Tafsir Surah al-An’am Ayat 128-131

Ayat 128:

6:128
Sahih International

And [mention, O Muhammad], the Day when He will gather them together [and say], “O company of jinn, you have [misled] many of mankind.” And their allies among mankind will say, “Our Lord, some of us made use of others, and we have [now] reached our term, which you appointed for us.” He will say, “The Fire is your residence, wherein you will abide eternally, except for what Allah wills. Indeed, your Lord is Wise and Knowing.”

Malay

Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): “Wahai sekalian jin (Syaitan-syaitan)! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia”. Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: “Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (Syaitan-syaitan), dan kami telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami”. (Allah berfirman): “Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah”. Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.

وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا

Dan (ingatlah) hari diwaktu Allah menghimpunkan mereka semuanya

Allah sekarang menceritakan keadaan di akhirat kelak. Iaitu di Mahsyar. Waktu itu, semua sekali makhluk dikumpul di hadapan Allah. Tidak ada yang tertinggal. Samada makhluk itu beriman atau tidak. Ini adalah kerana perkataan جَمِيعًا digunakan dalam ayat ini, yang bermaksud ‘semua sekali’.

 

يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ

(dan Allah berfirman): “Hai golongan jin,

Lihatlah, tadi dikatakan Allah kumpulkan semua makhluk, tapi Allah bercakap dengan golongan jin sahaja.

Lebih tepat lagi, bukan hanya golongan jin sahaja, tapi maksud مَعْشَرَ الْجِنِّ adalah jin dan mereka yang bersekongkol dengan jin. Itulah mereka yang berkawan dengan jin, minta tolong dengan jin, berlindung dengan jin dan sebagainya.

Perkataan مَعْشَرَ itu dari perkataan عشر yang bermaksud ‘sepuluh’. Ianya adalah nombor yang besar, yang banyak. Jadi perkataan مَعْشَرَ bermaksud ‘kumpulan yang ramai’. Tapi tidaklah ahli kumpulan itu hanya sepuluh sahaja. Ianya telah menjadi maksud sekumpulan makhluk yang ramai.

Bukan semua yang kena marah dalam situasi ini. Kerana ada juga jin Islam yang baik-baik dan tidak campur urusan manusia. Jin yang disebut di dalam ayat ini adalah jin yang berperangai syaitan.

Kenapa Allah fokus kepada mereka sahaja? Kerana mereka ada buat salah yang amat besar. Apakah kesalahan mereka itu?

 

قَدِ اسْتَكْثَرْتُم مِّنَ الْإِنسِ

sesungguhnya kamu telah banyak menyesatkan manusia”,

Jin-jin yang jahat telah banyak menyesatkan manusia dan pada hari akhirat itu mereka akan membawa bersama mereka golongan-golongan manusia yang telah diperdaya itu. Mereka telah berjaya menangkap ramai golongan manusia.

Ada dua makna yang kita boleh faham dari perkataan اسْتَكْثَرْتُم itu. Perkataan itu berasal daripada perkataan كثر yang bermaksud ‘banyak’. Pertama, ini bermaksud telah banyak golongan manusia yang disesatkan oleh jin itu. Keduanya, ia bermaksud yang golongan jin itu telah melakukan banyak perkara untuk menyesatkan manusia. Macam-macam cara yang telah mereka gunakan.

Cara syaitan menyesatkan manusia adalah dengan memberi ajaran yang salah kepada tok-tok guru dan kemudian guru-guru itu akan menyampaikan ajaran salah itu kepada anak murid mereka. Anak murid itu pula akan menyampaikan kepada orang lain pula. Cara mereka mengajar itu adalah dengan memberi bisikan ilham kepada manusia itu, atau mereka akan bisikkan terus ke telinga tok guru itu. Telah ramai yang menceritakan bagaimana mereka dengar dengan nyata bisikan jin itu di telinga mereka. Kalau tok guru itu tidak belajar ajaran tauhid, mereka akan kata yang berbisik kepada mereka itu adalah ‘wali Allah’. Mereka pun terlonjak suka kerana mereka ingat maqam mereka dah tinggi sampai wali sendiri berbisik ke telinga mereka. Padahal, itu sebenarnya jin yang mengelabui mata orang itu. Orang itu, selalunya jenis orang yang kuat ibadat. Mereka kuat ibadat tapi kurang ilmu. Kerana mereka diajar untuk buat banyak ibadat, tapi mereka tidak disuruh untuk tuntut ilmu dengan banyak. Ini adalah salah faham di kalangan masyarakat kita. Mereka ingat, dengan beramal banyak, (selalunya yang diamalkan adalah zikir-zikir ajaran dari guru mereka), mereka akan mendapat ilmu, selamat di akhirat dan sebagainya. Tapi, yang sebenarnya, orang yang banyak ibadat tanpa ilmu itu adalah yang senang ditipu.

Satu cara lagi, syaitan akan mencari sesiapa yang ada kualiti tertentu dan akan diajarkan kepadanya amalan sesat kepada orang itu menggunakan mimpi. Itulah sebabnya ramai orang yang tiba-tiba daripada orang biasa tiba-tiba boleh jadi bomoh dan boleh mengubat orang. Padahal kita pun tahu daripada mudanya dia tidak belajar agama dan tidak belajar bagaimana untuk mengubat orang. Kalau tidak percaya, tanyalah mereka bagaimana mereka boleh mengubat, boleh mengurut dan sebagainya. Mereka akan jawap mereka dapat dari mimpi. Kalau kita tanya kepada mereka siapakah yang datang dalam mimpi itu mereka akan jawab yang datang itu adalah ‘wali’. Dan kalau kita tanya siapakah nama wali itu, mereka pun tidak dapat jawab. Yang sebenarnya, yang datang dalam mimpi itu adalah jin.

Ataupun, syaitan akan mencantikkan perbuatan-perbuatan dosa kepada manusia sampaikan manusia suka untuk berbuat dosa itu. Jin itu akan mengelabui mata orang itu.

Ataupun, syaitan akan mencantikkan kehidupan dunia kepada manusia sampaikan manusia leka untuk berbuat amal persediaan untuk akhirat, dek kerana leka dengan kesenangan dan keindahan dunia.

Malah banyak lagi cara dan helah yang digunakan oleh syaitan untuk menipu manusia. Mereka adalah makhluk yang hidup lama, maka banyak perkara mereka tahu. Mereka boleh nampak kita, kita sahaja yang tidak nampak mereka. Oleh sebab itu, mereka dapat mengkaji kehidupan kita. Dan mereka tahu mana tempat untuk mereka masuk menyesatkan kita.

 

وَقَالَ أَوْلِيَاؤُهُم مِّنَ الْإِنسِ

lalu berkatalah kawan-kawan rapat mereka dari golongan manusia:

Golongan manusia yang dimaksudkan itu adalah tok-tok guru, dukun, bomoh, pawang, guru silat dan lain-lain lagi termasuk guru-guru syeikh-syeikh tarekat. Mereka itu ramai yang telah disesatkan.

Mereka jadi sesat kerana mereka mengamalkan ilmu yang salah. Yang selalu terjadi, mereka mengamalkan tawasul. Dalam amalan mereka, selalunya mereka mesti akan bertawasul kepada seseorang. Sebelum mereka membaca zikir mereka, mereka akan tawasul dahulu. Itulah yang bahayanya, kerana setiap kali mereka bertawasul, mereka dapat seekor jin. Dalil bagi perkara ini ada dalam ayat Saba:40.

Kadang-kadang, yang mengamalkan amalan salah itu pun tidak tahu yang mereka sebenarnya memanggil jin. Kerana mereka senang ditipu, mereka ingat mereka memanggil malaikat ataupun wali-wali. Tapi sebenarnya yang merupa sebagai wali itu adalah jin. Mereka sahaja yang tidak tahu. Kerana mereka percaya dengan guru mereka yang telah mengajar mereka dahulu. Guru mereka pun tidak semestinya tahu. Semuanya telah ditipu oleh jin. Sebab itu kalau kita beritahu mereka yang mereka telah memanggil dan berkawan dengan jin, mereka tidak mengaku. Kerana mereka tidak berniat pun nak berkawan dengan jin.

 

رَبَّنَا اسْتَمْتَعَ بَعْضُنَا بِبَعْضٍ

“Ya Tuhan kami, sesungguhnya sebahagian daripada kami telah dapat kesenangan dari sebahagian (yang lain)

Mereka mengaku yang semasa mereka di dunia, dengan mereka berkawan dengan jin itu, mereka telah dapat macam-macam. Antaranya, mereka dah boleh tangkap jin. Apabila ada orang kena rasuk, kena kacau, kena sawan dan sebagainya, mereka inilah yang dipanggil untuk mengeluarkan jin itu. Ada yag letak dalam botol, ada yang panah jin, ada yang tempek jin pada dinding, buang jin ke langit dan macam-macam lagi. Mereka sangka mereka dapat buat begitu, padahal mereka bukan pun tahu samada mereka benar-benar tangkap jin itu kerana jin itu makhluk yang ghaib. Jin yang dah merasuk kepada orang yang kena rasuk itu, pandailah dia buat-buat bunyi mengerang dan sebagainya.

Amalan-amalan itu adalah amalan yang salah. Macam-macam kesalahan yang mereka telah lakukan semasa melakukan amalan buang jin itu. Terlalu banyak untuk kita tuliskan di sini. Ianya adalah satu penulisan khas pula tentangnya. Apabila kita tegur, mereka pula yang marah kita. Mereka kata kononnya kita yang tak tahu. Mereka kata amalan mereka itu ada dalam ‘kitab’. Memang ada, tapi bolehkah ‘kitab’ itu dipercayai?

Selain dari itu, mereka dapat upah yang banyak dengan mereka berkawan dengan jin itu. Antaranya mereka jadi tukang ‘buang sial’, pulih semangat, buat tangkal pelaris dan sebagainya.

Mereka juga dapat kedudukan yang tinggi dalam masyarakat kerana kepandaian mereka itu. Mereka ada yang dilantik sebagai pemimpin, mereka dihormati oleh masyarakat kerana masyarakat rasa mereka diperlukan. Mereka berbangga kerana apabila ada masalah dalam masyarakat, mereka akan dipanggil untuk menyelesaikan masalah itu.

Ada juga yang pandai meramal.Mereka meramal menggunakan maklumat yang dibekalkan oleh jin itu. Dengan jin itulah juga, ramai yang boleh mencari barang atau orang yang hilang.

Mereka ingat mereka buat benda yang baik. Mereka tidak tahu bahawa apa yang mereka buat itu adalah sihir. Mereka tak tahu kerana mereka tak belajar. Mereka hanya rajin beramal, tapi mereka tidak meluangkan masa untuk belajar. Yang mereka belajar hanyalah amalan-amalan karut itu. Untuk buat sihir, memerlukan jin. Dengan menggunakan jin itulah, ramai yang sihir orang lain. Mereka menyusahkan hidup orang lain menggunakan sihir itu. Oleh kerana itulah, ahli sihir adalah manusia yang paling jahat. Mereka sanggup melakukan perkara yang jahat dan salah.

Ayat ini memberitahu bahawa manusia dan jin bersekongkol dan mereka mendapat kesenangan sesama mereka. Ini bermakna jin pun ada mendapat sesuatu dengan perhubungan mereka dengan manusia. Apakah yang jin dapat? Jin dapat sesatkan manusia. Itulah tujuan mereka. Selain dari itu, mereka mendapat kebanggaan bila manusia merendahkan diri kepada mereka.

Dalam ayat ini, manusia yang berkata itu mengaku dengan kesalahan yang mereka telah lakukan dan mereka menyesal dengan perbuatan mereka itu. Tapi, penyesalan waktu itu sudah terlambat. Tidak boleh buat apa-apa lagi.

 

وَبَلَغْنَا أَجَلَنَا الَّذِي أَجَّلْتَ لَنَا

dan kami telah sampai kepada waktu yang telah Engkau tentukan bagi kami”.

Mereka mengatakan, dalam masa mereka sedang bergelumang dalam dosa itu, telah sampai ajal mereka yang telah ditetapkan oleh Allah. Mereka nak beritahu yang mereka tak sempat nak bertaubat sebab Allah dah matikan mereka.

Sekarang mereka merasa amat menyesal tetapi sudah terlambat.

 

قَالَ النَّارُ مَثْوَاكُمْ

Allah berfirman: “Neraka itulah tempat diam kamu,

Inilah jawapan dari Allah kepada kata-kata mereka sebelum ini. Walaupun apa yang mereka kata itu, tidak dapat menyelamatkan mereka langsung. Tempat mereka adalah di neraka.

مَثْوَاكُمْ diambil dari katadasar ث و ي yang bermaksud tempat tinggal yang seseorang itu akan tinggal untuk satu jangka masa yang amat lama. Kalau dalam dunia, inilah tempat yang generasi demi generasi akan tinggal padanya. Tapi apabila di Neraka nanti, mereka akan tinggal di sana pada jangkamasa yang sangat lama, sampaikan mereka akan rasa yang mereka telah duduk di sana generasi demi generasi.

Semasa di dunia ini, ada jin dan manusia yang bersekongkol bersama-sama maka di akhirat nanti mereka akan bersama-sama duduk di dalam neraka. Itulah balasan kepada mereka.

Ayat ini memberitahu kepada kita yang kita tidak boleh menggunakan jin. Lihatlah, balasannya adalah neraka. Langsung tidak boleh menggunakan khidmat mereka, samada digunakan untuk kebaikan atau tidak. Samada nak musnahkan orang lain atau nak tolong pun. Pakai jin untuk berubat pun tidak boleh. Guna jin untuk lawan jin pun tidak boleh. Bahasa yang digunakan dalam ayat ini adalah dalam bentuk umum. Tidak disebut untuk keburukan sahaja. Maknanya pakai jin adalah satu kesalahan. Ini penting diberitahu, kerana ramai dari masyarakat kita yang kata “apa salahnya pakai jin untuk kebaikan?”.

Bagaimana kita boleh menggunakan jin itu sedangkan jin tu ghaib? Kita tak tahu mereka itu Islam atau tidak. Mereka adalah makhluk yang suka dan pandai menipu. Maka jangan terlibat langsung dengan jin. Gunalah cara lain. Kalau kena rasuk dengan jin pun, ada cara-cara lain yang telah diajar dalam agama untuk menyelesaikannya.

 

خَالِدِينَ فِيهَا

kamu kekal di dalamnya,

Itulah balasan kepada mereka yang  menggunakan jin – kekal dalam neraka! Adakah berbaloi menggunakan jin dalam dunia dan balasannya kekal dalam neraka?

 

إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ

kecuali kalau Allah menghendaki (yang lain)”.

Dari lafaz ayat ini, seperti membawa maksud bahawa boleh kalau Allah mahu untuk mengeluarkan mereka dari neraka itu. Tapi adakah ini yang dimaksudkan dalam ayat ini? Ada berbagai pendapat tentang perkara ini yang dibincangkan oleh mufassir.

Satu pendapat adalah: mungkin bermaksud keluar dari api sahaja tapi masuk tempat lain. Kerana Neraka itu bukanlah azabnya api sahaja. Ada lagi azab-azab yang lain.

Dan ada pendapat lain yang kata Allah tak berkehendak untuk mengeluarkan mereka dari Neraka pun. Memang Allah kata boleh Allah nak keluarkan, tapi Allah tak berniat untuk mengeluarkan mereka. Sebab dalam potongan ayat selepas ini tidak digunakan sifat Allah al-Ghafir (pengampun). Ini memberi isyarat bahawa taubat mereka tak diterima.

 

إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌ

Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Oleh kerana tidak digunakan asma’ sifat Allah al-Ghafir, maka ini memberi isyarat kepada kita yang Allah tidak menerima keampunan mereka. Mereka akan kekal di dalamnya.


 

Ayat 129:

6:129
Sahih International

And thus will We make some of the wrongdoers allies of others for what they used to earn.

Malay

Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian dari orang-orang yang zalim itu kawan rapat dengan sebahagian yang lain, disebabkan apa yang mereka telah usahakan (dari perbuatan-perbuatan kufur dan maksiat itu).

وَكَذَٰلِكَ نُوَلِّي بَعْضَ الظَّالِمِينَ بَعْضًا

Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman bagi sebahagian yang lain

وَكَذَٰلِكَ (dan demikian itu) merujuk kepada situasi jin dan manusia yang bersekongkol yang telah disebutkan dalam ayat sebelum ini. Dari sebab mereka ramai bersekongkol dan bekerjasama antara satu sama lain, maka ramailah mereka yang menjadi teman rapat masing-masing.

نُوَلِّي dari perkataan ولي yang bermaksud ‘banyak’. Boleh jadi juga perkataan ‘wilayah’ yang bermaksud ‘kepimpinan’. Ini bermaksud yang zalim menjadikan yang zalim juga sebagai pemimpin mereka. Atau, sesiapa yang berbuat zalim, Allah akan meletakkan orang zalim sebagai pemimpin mereka. Kerana Allah akan beri sebagai pemimpin yang zalim sebagai balasan kepada orang zalim.

نُوَلِّي juga boleh bermaksud ‘kawan rapat’. Mereka berkawan dan bertolongan sesama mereka. Ini bermaksud, yang zalim akan berkawan dengan yang zalim. Begitulah dalam dunia ini, sifat yang sama akan tertarik sesama sendiri. Maka bertambahlah sifat zalim mereka kerana mereka akan sama-sama menggalakkan kezaliman sesama sendiri. Kita tentu akan mengikut perangai kawan kita juga.

Ada pula golongan yang mengatakan boleh untuk kita menggunakan jin untuk berkhidmat dengan kita kerana kononnya mereka menggunakan dalil bagaimana Nabi Sulaiman pun ada menggunakan khidmat jin di dalam kerajaan baginda. Itu adalah hujah yang salah kerana Nabi Sulaiman telah berdoa kepada Allah supaya kelebihan yang ada pada baginda itu tidak diberikan kepada orang lain. Ini bermakna kebolehan untuk mengawal jin untuk menjadikan mereka sebagai hamba hanyalah ada pada Nabi Sulaiman sahaja. Sebab itu pada satu hari, seekor jin telah mengganggu Nabi Muhammad maka baginda telah menangkap jin itu. Tetapi baginda teringat doa Nabi Sulaiman maka baginda telah melepaskan jin itu. Ini menunjukkan kebolehan untuk menggunakan jin sebagai hamba dan pekerja kita sudah tiada lagi. Ianya telah berhenti pada Nabi Sulaiman sahaja. Kalau Nabi Muhammad pun tidak menggunakan jin, lalu bagaimana kita boleh kata yang kita boleh mengawal jin?

Dalam Quran, perkataan ‘zalim’ selalu digunakan untuk bermaksud ‘syirik’. Oleh itu, ini bermakna, orang yang mengamalkan syirik juga akan mempunyai sahabat dan kawan dari kalangan yang berbuat syirik juga. Oleh itu, kita kena ajar kepada masyarakat supaya terima tauhid. Supaya mereka tidak terjerumus dalam keadaan ini. Jangan biarkan mereka terus berkawan dengan orang yang mengamalkan syirik.

 

بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

disebabkan apa yang mereka usahakan.

Mereka terjerumus dalam keadaan yang teruk ini kerana perbuatan mereka yang salah. Antaranya, mereka mengamalkan ajaran yang salah yang diajar oleh guru-guru mereka. Mereka juga selalu melakukan tawasul dalam doa-doa mereka dan amalan-amalan mereka. Allah membalas perbuatan salah mereka itu dengan diberikan dengan teman rapat yang menjerumuskan mereka semakin dalam ke lembah kehinaan.


 

Ayat 130:

6:130
Sahih International

“O company of jinn and mankind, did there not come to you messengers from among you, relating to you My verses and warning you of the meeting of this Day of yours?” They will say, “We bear witness against ourselves”; and the worldly life had deluded them, and they will bear witness against themselves that they were disbelievers.

Malay

Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayatKu (perintah-perintahKu), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini? Mereka menjawab: “Kami menjadi saksi mengakui akan (kesalahan) diri kami sendiri (mendustakan Rasul-rasul itu)”. Dan (sebabnya ialah) mereka telah diperdayakan oleh (kemewahan) hidup di dunia dan (kerana itulah) mereka menjadi saksi (pada hari akhirat) terhadap diri mereka sendiri: (bahawa) sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mengingkari (apa yang telah disampaikan oleh Rasul-rasul itu).

يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ

Hai golongan jin dan manusia,

Allah berkata lagi kepada golongan jin dan manusia yang telah melakukan dosa itu:

 

أَلَمْ يَأْتِكُمْ رُسُلٌ مِّنكُمْ

tidakkah datang kepadamu rasul-rasul dari golongan kamu sendiri,

Kenapa kamu buat begitu? Tidak adakah yang beri nasihat kepada kamu?

مِّنكُمْ bermaksud ‘dari kalangan kamu’. Maka untuk manusia ada pendakwah dari kalangan manusia dan untuk jin ada pendakwah dari kalangan jin.

Allah bertanya begitu untuk mengingatkan kepada mereka bahawa semasa di dunia dulu, mereka telah diberikan dengan peringatan. Tidaklah Allah membiarkan mereka sahaja tanpa diberikan dengan peringatan dan tunjuk ajar. Tidak patut kalau jin dan manusia dipertanggungjawabkan dengan ibadat tapi tidak diajar.

Pendapat yang kuat adalah Jin tidak ada rasul dari kalangan mereka. Walaupun begitu, ada khilaf tentang pendapat ini. Ada yang kata rasul dari kalangan  jin ada, tapi hanya sebelum kedatangan manusia. Ini adalah pendapat yang mengatakan bahawa Allah hantar juga rasul dari kalangan mereka. Kita boleh rujuk ayat Isra:95

قُلْ لَوْ كَانَ فِي الْأَرْضِ مَلَائِكَةٌ يَمْشُونَ مُطْمَئِنِّينَ لَنَزَّلْنَا عَلَيْهِمْ مِنَ السَّمَاءِ مَلَكًا رَسُولًا
Katakanlah: “Kalau seandainya ada malaikat-malaikat yang berjalan-jalan sebagai penghuni di bumi, niscaya Kami turunkan dari langit kepada mereka seorang malaikat menjadi rasul”.

Ayat ini mengatakan, kalau malaikat hidup di bumi, pun Allah hantar rasul dari kalangan mereka juga. Musyrikin Mekah telah bertanya, kenapa malaikat tidak jadi rasul? Kononnya, kalau malaikat yang menjadi Rasul menyampaikan dakwah, tentulah mereka akan terima dakwah itu. ]Jawapnya, Allah tidak hantar malaikat sebagai rasul kerana malaikat tidak tinggal di dunia. Ini menunjukkan bahawa Allah akan menurunkan rasul yang sama jenis dengan makhluk itu. Tidak patut kalau Allah memberikan rasul yang lain jenis dari mereka kerana itu akan menyebabkan susah untuk mereka menerima dakwah daripada rasul itu. Tentulah kita lebih senang untuk terima nasihat dari spesis manusia yang sama dengan kita.

Tapi, selepas kedatangan manusia, tidak ada lagi rasul dari kalangan jin, maka Rasul-rasul dari kalangan manusia juga adalah Rasul kepada golongan Jin. Sudah tidak ada lagi rasul dan Nabi dari kalangan jin. Lihatlah bagaimana di dalam surah Jin, kita tahu bahawa segolongan Jin telah mendengar bacaan Qur’an dari Nabi dan mereka telah beriman. Jin:1-2.

قُلْ أُوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ اسْتَمَعَ نَفَرٌ مِّنَ الْجِنِّ فَقَالُوا إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا

Katakanlah (hai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadamu bahwasanya: telah mendengarkan sekumpulan jin (akan Al Quran), lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendengarkan Al Quran yang menakjubkan.

يَهْدِي إِلَى الرُّشْدِ فَآمَنَّا بِهِ وَلَن نُّشْرِكَ بِرَبِّنَا أَحَدًا

(yang) memberi petunjuk kapada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya. Dan kami sekali-kali tidak akan mempersekutukan seseorangpun dengan Tuhan kami,

Ini bermakna, jin juga kena beriman dengan Quran juga.

Dalam masa yang sama, ada juga Ulamak tafsir yang mengatakan bahawa golongan jin tidak pernah ada rasul dari kalangan mereka. Mereka merujuk kepada ayat Yusuf:109

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُّوحِي إِلَيْهِم مِّنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَيَنظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَدَارُ الْآخِرَةِ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ اتَّقَوْا أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Kami tidak mengutus sebelum kamu, melainkan orang laki-laki yang Kami berikan wahyu kepadanya diantara penduduk negeri. Maka tidakkah mereka bepergian di muka bumi lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka (yang mendustakan rasul) dan sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memikirkannya?

Dalam ayat ini, mereka berhujah bahawa sebelum kedatangan Nabi Muhammad, Rasul-Rasul yang dihantar adalah lelaki daripada kalangan manusia sahaja. Kerana perkataan ‘رِجَالًا ‘ di dalam ayat itu merujuk kepada lelaki dari kalangan manusia sahaja dan tidak termasuk golongan jin.

Ayat ini memberi tahu kepada kita bahawa Allah pasti menghantar penyebar tauhid kepada setiap kaum. Sama ada mereka diberikan dengan penyebar tauhid berbentuk Rasul ataupun yang bukan Rasul. Macam kita zaman sekarang, tidak mempunyai rasul lagi. Yang ada pada kita adalah penyebar tauhid dari kalangan manusia sahaja.

 

يَقُصُّونَ عَلَيْكُمْ آيَاتِي

yang menyampaikan kepadamu ayat-ayat-Ku

Tujuan Rasul dan penyebar tauhid itu adalah menyampaikan kalam Allah kepada manusia. Ini mengajar kita bahawa kita perlu menyampaikan ajaran dari Quran kepada manusia.

 

وَيُنذِرُونَكُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَٰذَا

dan memberi peringatan kepadamu terhadap pertemuanmu dengan hari ini?

Ayat ini mengajar kepada kita kepentingan untuk memberi peringatan kepada manusia yang lain. Kerana manusia ini kalau tidak diberi peringatan, mereka akan menjurus kepada melakukan dosa dan syirik. Walaupun masih ada lagi penyebar penyebar tauhid dikalangan kita tapi lihatlah bagaimana ramai lagi manusia yang melakukan syirik. Ada banyak tempat dalam negara ini tempat manusia melakukan syirik seperti Tasik Dayang Bunting, Telaga Hang Tuah, Pulau Besar dan macam-macam lagi. Itu semua adalah tempat manusia berbuat syirik tapi kita semua seperti tidak kisah sahaja. Bayangkan kalau tidak ada langsung penyebar tauhid memberikan peringatan? Tentu di mana-mana sahaja akan ada orang yang melakukan syirik terang-terangan.

Oleh itu janganlah kita hanya belajar tetapi tidak kita sampaikan apa kita belajar itu kepada orang lain. Kalau kita tidak tahu bagaimana untuk bercakap dengan manusia kerana kita tidak pandai lagi, sekurang-kurangnya kita bawa mereka maklumat-maklumat yang baik. Sebaiknya kita ajak mereka pergi ke tempat pengajian kita. Sebagai contoh, bukankah senang sahaja untuk kita sampaikan tulisan ini kepada orang lain? Dan susah sangatkah kalau kita hendak mengajak orang lain ke kelas pengajian kita?

 

قَالُوا شَهِدْنَا عَلَىٰ أَنفُسِنَا

Mereka berkata: “Kami menjadi saksi atas diri kami sendiri”,

Inilah jawapan mereka apabila ditanya kepada mereka tidakkah ada penyebar tauhid yang sampai kepada mereka? Mereka mengaku bahawa memang telah sampai kepada mereka rasul atau penyebar tauhid.

Mereka telah menjadi saksi keatas diri mereka sendiri. Kalau yang beriman, Nabi yang jadi saksi. Tapi kerana mereka tidak beriman, maka mereka terpaksa menjadi saksi kepada diri mereka sendiri. Mereka ini tidak ada saksi kerana syaitan dan iblis pun tak mahu jadi saksi untuk mereka.

Dari sini kita dapat tahu bahawa di akhirat kelak, manusia-manusia dan jin-jin yang telah melakukan syirik dan bersekongkol bersama mereka akan mengaku di hadapan Allah Ta’ala. Mereka tidak boleh menipu. Mereka tidak ada alasan lagi kerana mereka sedar bawa semasa mereka di dunia, mereka telah mendapat peringatan dan ancaman dari penyebar tauhid. Mereka sahaja yang tak mahu dengar.

Kejadian Inilah juga yang terdapat di dalam ayat Mulk: 8-9

تَكَادُ تَمَيَّزُ مِنَ الْغَيْظِ كُلَّمَا أُلْقِيَ فِيهَا فَوْجٌ سَأَلَهُمْ خَزَنَتُهَا أَلَمْ يَأْتِكُمْ نَذِيرٌ

hampir-hampir (neraka) itu terpecah-pecah lantaran marah. Setiap kali dilemparkan ke dalamnya sekumpulan (orang-orang kafir), penjaga-penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka: “Apakah belum pernah datang kepada kamu (di dunia) seorang pemberi peringatan?”

قَالُوا بَلَىٰ قَدْ جَاءَنَا نَذِيرٌ فَكَذَّبْنَا وَقُلْنَا مَا نَزَّلَ اللَّهُ مِن شَيْءٍ إِنْ أَنتُمْ إِلَّا فِي ضَلَالٍ كَبِيرٍ

Mereka menjawab: “Benar ada”, sesungguhnya telah datang kepada kami seorang pemberi peringatan, maka kami mendustakan(nya) dan kami katakan: “Allah tidak menurunkan sesuatupun; kamu tidak lain hanyalah di dalam kesesatan yang besar”.

Ini bermakna mereka bukan saja mengaku bahawa mereka telah diberikan peringatan oleh penyebar tauhid, tetapi mereka juga mengaku tentang apa yang mereka katakan kepada pendakwah-pendakwah itu.

 

وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا

kehidupan dunia telah menipu mereka,

Mereka terus melakukan dosa bersekongkol dengan jin itu kerana mereka boleh dapat kelebihan dunia. Mereka dapat upah dari manusia lain, untuk berubat, untuk susahkan orang lain, hantar santau, dan sebagainya, atau mereka dapat kedudukan yang tinggi. Mereka sangka dunia ini penting sangat.

Ini memberi tahu kepada kita bahawa salah satu sebab manusia menolak ajaran tauhid dan ajaran Rasul adalah kerana mereka mementingkan kehidupan dunia ini. Mereka telah tertipu dengan keindahan dunia ini. Mereka terlalu sayang dengan dunia ini sampai mereka tidak menghiraukan nasib mereka di akhirat kelak. Ini adalah kerana akhirat itu ghaib, tidak nampak sementara dunia ada di depan mata mereka.

 

وَشَهِدُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ

dan mereka menjadi saksi atas diri mereka sendiri,

Mereka mengaku bersalah. Tapi tidak berguna dah kesaksian mereka pada waktu itu. Penyesalan hanya berguna semasa masih hidup di dunia.

 

أَنَّهُمْ كَانُوا كَافِرِينَ

bahwa mereka adalah orang-orang yang engkar.

Mereka sendiri mengaku yang mereka engkar dengan ajakan tauhid dari penyebar tauhid itu. Mereka tidak menerima ajakan kepada akidah yang benar.


 

Ayat 131:

6:131
Sahih International

That is because your Lord would not destroy the cities for wrongdoing while their people were unaware.

Malay

Yang demikian (kedatangan Rasul-rasul itu ialah), kerana Tuhanmu tidak membinasakan negeri-negeri secara zalim sedang penduduknya leka lalai.

ذَٰلِكَ أَن لَّمْ يَكُن رَّبُّكَ مُهْلِكَ الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ

Yang demikian itu adalah kerana Tuhanmu tidaklah membinasakan kota-kota secara aniaya,

Perkataan الْقُرَىٰ dari قري yang bermaksud sekumpulan manusia yang duduk di sesuatu tempat – populasi.

Tidaklah Allah bersifat zalim kepada makhlukNya. Allah tidak menghukum dan memberikan azab kepada sesuatu kaum dengan zalim.

وَأَهْلُهَا غَافِلُونَ

sedang penduduknya dalam keadaan lalai.

Allah tak azab kaum melainkan telah diberikan dengan penyeru tauhid kepada mereka. Kalau Allah hukum sesuatu kaum itu tanpa diberikan dengan penyeru tauhid, maka itu adalah zalim. Dan Allah tidak zalim.

Tetapi Allah akan sentiasa memberi peringatan kepada manusia. Lihatlah ayat Fathir:24

إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ بِالْحَقِّ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَإِن مِّنْ أُمَّةٍ إِلَّا خَلَا فِيهَا نَذِيرٌ

Sesungguhnya Kami mengutus kamu dengan membawa kebenaran sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan. Dan tidak ada suatu umatpun melainkan telah ada padanya seorang pemberi peringatan.

Hanya apabila manusia engkar dengan peringatan itu maka layaklah untuk Allah menghukum mereka.

Ayat ini lebih kurang sama dengan ayat Isra:15

مَّنِ اهْتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهْتَدِي لِنَفْسِهِ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولًا

Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Dan seorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain, dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul.

Ayat ini mempunyai dua maksud:
Maksud yang pertama: Allah tidak berlaku zalim dengan menghukum makhluk tanpa diberikan dengan peringatan kepada mereka. Ini bermaksud perkataan zalim itu dinisbahkan kepada Allah. Iaitu Allah tidak zalim.

Maksud yang kedua: perkataan ‘zalim’ itu dinisbahkan kepada makhluk. Iaitu Allah tidak menghukum sesuatu kaum yang melakukan zalim tanpa mereka ketahui bahawa perbuatan mereka itu adalah perbuatan yang zalim. Ini bermakna Allah hanya menghukum mereka yang berlaku zalim setelah mereka memang tahu bahawa perbuatan mereka itu zalim. Oleh itu Allah akan memberikan pengajaran kepada mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah satu kezaliman. Sebab itu Allah akan turunkan pemberi peringatan kepada setiap kaum.

Allahu a’lam

Lompat ke ayat yang seterusnya


 

Ref: UR, TZ, NAK

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s