Tafsir Surah al-An’am Ayat 122-124

Ayat 122:

6:122
Sahih International

And is one who was dead and We gave him life and made for him light by which to walk among the people like one who is in darkness, never to emerge therefrom? Thus it has been made pleasing to the disbelievers that which they were doing.

Malay

Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis

أَوَمَن كَانَ مَيْتًا

Dan apakah orang yang sudah mati

‘Mati’ yang dimaksudkan dalam potongan ayat ini adalah hati yang ‘mati’. Iaitu hati yang tidak beriman. Ini adalah kerana Allah menyifatkan hati yang tidak beriman sebagai hati yang mati.

Kalau kita lihat orang yang mati, orang itu sudah tidak berguna, tidak boleh buat apa-apa, tidak dapat memberi manfaat kepada sesiapa pun lagi. Begitulah juga orang yang hatinya mati tanpa iman, mereka tidak menambah kepada iman orang lain. Mereka hanya menjalani kehidupan untuk bergembira, untuk makan dan akhirnya mati. Adakah kita hendak menjadi orang yang sebegini?

Ayat ini dalam bentuk soalan. Allah beri kepada kita satu perbandingan dua jenis manusia. Jenis yang pertama adalah mereka yang hatinya mati, tanpa iman di dalamnya. Asalnya, dia tidak beriman, tapi kemudian apa yang Allah lakukan kepadanya?

 

فَأَحْيَيْنَاهُ

kemudian dia Kami hidupkan

Kemudian Allah hidupkan hati itu dengan iman. Dalam ayat ini, Allah hidupkan ‘hatinya’, bukanlah menghidupkannya setelah dia mati. Allah hidupkan hatinya dengan memberikan iman dan hidayah. Allah akan berikan hadiah yang maha hebat ini apabila ada kehendak dalam hati manusia itu kepada kebenaran. Ada orang yang lahir dalam kufur tapi akhirnya dia mati dalam Islam. Sebagaimana sesetengah musyrikin Mekah yang asalnya musyrik tapi diberikan iman. Ini kerana mereka membuka hati mereka kepada iman. Hati kecil mereka mahukan kebenaran. Mereka mencari-cari kebenaran. Maka Allah berikan hidayah kepada mereka.

Kenapa ada yang Allah hidupkan hatinya dan kenapa ada yang Allah biarkan sahaja hatinya mati? Apakah salah mereka sampai Allah biarkan mereka begitu sahaja? Allah biarkan hati mereka mati kerana mereka memang tidak mahu kepada kebenaran. Berkali-kali mereka telah diajak untuk menerima kebenaran tetapi setiap kali itu mereka degil. Ingatlah bahawa Allah hanya memberi hidayah kepada mereka yang mahu.

 

وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا

dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang,

Nur yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah cahaya keimanan. Dan juga cahaya Quran. Mereka beriman dengan Quran dan dengan Nabi Muhammad. Dengan cahaya itu, manusia boleh tahu mana benar dan salah.

Cahaya itu amat penting. Dalam kehidupan kita pun, kita memerlukan cahaya untuk melihat alam. Bayangkan, kalau mata elok tapi suasana gelap, kita tak boleh nampak apa yang ada di hadapan kita, walaupun dekat. Hati yang hidup memerlukan cahaya. Cahayanya adalah iman dan Quran.

Mereka yang diberi iman dan pemahaman Quran adalah seperti diberi kehidupan yang baru. Ianya satu perasaan yang tidak dapat digambarkan. Kita tidak lagi melihat Quran seperti satu objek yang biasa sahaja. Kita sudah tahu bahawa di dalamnya terdapat pengajaran yang tidak ternilai lagi. Ini kita ada dapat kalau kita belajar tafsir. Kalau setakat baca hari-hari, tapi tidak faham, kita tidak akan dapat.

 

يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ

yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia,

Ini merujuk kepada mereka yang telah beriman tetapi mereka berada di tengah-tengah masyarakat yang musyrik. Orang-orang Islam zaman Nabi tidak banyak, lebih-lebih lagi semasa di Mekah, iaitu semasa surah al-An’am ini diturunkan. Yang ramainya adalah mereka yang tidak beriman. Oleh itu, mereka walaupun telah beriman, tetapi di sekeliling mereka adalah orang-orang yang Musyrik. Ke mana sahaja mereka pergi, mereka akan melihat kesyirikan yang dilakukan oleh kaum mereka.

Macam kita juga zaman sekarang yang tinggal di Malaysia ini. Walaupun ramai yang mengaku Islam, tapi dalam masa yang sama, mereka ramai yang mengamalkan syirik atau mempunyai fahaman yang syirik. Itulah realitinya yang terpaksa kita sebutkan di sini. Kita yang telah terima ajaran tauhid ini akan melihat bagaimana manusia Muslim melakukan syirik saban hari. Mereka lah yang mengamalkan ajaran tarekat, terpesona dengan nyanyian para Habib, golongan penjaga kubur, mengamalkan ilmu persilatan yang syirik dan sebagainya. Terlalu ramai. Kita hanya dapat melihat tanpa dapat menegur mereka, kerana mereka lebih ramai dari kita. Kita mencari-cari peluang untuk mengajak mereka ke jalan yang benar. Sementara itu, kita hanya boleh berdoa sahaja semoga Allah buka pintu hati mereka.

Ayat ini mengajar kita bahawa kita boleh berjalan di tengah-tengah kaum yang mengamalkan syirik tanpa terkesan dengan perbuatan mereka. Walaupun ramai kenalan kita dan ahli keluarga kita sendiri yang mengamalkan syirik tanpa mereka sedari, tapi kita boleh hidup bersama mereka. Kita masih lagi boleh bermasyarakat bersama mereka tanpa terikut-ikut dengan amalan mereka. Kalau mereka sedang berbuat syirik, seperti mengadakan Majlis Persandingan, kita tidak campur. Mereka ajak kita ke Majlis Tahlil mereka, kita tidak ikut.

Ayat ini mengajar kita supaya tidak boikot orang, tidak mencemuh orang, kerana kita tidak boleh hidup sendiri. Kita kena hidup bermasyarakat. Kerana di situlah peluang kita untuk berdakwah kepada mereka. Kerana kalau kita tinggalkan mereka dan tidak bercampur dengan mereka, kerja-kerja dakwah tidak dapat dijalankan. Ya, memang kita tinggalkan mereka semasa mereka melakukan amalan syirik mereka, tapi apabila mereka tidak melakukannya, kita boleh berampur dengan mereka. Sedang kita sedang makan dan minum bersama mereka, kita boleh gunakan waktu itu untuk menyampaikan dakwah kita. Kita ajak mereka untuk berfikir tentang agama Islam ini.

Perkataan  بِهِ   dalam potongan ayat ini bermaksud dia bawa ‘cahaya’ itu ke mana-mana. Dalam semua keadaan. Dia tidak tinggalkan ‘cahaya’ iman dan cahaya Quran itu di rumah. Tidaklah hanya dalam keadaan tertentu sahaja baru dia beriman. Tidaklah dia masa di masjid, kelas pengajian, dia jadi baik. Tapi bila di tempat kerja, dengan ahli keluarga, dia tinggalkan iman dan Quran. Atau tidaklah dia lupa iman sewaktu berkelahi dengan manusia lain. Kadang-kadang ada manusia yang baik, tapi apabila berkelahi, bertegang urat dengan orang lain, dia sudah tidak ingat iman lagi. Kita jangan jadi macam itu. Kita kena sentiasa bawa bersama kita iman dan Quran.

Juga bermaksud dia bawa cahaya kepada masyarakat. Inilah yang dimaksudkan dengan dakwah. Tidaklah dia simpan sendiri sahaja. Manusia memang memerlukan cahaya kebenaran, cahaya Quran. Oleh itu, wajib bagi kita untuk menyampaikannya.

 

كَمَن مَّثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ

serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gulita

Sekarang Allah bawa perbandingan kedua. Allah suruh kita lihat orang yang asalnya dalam kufur tapi mendapat iman dan bandingkan dengan orang yang dalam kegelapan. Iaitu gelap hatinya. Dia hidup dalam kufur, dalam syirik.

Allah tanya kita, adakah sama dua jenis orang itu? Tentu tak sama.

 

لَيْسَ بِخَارِجٍ مِّنْهَا

yang sekali-kali tidak dapat keluar dari padanya

Mereka bukan sahaja duduk dalam kekufuran dan kesyirikan, tapi malangnya, mereka tidak dapat keluar dari keadaan itu. Kalau kita ajak pun nampak mereka tak mahu terima ajakan dakwah kita. Golongan pertama tadi, walaupun mereka asalnya kufur, tapi Allah beri mereka hidayah dan mereka keluar dari kekufuran itu. Tapi golongan yang kedua ini, mereka langsung tidak akan keluar. Mereka mati dalam kekufuran mereka itu. Alangnya malangnya, alangkah ruginya.

 

كَذَٰلِكَ زُيِّنَ لِلْكَافِرِينَ

Demikianlah Kami jadikan orang yang kafir itu memandang baik

كَذَٰلِكَ bermaksud: sebagaimana iman itu manis kepada orang beriman, begitu juga dinampakkan cantik sahaja amalan salah kepada orang-orang yang berdosa itu.

Ramai yang mengamalkan amalan sesat dan kufur dan mereka rasa apa yang mereka itu baik. Begitulah yang kita lihat penganut agama Hindu. Mereka sanggup puja patung, sanggup mandi dan malah minum air sungai Klang yang kotor itu kerana mereka anggap ianya adalah mulia. Padahal, mereka itu ada yang berpelajaran tinggi tapi mereka buat benda-benda bodoh. Itu adalah kerana mereka nampak perbuatan mereka itu sebagai elok. Kerana mereka telah dikelabui oleh syaitan.

Begitulah juga fenomena Habib di Malaysia sekarang. Mereka itu menyembah kubur, mengamalkan amalan bidaah dan syirik. Tapi masyarakat kita lihat mereka itu sebagai orang mulia pula. Masyarakat kita terikut-ikut dengan amalan mereka. Mereka nampak puak Habib itulah yang akan membawa mereka ke syurga. Mereka sangka dengan nyanyian Qasidah sesat puak Habib itu, mereka akan dapat syafaat dari Nabi. Kita lihat yang pergi ke majlis mereka adalah orang yang berpelajaran tinggi, kemas-kemas pakaian mereka. Tapi terkinja-kinja di stadium, terlambai-lambai tangan mereka yang mereka sangka mereka lambai kepada Nabi. Perbuatan itu tidak masuk akal, tapi mereka nampak itu adalah perbuatan yang baik. Tenang hati mereka semasa melakukannya dan selepas majlis itu. Mereka rasa iman mereka semakin bertambah.

Tapi itu semua adalah amalan yang bodoh. Yang jahil sahaja yang buat begitu. Iaitu jahil dalam agama. Dalam kehidupan, mereka mungkin pandai dan terpelajar. Mereka mungkin golongan pelajar universiti, peniaga berjaya, pemimpin masyarakat, engineer, doktor dan sebagainya. Tapi mereka jahil dalam hal agama. Mereka ini kena tepat dengan perpatah Arab:

أذكياء لكن أغبياء

“Pandai-pandai, tapi bodoh-bodoh”

 

مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

apa yang telah mereka kerjakan.

Mereka nampak baik apa yang mereka lakukan itu kerana mereka hanya pandai hal dunia tapi tidak dalam hal agama. Mereka mungkin berguru, pergi kelas agama, selalu tengok ceramah di tv, dengar ceramah di radio, beli VCD ceramah, tapi selagi mereka tidak belajar tafsir Quran dan Sunnah, mereka belum lagi dikira sebagai pandai dalam agama.


 

Ayat 123:

6:123
Sahih International

And thus We have placed within every city the greatest of its criminals to conspire therein. But they conspire not except against themselves, and they perceive [it] not.

Malay

Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang-orang besar yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari dirinya sendiri (kerana merekalah yang akan menerima akibatnya yang buruk), sedang mereka tidak menyedarinya.

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا فِي كُلِّ قَرْيَةٍ

Dan demikianlah Kami adakan pada tiap-tiap negeri

Maknanya Allah letak di setiap negara, di setiap negeri, di setiap pekan dan bandar. Apakah yang Allah letakkan itu?

 

أَكَابِرَ مُجْرِمِيهَا

penjahat-penjahat yang terbesar

Inilah pembesar-pembesar sesuatu tempat itu. Allah meletakkan itu dengan menaikkan orang-orang yang jahat ke kedudukan yang tinggi dan berkuasa. Bagaimana boleh terjadi begitu? Dalam satu hadis yang soheh, ada disebut bahawa pemimpin yang jahat dari rakyat yang jahat. Jadi kalau kita lihat pemimpin kita jahat, zalim, teruk, kita kena lihat diri kita. Sebab kita perangai macam itulah yang menyebabkan mereka boleh naik. Mereka yang jahat itu berada di kedudukan yang tinggi, sama ada mereka itu orang yang tinggi di dalam masyarakat kerana kedudukan pangkat mereka ataupun kerana kekayaan mereka. Kerana kadang-kadang orang yang kaya tidak ada post kepimpinan, tapi kerana mereka orang yang paling kaya, maka mereka dipandang sebagai orang yang tinggi kedudukan juga.

Apakah masalah dengan mereka ini? Kalau mereka orang yang baik tidak mengapa. Tapi, selalunya yang menentang kebenaran dan menentang jalan Sunnah adalah mereka yang mempunyai kedudukan elit dalam masyarakat. Sebagai contohnya, Firaun, Abu Lahab dan Abu Jahal memegang kedudukan yang tinggi. Maka, dalam zaman sekarang pun begitu juga. Mereka tidak suka agama berkembang kerana kalau agama berkembang, kedudukan mereka akan tergugat.

Bukanlah semua pemimpin itu jahat balaka. Kita boleh lihat contoh Dzulkarnain dan Nabi Sulaiman, Nabi Yusuf dan sebagainya yang berada di kedudukan yang tinggi, tapi mereka itu orang yang beriman dan memimpin dengan baik. Yang kita sebut dalam tulisan ini adalah kebanyakan pemimpin yang ada adalah berperangai begitu. Jadi, kalau anda seorang pemimpin masyarakat, tidak perlulah anda terasa. Anda nilailah diri anda berada di mana.

 

لِيَمْكُرُوا فِيهَا

agar mereka melakukan tipu daya dalam negeri itu.

Orang yang jahat memang ada banyak di dalam sesuatu masyarakat itu, tetapi ada di antara mereka yang paling jahat. Mereka itu adalah seperti Abu Jahal dan Abu Lahab di zaman Nabi. Mereka inilah yang dengan terang-terang menentang Nabi, dan kalau zaman sekarang, merekalah yang menentang pendakwah tauhid dan menentang jalan sunnah.

Perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah لِيَمْكُرُوا  yang diambil dari katadasar مكر yang bermaksud ‘melakukan tipu daya’, ‘yang merancang rancangan jahat’. Perkataan ini digunakan apabila seseorang itu bersunguh-sungguh didalam melakukan rancangannya. Bukanlah mereka setakat tidak suka, benci sahaja, tapi mereka merancang untuk menjatuhkan seseorang dengan bersungguh-sungguh.

Mereka ini tidak senang hati bila jalan agama yang benar disebarkan kepada masyarakat. Mereka takut apabila masyarakat menjadi bijak dan pandai di dalam agama, maka mereka tidak dapat mengawal masyarakat lagi. Mereka takut mereka sudah tidak dapat menipu untuk mengaut keuntungan lagi.

 

وَمَا يَمْكُرُونَ إِلَّا بِأَنفُسِهِمْ

Dan mereka tidak memperdayakan melainkan dirinya sendiri,

Mereka ingat mereka memperdaya orang-orang beriman dan masyarakat umum, tetapi sebenarnya mereka memperdayakan diri mereka sahaja. Mereka nanti akhirnya akan masuk kedalam perangkap yang mereka sendiri lakukan. Akhirnya, mereka akan masuk ke dalam Neraka Jahannam atas usaha jahat mereka itu.

 

وَمَا يَشْعُرُونَ

sedang mereka tidak menyadarinya.

Inilah yang menakutkan sekali. Mereka tak sedar yang mereka mengheret diri ke dalam neraka. Mereka lakukan segala itu tanpa sedar.


 

Ayat 124:

6:124
Sahih International

And when a sign comes to them, they say, “Never will we believe until we are given like that which was given to the messengers of Allah.” Allah is most knowing of where He places His message. There will afflict those who committed crimes debasement before Allah and severe punishment for what they used to conspire.

Malay

Dan apabila datang kepada mereka sesuatu keterangan, mereka berkata: “Kami tidak akan beriman sehingga kami juga diberi (wahyu) sama seperti yang telah diberikan kepada pesuruh-pesuruh Allah”. Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah yang sepatutnya) Ia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) yang diberikanNya itu. Orang-orang yang melakukan perbuatan yang salah itu akan ditimpa kehinaan di sisi Allah, dan azab seksa yang amat berat, disebabkan perbuatan tipu daya yang mereka lakukan.

وَإِذَا جَاءَتْهُمْ آيَةٌ

Apabila datang sesuatu ayat kepada mereka,

Perkataan آيَةٌ itu boleh menjadi beberapa makna. Yang kita sudah biasa dengar adalah ayat-ayat Quran. Ia boleh juga difahami sebagai dalil yang benar. Dan dalil-dalil itu telah diberikan kepada mereka. Atau ia juga boleh bermaksud ‘mukjizat’.

 

قَالُوا لَن نُّؤْمِنَ

mereka berkata: “Kami tidak akan beriman

Setelah diberikan dengan ayat-ayat Quran, atau ditunjukkan mukjizat, atau telah diberikan dalil-dalil hujah kepada mereka, mereka masih lagi tidak beriman. Itulah degilnya manusia.

 

حَتَّىٰ نُؤْتَىٰ مِثْلَ مَا أُوتِيَ رُسُلُ اللَّهِ

sehingga diberikan kepada kami yang serupa dengan apa yang telah diberikan kepada utusan-utusan Allah”.

Mereka kata mereka tidak mahu beriman sehinggalah mereka terima wahyu yang diturunkan khas untuk mereka sendiri. Ataupun mereka nak diberikan dengan mukjizat juga sepertimana yang diberikan kepada Nabi Muhammad.  Itu hanyalah helah mereka sahaja.

 

اللَّهُ أَعْلَمُ حَيْثُ يَجْعَلُ رِسَالَتَهُ

Allah lebih mengetahui di mana Dia patut meletakkan risalahNya.

Musyrikin Mekah tidak puashati kerana Nabi Muhammad yang diberikan dengan wahyu sedangkan mereka rasa bahawa ada lagi orang lain yang lebih patut untuk mendapat wahyu itu. Oleh itu, Allah jawab dalam ayat ini bahawa Allah lebih tahu dengan siapa yang patut mendapat pangkat rasul dan nabi dan siapa yang patut membawa risalahNya. Siapa mereka yang hendak tentukan kerja Allah?

Ada kisah bagaimana seorang musyrikin Mekah yang bernama Walid al Mughirah, yang datang bertemu Nabi Muhammad dan berkata bahawa dia lebih layak untuk menjadi Nabi kerana dia lebih tua dan lebih kaya dari baginda. Mereka memandang rendah kedudukan Nabi Muhammad di sisi masyarakat.

Ayat ini mengajar kita untuk tidak mempersoalkan keputusan Allah untuk memilih sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Bukan dalam hal pemilihan rasul dan kenabian sahaja. Sebagai contoh, kalau kita lihat ada orang yang mendapat sesuatu kelebihan dan kita tidak dapat sebegitu, jadi kita tidak ada hak untuk mempersoalkan kenapa dia dapat dan kita tidak dapat. Allah boleh pilih sesiapa sahaja yang hendak diberiNya dengan kekayaan, kedudukan, kecantikan dan kepandaian atau apa sahaja. Siapakah kita untuk mempersoalkan keputusan Allah? Allah maha tahu siapakah yang layak.

Allah juga tahu siapakah yang layak mendapat hidayah. Kadang-kadang ada orang yang dulunya nakal, tidak kisah hal agama, tapi sekarang dah jadi baik, dah mula jaga solat, dah mula tahu hal agama. Maka, dia pun ajak orang lain pun berubah juga. Tapi ada juga yang tak suka. Mereka kutuk orang yang sudah beriman itu dengan berkata: “aku kenal kau dulu, nakal sangat. Sekarang kamu nak dakwah aku pula? Apa kau ingat kau dah baik sangat?” Jangan kita jadi begitu. Allah telah pilih dia untuk diberikan dengan hidayah. Bukan kita yang pilih, tapi Allah. Kalau kita yang buat pilihan, mungkin ada salah pilih, tapi takkan kita nak kata Allah salah pilih pula?

 

سَيُصِيبُ الَّذِينَ أَجْرَمُوا

Orang-orang yang berdosa, nanti akan ditimpa

Allah tidak biarkan orang yang berdosa begitu sahaja. Lebih-lebih lagi mereka yang menentang Rasul dan penyebar tauhid. Mereka ingat mereka boleh lepas dengan apa yang mereka lakukan. Tidak sama sekali. Apakah yang mereka akan dapat nanti?

 

صَغَارٌ عِندَ اللَّهِ

kehinaan di sisi Allah

Mereka akan mendapat kehinaan. Di dunia lagi mereka akan dikenakan dengan bala. Mungkin mereka jatuh sakit, kedudukan mereka diambil atau perniagaan mereka jatuh. Mereka yang dulu tinggi, sudah jatuh ke tanah. Tapi masalahnya, mereka bukan berubah kepada jadi orang yang beriman, sebalik kejatuhan itu akan menyesatkan mereka lagi. Apabila mereka kena bala, maka mereka mulakah cari bomoh, cari tok guru, cari ustaz yang boleh pulihkan mereka balik, yang boleh ubah nasib mereka. Yang dicari itu pula bukanlah orang yang beriman, maka mereka akan menggunakan cara yang syirik untuk berdoa untuk mengubat orang itu. Maka, disitu mereka akan buat syirik pula lagi. Mereka akan mengamalkan tawasul dalam doa mereka yang tentunya satu amalan kufur kepada Allah. Kemudian, kalau Allah takdirkan mereka berjaya keluar dari bala mereka, maka mereka kata kata: “bomoh/ustaz/tok guru itulah yang menyebabkan aku baik semula sekarang”. Kata-kata itu adalah kata-kata syirik kerana meletakkan kuasa mengubah nasib kepada makhluk, bukan kepada Allah. Maka, orang itu tidak keluar-keluar dari kehinaan.

Dalam ayat sebelum ini telah digunakan perkataan أَكَابِرَ yang membawa maksud ‘lebih besar’. Dalam ayat ini pula digunakan perkataan صَغَارٌ yang bermaksud kecil. Lihatlah bagaimana perkataan yang berlawanan digunakan. Allah nak tunjukkan keterbalikan dari perkataan itu. Mereka ingat mereka besar, tapi sebenarnya mereka kecil sahaja.

صَغَارٌ dari perkataan صَغَرٌ yang bermaksud ‘kecil’. Dalam ayat ini dia membawa maksud ‘kehinaan’ kerana mereka yang dikecil-kecilkan akan merasa hina. Bayangkan kalau kita pergi ke sesuatu tempat, dan kepentingan kita dikecil-kecilkan, tentu kita rasa hina, bukan?

Mereka sangka mereka besar di mata masyarakat tetapi sebenarnya mereka itu kecil dan hina di sisi Allah.

Contoh ini telah berlaku semasa zaman Nabi lagi. Lihatlah bagaimana pembesar-pembesar Quraisy amat kuat menentang Nabi. Tapi akhirnya mereka telah dihinakan dengan kekalahan dalam Perang Badr. Dan kematian mereka adalah kematian yang penuh kehinaan. Maka benarlah apa yang Allah telah firmankan. Tapi ingatlah bahawa ayat ini diturunkan di Makkah semasa mereka masih lagi besar dan berkuasa. Maknanya, Allah telah awal-awal lagi memberitahu mereka apakah yang mereka akan rasa kalau mereka berterusan menentang Nabi. Ma sha Allah! Waktu itu, semasa dibacakan ayat ini kepada mereka, mungkin mereka gelak sahaja kerana mereka tidak percaya. Tapi, orang Islam di zaman Nabi, beriman dengan ayat ini dan mereka menunggu-nunggu masa bilamana ayat ini menjadi kenyataan.

 

وَعَذَابٌ شَدِيدٌ

dan siksa yang keras

Bukan di dunia sahaja mereka akan mendapat bala, tapi di akhirat kelak, mereka akan mendapat siksa yang keras, yang tidak akan berkurangan. Dan mereka akan kekal di dalam Neraka itu sampai bila-bila.

 

بِمَا كَانُوا يَمْكُرُونَ

disebabkan mereka selalu membuat tipu daya.

Allah berikan segala bala dan balasan yang teruk itu bukan kerana Allah zalim. Tapi atas balasan apa yang mereka lakukan semasa di dunia. Mereka telah berbuat zalim di dunia, maka Allah akan balas perbuatan mereka itu samada di dunia dan akhirat, atau kalau mereka tidak kena bala di dunia, mereka akan dikenakan dengan azab di akhirat kelak.

Allahu a’lam.

Lompat ke ayat yang seterusnya


 

Ref: UR, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s