Tafsir Surah al-An’am Ayat 136-137

Ayat 136: Sekarang Allah menceritakan apakah perbuatan Musyrikin Mekah. Allah menceritakan bagaimanakah kefahaman syirik mereka. Allah menceritakan kebodohan yang mereka lakukan. Dari ayat ini kita akan belajar kenapa mereka itu digelar Jahiliyyah! Kita juga belajar bagaimana mereka melakukan bidaah terhadap agama. Mereka sepatutnya mengikut syari’at Nabi Ibrahim tetapi mereka telah menukar pengajaran Nabi Ibrahim itu hingga menjadi amalan yang syirik.

6:136
Sahih International

And the polytheists assign to Allah from that which He created of crops and livestock a share and say, “This is for Allah,” by their claim, ” and this is for our partners [associated with Him].” But what is for their “partners” does not reach Allah, while what is for Allah – this reaches their “partners.” Evil is that which they rule.

Malay

Dan mereka (orang-orang musyrik) memperuntukkan dari hasil tanaman dan binatang-binatang ternak yang diciptakan oleh Allah itu, sebahagian bagi Allah (dan sebahagian lagi untuk berhala-berhala mereka), lalu mereka berkata: Ini untuk Allah – menurut anggapan mereka – dan ini untuk berhala-berhala kami.” Kemudian apa yang telah ditentukan untuk berhala-berhala mereka, maka ia tidak sampai kepada Allah (kerana mereka tidak membelanjakannya pada jalan Allah), dan apa yang telah ditentukan untuk Allah, sampai pula kepada berhala-berhala mereka (kerana mereka membelanjakannya pada jalan itu). Amatlah jahatnya apa yang mereka hukumkan itu.

وَجَعَلُوا لِلَّهِ مِمَّا ذَرَأَ مِنَ الْحَرْثِ وَالْأَنْعَامِ نَصِيبًا

Dan mereka memperuntukkan bagi Allah, dari tanaman dan ternak yang telah diciptakan Allah, satu bahagian ,

Perkataan ذَرَأَ bermaksud ‘menjadikan dan membiakkan’. Selepas Allah jadikan, Allah biakkan. Perkataan zuriat pun ada kena mengena dengan perkataan ذَرَأَ ini kerana zuriat kita dijadikan dan berkembangbiak selepas itu.

Dalam ayat ini, diceritakan bagaimana Musyrikin Mekah telah memperuntukkan sebahagian dari tanaman atau binatang ternak mereka kepada Allah dan juga tuhan-tuhan sembahan mereka selain Allah.

Lihatlah kebodohan mereka: tanaman dan binatang ternak itu dijadikan oleh Allah, tapi mereka masih juga nak beri sebahagiannya untuk tuhan-tuhan berhala mereka.

Ayat ini juga adalah tentang ‘nazar’. Nazar berlaku apabila seseorang berjanji dengan Allah, kalau mereka dapat sesuatu, mereka akan buat sesuatu. Mereka akan beri makan fakir miskin, berpuasa seminggu dan sebagainya. Konsep nazar memang ada dalam Islam. Tapi ada masalah sikit dengan perbuatan ini. Mereka-mereka yang bernazar adalah orang yang ‘kedekut’. Kerana mereka berjanji, yang kalau Allah beri, baru nak buat ibadat. Padahal ibadat itu memang sudah patut dibuat. Jadi, walaupun nazar itu boleh dibuat, tapi ianya adalah satu perkara yang tidak elok sebenarnya.

Tapi kalau dah bernazar, kena tunaikan juga, kerana kita telah berjanji dengan Allah. Kecuali lah kalau kita bernazar dengan sesuatu yang haram. Contohnya, kalau kita bernazar nak makan babi kalau kita dapat anak lelaki. Atau, kita bernazar tak mahu setubuh isteri kalau kita dapat sesuatu projek. Atau, kita bernazar tak mahu pergi rumah bapa saudara. Itu adalah jenis-jenis nazar yang tak boleh buat dan kena batalkan nazar dan kena bayar fidyah kerana kita telah melanggar janji kita dengan Allah.

Ada juga nazar yang bukan kerana Allah dan ini adalah syirik. Inilah topik yang disebut dalam ayat ini. Sebagai contoh, bernazar dengan jin untuk sembelih kambing kalau sembuh satu-satu penyakit. Atau kalau hantu pergi meninggalkan orang yang dirasuk, mereka akan sembelih ayam. Ini yang selalu diajar oleh bomoh dan masih lagi banyak diamalkan di kampung-kampung dan malah di bandar-bandar. Masyarakat kita ramai yang jahil, yang tidak tahu agama, maka mereka selalu kena rasuk atau kena kacau dengan jin. Dan mereka akan panggil bomoh untuk halau jin itu. Bomoh itu juga orang yang jahil yang tidak belajar agama, maka mereka tidak tahu yang mereka pun bersekongkol dengan jin. Maka, mereka telah berjanji dengan jin untuk menyembelih binatang. Ada jin yang berjanji akan keluar kalau disembelih binatang. Itu adalah perkara yang syirik, kerana kita menyembelih makanan kerana jin itu atau makhluk-makhluk lain. Kalau kita makan sembelihan itu, ianya lebih haram dari makan babi, walaupun yang kita makan itu adalah ayam, kambing, atau lembu dan semasa sembelih itu, dibacakan ‘bismillah’. Kalau ada saudara mara kita yang buat, tegurlah mereka dan katakan kepada mereka itu adalah perkara yang syirik.

Selain dari itu, ada petani yang memperuntukkan tuaian pertama mereka pada satu-satu tahun itu kepada Allah. Dan selebihnya diperuntukkan kepada ‘semangat padi’. Inilah jin yang kononnya menjaga padi. Ini juga diajar oleh tok bomoh yang telah berkawan dengan jin. Dah lama tidak ada di Malaysia. Dah hapus dah rasanya. Kita boleh tengok masih diamalkan oleh petani Hindu Bali di Indonesia.

Tapi yang masih tinggal adalah pemakanan ‘pulut semangat’ iaitu ‘pulut kuning’ yang banyak orang kita buat. Itu adalah sebahagian dari majlis pemujaan yang dilakukan dulu. Tapi orang kita tidaklah berniat pulut kuning itu untuk beri makan kepada jin. Kerana mereka tidak pernah periksa dari mana asalnya ‘pulut kuning’ itu. Walaupun mereka tidak berniat, tapi perbuatan itu adalah dari perbuatan yang diamalkan oleh mereka-mereka yang buat syirik, maka kita tidak boleh mengamalkannya lagi. Sedikit sebanyak, masih ada lagi elemen ‘memuja’ dalam perbuatan itu. Maka, berhentilah dari buat pulut kuning, makan pulut kuning dan kena mengena dengan pulut kuning. Lebih baik tinggalkan sahaja dari nak berhujah kenapa ianya boleh dilakukan. Kita hendak jaga akidah kita, bukan nak jaga adat resam yang dah lama ada dalam masyarakat. Ada resam itu tidak bernilai apa-apa kalau akidah kita hancur dan kita masuk neraka. Tidak ada ruginya kalau kita tidak buat pulut kuning dan makan pulut kuning.

 

فَقَالُوا هَٰذَا لِلَّهِ بِزَعْمِهِمْ

lalu mereka berkata: “Ini untuk Allah” mengikut anggapan karut mereka

Mereka kata dengan mulut sahaja yang bahagian yang mereka persembahkan itu untuk Allah tetapi sebenarnya tidak.

Mereka akan berikan bahagian yang telah diperuntukkan untuk Allah itu kepada orang lain. Mungkin diberikan kepada mereka yang sedang tawaf di Kaabah. Ataupun akan diberikan kepada orang-orang miskin yang memerlukannya. Tapi bahagian yang telah diperuntukkan kepada sembahan syirik mereka, tidak pula diberikan untuk menolong orang.

Mereka sendiri reka berapa banyak bahagian yang diperuntukkan untuk Allah. Mereka juga pandai-pandai tetapkan apakah tanaman dan binatang untuk dikorbankan. Tidak sama macam zakat yang Allah telah tentukan berapa banyak yang perlu dikeluarkan.

 

وَهَٰذَا لِشُرَكَائِنَا

dan ini untuk berhala-berhala kami”.

Ada bahagian untuk Allah, dan ada bahagian untuk sembahan syirik mereka. Mereka percaya sembahan syirik mereka itulah nanti yang akan membawakan doa mereka kepada Allah. Sebab itu mereka nak bodek dengan beri sembahan makanan atau sembelihan itu. Mereka juga beri kepada sembahan-sembahan mereka kerana mereka sangka bahawa sembahan-sembahan itu nanti yang akan menyelamatkan mereka. Atau mereka sangka yang sembahan mereka itu yang boleh meningkatkan rezeki mereka atau menghalang bala bencara dari sampai kepada mereka.

Bahagian yang diberikan untuk sembahan syirik mereka itu selalunya lebih besar daripada bahagian yang diberikan untuk Allah, kerana mereka lebih takut kepada tuhan syirik mereka daripada Allah.

Kalau di Malaysia, sebagai contohnya, ada yang percaya ‘Semangat Padi’ yang dipuja, diberi makan dan sebagainya, akan menyebabkan tanaman mereka subur dan banyak. Itu dalam hal padi, dalam hal-hal tanaman lain, ada lagi. Dalam menangkap ikan, ada lain pula. Ini masih lagi diamalkan di Malaysia di tempat-tempat tertentu kerana masih ramai lagi masyarakat kita yang mengamalkan amalan syirik, walaupun mereka mengaku Islam. Ianya kerana masyarakat kita memang cenderung kepada syirik. Dan mereka selalunya tidak kisah hal agama, atau kalau mereka kisah, mereka diajar dengan amalan-amalan dan akidah yang syirik oleh guru-guru dari kalangan ‘ulama su”.

Saidina Umar pernah berkata, kita tidak akan faham tentang syirik jikalau kita tidak tahu tentang amalan syirik yang diamalkan oleh Musyrikin Mekah. Oleh sebab itu, penting untuk kita kenali apakah akidah Musyrikin Mekah. Mereka itu percaya bahawa Allah adalah Tuhan, Nabi Ibrahim adalah Rasul mereka dan mereka masih lagi mengamalkan serba sedikit syariat daripada ajaran Nabi Ibrahim. Tetapi dalam masa yang sama, mereka mempunyai akidah syirik dan amalan-amalan syirik yang dilakukan oleh mereka. Jadi, jikalau masyarakat Islam di negara ini percaya Allah itu Tuhan, Nabi Muhammad itu Rasul, dan kita mengamalkan ibadah-ibadah yang diajar oleh Nabi, tetapi di dalam masa yang sama kita melakukan amal syariat dan mempunyai akidah yang syirik, maka kita juga adalah musyrikin. Jangan sangka yang orang Islam tidak boleh jadi musyrikin.

 

فَمَا كَانَ لِشُرَكَائِهِمْ فَلَا يَصِلُ إِلَى اللَّهِ

Maka saji-sajian yang diperuntukkan bagi sekutu-sekutu mereka itu, tidak sampai kepada Allah;

Apa sahaja pemberian yang mereka telah tetapkan untuk sembahan mereka selain Allah itu tidak akan sampai kepada Allah. Allah tentunya tidak memerlukan makanan itu. Apa yang dimaksudkan untuk Allah sebenarnya diberikan kepada mereka yang memerlukan, sebagai contoh, mereka yang miskin dan mereka yang melakukan tawaf di Kaabah pada masa itu.

 

وَمَا كَانَ لِلَّهِ فَهُوَ يَصِلُ إِلَىٰ شُرَكَائِهِمْ

dan saji-sajian yang diperuntukkan bagi Allah, sajian itu sampai kepada berhala-berhala mereka.

Tetapi pemberian kepada Allah kadang-kadang sampai kepada tuhan-tuhan mereka. Sebagai contoh, kalau bahagian untuk tuhan-tuhan mereka tidak cukup, mereka akan ambil daripada bahagian yang diperuntukkan untuk Allah. Mereka tak takut dengan Allah, mereka lebih takut dengan berhala mereka.

Dan bahagian untuk Allah pun mereka tidak akan biarkan begitu sahaja. Mereka akan ambil bahagian yang telah diperuntukkan untuk Allah dan diberikan kepada orang lain, kerana mereka kata Allah tidak memerlukan pemberian itu. Contohnya, diberikan kepada siak atau sami yang menjaga kuil itu.

 

سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ

Amat buruklah ketetapan hukum mereka itu.

Amat buruk apa yang mereka lakukan kerana Allah yang telah memberikan segala-galanya kepada mereka, tapi mereka tidak balas dengan melakukan ibadah yang benar. Tetapi kepada tuhan-tuhan syirik mereka yang tidak boleh memberi mereka apa-apa, mereka lebih-lebih kan.

Mereka juga telah pandai-pandai mencipta agama baru dan hukum baru dengan mendatangkan bahagian-bahagian yang tertentu untuk Allah dan bahagian-bahagian tertentu untuk tuhan mereka. Allah tak pernah suruh dan ajar pun, tapi mereka yang pandai-pandai buat sendiri.

Samalah juga dengan amalan-amalan masyarakat kita yang tidak berasaskan daripada ajaran Nabi. Semua perkara itu dibuat hukumnya oleh mereka dan mereka akan kata bahawa ianya adalah sebahagian daripada agama. Yang menyedihkan, ianya diajar oleh ustaz-ustaz dalam masyarakat kita.

Apakah pengajaran ayat ini kepada kita, kerana mungkin ada yang berkata amalan ini tidak lagi dibuat oleh masyarakat kita? Ayat ini mengajar kita bahawa kita tidak boleh membuat perkara baru dalam agama. Walaupun mereka berkata niat mereka adalah baik. Sebagai contoh, Musyirikin Mekah mengatakan mereka memberi bahagian untuk Allah tetapi mereka memandai-mandai memberikan anggaran dan hukum-hukum yang baru walaupun Allah tidak menyuruh mereka berbuat begitu. Dan syariat Nabi Ibrahim pun bukan begitu. Oleh itu, membuat perkara baru dalam agama walaupun dengan niat yang baik adalah satu dosa.

Ayat ini juga mengajar kita untuk melebihkan Allah dalam kehidupan kita. Jangan jadi macam Musyrikin Mekah yang menyekutukan Allah dengan tuhan-tuhan syirik, malah melebihkan tuhan-tuhan syirik mereka dari Allah. Kita telah ada ibadat yang perlu kita penuhi sehari semalam. Janganlah kerana kita ada perkara-perkara lain yang kita perlu lakukan, maka ibadat yang perlu kita lakukan itu kita ketepikan. Itu bermakna, kita melebihkan benda lain lagi dari Allah. Lihatlah bagaimana Allah telah menegur perbuatan Musyrikin Mekah yang melebihkan tuhan-tuhan syirik mereka daripadaNya.

Kita juga banyak buat kesalahan ini. Kalau dalam bersukaria, kita sanggup menghabiskan wang. Tiket konsert kita tidak kisah bayar mahal pun. Tetapi kalau dalam hal agama, seperti bersedekah atau mendapatkan buku-buku agama, kita tidak sanggup untuk mengeluarkan duit walau sedikitpun.


 

Ayat 137:

6:137
Sahih International

And likewise, to many of the polytheists their partners have made [to seem] pleasing the killing of their children in order to bring about their destruction and to cover them with confusion in their religion. And if Allah had willed, they would not have done so. So leave them and that which they invent.

Malay

Dan demikianlah juga (jahatnya) ketua-ketua yang orang-orang musyrik itu jadikan sekutu bagi Allah, menghasut kebanyakan dari mereka dengan kata-kata indah yang memperlihatkan eloknya perbuatan membunuh anak-anak mereka, untuk membinasakan mereka, dan untuk mengelirukan mereka nengenai ugama mereka. Dan kalau Allah kehendaki, nescaya mereka tidak melakukannya. Oleh itu biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan itu.

وَكَذَٰلِكَ زَيَّنَ لِكَثِيرٍ مِّنَ الْمُشْرِكِينَ

Dan demikianlah telah menjadikan kebanyakan dari orang-orang musyrik itu memandang baik

Sebagaimana perbuatan mereka memberi persembahan kepada tuhan-tuhan mereka telah dinampakkan cantik kepada mereka, begitu juga dengan perbuatan syirik yang lain yang akan disebutkan ini.

مِّنَ الْمُشْرِكِينَ bermaksud bukan semua orang musyrik berbuat seperti yang akan disebutkan ini tetapi ‘kebanyakan’ daripada mereka. Apakah perbuatan mereka itu?

 

قَتْلَ أَوْلَادِهِمْ شُرَكَاؤُهُمْ

membunuh anak-anak mereka (dinampakkan cantik) oleh sekutu-sekutu mereka

شُرَكَاؤُهُمْ bermaksud jin dan syaitan yang telah mereka jadikan sebagai kawan rapat mereka itu. Apabila mereka telah bersekongkol dengan jin dan syaitan itu, maka mereka telah menyuruh orang-orang musyrik ini untuk melakukan berbagai-bagai perkara yang salah. Antaranya, membunuh anak-anak mereka.

Apabila manusia sudah semakin jauh dari Allah, maka ada manusia yang sanggup membunuh manusia-manusia lain termasuk anak-anak mereka sendiri kerana mereka telah disuruh oleh syaitan. Beginilah yang terjadi kepada kaum-kaum sesat seperti Inca dan Aztek di Amerika Selatan. Mereka akan membunuh anak-anak kecil mereka sebagai persembahan kepada tuhan dan dewa mereka dalam keadaan tertentu. Contohnya, mereka akan buat begitu jikalau sudah lama hujan tidak turun atau mereka dilanda musibah.

Bangsa Arab Musyrikin Mekah pun ada berbuat begitu juga.

 

لِيُرْدُوهُمْ

untuk membinasakan mereka

Apabila puak Musyrikin membunuh anak-anak mereka, mereka telah memusnahkan diri mereka sendiri kerana mereka membunuh keturunan mereka dan mereka telah membunuh tenaga kerja yang mereka boleh gunakan. Kalau mereka bunuh anak-anak perempuan, ini akan menyebabkan kurangnya perempuan di dalam masyarakat mereka untuk meneruskan keturunan puak mereka.

Macam-macam sebab dijadikan oleh Musyrikin untuk membunuh anak-anak mereka. Sebagai contoh, mereka akan membunuh anak perempuan mereka kerana mereka malu. Mereka tidak boleh menerima hakikat bahawa ada orang lelaki lain yang akan memiliki anak perempuan mereka. Dan mereka juga membunuh anak perempuan mereka kerana pada pendapat mereka, anak perempuan itu tidak memberi faedah dari segi ekonomi. Mereka tidak kuat untuk membantu mereka berkebun atau bercucuk tanam. Juga tidak dapat membantu mereka dalam peperangan. Dan mereka adalah kaum yang mementingkan anak lelaki dan mereka berbangga jika anak-anak mereka adalah anak lelaki. Jikalau mereka mendapat anak perempuan, mereka rasa seperti ada kekurangan pada diri mereka.

Selain dari itu, mereka juga membunuh anak-anak mereka tidak kira perempuan atau lelaki kerana mereka takut mereka akan jatuh papa kedana kalau anak mereka ramai. Kerana itu, jikalau mereka dapat anak dan mereka rasa mereka tidak dapat memberi anak itu makan, atau mereka rasa anak itu akan menyebabkan mereka kekurangan makanan kerana ada bertambah mulut yang nak disuap, mereka akan membunuh anak itu waktu yang kecil lagi. Ataupun mereka akan gugurkan bayi yang dalam kandungan isteri mereka.

Itu semua adalah fahaman yang salah. Allah telah berfirman dalam al-Isra’:31 tentang laranganNya membunuh anak kerana takut kemiskinan.

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ ۖ نَحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ ۚ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْئًا كَبِيرًا
Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.

Allah menceritakan apa yang terjadi pada Zaman Jahiliah. Adakah ia masih lagi berlaku pada zaman sekarang? Tentu kita pernah mendengar bagaimana ada ibu bapa yang tidak mahu anak perempuan. Apabila mereka tahu bahawa isteri mereka mengandungkan anak perempuan, maka mereka akan menggugurkan anak mereka. Ini bermaksud zaman jahiliyah masih ada lagi sampai sekarang. Di negara ini pun kadang-kadang kita akan mendengar bagaimana ada pasangan yang membunuh anak-anak mereka. Kalau mereka tidak bunuh selepas lahir, mereka akan gugurkan. Kalau mereka tak sanggup bunuh, mereka akan tinggalkan anak-anak mereka di jalanan dan sebagainya.

Begitu juga terdapat pasangan suami isteri yang tidak mahukan anak. Kerana mereka rasa mereka tidak dapat memelihara anak itu kerana takut miskin. Mereka rasa mereka tak mampu nak sara hidup anak. Sampaikan mereka sanggup menggugurkan anak itu dan kalau anak itu lahir, mereka akan memberikan anak itu kepada orang lain. Sedangkan Allah telah memberitahu kepada kita bahawa Dialah yang memberi rezki kepada anak itu. Semasa anak itu didalam perut ibu itu lagi Allah sudah memberikan rezeki kepada anak itu.

Selain itu terdapat pasangan suami isteri yang apabila mereka tahu bahawa anak mereka akan menjadi cacat, mereka akan menggugurkan kandungan. Itu pun dikira sebagai membunuh anak.

Ada musyrikin yang akan mengorbankan anak-anak mereka untuk berhala-berhala mereka. Semasa zaman Khalifah Umar, pernah sungai Nil kekeringan air. Telah menjadi adat mereka turun temurun untuk mengorbankan anak perempuan jikalau Sungai Nil kekeringan. Khalifah Umar telah memberhentikan adat khurafat itu. Ini bermakna selepas zaman Islam  pun masih ada lagi pengorbanan anak yang dilakukan.

 

وَلِيَلْبِسُوا عَلَيْهِمْ دِينَهُمْ

dan untuk campur adukkan mereka agama mereka.

Mencampuradukkan antara yang hak dan yang batil. Mencampurkan antara agama yang diajar oleh Nabi dan amalan-amalan direka oleh manusia. Itulah yang terjadi di negara Malaysia sekarang. Kerana ramai yang jahil dengan agama, mereka telah mencampurkan amalan-amalan yang bukan dari ajaran Nabi, seperti Maulid Nabi, bacaan Talqin, solat hajat berjemaah dan banyak lagi amalan-amalan bidaah dan sesat yang mereka anggap sebagai agama.

Apabila agama dicampur-adukkan, maka ianya akan mengelirukan mereka. Kerana mereka sudah tidak tahu manakah agama yang benar dan manakah yang tidak. Macam orang kita juga yang sedang tidak tahu manakah arahan agama dan manakah amalan adat turun temurun. Mereka hanya mengikut sahaja ajaran-ajaran ustaz-ustaz dan guru-guru yang jahil.

 

وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا فَعَلُوهُ

Dan kalau Allah menghendaki, niscaya mereka tidak mengerjakannya,

Allah boleh sahaja halang mereka yang mengamalkan amalan-amalan sesat dari melakukannya. Tetapi Allah biarkan manusia yang hendak jadi sesat untuk terus melakukannya dan itu adalah ujian bagi manusia. Ianya satu ujian bagi kita yang hendak mengamalkan sunnah. Ianya ujian bagi mereka yang hendak mencari kebenaran. Mereka terpaksa melalui amalan-amalan yang salah sebelum mereka berjumpa agama yang benar.

Bukannya senang untuk mengamalkan Sunnah didalam masyarakat yang rata-ratanya mengamalkan bida’ah dan mereka berpegang kuat dengan amalan yang salah itu. Sampaikan bila kita nak cuba mengingatkan kepada mereka tentang kesalahan itu mereka pula yang kata kita yang sesat dan menyusahkan agama. Kalau berdebat dengan mereka, mereka akan menggunakan hujah akal, kitab itu dan ini dan juga mereka kata ramai yang buat amalan seperti mereka. Mereka kata, takkan salah kalau ramai yang buat?

 

فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ

maka biarkan mereka dan apa yang mereka ada-adakan.

Maksud ‘biarkan’ adalah kita jangan tegur terus tentang kesalahan amalan mereka itu tetapi kita ajari mereka tauhid yang benar. Nabi Muhamad pun tidak menegur kesalahan-kesalahan penyembahan berhala yang dilakukan oleh musyrikin Mekah di awal Islam. Begitu juga baginda tidak menegur perbuatan tawaf dalam keadaan telanjang yang dilakukan oleh musyrikin Mekah waktu itu. Nabi juga tidak memecahkan berhala-berhala yang mereka sembah itu. Memang ada kisah bagaimana Nabi Ibrahim memecahkan berhala-berhala kaumnya, tapi itu bukanlah syariat Nabi Muhammad.

Apabila kita mengajar tauhid yang benar, selalunya yang menerima tauhid itu sendiri akan tahu mana yang salah dan mana yang benar. Mereka akan mula berfikir tentang agama, dan mereka akan menolak perbuatan syirik dengan sendiri, tanpa paksaan dari kita.

Hanya apabila berlakunya penaklukan Mekah, barulah baginda memberi arahan kepada sahabat-sahabat baginda untuk memusnahkan berhala-berhala yang berada dikeliling Kaabah itu.

Allahu a’lam.

Link kepada ayat yang seterusnya


 

Ref: UR, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s