Tafsir Surah al-An’am Ayat 95 – 98

Ayat 95: Dalam ayat ini dan seterusnya untuk beberapa ayat, Allah memperkenalkan DiriNya kepada kita. Allah menceritakan tentang kekuasaanNya. Dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana manusia ada yang tidak menghargai Allah sebagaimana Allah sepatutnya dihargai. Manusia tidak menghargai Allah itu kerana mereka tidak mengenal Allah dan sifat-sifatNya.

Jadi di dalam ayat ini Allah memberitahu apakah perbuatanNya supaya manusia lebih mengenali Allah. Iaitu Allah menceritakan apakah yang dilakukanNya.

6:95
Sahih International

Indeed, Allah is the cleaver of grain and date seeds. He brings the living out of the dead and brings the dead out of the living. That is Allah ; so how are you deluded?

Malay

Sesungguhnya Allah jualah yang membelah (menumbuhkan) butir (tumbuh-tumbuhan) dan biji (buah-buahan). Ia mengeluarkan yang hidup dari yang mati, dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. Yang sedemikian itu kekuasaannya ialah Allah. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan dari menyembahNya (oleh benda-benda yang kamu jadikan sekutuNya)?

إِنَّ اللَّهَ فَالِقُ الْحَبِّ

Sesungguhnya Allah menumbuhkan butir tumbuh-tumbuhan

فَالِقُ dari perkataan فلك yang bermaksud ‘membelah’. Ianya digunakan untuk menerangkan perbuatan ‘membelah sesuatu yang tidak bernyawa’ sebagai contohnya batu. Perkataan itu bermaksud membelah dan memisahkan menjadi dua bahagian dan bukanlah bermaksud memecahkan. Kalau Surah al-Falaq itu, dinamakan begitu kerana Allah membelah kegelapan malam.

الْحَبِّ pula bermaksud biji-bijian yang boleh dimakan. Ini adalah jenis tumbuhan yang berbentuk bijian. Seperti contohnya, makanan kita iaitu gandum dan beras. Allah lah yang menumbuhkannya. Tidak ada yang lain.

Allah jugalah yang mengajar manusia bagaimana menanam dan memasaknya. Iaitu diajarkan kepada Nabi Adam a.s. semasa baginda di syurga lagi. Perkara ini tidak dapat kita nak tahu kalau kita nak belajar sendiri.

وَالنَّوَىٰ

dan biji buah-buahan.

Ini pula adalah jenis bijian yang tidak dimakan. Seperti biji pada limau, biji pada Epal dan sebagainya. Ianya jenis biji juga, tapi kita tak makan bijinya. Kita makan yang luar dari biji itu. Sebagai contoh, buah durian dan buah rambutan. Kita tak makan biji buah rambutan dan durian itu bukan? Tapi kita makan isi yang menyaluti biji itu.

Allah menceritakan bagaimana Allah membelah biji-biji itu yang darinya menjadi benih dan bertambah banyak pokok yang tumbuh.

Ini semua hendak menceritakan nikmat-nikmat yang Allah berikan kepada kita.

يُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ

Dia mengeluarkan yang hidup dari yang mati

Sebagai contoh, dari biji yang nampak mati itu, boleh mengeluarkan buah-buahan dan biji-bijian. Kerana biji-biji itu menjadi benih kepada tumbuhan yang baru.

Atau bermaksud benda yang mati adalah telur. Yang hidup adalah ayam, burung, ular, biawak dan sebagainya yang keluar dari telur itu.

وَمُخْرِجُ الْمَيِّتِ مِنَ الْحَيِّ

dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup.

Sebagai contoh, Allah keluarkan benih yang mati dari pokok yang hidup.

Sebagai contoh lagi, daripada ayam yang hidup, keluar telur.

ذَٰلِكُمُ اللَّهُ

(Yang memiliki sifat-sifat) demikian ialah Allah,

Allah yang buat belaka semua itu. Tidak ada sesiapa yang boleh buat seperti apa yang Allah lakukan itu. Kalau kita buat sendiri, tak tumbuh pokok itu.

فَأَنَّىٰ تُؤْفَكُونَ

maka mengapa kamu masih berpaling?

Perkataan تُؤْفَكُونَ dari perkataan ء ف ك yang bermaksud ‘menipu’. Atau juga bermaksud ‘mengubah arah dari arah yang sepatutnya’ – melencong.

Kalau Allah yang buat semua sekali, macam mana kamu boleh terpesong dan tertipu dengan sembah dan doa kepada selain dari Allah?

Lihatlah bagaimana agama lain sembah kepada selain Allah. Kalau Hindu, mereka sembah dewa mereka, seperti Siva, Ganesh, Murugam dan macam-macam lagi dewa sembahan mereka. Kalau Kristian, mereka sembah Nabi Isa.

Mereka sebenarnya sembah berhala dan sembah Nabi Isa itu sebagai ‘perantaraan’, bukan sebagai ‘tuhan’. Jadi, tak betul kalau kita katakan yang agama Hindu menganggap Murugam itu tuhan, atau Kristian menganggap yang Nabi Isa itu sebagai tuhan. Tidak sama sekali. Kalau tak percaya, cubalah tanya penganut agama Hindu dan Kristian itu sendiri. Mereka akan kata bahawa yang mereka sembah itu adalah ‘perantaraan kepada tuhan’.

Mereka tidaklah menerima berhala dan Nabi Isa itu sebagai tuhan. Tetapi apabila mereka telah menyembah perantaraan-perantaraan itu, mereka tidak lagi menyembah Tuhan. Mereka rasa sudah cukup dengan mereka menyembah perantaraan sahaja untuk menyampaikan doa kepada Tuhan. Maka dari sini, kita dapat faham bahawa orang kafir itu menjadi kafir kerana mereka menyembah perantaraan atau tawasul.

Bagaimana pula dengan kita? Ramai dari masyarakat Islam kita sangka dengan tidak sembah berhala maka kita tidak melakukan perkara syirik. Padahal mereka tak sedar bahawa mereka ada juga melakukan ibadat kepada perantaraan iaitu yang dinamakan tawassul. Kerana masalah tawasul inilah yang orang kafir itu jadi kafir. Maka, tidak banyak bezanya antara kita dengan orang-orang kafir itu. Mereka beribadat kepada tawasul dan kita juga ramai yang beribadat kepada tawasul kita pula. Sepatutnya kita hanya sembah Allah sahaja tetapi malangnya ramai antara kita juga ada sembah kepada perantaraan. Perantaraan yang masyarakat Islam kita gunakan adalah Nabi, malaikat dan wali. Banyak contoh-contoh yang kita telah berikan dalam penulisan kita ini.

Alangkah sedihnya apabila kita lihat masyarakat kita tidak jauh sahaja bezanya dari agama lain. Mari kita bandingkan masyarakat kita dengan agama lain. Sebagai contoh, apabila orang Hindu hendak berdoa, mereka akan meminta sami mereka yang doakan untuk mereka. Kemudian, mereka akan beri upah kepada sami mereka.

Bagaimana pula dengan kita? Kita pula apabila hendak berdoa, kita akan minta ustaz-ustaz kita untuk mendo’akan bagi pihak kita. Selepas itu, kita akan beri upah kepada ustaz itu tadi. Maka, sama sahaja kita dengan penganut Hindu tadi. Maknanya akidah mereka yang mengamalkan tawasul itu sama sahaja dengan akidah orang Hindu. Ini semua terjadi kerana salah faham dengan Allah.


 

Ayat 96: Dalam ayat sebelum, ini Allah menceritakan dalil kenapa Dia sahaja yang perlu disembah. Allah memberikan dalil-dalil daripada penumbuhan tanam-tanaman. Sekarang Allah hendak memberikan dalil daripada penukaran siang dan malam pula. Iaitu Allah suruh kita lihat alam ini.

6:96
Sahih International

[He is] the cleaver of daybreak and has made the night for rest and the sun and moon for calculation. That is the determination of the Exalted in Might, the Knowing.

Malay

Allah jualah Yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.

فَالِقُ الْإِصْبَاحِ

Dia menyingsingkan pagi

Allah lah yang mengeluarkan siang. Allah membelah malam dan mengeluarkan siang. Kalau masuk pagi dan lihat kepada ufuk timur, kita akan nampak belahan itu. Kalau Allah tak takdirkan siang itu terjadi, maka siang tidak akan terjadi. Oleh itu, bersyukurlah apabila siang datang lagi.

وَجَعَلَ اللَّيْلَ سَكَنًا

dan menjadikan malam untuk beristirehat,

Allah menjadikan malam itu untuk istirehat kepada diri kita, tetapi dalam masa yang sama, untuk beribadat juga kepada Allah.

Bayangkan kalau matahari bersinar sepanjang siang dan malam, tentu susah manusia nak berehat, susah nak tidur. Maka lihatlah bagaimana Allah gelapkan malam untuk memudahkan kita berehat di malam hari.

Oleh itu apabila Allah telah jadikan malam sebagai tempat masa untuk berehat, maka hendaklah kita berehat malam hari. Kalau kita lawan ketetapan itu dengan tidak tidur, buat kerja, main game dan sebagainya, kita akan ada masalah dengan kesihatan kita nanti. Jangan lawan ketetapan yang telah Allah letakkan dalam diri kita.

وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ حُسْبَانًا

dan (menjadikan) matahari dan bulan untuk perhitungan.

Perkataan حُسْبَانًا dari حسب yang bermaksud ‘kira’. Dalam bahasa kita dulu pun matematik dipanggil ‘Ilmu Hisab’ bukan?

Allah jadikan matahari dan bulan itu untuk mudah kita mengira waktu. Untuk kira bila masuknya waktu solat dan juga untuk mengira apabila telah masuk bulan baru dan apabila telah habis bulan itu.

Allah sebut ‘bulan dan matahari’. Bulan dijadikan sebagai tanda untuk mengira waktu dalam ibadah dalam Islam. Sebagai contoh, kita selalu nak pastikan anak bulan apabila nak pastikan Ramadhan dan Syawal. Bulan jenis ini dinamakan kalendar Qamariah.

Tapi Allah juga sebut matahari juga digunakan untuk pengiraan. Ini adalah bulan Syamsiah atau Lunar Calender. Selalunya, orang Melayu akan panggil bulan Qamariah sebagai ‘Bulan Islam’, seolah-olah hendak mengatakan yang Bulan Syamsiah bukan Islam pula. Tapi lihatlah bagaimana Allah mengatakan bahawa dua-dua bulan dan matahari itu dijadikan oleh Allah sebagai pengira waktu. Maknanya, dua-dua adalah ‘Bulan Islam’.

Tidakkah kita lihat bagaimana kita memerlukan matahati juga untuk menentukan waktu solat? Keluar matahari, masuk waktu subuh, matahari tergelincir dari tegak menandakan masuk waktu zuhur dan sebagainya. Memang zaman sekarang kita banyak bergantung dengan jam untuk tentukan waktu solat. Tapi apa kata kalau tidak ada jam?

Jadi, bulan dan matahari ada gunanya kepada kita dalam ibadah kita. Ianya menurut perintah Allah dan adalah makhluk Allah. Bukanlah bulan dan matahari itu Allah jadikan untuk dipuja oleh mereka yang melakukan syirik. Itu dilakukan oleh agama sesat yang menyembah bintang, matahari dan sebagainya. Tapi ada juga masyarakat kita yang bersumpah dengan ‘matahari yang tengah naik’. Itu adalah perbuatan yang salah.

Perkataan حسب juga bermaksud ‘berenang’. Jadi dalam konteks matahari dan bulan, ia bermaksud kedua-duanya mempunyai orbit yang telah ditetapkan untuk bergerak. Allah yang telah tetapkan. Matahari dan bulan bergerak mengikut arahan Allah. Kalau bulan dan matahari yang besar itu pun mengikut perintah Allah, kenapa kita tidak ikut?

ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ

Itulah ketentuan Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.

ذَٰلِكَ rujuk kepada semua perkara di atas tadi. Allah nak katakan yang Dia lah yang menentukan semua pergerakan alam itu. Bukannya bergerak sendiri dan terjadi sendiri.

Jadi jangan kita merungut tentang siang dan malam. Kerana Allah dah tetapkan ia terjadi pada waktunya. Sebagai contoh, mungkin kita selalu kata, “kenapalah siang ni cepat sangat, tak habis nak siapkan kerja lagi.” Kita lupa bahawa Allah yang tetapkan bila siang dan malam terjadi.

تَقْدِيرُ dari perkataan قدر yang bermaksud ‘ketetapan’. Tapi ia juga bermaksud ‘penilaian’, pengiraan nilai. Iaitu Allah berikan cara pengiraan kepada kita.


 

Ayat 97: Ini adalah dalil ketiga yang Allah berikan kepada kita untuk menunjukkan bahawa hanya Allah sahaja yang boleh disembah.

6:97
Sahih International

And it is He who placed for you the stars that you may be guided by them through the darknesses of the land and sea. We have detailed the signs for a people who know.

Malay

Dan Dia lah yang menjadikan bintang-bintang bagi kamu supaya kamu berpedoman kepadanya dalam kegelapan (malam) di darat dan di laut. Sesungguhnya kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengetahui.

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ النُّجُومَ

Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagimu,

Lihatlah bagaimana malam yang gelap itu dicantumkan dengan keindahan bintang-bintang bergemerlapan. Apabila ada bintang, nampaklah sedikit keindahan langit itu. Kalau tidak, malam itu akan jadi gelap-gelita sahaja.

Lihatlah bagaimana perkataan لَكُمُ digunakan. Ianya bermaksud Allah jadikan bintang itu untuk kegunaan kita. Tapi bagaimanakah untuk kita gunakan? Kalau pokok, kita senang nak faham kebaikan yang kita boleh dapat.

لِتَهْتَدُوا بِهَا

agar kamu menjadikannya sebagai petunjuk

Iaitu petunjuk dalam perjalanan. Bila kita gunakan bintang sebagai penunjuk?

فِي ظُلُمَاتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ

dalam kegelapan di darat dan di laut.

Jangan kita katakan yang bintang itu dijadikan ‘petunjuk’ macam Pak Nujum sekarang selalu buat. Ataupun macam orang yang buat telekan dengan menggunakan bintang kelahiran kita. Iaitu budak-budak muda kita sekarang akan gunakan zodiac mereka dan tengok apa akan jadi esok, dan sebagainya. Bukan petunjuk itu yang dimaksudkan. Lihatlah Allah menambah dengan mengatakan petunjuk yang dimaksudkan adalah ‘di dalam kegelapan darat dan lautan’ – iaitu sebagai pununjuk arah dalam perjalanan.

Bintang-bintang itu Allah jadikan kepada manusia untuk mereka jadikan sebagai panduan arah semasa mengembara di malam hari. Tidak kira sama ada mereka berada di daratan atau pun di lautan. Sebagai contoh, manusia menggunakan Bintang Utara (North Star) sebagai pedoman mereka kerana Bintang Utara itu tidak bergerak. Apabila ianya tetap duduk di tempatnya, maka ianya boleh dijadikan sebagai tanda arah pada bila-bila masa.

Allah memberi isyarat kepada Quran dalam ayat ini. Sebagaimana bintang boleh memberi pedoman kepada manusia dalam kegelapan malam, begitu juga Quran memberi pedoman kepada manusia untuk keluar dari kegelapan syirik.

Dari ayat ini, jelaslah bagaimana penunjuk yang dimaksudkan adalah bentuk pedoman dalam perjalanan. Maka, bukanlah bintang itu digunakan sebagai penunjuk tentang sifat seseorang, tentang apa akan berlaku tahun ini, esok hari, samada tahun ini beruntung atau tidak. Itu adalah faham yang khurafat. Malangnya, berapa banyak anak-anak kita yang masih percaya lagi? Mereka letakkan bintang kelahiran mereka dengan bangganya. Dan kadang-kadang mereka akan post ramalan bintang mereka dalam Facebook. Ramalan bintang itu pula masih banyak lagi dalam suratkhabar dan majalah-majalah bacaan mereka ini. Amat malang apabila ibubapa tidak dapat menceritakan bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah salah dalam Islam.

قَدْ فَصَّلْنَا الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) kepada orang-orang yang mahu mengetahui.

Perkataan فَصَّلْنَا daripada perkataan فصل yang bermaksud ‘memisahkan’. Bermaksud Quran itu memisahkan satu topik dari topik yang lain supaya boleh diperjelaskan satu persatu supaya kita senang faham. Seperti kita belajar di sekolah dan universiti dulu, kita akan belajar mengikut topik supaya kita senang nak faham.

Seperti dalam ayat ini, Allah memberi contoh satu persatu bagaimana Dia telah melakukan perkara-perkara itu.

Apabila digunakan perkataan يَعْلَمُونَ, ia membawa maksud ‘mahu mengetahui’. Kerana ianya dalam present tense. Bukanlah ia bermaksud ‘sudah mengetahui’. Kerana kalau ia bermaksud sudah mengetahui, perkataan علمين yang digunakan.

Tanda-tanda kebesaran Allah ini diberikan kepada semua makhluk, tetapi yang dapat mengambil pengajaran daripadanya hanyalah mereka-mereka yang ‘mahu mengetahui’ sahaja. Iaitu mereka yang mahu mengetahui kebenaran.

Apakah kebenaran yang perlu diketahui itu? Iaitu mengetahui bahawa makhluk hanya boleh puja dan sembah kepada Allah Ta’ala sahaja, tidak boleh dipuja, disembah dan diibadati kepada entiti yang lain. Juga bermaksud mereka yang mengetahui bahawa itulah tuntutan tauhid yang perlu dipenuhi oleh semua makhluk.

Juga yang dimaksudkan dengan mengetahui itu adalah ‘mengetahui tentang Quran’. Maknanya, untuk tahu ilmu tauhid, kena belajar tafsir Quran. Malangnya, masyarakat Islam kita hanya suka nak belajar kitab itu dan kitab ini. Iaitu kitab-kitab karangan manusia. Seeloknya, sebelum belajar kitab lain, sepatutnya kenalah belajar tafsir Quran dulu. Memang boleh belajar kitab lain, tapi bilanya nak belajar tafsir Quran?

Ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa semua benda yang Allah jadikan ada gunanya. Tidaklah apa yang Allah jadikan dalam dunia ini yang sia-sia. Tidak ada yang sia-sia. Kalau kita lihat bintang itu, ianya amat jauh sekali dari kita, tapi ada juga gunanya kepada kita. Kita sahaja yang tidak nampak kegunaan dan sebab Allah jadikan sesuatu itu kerana akal kita yang lemah.


 

Ayat 98:

6:98
Sahih International

And it is He who produced you from one soul and [gave you] a place of dwelling and of storage. We have detailed the signs for a people who understand.

Malay

Dan Dia lah yang mencipta kamu dari diri yang satu (Adam), maka (bagi kamu) disediakan tempat tetap (dalam tulang sulbi bapa kamu atau di bumi), dan tempat simpanan (dalam rahim ibu atau dalam kubur). Sesungguhnya Kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengerti (secara mendalam).

وَهُوَ الَّذِي أَنشَأَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ

Dan Dialah yang menjadikan kamu dari satu jiwa,

Satu jiwa yang dimaksudkan adalah Nabi Adam a.s. Dari jiwa yang satu itu, dijadikan umat manusia yang lain. Ini adalah salah satu dari iman. Iaitu percaya bahawa seluruh manusia ini berasal dari Nabi Adam a.s. Maka, kalau ada yang kata kita berasal dari monyet, itu adalah satu kata yang menghinakan diri kita sendiri.

Nabi Adam dijadikan dari tanah. Kemudian dari Nabi Adam, dijadikan isterinya Hawa. Kenapa Allah tidak jadikan Hawa dari tanah juga? Allah boleh sahaja jadikan Hawa dari tanah juga tapi Allah tak buat begitu. Kenapa?

Supaya umat manusia ini berasal dari satu punca. Supaya tidaklah ada perbezaan dari satu sama lain. Kalau lah Allah jadikan Hawa dari tanah juga, atau dari bahan lain, maka kaum wanita dan lelaki akan ada perbezaan yang ketara. Mereka akan kata mereka lain dari kaum lelaki. Jadi, apabila dijadikan dari jiwa yang satu, maka tidak ada masalah itu.

Oleh itu, kita hendaklah terima bahawa kita ini adalah umat yang satu, berasal dari asal yang satu. Maka janganlah kita berkelahi dan membezakan antara satu sama lain.

فَمُسْتَقَرٌّ

maka (bagimu) ada tempat tetap

Semua kita ada tempat tinggal. Dan merujuk kepada masa seseorang itu tinggal. Ia adalah tempat tinggal yang pada kadar yang lama.

وَمُسْتَوْدَعٌ

dan tempat simpanan.

Asal maksud perkataan ini adalah ‘tempat simpan amanah’. Seperti seseorang tinggalkan barangnya kepada seseorang sekejap. Sebagai contoh, seorang kawan nak pergi tandas dan minta kawannya simpan sekejap. Bukan nak pegang lama, tapi sekejap sahaja. Apabila diminta balik, kena beri balik. Maka, ia adalah tempat simpan sementara sahaja.

Jadi, kita semua ada tempat tinggal yang tetap dan tempat tinggal sementara. Ada banyak pendapat ulama tafsir tentang beza antara dua makna ayat ini. Kita berikan beberapa sahaja:

1. Tempat yang tetap adalah dunia ini. Dan tempat sementara adalah dalam perut ibu kita. Kerana kita sekejap sahaja dalam perut ibu kita. Selepas sembilan bulan, kita akan dikeluarkan.
2. Tempat yang tetap adalah akhirat dan tempat sementara adalah kubur kita. Apabila kita mati, kita dikuburkan dalam tanah dan apabila kiamat, semua akan bangun dan berada di Mahsyar dan Akhirat akan bermula bagi semua orang. Akhirat itulah tempat akhir kita. Kubur itu sementara sahaja, menunggu Kiamat.
3. Tempat yang tetap itu adalah akhirat dan tempat yang sementara adalah dunia ini. Kita pun tahu kita sekejap sahaja tinggal di dunia ini. Kalau dibandingkan masa di dunia ini dengan masa di akhirat yang kekal, masa di dunia seperti tidak ada apa-apa.

Ini mengajar kita bahawa manusia itu ada mula dan ada akhirnya. Kita tidak kekal dalam dunia ini. Maka, hendaklah kita bersedia dengan persediaan untuk ke akhirat.

Kalau kita hendak ke Jepun, tentu kita dah bersedia dengan maklumat-maklumat tentang negara Jepun, bukan? Kalau kita tidak hendak ke sana, kita pun tahu sikit-sikit sahaja. Tapi bayangkan kalau kita memang nak pergi, tentu macam-macam maklumat kita akan cari – nama tempat, apa yang ada di sana, bahasa apa yang dipakai, berapa ramai orang di sana, mereka jenis orang yang macam mana dan sebagainya. Bukankah itu yang kita akan buat?

Baik, kita mungkin tidak berkesempatan untuk pergi ke Jepun, jadi tak perlu tahu sangat pasal Jepun pun tidak mengapa. Tapi adakah kita akan pergi ke syurga atau neraka? Itu sudah tentu. Samada ke syurga atau ke neraka. Dan tentunya kita hendak pergi ke syurga, bukan? Oleh itu, tidakkah kita perlu tahu tempat tujuan kita? Kalau kita memang hendak ke syurga, tentu kita kena tahu tentang syurga bukan? Maka, soalan: adakah kita tahu cuaca di syurga? Siapa yang tinggal di sana? Keadaan di sana? Bagaimana hendak sampai ke sana? Kalau kita tidak tahu, bermakna kita tidaklah beriya-iya hendak ke syurga. Ini adalah sesuatu yang kita kena fikir-fikirkan.

قَدْ فَصَّلْنَا الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَفْقَهُونَ

Sesungguhnya telah Kami jelaskan tanda-tanda kebesaran Kami kepada orang-orang yang mahu memahami.

Seperti juga perkataan يَعْلَمُونَ bermaksud ‘mahu mengetahui’, maka perkataan يَفْقَهُونَ bermaksud ‘mahu memahami’.

Apakah bezanya علم dan علم ? فقه adalah ‘ilmu pengetahuan’ dan فقه pula bermaksud ‘pemahaman’. Sebagai contoh, ada orang yang tahu baca Quran dengan tajwid yang baik. Mereka boleh baca tapi mereka tidak tahu ilmu tajwid. Tapi ada orang yang tahu baca dan dalam masa yang sama dia tahu juga kenapa dia kena baca begitu dan dia tahu apakah hukum tajwid itu. Maknanya, فقه itu bukan sahaja tahu, tapi dia tahu ‘bagaimana’ dan ‘kenapa’ sekali. Orang yang ada فقه lebih tinggi ilmunya.

Allahu a’lam. Semoga kita mendapat kefahaman Quran ini.

Lompat ke ayat yang seterusnya


 

Ref: UR, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s