Tafsir Surah al-An’am Ayat 132-135

Ayat 132:

6:132
Sahih International

And for all are degrees from what they have done. And your Lord is not unaware of what they do.

Malay

Dan bagi tiap-tiap seorang (dari manusia atau jin), beberapa darjat (tingkatan balasan) disebabkan (amal baik atau jahat) yang mereka telah kerjakan; dan (ingatlah) Tuhanmu tiadalah lalai dari apa yang mereka lakukan.

وَلِكُلٍّ دَرَجَاتٌ مِّمَّا عَمِلُوا

Dan masing-masing memperoleh derajat-derajat dari apa yang dikerjakannya.

وَلِكُلٍّ itu walaupun bermaksud ‘semua sekali’ dari segi bahasa, tapi dalam ayat ini, ia bermaksud ‘setiap jin dan manusia’. Kenapa hanya jin dan manusia sahaja? Kerana manusia dan jin telah dipertanggungjawabkan dengan syari’at yang mesti mereka ikuti. Jin dan manusia akan ditanya nanti di akhirat kelak tentang segala perbuatan mereka semasa mereka di dunia. Adakah mereka beramal atau tidak?

Ayat ini memberitahu kita bahawa setiap manusia dan jin akan diberikan dengan kedudukan masing-masing berdasarkan kepada amalan mereka. Samada mereka tinggal di Syurga atau di Neraka. Jikalau semasa mereka di dunia, banyak amalan baik yang mereka lakukan, maka mereka akan mendapat kedudukan yang tinggi di Syurga kelak. Jikalau semasa mereka di dunia terdapat banyak perbuatan dosa yang mereka lakukan, maka mereka akan mendapat kedudukan yang hina semasa di Neraka kelak.

Semuanya ada Darjat atau kedudukan masing-masing. Dan derajat-derajat itu ada banyak tingkatan. Kalau dalam neraka, kedudukan mereka tidak sama, ada yang lagi teruk dari yang lain. Setiap kali melakukan perbuatan syirik, sama ada orang itu Islam ataupun orang kafir, mereka akan menambah keburukan yang mereka akan dapat di Neraka nanti. Sebagai contoh, ada orang kafir yang menyembah berhala sekali sahaja, tetapi lepas itu mereka buat tak kisah dengan agama mereka, maka dia akan duduk di Neraka tapi tidaklah seteruk kalau dibandingkan dengan orang lain yang setiap hari menyembah berhala bertahun-tahun lamanya.

Sama juga dengan orang Islam yang mengamalkan amalan syirik. Ada yang jadi guru dan mengajar kepada orang lain maka mereka akan mendapat keburukan yang bertimpa-timpa. Yang mengajar amalan syirik itu tidak sama dengan yang mengamalkannya. Kerana yang mengajar akan mendapat tambahan dosa yang bertimpa-timpa kerana ramai yang mengajar kemudian dari itu.

Begitu juga kedudukan ahli syurga di akhirat nanti, tidaklah sama semuanya. Ada yang mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada orang lain walaupun mereka semuanya sudah di dalam syurga. Lihatlah ayat Isra:21

انظُرْ كَيْفَ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَلَلْآخِرَةُ أَكْبَرُ دَرَجَاتٍ وَأَكْبَرُ تَفْضِيلًا

Perhatikanlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian (yang lain). Dan pasti kehidupan akhirat lebih tinggi tingkatnya dan lebih besar keutamaannya.

Ayat ini memberitahu kepada kita, bahawa dalam dunia ini pun sudah ada tingkatan antara manusia. Ada yang lagi tinggi dari yang lain. Ada yang lebih pandai, lebih kaya, lebih kuat dan sebagainya. Tapi derajat di syurga nanti akan lebih lagi. Kerana kalau perbezaan darjat di dunia, ianya tidak kekal, tapi di syurga ialah adalah kekal. Tambahan lagi, perbezaan di dunia tidaklah besar sangat sebenarnya. Kerana manusia sama sahaja sebenarnya, semuanya kena makan, kena tidur dan sebagainya. Tapi perbezaan darjat di syurga nanti amatlah besar.

Dalam ayat Surah al-An’am ini, perkataan مِّمَّا عَمِلُوا mengingatkan kepada kita bahawa kita perlu berusaha untuk mendapatkan darjat yang tinggi di akhirat kelak. Seperti juga kita perlu berusaha semasa kita di dunia untuk mendapatkan kedudukan di dunia, maka begitulah juga kita perlu beramal dengan amalan yang soleh yang banyak untuk mendapatkan kedudukan yang tinggi di akhirat. Sebagai contoh, kalau kita hendak menjadi doktor, maka hendaklah kita belajar besungguh-sungguh. Kalau hendak mendapat kedudukan di Syurga Firdaus, maka hendaklah kita beramal dengan amalan ahli Syurga Firdaus.

Ini menunjukkan keadilan Allah di mana Allah membalas manusia berdasarkan kepada ‘usaha’ mereka. Dan Allah tidak memberi hukuman kepada manusia melainkan apa yang mereka lakukan sahaja.

Oleh itu, kalau di dalam dunia kita berusaha bersunguh-sungguh untuk mendapatkan kedudukan yang tinggi, dapat gaji yang besar, rumah yang indah, kenapa kita tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kedudukan yang tinggi di akhirat? Bukankah kedudukan di akhirat nanti lebih penting kerana kita tidak tetap di dunia, tapi kita akan kekal di akhirat.

Oleh itu, tingkatkanlah usaha dan amalan kita dalam dunia ini untuk mendapatkan balasan akhirat. Sebagai contoh, di dalam solat kita bacalah surah-surah yang panjang sikit dan janganlah hanya membaca surah surah yang pendek sahaja.

 

وَمَا رَبُّكَ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

Dan Tuhanmu tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan.

Allah maha tahu tentang apa yang kita lakukan maka sebab itulah Allah layak untuk memberikan kedudukan darjat yang sesuai dengan amalan kita. Kalau dibandingkan dengan kehidupan di dunia, tentulah tidak sama. Sebagai contoh, katakanlah kita ada seorang pekerja yang amat rajin. Kadang-kadang kita tidak tahu apa yang dia buat kerana perbuatannya itu bukan di hadapan kita, jadi kita tidak dapat memberikan balasan yang setimpal. Kalau pun dia berada dihadapan kita, kita tidak mempunyai pengetahuan yang lengkap untuk membalasnya dengan balasan yang setimpal. Contohnya, kita mungkin nampak dia buat kerja dengan rajin, tetapi kita tidak tahu sama ada pekerjaan yang dilakukan itu akan membawa hasil ataupun tidak. Kerana pengetahuan kita amatlah terhad.

Tetapi Allah maha mengetahui segala-galanya, maka apa sahaja kedudukan yang Allah berikan kepada makhlukNya di akhirat nanti adalah apa yang layak untuk dia dapat.

Maksud Allah tidak lengah juga bermakna, tidaklah Allah sibuk sangat, sampai Allah leka dan lalai dari apa sahaja perbuatan yang manusia dan jin lakukan. Dalam ayat Kursi telah disebut bagaimana walaupun Allah mengurus alam ini semuanya, tetapi Allah tidak lelah dalam mengurusnya. Allah tahu semuanya tentang setiap perkara yang berlaku dalam alam ini termasuklah apa yang jin dan manusia lakukan.

Maksud Allah memberitahu bahawa Dia tidak leka adalah untuk beritahu kita bahawa semua perbuatan kita akan dibalas. Perbuatan baik akan dibalas baik dan perbuatan jahat akan dibalas dengan buruk.

Ayat ini juga memberi tahu kepada kita bahawa Allah membalas ‘usaha’ yang kita telah lakukan. Balasan Allah tidak sama seperti balasan yang kita dapat di dunia. Sebagai contoh, kadang-kadang kita telah berusaha bersungguh-sungguh di dunia, tetapi hasil yang kita dapat tidak setimpal dengan usaha kita. Sebagai contoh, mungkin kita berusaha dengan membaca dan mengulang kaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan. Tetapi malangnya, mungkin semasa peperiksaan kita tidak dapat menjawab dengan baik. Dan kerana itu, kita akan mendapat markah yang rendah. Ini adalah kerana tukang periksa peperiksaan hanya memberi markah berdasarkan kepada apa yang kita jawab. Dia tidak tahu apakah usaha yang banyak yang telah kita lakukan. Tetapi Allah yang Maha Tahu tahu apa usaha yang kita telah lakukan dan Allah akan membalas berdasarkan kepada usaha itu dan tidak semestinya berdasarkan kepada kejayaan semata-mata. Sebagai contoh, mungkin kita telah melakukan banyak usaha dakwah tetapi tidak ramai yang mengikuti dan menerima ajakan kita. Walaupun tidak ramai yang ikut kita, tetapi Allah akan membalas dan memberi pahala kepada kita berdasarkan usaha dakwah kita itu. Inilah salah satu dari rahmat Allah.


 

Ayat 133:

6:133
Sahih International

And your Lord is Free of need, the possessor of mercy. If He wills, he can do away with you and give succession after you to whomever He wills, just as He produced you from the descendants of another people.

Malay

Dan Tuhanmu Maha Kaya, lagi Melimpah-limpah rahmatNya. Jika Ia kehendaki, nescaya Ia binasakan kamu dan menggantikan sesudah (binasanya) kamu dengan sesiapa yang dikehendakiNya, sebagaimana Ia telah menjadikan kamu dari keturunan kaum yang lain.

وَرَبُّكَ الْغَنِيُّ

Dan Tuhanmu Maha Kaya

Maksud ‘kaya’ adalah ‘tidak memerlukan apa-apa lagi’. Oleh itu, Maksud Allah Maha Kaya dalam ayat ini adalah: Allah tidak memerlukan ibadah kita. Tidaklah Allah jadi kurus kalau kita tidak menyembahNya. Tidaklah juga Allah terkesan dengan perbuatan dosa yang kita lakukan. Oleh itu jangan kita sangka yang Allah membalas usaha kita dengan pahala kerana dia memerlukan ibadah kita. Allah balas ibadah yang kita buat kerana sifat RahmahNya.

Allah lah yang sebenar-benar kaya. Kalau ada orang kaya dalam dunia ini pun, mereka mereka masih lagi memerlukan orang lain untuk hidup. Dia tidak boleh hidup sendiri. Tetapi Allah langsung tidak memerlukan sesiapa pun.

Jadi, Allah tidak memerlukan ibadah kita. Tetapi Allah telah tetapkan kita untuk melakukan ibadat kepadaNya dan meninggalkan segala perbuatan perbuatan yang buruk. Itu adalah arahan dari Allah. Jangan kita ingat yang Allah tidak perlukan ibadah kita, kita tak buat pula ibadah itu.

 

ذُو الرَّحْمَةِ

lagi mempunyai rahmat.

Allah bukan sahaja bersifat kaya tetapi Allah bersifat Rahmah. Selalunya dua sifat ini tidak duduk bersama-sama pada makhluk. Kerana kalau kita lihat manusia yang kaya, selalunya mereka tidak bersifat belas kasihan kepada orang lain. Tetapi dua sifat ini ada pada Allah.

Tidak terkira betapa banyaknya Rahmah yang telah Allah berikan kepada kita. Kita tidak akan dapat membalas Allah atas segala nikmat yang telah diberikanNya kepada kita. Dan tidaklah Allah suruh kita beribadat sepanjang kita hidup sehari semalam. Kalaulah kita kira, berapa lama kita beribadah kepada Allah dalam sehari semalam, tentulah kita akan dapati bahawa ibadah kita itu mungkin tidak sampai sejam pun dalam sehari. Terlalu sedikit kalau dibandingkan dengan segala pemberian Allah kepada kita. Tetapi dari amalan soleh yang sedikit yang kita lakukan itu kerana mengikut arahanNya, apa yang Allah akan balas kepada kita? Bukankah Dia akan membalas kita dengan syurga yang kita akan kekal di dalamnya? Sebab itulah benar sekali hadis Nabi yang mengatakan bahawa kita tidak masuk syurga kerana amalan kita, tapi kerana Rahmat dari Allah semata-mata.

Ada lagi rahmat dari Allah: Kalau kita berbuat satu dosa, kita akan dibalas dengan satu dosa juga. Tetapi jikalau kita berbuat satu kebaikan, kita akan dibayar dengan gandaan 10 kali ganda sekurang-kurangnya. Dan Allah boleh gandakan lagi 100 kali atau lebih lagi untuk dibalasNya kepada kita. Itu semua terpulang kepada Allah.

Dan rahmah Allah ini amat besar sampaikan Allah boleh balas berdasarkan ‘usaha’ kita sahaja. Kita mungkin tidak mendapat kejayaan dari usaha kita itu, tapi Allah dah balas dah. Sebagai contoh, Allah akan balas dengan pahala atas usaha dakwah yang kita lakukan, walaupun tidak ada yang ikut kita.

Satu lagi sifat Rahmah Allah yang boleh kita sebutkan disini adalah bagaimana Allah membenarkan kita untuk terus hidup di dunia ini sepanjang hayat kita walaupun kita telah melakukan banyak dosa. Allah beri peluang kepada kita untuk bertaubat dan melakukan amal ibadat sepanjang kita hidup ini. Mungkin kita ada buat salah dan dosa dalam kehidupan kita. Kalau umur kita panjang, ada kemungkinan kita sempat bertaubat. Tapi kalau kita dimatikan awal, tentu kita akan mendapat nasib yang malang sekali.

 

إِن يَشَأْ يُذْهِبْكُمْ

Jika Dia menghendaki niscaya Dia memusnahkan kamu

Allah boleh saja kalau kalau Allah mahu, untuk memusnahkan semua sekali makhluk yang melakukan dosa dan  berbuat kufur kepadaNya. Memang Allah boleh buat dan Allah pun dah pernah buat kepada kaum-kaum yang terdahulu. Lihatlah apa yang terjadi kepada kaum Aad dan Tsamud.

 

وَيَسْتَخْلِفْ مِن بَعْدِكُم مَّا يَشَاءُ

dan menggantimu dengan siapa yang dikehendaki-Nya setelah kamu (musnah),

Dan kalau Allah takdirkan untuk memusnahkan semua makhluk, boleh sahaja membangkitkan makhluk yang lain untuk mengganti kita. Tidak ada masalah buat Allah untuk berbuat begitu.

Perkataan وَيَسْتَخْلِفْ diambil dari kata dasar خلف yang bermaksud ‘belakang’. Iaitu bermaksud datang di belakang atau ‘kemudian’. Perkataan ‘khalifah’ juga diambil dari kata dasar ini. Kerana ‘khalifah’ bermaksud mengganti khalifah yang sebelumnya. Dan kita juga dinamakan ‘Khalifah di bumi’ kerana kita mengganti generasi yang terdahulu sebelum kita. Umat Nabi Adam juga dikatakan sebagai khalifah kerana kita menggantikan Golongan jin. Dan kita akan menggantikan generasi yang sebelum kita.

Tidak ada masalah untuk Allah musnahkan kita dan ganti dengan golongan yang lain. Sebagai contoh, lihatlah bagaimana negeri Acheh yang telah musnah dilanda Tsunami itu dahulu. Memang waktu itu kita lihat, hancur terus negeri Acheh itu. Tapi kalau sekarang ini kita pergi ke Acheh, kita akan lihat negeri itu seperti tidak pernah ada dilanda malapetaka sahaja. Maknanya Allah boleh ganti sesuatu yang musnah dengan benda yang baharu dan tidak ada masalah bagi Allah.

 

كَمَا أَنشَأَكُم مِّن ذُرِّيَّةِ قَوْمٍ آخَرِينَ

sebagaimana Dia telah menjadikan kamu dari keturunan orang-orang lain.

Allah telah ceritakan tentang kaum-kaum dahulu seperti Aad dan Tsamud. Orang Arab telah mengganti mereka dalam kehidupan selepas mereka. Kita pun sekarang ini menggantikan keturunan-keturunan tok nenek kita yang dahulu. Mereka sekarang sudah tiada. Kita nanti akan mati dan kita akan digantikan dengan keturunan-keturunan selepas kita. Inilah pusingan kehidupan. Tidak ada sesiapa pun yang akan hidup di dunia ini selama lamanya.

Maknanya, Allah boleh gantikan kita dengan kaum lain kalau Allah mahu. Macam juga Allah gantikan kaum dulu dengan kita.

Ini mengingatkan kita bahawa kita hanya hidup di dunia ini untuk waktu yang singkat sahaja. Oleh itu kita hendaklah mengambil peluang ini untuk melakukan amal ibadah yang soleh sebanyak-banyaknya supaya kita boleh mendapat Darjat yang tinggi di akhirat kelak. Jika tidak kita hanya membuang masa yang singkat ini sahaja.


 

Ayat 134:

6:134
Sahih International

Indeed, what you are promised is coming, and you will not cause failure [to Allah ].

Malay

Sesungguhnya apa yang dijanjikan kepada kamu (hari kiamat dan balasannya) tetap akan datang, dan kamu tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan itu).

إِنَّ مَا تُوعَدُونَ

Sesungguhnya apa yang dijanjikan kepadamu

Banyak janji Allah yang telah diberikan dalam Quran dan dari hadis Nabi. Antaranya adalah kematian kita. Semua makhluk akan mati.

Ia juga merujuk kepada hari kebangkitan ataupun hari kiamat. Itulah hari di mana kita semua akan dibalasi dengan perbuatan kita semasa di dunia. Malah banyak lagi perkara perkara yang dijanjikan oleh Allah.

 

لَآتٍ

pasti datang,

Segala yang dijanjikan itu pasti akan datang. Yang berjanji dengan kita adalah Allah azza wajalla. Dia pasti akan menjadikannya kenyataan. Kalau manusia yang menjanjikan sesuatu, belum tentu lagi ianya akan terjadi.

Perkataan لَآتٍ bermaksud yang akhirnya pasti datang dan dia akan datang tidak lama lagi.

 

وَمَا أَنتُم بِمُعْجِزِينَ

dan kamu sekali-kali tidak sanggup Lepaskan diri.

بِمُعْجِزِينَ dari عجز yang bermaksud ‘lemah tidak mampu untuk melawan’. Tidak mampu untuk mencapai sesuatu. Ia juga digunakan untuk bermaksud seseorang yang telah dilumpuhkan dari berbuat sesuatu. Oleh itu, بِمُعْجِزِينَ bermaksud melemahkan seseorang dari melakukan sesuatu. Atau bermaksud menghalang seseorang daripada melakukan sesuatu.

Oleh itu, ayat ini bermaksud, kita tidak boleh menghalang Allah dari melakukan apa yang Allah hendak lakukan. Ini bermaksud, kita tidak boleh melarikan diri dari apa yang Allah telah janjikan  kepada kita.

Kalau dalam dunia, penjenayah-penjenayah masih boleh lagi melarikan diri daripada ditangkap polis tetapi di akhirat nanti mereka tidak boleh melarikan diri dari hukuman Allah.

 


 

Ayat 135:

6:135
Sahih International

Say, “O my people, work according to your position; [for] indeed, I am working. And you are going to know who will have succession in the home. Indeed, the wrongdoers will not succeed.

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai kaumku (yang masih kafir), buatlah sedaya upaya kamu (untuk menentang Islam), sesungguhnya aku juga tetap beramal (berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan Islam); kemudian kamu akan ketahui siapakah yang akan beroleh kebaikan dan kejayaan di negeri. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya.

 

قُلْ يَا قَوْمِ

Katakanlah: “Hai kaumku, 

Nabi disuruh memberitahu kepada kaumnya yang mengamalkan akidah syirik dan kufur itu. Setelah diberikan dakwah dan segala hujah-hujah,  mereka masih lagi tidak mahu menerima Islam.

اعْمَلُوا عَلَىٰ مَكَانَتِكُمْ

berbuatlah sepenuh kemampuanmu, 

Perkataan  مَكَانَتِ  bermaksud kedudukan atau keadaan. Ia bermaksud mereka disuruh untuk melakukan sesuatu ikut apa yang boleh dan ikut kemampuan.

Nabi disuruh memberitahu mereka untuk berbuat apa yang mereka nak buat. Kalau kamu nak syirik, buatlah syirik kamu itu. Kalau kamu nak amalkan pantang yang mengharamkan yang halal, buatlah ikut suka kamu. Tapi kenalah kita tahu yang ini bukanlah suruhan. Ianya bukan bermaksud Allah redha dengan apa yang mereka lakukan itu. Ini adalah ayat berbentuk ancaman. Sebagai contoh, ada anak kita nak main sungai semasa hari hujan lebat. Kita pun kata: “Ha pergilah kamu nak main sangat”.

Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa semasa kita di dunia, kita boleh buat apa saja yang kita suka. Kalau kita mahu kepada kesesatan, Allah akan biarkan kita berada di dalam kesesatan itu. Tetapi apabila mati kelak, Allah akan balas perbuatan sesat kita itu dengan azab yang pedih.

Oleh itu, jikalau perbuatan kita yang salah itu menjadi, tidaklah bermakna bahawa ianya adalah benar. Contohnya ada orang yang mengamalkan ilmu kebal. Tidaklah bermakna, ilmu kebal itu benar walaupun ia menjadi; begitu juga, ramai yang kata Selawat Syifa’ itu mujarab. Tidaklah kerana ia mujarab boleh dijadikan sebagai dalil yang ianya adalah amalan yang benar.

Dan janganlah kita sangka Allah tidak beri azab kepada kita atas perbuatan kita bermaksud perbuatan kita itu benar. Sebagai contoh, apabila satu stadium mengamalkan majlis Ya Hanana, yang memuja-muja Nabi Muhammad, tidaklah Allah turunkan petir ataupun hujan kepada mereka. Tapi itu tidaklah bermaksud bahawa perbuatan mereka itu diredhai Allah.

Oleh kerana tidak faham perkara inilah maka ada yang berkata: “kami buat benda ini Allah tak turun bala pun kepada kami”. Ataupun mereka berkata: “kalau Allah benarkan kita buat perkara ini, tentulah perkara ini betul”. Itu semua dan banyak lagi hujah-hujah yang sebegitu adalah kerana kejahilan mereka dengan Quran.

إِنِّي عَامِلٌ

sesungguhnya akupun berbuat (juga). 

Biarkan mereka berbuat dengan amalan kufur dan syirik mereka. Biarkan mereka dengan amalan bidaah mereka. Kita pun akan beramal juga. Tapi amalan kita adalah ikut apa yang Nabi telah ajar berdasarkan kepada dalil yang sahih.

Dari ayat ini kita disuruh untuk terus mengamalkan amal ibadat yang soleh. Kita perlu menguatkan usaha kita dan tetap didalam melakukan amal yang baik. Kerana dalam ayat ini kita diajar bahawa dalam kita melihat orang lain melakukan amalan syirik dan bida’ah, maka kita perlu menetapkan usaha kita dan meningkatkan diri kita untuk melakukan amal yang soleh. Janganlah kita putus harap dalam kita melihat ramai daripada masyarakat kita yang mengamalkan amalan yang salah. Sebagai contoh, kalau kita lihat di sekeliling kita, kita akan lihat ramai sangat yang berbuat amalan yang bukan daripada sunnah. Mereka tentunya lebih ramai dari kita dan suara mereka lebih kuat daripada suara kita. Kita tidak dapat menghalang mereka daripada melakukan amalan mereka itu tetapi kita boleh menjaga amalan kita.

فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ

Kelak kamu akan mengetahui, 

Kita akan mengetahui apakah kesan dari perbuatan amalan kita itu apabila dah mati nanti. Kalau kita berbuat amalan baik, akan dibalas baik. Tapi kalau kita berbuat amalan yang salah, yang kufur, yang syirik dan bidaah, maka amat malang nasib kita. Tapi waktu itu, kita tidak dapat berbuat apa-apa lagi kerana pintu taubat sudah tertutup waktu itu.

مَن تَكُونُ لَهُ عَاقِبَةُ الدَّارِ

siapakah (di antara kita) yang akan memperoleh hasil yang baik di akhirat. 

Perkataan عَاقِبَةُ diambil dari kata dasar عقب yang bermaksud ‘tumit’. Oleh itu, perkataan عَاقِبَةُ bermaksud hujung kepada sesuatu sepertimana tumit adalah hujung kepada kaki kita. Oleh itu, عَاقِبَةُ adalah penghujung dari perbuatan kita. Kita pun pakai perkataan ini dalam bahasa Melayu kita: akibat.

Kebenaran sesuatu perkara itu kadang-kadang kita tidak nampak di dunia ini. Allah tak balas di dunia tetapi Allah tunggu untuk balas di akhirat kelak. Jadi dunia ini bukanlah tempat untuk ditunjukkan akibat kepada sesuatu. Kalau kita lihat ramai yang buat amalan ibadah yang bukan sunnah ataupun tidak ada tuntunan dari Nabi, itu bukanlah tanda bahawa mereka itu benar. Kerana majoriti tidak menentukan yang ianya benar.

إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الظَّالِمُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan mendapatkan keberuntungan.

Orang yang zalim tidak akan mendapat kemenangan. Mungkin hanya di akhirat, atau mungkin di dunia lagi. Seperti yang kita tahu Islam telah menang di Tanah Arab dan kemusyrikan telah dihapuskan semasa hidup Nabi lagi.

Ingatlah bahawa kejayaan menanti kita di akhirat kelak. Walaupun mungkin kita nampak bahawa puak Sunnah ini sikit sangat sekarang tetapi yakinlah bahawa kita akan mendapat kemenangan di akhirat kelak dan itulah kemenangan yang lebih penting.

Kejayaan sesuatu fahaman itu bukanlah dilihat dengan ramainya orang yang mengikutinya. Oleh kerana itu jangan kita terpersona dengan ramainya orang yang melakukan amalan bidaah dan amalan-amalan yang syirik.

Allahu a’lam

Lompat ke ayat yang seterusnya


Ref: UR, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s