Tafsir Surah al-An’am Ayat 102-106

Ayat 102: Dalam ayat ini, Allah memperkenalkan DiriNya kepada kita. Allah banyak memperkenalkan DiriNya dalam Quran supaya kita dapat mengenaliNya. Maka, pakailah maklumat tentangNya yang telah diberitahu dalam Quran. Inilah ilmu Tauhid yang sebenarnya. Tidaklah perlu belajar Sifat 20 yang berasaskan falsafah yang akan memeningkan kita.

6:102
Sahih International

That is Allah, your Lord; there is no deity except Him, the Creator of all things, so worship Him. And He is Disposer of all things.

Malay

Yang demikian (sifat-sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepadaNya. Dan (ingatlah) Dia lah yang mentadbirkan segala-galanya.

ذَٰلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ

(Yang memiliki sifat-sifat yang) demikian itu ialah Allah Tuhan kamu;

Dalam ayat-ayat sebelum ini, Allah telah menerangkan tentang DiriNya. Itulah Allah. Hanya Dia sahaja yang mempunyai kekuasaan seperti itu. Allah lah yang memberi segala keperluan hidup kepada kita. Itulah maksud ‘Rabb’. Perkataan ‘Rabb’ bukan sahaja bermaksud ‘Tuhan’, tetapi bermaksud Tuhan yang mencipta, memelihara, menjaga dan tuan kepada seluruh makhluk.

لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ

tidak ada Tuhan selain Dia;

Ini adalah penolakan syirik yang dilakukan oleh musyrikin Mekah dan sesiapa sahaja. Dalam ayat sebelum ini, disebut bagaimana puak musyrik mengatakan Allah mempunyai anak. Anak itu pula disembah, dipuja dan diibadati. Jadi dalam ayat ini, ditegaskan bahawa tidak ada tuhan yang disembah, dipuja dan diibadati melainkan Allah. Iaitu satu penekanan akidah untuk menolak kesyirikan yang dilakukan oleh manusia.

خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ

Pencipta segala sesuatu,

Allah lah sahaja yang boleh mencipta segala sesuatu. Jin dan makhluk lain adalah makhluk sahaja, tidak boleh menjadikan apa-apa. Allah sahaja خَالِقُ.

فَاعْبُدُوهُ

maka sembahlah Dia;

Apabila Tuhan itu hanya Allah, Allah sahaja yang berkuasa penuh mencipta sesuatu, maka sembah dan doa hanya kepada Allah sahaja. Kenapa nak sembah kepada selain dari Allah? Sedangkan selain dari Allah tidak berkuasa untuk mencipta seekor nyamuk pun.

Berhentilah dari menggunakan tawasul dalam doa kita. Gunakanlah tawasul yang diajar oleh Nabi. Oleh itu, berhentilah dari buat solat Hajat berjemaah kerana itu adalah salah satu cara tawasul yang salah. Gunakanlah sahaja tawasul sepertimana yang telah diajar oleh Nabi kita. Yang sepatutnya kita solat sunat sendiri sahaja kalau kita ada hajat apa-apa. Tidak perlu susah-susah: kalau ada hajat apa-apa, ada keperluan untuk bercakap dengan Allah, solat sunat sahaja dua rakaat dan selepas itu berdoa sendiri-sendiri. Itulah cara yang dibuat oleh Nabi.

وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ

dan Dia adalah Pemelihara segala sesuatu.

Allah lah yang menjaga seluruh makhluk kerana Allah tuhan sekalian alam termasuklah kepada orang orang kafir sekalipun.

وَكِيلٌ adalah seperti pengurus yang mengurus orang bawahannya. Dia mempunyai kuasa dan kebolehan untuk menjaga, sebab itu dia jadi pengurus. Allah pula adalah وَكِيلٌ kepada seluruh alam dan setiap perkara. Adakah entiti lain yang seperti Allah yang boleh buat begitu?

Oleh itu, kenapa nak sembah kepada yang lain kalau Allah lah yang menguruskan segalanya? Lihatlah bagaimana kebanyakan manusia telah salah faham dan disesatkan oleh syaitan Manusia ada yang sembah pokok kerana pokok memberi makanan kepada mereka. Ada yang sembah matahari kerana mereka takut kalau matahari kuat sangat, maka rosak tanaman mereka, jadi mereka sembah matahari kononnya supaya matahari tidak merosakkan tanaman itu. Ada yang sembah bulan kerana bulan yang menyebabkan air pasang surut dan mereka bergantung kepada air pasang untuk menangkap ikan. Ada yang sembah bintang kerana mereka kata bintang lah yang menyebabkan nasib mereka baik. Tapi itu semua adalah makhluk yang tidak ada kuasa apa-apa.

Kenapa nak sembah makhluk, sedangkan Allah satu-satunya yang menguruskan semua makhkuk? Kalau kita kata makhluk itu ada kuasa untuk melakukan sesuatu, maka itu sudah syirik namanya.


 

Ayat 103:

6:103
Sahih International

Vision perceives Him not, but He perceives [all] vision; and He is the Subtle, the Acquainted.

Malay

Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata), dan Dia lah Yang Maha Halus (melayan hamba-hambaNya dengan belas kasihan), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.

لَّا تُدْرِكُهُ الْأَبْصَارُ

Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata,

Allah tidak boleh dilihat dengan pandangan mata kita. Nabi masa mi’raj pun tak nampak Allah kerana Allah itu cahaya atau dihijab oleh cahaya. Macam mana kita boleh melihat Allah sedangkan pandangan kita terbatas untuk melihat Allah? Mata kita dalam dunia ini amat terhad. Bandingkan mata kita dengan kucing pun dah lain. Kerana kucing boleh melihat dalam gelap, tapi mata kita tidak boleh melihat dalam gelap.

Jadi, manusia, termasuk Nabi Muhammad tidak pernah melihat Allah dalam dunia. Begitu juga kita boleh lihat kisah Nabi Musa a.s. dalam A’raf:143 bilamana Nabi Musa meminta untuk melihat Allah. Baginda sudah dapat bercakap-cakap dengan Allah, maka baginda mahu juga melihat Allah. Allah jawap yang baginda tidak mampu untuk melihat Allah.

Dari ayat ini, dapatlah kita tahu bahawa di dunia, kita tidak dapat melihat Allah. Jadi, kalau ada golongan tarekat yang kata, boleh melihat Allah, boleh berjumpa Allah semasa hidup di dunia ini, itu adalah pandangan yang sesat.

وَلَمَّا جَاءَ مُوسَىٰ لِمِيقَاتِنَا وَكَلَّمَهُ رَبُّهُ قَالَ رَبِّ أَرِنِي أَنظُرْ إِلَيْكَ قَالَ لَن تَرَانِي وَلَٰكِنِ انظُرْ إِلَى الْجَبَلِ فَإِنِ اسْتَقَرَّ مَكَانَهُ فَسَوْفَ تَرَانِي فَلَمَّا تَجَلَّىٰ رَبُّهُ لِلْجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا وَخَرَّ مُوسَىٰ صَعِقًا فَلَمَّا أَفَاقَ قَالَ سُبْحَانَكَ تُبْتُ إِلَيْكَ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُؤْمِنِينَ

Dan tatkala Musa datang untuk (munajat dengan Kami) pada waktu yang telah Kami tentukan dan Tuhan telah berfirman (langsung) kepadanya, berkatalah Musa: “Ya Tuhanku, nampakkanlah (diri Engkau) kepadaku agar aku dapat melihat kepada Engkau”. Tuhan berfirman: “Kamu sekali-kali tidak sanggup melihat-Ku, tapi lihatlah ke bukit itu, maka jika ia tetap di tempatnya (sebagai sediakala) niscaya kamu dapat melihat-Ku”. Tatkala Tuhannya menampakkan diri kepada gunung itu, dijadikannya gunung itu hancur luluh dan Musa pun jatuh pingsan. Maka setelah Musa sedar kembali, dia berkata: “Maha Suci Engkau, aku bertaubat kepada Engkau dan aku orang yang pertama-tama beriman”.

تُدْرِكُهُ dari perkataan د ر ك yang bermaksud ‘mengetahui sesuatu dengan mendalam’. Sampai kepada kedalaman. Iaitu tahu segala-galanya. Dari ini, ia juga membawa satu lagi maksud. Iaitu, walaupun kita boleh nampak Allah di syurga nanti, (kalau kita masuk syurga), kita tidak akan dapat mengetahui segala-galanya tentang Allah. Bermaksud, Allah tidak boleh digarap oleh kita, makhlukNya. Kita setakat boleh lihat sahaja. Macam juga kalau kita lihat sesuatu benda, sebagai contoh, kita lihat kereta. Memang kita boleh lihat, tapi kita tidak tahu segala-galanya tentang kereta itu dari hanya melihatnya sahaja, bukan? Walaupun begitu, melihat Allah itu pun suatu nikmat yang amat amat besar. Tidakkah kita mahu melihat Tuhan yang telah mencipta kita?

Oleh itu, kita tidak mungkin akan dapat mengenal Allah sepenuhnya. Akal kita tidak akan dapat menggarapNya. Maka tidak perlulah kita fikirkan jauh-jauh dan dalam-dalam tentang hakikat Allah, kerana memang kita tidak akan dapat capai. Maka, buang masa dan gagallah mereka yang mencubanya. Kenal lah Allah melalui maklumat yang Allah telah sampaikan kepada kita melalui Quran dan hadis Nabi, dan tidak lebih dari itu. Kita tahu, ada kalangan manusia yang tak habis-habis cuba memikirkan tentang Allah. Mereka akan tanya, apa Allah buat, bagaimana kedudukan Allah sekarang, kenapa Allah suka marah-marah, kenapa Allah buat neraka, kenapa Allah buat begini, begitu dan sebagainya. Itu adalah pemikiran yang sia-sia. Itu adalah soalan yang Allah takkan jawap. Kalau soalan manusia itu sepatutnya dijawap, Allah dah jawap dah.

Kalaulah Allah menyingkap hijabNya kepada makhluk maka seluruh alam ini akan hancur berkecai.

Tetapi ahli syurga nanti boleh melihat Allah di syurga dan ahli neraka akan ditutup dari berjumpa dan memandang Allah seperti yang diberitahu kepada kita di dalam ayat Mutaffifin:15:

كَلَّا إِنَّهُمْ عَن رَّبِّهِمْ يَوْمَئِذٍ لَّمَحْجُوبُونَ

Sekali-kali tidak, sesungguhnya mereka pada hari itu benar-benar tertutup dari melihat Tuhan mereka.

Ini adalah kerana waktu itu Allah telah menaiktaraf pandangan mata kita. Mata kita bukan seperti mata kita di dunia ini. Rujuk juga ayat Qiyamah:22-23:

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ

Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri.

إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ

Kepada Tuhannyalah mereka melihat.

Perbincangan lanjut tentang melihat Allah ini boleh dibaca di sini dan di sini

Banyak hadis yang menyebut bagaimana manusia akan dapat melihat Allah. Sebagai contoh, ada hadis dalam Sahih Bukhari yang menyebut tentangnya:

حَدَّثَنَا الْحُمَيْدِيُّ، قَالَ حَدَّثَنَا مَرْوَانُ بْنُ مُعَاوِيَةَ، قَالَ حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ، عَنْ قَيْسٍ، عَنْ جَرِيرٍ، قَالَ كُنَّا عِنْدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَنَظَرَ إِلَى الْقَمَرِ لَيْلَةً ـ يَعْنِي الْبَدْرَ ـ فَقَالَ ‏”‏ إِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ رَبَّكُمْ كَمَا تَرَوْنَ هَذَا الْقَمَرَ لاَ تُضَامُّونَ فِي رُؤْيَتِهِ، فَإِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَنْ لاَ تُغْلَبُوا عَلَى صَلاَةٍ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوبِهَا فَافْعَلُوا ‏”‏‏.‏ ثُمَّ قَرَأَ ‏{‏وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ الْغُرُوبِ‏}‏‏.‏ قَالَ إِسْمَاعِيلُ افْعَلُوا لاَ تَفُوتَنَّكُمْ‏.‏

521. Telah menceritakan kepada kami Al Humaidi berkata, telah menceritakan kepada kami Marwan bin Mu’awiyah berkata, telah menceritakan kepada kami Isma’il dari Qais dari Jarir bin ‘Abdullah berkata, “Pada suatu malam kami pernah bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, beliau melihat ke arah bulan purnama. Kemudian baginda bersabda: “Sesungguhnya kalian akan melihat Rabb kalian sebagaimana kalian melihat bulan purnama ini. Dan kalian tidak akan mengalami kesulitan dalam melihat-Nya. Maka jika kalian mampu untuk menjaga salat sebelum terbit matahari (solat Subuh) dan sebelum terbenamnya (Solat Asar), maka jagalah.” Baginda kemudian membaca ayat: ‘(Dan bertasbihlah sambil memuji Rabbmu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya) ‘ (Qaaf: 39). Isma’il menyebutkan, “Oleh itu jangan sekali-kali dua solat itu terlepas daripadamu. Jagalah keduanya dengan baik.”

Jadi ayat ini menyebut kita tidak boleh melihat Allah hanya dalam dunia sahaja. Ayat ini menjawab hujah musyrikin Mekah yang hendak melihat Allah. Itulah juga permintaan kaum Nabi Musa sebelum itu. Dan kita pun sudah tahu apakah kesudahan mereka selepas mereka meminta untuk melihat Allah. Sila rujuk ayat Baqarah:55

وَإِذْ قُلْتُمْ يَا مُوسَىٰ لَن نُّؤْمِنَ لَكَ حَتَّىٰ نَرَى اللَّهَ جَهْرَةً فَأَخَذَتْكُمُ الصَّاعِقَةُ وَأَنتُمْ تَنظُرُونَ

Dan (ingatlah), ketika kamu berkata: “Hai Musa, kami tidak akan beriman kepadamu sebelum kami melihat Allah dengan terang, karena itu kamu disambar halilintar, sedang kamu menyaksikannya”.

وَهُوَ يُدْرِكُ الْأَبْصَارَ

sedang Dia dapat melihat segala penglihatan;

Allah boleh melihat segalanya. Dia bukan sahaja boleh melihat semua yang boleh dilihat, tapi Dia juga ‘melihat segala penglihatan’. Dia melihat siapa yang melihat. Dia juga tahu apa kita lihat, berapa lama kita lihat sesuatu itu, apa yang kita fikirkan semasa melihatnya dan sebagainya. Bukankah ada benda yang kita tak patut tengok, tapi kita tengok juga? Ada benda yang kita tengok dengan niat yang tidak baik, dengan khianat. Ada benda yang kita tengok dengan nafsu yang tidak sepatutnya. Malah macam-macam lagi. Itu semua Allah lihat.

Ini mengingatkan kita bahawa Allah nampak segala pergerakan dan penglihatan mata kita. Tidak takutkah kita denganNya. Tidak malukah kita denganNya? Ini mengingatkan kita untuk menjaga pandangan kita.

وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ

dan Dialah Yang Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

Asma’ اللَّطِيفُ bukanlah bermaksud Allah yang halus, tapi bermaksud Allah tahu segala-galanya termasuk perkara-perkara yang halus sekalipun. Ianya berasal dari perkataan لطف yang asalnya bermaksud ‘baik dan mesra’, ‘lembut, peramah dengan orang yang di sekeliling’.

Kita sebagai manusia yang terbatas pancaindera kita mungkin hanya boleh melihat yang kasar-kasar dan jelas sahaja. Tapi Allah mengetahui segala-galanya termasuk yang halus pun.

Allah juga maha lembut. Dalam masa yang sama, Allah juga maha gagah. Kenapa ada dua sifat yang amat berlainan? Kerana Allah ada dua-dua sifat itu. Bayangkan kalau seorang lelaki yang kuat dan gagah, otot berketul-ketul, mungkin dia akan susah nak pegang bayi yang kecil kerana tenaganya kuat sangat sampaikan boleh menyakitkan bayi itu. Maknanya, dia hanya gagah, tapi tidak lembut. Allah bukan begitu. Allah telah tunjukkan bagaimana Dia mencipta makhluk yang besar-besar tapi dalam masa yang sama, Allah boleh membelah biji benih, menumbuhkan tanaman yang halus-halus dan sebagainya.

الْخَبِيرُ pula bermaksud Allah tahu segala perkara dengan amat mendalam. Iaitu bukan sahaja Allah tahu yang zahir, tapi yang batin pun Allah tahu juga.


 

Ayat 104:

6:104
Sahih International

There has come to you enlightenment from your Lord. So whoever will see does so for [the benefit of] his soul, and whoever is blind [does harm] against it. And [say], “I am not a guardian over you.”

Malay

(Katakanlah wahai Muhammad): “Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan-keterangan (dalil-dalil dan bukti) dari Tuhan kamu; oleh itu sesiapa melihat (kebenaran itu serta menerimanya) maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa buta (dan enggan menerimanya) maka bahayanya tertimpalah ke atas dirinya sendiri. Dan tiadalah aku berkewajipan menjaga dan mengawasi kamu”.

قَدْ جَاءَكُم بَصَائِرُ مِن رَّبِّكُمْ

Sesungguhnya telah datang bukti-bukti yang terang dari Tuhanmu;

بَصَائِرُ adalah jamak dari perkataan بَصِيرَة yang bermaksud ‘melihat dengan penuh faham’. Bukan melihat biasa sahaja, tapi dengan kefahaman. Dalam ayat ini ia bermaksud bukti-bukti yang boleh dilihat. Iaitu bukti-bukti yang sepatutnya sudah jelas kepada kita. Ianya tidak sama dengan perkataan بَصَرَ yang hanya bermaksud ‘melihat’.

Untuk lebih memahami, perkataan بَصَرَ digunakan apabila seseorang melihat pokok, tetapi بَصِيرَة digunakan apabila orang itu melihat pokok itu dan memikirkan ‘dari manakah pokok itu datang’? Apabila dia mula memikirkan, dia akan sampai kepada hakikat bahawa pokok itu dijadikan oleh Allah. Sebab itu Allah suruh kita lihat alam ini. Kerana dengan melihat alam ini, ianya akan mendekatkan diri kita dengan Allah.

Perkataan ini mengingatkan kepada kita untuk menggunakan pemikiran kita dalam melihat. Janganlah kita melihat ayat-ayat Quran dan tanda-tanda pada alam ini dengan mata yang kosong sahaja. Tetapi hendaklah kita memikirkan bagaimana tanda-tanda itu semuanya menunjuk kepada kewujudan dan kebesaran Allah. Hendaklah kita mentadabbur ayat-ayat Allah.

Bukti-bukti yang benar itu telah Allah bawakan di dalam Qur’an ini. Kebenaran tentang tauhid dan agama semuanya telah diberitahu di dalam Qur’an. Cuma tinggal kita hendak belajar tafsir dan memahaminya sahaja.

فَمَنْ أَبْصَرَ فَلِنَفْسِهِ

maka barangsiapa melihat (kebenaran itu), maka (manfaatnya) bagi dirinya sendiri;

Beruntunglah mereka yang dapat memahami kebenaran yang telah Allah tunjukkan di dalam Quran ini. Ianya akan diberikan kepada mereka yang mahu mencari kebenaran.

Perkataan فَلِنَفْسِهِ bermaksud bahawa mereka yang dapat melihat kebenaran di dalam Qur’an itu akan mendapat balasan yang baik untuk diri mereka. Allah akan membalas kebaikan dengan kebaikan. Orang yang memahami hakikat itu akan mendapat manfaat di dunia dan akhirat.

Untuk mendapat kebenaran, maka hendaklah kita memahami ayat-ayat quran. Untuk memahami ayat-ayat Quran ini maka kita hendaklah belajar tafsir Qur’an. Kerana kalau kita baca sendiri, kemungkinan besar kita tidak akan dapat faham. Kerana untuk memahaminya, memerlukan ilmu-ilmu ‘alat’ untuk memahami ayat-ayat Quran. Seperti tahu bahasa Arab, tahu balaghah, nahu, saraf, tahu hadis, tahu asbabun nuzul ayat-ayat itu dan sebagainya. Itu adalah kalau kita hendak memahami sendiri ayat-ayat Quran. Tapi apa yang kita lakukan sekarang adalah kita hanya belajar tafsir yang telah disampaikan oleh ulama-ulama yang telah mengupas tafsir ayat Quran untuk kita. Supaya, walaupun kita tidak ada ‘ilmu-ilmu alat’ itu, kita masih boleh faham.

Tapi malangnya, ramai yang tidak faham dengan konsep ini. Mereka ingat, untuk belajar tafsir, kena tahu ilmu-ilmu alat itu dahulu. Maka, syaitan telah menyesatkan mereka dengan membisikkan kepada mereka bahawa susah untuk belajar tafsir Quran ini. Oleh itu mereka tidak belajar. Apabila mereka tidak belajar, mereka akan jadi jahil tentang agama. Oleh itu, mereka melakukan kesalahan dalam agama, termasuklah melakukan syirik. Maka, syaitan telah berjaya menyesatkan manusia.

Quran itu penuh dengan kebenaran. Tetapi malangnya, ramai manusia di dalam dunia ini yang tidak mendapat kebenaran. Termasuklah mereka yang telah belajar Quran pun. Jangan ingat kalau kita dah tahu Quran, kita terus mendapat hidayah. Belum tentu lagi. Allah lah yang beri hidayah kepada kita. Sebagai contoh, lihatlah bagaimana yang terjadi kepada puak Brehlawi di Pakistan. Mereka itu belajar tafsir Qur’an dan juga belajar hadis Nabi, tetapi mereka masih juga menyembah kubur. Itu adalah kerana mereka menerima ajaran yang sesat. Semoga masyarakat kita selamat dari diresapi ajaran sesat ini.

وَمَنْ عَمِيَ فَعَلَيْهَا

dan barangsiapa buta (tidak melihat kebenaran itu), maka kemudharatannya kembali kepadanya.

Ramai dari kalangan manusia yang buta dari melihat kebenaran. Mereka-mereka itu melihat Quran dan mungkin selalu membaca Quran. Tapi mata hati mereka buta dari melihat kebenaran yang ada didalam Quran itu. Mereka tidak mendapat manfaat dari Quran. Ini kerana mereka tidak mahu belajar tafsir Quran. Apabila tidak belajar, mereka tidak faham apa yang mereka baca.

Perkataan فَعَلَيْهَا (ke atas mereka) bermaksud mereka akan mendapat balasan yang buruk ke atas diri mereka, jikalau mereka tidak beriman dan beramal dengan Quran. Kerana bila manusia tidak mahu menerima ajaran daripada Qur’an, maka mereka akan melakukan perkara-perkara yang syirik kerana mereka tidak tahu bahawa itu adalah amalan syirik. Maka, oleh kerana itu mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

وَمَا أَنَا عَلَيْكُم بِحَفِيظٍ

Dan aku (Muhammad) sekali-kali bukanlah pemelihara(mu).

Nabi Muhammad dan juga kita bukanlah penjaga dan pemelihara kepada manusia. Oleh itu, kita tidak boleh memaksa mereka untuk menerima hidayah. Kita hanya boleh menyampaikan sahaja. Bayangkan, Nabi Muhammad sendiri pun tidak dapat menjadikan bapa saudaranya yang amat disayanginya, iaitu Abu Talib, untuk beriman.

Kadang-kadang sebagai pendakwah kita rasa berat hati jikalau dakwah yang kita sampaikan tidak diterima oleh orang. Kita ada rasa macam buang masa sahaja untuk bercerita kepada orang lain tetapi akhirnya mereka menolak. Ayat ini mengingatkan kita bahawa kita tidak boleh memberi hidayah kepada manusia dan tidak boleh memaksa mereka untuk menerima dakwah kita.

Ingatlah bahawa Allah hanya hendak melihat usaha kita untuk menyampaikan sahaja, bukan melihat kejayaan kita. Hanya dengan menyampaikan sahaja, kita sudah mendapat pahala.


 

Ayat 105:

6:105
Sahih International

And thus do We diversify the verses so the disbelievers will say, “You have studied,” and so We may make the Qur’an clear for a people who know.

Malay

Dan demikianlah Kami menerangkan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu (dengan berbagai cara, untuk menimbulkan keingkaran mereka) dan supaya mereka (yang ingkar itu menuduhmu dengan) berkata: “Engkau telah mempelajarinya (dari orang-orang lain) “, dan supaya Kami menerangkan (Al-Quran) itu kepada orang-orang yang (mahu) mengetahui.

وَكَذَٰلِكَ نُصَرِّفُ الْآيَاتِ

Demikianlah Kami mengulang-ulangi ayat-ayat Kami

نُصَرِّفُ dari katadasar صرف yang bermaksud memberitahu tentang sesuatu perkara dengan berbagai-bagai cara. Bukan tunjuk sekali lalu sahaja. Sebagai contoh, kalau kita hendak memperkenalkan buah epal kepada seseorang, kita akan tunjuk buah itu dari berbagai sudut. Kita beri dia pegang buah itu supaya dia dapat rasa tekstur buah epal itu. Kemudian kita akan kupas buah itu. Kemudian kita akan belah buah itu dan beri orang itu rasa buah itu. Inilah yang dinamakan dengan تَصرِف. Supaya orang itu kenal benar dengan buah epal.

Begitulah juga Allah lakukan dengan ayat-ayat Qur’an. Untuk memberitahu tentang sesuatu perkara yang penting, Allah akan memberikan berbagai-bagai ayat. Lihatlah bagaimana Allah memperkenalkan diriNya. Berbagai-bagai cara dan berbagai-bagai ayat telah diberikan supaya kita dapat mengenali Allah.

Sebab itulah apabila kita mengkaji Qur’an, kita akan melihat bagaimana ada ayat-ayat yang hampir serupa. Ada ayat-ayat yang memperkatakan perkara yang sama yang diulang-ulang penerangannya. Ayat-ayat itu hampir serupa, tapi tidak sama kerana penekanan yang berbeza pada ayat-ayat itu. Allah menerangkan sesuatu perkara itu dari sudut berbeza.

وَلِيَقُولُوا دَرَسْتَ

dan supaya mereka (orang-orang musyrik) mengatakan: “Kamu telah mempelajari ayat-ayat itu (dari Ahli Kitab)”,

Musyrikin Mekah mendakwa yang Nabi mendapat maklumat dari kitab-kitab agama Yahudi dan Nasrani. Iaitu mereka kata baginda belajar ilmu-ilmu itu dari ahli kitab dan mempersembahkannya kepada penduduk Mekah sebagai Quran. Maknanya, mereka tidak mahu menerima yang Nabi mendapat wahyu.

Mereka kata begitu kerana apa yang Nabi bawa itu berlainan dengan pemahaman syirik mereka yang mereka telah pegang selama hari ini.

Sebelum ini, Allah telah memberitahu kita bahawa Allah telah تَصرِف ayat-ayat Quran. Iaitu ayat-ayat Quran ada yang berulang-ulang dalam berbagai-bagai cara. Tujuannya adalah untuk memberi penjelasan kepada manusia. Tapi salah satu kesannya adalah: musyrikin Mekah mendakwa yang Nabi telah belajar dari ahli Kitab. Antaranya, mereka kata baginda belajar dari hamba-hamba dari bangsa Rom yang ada di Mekah. Mereka kata oleh kerana baginda belajar dari ramai orang, sebab itulah ayat Quran itu sekejap begini, sekejap begitu. Itulah salah faham mereka.

Dari potongan ayat ini, tahulah kita bahawa musyrikin Mekah tidak dapat menerima wahyu yang dibawa oleh Nabi. Hati mereka memang tidak mahu terima dan kerana itu, mereka akan memberi berbagai-bagai alasan. Begitulah juga yang dikatakan oleh puak-puak bidaah di negara kita kini. Apabila ajaran-ajaran dari Quran ini dibawakan pada mereka, mereka akan mengatakan yang ajaran ini salah. Ini adalah kerana ajaran Quran ini berlainan daripada apa yang diajar oleh guru-guru mereka dan tok nenek mereka. Sebagai contoh, ada di antara mereka yang mengatakan tafsir Quran yang kita bawa ini adalah dari fikiran kita sendiri sahaja. Mereka kata kita sendiri sahaja yang mengatakan ayat itu bermaksud sekian, sekian. Mereka kata kita tafsir salah. Padahal, mereka pun belum pernah belajar tafsir Quran pun. Sebab itu, kalau kita minta kepada mereka untuk beri tafsir yang benar kalau kita salah, mereka pun tidak boleh berikan. Kerana mereka pun tak tahu. Sebenarnya, mereka tidak dapat terima kerana hati mereka memang condong kepada kesyirikan dan amalan bidaah.

وَلِنُبَيِّنَهُ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

dan supaya Kami menjelaskan Al Quran itu kepada orang-orang yang mahu mengetahui.

Tadi kita dah tahu apakah kesan kepada musyrikin Mekah apabila Allah ‘tasrif’ ayat-ayat Quran kepada mereka. Mereka tidak dapat faham dan mereka tuduh Nabi ambil ajaran itu dari orang lain. Tapi, kesan ‘tasrif’ kepada orang yang beriman, lain pula. Kepada orang-orang beriman, تَصرِف Allah itu akan menjelaskan lagi makna Quran kepada mereka. Apabila ayat-ayat Quran itu diulang ulang dengan berbagai cara, mereka lebih faham ayat Quran.

Itulah kesan yang kita hendak. Oleh itu, kalau kesan itu tidak kelihatan kepada kita, ianya amat merisaukan. Kerana sepatutnya ianya akan menjelaskan ayat Quran itu kepada kita. Tapi kalau kita tidak faham dan keliru, maka, ada masalah dengan kita. Semoga kita tidak jadi begitu. Semoga kita semakin faham dan faham ayat Quran ini. Mulakan dengan belajar tafsir sedikit demi sedikit. Kalau ianya susah pada awalnya, ianya akan semakin mudah.

Jadi, tujuan تَصرِف adalah untuk memberikan pemahaman yang lebih mantap kepada manusia. Kerana tujuan Allah adalah untuk memperjelaskan agama kepada manusia. Begitulah juga kita kena memperjelaskan ayat-ayat Qur’an ini kepada manusia. Kita kena berikan pengetahuan tentang syirik kepada manusia. Antaranya, kita kena beritahu kepada manusia bahawa amalan tawassul adalah salah. Inilah tujuan tulisan ini. Banyak kita menyentuh hal tawasul dalam tulisan kita ini kerana ianya adalah satu perkara yang amat penting difahami. Dan memang sangat banyak ayat-ayat Quran yang memperkatakan tentang tawasul kerana ianya adalah perkara yang penting dan bahaya kalau kita tidak faham. Semoga anda dapat sedikit sebanyak kefahaman tentang ayat Quran ini.

Oleh kerana ramai manusia tidak belajar tafsir Quran, dan kerana itu tidak faham maksud syirik, maka ramailah di antara masyarakat kita yang melakukan perkara-perkara syirik tetapi mereka tidak mengetahuinya. Tentunya mereka tidak berniat melakukan syirik. Niat mereka selalunya baik. Cuma mereka kurang pengetahuan tentang syirik kerana mereka tidak belajar. Oleh itu, saya nasihatkan anda yang sedang membaca tulisan ini, supaya mendalami dan mempelajari tafsir Quran. Berhentilah dulu dari mengadap kitab-kitab karangan manusia dan carilah guru yang boleh mengajar tafsir Quran. Ianya adalah satu ilmu yang perlu kepada pengajian bertalaqqi (duduk bersama guru yang mengajar). Bukan boleh hanya membaca sahaja.


 

Ayat 106:

6:106
Sahih International

Follow, [O Muhammad], what has been revealed to you from your Lord – there is no deity except Him – and turn away from those who associate others with Allah.

Malay

Ikutlah apa yang telah diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, dan berpalinglah dari orang-orang musyrik.

اتَّبِعْ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ

Ikutilah apa yang telah diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu;

Nabi Muhammad disuruh dalam ayat ini untuk mengikut sahaja apa yang telah diwahyukan kepada baginda. Dan jangan ambil kisah dengan pandangan musyrikin Mekah itu, yang pasti baginda kena ikut sahaja Quran itu.

Begitu jugalah arahan itu pun diberikan kepada kita. Ikut sahaja ajaran Qur’an dan jangan tambah ajaran agama, melainkan apa yang telah diberitahu di dalam Qur’an dan Sunnah. Ini adalah wajib kerana inilah suruhan Allah dalam ayat ini. Malangnya, ramai yang bukan ikut Quran, tapi ikut kitab karangan manusia, dan ikut kata guru dan ustaz.

Termasuk yang kita kena ikut adalah apa yang telah diwahyukan kepada Nabi dan disampaikan melalui kata-kata baginda yang berupa hadis. Hadis juga adalah wahyu sebenarnya yang disampaikan kepada manusia melalui mulut Nabi. Malangnya zaman sekarang, ada golongan sesat yang mengatakan hanya Qur’aan sahaja yang boleh dipakai dan hadis tidak boleh diterima. Mereka kata hadis tidak dapat diterima kerana ianya ditulis lama selepas Nabi wafat. Padahal mereka sebenarnya tidak mengetahui bahawa hadis Nabi telah pun ditulis semasa hayat Nabi lagi. Ada berbagai-bagai lagi alasan yang mereka gunakan untuk menolak hadis. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan ini. Sepertimana Quran perlu dipelajar dengan tafsir, begitu juga Hadis perlu dipelajar dengan berguru yang akan memberikan syarah maksud satu-satu hadis itu. Kalau kita baca sendiri, kita tidak faham.

Itulah masalahnya bila kita hendak beritahu kepada mereka yang tidak mahu belajar. Itulah mereka golongan yang sesat seperti ‘Golongan Anti-Hadis’. Mereka senang ditipu oleh syaitan kerana mereka tidak belajar agama dengan betul.

لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ

tidak ada Tuhan selain Dia;

Tidak ada tuhan yang layak disembah, melainkan Allah sahaja. Jangan buat perkara syirik yang akan merugikan kita. Belajarlah apa maksud syahadah yang kita sebut setiap hari itu. Masyarakat kita senang sahaja sebut dua kalimah syahadah tapi mereka tidak faham apa yang mereka sebut. Sebab itu, mereka sebut syahadah, tapi dalam masa yang sama, mereka buat juga perkara syirik.

وَأَعْرِضْ عَنِ الْمُشْرِكِينَ

dan berpalinglah dari orang-orang musyrik.

ayat ini bermaksud: maafkan mereka, lupakan apa yang mereka lakukan dan katakan. Surah ini diturunkan di hujung-hujung waktu baginda di Mekah. Waktu itu mereka sedang kuat menentang baginda. Abu Talib sudah tiada untuk membela baginda. Baginda pun telah pergi mencuba dakwah di Taif dan di situ pun baginda tidak mendapat sokongan. Jadi, ada banyak tentangan yang diberikan kepada baginda. Tentunya ianya amat menyusahkan kepada Nabi dan sahabat. Allah beri pujukan dan nasihat kepada mereka untuk melupakan tentangan mereka itu.

Ini mengajar kita untuk fokus dengan amalan kita. Fokus kepada agama kita. Jangan hiraukan sangat dengan mereka yang tidak mahu menerima Quran dan Sunnah. Jangan fokus nak lawan mereka. Kerana itu mungkin buang masa sahaja. Jangan terasa hati sangat dengan apa yang mereka katakan. Kalau kita simpan dalam hati, ianya akan menyakitkan hati kita sahaja dan mengganggu emosi kita. Biarkan mereka, buat apa yang sepatutnya kita lakukan.

Keduanya, ia bermaksud, biarkan mereka sehinggalah Allah akan memberikan pertolongan. Allah tidak biarkan Nabi dan sahabat begitu sahaja. Pertolongan akan tiba tidak lama lagi.

Ayat ini juga bermaksud tinggalkan mereka dan jangan campur dengan perbuatan mereka. Jangan ikut mereka buat syirik. Jangan ikut memakan makanan haram mereka. Jangan kita pergi majlis sanding mereka kalau ada persandingan seperti yang orang Hindu buat itu kerana itu adalah syirik. Jangan pergi majlis Tahlil mereka, jangan berada dalam Majlis Doa Selamat mereka.

Jangan campur dengan mereka ketika mereka buat amalan bidaah dan syirik. Ini adalah masalah kepada mereka yang mula mengenal Sunnah. Mereka dah tahu apa yang salah dan apa yang bidaah. Sebagai contoh, mereka tahu Majlis Tahlil itu adalah bidaah dan haram. Tapi kerana takut apa yang masyarakat akan kata kalau tak ikut majlis mereka, maka ada antara kita yang pergi juga ke majlis mereka. Ingatlah, jangan takut kepada orang yang jahil. Jangan jadi pengecut. Beranikan diri anda atas nama Allah. Biarkan apa yang mereka akan kata. Kita akan dibalas dari usaha kita meninggalkan mereka. Meninggalkan majlis mereka itu pun sudah satu ibadah dan kita akan mendapat balasan atas perbuatan kita itu.

Akhir sekali, kerana sebelum ini ayat-ayat menyebut tentang permintaan mereka meminta tanda-tanda mukjizat, ayat ini menjelaskan kepada Nabi untuk tidak peduli dengan permintaan mereka itu.

Allahu a’lam.

Lompat ke ayat yang seterusnya


 

Ref: UR, TZ, NAK

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s