh Betung. Ada fahaman karut yang mengatakan yang keturunan mereka dulu asalnya keluar daripada buluh betung. Itulah apabila masyarakat sudah tidak menggunakan akal lagi tapi percaya dengan cerita-cerita tahyul dan karut.

Ada pula keturunan yang tidak boleh makan ikan Kacang (Barracuda) kerana dikatakan suatu masa dahulu, ikan itu pernah menyelamatkan tok nenek mereka semasa menangkap ikan di laut dan perahu mereka bocor. Sebab hormatkan ikan itu, mereka telah mengharamkan anak keturunan mereka memakannya.

Sesiapa yang mengharamkan makan sesuatu makanan yang Allah telah halalkan, maka dia telah melakukan perbuatan yang kufur.

Ini berbeza dengan makanan yang tidak baik untuk kita. Sebagai contoh, ada makanan yang kita alah kepadanya. Kalau makan, naik bengkak muka dan sebagainya. Kalau dalam keadaan begitu, maka makanan itu kita tidak boleh makan dan ini tidak mengapa. Kerana Allah telah memberitahu kita untuk makan makanan yang halal dan ‘baik’ – halalan tayyiban. Sebagai contoh, ada yang tidak boleh makan daging kambing kerana kalau dia makan, darah tingginya akan naik. Itu bermaksud makanan itu sudah tidak baik bagi dirinya. Tetapi ianya tidak baik untuk dirinya sahaja dan tidak boleh digunakan alasan itu kepada orang lain. Kerana orang lain mungkin tidak ada masalah dengan memakan kambing.

Ada juga makanan yang telah diberitahu oleh doktor tidak elok dimakan dalam sesuatu keadaan. Sebagai contoh, doktor beritahu kepada perempuan bersalin yang mereka tidak elok makan makanan yang tinggi kandungan gula, contohnya. Dan doktor itu pula akan beri arahan itu berdasarkan kepada keadaan pesakit itu. Kerana ada perempuan yang bersalin itu yang kena darah tinggi semasa bersalin, kena penyakit Kencing Manis sebagai bersalin dan sebagainya. Ataupun pemakanan untuk perempuan yang dibedah berlainan dengan perempuan yang bersalin normal. Itu adalah hasil dari kajian mereka. Ada sebab untuk mereka kata begitu. Ini tidak termasuk dalam ‘mengharamkan’. Mereka ada asas. Tapi asas apa yang diberikan oleh Mak Bidan untuk mengharamkan minum air dan makan ayam kepada perempuan yang baru bersalin?

Maka jangan kita mengharamkan atau menidakkan sesuatu makanan kepada diri kita tanpa sesuatu sebab yang sah. Kalau dulu kita pernah berbuat begini, maka minta ampun kepada Allah dan makanlah makanan itu.

 

إِلَّا مَن نَّشَاءُ بِزَعْمِهِمْ

kecuali orang yang kami kehendaki”, menurut anggapan karut mereka,

Mereka khaskan orang tertentu atau golongan tertentu sahaja yang boleh makan sesuatu makanan. Mereka khususkan sesuatu binatang dan makanan itu hanya kepada golongan golongan yang dilantik untuk menjaga tuhan-tuhan berhala sembahan mereka. Hanya mereka sahaja yang boleh memakan dan orang lain tidak boleh memakannya.

Ini adalah satu kesalahan. Oleh itu, kalau kita mengkhaskan sesuatu binatang atau makanan itu hanya boleh dimakan segolongan manusia sahaja, maka itupun sudah dikira kufur.

Mereka tetapkan sesuatu makanan itu tidak boleh makan hanya berdasarkan kepada fahaman karut mereka. Mereka tidak ada dalil. Macam juga fahaman masyarakat kita dalam mengharamkan makanan kepada diri mereka.

 

وَأَنْعَامٌ حُرِّمَتْ ظُهُورُهَا

dan ada binatang ternak yang diharamkan menungganginya

Musyirikin Makkah ada mengharamkan jenis jenis haiwan yang tidak boleh ditunggangi. Iaitu Saibah dan Haam.

Bahiirah adalah unta betina yang telah beranak lima kali dan anak kelima itu jantan, lalu unta betina itu dibelah telinganya, dilepaskan, tidak boleh ditunggangi lagi dan tidak boleh diambil air susunya.

Sa’ibah adalah unta betina yang dibiarkan ke mana sahaja lantaran sesuatu nazar. Contohnya, jika seorang Arab jahiliyyah akan melakukan sesuatu atau perjalanan yang berat, maka dia biasa bernazar akan menjadikan unta Sa’ibah apabila maksud atau perjalanannya tercapai atau selamat.

Itu adalah antara yang tersebut dalam Maidah:103

مَا جَعَلَ اللَّهُ مِن بَحِيرَةٍ وَلَا سَائِبَةٍ وَلَا وَصِيلَةٍ وَلَا حَامٍ وَلَٰكِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ وَأَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ

Allah sekali-kali tidak pernah mensyari’atkan adanya bahiirah, saaibah, washiilah dan haam. Akan tetapi orang-orang kafir membuat-buat kedustaan terhadap Allah, dan kebanyakan mereka tidak mengerti.

 

وَأَنْعَامٌ لَّا يَذْكُرُونَ اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا

dan ada binatang ternak yang mereka tidak menyebut nama Allah (waktu menyembelihnya,

Ada binatang yang mereka kata tidak boleh menyebut nama Allah semasa menyembelih binatang itu. Tidak boleh sebut nama Allah kerana binatang-binatang itu telah dikhususkan kepada tuhan-tuhan mereka yang lain. Inilah jenis unta yang dipanggil al-Bahiirah itu. Kita kena ingat bahawa mereka itu kenal Allah itu Tuhan. Cuma dalam masa yang sama, mereka ada ‘tuhan-tuhan mini’ mereka yang lain dalam bentuk berhala. Latt dan Uzza yang kita selalu dengar itu adalah salah satu dari tuhan-tuhan mini mereka. Mereka pun ada juga menyembelih atas nama Allah. Tapi kalau mereka hendak memberikan sembelihan itu kepada tuhan-tuhan yang lain, mereka tidak boleh sebut nama Allah kepadanya.

Kalau Allah menceritakan sesuatu perbuatan syirik di dalam Quran, ini bermaksud amalan itu masih lagi dilakukan dalam dunia ini dan sampai bila-bila hingga kiamat. Mungkin kita tidak nampak berlaku dalam masyarakat kita tetapi pastinya ia berlaku di tempat lain.

 

افْتِرَاءً عَلَيْهِ

membuat-buat kedustaan terhadap Allah.

Mereka kata apa yang mereka buat itu adalah kerana untuk memuaskan hati Tuhan. Tetapi itu semua hanyalah hukum rekaan mereka sahaja.

Zaman Musyrikin Mekah waktu itu mereka telah mereka reka dusta terhadap Allah dengan mengatakan sesuatu itu baik dan elok untuk dilakukan pada hal Allah tidak pernah mengajar mereka begitu. Maka apakah bezanya dengan masyarakat kita sekarang yang mereka-reka perkara-perkara bidaah dalam agama dengan mengatakan yang perkara itu baik?

Sebagai contoh, mereka mengatakan elok untuk memberi makan kepada pengunjung yang datang semasa mengunjungi sesuatu kematian yang dinamakan ‘kenduri arwah’. Mereka kata apa salahnya beri makan kepada orang padahal perkara itu telah dilarang didalam agama. Cuma mereka sahaja yang tak tahu hukum keharaman menjamu orang yang datang makan ke rumah. Yang menjadi masalahnya adalah kerana ustaz-ustaz yang mengajar pun tak tahu tentang larangan itu. Ini adalah kerana proses pembelajaran di negara ini bukan berasaskan Quran dan hadis sahih, tapi berdasarkan ‘apa yang orang kata’. Mereka terima sahaja apa yang diajar oleh guru mereka, dan guru mereka pun begitu juga dulunya.

 

سَيَجْزِيهِم بِمَا كَانُوا يَفْتَرُونَ

Kelak Allah akan membalas mereka terhadap apa yang selalu mereka ada-adakan.

Mereka yang mengadakan hukum-hukum baru dan tidak di beritahu oleh Allah atau Nabi maka mereka itu telah mengambil tugas Allah dan Nabi sebenarnya dan mereka akan dibalas atas perbuatan mereka itu.

Ayat-ayat dari surah ini adalah Allah menegur mereka dengan menyebut perbuatan perbuatan salah yang mereka lakukan. Allah sebut satu persatu fahaman dan kesalahan mereka kerana mereka telah diberi dakwah oleh Nabi sudah sekian lama tetapi mereka tidak mahu menerimanya. Nampak kasar apa yang Allah lakukan ini, tapi ini adalah satu metod dakwah juga. Apabila telah lama didakwah tapi masih lagi tidak mahu menerima, kita boleh menceritakan perbuatan salah mereka satu persatu.

Tapi janganlah dari mula-mula lagi kita dah sebut kesalahan yang mereka lakukan. Kerana itu boleh menyebabkan mereka melarikan diri kerana mereka belum sedia lagi untuk menerima kesalahan yang mereka telah lakukan. Kita kena berlembut dalam hal ini.


 

Ayat 139:

6:139
Sahih International

And they say, “What is in the bellies of these animals is exclusively for our males and forbidden to our females. But if it is [born] dead, then all of them have shares therein.” He will punish them for their description. Indeed, He is Wise and Knowing.

Malay

Dan mereka berkata lagi: “Apa yang ada dalam perut binatang-binatang ternak itu (jika ia lahirkan hidup) adalah halal bagi lelaki-lelaki kami dan haram bagi perempuan-perempuan kami”. Dan jika ia (dilahirkan) mati, maka mereka (lelaki perempuan) bersekutu padanya (bersama-sama memakannya). Allah akan membalas mereka tentang apa yang mereka tetapkan (mengenai halal dan haram) itu. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.

وَقَالُوا مَا فِي بُطُونِ هَٰذِهِ الْأَنْعَامِ

Dan mereka mengatakan: “Apa yang ada dalam perut binatang ternak ini

Ini adalah kalau dalam perut binatang itu ada anak. Binatang yang dimaksudkan itu adalah al-Bahiirah.

Ada juga fahaman mengarut di Kelantan yang mengatakan bahawa lembu yang berbintik tidak boleh dijual.

 

خَالِصَةٌ لِّذُكُورِنَا

adalah khusus untuk kaum lelaki kami

Hanya orang lelaki sahaja yang boleh memakannya dan orang wanita diharamkan mereka untuk memakannya.

Memang masih ada lagi fahaman karut di negara kita yang mengkhususkan sesuatu makanan untuk lelaki sahaja dan ada makanan lain pula yang khusus untuk perempuan sahaja. Mereka kata perempuan tak boleh makan sebab akan jadi begini dan begitu.

 

وَمُحَرَّمٌ عَلَىٰ أَزْوَاجِنَا

dan diharamkan atas wanita kami,”

Ada juga sesetengah makanan yang hanya boleh dimakan oleh orang tua sahaja dan budak budak tidak boleh makan. Ini pun adalah fahaman yang karut juga.

Ini adalah permulaan diskriminasi antara lelaki dan perempuan. Ini adalah satu diskriminasi yang tidak elok. Sampaikan dibezakan manakah makanan yang hanya lelaki sahaja yang boleh makan. Padahal Allah tidak pernah membezakan makanan untuk lelaki dan makanan untuk perempuan. Oleh itu jikalau zaman sekarang pun kita ada membeza-bezakan mana makanan yang elok dimakan untuk lelaki dan tidak elok dimakan oleh perempuan itu pun adalah satu perbuatan yang haram.

 

وَإِن يَكُن مَّيْتَةً

dan jika yang dalam perut itu dilahirkan mati,

Dia itu jika ada anak yang didalam perut itu mati di dalam kandungan. Ataupun semasa hidupnya, wanita tidak boleh menikmati apa-apa hasil darinya – nak minum susu tidak boleh. Tapi apabila dah mati, baru boleh makan dagingnya.

 

فَهُمْ فِيهِ شُرَكَاءُ

maka lelaki dan wanita sama-sama boleh memakannya.

Kalau anak yang lahir daripada binatang itu mati maka lelaki ataupun perempuan boleh memakannya. Tetapi jikalau anak yang lahir itu hidup, maka lelaki saja yang dibenarkan untuk memakan binatang itu.

Memang tidak berapa jelas tentang hukum yang ditetapkan oleh Musyrikin Mekah itu. Ada beberapa pendapat tentang apakah yang dimaksudkan dengan Bahiirah, Hamm dan sebagainya. Ini adalah kerana ianya telah lama berlaku. Yang penting adalah pengajaran yang kita boleh ambil darinya. Iaitu tidak boleh buat hukum sendiri-sendiri dan tidak boleh ada fahaman yang karut marut.

 

سَيَجْزِيهِمْ وَصْفَهُمْ

Kelak Allah akan membalas mereka terhadap ketetapan mereka.

وَصْفَهُمْ dari perkataan صفة – sifat. Allah membalas perbuatan mereka menyifatkan sesuatu yang salah. Yang mereka pandai-pandai reka dan kemudian mereka katakan ianya sebahagian dari agama.

Mereka buat itu semuanya adalah hukumnya syirik kerana mereka mengharamkan apa yang halal untuk dimakan. Ianya adalah syirik kerana hal mengharamkan dan menghalalkan ialah keputusan Allah tetapi mereka telah pandai-pandai membuat hukum sendiri dan mengambil tugas Allah.

 

إِنَّهُ حَكِيمٌ عَلِيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Allah Maha Bijaksana dalam menentukan mana yang haram dan manakah makanan yang halal untuk dimakan. Apa yang haram itu tidak elok dimakan dan apa yang halal itu adalah elok untuk dimakan. Jadi, kita yang tidak tahu apakah hikmat yang telah ditetapkan oleh Allah itu, hendaklah kita mengikut sahaja apa yang Allah telah tetapkan.

Allah juga maha tahu tentang keperluan kita di dalam hidup dan kerana itu Allah telah menentukan makanan yang sesuai untuk kita.

Allahu a’lam.

Lompat ke ayat yang seterusnya


 

Ref: UR, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

2 Responses to Tafsir Surah al-An’am Ayat 138-139

  1. Dhiya UA says:

    Assalamualaikum.
    How bout soya?
    Ada yang kata soya xelok, sebab xbagus untuk kesuburan lelaki dan perempuan. But then, it still halal, right.
    So, what do you think?

    • tafsirsunnah says:

      Waalaikum salam Dhiya, soalan yang baik, terima kasih kerana bertanya. Dengan soalan anda, boleh diperjelaskan.

      Ada dua perkara yang perlu kita lihat dalam hal pemakanan: pertama, halal; kedua, baik. Seperti yang Allah firmankan dalam Maidah:88

      وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلَالًا طَيِّبًا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي أَنْتُمْ بِهِ مُؤْمِنُونَ
      Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman.

      Maksud ‘lagi baik’ adalah ianya baik untuk kita. Ada keadaan yang makanan itu halal, tapi tidak baik untuk kita. Seperti contohnya, daging kambing halal, tapi ianya tidak baik untuk orang yang darah tinggi. Kalau dia makan, boleh jatuh sakit.
      Lagi contoh, makanan laut halal, tapi kepada mereka yang gout, ianya tidak baik.
      Jadi, kalau ianya tidak baik, tidaklah elok kalau dia makan. Tapi untuk dia sahaja, kalau untuk orang lain, belum tentu lagi. Janganlah pula dia mengharamkan makanan itu.

      Yang kita kata haramkan adalah kepada makanan yang tidak diharamkan oleh Allah, dan tidak ada dalil atau fakta untuk mengatakan yang ianya tidak baik. Sebagai contoh, dalam masyarat Melayu, kalau berpantang, tidak boleh makan ayam, tapi dalam masyarakat Cina, mereka digalakkan makan ayam untuk mengembalikan tenaga. Jadi mana yang betul? Seeloknya, tanya doktor kerana mereka telah menjalankan kajian pemakanan dan mereka tahu mana makanan yang sesuai, mana yang tidak. Barulah betul begitu.

      Tentang soya pun begitu juga. Kalau ada kajian mengatakan yang ianya tidak elok, dan kita rasa kajian itu benar, kita boleh tidak makan. Untuk kita sahaja yang tidak makan. Jangan kita haramkan untuk orang lain pula. Kerana dalam kajian lain, soya itu elok pula. Sebagai contoh, untuk mereka yang lactose intollerant, soya adalah pengganti susu untuk sumber protein dia. Dan begitu juga kepada mereka yang tidak mahu makan daging seperti vegan, mereka ganti daging dengan makanan yang dibuat dari soya, daging ayam dibuat dari soya, daging lembu dibuat dari soya dan sebagainya.

      Begitu juga, ada makanan yang kita tak suka nak makan. Saya suka makan daging kambing, tapi ada juga orang tak suka sebab ada bau daging itu yang dia tidak suka. Tidak ada masalah. Pernah Nabi ditawarkan daging dhob oleh Khalid al Walid. Tapi baginda menolak untuk makan kerana baginda kata kaumnya tidak biasa makan daging dhob itu. Tapi baginda tidak menghalang yang lain untuk memakannya.

      Saya harap penjelasan ini menjelaskan. Kalau tidak jelas, boleh bertanya lagi. Terima kasih sekali lagi kerana bertanya. Allahu a’lam. Allah lebih tahu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s