Tafsir Surah al-An’am Ayat 119-121

Ayat 119:

6:119
Sahih International

And why should you not eat of that upon which the name of Allah has been mentioned while He has explained in detail to you what He has forbidden you, excepting that to which you are compelled. And indeed do many lead [others] astray through their [own] inclinations without knowledge. Indeed, your Lord – He is most knowing of the transgressors.

Malay

Dan tidak ada sebab bagi kamu, (yang menjadikan) kamu tidak mahu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya? Dan sesungguhnya kebanyakan manusia hendak menyesatkan dengan hawa nafsu mereka dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang melampaui batas.

وَمَا لَكُمْ

Mengapa kamu

Ini adalah rungutan Allah taala. Allah nak kata: “Kenapa dengan kamu ni?”

Apakah yang Allah rungutkan itu?

 

أَلَّا تَأْكُلُوا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ

tidak mahu memakan (binatang-binatang yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya,

Allah marah kenapa manusia tak mahu makan makanan yang halal. Kenapa masih lagi nak makan makanan yang tidak disebutkan nama Allah ketika menyembelihnya? Keduanya, kenapa mereka masih lagi nak berpantang? Apa alasan mereka untuk tidak makan? Kalau Allah telah halalkan makanan, kita kena makan. Jangan jadi mereka yang kononnya warak sangat, sampaikan tidak makanan binatang yang bernyawa. Ini kerana ada ajaran tarekat yang macam itu. Itu adalah salah. Cuma kalau makan, jangan makan berlebih-lebih.

Salah satu pantang yang kita biasa dengar adalah pantang orang perempuan bersalin. Tetapi sebenarnya orang lelaki lagi ramai yang mengamalkan ‘pantang’. Itulah mereka yang mengamalkan ‘wirid-wirid Keramat’. Wirid itu sendiri dah sesat dah, kemudian ditambah dengan kesesatan amalan pantang makanan pula. Iaitu ada benda-benda makanan yang tok guru mereka kata, anak murid yang nak amal amalan itu kena pantang. Maka mereka telah mengharamkan makanan ke atas diri mereka. Berbagai hujah diberikan kepada anak-anak murid mereka dan anak-anak murid mereka terima sahaja.

Pantang itu sebenarnya diajar dan dibisikkan oleh syaitan tapi mereka tak sedar. Contohnya, ada yang amalkan pertapaan dan semasa bertapa itu, mereka hanya dibenarkan makan bertih sahaja. Atau mereka dilarang dari makan makanan berdarah, seperti ayam dan sebagainya. Jadi, untuk mendapat ilmu yang mereka hendak itu, mereka kena jadi kafir dulu. Sudahlah amalan bertapa itu tidak ada dalam Islam, mereka tambah lagi dengan mengharamkan yang halal.

 

وَقَدْ فَصَّلَ لَكُم

padahal sesungguhnya Allah telah menjelaskan kepada kamu

Allah telah memperjelaskan kepada kita apakah yang tidak boleh dimakan. Surah al-An’am ini adalah surah Makkiah. Bermaksud, tentu Allah dah jelaskan sebelum ini yang ada makanan yang diharamkan kepada orang Islam. Oleh itu, kena ada surah Makkiah juga yang memperkatakan tentang pengharaman makanan itu. Yang kita biasa dengar, pengharaman tentang makanan yang ada dalam surah al-Maidah. Tapi itu tidak kena dengan ayat ini, kerana kalau pakai dalil surah al-Maidah, ianya surah Madaniah.

Memang ada surah Makkiah yang menyebut tentang pengharaman makanan. Pengharaman tentang makanan telah disebut dalam Nahl:115 yang juga adalah ayat Makkiah.

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan atasmu (memakan) bangkai, darah, daging babi dan apa yang disembelih dengan menyebut nama selain Allah; tetapi barangsiapa yang terpaksa memakannya dengan tidak menganiaya dan tidak pula melampaui batas, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

مَّا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ

apa yang diharamkan-Nya atasmu,

Makanan yang haram untuk dimakan oleh kita telah dijelaskan. Bukan banyak pun makanan yang tak boleh dimakan. Ianya telah disebut dengan jelas dalam Quran. Selain daripada itu, semuanya boleh makan. Tapi, bergantung juga dengan apa yang ulama fekah telah sebutkan tentang apakah makanan yang haram dimakan. Kita tidak mahu memperpanjangkan tulisan berkenaan dengan perkara ini. Kerana ini adalah satu perbincangan yang amat panjang. Dalam mazhab yang empat pun, terdapat khilaf tentang hal makanan.

 

إِلَّا مَا اضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ

kecuali apa yang terpaksa kamu memakannya.

Walaupun ada makanan-makanan yang tidak boleh dimakan, tetapi didalam keadaan terdesak, kita masih boleh memakannya. Sebagai contoh, kalau dalam keadaan darurat, babi pun kita masih boleh makan lagi. Sebagai contoh, pergi ke China, tapi tidak ada makanan lain, yang ada hanya babi sahaja. Kalau dia tak makan juga, boleh mati. Waktu itu, dia wajib makanan yang telah diharamkan. Asalkan jangan makan dengan berlebihan.

Ataupun kena ancam bunuh kalau tak makan, maka halal waktu itu untuk kita makan. Malah, bukan halal lagi, tapi ‘wajib’ untuk makan.

 

وَإِنَّ كَثِيرًا لَّيُضِلُّونَ بِأَهْوَائِهِم

Dan sesungguhnya kebanyakan (dari manusia) benar benar menyesatkan (orang lain) dengan hawa nafsu mereka

Mereka yang mengamalkan pantang itu adalah kerana mereka hendakkan sesuatu. Yang mengamalkan wirid-wirid keramat itu adalah kerana mereka hendakkan ilmu dan kelebihan-kelebihan tertentu. Contohnya mereka hendak ilmu kebal. Dan perempuan-perempuan yang baru lepas bersalin itu mengamalkan pantang itu kerana mereka hendak mengecutkan kembali rahim mereka supaya suami masih sayang. Semua itu adalah kehendak hawa nafsu.

Kalau mereka tidak tahu bahawa hawa nafsu yang mendorong mereka, mereka akan kalah. Mereka akan terima sahaja bahawa ada makanan yang tidak boleh dimakan, padahal ianya halal dimakan. Atau, mereka makan juga makanan yang haram. Mereka akan cari dalil bathil yang membolehkan mereka makan juga makanan yang haram itu. Sebagai contoh, mereka akan kata: “Quran haramkan makan daging babi sahaja, tapi yang kita makan ini adalah sup tulang babi sahaja”. Kerana nafsu itu berkehendak macam-macam. Salah satunya adalah nafsu makan yang tidak terkawal.

 

بِغَيْرِ عِلْمٍ

tanpa pengetahuan.

Amalan pantang mereka itu bukan berdasarkan kepada dalil dari Quran atau Sunnah, tetapi daripada ajaran karut guru-guru mereka. Dan perempuan bersalin itu mendapat amalan pantang itu daripada bidan-bidan yang bidan-bidan itu sendiripun tidak habis sekolah. Maknanya, bidan itu buat andaian mereka bukan dari ilmu, tapi dari ajaran yang salah.

Malangnya sekali ramai antara masyarakat kita yang tidak ada ilmu. Mereka agak-agak sahaja tentang hukum. Tidakkah kita pernah dengar bagaimana ada seorang pemimpin yang jahil yang mengatakan bahawa tidak ada disebut hukum hudud dalam Islam? Senang-senang sahaja dia kata tidak ada disebut hukum hudud sedangkan telah disebut dengan terang dalam Quran; begitu juga ada orang yang dengan yakin berkata Quran tidak pernah suruh kita tutup aurat. Ma sha Allah! Yang hairannya orang yang jahil begini yang yakin sangat dengan pendapat mereka. Kerana mereka ingat mereka pandai, mereka pemimpin tinggi, mereka terpelajar dalam hal dunia dan lain-lain lagi.

 

إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِالْمُعْتَدِينَ

Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang melampaui batas.

Allah tahu siapakah yang  melampau dalam hal agama mereka.


 

Ayat 120:

6:120
Malay

Dan tinggalkanlah kamu dosa yang nyata dan yang tersembunyi. Kerana sesungguhnya orang-orang yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan.

وَذَرُوا ظَاهِرَ الْإِثْمِ

Dan tinggalkanlah dosa yang zahir

الْإِثْمِ bermaksud ‘dosa’. Ianya adalah sesuatu perbuatan yang salah yang dalam hati kita pun kita dah tahu ianya salah dan kita tidak mahu orang lain mengetahui tentangnya. Hati kita sendiri dah tahu yang ianya adalah satu perbuatan yang salah kerana ianya telah ada dalam fitrah kita.

Tinggalkan dosa yang jelas: Ini adalah dosa yang dibuat terbuka depan manusia tanpa ada rasa takut. Macam ada orang Melayu yang minum arak di khalayak ramai. Atau ada pasangan yang duduk serumah dengan bukan mahramnya. Atau tidak pakai tudung tutup aurat dan selamba sahaja berjalan di khalayak ramai. Atau orang yang ambil rasuah dengan jelas. Atau orang yang tidak solat dan buat tak tahu sahaja. Atau orang yang mendengar muzik dan nyanyian secara terbuka. Mereka ini tak kisah dengan apa pandangan orang.

Juga maksud ‘dosa yang jelas’ dikatakan dosa-dosa yang dibuat dengan fizikal kita. Dengan tangan, dengan kaki dan sebagainya. Beza dengan dosa yang dibuat dengan hati. Dosa dalam hati seperti akidah yang salah, benci kepada orang lain, kita tidak nampak.

Juga maksud ‘dosa yang jelas’ dikatakan bermaksud dosa yang orang tak kisah pun kalau kita buat. Mereka yang tengok macam tidak ada apa-apa kalau kita buat. Sebab dah biasa sangat dalam masyarakat. Sebagai contoh, kalau ada yang dengar muzik, kita buat tak kisah sahaja, padahal muzik itu haram. Atau orang tak pakai tudung depan kita, kita tak kisah pun, sebab dah biasa sangat dan ramai sangat yang buat.

Ayat-ayat yang kita sedang baca ini adalah tentang pemakanan. Maka, elok kalau kita juruskan kepada hal makanan juga. Contoh dosa yang zahir tentang makanan adalah apabila seseorang itu memantangkan diri dari makan makanan yang halal. Ini adalah dosa yang zahir kerana kita nampak bagaimana mereka tidak makan makanan yang sepatutnya boleh dimakan. Bila kita tanya kenapa dia tak makan ayam contohnya, dia jawap: “Aku tak boleh makan, sebab guru aku suruh pantang makan ayam”, atau “Saya baru bersalin, tidak boleh makan ayam”.

 

وَبَاطِنَهُ

dan yang tersembunyi.

Bukan dosa yang jelas sahaja yang kita dilarang dari melakukannya, tapi termasuk juga dosa yang tak nampak, dosa batin.

Dosa batin adalah dosa yang dilakukan secara tersembunyi. Bukan di depan orang. Sebagai contoh, ramai yang melihat filem lucah dalam rumah mereka senyap-senyap. Atau mengamalkan riba dan rasuah secara rahsia.

Atau ia bermaksud dosa-dosa hati seperti riak, munafik, cemburu dan sebagainya.

Bagaimana tentang makanan? Contoh dosa batin dalam makanan adalah kepercayaan dalam diri mereka bahawa dengan mengamalkan pantang itu, mereka akan mendapat sesuatu. Itu adalah kepercayaan dalam diri mereka yang kita pun tidak tahu secara zahir. Sebagai contoh, perempuan bersalin yang berpantang itu percaya bahawa dengan berpantang, mereka akan jadi ‘dara’ balik.
Atau mereka yang mengamalkan wirid keramat itu percaya yang dengan berpantang itu, badan mereka akan menjadi ringan dan ilmu yang mereka hendak itu akan cepat masuk.

Dosa-dosa batin ini adalah kepercayaan-kepercayaan syirik yang ada di dalam hati mereka.

Disebut tentang dosa batin ini kerana takut ada orang yang dah tak buat pantang dah, tapi dalam masa yang sama, masih ada kepercayaan dalam dirinya. Itu pun tak boleh juga. Kena berhenti buat dan buang akidah sebegitu dalam diri mereka.

 

إِنَّ الَّذِينَ يَكْسِبُونَ الْإِثْمَ

Sesungguhnya orang-orang yang mengerjakan dosa,

Masih lagi melakukan dosa berpantang itu.
Sengaja makan benda yang haram. Kalau tak sengaja, tidak berdosa.

 

سَيُجْزَوْنَ بِمَا كَانُوا يَقْتَرِفُونَ

kelak akan diberi pembalasan (pada hari kiamat), disebabkan apa yang mereka telah kerjakan.

Inilah ancaman Allah kepada mereka yang melakukan dosa samada yang zahir ataupun yang batin. Allah catit apa sahaja dosa yang kita buat dan ianya akan dibalas di akhirat nanti.

Seperti kita selalu sebut, surah ini adalah surah Makkiah. Waktu itu tidak banyak lagi suruhan dan larangan berbentuk hukum. Jadi yang banyak disentuh waktu itu adalah kesalahan-kesalahan akhlak.


 

Ayat 121:

6:121
Malay

Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa); dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu; dan jika kamu menurut hasutan mereka (untuk menghalalkan yang haram itu), sesungguhnya kamu tetap menjadi orang-orang musyrik.

وَلَا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ

Dan janganlah kamu memakan binatang-binatang yang tidak disebut nama Allah keatasnya.

Ini merujuk kepada binatang yang mati sendiri kerana ianya adalah bangkai dan kita dilarang dari memakai bangkai.

Juga bermaksud binatang yang semasa disembelih, disebut nama tuhan selain dari Allah. Sebagai contoh, semasa zaman jahiliah, puak musyrikin Mekah semasa menyembelih binatang, akan menyebut nama tuhan dan berhala mereka seperti Latta dan Uzza. Kalau zaman sekarang, agama-agama lain semasa menyembelih, mungkin mereka menyebut nama tuhan-tuhan mereka.

Syarat untuk kita boleh makan sembelihan itu ada dua:
1. Semasa sembelih itu, nama Allah disebut. Tidak disebut nama selain dari Allah ketika penyembelihan, seperti nama al-Masih dan seumpamanya.
2. Penyembelihan dilakukan seperti sembelihan muslim, diputuskan urat halqum dan mari’ sehingga menumpahkan darah. Jika binatang tersebut mati kerana dijerut atau dikenakan kejutan elektrik, dibenam ke dalam air atau seumpamanya, maka binatang tersebut tidak halal dimakan. Apabila disembelih dengan cara yang betul, maka darah binatang itu akan dikeluarkan. Dan bersama darah itu akan keluar sekali bahan yang kotor yang boleh membahayakan kesihatan.

Kita selalu dengar binatang sembelihan ahli kitab itu boleh dimakan. Ini kerana terdapat dalil dalam Maidah:5 –

الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ ۖ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَهُمْ

Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal (pula) bagi mereka.

Tapi walaupun kita boleh makan sembelihan ahli Kitab, kita kena juga ikuti dua syarat itu. Iaitu hendaklah disebut nama Allah semasa menyembelih. Walaupun orang itu adalah Ahli Kitab.

Tapi, persoalan yang banyak ditimbulkan adalah: “Tapi sekarang, orang Kristian dan Yahudi bukan boleh dikira sebagai Ahli Kitab lagi, sebab Kitab mereka telah banyak diubah”. Jawapan kepada persoalan ini adalah: Semasa zaman Nabi Muhammad lagi Kitab-kitab mereka telah diubah. Bukan sekarang baru Kitab mereka diubah. Tapi walaupun kitab mereka telah diubah semasa zaman Nabi, Allah dan Nabi Muhammad masih lagi memanggil mereka ‘Ahli Kitab’.

Persoalan yang kedua yang ditimbulkan: “Macam mana kita nak tahu yang mereka ada menyebut nama Allah semasa mereka menyembelih itu?” Jawapan kepada persoalan ini adalah: Kita tidak perlu nak selidiki macam mana mereka sembelih dan samada mereka baca bismillah atau tidak. Nabi hanya suruh baca bismillah semasa kita memakan sembelihan itu. Ini terdapat dalam satu hadis dalam Sahih Bukhari:

‘Aisyah RA berkata: “Pernah sekumpulan orang berkata kepada Nabi SAW:

يَا رَسُولَ اللَّهِ ، إِنَّ قَوْمًا يَأْتُونَنَا بِاللَّحْمِ ، لَا نَدْرِي أَذَكَرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ أَمْ لَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: سَمُّوا اللَّهَ عَلَيْهِ وَكُلُوهُ

Mafhumnya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya satu kaum memberi daging kepada kami. Tetapi kami tidak tahu, apakah mereka membaca bismillah ketika menyembelih atau tidak. Sabda Nabi SAW: Bacalah bismillah dan makanlah.” (HR al-Bukhari)

Dari hadis ini, kita tidak perlu selidiki apa yang mereka buat, dan kalau kita bertanya itu, itu sudah termasuk perkara melampau dalam agama. Sedangkan Nabi SAW pernah memakan sembelihan Yahudi dan baginda tidak bertanya apa-apa kepada mereka.

Berdasarkan penjelasan di atas, maka sesiapa yang berada di Negara bukan Islam, kebanyakan yang melakukan penyembelihan pula adalah orang Kristian atau Yahudi, maka halal memakan sembelihan mereka. Melainkan jika diketahui mereka melakukan perkara yang menjadikan sembelihan itu haram seperti menyebut nama selain Allah ketika melakukan sembelihan seperti yang telah dijelaskan di atas. Jika yang menyembelih itu penyembah berhala, maka HARAM memakan sembelihan mereka. Atau kalau kita nampak sendiri Ahli Kitab itu menyembelih bukan dengan cara yang betul, pun kita tidak boleh memakan makanan sembelihan itu. Tapi, kalau kita tidak nampak, tidak mengapa. Allahu a’lam.

Kita memang telah tahu bahawa kita boleh makan binatang yang telah disembelih dengan menyebut nama Allah. Tapi ada satu keadaan di mana walaupun binatang itu telah disembelih dengan nama Allah, kita masih tidak boleh makan.

Sebagai contoh, orang-orang kita selalu panggil bomoh untuk menghalau hantu, atau untuk mengubat orang kerasukan atau jenis-jenis sakit macam itu. Bomoh itu awal-awal lagi sudah memberitahu kepada kita bahawa perlu di sembelih binatang-binatang tertentu seperti ayam golek, kambing dan sebagainya. Sebenarnya yang meminta sembelihan binatang itu adalah jin yang bomoh itu panggil. Jadi sewaktu sembelih ayam itu ataupun kambing itu, tukang sembelih akan menyebut nama Allah. Tetapi oleh kerana penyembelihan itu disebabkan oleh kerana pemujaan, maka kita tidak boleh makan sembelihan itu. Kalau kita makan juga, maka hukumnya adalah lebih haram daripada kita makan babi!

 

وَإِنَّهُ لَفِسْقٌ

Sesungguhnya perbuatan yang semacam itu adalah suatu kefasikan.

Fasiq itu terkeluar dari taat kepada Allah. Ianya adalah fasiq kerana memakan makanan yang haram. Allah dah larang, tapi nak makan juga.

 

وَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَيُوحُونَ إِلَىٰ أَوْلِيَائِهِمْ

Sesungguhnya syaitan itu membisikkan kepada kawan-kawannya

Syaitan lah yang membisikkan kepada manusia untuk berbuat fasiq dengan memakan makanan yang haram.

Satu lagi kesalahan adalah mengharamkan memakan makanan yang halal. Inilah yang diamalkan oleh mereka yang selepas pantang, yang mengamalkan wirid Keramat dan ilmu persilatan yang salah. Syaitan lah yang membisikkan kepada tok guru itu. Dan kemudian tok guru itu pula mengajar kepada anak muridnya. Anak muridnya pula bisikkan kepada orang lain. Mereka semuanya ada akidah syirik dah, itu sebab mereka boleh terima ajaran itu.

 

لِيُجَادِلُوكُمْ

agar mereka membantah kamu;

Bila kita kata tidak boleh makan makanan yang haram, mereka akan tolak dan mereka akan bantah.

Bila kita kata, tak boleh berpantang, mereka pun akan tolak. Mereka tolak dengan menggunakan hujah akal sahaja. Mereka akan kata tidak salah amalan berpantang itu. Mereka akan kata, apa salahnya kalau tak makan. Mereka tidak nampak bahawa mereka telah ambil kerja Tuhan, iaitu mengharamkan yang halal.

 

وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ

dan jika kamu menuruti mereka,

Kalau kita terikut-ikut dengan hujah akal mereka, kita akan binasa. Kadang-kadang hujah mereka kuat juga, lebih-lebih lagi kalau kita tidak berilmu. Sebagai contoh, musyrikin Mekah berhujah: kenapa tak boleh makan bangkai binatang pula, sedangkan binatang itu mati sebab Allah yang menyebabkan dia mati. Takkan kita lebih baik dari Allah pula?

Tapi itu adalah hujah akal sahaja. Kita telah beri jawapannya sebelum ini. Iaitu hujah akal bukanlah dalil dalam agama.

 

إِنَّكُمْ لَمُشْرِكُونَ

sesungguhnya kamu tentulah menjadi orang-orang yang musyrik.

Berat sekali status mereka yang ikut hujah mereka – musyrik. Kalau pun orang Islam, mengaku Islam, tapi melakukan perbuatan syirik, mereka juga dipanggil ‘musyrik’. Mereka kekal dalam neraka bersama dengan orang yang sembah berhala. Jadi, ingatlah bahawa amalan berpantang adalah salah satu amalan syirik.

Kenapa kita dikatakan syirik kalau mengamalkan ‘pantang’? Kita dikatakan buat syirik kerana kita ambil kerja Allah yang mengharamkan dan menghalalkan. Hanya Allah sahaja yang layak untuk menentukannya.

Allahu a’lam.

Lompat ke ayat yang seterusnya



 

Ref: UR, TZ, NAK

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s