Tafsir Surah al-An’am Ayat 114 – 118

Ayat 114:

6:114
Sahih International

[Say], “Then is it other than Allah I should seek as judge while it is He who has revealed to you the Book explained in detail?” And those to whom We [previously] gave the Scripture know that it is sent down from your Lord in truth, so never be among the doubters.

Malay

(Katakanlah wahai Muhammad): “Patutkah aku (terpedaya dengan kata-kata dusta Syaitan-syaitan itu sehingga aku) hendak mencari hakim selain dari Allah, padahal Dia lah yang menurunkan kepada kamu kitab Al-Quran yang jelas nyata kandungannya satu persatu (tentang yang benar dan yang salah)?” Dan orang-orang yang Kami berikan kitab, mengetahui bahawa Al-Quran itu adalah diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) dari golongan yang ragu-ragu.

أَفَغَيْرَ اللَّهِ أَبْتَغِي حَكَمًا

Maka patutkah aku mencari hakim selain daripada Allah,

Adakah kita nak cari hukum selain dari Quran yang Allah turunkan? Tentulah tidak sama sekali. Oleh itu, Tidaklah patut kita mengambil hukum dari selain yang diberikan oleh Allah. Tidaklah boleh kita nak tanya pendapat guru, ustaz atau sesiapa sahaja yang tidak bersamaan dengan Quran dan sunnah. Hukum kena didapati dari Allah kerana agama ini adalah agama Allah.

Malangnya, ada yang rasa kitab-kitab karangan ulama itu sudah cukup dan lebih penting dari Quran dan hadis. Mereka rasa tak penting belajar Quran dan hadis. Ada juga yang dengan selamba memberikan pendapat mereka dalam agama, tanpa merujuk kepada dalil yang sahih. Dengan orang-orang sebegini pun kita tidak boleh nak dapatkan hukum agama dari mereka.

 

وَهُوَ الَّذِي أَنزَلَ إِلَيْكُمُ الْكِتَابَ مُفَصَّلًا

padahal Dialah yang telah menurunkan kitab (Al Quran) kepadamu yang menjelaskan dengan terperinci?

Allah telah memberikan kepada kita Quran yang telah menjelaskan semua perkara tentang agama. Oleh itu, kenapa lagi kita nak dapatkan keputusan agama dari selainnya?

Quran itu akan lebih jelas dan tepat kalau kita belajar sahaja tafsirnya. Ramai yang baca Quran, tapi kalau baca sendiri tak akan dapat nak faham maksud sepenuhnya dan mungkin keliru jadinya.

Ini mengajar kita, dalam perbezaan pendapat dalam agama, maka hendaklah kita merujuk kepada apa yang Quran kata. Janganlah kita jadi orang yang melihat kepada individu-individu yang mereka sanjung dalam membuat keputusan. Orang yang mereka sanjung itu mungkin terkenal, mungkin ramai pengikut. Tapi itu tidak semestinya mengatakan yang semua apa yang dia cakap itu benar belaka. Kita kena periksa samada apa yang dia cakap itu bertepatan dengan Quran atau tidak. Kita sudah ada tempat rujukan, apa lagi yang kita kena buat?

 

وَالَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ

Orang-orang yang telah Kami datangkan kitab kepada mereka,

Ini merujuk kepada ahli Kitab. Surah ini diturunkan di Mekah, tapi penglibatan ahli Kitab sudah nampak walaupun Nabi belum berhijrah ke Madinah. Ini adalah kerana Quraish Mekah sudah pergi ke Madinah (waktu itu bernama Yathrib) untuk mendapatkan hujah-hujah baru dari Yahudi di sana. Bangsa Quraish sudah tidak tahu bagaimana lagi hendak berhujah dengan Nabi Muhammad, jadi mereka bertanyakan kepada Yahudi yang ada di Madinah sebab mereka memandang tinggi kepada orang Yahudi, kerana mereka ada kitab.

 

يَعْلَمُونَ أَنَّهُ مُنَزَّلٌ مِّن رَّبِّكَ بِالْحَقِّ

mereka mengetahui bahwa Al Quran itu diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenarnya.

Mereka yang memberi maklumat kepada musyrikin Mekah sendiri tahu bahawa apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad adalah benar. Allah buka apa yang ada dalam hati mereka dalam ayat ini. Allah beritahu kita yang walaupun mereka itu menentang Nabi, tapi sebenarnya mereka tahu kebenaran yang ada dalam Quran itu.

Quran itu diturunkan untuk menzahirkan ‘kebenaran’, tetapi kebenaran apa? Kebenaran bahawa Allah adalah Tuhan sekelian alam dan Allah lah yang menjadikan alam ini. Maka oleh itu kepada Allah lah sahaja yang kita sembah, kepada Allah lah sahaja kita lakukan ibadat dan kepada Allah sahaja yang kita berdoa.

 

فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ

Maka janganlah kamu sekali-kali termasuk orang yang ragu-ragu.

Jangan kita ragu-ragu dengan kitab Quran yang Allah telah turunkan sebagai rujukan untuk kita ini.

Salah satu yang kita ragu-ragu adalah tentang akidah orang kafir. Bila kita tidak faham bagaimanakah akidah mereka, maka kita tidak tahu bahawa ramai antara kita yang mempunyai aqidah yang sama sahaja dengan orang-orang kafir. Orang kafir menjadi kafir kerana mereka menggunakan Tawassul (perantaraan) untuk berdoa kepada Allah. Bukankah orang-orang Islam kita juga ramai yang berpegangan bahawa kita memerlukan Tawassul untuk berdo’a kepada Allah? Itulah persamaan antara orang kita dan orang-orang kafir.

Sebagai contoh, pernahkah anda bertanya kepada penganut Hindu samada berhala yang mereka sembah itu adalah Tuhan atau tidak? Kalau anda tanya mereka, maka anda akan dapati bahawa patung berhala yang mereka sembah itu bukanlah tuhan mereka, tetapi ianya adalah jelmaan dewa dewi mereka. Dan guna dewa dan dewi itu adalah untuk membodek tuhan bagi pihak mereka. Itulah tawasul. Dan siapakah tuhan mereka? Jikalau ditanya siapakah tuhan mereka, mereka akan memberitahu bahawa ianya adalah tuhan yang satu yang kalau kita tanya lagi sifatnya, tuhan itu mempunyai sifat yang sama sahaja dengan Allah. Maknanya, mereka pun terima akidah bahawa ada satu tuhan yang menjadikan alam ini.

Dan kenapakah mereka menggunakan sami mereka itu untuk menyampaikan doa kepada dewa, dan kemudian dewa itu akan menyampaikan permintaan mereka kepada tuhan yang satu? Mereka akan kata bahawa mereka tidak didengar tuhan kerana mereka banyak dosa dan tidak pandai dalam agama. Tapi sami itu tahu agama dari kecil, tidak buat dosa, pandai baca kitab, dan sebagainya. Itu adalah ‘buruk sangka’ mereka dengan Tuhan. Bukankah sama sahaja fahaman mereka dengan fahaman kebanyakan daripada orang Islam yang tidak tahu akidah yang benar? Kalau ditanya kenapa mereka minta ustaz doakan untuk mereka, mereka akan kata: sebab mereka rasa Allah tak dengar doa mereka kerana mereka banyak dosa, tidak pandai agama dan tidak pandai bahasa Arab untuk doa. Kita pun rupanya ada buruk sangka dengan Allah. Kita kata Allah tak mahu dengar doa kita, padahal Allah tidak pernah kata begitu.

Jadi permulaan mereka kufur adalah kerana ‘buruk sangka’ dengan Tuhan iaitu mereka sangka yang Tuhan tidak akan dengar doa mereka jikalau mereka doa sendiri. Mereka malu nak doa sendiri. Mereka ragu-ragu nak doa sendiri denganTuhan. Oleh itu, mereka akan melakukan tindakan seterusnya, iaitu menggunakan tawasul di dalam doa mereka. Lama kelamaan, mereka akan beribadah terus kepada ‘perantara’ mereka itu. Sebagai contoh, asalnya, Buddha bukan tuhan, tapi perantara dengan tuhan, tapi lama kelamaan mereka sembah terus Buddha itu.


 

Ayat 115:

6:115
Sahih International

And the word of your Lord has been fulfilled in truth and in justice. None can alter His words, and He is the Hearing, the Knowing.

Malay

Dan telah sempurnalah Kalimah Tuhanmu (Al-Quran, meliputi hukum-hukum dan janji-janjiNya) dengan benar dan adil; tiada sesiapa yang dapat mengubah sesuatupun dari Kalimah-kalimahNya; dan Dia lah yang sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui.

وَتَمَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ

Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu

Perkataan وَتَمَّتْ dari katadasar ت م م yang bermaksud ‘sesuatu yang telah lengkap dan tidak memerlukan apa-apa lagi’. Kalimah dari Allah telah sempurna dan lengkap. Tidak ada keraguan padanya. Agama ini telah sempurna dan sepatutnya dijadikan sebagai ikutan kita. Kenapa kita nak cari selain dari yang telah lengkap? Kenapa nak kena tambah amalan agama ini dengan amalan-amalan bidaah yang belum tentu benarnya itu?

 

صِدْقًا وَعَدْلًا

sebagai kalimat yang benar dan adil.

Surah al-An’am ini diturunkan di Mekah. Waktu itu, hukum-hukum dan undang-undang belum lengkap lagi. Sebagai contoh, hukum tutup aurat hanya turun di Madinah. Begitu juga dengan hukum zakat. Walaupun begitu, konsep kebenaran dan keadilan telah lengkap seperti yang disebut dalam potongan ayat ini.

Setiap kalimah dari Allah adalah benar. Antaranya, ia membenarkan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam sejarah. Juga membenarkan akidah yang haq. Juga membenarkan amalan-amalan yang betul.

Kalimah-kalimah dari Allah itu adalah berdasarkan kepada konsep keadilan. Iaitu ianya adil kepada diri, kepada masyarakat dan kepada seluruh dunia.

 

لَّا مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِهِ

Tidak ada yang dapat merubah kalimat-kalimat-Nya

Tidak akan ada yang berupaya untuk mengubah kalimat-kalimat Allah. Dari dulu lagi telah ada usaha-usaha untuk mengubah ayat-ayat Allah, tapi ianya tidak akan berlaku.

Allah pun tidak akan mengubah kandungan dan hukum-hukum yang ada dalam Quran. Ramai manusia yang menggunakan kata-kata yang salah untuk merosakkan agama. Tapi apa sahaja yang mereka lakukan, mereka tidak akan dapat merubah kalimah-kalimah Allah. Oleh itu, kalau ada perkara agama yang kita tidak suka, kita tidak boleh nak tukar agama ikut kehendak kita. Sebaliknya kita yang kena ubah diri kita ikut ketetapan agama ini. Jangan nak pusing-pusing ajaran agama ini ikut kehendak nafsu kita sampai agama pula yang kena ikut kehendak kita. Bukan agama yang kena ikut kita, tapi kita yang kena ikut kehendak agama.

 

وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Allah maha mendengar isi hati kita. Allah tahu samada ibadat dan doa kita ikhlas atau tidak. Allah Taala juga maha mendengar isihati manusia sama ada mereka terima atau tidak akidah tauhid ini ataupun mereka menentang dalam hati mereka.

Allah maha mengetahui bagaimana hendak balas permintaan kita. Allah taala juga Maha mengetahui bagaimana untuk mentadbir seluruh makhluk Nya. Allah maha mengetahui keperluan hidup kita. Maka, kepada Allah sahajalah sepatutnya kita berdoa dan bertawakal.


 

Ayat 116: Ini adalah ayat ancaman.

6:116
Sahih International

And if you obey most of those upon the earth, they will mislead you from the way of Allah. They follow not except assumption, and they are not but falsifying.

Malay

Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.

وَإِن تُطِعْ أَكْثَرَ مَن فِي الْأَرْضِ

Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini,

Ramai orang kita yang apabila melihat ramai orang buat sesuatu amalan, mereka kata tentulah amalan itu benar. Mereka kata: “Ramai yang buat, takkan salah?” Tapi hakikatnya, yang majoriti dalam dunia ini adalah orang-orang kafir, orang Islam hanya sedikit sahaja. Dan walau dalam golongan orang Islam pun, yang menerima ajaran tauhid pun adalah minoriti sahaja. Dan dari golongan minoriti itu, yang mahu belajar tafsir Qur’an adalah sedikit saja. Yang selain daripada golongan yang sikit ini, berbagai-bagai akidah mereka. Oleh kerana tidak ramai yang berada dalam kebenaran, takkan kita nak ikut golongan yang salah hanya kerana mereka ramai?

Ramainya orang yang mengamalkan sesuatu bukanlah dalil untuk mengatakan yang amalan itu benar. Agama ini bukan demokrasi yang mana yang ramai akan menang. Kalau kita lihat sampai satu stadium sampai berjoget menyanyikan Qasidah Ya Hanana, bukanlah bermaksud mereka itu benar. Kalau semua keluarga dalam Malaysia buat Majlis Tahlil, juga bukan dalil yang mengatakan amalan itu benar. Kalau satu Putrajaya buat Solat Hajat berjemaah, bukan juga dalil yang itu akan diterima Allah.

Allah suruh kita ikut Quran dan sunnah dan bukan suruh kita ikut orang. Janganlah kita terpedaya dengan pendapat yang ramai. Kerana agama ini bukanlah agama demokrasi – kalau dalam demokrasi, pihak yang ramai yang akan menang. Bukan begitu dalam agama Islam ini. Yang benar tetap benar walaupun sedikit yang menerimanya. Begitu juga, yang salah tetap salah walau satu dunia melakukannya.

 

يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ

niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah.

Kalau kita ikut-ikut sahaja orang lain tanpa diperiksa dengan Quran dan Sunnah, maka kita akan sesat. Bukan kita nak kata jangan berguru. Memang kita belajar dengan ustaz atau guru kita. Tapi bila kita sampaikan kepada orang lain, maka jangan kita kata “ini guru aku yang cakap”. Tapi kita hendaklah terus menyebut apakah ayat Quran dan hadis yang dijadikan sebagai dalil. Kerana ustaz kita tidak semestinya benar, tapi Quran dan hadis yang sahih tetap benar.

Kebanyakan manusia akan masuk neraka. Berdasarkan kepada satu hadis Qudsi di mana Allah Ta’ala berkata kepada Nabi Adam untuk memasukkan satu sahaja daripada 1,000 anak cucunya dalam syurga. Maknanya, hanya 0.1% sahaja dari penduduk dunia yang masuk syurga. Jadi, adakah kita nak ikut yang masuk neraka atau kita nak ikut yang masuk syurga?

Tapi malangnya, ramai daripada kita yang bila berhujah akan mengatakan: “guru aku kata begini dan guru aku kata begitu”. Akibatnya nanti, mereka tidak akan percaya kepada guru-guru dan pendapat-pendapat yang lain. Mereka akan hanya bergantung kepada guru mereka sahaja dan mereka tidak percaya dengan kata-kata orang lain. Ini juga adalah syirik, iaitu ‘syirik tok guru’. Kita memang sayang dengan guru dan ustaz kita yang mengajar, tetapi jikalau mereka ada yang buat yang salah dan silap di mana-mana, kita tidak boleh terima dan kita kena tegur mereka.

Jangan kita seperti orang-orang yang lain yang dalam apa-apa hal agama, keputusan hanya dibuat oleh guru mereka sahaja. Sebagai contoh, anak-anak murid Pondok akan hanya mendengar keputusan daripada guru Pondok mereka sahaja. Kita sebenarnya kena ikut apa yang benar sahaja daripada guru kita sahaja. Yang tidak benar, kita tidak boleh ikut. Kerana kita semuanya manusia dah tentunya ada salah dan silap didalam pendapat kita. Yang benar hanyalah Qur’an dan Sunnah. Setiap pendapat guru-guru kita boleh dirujuk dengan Quran dan Hadis yang sahih. Kadang-kadang apa yang mereka katakan itu hanyalah pendapat mereka sahaja. Kalau pendapat, kita boleh ikut atau kita tidak ikut. Tidak semestinya kita kena ikut semua.

Tidak ada sesiapa yang 100% kita boleh ikut. Tidak ada sesiapa pun yang boleh gerenti yang Syeikh Abdul Qadir Jailani boleh masuk syurga atau Imam Syafie sekalipun, atau sesiapa sahaja. Tetapi Nabi Muhammad dan ada sahabat-sahabat yang telah diberi gerenti yang mereka akan masuk syurga. Oleh itu seeloknya kita mengikut mereka yang telah mendapat gerenti sahaja. Kalau selain daripada mereka, kita gunakan sebagai panduan sahaja tapi bukanlah kata putus.

Malangnya orang kita ramai yang menjadikan manusia-manusia lain sebagai idola mereka tetapi mereka tidak pun mengenali para para sahabat yang telah berjuang bersama dengan Nabi. Kalau kisah wali itu dan wali ini, mereka tahu sangat, tapi kisah sahabat mereka tak ambil peduli pun. Padahal kisah-kisah itu tidak boleh dipertanggungjawabkan. Banyak sangat kisah mengarut tentang wali itu boleh ini dan boleh ini boleh itu dan sebagainya. Sampaikan kepada tahap memalukan agama sahaja.

 

إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ

Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka,

Banyak dari amalan-amalan bidaah itu direka dari sangkaan sahaja. Sebagai contoh, yang kata pahala boleh dihadiah kepada simati itu hanya agak-agak sahaja. Mereka tidak boleh pastikan samada pahala itu sampai atau tidak. Yang dalil dalam Quran, mengatakan pahala itu tidak sampai.

Ataupun mereka agak-agak sahaja yang orang dalam mati dalam kubur itu akan dengar bacaan talqin. Yang dalil dalam Quran, jelas mengatakan yang orang yang mati tak dengar. Mereka agak-agak sahaja: Mereka kata: “takkan orang mati tak boleh dengar?” Atau mereka kata, kalau Allah nak bagi dengar, tentu mereka dengar. Itu semua adalah sangkaan-sangkaan sahaja tanpa berdasarkan dalil yang sah. Padahal itu semua adalah perkara-perkara yang ghaib, yang memerlukan dalil daripada Allah dan Nabi.

 

وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ

dan mereka tidak lain hanyalah agak-agak sahaja (terhadap Allah).

Perkataan يَخْرُصُونَ dari perkataan خرص yang bermaksud ‘agak-agak’. Asalnya, ia bermakna perbuatan menganggar bilangan buah di pokok. Sebab apabila orang Arab nak jual buahan, mereka akan anggar berapa banyak buah pokok itu akan keluarkan. Maka, ada pakar yang akan buat خرص untuk anggar berapa banyak buah yang akan dikeluarkan oleh kebun itu.

Tapi walaupun dia pakar, tentulah dia tidak boleh nak anggar dengan tepat. Hal agama dan hal ghaib bukan boleh anggar sahaja. Kena ada dalil. Tapi itulah yang terjadi sekarang ni, mereka agak-agak sahaja. Apabila anggar-anggar sahaja dan kata ianya tepat, itu sudah jadi satu pendustaan.


 

Ayat 117:

6:117
Sahih International

Indeed, your Lord is most knowing of who strays from His way, and He is most knowing of the [rightly] guided.

Malay

Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang lebih mengetahui akan sesiapa yang sesat dari jalannya, dan Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.

إِنَّ رَبَّكَ

Sesungguhnya Tuhanmu,

 

هُوَ أَعْلَمُ مَن يَضِلُّ عَن سَبِيلِهِ

Dialah yang lebih mengetahui tentang orang yang tersesat dari jalan-Nya

Jangan kita kata sesiapa yang sesat atau dapat hidayah. Kerana Allah lebih tahu dari kita.

 

وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

dan Dia lebih mengetahui tentang orang orang yang mendapat petunjuk.

Kadang-kadang kita kata: “orang itu nampak warak dan beriman”. Belum tentu lagi. Sebab anggapan macam inilah orang kita boleh tersesat. Kerana mereka lihat hanya luaran sahaja. Kita ingat mereka yang pakai serban dan kuat berzikir itu dah wali dah, padahal belum tentu lagi. Tidaklah kita tahu akidah mereka. Tidaklah kita tahu apa yang mereka buat apabila mereka bersendirian.


 

Ayat 118: Sekarang kita masuk ke dalam bahagian kedua surah al-An’am ini. Sebelum ini telah disebut tentang akidah-akidah syirik pegangan manusia. Bahagian kedua ini adalah contoh amalan-amalan syirik yang dibuat oleh manusia. Ini adalah syirik tentang makanan, iaitu tentang ‘berpantang’ dalam hal makanan.

6:118
Sahih International

So eat of that [meat] upon which the name of Allah has been mentioned, if you are believers in His verses.

Malay

Maka makanlah dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya.

فَكُلُوا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ

Maka makanlah binatang-binatang (yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya,

Walaupun ayat ayat hukum banyak dikeluarkan pada surah Madiniah, tapi telah ada pengharaman untuk memakan binatang yang disembelih dengan menyebut nama berhala-berhala. Orang-orang musyrikin Mekah memang menyembelih binatang dan dikhususkan menyebut berhala mereka. Binatang sebegitu tidak boleh dimakan.

Sebelum pengharaman itu, orang-orang Islam dan orang-orang musyrikin duduk serumah dan mereka makan makanan yang sama. Dan apabila telah diharamkan untuk memakan binatang yang disembelih atas nama berhala, mereka sudah tidak boleh berkongsi makanan dengan ahli keluarga mereka yng musyrik lagi. Ini sebenarnya adalah satu hukum yang berat kepada orang-orang Islam waktu itu. Kita mungkin tidak terasa keberatan itu kerana kita hidup sekarang ini di dalam keadaan di mana tidak ada masalah untuk kita mencari makanan yang halal. Kita pun duduk dengan ahli keluarga kita yang semuanya beragama Islam. Tetapi bayangkan para sahabat yang waktu itu mereka tidak ramai dan mereka sedang duduk bersama-sama dengan ahli keluarga mereka yang musyrik.

Makanlah apa yang Allah telah halalkan untuk kita makan. Jangan cari yang haram dimakan. Dan jangan haramkan makanan yang Allah telah halalkan untuk dimakan. Kalau kita haramkan makanan yang halal, itu bermaksud kita telah ambil kerja Tuhan, dan ini adalah satu perkara syirik, kerana kita ambil kerja Tuhan. Kerana yang menghalal dan mengharamkan hanyalah Allah sahaja.

Maka, kalau sembelihan itu disembelih dan disebut nama Allah semasa menyembelihnya, maka binatang sembelihan itu boleh dimakan.

Musyrikin Mekah apabila lihat orang Islam begitu, mereka ada satu hujah yang diberikan kepada orang Islam. Mereka kata kepada kaum Islam, “kamu hanya makan binatang yang kamu bunuh, tapi kamu tak mahu makan makanan yang Allah matikan? Adakah kamu lebih baik dari Allah?” Mereka merujuk kepada bangkai binatang yang telah mati. Mungkin mati di tengah jalan dan sebagainya. Mereka kata binatang-binatang itu dimatikan oleh Allah. Takkan tak boleh makan, mereka kata. Mereka mengejek kaum muslim dengan berkata begitu. Mereka kata kita berlagak dengan Allah. Itu adalah buah fikiran mereka sahaja yang rasa mereka pandai.

Sekali pandang, macam mereka ada hujah. Tapi, kita kena bezakan’ izin’ dari Allah. Ada izin Kawni, dimana Allah izinkan sesuatu perkara itu berlaku. Tapi tidak semestinya Allah suka. Satu lagi, ada izin syar’i, yang mana Allah sendiri yang arahkan kita berbuat sesuatu. Arahan itulah yang Allah lagi suka. Oleh itu, apabila kita tidak memakan bangkai binatang kerana itu adalah larangan dari Allah, maka itulah yang Allah mahu.

Yang menghalalkan dan mengharamkan adalah Allah. Semasa Nabi Adam tinggal di syurga, baginda boleh makan apa sahaja makanan yang di syurga. Tapi dengan satu syarat: tidak boleh hampiri dan makan dari satu pokok. Begitulah Allah uji kita sebagai manusia. Apabila ada halal dimakan, Allah jadikan yang haram sebagai ujian untuk kita. Kerana nak tengok kita tinggalkan apa yang Allah larang.

Tapi ada manusia yang mengharamkan sesuatu yang halal dimakan. Bilakah ianya terjadi? Itulah yang terjadi selepas perempuan bersalin; itulah yang terjadi dalam ilmu persilatan; itulah yang terjadi dalam ajaran tarekat; itu juga terjadi dalam sesuatu puak – ada keturunan yang diajar oleh tok nenek mereka tidak boleh makan sekian-sekian ikan, kerana ada sumpahan dan sebagainya. Itu semua adalah syirik kerana ambil kerja Allah mengharamkan makanan yang halal.

 

إِن كُنتُم بِآيَاتِهِ مُؤْمِنِينَ

jika kamu beriman kepada ayat-ayat-Nya.

Jika kamu betul-betul beriman, maka tunjukkan iman kamu dengan hanya memakan sembelihan yang disebut nama Allah. Ini adalah satu ujian. Lebih-lebih lagi dalam masyarakat yang mengamalkan syirik pada zaman Nabi dulu. Waktu itu umat Islam sedikit. Makanan pun tidak banyak. Tapi sudah ada larangan sebegitu. Jadi, makanan untuk mereka sudah berkurang. Ianya amat menguji keimanan. Hanya mereka yang beriman sahaja yang boleh taat.

Zaman sekarang pun ada ujian juga. Makanan sekarang bermacam-macam jenis. Yang sedap-sedap terjual di merata tempat. Tapi, sebelum makan, kita kena pastikan yang makanan itu adalah makanan yang halal. Jadi, makanan kita dah jadi terhad. Ada makanan yang kita tahu sedap, ramai orang makan, tapi kerana iman kita, kita tahan diri kita dari memakannya. Kita sanggup bersusah payah mencari makanan yang halal. Itulah tanda iman dalam hati.

Allahu a’lam.

Lompat ke ayat yang seterusnya


 

Ref: UR, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s