Tafsir Surah al-An’am Ayat 111 – 113

Ayat 111: Ini adalah dua lagi permintaan dari musyrikin Mekah. Ayat sebelum ini telah diceritakan bagaimana mereka minta ditunjukkan mukjizat, baru mereka nak beriman. Kali ini disebut bagaimana mereka minta malaikat diturunkan dan orang mati dihidupkan semula. Supaya malaikat itu membenarkan apa yang Nabi katakan dan supaya orang mati yang hidup balik itu boleh cakap apakah yang terjadi selepas mereka mati.

6:111
Sahih International

And even if We had sent down to them the angels [with the message] and the dead spoke to them [of it] and We gathered together every [created] thing in front of them, they would not believe unless Allah should will. But most of them, [of that], are ignorant.

Malay

Dan jika Kami turunkan malaikat pun kepada mereka, dan orang-orang yang mati (hidup semula lalu) berkata-kata dengan mereka, dan kami himpunkan pula tiap-tiap sesuatu di hadapan mereka (untuk menjadi saksi tentang kebenaran Nabi Muhammad), nescaya mereka tidak juga akan beriman, kecuali jika dikehendaki Allah; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenar).

وَلَوْ أَنَّنَا نَزَّلْنَا إِلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةَ

Kalau sekiranya Kami turunkan malaikat kepada mereka,

Musyrikin Mekah kata, kenapalah Allah turunkan manusia untuk beri peringatan kepada mereka? Mereka kata sepatutnya malaikatlah yang diturunkan. Allah nak beritahu dalam ayat ini, kalau Allah turunkan malaikat kepada mereka pun, mereka tidak beriman juga.

Mereka juga hendak Malaikat diturunkan supaya malaikat itu memberitahu kepada mereka bahawa apa yang Nabi Muhamad katakan itu adalah benar belaka. Kononnya, baru mereka nak percaya.

Ayat ini adalah ayat rungutan Allah tapi bukan rungutan Allah kepada mereka sahaja. Musyirikin Mekah itu adalah sebagai contoh kerana mereka adalah penerima wahyu yang awal sekali. Tapi, seperti kita tahu, ayat Qur’an ini adalah untuk setiap zaman. Maka ianya juga ditujukan kepada semua manusia yang tidak mahu menerima kebenaran. Jangan kita ingat kita sudah selamat dari rungutan Allah ini. Kerana masalah yang dihadapi oleh manusia sama sahaja dari dulu sampai sekarang. Ada manusia-manusia zaman sekarang yang macam musyrikin Mekah juga. Kepada mereka itu, walaupun Allah turunkan malaikat untuk memberitahu kebenaran mereka pun tidak akan diterima. Kerana mereka memang degil.

 

وَكَلَّمَهُمُ الْمَوْتَىٰ

dan orang-orang yang telah mati berbicara dengan mereka

Musyrikin Mekah juga kata, kalau apa yang dikatakan oleh Nabi itu benar, maka hidupkanlah kembali orang yang mati supaya orang mati itu boleh bercakap-cakap dengan mereka.

Itu adalah permintaan yang tidak patut. Macam-macam benda yang mereka minta. Ada puak yang sesat pula berhujah, kalaulah amalan yang mereka lakukan itu salah, maka tentunya Allah telah memberitahu mereka dengan menghantar malaikat untuk beritahu ataupun menghidupkan kembali orang yang mati untuk beritahu kepada mereka. Bukan begitu cara Allah memberi peringatan kepada manusia. Allah berikan hujah-hujah kebenaran dengan cara yang lain. Allah suruh kita gunakan akal dan rujuk kepada ayat-ayatNya.

 

وَحَشَرْنَا عَلَيْهِمْ كُلَّ شَيْءٍ قُبُلًا

dan Kami kumpulkan (pula) segala sesuatu ke hadapan mereka,

Dan kalaulah Allah hidupkan kembali semua orang yang telah mati, semua malaikat yang ada dan letakkan di hadapan mereka, adakah mereka akan beriman? Tidak juga.

Atau, ‘segala sesuatu’ itu bermaksud segala rahsia alam langit dan bumi diletakkan di hadapan mereka. Segala apa yang telah dicipta diletakkan di hadapan mereka. Perkataan قُبُلًا bermaksud ‘berhadapan’ dengan mereka. Adakah mereka akan beriman?

 

مَّا كَانُوا لِيُؤْمِنُوا

niscaya mereka tidak (juga) akan beriman,

Mereka tidak akan beriman juga. Mereka itu adalah jenis orang yang degil. Allah boleh sahaja nak letakkan semua orang yang telah mati di hadapan mereka dan segala malaikat, dan segala rahsia langit dan bumi, tapi Allah nak beritahu kepada kita bahawa semua itu tidak akan menyebabkan mereka beriman. Ini adalah kerana hati mereka tidak mahu beriman.

 

إِلَّا أَن يَشَاءَ اللَّهُ

kecuali jika Allah menghendaki,

Allah boleh jadikan semuanya makhlukNya beriman dan percaya. Allah boleh paksa sesiapa sahaja untuk beriman. Memang Allah boleh buat. Itu adalah dalam kuasa Allah. Tapi bukan begitu cara Allah.

Ada juga mereka yang asalnya tidak beriman tetapi akhirnya diberikan hidayah keimanan. Berapa ramai dari musyrikin Mekah yang asalnya menentang Nabi, tapi kemudian mereka telah beriman? Lihatlah kepada Abu Sufyan, Khalid al Walid dan sebagainya. Mereka menerima Islam akhirnya dan menjadi muslim yang baik.

Berapa ramai juga yang asalnya menentang jalan Sunnah, kata orang-orang sunnah itu sesat, wahabi dan sebagainya, tapi akhirnya setelah mereka membuka hati mereka kepada kebenaran, mereka akhirnya dapat terima.

 

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ يَجْهَلُونَ

tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

Kebanyakan manusia adalah jahil. Mereka jahil tentang kuasa Allah untuk memaksa sesiapa sahaja untuk beriman. Mereka menidakkan kuasa Allah untuk memberi hidayah kepada manusia. Oleh kerana itu, kadang-kadang ada yang berkata: “dia itu memang dah sesat, tentu takkan beriman.” Siapa kita yang boleh tentukan samada seseorang itu akan beriman atau tidak?

Ayat ini juga bermaksud orang-orang yang engkar itu jahil tentang kebenaran dan tentang tauhid kepada Allah. Mereka jadi jahil kerana mereka sombong untuk menerima kebenaran. Setelah diberikan dengan segala tanda dan ditunjukkan segala bukti, mereka masih lagi tidak mahu beriman. Oleh kerana itu, Allah tutup hati mereka.

Begitulah juga dengan kebanyakan masyarakat Islam di negara ini. Mereka memang sudah jahil dengan agama kerana malangnya ibubapa kita tidak mementingkan pelajaran agama. Ataupun mereka telah belajar agama, tapi mereka belajar dari guru-guru yang mengajar ajaran bidaah dan ajaran salah. Dan apabila kita berikan bukti dan dalil kepada mereka, mereka sombong nak terima. Mereka balas dengan hujah-hujah bathil dan lemah. Mereka tidak mahu mengaku yang mereka kurang ajaran agama. Atau mereka akan mempertahankan ajaran yang mereka telah belajar. Antaranya, mereka akan beri ayat Quran, beri hadis, beri hujah akal dan sebagainya yang memang menunjukkan mereka tidak mahir tentang dalil-dalil itu. Contohnya, memang mereka beri ayat Quran, tapi mereka tak faham apakah maksud ayat itu. Mereka hanya ikut apa yang orang lain buat dan kata.

Tidak mengapa kalau mereka jahil, tapi hendaklah mereka menerima yang mereka tidak tahu dan menerima hujah sah yang diberikan. Tapi malangnya ramai yang degil dan sombong. Sudahlah jahil, sombong pula nak belajar.

Kenapa boleh jadi sampai begini? Kerana mereka menolak kebenaran yang sampai kepada mereka pada mulanya. Kerana itu hati mereka sudah menjadi keras tidak nampak lagi. Mereka tolak mentah-mentah. Sepatutnya kalau mereka tak terima pun, sekurang-kurangnya mereka kena fikirkan. Jangan terus tolak. Jangan terus kata apa yang kita katakan ini sebagai salah terus. Kena dengar dulu apakah hujah yang kita ada.


 

Ayat 112:

6:112
Sahih International

And thus We have made for every prophet an enemy – devils from mankind and jinn, inspiring to one another decorative speech in delusion. But if your Lord had willed, they would not have done it, so leave them and that which they invent.

Malay

Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا

Dan demikianlah Kami jadikan musuh bagi tiap-tiap nabi itu,

Perkataan وَكَذَٰلِكَ bermaksud begitulah keadaannya: bagaimana setelah ditunjukkan segala bukti yang nyata, mereka masih lagi menentang dan bermusuh dengan Nabi. Sebagai contoh, musuh Nabi Musa adalah Firaun. Ini bermakna, bukan Nabi Muhammad sahaja yang kena macam ini, tapi setiap Nabi kena macam itu.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa Allah lah yang meletakkan musuh-musuh itu kepada setiap Nabi. Dan memang Allah berikan musuh-musuh yang paling teruk kepada para Nabi, supaya kalau kita bandingkan musuh kita dengan musuh para Nabi, tidaklah nampak teruk sangat musuh kita.

Begitulah juga, sesiapa yang mengambil jalan tauhid ini telah siap-siap diberikan oleh Allah musuh-musuh masing-masing. Itulah sebabnya ramai kita yang kena marah dan dibenci oleh orang lain. Apabila mereka lihat kita, mereka menjuihkan mulut kita. Mereka sudah tidak mahu nak bercakap-cakap dengan kita. Mereka akan nasihat orang lain supaya jangan dengar kata-kata kita kerana mereka kata kita dah sesat. Inilah dugaan orang-orang yang sebar tauhid. Allah beri musuh-musuh ini sebagai dugaan dan ujian kepada kita.

Oleh itu, sesiapa yang telah diberikan dengan dalil-dalil yang sahih, tapi masih lagi menentang ajakan tauhid ini, mereka sebenarnya adalah ‘musuh’. Musuh kepada siapa? Musuh kepada Nabi dan Allah! Mereka bukan sahaja bermusuh dengan kita tetapi dengan Nabi dan Allah. Ini adalah satu dosa yang amat besar. Tapi entah berapa ramai yang tidak suka dengan jalan dakwah ini dan mereka jadikan misi hidup mereka untuk mematikan dakwah sunnah ini. Mereka tentang kita seperti mereka tentang ajaran Syiah. Mereka samakan kita dengan Syiah pula. Sebagai contoh, mereka akan gunakan slogan: “Katakan tidak kepada Syiah dan Wahabi!” Oleh kerana mereka kata begitu, maka masyarakat jadi jauh dari jalan sunnah kerana mereka telah tanam dalam fikiran manusia yang ajaran sunnah ini adalah ‘ajaran Wahabi’, ajaran salah. Mereka tak tahu pun apa yang mereka kata, cuma mereka tahu sebut ‘Wahabi’ sahaja.

Kalau tidak beriman pun dah salah. Tapi bagaimana pula kalau menentang? Zaman Nabi dulu, banyak yang tidak beriman dengan dakwah Nabi. Tapi dalam masa yang sama, mereka tidak menentang Nabi pun. Mereka buat tak kisah sahaja. Dan apabila Pembukaan Mekah, mereka beramai-ramai masuk Islam. Kerana mereka sudah nampak kekuatan Islam. Tapi mereka dulu tidak menentang Nabi. Tapi bagaimana pula dengan yang menentang Nabi seperti Abu Lahab dan Abu Jahal? Mereka itulah musuh Islam, musuh Nabi dan juga musuh Allah.

Inilah juga mereka-mereka yang menentang ajaran Sunnah di negara ini. Merekalah yang menghalang dakwah Sunnah dijalankan. Mereka sakit hati melihat dakwah Sunnah semakin diterima. Sampaikan bermacam-macam tohmahan mereka berikan kepada puak Sunnah. Mereka tak benarkan orang-orang Sunnah mengajar di masjid-masjid dan surau-surau. Mereka kata ‘jangan beri peluang puak-puak ini berceramah di sini’. Mereka ini adalah syaitan, lebih teruk dari orang kafir dan orang musyrikin. Kerana ada orang kafir dan orang musyrik yang tak lawan orang Islam pun.

 

شَيَاطِينَ الْإِنسِ وَالْجِنِّ

yaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dan jenis) jin,

Ini adalah dalil kepada kita bahawa syaitan itu ada yang dalam bentuk jin dan ada yang dalam bentuk manusia. Tapi orang kita ramai yang tidak tahu. Mereka ingat syaitan itu dari golongan jin sahaja. Oleh itu, apabila kita kata, orang itu ‘syaitan’, mereka hairan. Mereka hairan kerana mereka tak belajar tafsir Quran.

Perkataan ‘syaitan’ itu adalah satu ‘sifat’ sebenarnya. Iaitu sifat menentang dan tidak taat kepada Allah. Jadi, jikalau yang menentang jalan Sunnah itu adalah jenis manusia, dia juga adalah dipanggil ‘syaitan’ juga.

Perkataan شَيَاطِينَ adalah dari kata شطن yang bermaksud ‘jauh’. Apabila seseorang itu menentang dan tidak taat kepada Allah, dia telah menjauhkan dirinya dari Allah. Setiap kali kita tidak taat kepada Allah, kita sebenarnya menjauhkan diri dari Allah. Oleh itu, kalau kita rasa jauh sahaja dari Allah, maka hendaklah kita melakukan amal ibadat dengan banyak.

 

يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ

sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain

Syaitan-syaitan dari jin dan manusia lah yang membisikkan kepada manusia bahawa apa yang kita bawa ini adalah salah. Mereka kata, ajaran Sunnah ini bukan dari Nabi, tapi dari Imam Abdul Wahab. Mereka akan kata kepada masyarakat supaya jangan dengar dakwah Sunnah. Mereka akan tentang ajaran Sunnah dari diajar di masjid. Oleh kerana mereka ada pengaruh di masjid dan surau, maka ajaran Sunnah sepi dari masyarakat umum. Sebab itulah, banyak ajaran Sunnah sekarang ini diajar di rumah-rumah dan tempat tertentu sahaja. Ini adalah kerana ada ‘musuh-musuh’ Allah yang menghalang. Ramai yang kata, kalau sunnah ini benar, kenapa tidak disebut di media-media utama, di suratkhabar dan tv contohnya – kita jawap: kerana kita disekat dari menyebarkan dakwah tauhid dan sunnah ini.

Syaitan yang jenis jin inilah juga akan membisikkan kepada manusia ajaran-ajaran yang syirik dan sesat. Syaitan memang sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia dari dulu sampai kiamat. Kalau tidak dapat sesat terus sampai mengaku kafir pun tidak mengapa, asalkan sesat sedikit dengan mengamalkan ajaran yang salah. Mereka akan bisikkan amalan-amalan bidaah yang nampak macam ajaran Islam, tapi sebenarnya tidak.

Syaitan akan membisikkan kepada seorang manusia dan manusia itu pula akan membisikkan ajarannya kepada orang-orang yang lain. Maka apabila dia mengajar manusia lain, dia pun sudah menjadi syaitan. Kerana dia mengajar sesuatu yang salah dan akan menyesatkan manusia lain. Dia akan berkata bahawa apa yang diajar itu adalah ‘ajaran yang rahsia’. Sebab itu dia kena bisikkan ajaran itu. Lihatlah bagaimana ajaran-ajaran sesat itu akan dibuat secara senyap-senyap sahaja. Mereka ingat mereka mendapat ilham daripada Allah ataupun daripada malaikat tetapi sebenarnya bisikan yang mereka dapat itu adalah daripada syaitan.

Inilah yang banyak terjadi kepada puak-puak tarikat dan puak-puak Habib yang membawa amalan-amalan yang bukan daripada ajaran Islam. Ajaran-ajaran dan amalan mereka itu adalah pelik-pelik belaka. Tetapi mereka lapik kepelikan amalan mereka itu dengan mengatakan bahawa itu adalah ‘ajaran rahsia dari Allah’. Mereka kata bukan semua boleh dapat, sebab itu tidak banyak orang mengajar macam itu. Maka mereka-mereka yang jahil dengan agama akan suka dan akan percaya dan akan amalkan amalan-amalan itu. Mereka ingat mereka beruntung kerana dapat amalan yang rahsia, tetapi mereka tidak tahu bahawa amalan itu adalah amalan syirik.

 

زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا

perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia).

Mereka akan membisikkan dengan kata-kata yang indah-indah. Macam-macam helah yang digunakan oleh musyrikin Mekah supaya manusia lain tidak datang dengar dakwah yang disampaikan oleh Nabi. Mereka antaranya beritahu kepada orang lain bahawa kalau mereka dengar sahaja kata-kata Nabi Muhammad, mereka akan terpukau kerana Nabi Muhammad menggunakan sihir. Mereka kata ayat-ayat Quran itu adalah sihir! Begitulah yang terjadi kepada seorang sahabat Nabi yang bernama Tufail. Tufail ditakutkan begitu sampaikan beliau telah menutup telinganya dengan kapas supaya tidak mendengar ayat-ayat Quran yang dibaca oleh Nabi.

Perkataan زُخْرُفَ bermaksud ‘perhiasan’. Digunakan untuk mencantikkan sesuatu. Seperti kita menghiasi rumah kita. Pada asalnya, rumah kita mungkin tidak cantik, nampak biasa sahaja, tapi ada orang yang pandai menghias sampaikan jadi cantik pula. Begitu juga, maksud زُخْرُفَ الْقَوْلِ adalah perkataan yang tidak elok tapi yang berkata-kata itu akan menggunakan ‘perhiasan’ untuk mencantikkan kata-kata mereka. Tapi perhiasan itu hanyalah غُرُورًا – penipuan sahaja. Antaranya mereka akan kata, tujuan mereka halang dakwah tauhid adalah kerana hendak menjaga ‘perpaduan masyarakat’. Mereka kata ajaran Sunnah ini adalah untuk memecahkan umat Islam negara ini, sebab itu mereka halang. Mereka akan kata, amalan mereka itu sudah lama diamalkan oleh ulama-ulama dulu, maka ianya adalah baik.

Kata-kata indah itu digunakan untuk menyebar amalan salah dan bidaah. Zaman sekarang, amalan-amalan bidaah dan syirik yang dilakukan oleh masyarakat kita nampak cantik sahaja. Perkataan-perkataan yang disebut adalah indah tetapi di dalamnya ada jerangkap samar. Lihatlah lagu Ya Hanana yang popular di negara kita sekarang. Lagunya dan bunyinya amat mengasyikkan. Memang sedap di telinga kita. Tapi apa yang dinyanyikan adalah lafaz syirik. Bagaimana tidak syirik kalau memuja-muja Nabi Muhammad? Sepatutnya yang dipuja adalah Allah, tapi mereka puja Nabi. Sepatutnya syafaat itu dari Allah, tapi mereka minta kepada Nabi.

Oleh itu, sebagai seorang yang beriman, kenalah berhati-hati dengan apa yang kita dengar. Jangan kita tertipu dengan kata-kata yang indah sahaja. Kita kena tapis dengan hujah dan dalil yang sahih.

 

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ

Jikalau Tuhanmu menghendaki, niscaya mereka tidak mengerjakannya,

Allah boleh sahaja halang mereka. Tapi Allah Taala biarkan kita untuk berusaha dalam kehidupan kita. Ada yang usaha untuk kebaikan dengan amalan yang benar, dan ada yang mengerjakan amalan yang syirik dan bidaah. Allah biarkan sahaja. Allah tak tahan. Itu semua adalah ujian yang Allah berikan.

Kalau Allah nak tahan, boleh sahaja. Allah boleh sahaja halang musuh-musuh itu dari berkata-kata. Allah boleh sahaja beri tanda yang amalan mereka itu salah. Bayangkan kalau kalau setiap kali penganut Hindu nak sembah berhala itu dikenakan dengan petir, atau terasa tangannya sakit, tentulah mereka akan meninggalkan sembahan mereka itu. Mereka sanggup hancurkan patung-patung itu; atau kalau setiap kali seorang yang beri salam kepada malaikat dan wali, dikenakan sakit, samada mereka pening atau pengsan terus, tentulah mereka tak buat lagi. Tapi Allah tak buat begitu. Allah biarkan sahaja mereka dalam kesesatan amalan mereka.

Allah cuma catit sahaja apa yang mereka kata dan amalkan, dan mereka akan dibalas nanti hasil dari perbuatan mereka.

 

فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ

maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan.

Allah suruh tinggalkan mereka yang buat penipuan itu, buang masa sahaja. Kita teruskan dengan kerja dakwah kita. Jangan kita layan sangat musuh-musuh itu. Ada ramai lagi yang akan dengar dakwah kita. Jangan takut dengan apa yang mereka kata. Ingatlah bahawa musuh itu diberikan kepada kita sebagai ujian kepada kita.

Sebab itu kita lihat ulama-ulama tidak kisah pun dengan sindiran-sindiran yang dikenakan kepada mereka. Mereka tak jawap pun tohmahan yang dikenakan kepada mereka. Kalau jawap, buang masa disitu sahaja, sedangkan masih banyak lagi kerja dakwah yang perlu dijalankan. Sebaliknya, kadang-kadang akan ada orang lain yang akan menjawab bagi pihak mereka.


 

Ayat 113:

6:113
Sahih International

And [it is] so the hearts of those who disbelieve in the Hereafter will incline toward it and that they will be satisfied with it and that they will commit that which they are committing.

Malay

Dan juga supaya hati orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat cenderung kepada bisikan itu, dan supaya disetujui oleh mereka, dan juga supaya mereka (terus) melakukan apa yang mereka lakukan itu.

وَلِتَصْغَىٰ إِلَيْهِ أَفْئِدَةُ

Dan (juga) agar hati kecil cenderung kepada bisikan itu,

وَلِتَصْغَىٰ bermaksud mereka mendengar dengan tekun. Ini bermaksud mereka cenderung kepada fahaman salah itu. Kemudian mereka tulis dalam blog mereka, mereka post dalam Facebook, dalam whatsapp dan sebagainya.

 

الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ

orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat

Bukan semua orang akan terpedaya dengan penipuan-penipuan syaitan dari kalangan jin dan manusia itu. Hanya mereka yang tidak percaya kepada kehidupan akhirat sahaja yang akan percaya.

Apakah maksud ‘tidak percaya’ itu? Takkan orang yang mengaku Islam tidak percaya kepada hari Akhirat? Maksud tidak percaya itu adalah mereka tidak kisah tentang apa yang akan terjadi di hari akhirat nanti. Mereka tidak takut dengan balasan Allah kepada mereka. Mereka tidak tahu bahawa di akhirat nanti mereka kena jawab tentang kata-kata mereka dan amalan-amalan mereka semasa di dunia dulu. Mereka tidak terfikir bahawa nanti mereka tidak akan ada hujah untuk membenarkan amalan-amalan mereka lakukan itu.

Mereka lupa bahawa amalan mereka itu tidak ada dalil daripada Quran dan juga daripada hadis Nabi. Kalau semasa di dunia, mereka boleh berhujah dengan hujah-hujah akal dan hujah-hujah yang bathil, tetapi bagaimana mungkin mereka akan berhujah begitu di hadapan Allah Ta’ala nanti.

Dalam dunia ini akan sentiasa ada sahaja mereka yang akan mengajar ajaran-ajaran yang salah dan sesat. Oleh itu kita kenalah pandai untuk menapis manakah ajaran yang benar dan manakah ajaran yang salah. Orang-orang yang memikirkan tentang nasib mereka di akhirat nanti akan sentiasa berhati-hati dengan amalan yang mereka lakukan. Mereka tidak berani untuk melakukan amalan yang tidak ada dalil yang sah kerana mereka tahu bahawa mereka akan ditanya tentang amalan-amalan itu nanti di hari akhirat. Semoga kita tergolong dalam golongan mereka yang beriman dengan hari akhirat.

Begitu juga, ada banyak hujah-hujah yang diberikan dalam media sekarang. Ada yang menyokong dan ada yang menentang dakwah Sunnah ini. Maka hendaklah kita pandai membezakan manakah yang benar dan tidak. Kalau yang berkata itu tidak beri dalil sah, maka kita pun tahu bahawa dia itu adalah musuh agama.

 

وَلِيَرْضَوْهُ

mereka merasa senang kepadanya

Mula-mula, mereka akan cenderung sahaja. Dalam hati mereka: “macam elok sahaja amalan ini”. Kemudian, mereka naik kepada peringkat atas lagi. Mereka akan suka pula kepada ajaran dan amalan salah itu. Mereka-mereka itu suka dengan amalan amalan salah itu kerana hati mereka memang cenderung kepada kesesatan. Jadi apabila ada orang yang membisikkan amalan-amalan salah, maka mereka akan cenderung dan kemudian mereka suka dengan amalan-amalan itu.

 

وَلِيَقْتَرِفُوا مَا هُم مُّقْتَرِفُونَ

dan supaya mereka mengerjakan apa yang mereka (syaitan) kerjakan.

Peringkat seterusnya, mereka akan amalkan amalan yang salah itu. إقترف asalnya bermaksud melakukan sesuatu yang salah untuk mendapatkan wang. Bermaksud mereka melakukan sesuatu yang tidak elok. Sebagai contoh, mencuri, menipu, skim cepat kaya dan sebagainya.

Ayat ini bermaksud mereka melakukan sesuatu yang jahat dan huduh. Mula-mula mereka cenderung – kemudian mereka jadi suka – kemudian barulah mereka akan mengamalkan.

Allahu a’lam

Lompat ke ayat yang seterusnya

==================

Ref: UR, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s