Tafsir Surah al-An’am Ayat 107-110

Ayat 107:

6:107
Sahih International

But if Allah had willed, they would not have associated. And We have not appointed you over them as a guardian, nor are you a manager over them.

Malay

Dan kalau Allah menghendaki, nescaya mereka tidak mempersekutukanNya; dan Kami tidak menjadikan engkau (wahai Muhammad) penjaga dan pengawal mereka, dan engkau pula bukanlah wakil yang menguruskan hal-hal mereka (kerana semuanya itu terserah kepada Allah semata-mata).

وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ

Dan kalau Allah menghendaki,

مَا أَشْرَكُوا

niscaya mereka tidak memperkutukan(Nya).

Allah boleh sahaja menjadikan semua mahklukNya beriman dan tidak melakukan syirik. Allah boleh jadikan semua makhluk taat sahaja kepadaNya. Tetapi Allah tidak mahu berbuat begitu. Bukan begitu cara Allah. Allah beri kebebasan kepada makhlukNya memilih jalan mana yang mereka hendak.

Orang Islam waktu zaman Nabi berfikir bahawa mungkin kerana orang-orang Musyrik itu tidak ditunjukkan dengan mukjizat yang mereka pinta, sebab itu mereka tidak beriman. Dan mereka rasa kalaulah ditunjukkan dengan mukjizat yang mereka pinta itu, mungkin mereka akan beriman. Allah nak kata, tidak begitu caranya. Kalau Allah nak beri mereka semuanya beriman, Allah boleh buat. Allah mampu nak buat. Allah boleh tunjukkan dengan segala mukjizat sampaikan mereka tidak berani nak lawan lagi. Tapi Allah tidak mahu begitu.

Kalau mereka nak buat syirik, Allah biarkan. Ini bukanlah bermaksud Allah redha atau terima perbuatan syirik itu. Tetapi Allah telah memberikan manusia dengan kebebasan untuk memilih jalan mana yang mereka kehendak. Allah tidak memaksa manusia untuk beriman kepadanya. Kalau mereka memilih jalan untuk melakukan syirik, mereka boleh buat, tapi mereka akan dibalas dengan keburukan atas kesyirikan yang mereka lakukan. Mereka tidak akan dibiarkan begitu sahaja.

Perumpamaan: Bayangkan ibu bapa yang memberi duit belanja kepada anaknya. Duit itu sepatutnya digunakan untuk tambang bas ke sekolah, beli makanan, beli buku dan sebagainya. Ayahnya tidaklah paksa berapa pakai untuk tambang, untuk makan dan sebagainya. Anak itu kena pandai sendiri menggunakan duit yang diberi itu. Arahan sudah diberi, iaitu gunakan duit itu untuk sekolah. Maknanya, ada kebebasan yang diberikan. Tapi, kalau anak itu gunakan duit itu untuk beli kasut, agak-agak apa ayah itu akan kata apabila anak itu balik nanti? Tidakkah ayah itu berhak untuk memarahi dan menghukum anaknya itu? Anaknya itu sepatutnya menggunakan duit itu untuk hal sekolah, tapi dia telah salahgunakan.

Begitulah juga dengan kita. Allah telah memberikan segala keperluan hidup kita, oksigen, makanan, pakaian, masa dan sebagainya. Tapi Allah suruh kita gunakan segala nikmat itu untuk kebaikan. Allah suruh kita ikut suruhanNya dan tinggalkan laranganNya. Allah beri kebebasan untuk kita gunakan segala nikmat itu. Dan kalau kita salah gunakan segala nikmat itu, adakah salah kalau Allah hukum kita nanti?

وَمَا جَعَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا

Dan Kami tidak menjadikan kamu pemelihara bagi mereka;

حَفِيظًا bermaksud seseorang yang menjaga dan mengawasi. Bukanlah tugas Nabi Muhammad dan bukanlah juga tugas kita untuk mengawasi apa yang orang-orang lain kata dan berbuat. Tugas Nabi Muhammad dan tugas kita adalah hanya untuk menyampaikan dakwah sahaja kepada mereka. Bukan untuk awasi mereka.

Kalau kita nak awasi pun, kita tidak akan mampu untuk menjaga dan memelihara manusia daripada melakukan perbuatan yang salah. Kalau kita cuba buat begitu maka kita akan sentiasa gagal. Macam anak kita, kalau depan mata kita, bolehlah kita marah mereka kalau buat salah. Tapi kalau belakang kita?

Kita sebagai manusia tidak mampu untuk mengawasi perbuatan orang lain dan percakapan mereka. Tetapi Allah mampu untuk mengawasi dan ingatlah bahawa Allah akan membalas dari setiap perbuatan kita dan percakapan kita.

وَمَا أَنتَ عَلَيْهِم بِوَكِيلٍ

dan kamu sekali-kali bukanlah pemelihara bagi mereka.

Ini bermaksud kita tidak bertanggungjawab untuk memaksa orang lain beriman. Kita hanyalah sebagai pemberi ingatan sahaja. Tidak ada paksaan dalam Islam. Kita tidak boleh nak paksa sesiapa pun untuk beriman, walaupun anak-anak kita sendiri pun. Kerana iman itu kena datang dari hati mereka sendiri.


 

Ayat 108:

6:108
Sahih International

And do not insult those they invoke other than Allah, lest they insult Allah in enmity without knowledge. Thus We have made pleasing to every community their deeds. Then to their Lord is their return, and He will inform them about what they used to do.

Malay

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ

Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah,

تَسُبُّوا dari perkataan سبب yang bermaksud mengata-ngata dan mengejek-ngejek atau memberi nama yang buruk kepada seseorang atau sesuatu.

Ayat ini ditujukan kepada orang-orang Islam. Mereka dulunya juga orang-orang musyrik tetapi mereka telah beriman. Mereka telah nampak kebenaran Islam. Mereka tentunya sakit hati melihat kawan-kawan dan ahli keluarga mereka yang masih lagi melakukan perbuatan syirik. Mereka tahu kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang musyrik itu kerana mereka sendiri dulu pun berbuat benda yang sama juga.

Macam kita lah juga. Kita dulu pun walaupun di dalam agama Islam tetapi kita dulu pernah bergelumang dengan melakukan perkara syirik. Pernah masuk tarekat, pernah pergi Majlis Tahlil dan sebagainya. Tapi kita dah tahu yang semua itu adalah salah. Jadi kadang-kadang kita sakit hati dengan mereka yang masih lagi tidak faham bahawa apa yang mereka lakukan adalah perkara yang syirik dan bidaah. Kita sudah faham manakah salah dan silapnya dalam amalan itu kerana kita dah pernah buat.

Oleh itu kadang-kadang kita rasa kita tidak dapat mengawal perasaan dan mulut kita daripada mengatakan kata-kata yang kesat kepada mereka. Kita rasa macam kita ada hak untuk berkata begitu. Tambahan pula kalau mereka-mereka itu juga berkata kesat kepada kita. Sebagai contoh, kadang-kadang mereka kata kita ‘Wahabi’ dan kadang-kadang mereka kata kita pula yang sesat. Mereka sakit hati dengan kita, dan kita pun sakit hati dengan mereka. Maka tentunya kita hendak membalas kata-kata mereka dengan balasan yang sama. Tetapi bolehkah kita berbuat begitu? Ayat ini kata tak boleh.

Dalam ayat ini orang Islam dilarang untuk mengejek dan mengutuk sembahan-sembahan puak musyrik. Ianya mungkin dalam bentuk berhala mereka, matahari, bulan, bintang, Nabi, malaikat, wali-wali dan sebagainya. Kita dilarang dari berbuat begitu walaupun sembahan-sembahan mereka itu bukanlah tuhan yang sebenarnya. Bukan salah yang disembah pun. Sebagai contoh, tidaklah pernah Nabi Isa suruh orang sembah baginda. Begitu juga dengan Imam-imam Syiah itu – mereka itu orang-orang yang baik. Cuma orang Syiah sahaja yang memandai-mandai cipta agama baru dan lantik Imam-imam itu sebagai sembahan mereka.

Ayat ini membawa dua larangan: Larangan pertama adalah jangan keji dan kutuk ‘sembahan-sembahan’ orang musyrik; Larangan yang kedua adalah jangan mengutuk dan mengeji ‘orang-orang yang menyembah’ itu.

Dunia ini tidak pernah sunyi dari pertentangan antara hak dan batil. Ada saja pertentangan antara pihak yang benar dan pihak yang salah. Kedua-dua pihak ini ada ‘senjata’nya masing-masing. Puak yang hak akan menggunakan kebenaran dan hujah-hujah yang sahih untuk menyokong dakwaan mereka. Manakala pihak yang batil akan menggunakan hujah yang kosong dan juga kata-kata yang kasar. Oleh itu kedua-dua pihak akan menggunakan senjata masing-masing. Selagi kita dipihak yang benar, kita hendaklah menggunakan dalil-dalil yang sah sebagai hujah kita. Yang menggunakan kata-kata kesat hanyalah mereka yang tidak mempunyai dalil. Apabila mereka kehabisan hujah, mereka akan mula menggunakan kata-kata keji kepada lawan mereka. Oleh itu, jikalau kita pun menggunakan kata-kata yang kesat, bermakna kita pun tidak ada dalil.

Kenapakah kita dilarang dari berbuat begitu?

فَيَسُبُّوا اللَّهَ

karena mereka nanti akan memaki Allah

Kita dilarang dari mengeji sembahan mereka kerana kalau kita berbuat begitu, mereka akan balas dengan mengejek dan memaki-maki Allah.

Lihatlah, disebabkan kita, Allah yang kena keji dan maki. Itulah yang terjadi kalau kita melakukan sesuatu tanpa memikirkan kesannya.

Itulah balasan yang akan terjadi kalau kita mengeji sembahan agama lain. Lihatlah bagaimana kesan kalau kita keji bapa orang lain. Hasil dari kejian itu, bapa kita pula yang kena keji.

Narrated Abdullah bin Amr: Allah’s Apostle said. “It is one of the greatest sins that a man should curse his parents.” It was asked (by the people), “O Allah’s Apostle! How does a man curse his parents?” The Prophet (peace be upon him) said, “The man abuses the father of another man and the latter abuses the father of the former and abuses his mother.”
Sahih Al-Bukhari – Book 73 Hadith 4

عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

dengan perasaan permusuhan tanpa pengetahuan.

Mereka akan keji Tuhan kita kerana mereka rasa bermusuh dengan kita. Mereka akan maki Allah kerana mereka marah kepada kita. Yang mereka marah adalah kita, tapi yang mereka akan keji adalah Allah.

Mereka buat begitu tanpa mereka kenal siapa Allah dan tanpa mereka mengetahui apakah balasan dari perbuatan mereka itu. Mengeji Allah adalah satu dosa yang amat besar. Tapi mereka tak tahu kerana mereka tak kenal Allah.

Mereka berkata begitu kerana mereka tidak ada ilmu pengetahuan. Apa yang mereka lakukan adalah daripada emosi mereka sahaja. Bila kita kutuk mereka atau sembahan-sembahan mereka, selalunya mereka akan cuba mempertahankan sembahan-sembahan mereka itu.

Sebagai contoh lihatlah apa yang terjadi di dalam perlawanan sukan antara negara. Orang-orang yang dulunya tidak berapa sayang kepada negara tiba-tiba akan mengebarkan bendera negara mereka dan rasa amat sayang kepada negara. Itu adalah kerana mereka sedang berlawan dengan pasukan daripada negara lain. Tiba-tiba sahaja naik semangat kenegaraan mereka. Begitulah juga jikalau kita kutuk sembahan mereka. Tiba-tiba mereka akan rasa hendak mempertahankan sembahan mereka dan semakin sayang kepada sembahan mereka. Padahal, asalnya mereka bukan sayang sangat pun sembahan mereka itu.

Ini mengajar kita untuk mengelak daripada melakukan sesuatu yang akan mengakibatkan keburukan yang lebih besar. Memang apa yang musyrikin itu lakukan adalah satu kesalahan tetapi jikalau kita kutuk tuhan mereka, ianya hanya akan menyebabkan keburukan yang lebih besar, iaitu mereka akan kutuk Allah. Seperti juga kalau kita kutuk ayah orang lain, maka akan menyebabkan mereka mencaci ayah kita.

Ini mengajar kita, kalau perbuatan kita itu akan lebih membawa kepada keburukan, maka jangan kita lakukan. Sebagai contoh, semasa puak muslim ditindas di Mekah, mereka meminta supaya mereka dibenarkan untuk menentang balik segala kezaliman yang dikenakan ke atas mereka oleh puak musyrikin Mekah. Tapi mereka tidak dibenarkan. Kerana kalau dibenarkan, itu akan hanya membawa kepada keburukan sahaja. Kerana jumlah mereka waktu itu adalah amat sedikit dan mereka pula lemah. Kalau mereka menentang balas, maka musyrikin Mekah akan mengambil peluang itu untuk menghapuskan terus umat Islam. Akhirnya ianya boleh mengakibatkan kemusnahan umat Islam.

Ayat ini juga mengajar kita supaya tidak menyakitkan hati orang lain. Mungkin apa yang mereka lakukan adalah satu kesalahan yang besar, tapi janganlah kita berkata-kata kepada mereka dengan cara yang boleh menyakitkan hati mereka. Kita kena menggunakan cara yang berhemah. Kita boleh sahaja tegur mereka untuk memperbaiki mereka, tetapi hendaklah dengan kata-kata yang lembut dan berhemah.

كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ

Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka.

Setiap umat akan melakukan ibadah kepada tuhan-tuhan mereka kerana mereka sayang kepada tuhan mereka dan mereka sangka perbuatan mereka itu adalah perbuatan yang baik. Mereka nampak cantik perbuatan mereka itu. Perbuatan mereka itu telah dinampakkan cantik oleh syaitan.

Begitulah yang terjadi kepada puak-puak tarekat yang nampak amalan zikir bidaah dan syirik mereka seperti elok dan molek sahaja. Mereka rasa tenang sahaja apabila mengamalkan zikir-zikir mereka itu. Mereka sayang nak tinggalkan. Mereka rasa iman mereka semakin naik apabila mengamalkan amalan mereka. Padahal, ianya memudharatkan mereka sahaja.

Oleh kerana mereka nampak baik perbuatan mereka itu, maka mereka tidak dapat menerima kalau kita mengutuk tuhan-tuhan mereka. Sebab itu kalau kita kutuk, mereka akan membalas dengan mengutuk Tuhan kita iaitu Allah.

ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ

Kemudian kepada Tuhan merekalah kembalian mereka,

Sama ada kita mahu atau tidak mahu, kita semua akan dikembalikan kepada Allah. Semasa didunia, orang musyrik itu nampak apa yang mereka lakukan itu adalah benar. Tetapi di akhirat nanti, mereka akan nampak apakah kebenaran itu dan bagaimana kesalahan yang mereka telah lakukan. Apabila di sana, barulah mereka akan menyesal atas amalan syirik mereka semasa di dunia. Tetapi penyesalan waktu itu tidak berguna lagi.

فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.

Mereka mengadap Allah bukan atas tujuan suka-suka. Tapi mereka semua akan ditunjukkan dengan kesalahan-kesalahan syirik yang mereka telah lakukan itu. Semua yang mereka kerjakan semasa di dunia akan dibentangkan dan mereka akan dibalas dengan kesalahan mereka itu.


 

Ayat 109:

6:109
Sahih International

And they swear by Allah their strongest oaths that if a sign came to them, they would surely believe in it. Say, “The signs are only with Allah .” And what will make you perceive that even if a sign came, they would not believe.

Malay

Dan mereka pula bersumpah dengan nama Allah, dengan menegaskan sumpah mereka bersungguh-sungguh, bahawa sesungguhnya jika datang kepada mereka sesuatu mukjizat (sebagaimana yang mereka minta itu), tentulah mereka akan beriman kepadanya. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bahawa soal mendatangkan mukjizat-mukjizat itu hanyalah Allah yang menentukannya, dan kamu tidak menyedari (wahai orang-orang Islam), bahawa apabila mukjizat-mukjizat (yang mereka minta) itu datang, mereka juga tidak akan beriman.

وَأَقْسَمُوا بِاللَّهِ

Mereka bersumpah dengan nama Allah

Yang dimaksudkan bersumpah dalam ayat ini adalah musyrikin Mekah. Dan mereka-mereka yang berperangai seperti mereka. Mereka apabila bersumpah, akan bersumpah bersungguh-sungguh. Sampai mereka sumpah atas nama Allah.

جَهْدَ أَيْمَانِهِمْ

dengan segala kesungguhan,

جَهْدَ bermaksud bersungguh-sungguh dan menggunakan tenaga maksima untuk melakukan sesuatu perkara. Maknanya orang musyrikin itu bersungguh-sungguh bersumpah.

لَئِن جَاءَتْهُمْ آيَةٌ

bahwa sungguh jika datang kepada mereka sesuatu mukjizat,

Musyrikin Mekah telah meminta beberapa mukjizat daripada Nabi. Bermacam-macam permintaan mukjizat mereka kepada Nabi. Sebagai contoh, lihat Isra:90-93:

وَقَالُوا لَن نُّؤْمِنَ لَكَ حَتَّىٰ تَفْجُرَ لَنَا مِنَ الْأَرْضِ يَنبُوعًا

Dan mereka berkata: “Kami sekali-kali tidak percaya kepadamu hingga kamu memancarkan mata air dan bumi untuk kami,

أَوْ تَكُونَ لَكَ جَنَّةٌ مِّن نَّخِيلٍ وَعِنَبٍ فَتُفَجِّرَ الْأَنْهَارَ خِلَالَهَا تَفْجِيرًا

atau kamu mempunyai sebuah kebun korma dan anggur, lalu kamu alirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya,

أَوْ تُسْقِطَ السَّمَاءَ كَمَا زَعَمْتَ عَلَيْنَا كِسَفًا أَوْ تَأْتِيَ بِاللَّهِ وَالْمَلَائِكَةِ قَبِيلًا

atau kamu jatuhkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana kamu katakan atau kamu datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan kami.

أَوْ يَكُونَ لَكَ بَيْتٌ مِّن زُخْرُفٍ أَوْ تَرْقَىٰ فِي السَّمَاءِ وَلَن نُّؤْمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتَّىٰ تُنَزِّلَ عَلَيْنَا كِتَابًا نَّقْرَؤُهُ قُلْ سُبْحَانَ رَبِّي هَلْ كُنتُ إِلَّا بَشَرًا رَّسُولًا

Atau kamu mempunyai sebuah rumah dari emas, atau kamu naik ke langit. Dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kenaikanmu itu hingga kamu turunkan atas kami sebuah kitab yang kami baca”. Katakanlah: “Maha Suci Tuhanku, bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi rasul?”

Kaum-kaum terdahulu ada juga yang minta mukjizat dari Nabi mereka. Seperti kaum Nabi Saleh yang minta diberikan kepada mereka unta yang keluar dari batu, baru mereka nak beriman.

Kalau zaman sekarang, ramai yang minta bukti dahulu barulah nak beriman. Sebagai contoh, mereka kata, kalau mereka dapat sesuatu, dapat projek, baru nak datang belajar tafsir Quran.

لَّيُؤْمِنُنَّ بِهَا

pastilah mereka beriman kepada-Nya.

Mereka kata jikalau mereka ditunjukkan dengan mukjizat-mukjizat itu barulah mereka akan beriman. Tetapi mereka tidak akan beriman walaupun mereka diberikan dengan mukjizat-mukjizat itu. Allah tahu apa yang dalam hati mereka.

Kerana itu, kalau ada yang letak syarat baru nak belajar agama, baru nak beriman, mereka itu jenis yang tidak akan beriman.

قُلْ إِنَّمَا الْآيَاتُ عِندَ اللَّهِ

Katakanlah: “Sesungguhnya mukjizat-mukjizat itu hanya berada di sisi Allah”.

Mukjizat itu berada di dalam kekuasaan Allah. Sagalanya bergantung kepada Allah sama ada Allah hendak memberikan mukjizat itu ataupun tidak. Nabi diberitahu di dalam ayat ini bahawa baginda tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan mukjizat itu dengan kehendak baginda. Kalau baginda nak buat pun, tidak boleh.

Kita kena faham bahawa mukjizat yang diberikan kepada semua Nabi itu adalah anugerah. Bukan mereka boleh suka-suka nak buat. Sebagai contoh, bukanlah Nabi Musa boleh gunakan tongkat baginda sesuka hati untuk membelah laut. Hanya apabila Allah suruh ketuk, barulah terjadi. Kalau baginda ketuk sendiri, ianya tidak akan jadi apa-apa.

Begitu juga dengan karomah pada para wali. Mereka juga tidak boleh nak buat sesuka hati mereka. Dan kalau ada ‘guru’ yang boleh buat karamah sesuka hati apabila mereka hendak, itu bukan karomah, tapi itu adalah ‘sihir’. Kena tahu juga tentang perkara-perkara ini. Kerana jahil tentang perkara inilah yang menyebabkan menularnya ajaran-ajaran sesat di dunia dan negara kita. Apabila ada yang boleh tunjuk kelebihan sikit, mereka yang jahil itu mudah percaya dan mereka ikut orang itu. Mereka ingat itu adalah Karamah atau Maunah, tapi sebenarnya itu adalah sihir. Sebagai contoh, kalau ada guru yang boleh terbang, mereka dah ingat yang orang itu adalah wali. Padahal, itu adalah sihir hasil dari amalan karut mereka. Dan hasil dari amalan karut mereka, mereka telah dibantu oleh jin syaitan untuk membolehkan mereka terbang.

وَمَا يُشْعِرُكُمْ

Dan apakah yang boleh memberitahukan kepadamu

Potongan ayat ini ditujukan kepada orang Islam. Kata-kata seterusnya adalah untuk menyedarkan mereka tentang perangai orang-orang musyrik. Bahasa ayat ini berbunyi seperti begini: Kenapa kamu tak faham-faham lagi? Apa benda lagi yang boleh membuatkan kamu faham?

أَنَّهَا إِذَا جَاءَتْ لَا يُؤْمِنُونَ

bahawa apabila mukjizat datang, mereka tidak akan beriman.

Allah hendak beritahu kepada orang Islam bahawa walaupun mukjizat-mukjizat itu ditunjukkan kepada orang-orang musyrik itu, mereka masih tidak akan beriman. Mungkin ada orang-orang Islam yang berpandangan bahawa jikalau ditunjukkan segala mukjizat yang mereka minta itu, mungkin mereka akan beriman. Tetapi Allah beritahu kepada kita bahawa mereka tidak akan beriman.

Allah tahu isi hati mereka. Permintaan dan sumpah mereka itu bukanlah bermakna yang mereka hendak beriman. Hati mereka sebenarnya tidak mahu beriman akan tetapi mereka gunakan alasan mukjizat itu kerana hendak mempermain-mainkan Nabi Muhammad sahaja.

Orang yang meletakkan syarat untuk beriman, mereka tidak akan beriman. Mukjizat-mukjizat dan tanda-tanda kebesaran Allah yang mereka minta itu sebenarnya sudah banyak kelihatan di alam ini. Mereka sahaja yang tidak mahu membuka hati mereka untuk melihatnya. Itu adalah kerana hati dan mata mereka telah dipalingkan dari nampak tanda-tanda itu.


 

Ayat 110: Ayat ini menerangkan kepada kita kenapa mereka tidak boleh lagi nampak kebesaran dan tanda-tanda kewujudan Allah dalam dunia ini.

6:110
Sahih International

And We will turn away their hearts and their eyes just as they refused to believe in it the first time. And We will leave them in their transgression, wandering blindly.

Malay

Dan kami palingkan hati mereka dan pemandangan mereka sebagaimana mereka telah tidak (mahu) beriman kepada (ayat-ayat Kami ketika datang kepada mereka) pada awal mulanya, dan Kami biarkan mereka meraba-raba di dalam kesesatannya dengan bingung.

وَنُقَلِّبُ أَفْئِدَتَهُمْ

Dan Kami memalingkan hati mereka

Allah memalingkan hati mereka dari merasai kebenaran. Hati mereka langsung tidak tersentuh dengan kebenaran yang ada di depan mata mereka.

Perkataan أَفْئِدَتَهُمْ adalah dari katadasar ف أ د yang bermaksud ‘hati yang merasa’. Bukan bermaksud ‘hati’ sahaja, kerana kalau hati, perkataan قَلبٌ yang digunakan. Kalau hati yang sedang merasa, sedang terkesan dengan emosi, ianya dipanggil أفئدة. Sebagai contoh, hati yang tersentuh dengan keindahan alam, tersentuh dengan ayat-ayat Quran.

Tapi ramai yang baca ayat Quran tapi tidak rasa apa-apa. Mereka baca ayat Quran macam baca novel sahaja. Hati mereka tidak tersentuh langsung.

وَأَبْصَارَهُمْ

dan penglihatan mereka

Allah juga boleh memalingkan penglihatan mereka. Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, أبصار itu dari perkataan بصيرة yang bermaksud ‘penglihatan dengan pemahaman’. Bukan hanya bermaksud melihat sahaja.

Apabila hati dan penglihatan mereka dipalingkan, ia bermaksud mereka akan dihalang untuk beriman. Walaupun mereka melihat tanda-tanda Allah pada alam, tetapi mereka tidak dapat melihatnya dan tidak dapat merasanya di dalam hati mereka.

Lihatlah bagaimana kadang-kadang ada orang yang hatinya mudah tersentuh tetapi ada orang yang keras hatinya.

Allah juga memalingkan hati manusia dari memahami Quran. Kita beri ayat Quran sebagai hujah kepada mereka tapi mereka tidak memahaminya. Atau mereka dah pergi pun ke kelas tafsir, tapi mereka tak faham. Ini kerana Allah tidak beri faham kepada mereka.

Tetapi kenapakah Allah buat begitu kepada mereka?

كَمَا لَمْ يُؤْمِنُوا بِهِ أَوَّلَ مَرَّةٍ

Kerana mereka tidak beriman kepadanya pada permulaannya,

Hati dan penglihatan mereka telah ditutup daripada beriman kerana mereka tidak beriman apabila mukjizat telah ditunjukkan kepada mereka pada kali pertama.

Ini bermaksud musyrikin Mekah pernah ditunjukkan dengan mukjizat sebelum itu. Mereka selalu meminta diberikan mukjizat kononnya supaya mereka beriman. Tapi, mereka sebenarnya telah pernah ditunjuk dengan mukjizat dah pun. Apakah mukjizat itu? Ianya merujuk kepada peristiwa pembelahan bulan.

Apabila pembelahan bulan ditunjukkan kepada mereka, mereka kata itu adalah sihir Nabi Muhammad. Mereka tidak mahu beriman juga rupanya.

Ini bermakna, apabila seseorang itu tidak mengambil peluang yang Allah telah berikan, mereka tidak diberi dengan peluang itu lagi. Orang yang degil tidak akan mendapat peluang.

Ia juga bermaksud hati dan penglihatan mereka telah menjadi lemah. Oleh kerana mereka asyik tidak menghiraukan hati dan penglihatan mereka, maka ianya telah menjadi lemah. Hati dan penglihatan adalah seperti otot kita juga. Kalau sudah lama tidak digunakan ianya menjadi lemah. Bayangkan seorang lelaki yang terpaksa berbaring di katil hospital selama enam bulan. Selepas enam bulan tentu dia menghadapi masalah untuk berjalan kerana otot-ototnya telah lemah.

Begitu juga dengan hati dan penglihatan manusia. Apabila berkali-kali ditunjukkan dengan ayat-ayat dan tanda-tanda Allah, tapi mereka tidak menghiraukan bisikan hati dan pandangan mereka, maka Allah akan palingkan mereka dari merasa dan melihat kebenaran lagi kerana mereka tidak menggunakan ‘otot’ hati dan penglihatan mereka. Alangkah takutnya kita kalau kita pun terjadi sebegini juga.

Atau, hati mereka memang awal-awal lagi tidak mahu percaya. Sebagai contoh, mereka datang ke kelas tafsir, tapi mereka nak ‘tengok-tengok’ sahaja, bukan nak mendapat kebenaran. Sepatutnya kita pergi ke kelas tafsir atau kelas agama untuk mendapat ilmu dan untuk mencari kebenaran. Oleh itu, kenalah datang dengan hati dan minda yang terbuka. Tapi kalau mereka memang datang bukan untuk belajar, maka Allah tidak buka hati dan pandangan mereka untuk melihat kebenaran. Sebab itu kita ada berjumpa dengan mereka yang hanya datang ke kelas tafsir sekali, dua kali atau tiga kali sahaja. Sebab mereka tak nampak kepentingan memahami ayat Quran. Dan apabila diberitahu kepada mereka, mereka tak nampak. Itulah sebabnya mereka datang sekejap sahaja.

وَنَذَرُهُمْ فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ

dan Kami biarkan mereka bergelimang dalam kesesatannya teraba-raba.

Perkataan يَعْمَهُونَ dari perkataan ع م ه yang bermaksud berjalan tapi tidak nampak. Seperti teraba-raba dalam kegelapan. Sebelum ini telah disebut dalam surah ini tentang mereka yang ‘buta’ mata hatinya.

Lompat ke ayat yang seterusnya


 

Ref: UR, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s