Tafsir Surah al-An’am Ayat 99-101

Ayat 99:

 

6:99
Sahih International

And it is He who sends down rain from the sky, and We produce thereby the growth of all things. We produce from it greenery from which We produce grains arranged in layers. And from the palm trees – of its emerging fruit are clusters hanging low. And [We produce] gardens of grapevines and olives and pomegranates, similar yet varied. Look at [each of] its fruit when it yields and [at] its ripening. Indeed in that are signs for a people who believe.

Malay

Dan Dia lah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman.

وَهُوَ الَّذِي أَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً

Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit,

Air turun dari langit dalam berbagai cara. Ada yang turun dalam bentuk hujan dan ada yang turun dalam bentuk salji.

فَأَخْرَجْنَا بِهِ نَبَاتَ كُلِّ شَيْءٍ

lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan

نَبَاتَ bermaksud semua hidupan yang tumbuh dari tanah. Lalang, pokok, bunga dan sebagainya. Dari air yang sama, tapi menjadi berbagai-bagai jenis tanaman. Begitu hebatnya Allah jadikan alam ini. Semuanya dapat hidup dari air yang satu jenis sahaja. Tapi darinya macam-macam boleh hidup. Bandingkan dengan kita: kalau cipta minyak untuk kereta, macam-macam jenis minyak kena buat. Ada minyak untuk jalankan kereta, ada minyak untuk brek, untuk minyak untuk enjin dan sebagainya.

فَأَخْرَجْنَا مِنْهُ خَضِرًا

maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau.

Dengan tumbuhan itu, maka menghijaulah alam ini.

نُّخْرِجُ مِنْهُ حَبًّا مُّتَرَاكِبًا

Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak;

Tanaman itu berbentuk butiran yang bersusun di tangkai macam yang kita nampak pada beras dan juga gandum. Bijian itu berkumpul dan bersusun atas satu sama lain. Juga ada yang bergugus-gugus seperti biji-biji jagung dan sebagainya.

وَمِنَ النَّخْلِ مِن طَلْعِهَا قِنْوَانٌ دَانِيَةٌ

dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai,

طَلْعِهَا bermaksud yang mula tumbuh dari dahan. Iaitu dahan itu belum tumbuh tanaman lagi tapi dah mula nak tumbuh. Mulanya kita akan nampak bunga dulu sebelum tumbuh buah.

قِنْوَانٌ bermaksud gugusan.

دَانِيَةٌ bermaksud ‘menjulai rendah’. Semakin masak, ia akan menjadi semakin rendah. Kerana buahan semakin banyak dan berat. Jadi buah buahan itu semakin rendah dan dekat. Iaitu ianya berdekatan antara satu sama lain. Bayangkan kalau kita lihat pokok rambutan: duduk berdekatan, sekali kita potong satu gugus, berbiji-biji buah rambutan kita boleh dapat.

وَجَنَّاتٍ مِّنْ أَعْنَابٍ

dan kebun-kebun anggur,

وَالزَّيْتُونَ

dan zaitun

وَالرُّمَّانَ

dan delima

مُشْتَبِهًا

yang serupa

Ada persamaan antara buah buah-buah itu. Macam buah zaitun ada berjenis yang nampak sama tapi rasa lain. Allah jadikan banyak pilihan. Ada yang rasa manis, ada yang pahit dan sebagainya. Tapi ada persamaan dari segi rupanya.

وَغَيْرَ مُتَشَابِهٍ

dan yang tidak serupa.

Buah yang sama pun ada jenisnya yang berlainan. Macam anggur, ada macam macam jenis.

انظُرُوا إِلَىٰ ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ وَيَنْعِهِ

Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan (perhatikan pulalah) ketika ia masak.

Allah ajar kita supaya jangan makan sahaja segala tanaman-tanaman itu, tapi lihatlah buahan itu. Lihatlah masa ia berbuah. Fikirkan tentang yang menjadikannya. Iaitu Allah.

Mula ianya berbuah, warna hijau, rasa tak sedap. Tapi bila dah masak, ia jadi lain.
Melihat kejadian yang dijadikan Allah juga adalah ibadah kerana ianya adalah arahan dari Allah.

Apakah kaitan buah-buahan dengan diri kita? Kenapa Allah suruh kita lihat? Kerana kita pun melalui proses yang hampir sama. Apabila buahan sudah masak, ianya akan dipetik dan akan dibuang kulitnya. Begitu juga kita, apabila kita kita sudah sampai ajal, kita akan dimatikan dan jasad kita akan dibuang dari roh kita.

إِنَّ فِي ذَٰلِكُمْ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.

Kuasa Allah boleh buat belaka. Orang yang memerhatikan dengan teliti, akan mendapat kebaikan. Mereka akan semakin kenal Allah. Iman mereka semakin bertambah. Mereka akan lebih menghargai Allah.


 

Ayat 100: Dalam ayat-ayat sebelum ini Allah telah memperkenalkan DiriNya. Betapa tinggiNya Dia. Tapi manusia masih lagi berbuat syirik. Dalam ayat ini, Allah menyentuh tentang mereka.

6:100
Sahih International

But they have attributed to Allah partners – the jinn, while He has created them – and they have fabricated for Him sons and daughters without knowledge. Exalted is He and high above what they describe.

Malay

Dan mereka menjadikan jin sekutu bagi Allah, padahal Allah jualah yang mencipta jin-jin itu; dan mereka berdusta terhadap Allah dengan mengada-adakan bagiNya anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan, dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan. Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah Ia dari apa yang mereka sifatkan!

وَجَعَلُوا لِلَّهِ شُرَكَاءَ الْجِنَّ

Dan mereka (orang-orang musyrik) menjadikan jin itu sekutu bagi Allah,

شُرَكَاءَ itu yang menyamakan sesuatu dengan Allah. Allah itu tinggi daripada segala makhluk, lalu bagaimana mereka boleh kata yang Allah memerlukan jin?

Ingatlah bahawa Jin itu makhluk yang hina daripada manusia. Tapi kita sekarang ini, ramai yang memandang tinggi kepada mereka dan meminta tolong kepada mereka. Kalau pada zaman Nabi Sulaiman, jin-jin itu dibahagi tiga jenis. Ada yang ditugaskan jadi buruh kasar, ada tinggal di lautan dan juga hutan, dan ada kena rantai kepada yang tak dengar cakap. Nabi Sulaiman sahaja ada kuasa yang diberi Allah untuk mengawal jin-jin. Tapi, mereka tidak tahu pun yang Nabi Sulaiman sudah mati semasa mereka diarahkan untuk membina BaitulMaqdis. Selama setahun Nabi Sulaiman telah mati dalam keadaan duduk tapi jin-jin itu tak tahu. Hanya apabila tongkat baginda dimakan anai-anai, baru mereka tahu. Mereka kata kalau mereka tahu, tidaklah mereka buat kerja yang hina itu.

Jin ada yang baik dan ada yang tidak. Macam manusia juga. Yang jahat itulah yang dinamakan ‘syaitan’.

Macam mana manusia yang melakukan syirik itu sembah jin? Mereka melakukannya dengan tawasul. Setiap kali melakukan tawasul, mereka sembah jin. Dan setiap kali mereka buat begitu, ada jin yang akan mendamping dengan mereka. Sebagai contoh, setiap kali hantar Fatihah kepada Nabi, mereka akan dapat satu jin. Dalilnya ada dalam ayat Saba’:40.

وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا ثُمَّ يَقُولُ لِلْمَلَائِكَةِ أَهَٰؤُلَاءِ إِيَّاكُمْ كَانُوا يَعْبُدُونَ
Dan (ingatlah) hari (yang di waktu itu) Allah mengumpulkan mereka semuanya kemudian Allah berfirman kepada malaikat: “Apakah mereka ini dahulu menyembah kamu?”.
قَالُوا سُبْحَانَكَ أَنْتَ وَلِيُّنَا مِنْ دُونِهِمْ ۖ بَلْ كَانُوا يَعْبُدُونَ الْجِنَّ ۖ أَكْثَرُهُمْ بِهِمْ مُؤْمِنُونَ
Malaikat-malaikat itu menjawab: “Maha Suci Engkau. Engkaulah pelindung kami, bukan mereka; bahkan mereka telah menyembah jin; kebanyakan mereka beriman kepada jin itu”.

Malaikat disebut sebagai contoh dalam ayat ini kerana mereka adalah antara yang diberi salam. Mereka juga telah dipuja oleh ramai manusia. Maka, oleh kerana itu, mereka telah disoal. Malaikat jawap bukan mereka yang disembah, bahkan yang disembah oleh manusia itu adalah jin.

Tawasul yang salah memang diamalkan oleh masyarakat kita. Selalu kita dengar apabila dimulakan majlis bidaah seperti maulid, majlis tahlil dan sebagainya, kita dengar tekong akan kata: “al Fatihah!” Begitulah amalan mereka – mereka pun tidak tahu dari mana amalan itu datang. Soalan kita sekarang kepada mereka yang buat begitu, apakah Fatihah yang dihantar itu sampai atau tidak? Untuk tahu samada sampai atau tidak, sila rujuk Yunus: 28:

وَيَوْمَ نَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا ثُمَّ نَقُولُ لِلَّذِينَ أَشْرَكُوا مَكَانَكُمْ أَنْتُمْ وَشُرَكَاؤُكُمْ ۚ فَزَيَّلْنَا بَيْنَهُمْ ۖ وَقَالَ شُرَكَاؤُهُمْ مَا كُنْتُمْ إِيَّانَا تَعْبُدُونَ
(Ingatlah) suatu hari (ketika itu). Kami mengumpulkan mereka semuanya, kemudian Kami berkata kepada orang-orang yang mempersekutukan (Tuhan): “Tetaplah kamu dan sekutu-sekutumu di tempatmu itu”. Lalu Kami pisahkan mereka dan berkatalah sekutu-sekutu mereka: “Kamu sekali-kali tidak pernah menyembah kami.
فَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ إِنْ كُنَّا عَنْ عِبَادَتِكُمْ لَغَافِلِينَ
Dan cukuplah Allah menjadi saksi antara kami dengan kamu, bahwa kami tidak tahu-menahu tentang penyembahan kamu (kepada kami).

Dalam ayat itu sendiri dikatakan bagaimana mereka yang diberi Fatihah, diberi salam itu, tidak tahu pun sedekah Fatihah dan salam itu telah diberikan kepada mereka itu. Ibadat seperti salam dan sedekah Fatihah itu mereka tak tahu pun dihantar kepada mereka kerana mereka telah mati dan tidak ada sesiapa pun yang menyampaikan salam dan sedekah Fatihah itu kepada mereka. Bayangkan, kalau kepada Nabi pun tak sampai, lalu bagaimana pula kalau diberikan kepada ibubapa kita, kepada orang lain? Oleh itu, amalan sedekah-sedekah Fatihah itu adalah perbuatan yang sia-sia, yang bidaah dan syirik sahaja.

Oleh kerana perkataan الْجِنَّ itu adalah bermaksud ‘makhluk yang tidak dapat dilihat’, maka ianya boleh digunakan untuk malaikat selain dari jin. Ini adalah kerana, selain dari menyembah Allah, Musyrikin Mekah juga menyembah malaikat. Mereka kata berhala yang mereka sembah itu adalah malaikat, yang mereka anggap anak Allah.

Banyaklah kesyirikan yang dilakukan manusia yang melibatkan jin. Sebagai contoh, apabila Musyrikin Mekah pergi ke sesuatu tempat, mereka akan minta keselamatan dari jin yang menjaga tempat itu. Macam juga kita sekarang, tidakkah pernah kita dengar bagaimana ramai kita dulu apabila lalu di sesuatu tempat yang menakutkan, kita akan minta kebenaran lalu dari penunggu tempat itu? Itu pun adalah satu kesalahan khurafat dan sesat.

Balaghah: dari segi bahasa, lafaz yang digunakan dalam potongan ayat ini bukanlah susunan bahasa Arab yang normal. Tentu ada maksud yang hendak disampaikan. Susunan ayat dalam ayat ini adalah: Mereka jadikan – Allah – jin-jin – sebagai sekutu. Susunan yang sepatutnya adalah: Mereka jadi – jin-jin – sebagai sekutu – bagi Allah.

Susunan ayat ini adalah satu contoh fi’il muta’addi – fi’il yang ada lebih dari satu maf’ul bihi (berbeza dengan jumlah fi’il lazim seperti dalam Baqarah:22). Tapi sususan maf’ul bihi itu tidak ikut susunan yang biasa. Ini adalah takdim dan ta’khir dalam ilmu Balaghah Quran. Dari segi balaghah, Allah hendak menyampaikan satu konsep yang dipanggil tabkid wa ta’jub. Iaitu penghinaan dan kehairanan. Hina sekali perbuatan mereka itu dan begitu menghairan sekali perbuatan mereka itu. Konsep itu disampaikan dalam susunan yang berbeza dari susunan bahasa Arab yang biasa, dan perkara ini hanya dapat difahami kalau belajar balaghah. Allahu a’lam.

وَخَلَقَهُمْ

padahal Allah-lah yang menciptakan jin-jin itu,

Bagaimana mereka boleh syirikkan makhluk dengan Allah, padahal Allah yang menjadikan mereka? Tidak sama kedudukan Allah yang khaliq dan jin yang makhluk.

وَخَرَقُوا لَهُ بَنِينَ وَبَنَاتٍ

dan mereka membohong untukNya (dengan mengatakan): “Bahawasanya Allah mempunyai anak laki-laki dan perempuan”,

Perkataan وَخَرَقُوا berasal dari perkataan خرق yang maksudnya berlawanan dengan makna perkataan خلق yang bermaksud ‘menjadikan’. خرق bermaksud ‘mengoyak’ atau merosakkan sesuatu. خلق pula bermaksud mencipta sesuatu dengan keadaan baik yang kita boleh lihat pada segala makhluk yang Allah lakukan. Segala penciptaan Allah itu baik untuk kita. Sebagai contoh, lihatlah bagaimana binatang yang telah dijadikan sebagai makanan untuk kita itu, senang ditangkap. Bayangkan kalau makanan kita adalah binatang sebesar gajah? Tentu susah kita nak tangkap dan nak makan, bukan?

خرق  juga digunakan untuk bermaksud ‘mereka-reka sesuatu’. Dan rekaan itu dilakukan tanpa memikirkan logik pun. Macam manusia yang berbohong tapi bohong yang tidak ada logik.

Mereka خرق dengan kata yang “Allah ada anak”. Musyrikin Mekah kata malaikat adalah anak perempuan Allah. Dan Kristian kata Allah ada anak lelaki. Dan Yahudi pula kata Nabi Uzair itu anak Allah. Semua itu adalah kerana nak bertawasul kepada Allah sahaja.

بِغَيْرِ عِلْمٍ

tanpa (berdasar) ilmu pengetahuan.

Mereka reka-reka sahaja dari akal mereka yang syirik tanpa berdasarkan dalil dari mana-mana nas yang sahih.

Macam orang kita yang buat amalan-amalan bidaah dan sesat. Mereka bukan ada dalil yang sah. Melainkan dalil yang bathil sahaja. Ataupun mereka jenis yang mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh orang lain dan orang sebelum mereka, tanpa usul periksa. Malangnya, apabila kita minta dalil dari mereka, mereka akan marah.

سُبْحَانَهُ وَتَعَالَىٰ عَمَّا يَصِفُونَ

Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari sifat-sifat yang mereka berikan.

Mereka telah beri sifat-sifat kepada tuhan-tuhan sembahan mereka itu. Apabila perkataan يَصِفُونَ digunakan, ianya bermaksud mereka menyifatkan tuhan mereka itu dengan berbagai sifat. Tuhan-tuhan itu ada diberi nama, ada keluarga, ada perangai, ada tugas dan macam-macam. Lihatlah bagaimana tuhan-tuhan Greek kuno yang ada macam-macam perangai. Dan dewa-dewa Hindu yang ada berbagai kisah mereka. Begitulah juga dengan berhala-berhala dan tuhan-tuhan musyrikin Mekah. Maknanya, mereka bukan main-main sahaja dengan tuhan-tuhan mereka. Macam-macam maklumat direka sampaikan susah nak faham dah tuhan mereka itu.


 

Ayat 101:

6:101
Sahih International

[He is] Originator of the heavens and the earth. How could He have a son when He does not have a companion and He created all things? And He is, of all things, Knowing.

Malay

(Dia lah) yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah Ia mempunyai anak sedang Ia tidak mempunyai isteri? Ia pula yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya.

بَدِيعُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Dia Pencipta langit dan bumi.

بَدِيعُ diambil dari katadasar  بدع yang bermaksud ‘mula-mula buat’. Dari kata dasar yang sama itulah kata bidaah. Bidaah itu bermaksud perkara yang dibuat tidak ada dasarnya yang dilakukan oleh Nabi.

Allah lah yang mula-mula menjadikan langit dan bumi. Ianya bermaksud, sebelum Allah buat langit dan bumi, tidak ada langit dan bumi sepertinya. Allah tidak mencipta langit dan bumi ini dari contoh mana-mana pun.

أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ وَلَدٌ وَلَمْ تَكُن لَّهُ صَاحِبَةٌ

Bagaimana Dia mempunyai anak padahal Dia tidak mempunyai isteri.

Kalau nak ada anak, kenalah ada isteri, bukan? Macam mana Allah boleh ada isteri, kerana selain dariNya, semuanya adalah makhluk. Tidak ada yang sama dan setaraf dengan Allah. Kerana kalau kita kahwin, tentulah kita kahwin dengan spesis yang sama dengan kita. Lalu bagaimana Allah nak ada pasangan sedang Dia hanya satu sahaja.

Musyrikin Mekah sampai mengatakan yang pasangan Allah adalah jin dan malaikat adalah anak perempuan mereka. Ma sha Allah! Teruk sekali dakwaan mereka. Tidak mungkin Allah akan berpasangan dengan Jin! Itulah sebabnya dalam ayat sebelum ini Allah tekankan yang Dia yang menciptakan jin itu.

Jadi konsep ‘anak Tuhan’ itu tidak masuk akal. Ini adalah satu dakwaan yang sangat berat sampaikan langit hampir terpecah, bumi terbelah dan gunung ganang hancur. Inilah yang tersebut dalam ayat Maryam:88-90:

وَقَالُوا اتَّخَذَ الرَّحْمَٰنُ وَلَدًا
Dan mereka berkata: “Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak”.
لَقَدْ جِئْتُمْ شَيْئًا إِدًّا
Sesungguhnya kamu telah mendatangkan sesuatu perkara yang sangat mungkar,
تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنْشَقُّ الْأَرْضُ وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدًّا
hampir-hampir langit pecah karena ucapan itu, dan bumi terbelah, dan gunung-gunung runtuh,

Puak Musyrikin Mekah mengatakan yang anak-anak perempuan Allah adalah malaikat-malaikat; Orang Kristian kata Nabi Isa adalah anak Allah; Orang Yahudi pula mengatakan yang Uzair adalah anak Allah.

Itu semua adalah kata-kata mungkar yang amat dibenci oleh Allah dan alam. Sebab itulah langit hampir pecah, bumi hampir terbelah dan gunung ganang hampir runtuh disebabkan oleh kata-kata mungkar itu.

Kerana mereka kata Allah ada anak? Kerana mereka hendak bertawasul dengan anak itu. Macam juga kalau dalam dunia ini, anak seseorang tentunya rapat dengan ayahnya. Kalau kita hendak membodek ayah, kita mulakan dengan bodek anaknya, bukan? Begitulah yang mereka anggap sifat Allah. Oleh kerana Allah tidak pernah kata Dia ada anak, mereka reka sendiri siapakah anak Allah.

وَخَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ

Dia menciptakan segala sesuatu;

Allah mencipta segala-galanya. Lalu bagaimana Allah boleh mempunyai pasangan sedangkan Dia yang mencipta dan menjadikan segala-galanya?

وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

dan Dia maha mengetahui segala sesuatu.

 

Lompat ke ayat yang seterusnya


Ref:UR, TZ, NAK

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s